Friday, May 25, 2012

Terusik

Hati mana yang tidak sedih bila orang menyangka yang bukan-bukan tentang kita. Benda yang kita tidak terfikir hendak buat, disangkanya kita buat. Perkara yang langsung tidak pernah terlintas untuk diperkatakan, disangka kita yang kata. Tak baik tau buruk sangka begitu!

Ada orang yang selalu gagal memahami situasi orang lain lalu membuat sangkaan salah bilamana berlaku sesuatu perkara yang tidak memihak kepadanya. Saya rasa itu tidak adil! Adalah tidak adil untuk membuat penilaian sebegitu sedangkan saya tidak seperti yang disangkakannya. Kecil hati sebab tidak sangka orang yang diharapkan telah benar faham serta kenal diri ini rupanya masih tidak memahami.

Tak apalah. Kalau itu yang difikirkannya, biarlah begitu sahaja. Berdiam itu lebih baik. Sekurang-kurangnya itu yang saya mampu lakukan, setakat ini. [senyum].

Lalu saya teringat VCD  Ustaz Kazim. Kesian Ustaz, teruk orang mengata dia. Menuduh dia melakukan perkara yang tidak dia lakukan. Puas dijelaskan pun tidak berkurang tuduhan itu. Lalu Ustaz memutuskan untuk berhenti berceramah tahun depan. Haaa??? Alaaaa...Ustaz merajuk ke? Tak, Ustaz kata dia dah penat dengan orang-orang politik ni. Tak habis-habis mempolitikkan kerja-kerja dakwah dia. Jadi, Ustaz kata cukuplah sampai di sini saja...huhuhu. Lepas ni Ustaz tak mau dah mai ceramah jauh-jauh...tak mau dah pi Keramat ka, Shah Alam ka, PJ ka...Ustaz fokus kat kawasan tempat dia saja, fokus kat sekolah dia. Ala Ustaz, bila tahun la saya nak ke Ipoh tu...selalu lalu saja, singgah tak pernah. Nasib baik Ustaz kata dia akan terus keluarkan CD , dapatlah saya menumpang kutip ilmu (dan rindu tengok Ustaz menyanyi...:) )

Ustaz pun orang mengata. Apatah lah saya yang hina ini...

Sabar ajelah.

Thursday, May 24, 2012

Meriahnya Khamis

Macam-macam ada kat bawah tu. Terkejutlah juga, almaklumlah...terlupa yang hari ni adalah hari gaji rupanya. Patutlah pun. Meriah semacam.

Nak apa? Nak beli bekas 'Tupperware'? Gerainya ada bertapak depan Klinik Zariff tu. Nak makan makanan Mexico, pergi aje ke kiosk Sombrero yang baru beroperasi minggu ini. Pun depan Klinik Zariff juga. Dulu 1901 kat situ. Kalau turun guna escalator, sohih tak akan lepas pandang gerai menjual biskut, marshmellow dan popiah simpul tu. Ada offer hari ni, biskut mentega tu berharga RM18 satu tin. Beli jangan tak beli. Sebelah gerai tu ada gerai menjual aneka pai. Aku dah pernah rasa chicken & mushroom pie dia...empat biji RM10. Bolehlah...

Hari ini Unilever buat dua promosi. Satu jualan bijirin yang konon boleh kurus tu...memanglah kalau korang makan bijirin tu je selama dua minggu heheh...sanggup ke? Tak kuasa mak! Aku sengaja turun hari ini sebab hendak promosi yang satu lagi. Promosi iced lemon tea. Beli satu kotak, dapat satu kotak percuma. Bayar RM10. Dapat bekas airnya lagi. Aku dah beli dulu tu...sekarang pun masih ada beberapa sachet yang tinggal, sengaja beli lagi buat tambah time-time malas nak bancuh air. Yang ini kocok-kocok jer dah siap heheh.

Gerai kek pun ada juga. Huih...mengancamnya cheese tart dia. Muffin pun ada. Tepung segera untuk buat kek pun ada. Tapi tak perlulah sebab Aku bukan hantu kek sangat...lagipun dah 'order' dua biji kek mentega strawberry besok. Nak bawa balik kampung. Sebelah gerai kek ada gerai kurma yang turut menjual minyak zaitun, jus delima, cuka kurma, kismis dan kacang tumbuk. Uiii...peberet! Nantilah, lepas solat nanti boleh merayau sekali lagi....cis...;)

Meriah, kan?

Aku jer la yang tak berapa rasa nak meriah sebab ada meeting la petang ni...bosan...bosan...



Wednesday, May 23, 2012

Kisah Sekaki Payung

Terima kasihlah, Payung. Terima kasih kerana ingatkan saya betapa saban masa saya terlupa memandang pada banyak perkara-perkara baik walaupun kecil. Mungkin kerana impaknya kurang, maka saya terlepas pandang. Bila selalu memandang kepada perkara yang besar-besar, di situlah sering terjadi diri lupa untuk menghargai perkara-perkara yang ada. Nikmat-nikmat yang sedang dinikmati. Mungkin kerana nikmat-nikmat itu diraih tanpa susah payah sehingga diri menjadi sambil lewa. Lupa untuk mensyukuri anugerahNya.

Sekaki payung. Kalau tiada keperluan, di situlah ia terlantar. Di belakang sana, terbiar tidak dipeduli. Entahkan masih berfungsi, emtahkan tidak. Jangan harap mahu dibelek. Mungkin kerana ia percuma. Maklumlah, beli kereta dapat satu. Ambil insuran, dapat satu lagi. Daftar untuk jadi ahli Jcard pun dapat satu lagi. Patut pun tidak meninggalkan apa-apa kesan. Kenalah dengan tuannya yang suka berlagak 'macho'. Kalau hari panas, memang tidak pernah bawa payung. Kalau hujan pun, lebih suka meredah daripada terkial-kial membuka payung. Itu kalau jarak hendak ke tempat berbumbung dalam 50 meter bolehlah kot...heheh...dan kalau tempat berbumbung itu adalah rumah. Basah pun basahlah. Jadi, dalam banyak keadaan, payung itu mempunyai ruang yang sangat sedikit untuk menabur bakti.

Pada suatu hari itu, hujan turun dengan sangat lebatnya. Kalau berdiri satu saat sekalipun , gerenti lencun. Tiba-tiba sangat berharap payung ada ditempatnya. Sangat berharap diri tidak lupa mengembalikan payung ke tempatnya sesudah mengeluarkannya ketika ke pasar malam minggu lepas. Lalu diri pun mencari dengan penuh harap. Payung oh payung...di manakah dikau? Dan bila payung ditemui...hati terus melonjak girang. Yeayyy...sudah ada payung. Terus dengan yakin keluar mahu meredah hujan. Payung pun basah menangkis rejaman air hujan yang terus laju. Sedikitpun payung tidak merungut. Payung tetap memayungi.

Memang payung tidak mampu menepis tempias kebasahan di hujung kain. Namun, mujurlah ada payung. Kalau payung tidak ada...tentu basah seluruhnya. Tentu lebih susah. Tentu jauh lebih payah. Payung telah menjadi guru pada hari itu. Guru yang mengingatkan bahawa setiap sesuatu itu ada tujuan dan peranannya. Jadi, jangan memperlekehkan kehadiran/kewujudan sesuatu. Boleh jadi ia menjengkelkan kamu. Boleh jadi juga ia merimaskan. Namun jangan pernah sesekali menafikan yang tentu di sebaliknya punya sebab dan akibat. Berlaku atau tidak sesuatu perkara dan apa-apa sahaja yang hadir sehingga meninggalkan warna dalam perjalanan yang dilalui. Bersyukurlah yang ia pernah ada, pernah terjadi, pernah dialami walaupun kecil. Walaupun remeh. Belum pasti yang besar-besar itu mampu meninggalkan kesan atau memberimu pelajaran untuk menambah rencah kehidupan.

Terima kasih, payung!

Bila Loceng Berbunyi

 Phewwww...mengah korang! Habis oksigen dibuatnya. Pagi-pagi ini terpaksa menaiki tangga bermula level -2 sehingga level 7. Sembilan tingkat tu....hish...hosh...hish...hosh...

Mula-mula tu laju jer....ewah...boleh tahan la kan walaupun dah lama tak exercise ni ...sekali masuk tingkat 4 rasa hendak merangkak je naik tangga. Ya Allah tak laratnya. Malangnya ada jejaka mengekori di belakang. Terpaksalah akak kontrol kepenatan itu dengan berlagak 'OK'. Sampai tingkat 7 rasa macam nak habiskan satu tabung air reverse osmosis itu...haus mengalahkan unta!

Yang sebenarnya, masa masuk parking lagi sudah dengar bunyi loceng kecemasan berbunyi. Rasa cuak juga, apahal ni. Tak kanlah ada latihan kebakaran pagi-pagi buta ni. Tak ada latihan kebakaran, tapi bila loceng dah berbunyi makanya lif pun pakat-pakat berhenti berfungsi. Boleh aje kalau hendak lepak di bawah, tapi sampai bila? Sekurang-kurangnya kalau naik ke pejabat, boleh jugalah semak emel ke, buat persediaan untuk aktiviti hari ini ke, dan sebagainyalah...maka itu menjadi motivasi untuk memanjat tangga. Kata kak Lotuslily (yang naik dari level -4), badan terasa ringan. Ayooooo...tercabar ni kak! Nampak sangatlah tahap 'keberatan' tu, kan? Okeh...okeh...nak kena mula baliklah usaha-usaha ke arah kehidupan yang lebih sihat...hehehe (insaf sekejap).

Lepas tu jom pi makan...heheh
Ini gambar lama. Hari ini Aku makan mihun goreng dengan ayam rendang...hahaha...balas dendam nampak!
Tapi yang menu atas ni memang selalu jadi pilihan juga. 
Teh O Limau panas ni memang minuman wajib semasa sarapan. Terbaik!!!

Syukur Alhamdulillah...jom bersemangat menghadapi cabaran hari ini.

Tuesday, May 22, 2012

Kisah Benar

Hari ini saya memutuskan untuk menggunakan pengangkutan awam. Meski perlu menukar tren di Masjid Jamek untuk ke aliran Kelana Jaya, saya tidak kisah kerana tiada tekanan. Kalau memandu, mesti rasa tertekan bila menjelang pukul 7.25 belum sampai Jalan Pantai Baharu. Cumanya bila naik lrt ini kenalah sabar dengan kerenah penumpang lain. Ada yang suka-suka rempuh orang bila destinasi dia sudah sampai tapi dia berdiri jauh dari arah pintu keluar. Sepatutnya kalau sudah agak hendak sampai, bersiap sedialah menuju ke pintu keluar. Ada juga yang tidak mahu bergerak seinci pun memberi laluan kepada orang lain padahal orang cuma hendak keluar/masuk. Apa salahnya memberi laluan, lepas tu kau nak berdiri menghadang jalan pun suka hati engkaulah.

Ketika berjalan keluar untuk bertukar platform, ingatan saya terbayang kepada 'adegan yang anda tak ingin lihat' yang berlaku minggu lepas ketika  saya berulang-alik ke KLCC Convention Centre. Masa itu saya sedang menunggu ruang untuk ikut sama menuruni tangga saat semua penumpang berbondong-bondong keluar. Dalam keadaan begitu, adalah baik untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan saya tidak terumbang-ambil ditolak. Tindakan yang logik ialah memegang handrail tangga. Tanpa apa-apa prasangka saya mencengkamnya dan menelusuri turun bergerak ke bawah. Namun, tiba-tiba deria sentuhan saya merasakan ada sesuatu yang melekit di tapak tangan dan celah jejari menyebabkan saya seperti mahu menjerit. Seketika rasa geli dan loya menyelubungi. Saya tidak akan menulis apa yang terlekat itu kerana ianya sungguh menjijikkan. Saya langsung tidak memandang. Juga tidak mahu perhatikan ianya apa. Malang sungguh tisu ada dalam beg dan saya tidak boleh menyeluk beg dalam keadaan tangan begitu. Nasib baik ada tandas di situ dan saya terus membuat larian pecut menuju ke sinki yang paling hampir.

Geli! Pengotor manalah yang tak beradab ini. Sayang, kita menggunakan kemudahan pengangkutan yang maju sebegini tetapi mempunyai pengguna yang mempunyai mentaliti rendah seperti itu.

Semenjak detik itu, jangan haraplah saya hendak pegang handrail itu lagi. Biarlah saya simpan tangan dalam poket sahaja, atau dakap beg. Harap-harapnya saya tidak salah imbang.

Sekian, kisah benar ini sebagai pedoman dan panduan menaiki lrt...heheheh...

Monday, May 21, 2012

Angin Perubahan

Bukan selalu idea-idea seperti itu melintas dalam kepala dan bukan selalu juga Aku memberi pertimbangan sebegitu. Kebiasaannya kena caras kerana selalu merasakan ianya terlalu 'mengarut' untuk dilaksanakan. Kali ini, siap disenaraikan, siap diperhalusi, siap dikaji siasat. Namun, sering bila sesuatu itu mula menerbitkan rasa 'suka', mulalah langkah-langkah seterusnya menemui jalan buntu. Ada sedikit rasa kecewa kerana perancangan yang mula mahu terbina itu harus segera dinokhtahkan. Tak apalah, kena akur bahawa perancangan seumpama itu bergantung kepada banyak faktor dan tidak boleh semberono menurut kata hati. Pun begitu, Aku tidak ingin mengklasifikasikannya sebagai sesuatu kegagalan. Sebaliknya, Aku melihatnya sebagai satu perkembangan yang baik ke arah usaha menambahbaik yang positif.

Jom lihat apa lagi yang boleh kita jayakan. Teruskan memberi peluang kepada diri sendiri.

Ayuh...gambatte kudasai!

Friday, May 18, 2012

Cerita Bergambar

Meringkaskan 'perjalanan-perjalanan' yang telah diambil beberapa ketika dulu kerana 'lalulintas' kini telah menjadi agak sibuk dengan tuntutan-tuntutan semasa yang tidak dapat dielakkan.

Eh.....'dia' tengok kita....eh...'dia' jeling manja....amboi mak senyum lagi...itulah 'BMW' impianku...heheh... 

Senyum....tak perlu kata apa-apa
Senyum....;)

Gambar-gambar 'berangan' ini akak Minah Jenin  ambil semasa  dia melepak-lepak 'mengusha' beberapa bijik kereta
yang dia cuma mampu berangan memilikinya...hahaha...kesian Snowy! Taklah, mana ada! Kasihku tetap pada Snowy. Sumpah! Hehehe. Masa ni ikut Bez pergi jemput 'Smuffet' balik. Sementara tunggu 'Smuffet' siap...sempatlah buat kerja ni 

Hemmm...memanglah macam-macam pendapat ada pasal sambutan Hari Ibu. Asalnya tak bercadang, tapi tengok  Mak hepi menerima ucapan demi ucapan...kami pun fikir, jomlah...beli untuk makan ramai-ramai. Cheese lagiiii. Sedap bah...
Sempat membawa emak pergi 'meninjau' Jalan Masjid India.  Ini dekat lrt STAR Masjid Jamek. 
Pokok menjalar yang menghiasi ruang-ruang kosong di stesen ini (dan di stesen-stesen lain juga). Errr...sekarang ada menjalar satu pot dalam bilik air di rumah kakakaka...
Masjid Jamek. Next time nak masuk solat kat sini pula. Belum pernah tempuh lagi ini...selalu  tengok dari kejauhan aje.
Sayang 'Kelang' sungainya sempit...air tengah laju ni sebab baru hujan pagi tu.

Beberapa hari sudah, menghadiri persidangan ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen KLCC. Seronok je pergi dan balik naik lrt. Tak payah pening kepala memandu. Haih...pukul 9 pagi acara belum mula, padahal Aku dah lama tercokoh seperti biasa. Bila acara mula, lebih banyak kerusi daripada orang. Pulak! Tak cukup promosi ke menate ni? Topik banyak yang menarik, tapi seperti biasa, yang lebihnya bila masuk bab nak jual equipment... 

Alang-alang lalu KLCC...sempat singgah Kino. Mula-mula ingat nak  survey saja. Alih-alih membeli juga.

Pilih punya pilih. Lai lai li tam lum. Tiga yang tangan rasa berat hendak letak balik, akhirnya terpilih untuk dibawa balik. Nampak mainannya tu? Heheh...


Sekian, cerita bergambar kali ini. Momentum untuk menulis sedang merudum walaupun ada banyak benda yang mahu diulas kebelakangan ini...

Selamat berhujung minggu...yeayyyy!!!

Monday, May 14, 2012

Selamat Pagi Bulan


Ohayou Gozaimasu! Nanika atta?

Semalam menonton saluran History ada kisah macamana tentera Jepun boleh menawan Malaya dan Singapura dengan hanya berbasikal masuk melalui Siam. Memang British tak ada persiapan untuk menghadapi pertempuran seumpama itu sehingga akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan mudah. Hemmm...alkisahnya...

Teringat kekejaman Jepun. Namun semuanya tidak langsung membayangi atau menerbitkan prasangka saat menerima jemputan menyertai ASEAN-Japan Friendship Program yang berlangsung bermula 23 Ogos  sehinggalah 19 September 2000. 

Wah...sudah lebih sedekad. Lama yang tidak terasa kerana masih berhubung dengan rakan-rakan ASEAN yang lain, termasuk sesekali terserempak mereka ketika mengikuti beberapa acara sekitar negara tetangga.

Semasa mula tiba, kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan dihantar ke Hokaido, dan kumpulan saya dibiarkan kekal 'bertapak' di Kyushu...main route...Osaka-Tokyo-Kobe. Sepanjang di Osaka, kami tinggal di Osaka International Centre di Ibaraki. Di sana, kami diajar ayat-ayat asas bertutur dalam bahasa Jepun. Kiranya, masa tu setakat hendak survive tak ada masalahlah. Lintang pukang pun tak apa sebab mereka sangat gembira tengok usaha gigih kami cuba berkomunikasi. Jarang sangat mereka hendak menggunakan bahasa Inggeris. Kalau kita guna juga bahasa Inggeris, mereka buat 'derk' je...


Ini adalah gambar semasa kami di Toyama Prefecture. Toyama ialah sebuah tempat (negeri) yang menghadap Laut Jepun. Ianya bersempadan dengan Ishikawa, Niigata, Nagano dan Gifu. Di sinilah saya ditemukan dengan keluarga angkat untuk program Homestay selama 3 hari. Tiga hari yang menyaksikan saya hanya boleh bertutur dalam bahasa Jepun kerana keluarga angkat saya langsung tidak boleh berbahasa Inggeris. Kedua-dua pihak sentiasa membawa kamus dan membuat bahasa isyarat apabila berhadapan dengan kebuntuan berkomunikasi.




Tak ada banyak masalah sebenarnya walaupun kami bercakap macam ayam dengan itik. Mak angkat saya namanya Katsumi. Manakala ayah angkat bernama Takaharu. Kedua-duanya mempunyai dua orang anak lelaki. Yang sulung bernama Yoshiyuki dan adiknya pula bernama Shuji. Walaupun berbeza agama, mereka menghormati saya dan saya mengambil masa yang panjang untuk memberitahu yang saya tidak 'botak'. Sayang, hubungan tamat sebaik saya pulang ke Malaysia. Kesukaran berkomunikasi jelas menjadi faktor utama.



Kami mengadakan persembahan kebudayaan pada malam berakhirnya program Homestay. 



Selepas berakhirnya program Homestay, kami dibawa melawat ke beberapa tempat menarik . Antaranya ke kawasan pergunungan Tateyama Kurobe. Ngeri melalui jalan-jalan sempit nan berliku-liku di celah-celah cenuram dan gaung. Tetapi bila sudah sampai memang rasa teruja dan lega sangat-sangat. Masa tu penghujung musim dah...yang tinggal cuma bekas-bekas salji sahaja. Pun begitu, sejuknya menyucuk sampai ke tulang.


Dengan kawan-kawan serumpun.




Tanah tinggi Midagahara. Kawasan ini cantik berwarna-warni kalau kena dengan musimnya.


Dengan Selvarani atau nama glamernya di kalangan kami, Rani Mukherjee....heheh...dia ni memang kelakar gila. Semasa di Tokyo, inilah member jalan-jalan sekitar Tokyo.


Dengan Ade. Semasa melawat Pusat Multimedia NTT Corporation, gergasi telekomunikasi Jepun.


Rasanya ini gambar kelas di Osaka. Ala...tak ingat pulak nama cikgu yang bertanggungjawab mengajar kami bercakap bahasa Jepun ni. Tegas orangnya. Tak bagi can langsung kami nak cakap Inggeris.




 Jauh mengembara pagi ini. Kalah naik shinkansen. Menulis tentang kenangan memang tidak membosankan. Seronok aje rasanya.

Jom balik ke alam realiti...(dan menghadapi tugasan yang wajib selesai hari ni juga...)

Gambatte kudasai!