Dalam perjumpaan bulanan petang kelmarin, ketua kami menggesa agar setiap seorang dari kami ini mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk meningkatkan mutu dan kualiti ketrampilan sebagai eksekutif syarikat. Ini termasuklah jaminan bahawa kami akan didedahkan dengan banyak kerja-kerja pembentangan dan interaksi dengan profesional, dalam dan luar.
"It is now time for you to shine" katanya.
Aku tersengih-sengih dalam hati. Tak dapat membayangkan diriku yang 'bersinar' itu. Heheh...Yang sebenarnya, terus terang Aku katakan, Aku memang tak kisah pun kalau tidak bersinar walaupun Aku tahu, Aku boleh lakukannya tanpa perlu bersusah-payah.
Dari segi pendedahan, Aku punya sejarah yang agak boleh tahan juga. Mula bersinar di peringkat menengah dan menyertai pasukan bahas sekolah. Aku juga pernah mengendalikan radio sekolah menerusi konti serba kekurangan bersebelahan bilik guru. Tapi taklah lama sebab lepas tu tutup kedai. Agaknya cikgu-cikgi boring kot asyik dengar Aku putarkan lagu Roxette "It Must Have Been Love" hari-hari. Hahaha...
Selain berbahas, Aku juga pernah bersajak dan bersyair. Kemudian bila masuk Matrik, Aku menganggotai kumpulan TEMA. Aku pernah memegang watak utama dalam pementasan teater kami dan juga pernah memalukan diri sendiri memegang watak 'fairy godmother' yang gila-gila dalam teater merapu sempena English Week, "The Stingy King". Pendek kata memang tak masuk akal dan Aku selalu membuatkan kawan-kawan 'konfius' dengan perwatakan Aku yang pendiam dan lebih suka buat hal sendiri di luar pentas.
Minat Aku diteruskan bila masuk tahun satu sehinggalah tahun 3 bilamana Aku sengaja menempah susah menyertai ko-k seni lakon. Aku sendiri pun tak faham. Bila di kelas tu, Aku boleh buat benda-benda yang Aku malu hendak buat. Aku pernah memegang watak orang tua yang kempunan hendak makan pizza...heheh...kelakar cerita tu...Hujung-hujung bila kena buat pementasan besar-besaran untuk tujuan pemarkahan, kadang-kadang segan juga sebab pukul 2-3 pagi baru balik. Tapi itu dululah. Nak kata sosial, tak juga...sebabnya walaupun Aku berlakon dan perlu bercampur-gaul dengan ramai orang , Aku masih juga tidak berkawan rapat dengan ahli-ahli kumpulan. Pelik tu. Entahlah, nak cakap pun susah. Bolehlah dikatakan aktiviti Aku semata-mata memenuhi minat sahaja dan habis kerja, Aku kembali dengan watak Aku yang ala-ala kera duku tu. :)
Jadi, apabila boss-boss sibuk hendak menilai kecemerlangan seseorang eksekutif melalui sejauh mana dia mampu menonjolkan diri itu...Aku gelak ajelah. Pasal masalahnya bukan sejauh mana hebat atau tidak seseorang itu berkata-kata atau mampu menjadikan bilik senyap sunyi dek terpesona dengan aura bual-bicaranya...hujung-hujung orang hendak tahu yang keluar itu intan atau kaca. Kalau cakap gedebuk-gedebak, tapi isinya hampeh...tak guna juga.
Oh ya, memang Aku diam. Aku jenis diam. Aku suka berdiam diri. Tapi kalau tiba-tiba Aku hendak bersuara, Aku akan buka mulut dan bercakap. Bila perlu sahaja. Memang betul, sebagaimana latarbelakang dulu ternyata Aku bukanlah penakut atau ada masalah 'stage fright' tapi entahlah, sekarang Aku lebih selesa begini. Duduk diam-diam...heheh...
Nilaikan Aku dengan cara Aku berkerja. Siap atau tidak kerja Aku pada masa yang ditetapkan. Jangan nilai mulut Aku.
2 comments:
Aku rasa untuk 'bersinar' - tak perlu sampai nampak 'terampil' dari segi buka mulut sahaja... Ada juga yang 'bersinar' bukan dengan cakap banyak dan bukan sekadar siap kerja pada waktu yang diminta sahaja, tetapi dengan pengaruh yang positif, meningkatkan produktiviti, meninggikan kecekapan dan memberi impak yang besar dari sisi nilai dan moral
organisasi...
Pemimpin yang baik bukan saja akan berketerampilan secara individu tapi juga akan menerampilkan anggota-anggota lain dalam organisasi kerana sikapnya yang tidak mementingkan diri...(tapi aku sendiri amat jauh lagi dari mencapai paras ini, huhuhu)
Betul...betul...setuju sesangat. Tapi tulah masalahnya, bila sudah ramai-ramai gini, jalan senang nak nampak dan 'visible' di radar boss adalah sebagaimana ukuran yang dikehendaki itulah. Dan jadi masalah lagi kalau, lain yang tersurat...lain pulak yang tersirat...macam komen perenggan ke 2 hang tu...kata nak promote staff, tapi takut dibayangi la pulak.
Post a Comment