Tuesday, January 31, 2012

Peringatan

Walaupun rasa tidak sihat, tetap juga digagahkan diri untuk bangun pergi kerja. Masih sanggup dan masih mampu. Berusaha sedaya upaya. Untuk apa? Untuk habuan dunia. Betul, kan?

Cuba kalau untuk habuan akhirat. Hujan lebat sikit dah batal nak pergi masjid. Ala...sembahyang kat rumah ajelah. Janji sembahyang.

Begitu sikap kita. Betul, kan?



Sebab apa?

Kalau kata Ustaz saya...satu jer sebabnya...sebab kita tak pandai sifir...tak pandai Matematik. Pulak? Yelah, kita salah kira. Yang kita kira tolak, campur , darab, bahagi habuan dunia yang tidak seberapa. Yang habuan akhirat yang berganda-ganda tu kita buat tak tahu sahaja.

Senang cakap, kita tidak nampak. Kita tidak faham. Sebab tu kita tak ada buat wawasan akhirat. Tak ada visi dan tak ada misi.

Jadi, kosong semuanya. Apa tujuan kita hidup di dunia ini? Buat apa dengan rezeki yang Allah kurniakan? Ke mana sudah kita belanjakan? Adakah semuanya habis sia-sia ataukah sekarang sedang beranak-pinak dalam saham amanah akhirat kita?

Sendiri mesti mau ingat, Telipuk!!!

Meminta-minta

Hari Selasa. Antara hari yang paling liat rasanya hendak bangun pagi. Kalau Isnin itu terpaksa, Selasalah yang paling tersiksa rasanya hahaha. Hujan lebat pulak pagi tadi menambahkan rasa tidak mahu pergi kerja. Ditokok pula dengan anak sulung yang tidak sihat. Anak bongsu pun buat pasal tidak mahu ke sekolah. Bergerak sejengkal-sejengkal. Aduhaiiii...

On top of that...diri sendiri semakin rasa tak sihat. Batuk-batuk sudah masuk minggu kedua. Tekak rasa...kalau boleh nak tarik keluar, nak ambil berus sabut dan gosok-gosok bagi hilang rasa gatal. Pagi ini rasa segala sendi lemah tak bermaya. Tapi suhu masih okay. Belum masuk kategori demam. Now, hidung rasa semakin tersumbat. Setiap kali batuk, terasa pedih mata. Berair biji mata. Merah. Harap-harap boleh survive hari ini sebab tak sampai hati rasanya hendak ambil cuti memandangkan esok pun sememangnya cuti umum. Tiba-tiba rasa cinta bebenor dengan Rabu yang sangat-sangat kutunggu heheh. Biarlah apa pun orang hendak kata tentang Malaysia dan segala cuti-cuti yang banyak tu...Aku sangat-sangat suka negara ini, ok...heheh...

Hari Isnin dan Selasa depan pun cuti umum...ohhh sangat-sangat suka. Ada yang plan ambil cuti tambahan Khamis dan Jumaat ini supaya mereka dapat cuti panjang extra. Aku cuma mampu menelan liur sahajalah sebab Aku kena bajet betul-betul cuti yang ada...untuk menampung keperluan emak. Tahun ni anak-anak sepupu ramai yang hendak naik pelamin...mak Aku ni biasalah, memang selalu menjadi orang yang dicari-cari untuk dipinjam semangat. Maklumlah, tok nenek pun dah tak ada. Mak ayah diaorang pun dah tak ada. Jadi, tinggallah seorang dua mak pak sedara buat menumpang kasih. Makanya, Aku kenalah faham dan bertimbang rasa. Bila-bila ada keperluan untuk emak balik kampung, maka, Aku kenalah bersedia untuk mengambil cuti tika perlu. Itulah sebabnya Aku kena berjimat cermat dengan cuti yang ada.

Manakala MC...Aku rasa ia bukanlah satu pilihan utama memandangkan Aku 'payah' nak ambil MC. MC bagi Aku adalah hak mutlak doktor. Untuk Aku buka mulut dan minta...aiyoooo...itu aje pun dah jadi dilema besar. Agaknya kena tunggu pengsan depan doktor kot barulah Aku dapat MC sebab kalau tidak doktor macam tak percaya je Aku sakit. Dan Aku tak reti nak cakap yang Aku ni sebenarnya sakit sebab selalunya Aku jarang sakit dan walaupun Aku sakit, tindak tanduk dan perbuatan Aku tidak menunjukkan Aku sakit...errr...paham ke?

Mak kata, itulah kekuatan seorang wanita...eceh...ceh..ceh...Cuba tengok orang lelaki, demam sikit dah terlentang tak bangun-bangun dari pagi membawa ke petang. Yang orang perempuan ni, dalam demam-demam...sarapan siap jugak, baju bergosok juga...macamanalah orang nak percaya kita ni sebenarnya sakit ke tak?

Dan untuk Aku duduk di depan doktor dan kata..."I need an MC for today, pls" adalah sangat sukar. Ianya sama seperti hendak minta pangkat. Sebenarnya situasinya sama sepertimana yang dipersetujui oleh BGA yang sedang dalam dilema untuk menyediakan justifikasi yang dia sememangnya layak untuk kenaikan pangkat. Bagiku, Aku percaya yang kalau sememangnya kita layak dan berkaliber maka ianya akan terserlah dengan sendirinya. Tak perlu masuk bakul angkat sendiri. Tak perlu wa ampu sini wa ampu sana. Itulah yang jadi masalah bila bos kata...yes, awak memang layak...err...tapi boleh tak awak isi borang 20 keping ni dan tulis banyak-banyak mengapa awak rasa awak layak dipertimbangkan untuk jawatan ini. Makanya, kenalah kita mengampu diri kita dengan terpaksanya...dan menulis..."saya telah berkhidmat dengan cemerlang sehingga berjaya menaikkan hasil syarikat sebanyak 30% tahun lepas kerana berjaya mendapatkan kontrak berbilion ringgit dengan syarikat XYZ"...euuwwww!

Begitulah, bila kita berada pada kedudukan meminta-minta dengan manusia. Manusia akan beri bila permintaan kita itu munasabah dan kena pada pertimbangannya. Dan kita kenalah pula menyesuaikan tanggapan itu dengan mencuba berbagai-bagai kombinasi agar permintaan kita benar-benar dapat ditunaikan. Bila tak dapat kita rasa...kecewa? Hemmm....

Dan pernahkah kita fikirkan pula permintaan-permintaan yang kita hadapkan kepada Tuan kita, Allah S.W.T? Bagaimana dengan permintaan-permintaan itu? Apakah kita membuat perkara yang sama untuk memastikan Dia menunaikan permintaan kita? Apakah kita pastikan yang kita betul-betul beradap dalam mengajukan permintaan kita?

Fikir-fikir dan renung-renungkan.

Monday, January 30, 2012

Orang-orang

Orang-orang
Digubah diubah sesuka hati
Diangkat dipindah sekehendak rasa
Semua diikut tanpa dibantah
Terangguk-angguk
Tergeleng-geleng
Jadi mainan angin

Orang-orang
Harapkan dapat menakutkan ciak
Tapi padi diragut juga

Berpesta cucu cicit kak ti di lantai bendang
Yang dalam genggam terlepas jua
Orang-orang sekadar mampu melihat
Tiada kudrat menghalang angkara

Orang-orang
Sekadar ada mencukupkan syarat
Jadi saksi tak boleh diangkat
Ada tidak menambah
Tiada pun tidak mengurang

Thursday, January 26, 2012

Teman Sejati

Kuliah hari Rabu kami berjalan seperti biasa. Ia telah menjadi sesuatu yang rutin sekiranya tiada gendala lain. Alhamdulillah, sesungguhnya bukan kita yang menentukan pasti dapat hadir atau tidak ke majlis ilmu sebegitu justeru, kena bersyukur yang diri masih terpilih.

Tajuk pilihan ustaz hari ini memang sesuai. Sesuai kerana ustaz juga bakal memulakan kuliah Taddabur Al-Quran mulai Surah Al-Baqarah selasa depan. Jadi, hari ini sebenarnya adalah pengenalan untuk kuliah baru tersebut. Termasuk kelas Arab, tiga hari berturut-turutlah nampaknya saya dan rakan-rakan akan luangkan sejam masa dengan ustaz. Mudah-mudahan dipermudahkan untuk kami.

Hari ini ustaz mengetengahkan tajuk, "Kepentingan dan Kelebihan Mempelajari Al-Quran". Insyaallah, bila sudah tahu tujuan dan sebabnya, barulah kita akan lebih menghargai. Sesuatu itu akan kekal tanpa memberikan apa-apa nilai tambah kalau kita gagal mengupas daripada segi yang lain bilamana ilmu atau sudut pandangan lama yang ada terus dikekalkan. Kemahuan dan semangat untuk menambahbaik diri harus dipacu!



3 hadis dikemukakan sebagai dalil (maaflah, saya tak sempat hendak cari yang lengkap, hanya sekadar terjemahan yang saya faham) :

#1 :Telah berkata Rasulullah S.A.W - "Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi sentiasa berkata : Barangsiapa yang Al-Quran dan mengingatiKu telah menjadikannya sibuk daripada berdoa/meminta kepadaku maka Aku akan memberinya yang lebih baik daripada apa yang diminta oleh orang-orang yang meminta" - HR Al-Tirmidzi

Apa maksudnya? Mana satu yang kita lebih senang buat? Meminta (berdoa) kepada Allah atau membaca Al-Quran & berzikir (mengingati Allah)? Sudah tentulah lebih mudah meminta, bukan? Kita minta macam-macam kepada Allah. Antara yang popular ialah meminta agar dipanjangkan umur, meminta agar dimurahkan rezeki, meminta agar dikurniakan kesihatan yang baik juga meminta agar anak-anak berjaya. Itulah permintaan kita saban kali. Tetapi kita terlupa yang umur yang panjang adalah tidak berguna sekiranya hidup tidak tenteram. Rezeki yang melimpah ruah pun tiada ertinya kalau tidur tidak lena, susah hati memikirkan harta. Kesihatan yang baik pun tiada ertinya kalau tidak pernah fizikal yang baik itu digunakan untuk menggandakan ibadat. Berjogging 10km setiap hari tidak pernah culas tetapi hendak sampai ke masjid yang cuma 100 meter dari rumah untuk sembahyang jemaah pun tidak pula dibuat. Anak-anak berjaya, jadi orang berpangkat terpelajar dan sebagainya namun tidak pernah mendoakan ibu bapa, buat apa? Makanya, ada benda lain yang lebih baik yang Allah tawarkan tetapi manusia tidak teruja untuk menggapainya. Itulah ganjaran ketenangan dan syurga.

Dengan cara apa? Dengan cara seperti yang Nabi S.A.W terangkan dalam hadis Baginda ini iaitu menyibukkan diri kita dengan membaca/mentaddabur/menguasai Al-Quran dan mengingati Allah (seolahnya sampai tak sempat hendak menadah tangan berdoa) lalu sebagai balasannya Allah akan kurniakan kita dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang diminta (orang-orang yang selalu berdoa) dan ditambah lagi dengan ketenangan serta yang terbaik sekali, sudah tentu, syurga Allah.

Selesai satu hujah mengapa penting sangat untuk kita mempelajari Al-Quran.

#2 : Telah berkata Rasulullah S.A.W : "Orang yang cekap/mahir dengan Al-Quran itu adalah dia bersama para malaikat yang mulia yang selalu membuat kebaikan dan orang yang sentiasa membaca Al-Quran dan dia merangkak (membaca dgn kesusahan /tak lancar bacaannya) maka baginya dua ganjaran/pahala" - HR Muslim.

Saya suka hadis yang ini kerana ia bercanggah dengan 'hadis Melayu'yang mana kalau kita ni tak pandai baca Al-Quran, orang selalu takut-takutkan dengan kata-kata, "kalau baca salah, nanti berdosa" sehingga akhirnya kita tinggalkan Al-Quran sebab takut berdosa membacanya sedangkan dosa yang kita buat dengan tidak mendampingi Al-Quran itu adalah jauh lebih besar. Susah macamanapun, merangkak mahupun tergagap sekalipun ketika terkial-kial membaca Al-Quran, kita jangan sama sekali berputus asa dan meninggalkan Al-Quran. Dan hadis Nabi S.A.W ini memberi dorongan dan motivasi agar mempelajari Al-Quran itu tetap menjadi amalan. Apa katanya? Orang yang mahir dengan Al-Quran maka darjatnya memang sangat tinggi...dia bersama para malaikat yang mulia. Itu adalah satu pengiktirafan yang tertinggi. Bagimana dengan yang tidak mahir? Jangan risau, sekalipun merangkak...tetap ada baginya, dua ganjaran. Dua , ok? Bukan kosong, bukan setengah, bukan satu...tetapi dua. Berganda. Tak akanlah selamanya hendak merangkak...tentu hari demi hari kita akan baiki kemampuan itu, kan? Jadi, apa alasan lagi untuk tidak membaca Al-Quran?

Apa yang lazim berlaku dalam masyarakat kita adalah berbeza dengan apa yang Nabi S.A.W ajarkan. Penekanan kepada kepentingan membaca Al-Quran dalam masyarakat kita ialah hanya sekadar hendak cepat khatam. Sudah khatam, sudah buat pulut kuning...tutup kitab. Tunggulah bila tahun pula baru hendak buka. Kita tidak menjadikan membaca Al-Quran suatu amalan.Sesuatu yang orang Islam mesti buat.

Apa pentingnya Al-Quran ? Penting sangat. Berdasarkan hadis seterusnya.

#3 : Telah berkata Rasulullah S.A.W - " Al-Quran itu berhujah bagi engkau atau ke atas engkau". HR Muslim.

Maksudnya, Al-Quran itu apabila kita amalkan maka dia akan menjadi pembela yang akan mempertahankan kita (berhujah) agar terhindar daripada api neraka , sebaliknya, sekiranya kita tidak beramal dengannya maka dia akan menjadi pendakwa yang dahsyat yang akan menyeret dan memastikan kita menerima hukuman setimpal.

Insyaallah, mudah-mudahan sedikit ilmu ini dapat kita kongsikan bersama agar saranan membaca Al-Quran itu menjadi sesuatu yang mesti, yang kita perlu buat bukan lagi yang terpaksa dibuat...yang membebankan. Kerana besarnya kelebihan-kelebihan yang datang bersamanya, layaklah dia mula kita layan sebagai teman, teman rapat yang akan bersama-sama dalam susah dan senang, di dunia dan di akhirat.

Selamat beramal!

Wednesday, January 25, 2012

Mati Itu Pasti

Saya baru memasuki fasa pengenalan mimpi ketika sayup-sayup terdengar bunyi telefon bimbit berbunyi. Jam pukul 11.50 malam. Suatu ketika dahulu menerima panggilan pada jam sebegitu cukup untuk menyesakkan dada. Dalam kesedaran yang baru bertatih saya menyambut panggilan itu. Panggilan Lotuslily yang memaklumkan berita sedih kematian ayah kepada seorang pengurus besar di jabatan kami. Innalillahiwainnailaihirajiun.

Menunaikan fardu kifayah dan tanggungjawab sesama saudara Islam, saya, Lotuslily dan BGA menziarahi jenazah yang dibawa terus ke Madrasah Al-Hidayah, Seksyen 11, Shah Alam untuk disempurnakan. Melalui detik yang mengimbau apa yang telah saya alami sebulan lalu, segalanya bagai berputar semula. Ingatan demi ingatan silih berganti. Saya amat memahami situasi seperti itu. Patah yang tidak akan berganti selamanya. Hanya kepadaNya kita berserah. Doa ditadahkan memohon keampunan ke atas arwah, semoga ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman.

Kematian itu pasti. Hanya waktu yang menjadi penentu. Namun yang pasti itu selalunya tidak ingin diingati. Lalu datanglah perasaan yang diri kononnya masih akan ada di sini entah sampai bila. Alangkah tertipunya kita dengan godaan dunia!

Minggu yang lalu sebelum bercuti, datang berita kematian seorang teman, seorang ibu muda yang anaknya masih kecil setelah lama bertarung derita melawan penyakit leukimia. Usianya cuma setahun lebih daripada saya.

Pagi ini juga ada berita kematian 3 orang anggota syarikat. Salah seorangnya baru berumur 27 tahun yang meninggal kerana kemalangan jalanraya. Dua orang lagi dalam usia 50-an , meninggal kerana komplikasi penyakit buah pinggang dan jantung.

Baik yang tua, mahupun yang muda. Bila-bila ajal datang menjemput, tiada sesaat pun mampu diundurkan.

Takziah dari saya.

Friday, January 20, 2012

Daerah Semalam

Sunyi-sepi daerah ini
Yang kita pernah sama-sama lewati
Menanam azam menyemai janji
Menyubur rasa memupuk cinta
Daerah ini pernah kita huni
Dengan gelak tawa
Dan cita-cita



Kini hanya rumput rumpai setia meneman
Tumbuh subur menutup laman
Menjadi taman untuk sang kumbang
Dan syurga para binatang
Yang kecil melata
Menumpang syukur di bumi sementara



Sesekali disapa kenangan
Ingin daerah ini kudiami lagi
Sayang ada secebis pahit
Tersimpan kukuh menjadi igauan
Daerah ini bagaikan sumpahan
Yang menghambat logik akal



Biarkanlah daerah ini
Sendiri membilang hari
Dan kita bila-bila pun bisa singgah
Mengutip kenangan
Pasrah berdamai
Dalam ribut semalam

Mendepani Ujian

Sebetulnya dalam setiap detik dan ketika, dalam setiap nafas yang dihela, kita sedang diduga. Sedang melalui ujian yang tidak kita sedari. Ujian itu datang dalam semua keadaan. Baik yang suka mahupun yang duka. Ujiannya tetap ada. Hanya barangkali kita terlupa untuk memperhalusi diri, mengenal situasi dan memahami makna.

Sehari dua ini saya berdepan dengan sedikit gangguan berupa batuk, selsema dan rasa lemah-lemah badan. Saya fikir, tak apalah...Allah telah memberikan saya setahun penuh yang bebas daripada sebarang masalah kesihatan, tak akanlah saya tidak boleh hadapi gangguan sementara ini. Saya patut bersyukur. Kemudian saya terfikir pula...eh...apakah hanya bila diuji begini baru saya hendak cuba memahaminya padahal ada macam-macam bentuk ujian. Sedangkan waktu tengah ceria bergelak ketawa itu juga satu ujian. Mengapa tidak? Waktu-waktu sebegitu ujiannya ialah samada kita masih mampu untuk kekal mengingati Allah dan mensyukuri nikmatNya. Dan rasanya, itu adalah ujian yang jauh lebih berat daripada penyakit. Ujian untuk terus bersyukur dalam saat-saat gembira yang melalaikan.

Seorang teman rapat sedang diuji dan ujian itu sebetulnya turut menguji saya sebagai seorang yang mengaku kawannya. Benarlah, sebagai orang yang hanya sekadar melihat, saya hanya mampu memberi kata-kata perangsang yang saya sangat khuatir hanya sekadar cakap-cakap menyedapkan hati. Kerana bukan saya yang mengalami apa yang dialami. Bak kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tetapi saya percaya yang teman saya itu seorang pejuang yang kental. Dia pasti boleh mengharunginya. Saya yang patut risau dengan nikmat yang saya ada ini yang sering melekakan saya. Saya takut kehidupan saya ini begitu-begitu sahaja tiada apa-apa yang berubah. Rugilah saya kalau masih ditakuk lama.

Bersabarlah wahai teman. Bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.

"Apabila Allah mencintai suatu kaum, nescaya Dia akan menguji mereka.
Barangsiapa yang sabar, maka baginya buah dari kesabaran itu.
Dan barangsiapa yang bersedih, maka ia hanya akan mendapatkan kesedihan itu
."

HR. Tirmidzi dan Ahmad

Wednesday, January 18, 2012

Sepetang di BSVN

Petang semalam saya memenuhi jemputan menghadiri Majlis Pelancaran Buku dan Pameran : Md. Sani Md. Dom atau lebih mesra disapa 'Pak Sani'. Sebetulnya saya tidak layak untuk mengulas tentang beliau yang merupakan penggiat seni lukis yang 'otai'. Saya sedar kapasiti saya. Saya mula-mula pun turut mempersoalkan apa relevannya saya menghadiri majlis ini. Jauh perkaitannya bidang kerja saya dengan lukisan cat air Pak Sani. Apapun terima kasihlah atas jemputan ini walaupun kehadiran saya sebetulnya menggantikan bos yang ada urusan lain. Rasa teruja kerana pertama kali berkesempatan menjejakkan kaki ke Balai Seni Visual Negara yang meskipun terletak berhampiran kediaman saya, belum pernah sebelumnya saya sampai.

Saya agak bermasalah ketika mencari tempat untuk meletak kereta kerana tidak biasa dengan selok-belok BSVN. Siap tersesat sampai ke Pusat Kokurikulum bersebelahan, heheh, nasib baik saya control 'cool'. Dan dengan senyum mesra menyapa pak guard bertanyakan arah.Saya dibenarkan parking di kawasan Istana Budaya...eh...eh...BSVN tu sebenarnya cuma di belakang saya je rupanya ketika itu. Hermmmm...tak kisahlah menapak sikit. Dari situ, saya terus ikut pintu depan. Naik escalator. Nasib baik USJ dah bagitau awal...kalau tidak mesti saya tercari-cari arah sementara menunggu semangat hendak bertanya datang semula.

Ketika sampai di aras 1, saya dimaklumkan oleh petugas di kaunter yang majlis akan diadakan di aras 2. Makanya, saya pun menuju ke lif yang berhampiran. Sebaik pintu lif terbuka, sesusuk tubuh kurus tinggi keluar. Mata bertentang mata...eh...eh...macam 'dejavu' le pulak aiii. Dia tersengih-sengih mesra...dan saya pun terhegeh-hegeh senyum balik, angkat-angkat tangan gitu...macam kenal! Bila masuk dalam lif..."alamak...siapa tu ek? sekali macam pernah ku lihat tapi di mana ya...". Bila sampai kat tempat majlis bakal berlangsung dan terpandangkan hiasan yang ada...barulah realiti ini meredap masuk...aiseyyyy...itulah pelukis yang hendak diraikan ini...Pak Sani rupanya!



Hadoiii...ade le pulak sikit meja hidangan jadi latarbelakang...nak adjust tak dapek la pasal kerusi saya memang letak di baris depan gitu...kang kalau saya bangun ambil gambar proper nampak obvious pulak perangai blogger saya tu kan....dah le pulak kita ni kena jaga perangai jangan nampak jangok sangat kannnn....heheheh...

Seronok tau dapat datang tengok pameran lukisan ni walaupun saya gile bengang coz ikut surat jemputan kena datang pukul 3.00 padahal majlis pukul 4.15 baru terkedek-kedek nak mula...tensennnn!!!

Lepas perasmian oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsuddin Osman, kami pun dipelawa masuk ke galeri pameran melihat hasil karya Pak Sani.



Pak Sani seorang pelukis 'realist', jadi lukisannya memang memaparkan apa-apa yang ditangkap pandangan mata. Tiada unsur abstrak. Tiba-tiba rasa macam...eh...saya pun boleh lukis macam ni...heheheh....boleh apa? Tapi rasanya ada banyak benda yang boleh dikupas dan dibincangkan ...itupun kalaulah saya one-to-one dengan Pak Sani bolehlah nak bertanya-tanya. Saya tidak bersedia untuk masuk ke 'situasi' sebegitu hari ini, jadi saya cuma memakai topi korporat dan berjalan masuk ala-ala sedang buat 'window shopping' saja. Mungkin di lain masa...kalau ada kesempatan lagi.



Pak Sani seorang pelukis 'self-tought'. Kebanyakan lukisannya menggambarkan latar belakang kampung, rumah, air - sungai & laut. Kehidupan. Ada pemandangan rumah rakit di Kuala Krai (saya sempat ambil sample percuma sebagai tanda kenangan), ada pemandangan perkampungan orang asli di Gombak, gambar anak-anak mencari ikan laga dan banyak lagilah.



Saya kurang arif bagaimana kehidupan seorang pelukis seperti Pak Sani berlangsung kerana saya tahu pengiktirafan dan sanjungan yang masyarakat kita berikan untuk insan-insan seni seperti ini tidak sama seperti apa yang mereka boleh perolehi seperti di negara-negara barat misalnya. Apapun saya tumpang gembira kerana mereka tidak pernah patah hati untuk berkarya tanpa mengirakan ganjaran kemahsyuran.



Ketahanan dan jati diri Pak Sani jelas terserlah.



Lalu saya berbisik dan berangan-angan dengan rakan seperjuangan yang turut hadir mewakili bosnya...jom buat pameran hasil karya warga Regulatory...Pak Sani dah mencecah umur 67 tahun...eh, ada peluang lagi la kita nak polish bakat, ye tak?...menjelang umur 50an nanti kalau sudah boleh buat pameran solo kat BSVN...itu dah kira hebatlah tu...heheh...(perasannnn!!!)

Tuesday, January 17, 2012

Kisah Lalulintas

Hari ini dalam sejarah. Buat pertama kalinya Aku menekan hon dalam kesedaran tinggi. Tidak teragak-agak. Mantap. Terbakar rasa. Dan itulah pertama kali Aku mendengar 'suara' Snowy...sedappp bunyinya heheh...

Hah...tu la, cuba buat onar lagi...kan dah kena hon...mencicit kereta Corolla itu. Tahu pun salah. Eiishhh...tapi macam tak rasa apa-apa jer dia. Geram Aku!!! Ada ka patut? Tak patut! Tak patut!

Setiap pagi, memang Aku kena siapkan kesabaran yang tinggi untuk keluar dari rumah bersaing dengan kenderaan-kenderaan lain yang bersesak menghantar anak-anak ke sekolah di depan rumah. Memandangkan ada dua sekolah rendah dan menengah sebelah-menyebelah, memanglah boleh tahan sesaknya. Alhamdulillah, walaupun cuma satu lorong yang tinggal...setakat ini perjalanan kenderaan masih bergerak meskipun perlahan. Itu 'bottleneck' pertama.

Tahap yang kedua ialah di persimpangan trafik berdepan kompleks perniagaan...di depannya Masjid Amru Al-As. Ada dua lorong setiap jalan. Jalan yang selalu Aku gunakan ialah jalan menghala keluar ke Jalan Sentul. Lorong kanan ialah untuk bergerak terus dan ke kanan (short cut ke Sentul Link). Lorong kiri untuk keluar ke Jalan Genting Kelang & Bulatan Pahang atau terus ke hadapan ke Jalan Sentul. Yang si Corolla tu dia duduk lorong kiri. Dan bila lampu berwarna hijau, Aku yang berada di sebelah kanan meneruskan perjalanan untuk terus ke Jalan Sentul...tapi Corolla ni, dia bukannya nak ke kiri atau berjalan terus, sebaliknya dia nak ke kanan menghala Sentul Link...boleh gitu? Tiba-tiba nak masuk jalan Aku. Nasib baik Aku perlahan dan bertata tertib...sempatlah membrek dan selamatlah badan sebelah kiri Snowy daripada dihentam Corolla bengong tu...apa lagi, Aku hon la dia dengan hati yang terbakar. Nasib baik kereta-kereta kat belakang tu semua pun sempat berhenti sama...kalau tidak, mahu ada yang kena sondol dari belakang ni. Sabar ajelah!

Satu lagi bahagian yang Aku kena bersabar dengan kesabaran yang tinggi ialah bila perlu berbaris panjang dan lama untuk keluar ke Jalan Sentul sesudah melepasi stesen STAR Sentul. Yang puak penyabar ni, barislah dengan betul bendulnya menunggu giliran membelok. Tapi yang geng mengambil kesempatan, suka sangat ambil lorong kanan...bila giliran lorong kiri bergerak, tergedik-gedik diaorang bagi signal nak potong masuk...kalau dok melayan selalu, mahu bertukar lampu tujuh lapan kali pun belum tentu dapat lepas keluar simpang. Benci betullah! Tak boleh ke korang ni ikut lorong betul-betul. Tahulah nak cepat...Aku pun nak cepat juga. Tolonglah hormati pengguna jalan lain yang mengikut peraturan. Macamanalah muka manis Aku tak masam mencuka pagi-pagi ni kalau terpaksa selalu beralah dengan perangai korang ni...letih tau! Lorong kanan tu untuk ke kanan, ok...korang nampak tak hala anak panah atas jalan dan lampu tu...memanglah lampu ke kiri yang akan menyala dulu. So, kalau korang dah di kanan dan lampu kanan belum menyala...tunggu jer lah. Kesian dekat kami di jalan kiri yang memang ikut peraturan dan menunggu dengan sabar, terpaksa bagi laluan sebab korang main redah je as if jalan tu bapak hang punya. Hishhh....geram nih!

Semalam nyaris Aku tak dapat parking sebab halangan-halangan trafik yang Aku hadapi tu telah menyebabkan perjalanan tertangguh. Lebih malang lagi ada masalah di Jalan Pantai Baru...kereta rosak ke apa...pukul 7.45 baru lepas. Nasib baik masih ada beberapa kekosongan...kalau tidak terpaksalah parking kat luar. Hari ini alhamdulillah, Aku berhasil sampai jam 7.35 pagi...beza 10 minit tapi besar maknanya. Masa masuk tadi masih ada 135 parking kosong. Kalau pukul 7.50 sampai, selalunya dah penuh. Tapi tengok nasib jugalah. Jadi, selalu Aku target, mesti sampai sebelum jam 7.40 pagi kecuali Khamis memang awal sikit (before 7.30) sebab kelas Arab mula jam 7.30.

Semalam masa balik, entah apa masalahnya lebih 30 minit masa yang Aku ambil untuk keluar ke Jalan Pantai Baru. Sampai rumah pukul 7.00 mlm. Huhuhu...tobat Aku tak mahu ambil jalan depan plaza Pantai lagi sebab kesesakan menggila bila kenderaan keluar daripada banyak arah...LG4, Plaza Pantai, Jalan belakang, wisma R&D UM...eeeuuu...tak laluuuu!

Friday, January 13, 2012

Terkenang-kenang

Walaupun 'P' itu telah bertukar kepada 'W'...
Walaupun angka '2', '6' dan '9' telah digugurkan dan digantikan dengan '8', '1' dan '4'...
Walaupun berbeza rupa...
Walaupun berlainan warna...

Sesungguhnya, saya masih berpegang teguh kepada tradisi pemanduan berhemah. Saya tidak merasa untuk menyalahgunakan kemudahan yang ada walaupun adalah sekali dua saya di'paksa' untuk tidak berkompromi dengan lampu isyarat yang tidak begitu berperanan ...Saya yakin saya masih seperti dulu.

Cuma...saya agak tertekan bila tiba masa membuat pilihan jalan balik ke rumah selepas waktu pejabat. Kalau dulu, apa-apa jalan pun tidak menjadi hal kerana Blackie mudah mencilok di sana-sini. Mengendalikan Blackie mudah dan tiada yang perlu dibimbangkan. Mungkin kerana Snowy masih berbau kedai dan lebih 'bagak' berbanding Blackie...perasaan risau kalau 'ter' itu dan 'ter' ini masih melekat kuat. Kadang-kadang rasa tak puas menggunakan cermin sisi Snowy...kadang-kadang ada rasa penglihatan tidak cukup meluas. Rasa ada yang belum dikuasai sepenuhnya. Buktinya hari ini bila toleh tengok Snowy, senget semacam posisinya dalam kotak parkir. Alahai...perasaan tak puas itu menggebu lagi...haishhh!!!

Pada saya, penggunaan kenderaan sama juga macam pemilihan pakaian. Kita mahukan keselesaan dan keselesaan itu akan meningkatkan keyakinan. Keyakinan untuk berhadapan dengan apa sahaja. Bayangkan kalau kita memakai baju yang ada koyak di bawah lengan...tentu kita sentiasa resah dan risau sepanjang memakainya dan tidak selesa untuk menjalankan rutin harian. Betul, tak? Apapun mungkin saya masih perlu masa yang lebih panjang untuk membiasakan diri dengan Snowy dan membina keserasian bersama. Sehingga akhirnya menjadi begitu akrab seperti dengan Blackie dulu. Mungkin kerana penglibatan Blackie dalam situasi-situasi yang tidak boleh dilupakan maka Blackie telah mengambil tempat yang istimewa dalam kenangan sepanjang jalan...heheh...

Ya, saya masih saja merindui Blackie. Kalau bila-bila ternampak kelibat Atoz hitam, maka saya akan tertoleh-toleh melihat kalau-kalau itu Blackie saya...huhuhu...

Thursday, January 12, 2012

Pembetulan

Seperti kelas-kelas yang lalu, kelas pertama tahun baru ini tetap sahaja meninggalkan kesan yang merimaskan dalam hati. Rimas sebab makin dipelajari, terasa makin banyak lagi yang tidak diketahui. Terasa cetek benar ilmu. Terasa kecil kerdil mahu menjangkau kedudukan yang terjamin. Bagaikan terlalu jauh. Terlalu hina untuk mengimpikan sebuah jannah.

Tapi kalau bukan jannah...apa lagi? Lalu teringat perbualan sesama sahabat dahulu di mana selalu Aku nyatakan, tak apalah kalau tidak mendapat istana emas, mahligai perak atau kebesaran-kebesaran lainnya, dapat duduk di hadapan pintunya pun sudah memadai...asalkan tidak terjerumus di perut an-nar...tidak sama sekali! Sebatang jari kelingking pun tidak Aku sanggup biarkan terpanggang...lalu asalkan dapat lepas bagiku sudah sebesar-besar nikmat.

Tak sangka yang ianya suatu yang salah. Salah untuk meminta hanya sekadar lepas.

Itu ku pelajari ketika kami mengupas buku bertajuk "Memesan Kursi Tertinggi Di Syurga". Apa katanya? Sabda Rasulullah S.A.W. "Bila kamu meminta kepada Allah, maka mintalah syurga Firdaus. Sebab, ia adalah pertengahan syurga dan tempat paling tinggi di syurga." (HR. Bukhari, Tirmidzi dan Ahmad).

Terbeliak mata dibuatnya. Merenung amalan yang ada, terasa seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong lagaknya. "Layakkah Aku???". Dengan pastinya hati mengatakan, mana bisa...kamu tak layak!!! Layakkah Aku meminta Firdaus dengan amalan yang tersangatlah sedikit ini?

Maha Suci Allah Yang Maha Kaya. Zat Yang Maha Tinggi. Yang Maha Pemurah.

Teringat pula satu ungkapan yang dulunya acapkali dijadikan azimat dalam memburu pencapaian duniawi...apa katanya?

"Kalau kamu mensasarkan panahmu, sasarkanlah kepada bulan kerna kalau kamu tak bisa memanahnya, setidak-tidaknya kamu akan mengenai gunung-ganang. Janganlah hanya mensasarkan kepada pokok kerna kalau sasaranmu tidak mengena, nescaya kamu hanya berhasil memanah rumput".

Nah, kalau untuk habuan dunia sanggup pula bercita-cita tinggi dan menyimpan angan jauh menerobos angkasa. Mengapa tidak disematkan semangat yang sama untuk merebut ganjaran kekal abadi yang Allah janjikan? Mana perginya semangat? Tidak cukup dorongankah? Belum masuk ke medan perang, sudah mengisytiharkan diri kalah...cisss!!!

Allahuakbar!

Dan satu yang masih terngiang-ngiang semenjak meninggalkan kelas jam 8.30 pagi tadi ialah kata-kata Ustaz iaitu "betapa payah dan susahnya membuat dosa berbanding mengerjakan hal-hal kebaikan...". Yang menghairankan, kita sudah terbalik ...kita rasa membuat kebaikan itu payah...dan sangat mudah membuat dosa. Mengumpat itu jadi senang sangat...eh...cer duduk sorang-sorang dalam rumah...ate boleh ngumpat ke? Payah tu nak mengumpat sorang-sorang. Nak mengumpat kena keluar rumah, busuk-busuk kena berhimpun tepi pagar, kalau tak ada kerusi kena bertenggek tepi tembok longkang, udah kena gigit nyamuk le pulak kalau buatnya mengumpat sampai ke senja...kan susah tu??? hehehe...

Nak buat maksiat senang ke? Susahhhh. Nak kena bagi alasan kat keluarga dan rakan-rakan kalau keluar daerah. Nak kena menipu sana-sini. Nak kena panjat balkoni hotel murah kalau-kalau pegawai agama datang ketuk pintu bilik...silap haribulan jatuh patah tulang belakang...tak pasei-pasei koma 6 bulan...!

Sedangkan nak buat baik mudah sangat. Pandang langit dan ucap subhanallah pun sudah dapat pahala. Duduk diam-diam berzikir kepada Allah pun besar pahalanya. Nak buat mudah sangat. Tak payah nak cari tempat, tak payah nak siap bagai...dalam kesesakan lalulintas pun boleh berzikir.

Tapi itu telah menjadi payah pada pemikiran kita. Seperti kata Rosebud, kita ini benar-benar tertipu dengan tipu daya syaitan. Sesungguhnya! Kena tipu memanjang.

Astaghfirullah'alazim.

Mudah-mudahan dipermudahkanNya urusan kita dalam menambahbaik amalan yang bermanfaat, lebih baik daripada hari-hari semalam. Insyaallah.

Tuesday, January 10, 2012

Selongkar

Masuk tahun baru ini, ada satu benda yang mesti kena buat. Kalau tak buat ibarat makan tersekat di kerongkong. Apa tu? Apa lagi kalau tidak aktiviti 5S sendirian berhad di cubicle sendiri. Rasanya sudah sampai tahap kronik ini. Balik daripada cuti panjang, tengok rupa cubicle sendiri pun rasa tak lalu. Tak lalu satu hal, lepas tu sindrom lupa makin menjadi-jadi. Nampak benor makin tua. Letak dokumen kat laci bawah, pergi cari kat cabinet tepi. Yang letak dalam fail plastik, pergi selongkar fail tebal. Membuang masa betul!

Jadi, kena cari jalan penyelesaian juga ini sebelum kerja-kerja hakiki dan tugasan-tugasan ad-hoc kembali menerpa. Nasib baik mailbox sudah di'overhaul' semalam. Kalau tidak asyik keluar mesej "Your Mailbox Is Full" memanjang.

Yang tak best buat kerja-kerja mengemas ini ialah bila lain yang nak dibuat, lain pula kesudahannya. Time-time inilah jumpa balik segala yang 'hilang'. Bila sudah jumpa benda-benda tu , terlalai la pulak...konon nak buang, sudahnya disimpan. Macamana hendak reduce ni, silap haribulan makin bertambah bebanan. Tulah orang dah kata, yang tak perlu, yang menyesakkan...lempor jauh-jauh. Jangan dikenang barang yang lepas! Ini tidak, selak punya selak...eh...eh...ini projek paper Aku yang dulu tu...sayang buang ni, boleh refer balik! Hahaha...entah bilanya nak guna.

Satu lagi penyakit ialah penyakit simpan kertas, simpan buku nota, simpan kertas kosong...konon-konon nak recycle. Nak buat catatan. Nak tulis apa-apa yang patut. Sayang nak buang. Tahun demi tahun tak luak-luak juga...huhuhu...nak kena pejam mata dan cuba apa saja ala-ala lagu Najwa Latiff la jugak nampak gayanya. Hehehe.

Hemmm...toleh pi toleh mai, kerja-kerja penyelongkaran sudah 70% berhasil...malangnya yang sudah dikemaskan 10% pun belum tercapai. Mahu makan masa menyudahkan apa yang sudah dimulakan ini...tak ada pilihan lagi, sebab kalau dibiarkan sakit mata memandang!

Masa-masa inilah berangan nak ada poket Doraemon satu...haish...!!!

Sesudah 9 Januari

Kita ni, kadang-kadang terlupa...mungkin sebab terlalu dibiasakan dengan keadaan. Hanya bila kita fikir-fikirkan, congak-congakkan...barulah kita tersedar yang betapa beruntungnya kita. Jadilah hambaNya yang sedar diri dan tahu bersyukur. Apa sahaja yang berlaku, semuanya adalah dengan izinNya. Dengan kebenaranNya. Jadi, semuanya harus berbalik kepadaNya. Syukurilah nikmat adanya kediaman walaupun kecil, walaupun murah, walauapa pun ia. Sekurang-kurangnya kita punya tempat untuk berteduh. Bersyukurlah kepadaNya. Jangan tunggu dapat duduk rumah banglo baru hendak menyatakan syukur.

Begitu juga dengan nikmat kenderaan. Bersyukurlah walau yang kita ada cuma motorsikal. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada yang cuma ada sepasang kaki untuk membawa kita ke mana-mana. Pendeknya, dalam hidup ini kita tidak punya alasan untuk menangguhkan rasa syukur. Tidak ada satu sebab pun untuk tidak bersyukur. Untuk tidak menghargai apa yang kita miliki.

Baru-baru ini Aku menemankan emak membuat pemeriksaan kesihatan berkala di klinik kesihatan kerajaan berhampiran rumah. Itulah pertama kali Aku ke situ. Sebelum ini samada Abang atau arwah ayah yang menguruskan hal berkaitan. Makanya, Aku agak 'jakun' walaupun tahu dan sedar kehadiran klinik itu di kompleks perniagaan yang sudah berusia sekitar 3 tahun itu.

Mula-mula masuk....waaaaa...besar dan luas! Kagum jugaklah melihat deretan kerusi yang banyak dan kosong. Hembusan nyaman dari pendingin hawa terasa mengusap kulit muka. Eceh...ceh...ceh...kalau cam ni tunggu sejam pun tak kisah! Macam selesa je. Dan emak yang memegang status warga emas dikecualikan daripada bayaran...tak mahal mana pun, RM1 je. Iya? Iyeeee. Singgit! Masa Aku uruskan ayah di HKL tu pun 5 hinggit jer...tak sepadan dengan bekalan ubat-ubatan yang melimpah ruah. Walaupun penantian itu agak menyeksakan dan layanan pun lebih kurang halal jangan ambil taruh dalam hati sudah...Aku berpendapat, kemudahan kesihatan dan perubatan yang disediakan untuk masyarakat adalah berada pada tahap yang membanggakan. Masa tunggu emak ambil ubat, Aku tengok seorang-seorang ambil ubat berkotak-kotak...heheh...yang sorang tu memang la, Aku ingat kena bawak troli la lain kali...ubat dia banyak - untuk diabetes, untuk darah tinggi, untuk buah pinggang...haiyoooo...Bayangkan kalau semua itu harus dibayar sepenuhnya? Dan Aku difahamkan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh klinik kerajaan adalah lebih baik berbanding yang sediakan swasta. Pengalaman yang dilalui bersama arwah ayah dulupun sama...alhamdulillah, ayah diberi bekalan ubat yang mencukupi dan panduan-panduan yang berguna untuk membantu memudahkan pengurusan penyakitnya.

Ada orang dengan sinisnya menempelak...dah tu kerja kerajaan, memang tanggungjawab dia! Lagipun kita bayar cukai! Memanglah betul. Aku ni bukan apa, kadang-kadang Aku tengok manusia ni, semua yang orang buat tak kena belaka...semuanya salah belaka. Semuanya bohong belaka. Yang dia saja betul. Pada Akulah, yang mana elok dan baik, yang faedahnya dapat kita nikmati...apa salahnya dihargai.

Aku bersyukur di atas semua yang Allah limpahkan ini baik menerusi 'tangan' siapapun kerana mereka hanyalah perantara yang akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari atas apa yang mereka lakukan.

Amat sayang sekali kita bergolok-bergadai untuk memenangkan nafsu. Seumpama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah. Yang kalah menjadi arang, yang menang menjadi abu. Sayang sekali kerana kita sama-sama menyembah Allah yang satu. Sama-sama mengakui Muhammad sebagai Pesuruh Allah. Dan kita memilih untuk melihat kepada perbezaan yang kecil padahal kita punya persamaan yang banyak untuk menjadi umat yang bersatu.

Semuanya kerana penyakit 'wahan'...cintakan dunia. Kita terlalu cintakan dunia sampai tak sanggup melepaskannya. Sanggup berbuat apa sahaja untuk mengecapi kebahagiaan yang sementara. Cinta dunia dan takut mati. Selagi 'wahan' ini menyelimuti, alpalah kita dalam dakapan ketenangan yang palsu, sehingga saatnya kita terjaga, segalanya sudah menjadi bubur.

Berdoalah agar kita tetap berpegang teguh di jalanNya dan semoga apa sahaja yang membayangi dan mengganggu perjalanan kita ini mampu ditangani dengan sebaiknya, insyaallah.

Sunday, January 08, 2012

Sedekad Lebih

Kerukunan dan kebahagiaan bukanlah diukur oleh lamanya masa, tetapi kesanggupan untuk terus berusaha menjayakan komitmen bersama. Masa hanyalah angka, bagaimana masa-masa yang dilalui itu dipergunakan itulah yang menjadi penentu.



Apapun, siapalah kita untuk mendabik dada. Hanya sekadar meraikan tanda syukur akan limpah kurnia dan izinNya yang membolehkan kita terus bersama melalui suka-duka kehidupan. Semalam yang telah kita lewati, hari ini yang sedang kita nikmati dan esok yang belum pasti.



Berdoalah semoga kita bisa mengharunginya sampai saat kita pulang dipanggilNya.