Monday, September 23, 2013

Nostalgia Bas Merah

September ini menyaksikan perkhidmatan bas henti-henti yang selama ini banyak berjasa kepada kampung kami ditamatkan. Bila teringat bas ini, apalagi...mulalah nak bernostalgia. Banyak kenangan dengan bas merah ini.


Bas berwarna merah milik Syarikat Red Omnibus ini telah ada semenjak Aku kecil lagi. Itulah basnya yang kami naik bila-bila perlu ke pekan Parit Buntar. Syarikat ini juga menyediakan perkhidmatan untuk laluan ke Parit Buntar - Taiping (No.8) dan Parit Buntar - Kuala Kurau (No.6 agaknya....tak pernah naik ke sana). Laluan Parit Buntar ke Tanjung Pandang ada 2. Iaitu No. 5 (melalui Sungai Bakau) dan No.4 (melalui Kedai Empat). Jadi, kalau nak ke Tanjung Piandang, dua-dua boleh naik. Begitu juga kalau dari Parit Buntar, nak balik ke Bagan Tiang, mana-mana satu bas yang sampai dulu boleh naik. Kalau No.5 dan No.4 parking sebelah menyebelah, tengok mana jalan dulu...atau kalau dua-dua jalan serentak, tengok mana yang tak ramai penumpang...hahaha.

Masa kecil-kecil dulu, kerap naik bas ini pada hari Jumaat sebab mengikut Mak dan Ayah keluar ke pasar malam Parit Buntar. Tempat paling happening masa tu. Kira, kalau tak sampai situ...belum cukup haul orang kata...Selalu masa pergi, tak ada masalah. Masalah besar ialah ketika nak balik. Orang sangat ramai dan terpaksa berebut-rebut nak naik bas. Pernahlah merasa Ayah tolak masuk ikut tingkap untuk 'cop' tempat...dan banyak kali merasa kes hilang sebelah selipar.

Bila dapat naik bas, tempat paling best dah tentu yang tepi tingkap. Menderu-deru angin masuk menampar muka. Namun, kalau hari hujan...itulah tempat yang semua orang nak elak, apatah lagi kalau tingkapnya tak boleh ditutup. Tempat duduk pula...ada yang sudah tertanggal tinggal rangka. Kalau nasib baik, kusyennya boleh di'adjust' lagi...bolehlah buat tahan sementara nak sampai ke destinasi. Kalau tidak berdirilah sepanjang perjalanan tu. Masa tu tak pernahlah nampak siapa-siapa nak bangun menawarkan tempat. Sekarang je yang ada kempen berbudi bahasa ni. Err...mungkin juga Aku tak pernah nampak sebab masa-masa Aku menjadi pengguna aktif bas merah ni, Aku masih muda trang tang tang lagi...heheheh....

Dulu, tambang bas merah cuma 35 sen untuk perjalanan Parit Buntar - Bagan Tiang. Semasa Aku tinggal dengan emak saudara di Parit Buntar, tiap-tiap hujung minggu Aku akan balik ke rumah seorang diri. Aku darjah 5- 6 masa tu. Biasanya, dari Taman Krian tu...Aku jalan keluar tunggu di jalan besar. Kalau nampak bas No.4, Aku balik ikut laluan Kedai Empat. Kalau bas no.8 (Taiping) yang nak masuk ke Parit Buntar lalu dulu, Aku akan naik bas ini dulu terus ke hentian bas. Kat sana baru tukar naik bas no. 5 atau no. 4. Aku memang dah biasa 'lone ranger' masa tu...ke mana-mana sendiri...hek elek...tak jauh pun. Tapi kiranya, masa tu lah Aku mula belajar berdikari.

Bila masuk sekolah menengah, Aku bertukar balik bersekolah di Tanjung Piandang. Sekolah Aku tu berjarak lebih 3 batu dari rumah...oleh kerana Aku jenis tak suka menunggu, Aku lebih selesa mengayuh basikal ke sekolah. Zaman tu kira langsinglah...sebab ada kaedah keluar peluh hahaha...cuma yang tak best ialah bila hari hujan. Nak pegang payung sebelah tangan ...boleh jer...tapi kalau angin kuat dan ada kenderaan besar lalu berpapasan, mahu terhoyong-hayang dibuatnya. Arwah kawan Aku, Sarina, terbunuh bila dilanggar kenderaan semasa kami balik sekolah dalam hujan. Arwah sudah berkayuh jauh di hadapan sewaktu kejadian berlaku. Al-fatihah untuk arwah.

Seronok mengayuh basikal sebab boleh ikut pace sendiri. Agak nak sampai cepat, keluar lebih awal dan kayuh laju-laju. Masa zaman suka mengusik dulu, ada ketika tu, Aku sengaja keluar pada sekian jam...sebab pada jam itu, akan ada seorang mamat ni lalu mengayuh basikalnya untuk ke sekolah. Tepat betul masanya hahaha...Bila dia lalu jer, Aku pun akan mengayuh di belakang dia...tak lama lepas tu Aku akan potong dengan lajunya hahahaha. Lama-kelamaan, dah jadi satu permainan pula...sebenarnya dia bekas rakan sekelas...Aku minat dia...hihihi...suka 'monyet' sahaja sebab dia pendiam dan pandai melukis. Aku suka usik orang yang pendiam. Tapi kalau Aku kena usik balik...tobat lahum bak kata Ustaz Kazim, tak berani buat dah!

Semasa tingkatan 4-5, Aku mula banyak naik bas sebab masa tu konon nak control 'ayu' lah kan...hahahaha...Lagipun ada kawan sama-sama naik bas, geng bas merah namanya. Seronoklah, sebab time balik dan tunggu bas, kalau lambat sangat kitaorang sempat melepak kat gerai depan sekolah pekena laksa, mee goreng , sirap...amboiii...balik rumah makan lagi...mau tak naik badan, exercise nyer tidak. Namun ada satu peristiwa yang lepas tu buat Aku tak suka naik bas merah lagi. Pertama, Aku kalau boleh tak nak naik bas no.4 sebab drebar tu gatal! Kemudian, masalah lagi sebab Aku tak suka salah seorang konduktor bas no.5, atau kadang-kadang dia bertugas untuk bas. no.4 juga. Tak ingat nama dia, tapi masa tu kira dia ni orang mudalah...sukalah menegur sana-menegur sini. Konon-konon, dalam bas tu, dialah jejaka idaman Malaya...Suatu hari Aku terlambat...walaupun sempat tahan bas, masa tu kebetulan bas memang berhenti untuk ambil penumpang yang dah sedia menunggu di tepi jalan tu...Aku terpaksa naik dalam keadaan mencungap jugalah. Maklumlah, baru lepas buat larian pecut...mana nak galas beg...mana nak pegang buku-buku rujukan di tangan. Mengambil masa jugalah nak naik tangga bas. Brader ni pula adalah konduktor yang bertugas masa tu...dengan selambanya dia kata, " Ish...dah boleh jadi mak budak dah, tak payahlah pergi sekolah, buang masa saja". Lawaklah konon tu sebab satu bas ketawakan Aku. Aku bagi dia satu jelingan 'maut' yang paling kejam pernah Aku layangkan hahaha...memang marah sangat! Tapi sebab Aku memang jenis tak pandai nak balas on the spot...Aku diam ajelah walau berjela-jela Aku menjawab dalam hati.

Lepas tu hati Aku semakin tawar hati nak naik bas merah. Aku kembali menjadi penunggang basikal tegar. Aku tak peduli dah pasal nak control 'ayu'. Janji boleh pergi dan balik on time atau ikut masa yang Aku suka...hati pun senang.

Masa berlalu. Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Aku kembali menggunakan bas merah yang masih setia berkhidmat sepanjang tempoh Aku belajar di Sintok. Bas itu akan menyambung perjalanan balik Aku ke rumah sesudah sampai di Hentian Raya PB dari Butterworth. Sebelum itu, Aku akan ambil bas HBR yang masuk ke dalam kampus UUM untuk ke Hentian Bas Jln Teluk Wanjah di mana Aku akan naik bas Transnasional ke Butterworth.

Dan kerap kali juga brader yang Aku menyampah tu jadi konduktor bertugas. Bila selalu terserempak dengan beg yang besar, dia tanya Aku dari mana. Aku jawab je la ala kadar. Aku tak pastilah dia dah insaf atau apa, sebab lepas tu gelagat dia yang riuh tu dah tak ada. Sehingga kadang-kadang Aku terasa dia begitu berhati-hati sewaktu mengambil wang dan menyerahkan tiket kepada Aku. Sehingga Aku tamat pengajian, dia masih lagi menjadi konduktor bas merah.

Bila sudah kerja di Kuala Lumpur, Aku semakin jarang balik kerana kekangan masa. Bukan Aku seorang sahaja, rasanya kawan-kawan batch Aku pun macam tu juga. Parit Buntar semakin membangun. Anak-anak kampung semakin berjaya. Ramai yang sudah beli kereta. Semakin kurang pergantungan terhadap perkhidmatan bas merah. Kekerapan perjalanan bas juga semakin berkurang. Di akhir-akhir khidmatnya, nak tunggu sejam satu pun payah. Lagilah orang kampung tak berharap lagi pada perkhidmatan bas ini...sudahnya itulah perkhabaran yang sampai kepadaku...bahawasanya khidmat bas merah yang banyak berjasa itu telah ditamatkan. Penamatan perkhidmatan dilakukan September ini.

Pahit manis menaiki bas merah ini pastilah kekal menjadi kenangan. Boleh tersenyum seorang mengenangnya.

Terima kasih, bas merah!

Friday, September 20, 2013

Nilai Finally

Rezeki kalau sudah sampai masanya nak datang...memang bergolek-golek datang. Hujan tak, ribut pun tak...tahu-tahu sudah sampai Nilai. Itu namanya rezeki dapat berjalan ke sana, bukan senang tu. ;) Ikutkan saya pun memang bukan 'kaki' tempat-tempat macam ini. Tapi bukanlah maknanya kalau tak 'kaki' ...boleh tak ada perasaan bila sampai Nilai 3. Huhhh...keluar segala bakat terpendam tu. Nasib baik tak berapa nak menjadi, mungkin sebab belum bergaji kot...jadi tak berapa rancak sangatlah, kan....heheh...


Selepas berjaya projek 'outing' ke Kuala Selangor itu, saya ingat projek seterusnya mesti lambat lagi nak berjalan. Rupa-rupanya selang sehari jer menjadinya. Yang best tu, tak de 'hint' langsung. Sedar-sedar kereta sudah melepasi tol Sungai Besi....

Mula-mula sampai tu memang tak tahu hendak tuju ke mana satu kedai. Maklumlah, berderet-deret...berlapis-lapis, banyak bebenor...konpius!!! Mencari jalan selamat, kami tuju kedai yang jual kain pasang dulu. Nah ngkau! Baru masuk satu kedai sudah angkut berhelai-helai...aiyoo...ni kalau pi sepuluh kedai kaluuuu...Rambang mata. Kain yang kalau biasanya dalam harga RM65, kat sana boleh dapat RM45.

Macam-macam ada....kain baju...tudung...jubah...karpet...hiasan dalaman...dinosaur...eh...jumpa replika ni semasa singgah mencari toilet. Kesian budak-budak ni...diaorang siap merungut..."kain...kain...kain...." Nasib baik depa tak tau ada kedai mainan jugak...har...har...har...Sabor jer lah.


Dekat astaka sana ada jual pinggan mangkuk melamine. Pakai timbang. RM8 sekilo. Banyak giler. Saya pun tumpang menyemak kat sana ...saja nak tengok. Belinya tidak. Nak beli buat apa, berlambak dah pinggan mangkuk kat rumah nu, benda tak perlu tak payahlah nak beli. (Tapi nak tengok jugak...!)


Tudung beraneka warna pun ada. Cuma masalah saya ialah bila sudah banyak-banyak begini...saya jadi tak reti nak pilih. Lagipun banyak kali terkena yang awning tudung tak terletak dengan cantik...agaknya nak kena beli yang customized punya kottt...hishhh...Jalan penyelesaian mudah ialah mengambil beberapa helai selendang berwarna polos...paling afdal kaler hitam...senang nak 'match'. Habis cerita!


Selipar!
 Tikar untuk anak-anak kecil. Tak mandang ler pasai tak muat kereta nak menjulur cenggitu. Murah ke tidak tak pasti sebab tak tahu berapa harga pasaran, tak pernah beli dan tak terfikir nak beli.


Soooo...geng...saya sudah boleh mengatakan yang saya sudah pun sampai ke Nilai 3 hahaha...walhal orang kampung saya sudah lama berulang-alik ke sana tak terkira jumlah tripnya....sabor jer laaaa. In sha Allah saya nak mai lagi sebab saya terfikir nak cek harga kain langsir kat sana...nampak macam boleh jahit sekali di situ. Saya cuma hendak untuk sliding door sahaja...kalau berbaloi beli, nak beli kat sini. Lepas tu, saya nak juga beli karpet. Dulu saya jumpa satu yang berkenan kat Giant, Batu Caves...kat kedai-kedai luar. Memang bidang paling besar dan menepati citarasa. Harganya RM800...saya rasa macam murah dah. Tapi belum lagi timbul rasa sangat-sangat nak beli...jadi saya lepaskan begitu sahaja.

Ada rezeki, in sha Allah, sampai lah nanti. 

Thursday, September 19, 2013

Berlapang Dada

Hari ini saya hendak berkongsi nota tentang Surah Alam Nasyrah. Ini adalah surah yang ke 94 dalam Al-Quran dan termasuk dalam kategori Makkiyah. Surah ini memang biasa saya bawa dalam solat dan saya membacanya bila-bila hati terasa ketat dan sempit. Memang itupun kelebihan surah ini, ia sangat membantu dalam melapangkan dada. Kebetulan pula sepanjang minggu ini, sebenarnya rentetan dari minggu sudah lagi, Ustaz tidak jemu-jemu mengupas tafsiran surah ini dan saya mendapat sesuatu yang baru darinya.


Terjemahan Surah Alam-Nasyrah (atau Al-Insyirah):

  1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?
  2. Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam).
  3. Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
  4. Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
  5. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
  6. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
  7. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
  8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).
Yang paling melekat dalam kepala saya ialah terjemahan " ma'a" dalam ayat 5 dan 6 yang bermaksud 'bersama/beserta'. Sangat besar impaknya...langsung bercanggah dengan pegangan sebelum ini. Err...maksud saya, selalu ramai yang percaya sesudah kesukaran akan ada kesenangan. Seperti...akan ada sinar/cahaya di hujung terowong...dah masuk dalam terowong yang gelap gelita, jangan susah hati...bersabar dan teruskan mencari kerana pasti di penghujungnya bakal berjumpa juga cahaya yakni jalan keluar. Dengan kata lain, kesukaran itu pasti berganti dengan kesenangan di kemudiannya. Begitu yang selalu saya pegang. Hari ini susah, esok tentu senang. Namun, bukan itu yang dikatakan dalam surah ini. Surah ini kata, "tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan"...bukan tiap-tiap kesukaran disusuli kemudahan. 

Apa maknanya? 

Maknanya, kalau kita sedang melalui suatu situasi yang sukar...percayalah dalam kesukaran itu ada kesenangan. Kesannya? Ia akan memudahkan kita untuk berfikiran positif dan menjadi redha dalam apa jua keadaan. Berbanding kalau kesenangan itu datang kemudian, bilamana menghadapi kesusahan...kita akan berhempas pulas memaksa diri untuk bersabar. Boleh bersikap positif tetapi mungkin tak berapa nak ikhlas...itu yang keluar frasa, walaupun sembuh parutnya tetap ada atau biarlah masa mengubati kedukaan.  Berbeza bukan? Kalau kita berpegang dengan kata-kata Allah ini dan percaya adanya kemudahan di dalam tiap kesusahan yang kita lalui, in sha Allah, kita akan terasa lebih mudah dan ringan menghadapinya.

Contoh?

Asal mula perbincangan ini ialah bila keluar kisah kemalangan yang mana seorang kanak-kanak berusia 4 tahun secara tidak sengaja menyebabkan kematian adiknya yang berusia 2 tahun gara-gara bermain dalam kereta ayahnya ( menghidupkan enjin kereta lalu masuk gear reverse). Bayangkan kesukaran yang dihadapi. Ayah ketat dada memikirkan kecuaiannya. Ingat senang nak lupakan? Belum campur lagi komen-komen dan pendapat masyarakat sekitar yang selalu bermurah hati memberikan pandangan. Susah dan terbeban menghadapi kematian insan tersayang yang tidak disangka-sangka. Lalu di manakah kesenangan yang katanya disertakan bersekali dengan kesukaran tersebut? 

Pandanglah dengan mata hati dan pegangan iman. Ke manakah anak kecil yang belum lama menikmati dunia ini akan pergi? Ke mana? Tidak lain dan tidak bukan, dia akan pergi ke syurga. Dia akan berada di sana tanpa hisab. Bukankah itu suatu bentuk kesenangan? Senang kerana Allah tidak perlu menyoal ibu dan ayahnya tentang apa yang telah diperbuat untuk anak itu. Senang kerana anak itu tidak ada kesempatan untuk berbuat dosa. Senang kerana ibu dan ayah kini sudah punya talian hayat di sana. Dan kesenangan itu bukan datang kemudian sesudah saat-saat sukar tersebut, sebaliknya kesenangan itu sudah ada datang sekali berpakej dengan kesusahan tersebut. Itulah maksudnya.

Banyak lagi contoh lain yang kita sendiri ada pengalaman tapi dek anggapan salah sebelum ini, tak nampak. Sakit, misalnya. Susah kan bila sakit? Jadi, apa yang senangnya? Nak solat jadi mudah. Kalau sakit tak boleh bangun, Allah beri kelonggaran supaya boleh bersolat dengan cara duduk. Tak boleh duduk juga, boleh solat dengan cara berbaring. Bila sakit, kita mudah ingat pada Allah. Lidah senang hendak berzikir. Hati senang mengingati Allah. Rasa dekat, rasa insaf.

Selalu 'lihat' ujian yang dihadapi dengan bantuan surah ini, akan lebih mudah untuk bersabar dan ujian menambahkan pahala.In sha Allah.

Sunday, September 15, 2013

JJCP@ Bukit Melawati, Kuala Selangor

Hari Sabtu lalu,kami sekeluarga membuat aktiviti 'jalan-jalan cari pasal' ke Kuala Selangor. Ini merupakan kunjungan pertama Aku dan anak-anak. Bapaknya kata dah pernah ke sana masa lawatan sekolah rendah....chehhhhh...itu sudah berabad nunnn! Bawa Mak jalan-jalan sekali. Idea hendak ke sana pun sebenarnya daripada buah fikiran Mak juga. Tapi cadangan Mak ialah nak ke Sepang...entah dokumentari mana yang dia tengok kat tv...terus keluar nama Sepang. Lepas tu dia tukar fikiran nak ke Nilai pula. Hahahaa....okaylah, Mak nak keluar ronda-ronda makan angin kannn....asyik dok ulang Tesco-Giant-AEON Big....apa barangggg!!! Heheh...biasalah, orang ni nama ja duduk KL...hujung2 minggu tetap suka memerap dalam rumah.

Aku fikir, kalau nak ke Sepang...macam tak  ready pulak...Sepang aktiviti di sana lain. Mungkin ke pantai, mungkin makan seafood. Tengok matahari terbenam ke apa. Kena proper plan ni...Nak ke Nilai, bolehlah kalau ada benda nak cari...setakat nak cari kain baju, Jakel dengan  Nagoya jer dah cukup bagi Aku. Tapi...yolah...yolah...Nilai dokek yooo...nantilah mana-mana satu weekend yang sesuai, boleh pecut kejap singgah situ kasi puas hati.

Jadi, Aku pun mencari-cari tempat yang semua orang boleh appreciate...tak jauh sangat dan boleh buat beberapa aktiviti. Ada bahagian sejarah, ada keindahan alam...dan ada makan-makan. Tiba-tiba teringat Kuala Selangor. Bila google, eh...macam best pulak. Pagi dah pukul 10 lebih, baru kami bertolak keluar. Aku tahu boleh ikut lebuhraya LATAR, lalu belakang Bandar Tasik Puteri....tapi saja ambil NKVE dan lalu jalan dalam tembus keluar dekat rumah Khairi. Alang-alang lalu Kampung Sementa, singgah tengok diaorang ada kat rumah tak? Langkah kanan...depa ada lalu terus jam jam tu jugak, ajak depa join sekali. Heheh...gayung bersambut....apa lagi...rancangan redah jer ni terus menjadi.


Dari tempat parking, kami dah boleh nampak monyet ni. Bulunya berwarna hitam dan ekornya panjang. Rambut ala 'punk' cacak-cacak gitu...Walaupun ramai, dema tak kacau orang. Lepak-lepak tunggu kalau-kalau ada pengunjung yang nak hulurkan makanan.


Ikutkan maklumat yang Aku cari di internet, kalau korang datang hari kerja (selain cuti hujung minggu atau cuti umum), boleh memandu kereta naik ke atas Bukit Melawati. Hari-hari lain, kereta tinggal di bawah dan boleh ke atas dengan menaiki tren dua gerabak ini.


Bayaran yang dikenakan ialah RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.  Anak-anak Aku memang suka sangatlah hari tu. Suka tengok monyet dengan dekat dan bila naik tren tu, tak sudah-sudah diaorang mengingatkan kes tersilap naik ride kat Genting dulu...hahaha...tapi tren yang ini tak adalah serupa itu.


Bila sampai di atas, kami semua turun dengan di sambut oleh monyet-monyet yang  berkerumun meminta makanan. Pengunjung boleh habiskan masa di atas sementara menunggu tren datang lagi 30 minit kemudian untuk turun semula. Kalau rajin, boleh jer menapak ...bukan jauh sangat pun...tapi since rombongan kami ada warga emas, warga intan, warga perak bagaiiii...kita santai-santai sudahlahhh.


Tengoklah monyet tu, tak segan silu tarik kaki seluar Encik Suami nak minta makanan. Ada yang sengaja biar panjat sampai ke bahu...Nasiblah monyet ni jenis jinak dan biasa dengan manusia. Aku tepuk-tepuk kepala dia pun...dia buat derk jerrr. Ada dua jenis...yang kaler perang spesis kera biasa pun ada, tapi yang tu tak jinak macam yang kaler hitam ni.
 Dekat atas tu, ada beberapa orang penjaja menjual makanan untuk diberi kepada monyet. Secekak kacang panjang yang dikerat sepanjang 10cm dijual dengan harga RM1 seikat. Aku beli dua ikat. Sebab tak biasa, bila dikerumun dek monyet, terus dia sambar yang seikat...Aku tak sempat nak halang. Lepas tu penjaja tu nasihatkan, kacang tu sorok dalam poket. Keluarkan satu persatu masa nak bagi dia makan. Barulah dia tak gelojoh sangat nak 'merompak' makanan tu. Ooooo...macam tu yer...lain kali, baik Aku pi pasar jer beli kacang panjang siap-siap....murah pun murah. Boleh bagi makan sampai kenyang. Mak Aku kata...awatlah bagi kacang panjang...tak kembung perut ka monyet tu...kesian depa....bagilah yang sedap sikit...kacang cap tangan Ngan Yin kaaaa...hehehe...


Di atas tu juga ada rumah api yang katanya masih berfungsi. Tapi, tak pula boleh masuk ke sana.


Boleh nampak pemandangan kuala Sungai Selangor dan Selat Melaka. Kalau naik atas rumah api, gamaknya lagi boleh nampak pemandangan negeri ini kot. Awesome!!!


Oh ya...monyet ni, anak kecil dia berbulu warna keemasan semasa kecil...dah besar baru tukar kaler hitam. Comellll...
 Kami singgah mengunjungi Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang merakamkan pelbagai kisah lampau menarik tentang latar belakang Kuala Selangor, pemimpin dan penduduknya.


Semangat pula tengok bendera berkibar dengan berlatarbelakangkan rumah api...bangga dan syukur menjadi warga Malaysia...(entri sempena Hari Malaysia err...seronok dapat cuti 3 hari...tu yang teruja lebih tu...)

Cukup 30 minit, tren pun datang semula. Menurunkan kelompok pelancong yang baru sampai dan membawa turun kami yang dah puas main dengan monyet. Hahaha.


Masa turun tu, dah pukul 2 lebih. Jadi, masing-masing terus tuju ke masjid lama  Kuala Selangor yang terletak berhampiran tempat naik tren untuk menunaikan solat zohor. Lepas solat, perut pun sudah lama berkeroncong...jom makan! 

Mak mertua Khairi mengajak kami ke tempat makan ini. Dekat-dekat situ juga. Sebab kami sampai sudah pukul 3, buffet tengahari yang tinggal tu pun dah ala kadar jerlah. Semua orang makan nasi termasuk dua orang yang memesan nasi ayam. Aku minta mee bandung dan paling last habis makan sebab kena tunggu sekejap dan bila sampai...panas-panas...kena tunggu sejuk la pulak. Haishhh...salah perkiraan...tapi tak menyesallll...sebab sedap juga rasanya tu.


Habis makan, kami pun bertolak balik. Tapi sebelum tu, singgah ke Pasar Pasir Penambang. Katanya ini tempat ikan-ikan segar di bawa untuk dijual...Mak tak berapa suka beli ikan di pasar dekat rumah kami ini sebab katanya ikan tu  dah lama...hanya dok bertahan sebab dibekukan dan ditaruh ubat. Isinya dah tak manis. Aku yang tak makan ikan ni memang payah nak fahamlah kannn...;) Lately ni, Aku beli ikan kat pasar malam jer...beli stok seminggu...Mak kata ikan pasar malam lebih baik rasanya. So, yang kat Pasir Penambang ni...ikan baru naik dari laut...waaaaahhhh...mesti lagi sedap kottt!


Banyaknya ikan...dengan ketamnya ya Allah...besar-besar...gemoks-gemoks...gerammm Aku. Tapi Aku tak beli...hahaha...nak beli pun nak simpan kat mana...peti ais kat rumah tu dah penuh dengan stok ikan seminggu dan ayam seminggu.


Masa Aku kecil-kecil dulu, jangan haraplah Aku nak masuk pasar....sanggup tunggu Mak kat luar. Sebab kalau Aku masuk, mesti Aku muntah punya...teruk sungguh!! Tak beli ikan, tapi kat luar tepi jalan nu...Aku nampak sesuatu yang Aku suka...yessss...jagung rebus! 3 biji RM5. Marbelessss jagung ni...sedap, manis dan lembut. Sebatang tak cukup untuk Aku sorang...


Alhamdulillah, selamat pergi dan selamat kembali. Sukanya...dapat juga Aku sampai Kuala Selangor. Next Aku nak plan ke Sepang pulak...minggu depan memanglah sampai sana...ke KLIA...tapi yang plan nanti nak cover kawasan persisiran pantai dan nak makan ketam tiga rasa...huahuahua...bila la tu yer?

Tungguuuuu....

Thursday, September 12, 2013

Lain Dari Syariat

Saya sepatutnya membuat entri yang lain, bukan yang ini...tapi, bila sudah baca di dinding mukabuku seseorang, terasa hendak copy & paste di sini pula. Dalam suasana kehidupan sekarang, rasanya ini adalah suatu tindakan yang berani...amalan amal makruf dan nahi mungkar yang saya sampai sekarang masih teragak-agak sebab 1) Takut kena libas balik. 2) Sendiri pun banyak lagi yang kekurangan (tu yang kena libas balik tu). 

Haraplah dengan perkongsian ini, sama-sama dapat menjadi renungan dan peringatan...setidak-tidaknya untuk diri dan keluarga. Mudah-mudahan.

Katanya ini adalah surat terbuka yang ditujukan kepada sidang redaksi Hijabista. Tak pastilah jauh mana sampai teguran ini... 


"Kehadapan Hijabista dan Hijabisters yang disayangi…





Saya menulis untuk melahirkan rasa risau saya dengan cara majalah anda ‘mempamerkan’ wanita berhijab. Saya amat percaya bahawa konsep ‘kesederhanaan’ haruslah diseiringkan dengan pemakaian Muslimah (termasuklah hijab) dan kesederhanaaan ini merupakan perkara yang teramatlah penting sekali. Kesederhanaan oleh itu, perlulah diberi keutamaan dan penekanan oleh setiap wanita berhijab dan bertudung termasuklah majalah anda

Tudung ini bukan berfungsi sebagai ‘ganti’ rambut yang kami tutup. Ianya juga bukanlah hanya sekeping kain atau berkeping-keping kain di atas kepala. Hijab datang dengan pakej lengkap, ianya merangkumi akhlak, intelek dan adab. Hijab simbol wanita beriman, kesederhanaannya dalam setiap yang dilakukan, kelembutan, kesopanan. Maruah dirinya. Kebanggaan dirinya. Majalah anda tidak langsung menampilkan ‘kesederhanaan’ yang dituntut Islam ini dan biarlah saya berterus terang ini ternyata salah sama sekali.

Meletakkan wanita yang hanya berhijab tetapi disolek bak patung seolah model antarabangsa dalam majalah Vogue (bezanya cuma tutup rambut) adalah satu bentuk penghinaan buat kami wanita Muslim. Juga menyedihkan apabila wanita berhijab tersebut sendiri rela diperlakukan sebegitu rupa, dieksploitasi dan cuma menipu diri bahawa mereka berada di jalan yang benar dan membuatkan Tuhan mereka gembira hanya dengan menutupi rambut mereka. Ya Allah, bagaimanalah anda boleh berfikir anda menggembirakan Allah dengan berhias dan bertabaruj sebegitu rupa sambil menayang kecantikan rupa paras dan tubuh badan anda?

Majalah anda seperti juga Vogue dan Cosmopolitan dan majalah-majalah seangkatan dengannya tiada LANGSUNG dimensi intelek mahupun spiritual didalamnya menjadikannya majalah ini kosong. Majalah anda secara tidak langsung berjaya ‘brainwash’ minda para hijabisters dengan menaikkan hawa’ nafsu mereka untuk berbelanja lebih banyak barang, lagi dan lagi. Hakikatnya wanita yang benar-benar beriman, seorang Muslimah sejati TIDAK perlu menayang segala aksesori kepada orang lain. Nilai wanita Islam BUKAN pada barangan tetapi keyakinan dirinya bahawa apa didalam hati mereka dan minda mereka lebih berharga dari segala gelang, kacamata hitam, kasut tinggi, tas tangan yang anda sogok di setiap muka majalah anda.

Majalah mempengaruhi pemikiran anak-anak muda yang masih mentah untuk menipu diri mereka dengan merasakan bahawa mereka akan lebih cantik dan dihormati dengan KASUT, AKSESORI dan style tudung yang merapu dan merepek.

Di dalam Quran Allah menegaskan bahawa Taqwa adalah pakaian yang terbaik. Tolonglah beritahu dan tunjukkan kepada saya dimana, di muka surat mana and tampilkan mesej ini? Malangnya tiada, tidak di satu muka pun. Ianya majalah yang menjual baragan semata, majlah berbentuk konsumer membuatkan para wanita jadi gila, menurut nafsu untuk membeli, untuk mahukan barangan material yang mungkin tidak langsung diperlukan atau mampu mereka miliki. Lifestyle yang anda tampilkan tidak berapa kena dengan syariat Islam. Masalahnya anda menggunakan Islam untuk menjual. Ini amat mengecewakan. Kemudian ramailah para gadis berangan untuk menjadi seperti covergirls yang telah pun anda tampilkan dengan badan yang ramping, barangan yang hebat dan muka yang gebu yang semestinya sudahpun anda photoshopkan wajahnya. Ianya palsu semata.

Saya jujurnya risau anda merosakkan nilai hijab dan wanita Islam dengan majalah ini. Yang cuma diberikan penekanan adalah kecantikan yang palsu. Saya merayu, tolonglah dengan sepenuh hati nilailah dan muhasabah majalah anda dan isi kandungannya. Kami perlukan majalah yang menaikkan iman kami, yang menjadikan kami Muslimah yang lebih bertaqwa dan disayangi Allah. Majalah yang membantu kami mengubati penyakit-penyakit hati kami, bukan majalah yang membawa mesej apa yang penting adalah rupa anda pada LUARAN, baju apa yang anda pakai dan cara anda mengikat tudung. Walahu’alam "

Ikhlas,
Muslimah yang Risau



Wednesday, September 11, 2013

Maaf, terlupa sudah!

Pelupa itu satu nikmat, Pelupa itu bagus untuk kesihatan hati anda. Hahaha.

Betul juga. Hari ini rasa marah dek perbuatan seseorang, namun kerana masalah pelupa, esok harinya sudah boleh tersenyum sengih tak ingat apa-apa lagi. Oleh sebab menjadi pelupa itulah, maka, tak kuasa nak ingat apa yang orang lain pernah terbuat atau tersalah buat dekat kita yang mana dek kerana tak ingat itulah, kita tak terfikir benda-benda buruk pasal dia. Bila dia datang minta maaf atau minta tolong, mudah sahaja kita maafkan. Mudah sahaja nak tolong sebab kita tak simpan apa-apa dendam. Tak juga terlintas hendak memulangkan apa jua bentuk paku buah keras. Baguskan menjadi pelupa itu?

Ada orang dia akan ingat satu-satu benda sampaikan benda lain yang tak bersangkut pautpun dia boleh rangkumkan sekali jadi satu teori yang menyokong sangkaannya terhadap seseorang. Katakan kita pernah berbuat sesuatu...malang sekali orang yang kita tersalah buat benda itu jenis pendendam. Tiba-tiba suatu hari, bila kita buat sesuatu yang lain yang sebenarnya tak ada kena-mengenapun dengan hal-hal lama...dia rupa-rupanya terus teringat kepada perbuatan lampau kita...terus dia kata, "itulah, dia tu memang macam tu
". Mungkin sebab itulah adanya pepatah Melayu yang menyebut, "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali". Kita buatlah baik macamanapun, orang tetap akan ingat kepada perbuatan jahat kita yang sekali itu...huh...

Bila kita asyik ingat yang belah jahat tu, automatik kita tak nampak kebaikan orang itu. Dan boleh jadi ianya menjadi penghalang kepada kita supaya bersikap suka memaafkan. Sedangkan agama kita sangat menganjurkan agar kita selalu mudah memaafkan. Sebelum tidur maafkan semua orang supaya hidup aman tenteram...hati terasa lapang.

Cakap senang, tetapi bukan mudah hendak dilaksanakan, betul?




Wednesday, September 04, 2013

Nota Di Penghujung

Beraya di penghujung Syawal. Memenuhi jemputan pelbagai bahagian syarikat. Alhamdulillah, murah rezeki tapi hari ini last. Sungguh! Hujung minggu ini sudah bulan Zulkaedah. Cepatnya masa berlalu...aiii...tak puas beraya lagi ke? Ishhh...dak aiiihhhh...

Tadi saya terjumpa catatan yang saya buat semasa kelas ustaz tempohari. Sepatutnya saya kongsikan di sini...tapi tu la, dok beraya terlebih sangat...mabuk ketupat la sangat...sampai terlupa tentang hal ini. Catatan yang sepatutnya saya kongsikan lebih awal...bukannya di penghujung Syawal.

Baiklah, saya mulakan catatan ini dengan perkongsian ayat suci Al-Quran, ayat 86 surah Al-Baqarah yang bermaksud :

"Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong".

Dalam ayat ini Allah memberi kias urusniaga. Apa yang kita faham dengan urusniaga? Ada empat elemen iaitu :

  1. Ada pembeli
  2. Ada penjual
  3. Barangan yang hendak dijual/dibeli
  4. Harga jualan/belian

Dalam ayat tadi, Allah menempelak orang-orang Yahudi yang sanggup menggadaikan kehidupan akhirat mereka semata-mata mahukan kehidupan dunia yang tidak seberapa.

Secara logiknya, sekiranya kita hendak membeli sesuatu, seboleh-bolehnya kita tentu akan pastikan barangan yang hendak dibeli itu haruslah lebih bernilai daripada harga sehingga kita sanggup membayar sekian harga demi untuk mendapatkannya.Kalau kereta yang kita hendak beli itu jenama yang diketahui mahal dengan mutu pembuatan yang bertaraf dunia...tentu kita akan pastikan kita punya wang mencukupi atau setidak-tidaknya layak untuk membuat pinjaman bagi mendapatkannya. Tak mungkin kita sanggup membayar setengah juta ringgit untuk sebuah kereta buatan tempatan...ada???

Begitulah perumpamaannya dunia. Keseronokon dunia itu sangatlah sedikit, langsung tidak terbanding dengan akhirat. Hatta disebutkan, tempat letak cemeti di syurga itupun nilainya jauh lebih baik daripada dunia dan seisinya. Baru tempat cemeti...belum lagi segala perkakasan dalam syurga...

Bayangkan...ada sesiapakah yang mahu menjualkan sebuah banglo demi untuk mendapatkan sebuah tingkap? Bayar harga sebuah kereta Ferrari paling pantas untuk mendapatkan sebuah basikal? Tak betul, bukan?

'Menjual' puasa sunat 6 hari di bulan Syawal demi untuk mendapatkan semangkuk lemang?

Perggghhhh...terpukul bebbbb!!!

Sebenarnya nak bawa ke mana ni...? Ustaz nak terangkan tentang apa yang menanti atau sepatutnya kita amalkan selepas Ramadhan.

Kata Ustaz, terdapat 3 jenis manusia selepas Ramadhan :

  1. Sebelum Ramadhan, dia selalu melakukan amalan soleh. Bila Ramadhan, dia menggandakan lagi amalan tersebut. Dan selepas Ramadhan, dia berasa sedih, takut dan risau kalau-kalau amalannya di sepanjang Ramadhan itu tidak diterima Allah.
  2. Golongan kedua, sebelum Ramadhan dia banyak lalai. Semasa Ramadhan, dia pulun habis-habis. Tapi selepas Ramadhan, dia balik kepada asal...lalai semula. 
  3. Manakala golongan ketiga pula, sebelum Ramadhan dia macam itu. Selepas Ramadhan pun, dia macam itu juga. Ada ke tak ada Ramadhan, tak memberikan apa-apa makna. Sama aje. Inilah golongan yang paling celaka. Rasulullah S.A.W bersabda; "Sesungguhnya Jibrail ('Alaihissalam) telah membisikkan (doa) kepadaku. Katanya, "Celakalah bagi orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampunkan'. Lalu akupun mengaminkan doa tersebut". [HR Al-Hakim].
Baik, jom ulas golongan yang pertama itu. Mengapa ada manusia yang lebih takut terhadap amalannya, yang takut amalannya tak diterima Allah berbanding ketakutannya terhadap azab Allah. Kenapa? Apa rasionalnya? Antara dosa dan ibadat, yang mana merisaukannya? Dia lebih risaukan ibadatnya! Kalau saya, saya risaukan dosa saya yang berlambak-lambak itu...

Itulah indah dan hebatnya pemikiran mereka. Bagi mereka, kalau dosa...in sha Allah, akan ada peluang untuk mereka bertaubat dan memohon keampunan dan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan mengampunkannya. Akan tetapi, kalau amal ibadat yang dilakukan tidak diterima...ianya akan habis hangus begitu sahaja tanpa berpahala. Sia-sia dan tidak ada peluang lagi.

Justeru, Ustaz menganjurkan supaya kita sentiasa minta ampun kepada Allah sebab kita ni selalu 'perasan' yang kita buat itu betul padahal tidak sempurna pun. Ini belum campur lagi bab riak dan takabbur perasan kita lebih baik dan elok daripada orang lain. Lihat contoh Nabi Muhammad S.A.W. Nabi selepas solat, Baginda akan meminta ampun dan beristighfar. Selepas apa tu? Selepas solat, bukan selepas buat dosa! Kalau selepas buat dosa, beristighfar...rasanya lebih mudah nak faham, bukan? Tetapi tidak begitu, Nabi meminta ampun kerana Baginda takut solatnya tidak diterima Allah.

Lihat contoh dalam Surah An-Nashr tentang pembukaan kota Mekah. Kisah kemenangan Nabi. Sebelum itu Baginda bekerja keras menjalankan kerja-kerja dakwah selama 13 tahun di Mekah cuma dalam 200 orang sahaja yang menyahut seruannya. Akan tetapi, di hari Allah memberikan kemenangan dengan manusia berduyun-duyun masuk ke dalam agama Allah, apa yang Allah suruh Baginda buat? Allah suruh beristighfar.

Payah nak jumpa orang yang lepas buat ibadat, dia rasa sedih. Lebih teruk kalau kita perasan bagus dan sibuk membandingkan amalan kita dengan amalan orang yang kita rasa kurang. Alangkah tertipunya kita!

Nabi Ibrahim As. Baginda seorang hamba yang sentiasa patuh. Tak pernah sekalipun melanggar perintah Allah. Disuruh meninggalkan isteri dan satu-satunya anak yang masih kecil di tempat yang kering kontang lagi tidak berpenghuni...buat juga. Disuruh menyembelih anak kesayangannya, pun dituruti tanpa banyak soal. Disuruh membina Kaabah...langsung dibuatnya. Semua ini amalan-amalan soleh. Kepatuhan yang tiada tolok bandingannya. Tapi Ibrahim  buat apa selepas itu? Dia berdoa, "Ya Allah, terimalah ibadat kami"...bukan buat rumah dia, buat rumah Allah! Itulah sifat orang-orang yang beriman, sentiasa takut dan mengharap kepada Allah, supaya Allah menerima amalannya.

Orang yang kalau lepas ibadat dia bergembira....dia sebenarnya tertipu. Akhir sekali, dia tak akan menggandakan usahanya kerana sudah berpuas hati dengan amalan, padahal belum tentu amalannya diterima Allah. Dah buat puasa enam 2 hari, sibuk tanya orang lain buat berapa dah? Yang dia puasa 2 hari tu belum tentu Allah terima...kenapa nak gembira dan perasan baik sebab orang lain belum mula puasa lagi? Dan kalau lepas buat dosa, tak rasa apa-apa...tak rasa bersalah...rasa okay aje...ketahuilah, itulah orang munafik! Orang yang beriman, lepas dia beramal...dia mesti rasa takut, rasa bimbang dan risau amalannya tidak diterima. Maka itu, dia berusaha menambah baik amalannya.

Kalau kita nak bandingkan nikmat yang Allah beri kepada kita dengan kualiti ibadah yang kita persembahkan untuk Allah...memang langsung tidak boleh dibandingkan. Belum lagi kita ini boleh dipanggil hamba yang bersyukur. Sebab itu memang patut sangat-sangat kita rasa takut...takut dengan amalan kita yang tak seberapa. Dan takut kita ini terpedaya dengan amalan yang tak seberapa itu sehingga terbit rasa lega dan bangga. Ingatlah musuh kita akan sedaya upaya menggelincirkan kita dengan apa cara sekalipun. Mungkin bab buat dosa kita selamat, sudah kalis...tapi bagaimana dengan bab amalan? Silap haribulan itulah pun yang bakal menjadi ujian terbesar kita.

Wallahu a'lam.














Tuesday, September 03, 2013

Manisnya Labu


Ini buah labu. Labu manis atau juga dipanggil labu lemak. Nama saintifiknya cucurbita pepo. Dulu banyak ditanam di kampung, hatta kat bawah para pun ada tok saya tanam sampai menjalar memenuhi laman belakang rumah. Labu ini sedap dibuat masak lemak. Masa tu saya suka makan kuahnya saja. Makan nasi dengan telur ayam kampung campur kicap cap tiga Ayam (ayam lagiii...). Dah cukup sedap dahhh. Telur dan kicap adalah makanan ruji saya sampailah kat universiti pun kadang-kadang tak boleh cover buat juga perangai tu...heheh...

Tapi hari ini, nak cerita hok labu ni laaa....


Bila mak balik dari kampung hari Ahad lalu, mak membawa bersama-samanya dua biji labu manis yang besar dan semestinya berat itu. Hamboiihhh...besornya...selalu saya beli sepotong kecil jer bila-bila teringat nak makan sayur lemak labu. So, bila dah banyak ni....idea-idea lain pulak menjelma.

Lalu, saya mencadangkan agar mak membuat lepat labu...
Lama nian tak makan lepat labu. Saya suka lepat labu. Dengan bestnya mak setuju buat. Pagi Isnin meluahkan hasrat, balik kerja pengukus dah bekerja atas dapur...wehuuu!

Maka, dinner saya adalah dua biji lepat labu yang sangat awesome!!!


Mak dapat hasilkan 13 biji lepat menggunakan pengukus comel saya.


Jeng! Jeng! Jeng! Lepas maghrib, tak sabar dah nak makan panas-panas ni. Warnanya kuning lemak seperti yang saya bayangkan. Testurnya juga kenyal seperti yang saya idamkan. Wahhhhh!!!

Saya dah pesan kat tengah lepat tu, saya nak inti kelapa macam inti lepat liat...lagi banyak lagi bagus...muah hah hah...

 

Emmm...nyummy! Ianya sedap...sama macam dulu-dulu jugak. Lamanya tak makan lepat ni.

Hari ini, saya bawa enam biji ke pejabat. Bagi kat kawan-kawan yang dah lama tak makan kuih Mak Som. Saya tanya dulu...korang makan tak lepat labu? Sebab tak sure, diaorang pernah tak jumpa kuih ini. Semua tak banyak soal jer terus ambil dan cakap...sedapppp!!! Alhamdulillah. Kalau korang suka, nanti bebila, Mak Som buat lagi. Mak Som tentu sangat suka ni....lepas ni ligatlah dia nak masak bagi korang makan. Sabor jer lah aku (yang nak kena bawa makanan tu kannn...). Heheh...in sya Allah...kalau ada rezeki yaaa...


Projek Pizza

Hujung minggu tadi saya buat projek 'pizza'. Motivasi paling besar, sudah tentu anak-anak. Mereka suka makan pizza. Nak makan selalu, alahai...bukan murah macam beli nasi bungkus...kalau hari-hari mahu robek poketku. Jadi, sudah semat dalam kepala azam untuk cuba menghasilkan pizza buatan sendiri.

Kepada encik Google, saya mengadukan nasib...hahaha...ala...apa benda yang tak ada di hujung jari sekarang, kan? Berlambak resipi pizza...antara nak memilih yang manakah mempunyai ciri-ciri berikut...

  1. Menggunakan bahan-bahan yang mudah di cari & di fahami
  2. Senang nak buat
  3. Sedap dimakan  
Dah jumpa yang berkenan, mulalah proses yang saya paling tak gemar...proses penyediaan bahan. 



Saya membuat pizza seafood delight...hahah...suka hati jer tambah sosej ayam...seafood kunun! Masa nak buat topping tu memang seronok....sukahati la letak apapun. Taruk keju parut banyak-banyak...satu doh tu saya buat stuffed pizza...letak cheese stick dalam lipatan doh di keliling. 







Disebabkan saiz oven saya yang kecik tu...oven zaman mula-mula kawin katakan...maka, saiz pizza pun taklah besar mana...kecil sikit daripada regular size. Saya dapat 3 pizza untuk cubaan kali ini. Saya pun tak adalah beria-ia nak membeli perkakasan...jadi sebagaimana yang anda dapat lihat, saya bake atas tudung periuk jer tu....kelas ngkau mariaaa!!!


Ini versi stuffed crust...ala kedekut cheese...weiii...mahal tu cheese nak sewenang-wenangnya diperabiskan ye dak? Tapi okaylah...masih melimpah ruah lagi. 

Tak susah sebenarnya nak buat. Part topping tu...in sya Allah...cannot fail punya! Yang bahagian kena jaga lebih, dah tentu dohnya. Itu yang akan tentukan sedap ke tak pizza tu. Anak-anak tak kisah kalau base pizza tu lebih rangup macam thin crust Domino. Tapi, encik suami suka yang tebal dan lembut. Yang resipi saya guna ni ialah dari blog Azie Kitchen...alhamdulillah, agak kena dengan seleranya. Kena selalu praktis buatlah kalau nak skill lekat...kalau setahun sekali jer buat, payah le.