Showing posts with label Iktibar. Show all posts
Showing posts with label Iktibar. Show all posts

Tuesday, February 16, 2016

Nawaitu

Telipuk baru dapat tahu ada seorang peserta JK1M telah meninggal dunia kelmarin di Hospital Ampang. Terdahulu, arwah mengikuti aktiviti trekking di Sg. Lepoh, Hulu Langat. Dalam perjalanan pulang, arwah kelihatan penat dan mengalami kesukaran bernafas lalu rebah. Bomba dan pihak ambulan telah dipanggil membantu membawa keluar arwah dan dihantar ke Hospital Ampang. Sudah janji yang tertulis, ajal arwah telah tiba. Arwah menghembuskan nafas sekitar jam 5.20 petang di hospital tersebut.

Betul ajal maut di tangan Tuhan dan janganlah menyalahkan mana-mana pihak berhubung kejadian ini. Telipuk suka mengingatkan supaya kita bila nak buat apa-apa aktiviti lihatlah kepada kemampuan diri. Ada orang dia teruja dengan cabaran untuk mencabar keupayaan diri namun badan tak mampu menanggung. Ada orang dia tahu dia tak larat tapi sebab kawan-kawan dan jurulatih bagi semangat dia buat juga...yelah, ada benda mind is the only barrier tapi itu tak terpakai untuk semua keadaan. Positif, positif juga tapi kalau kawan tu muka dah pucat lesi, janganlah terlalu mendesak. Berpada-padalah dalam segala hal.

Untuk Telipuk, badan ni kita nak pakai lama. Biar lambat, asal selamat. Memanglah tak dinafikan kekadang rasa macam tak sabar jer nak baik lekas...tapi fikir-fikir kalau inilah yang terbaik untuk masa ini , (tentulah Tuhan tahu apa yang terbaik untuk kita...sesudah berikhtiar), Telipuk cool baliklah. Biarlah baik betul, tak adalah nak kena repeat pi physio lagi. Dah jemulah 7 kali pi physio...eh...bukan kata tak ada improvement...alhamdulillah ada...cumanya macam ni lah...sikit-sikit. Sabarrrrr...!!!

Kepada yang berminat nak ubah gaya hidup sihat ni, nak mula berjinak-jinak dengan regim senaman...Telipuk nasihatkan mulakan dari bawah. Buat sikit-sikit dulu dan tingkatkan. Boleh tingkatkan kekerapan dan intensiti latihan. Chewaahhhh...dah macam trainer lak bunyinya. Hahaha...ini benda logik ja weiii....program Telipuk ni lain, ada tempoh tertentu dan ada outcome yang kita nak nilai maka kaedah perlaksanaannya mungkin agak keras, apatah lagi untuk yang menjalani sedentary lifestyle macam Telipuk ni...tu yang opocot mak kau lutut aku meletup tu!!!

Apapun, tiada rasa kesal di hati Telipuk menyertai JK1M. Bahkan Telipuk rasa ianya satu lembaran baru, satu pendedahan baru yang Telipuk suka untuk merasai pengalamannya. In shaa Allah, Telipuk akan teruskan rutin baru dalam hidup Telipuk ini...nak hidup dengan lebih baik dan sihat untuk manfaat orang-orang yang tersayang dalam hidup Telipuk. Yalah, Telipuk bukannya nak hidup lama menongkat dunia, dalam keadaan sihat inilah boleh nak manfaatkan diri. Kalau dah terlantar sakit, masa tu apa pun dah tak boleh buat kan. Lagipun tubuh badan ini anugerah Tuhan.Tuhan bagi dalam keadaan elok sihat...haraplah Telipuk boleh pulangkan pinjaman ini dalam keadaan Telipuk benar-benar menjaga, menghargai dan memanfaatkannya untuk kehidupan seterusnya.

In shaa Allah. Semoga Allah mudahkan urusan Telipuk ini.

Wednesday, February 03, 2016

Hajat Hati Nak Peluk Gunung...

Pengalaman JK1M Telipuk yang masih menghijau rupanya bukanlah suatu perjalanan yang semudah Telipuk sangkakan. Melewati minggu kedua, Telipuk telah diuji dengan kecederaan otot. Pada awalnya Telipuk sangka itu hanyalah sengal-sengal biasa yang lazimnya akan segera hilang sebaik hari berlalu. Namun sangkaan Telipuk benar-benar meleset. Hari kedua mengalami kesakitan di bahagian lutut menyebabkan Telipuk terpaksa mengagahkan diri berjalan berdengkut-dengkut ke pusat perubatan di tempat kerja Telipuk. Masa tu memang hilang segala ke'anggun'an. Yalah, dengan berdengkutnya, dengan slow motionnya, dengan kerut-kerut dahi menahan sakitnya...haishh...kalau Dr. Mike lalu menegur pun silap haribulan Telipuk jerkah! Hahahaha....

Dipendekkan cerita, dengan diiringi Lotuslily, Telipuk berjaya sampai di kaunter pusat perubatan. Mendaftarkan diri untuk pertama kalinya dan menunggu giliran. Sayugia diingatkan, Telipuk memang jenis yang kurang akrab dengan klinik, hospital dan seumpamanya. Tiba giliran, doktor pun memeriksa kaki kanan Telipuk dan mengesahkan yang tiada kecederaan pada lutut. Hanya yang menjadi sakit itu ialah kerana otot MCL yang memegang tulang paha dan betis di sebelah kiri lutut kanan itu sudah tercedera...nasib baik tak koyak teruk. Mungkin terlebih regang lalu lebam dan membengkak. Dek kerana bengkak itulah maka menyukarkan Telipuk mengatur langkah. Kaedah rawatan ialah menggunakan pendekatan RICE iaitu  Rest (Hentikan aktiviti) - Ice (gunakan ais ) - Compression (Tuam untuk kurangkan bengkak) - Elevation (tinggikan bahagian tercedera untuk alirkan lebihan bendalir di kawasan itu).

Orang kata sakit ini datang macam ribut dan pergi (nak baik) macam semut. Memang pun...dah 8 hari ni...Telipuk masih bertatih-tatih nak jalan macam biasa yang mana sangat susah nak buat. Terasa keras dan tegang jer pelipat kaki ni. Nak berlebih-lebih paksa, takut tersalah langkah menambahkan kecederaan. Huhuhu. Makanya, Telipuk sudah melepaskan 2 sesi senaman termasuklah yang semalam punya. Patutnya Telipuk join kawan-kawan buat rutin tabata drop, tapi tengok feedback diaorang...ada yang dah jalan pun macam king kong...nasib baik Telipuk tak turutkan perasaan pergi...keutamaan Telipuk sekarang ialah memulihkan diri sendiri. Tak apalah kalau terlepas sesi senaman, coach ada bagi video...bolehlah Telipuk buat sendiri bila-bila sudah kuat nanti. Telipuk juga buat sesi senaman ringan dalam kolam sebab air mengurangkan rasa sakit pergerakan. Harapan Telipuk ialah untuk menyertai aktiviti hiking ke Bukit Saga dalam masa dua minggu lagi. Semoga Telipuk cepat pulih.

Itulah kan...kita ni kalau nak bersenam...jangan over do it. Perasan boleh buat semua pergerakan. Ambilkira faktor keupayaan ye...awak tu bukannya muda lagi...tulang pun dah koi-koi mereput...hahaha...insaf!insaf! Itu Tuhan baru ambil sikit awak dah tak keruan Telipuk...cuba kenangkan nikmat-nikmat Tuhan yang banyak tak terhitung yang sekarang sedang dinikmati tanpa sedar.

Mudah-mudahan kesakitan ini menjadi penebus dosa-dosaku yang banyak itu.

Thursday, November 06, 2014

Rebung Sudah Jadi Buluh...Bisakah dilentur lagi???

Saya tumpang berduka dengan kejadian buli di sebuah sekolah menengah baru-baru ini. Saya memilih untuk tidak menonton klip video kejadian tersebut yang dihantar kawan-kawan. Tak sampai hati rasanya. Cukuplah saya terlihat klip video buli pelajar perempuan di Sarawak beberapa ketika dulu. Itupun sudah trauma terigau-igau mengenangkan betapa 'tergamaknya' si pelaku buli ini. Kalaupun yang dibuli ada melakukan kesalahan, tak perlulah mendera sampai begitu sekali. Nak memberi pengajaran apa namanya.

Yang membuli ini pada pandangan saya adalah manusia yang mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah. Dia perlu menutupi kelemahan dirinya dengan menjadikan orang lain berada pada kedudukan yang lebih 'rendah' daripadanya. Dengan membuli dia rasa ditakuti dan digeruni. Mungkin itu satu penghormatan atau pencapaian buat dirinya apabila melihat mangsa dalam keadaan takut dan merayu-rayu minta dikasihani.

Yang membuli juga pastinya datang daripada persekitaran pembesaran yang bermasalah. Perlakuan seperti itu tidak datang secara semulajadi. Tak ada anak yang tiba-tiba jadi pembuli. Dia tentunya adalah produk daripada kepincangan dalam asuhan ibubapa. Saya setuju dengan pendapat kawan-kawan saya yang mengatakan "segalanya bermula dari rumah". Anak-anak bak kain putih, bagaimana ibubapa mencoraknya...begitulah keadaan warna - pembentukan sikap apabila dewasa nanti. Seberapa tinggi kemahuan kita untuk meletakkan beban kesalahan di atas bahu guru-guru sekolah, masih tidak dapat memberikan justifikasi yang boleh melepaskan ibubapa daripada dikaitkan dengan masalah kelakuan anak-anak kerana mendidik anak-anak adalah tugas ibubapa. Bukan kerja sekolah untuk memastikan anak-anak kita jadi pelajar yang beradap dan berpekerti mulia. Banyak manalah yang sekolah boleh lakukan dalam masa beberapa jam pelajar-pelajar ini di sekolah. Kalaupun boleh, setiap satunya sudah pun ada 'microchip' masing-masing yang dibentuk hasil asuhan keluarga. Nasiblah kalau cip-cip tersebut masih boleh dipertingkatkan atau dibaiki. Kalau yang rosak bagaimana?

Kata Ustaz saya, masalah paling besar dalam pendidikan anak-anak ini ialah sikap ibubapa dan masyarakat umumnya yang enggan mengikuti format asuhan sebagaimana yang dibawa oleh Islam. Bila agaknya kita betul mula-mula kenal Allah? Kebanyakan daripada kita hanya tahu kita beragama Islam dan Tuhan kita adalah Allah. Dan sebagai tanda kita ini orang Islam , kita pun pastikan kita solat 5 waktu, bila bulan Ramadan - maka kita pun berpuasa , kemudian ada lebihan harta kita pun berzakat dan bila ada peluang kita pergi tunai haji. Itupun nasib baiklah buat. Ada yang culas. Maka, agama dalam hidup kita dia jadi seperti terpisah-pisah. Kita hanya guna agama untuk saat-saat tertentu. Saat-saat pakai telekung. Saat-saat pakai ihram. Saat-saat menjalani Ramadhan. Tapi untuk kebanyakan waktu lain, saat kita berurusan dengan manusia dalam pelbagai perkara - jarang kita terfikir untuk ikut acuan Islam. Sebab itu kita boleh tak sedar yang bila bercakap atau bertindak, ada perbuatan kita yang melukakan hati orang dan menyusahkan orang. Bagaimana hendak letakkan asas yang betul dalam hidup anak-anak? Untuk letakkan mereka di atas jalan yang benar, pertama kena pastikan Allah dan Rasul ada dalam hati anak-anak. Sedari kecil. Mahu tidak mahu kita kena ambil tanggungjawab ini kerana yang akan kena soal siasat esok di padang Mahsyar adalah kita juga. Apa yang sudah kita lakukan untuk pastikan anak-anak kita membesar sebagai manusia yang mencintai Allah dan Rasul.

Hemm...kita (saya sebenarnya) ini dah masuk angka 4 series baru berhasil hendak faham maksud ayat-ayat lazim, baru rajin hendak menapak ke kelas pengajian...Apakah kita mahu perkara yang sama terjadi kepada anak-anak kita? Sekarang dalam hati mereka ada apa? Ada kartun. Ada video games. Di mana Allah dan Rasul dalam hidup mereka? Pedih kena bahasa dek Ustaz. Nak kata apa...memang betullah tu...sebijik kena atas kepala!

Kalaulah saya boleh mengundurkan masa...saya pasti ada banyak perkara yang saya kena betulkan. Tapi saya tidak mampu. Apa yang ada sekarang ini adalah hasil perbuatan saya sendiri dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Bila Ustaz membaca hadis di bawah tajuk Sabar, perihal anak kecil yang berdakwah meski mengorbankan nyawanya (namun berjaya membawa ramai orang beriman dengan Allah), rasanya seperti saya sudah sampai di penghujung jalan mati. Terkulat-kulatlah saya di situ memikirkan nasib. Bolehkah saya menjawab soalan-soalan yang Allah akan tanyakan nanti ? Dan yang menjawab itu adalah anggota badan sendiri, yang tiada ruang untuk memanipulasi.

Memang perjuangan untuk sampai ke sana sangatlah jauh sedang ajal semakin mendekat. Ubati hati dan keresahan dengan kalimah-kalimah suci dalam Surah Az Zumar bermula ayat 53 sehingga 59. Yang penting jangan berputus asa. Buat saja apa yang mampu. Berusaha itu jugakan tetap sahaja ada ganjarannya, bukan?

Tuesday, December 04, 2012

Sihat Sebelum Sakit

Ada banyak benda yang boleh dibuat sekarang, ketika diri masih menikmati tahap kesihatan yang baik. Akan tetapi, nikmat yang satu ini jarang-jarang kita hargai kerana kita selalu terlupa yang kesihatan yang baik itu sebetulnya sesuatu yang dipinjamkan dan hanya bersifat sementara. Kita hanya ingat tentang betapa beruntungnya memiliki kesihatan yang baik bila diri diuji dengan kesakitan. Hanya pada ketika itu kita mula tahu untuk menghargai.

Meskipun ketika kita masih sihat segar bugar ini, kita banyak menangguhkan perkara-perkara yang sebenarnya bakal memberikan manfaat yang besar kepada kita. Misalnya, menjawab laungan azan. Berapa ramai yang apabila azan berkumandang, boleh selamba meneruskan perbualan atau kerja? Masih ada majlis yang berjalan seperti biasa dengan semua orang berlagak seperti tiada apa yang berlaku padahal azan sedang jelas kedengan berkumandang di udara. Semasa kita masih sihat dengan lidah kita masih boleh kita gerakkan, boleh bertutur, jawablah azan. Jawablah dengan ikhlas dan bersungguh kerana fadhilatnya sangat besar iaitu "daqola jannah" (masuk syurga). Harus dilakukan dengan pakej lengkap iaitu menjawab dan juga disusuli dengan doa sesudah azan.

Sekarang Allah beri kita peluang dengan nikmat kesihatan yang kita selalu lupa syukuri. Malangnya kita buat endah tak endah. Jangan biarkan azan berlalu hari demi hari, waktu demi waktu tanpa kita mempamerkan kesungguhan kita untuk merebut tawaran yang Allah sediakan. Apakah tidak cukup berharga ganjaran yang disediakan? Apakah sebuah syurga itu belum cukup mengujakan? Atau sebenarnya, ya...kita tahu, kita maklum tetapi alah...bukan sengaja, kadang-kadang tak perasan, bukannya kita buat benda yang mungkar pun. Dah gitu? Cubalah. Buatlah sesuatu sementara kita masih mampu. Takut-takut Allah kelukan lidah, baru hati meronta-ronta mahu menjawab azan. Pada ketika itu sudah tak ada maknanya kerana diri sudah terbujur dengan nyawa sudah berada di kerongkongan. Masa dah sakit, diri terlantar tidak boleh cakap apa-apa. Tiub-tiub berselirat masuk di setiap rongga hidung dan mulut. Ketika itu satu benda pun kita tak mampu buat lagi hatta menggerakkan lidah. Kemudian barulah akan datang kekesalan bahawa selama diri diulit sihat, kita tak pernah pun memikirkan tentang menjawab azan. Kini bila kita sudah tidak berdaya, baru kita sedar, amalan sedikit yang kita pandang remeh itupun kita tak daya nak buat...nak cakap tentang solat...lagi jauh panggang dari api!

Di waktu-waktu kita masih sihat ini, sentiasalah cuba memperbanyakkan zikir kepada Allah. Sesiapa yang Allah berikan dia nikmat...nikmat kesihatan, nikmat kekayaan, nikmat kebahagiaan...ucapkanlah alhamdulillah. Kalau sedang kesempitan rezeki, perbanyakkanlah ucapan astaghfirullah. Kalau sedang di dalam kesusahan dan runsing, sebutlah  la hau la wala quwwata illa billah. Di waktu-waktu sihat begini juga, ciptakan kesempatan untuk bangun malam bertahajjud. Kalau sudah sakit, jangankan yang sunat, yang fardhu pun belum tentu.

Begitulah seorang yang bertaraf hamba sepatutnya lakukan, menghambakan diri dan tahu mengambil hati Tuannya. Berkhidmat dengan bersungguh-sungguh menggunakan kelebihan yang ada...kelebihan kesihatan, kelebihan kelapangan, kelebihan rezeki, kelebihan usia dan kelebihan nyawa...sebab nilai usaha kita diwaktu-waktu begini adalah lebih berharga berbanding waktu-waktu kita sudah terlantar, sudah kesempitan, sudah tua dan semakin menghampiri penghujung nyawa...di saat-saat itu kita sudah terlambat untuk menunjukkan ketaatan dan keikhlasan kita dalam beribadah. Di hujung-hujung waktu begitu seolahnya kita beramal kerana itu saja pilihan yang kita ada. Kita terpaksa kerana kita tahu kita sudah hampir mahu pulang dan masa yang sedikit itulah mahu kita bergunakan untuk menebus kekesalan.

Benar Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, tetapi mengapa memperjudikan masa depan akhirat kita semata-mata menuruti hawa nafsu yang tidak akan membawa kita ke mana-mana? Dan ilmu benar-benar akan menyuluh jiwa dan menguatkan akal. Carilah ilmu semoga ilmu yang bermanfaat itu akan terus menyuburkan keazaman kita untuk memperbaiki diri agar menjadi hambaNya yang benar-benar bertaqwa.

Thursday, August 02, 2012

Doaku, Rohingya

Sebak dada bila teringatkan raut wajah seorang ayah yang merayu-rayu dari atas sebuah sampan kepada seorang pegawal yang bertugas menjaga sempadan Bangladesh daripada dibolosi. Di belakang ayah itu, ada keluarganya, isterinya yang memangku anak kecil, anak-anak kecil yang lainnya dan wanita-wanita tua. Hanya dia seorang lelaki yang berdiri dan sanggup merendahkan maruahnya mengemis simpati. Sorotan bola mata wanita tua tampak kosong. Dan anak-anak kecil itu memerhati pula dengan raut wajah nan keliru, bercampur baur dengan rasa cemas dan takut. Entah apa yang ada dalam fikiran mereka. Mungkin tertanya-tanya mengapa mereka dihambat seperti haiwan, dibiarkan kelaparan, dipukul dan tidak dipedulikan. Ke manakah mereka akan pergi? Seperti yang kita maklum, di tanahair tempat tumpah darah mereka yang enggan mengiktiraf mereka sebagai rakyat, kini penuh dengan 'pemburu' yang tidak segan-silu membunuh. Manakala  negara jiran yang seagama dan dianggap bersaudara itu pula enggan menghulurkan bantuan. Jangankan hendak meminta seteguk air, hendak menginjak bumi mereka juga tidak dibenarkan. Lalu...ke mana harus mereka pergi? Berpatah balik untuk bertemu ajal?

Hati siapa yang tidak rusuh mengenangkan nasib yang ditanggung mereka? Air mata mana yang tidak tumpah membayangkan derita yang harus dipikul? Sekiranya tiada walau sekelumit pun perasaan terusik dek kesusahan yang sedang dialami saudara Rohingya kita, ketahuilah anda perlu berbuat sesuatu dengan hati anda. Anda pasti akan merasanya. Kerana bandingan orang-orang mukmin itu seumpama tubuh badan. Sekiranya satu bahagian sakit, maka bahagian yang lain akan turut berasa sakit.Apa yang sedang dirasakan oleh umat Islam di Rakhine, apa sahaja yang dirasakan oleh umat Islam di Asia Barat, di selatan Thailand dan Filipina...adalah perlu dirasakan sama oleh umat Islam lain di mana sahaja mereka berada.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: " Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya. Maka ia tidak akan menzalimi dan membiarkannya (menderita)." Hadith riwayat Imam Al-Bukhari.

Begitu juga sabda Baginda dalam suatu hadis lain yang bermaksud, " Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya".

Lalu saya teringat hadis tentang akhir zaman yang diriwayatkan oleh Tsauban r.a yang berkata: Rasulullah S.A.W bersabda, "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana bilangan kami yang sedikit pada hari itu?". Nabi S.A.W menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?". Nabi kita menjawab, " Cinta pada dunia dan takut pada mati".

Tak adakah apa-apa yang boleh dilakukan? Betulkah tak ada? Tak bolehkah pelarian-pelarian itu diagih-agihkan kepada negara-negara Islam yang banyak itu...sekurang-kurangnya ada tempat untuk mereka berteduh. Dan jangan biar berstatus pelarian...beri mereka peluang untuk bekerja, tak adalah selamanya terpaksa menadah tangan meminta derma. Mereka bukannya sakit. Ada yang kuat dan sihat untuk bekerja. Malah siapa tahu ada pula kepakaran yang boleh disumbangkan.

Tapi siapa yang akan berani buat begitu, bukan? Semuanya hendak menjaga hubungan baik antarabangsa. Semuanya tertib berdiplomasi. Semuanya tolak menolak sebab tak mahu pikul beban. Takut kena kritik. Takut kena pulau. Takut semuanya. Kalau semuanya bersikap nafsu-nafsi begini, tidak mustahil lambat laun akan sampai giliran kita pula. Ya, mengapa tidak? Kita seperti biri-biri yang beratur untuk masuk ke rumah sembelihan. Kita tahu apa yang berlaku kepada biri-biri dihadapan, tetapi kita tak kisah kerana giliran kita lambat lagi. Kita tetap beratur dan beratur. Sambil beratur, kita nikmati makanan dan minuman yang disediakan. Tak ada komplot, tak ada konspirasi. Semuanya pasrah belaka.

Benar...apa sajalah pun yang mampu kita lakukan?

Setidak-tidaknya, kirimkanlah doa buat mereka. Ingat dan kenangkanlah penderitaan mereka supaya kita dapat mengambil pengajarannya. Satu yang melegakan hati...insyaallah, memang nampak tragik kematian mereka, memang meruntun jiwa ibu-ibu yang menatap gambar anak-anak kecil yang terbunuh...itu pandangan zahir belaka. Sedangkan beruntungnya mereka, bertuahnya mereka kerana derita itu sebentar cuma kerana syurga yang kekal abadi pasti mereka perolehi.

Saya berdoa semoga saudara-saudara saya yang sedang ditindas di mana jua di pelusuk bumi ini, Allah berikan kekuatan dan kesabaran di dalam hati mereka untuk menempuh kematian dengan maruah seorang muslim yang sejati. Saya berdoa mudah-mudahan Allah berkenan menempatkan mereka di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Tiada yang lebih baik daripada syurga Allah. Allahuakbar!




Thursday, July 12, 2012

Belajar Daripada Kesilapan

Aduh...tak sangka, bila perkara ini berlaku, tak tahu hendak buat apa. Rasanya sudah pernah diterangkan oleh bijak pandai...namun ilmu yang ada barangkali sekadar teori atau maklumat yang terperam di dalam kotak fikir yang tak pernah dipaksa keluar sebelum ini. Hanya ambil dan simpan. Moral of the story, belajarlah menggunakan ilmu, jangan sekadar ada tapi tak tahu guna. Mengabih'an boreh yo...

Alkisahnya, seperti biasa, kami ke surau utama untuk sembahyang berjemaah Asar. Tak ada apa-apa yang ganjil, semuanya seperti selalu. Bilal melaungkan azan dan diikuti dengan iqamah. Semuanya lancar meskipun terasa macam tak sempat nak habiskan Al-Fatihah, imam baca hadr. Bagaimanapun, masalah bermula dalam rakaat ketiga. Saya kira Imam sudah tersilap bilang rakaat. Bila berdiri untuk rakaat akhir, saya kira imam menyangka dia berada dalam rakaat kedua. Ketika dia duduk tahayat awal (pada sangkaannya), makmum sudah berdiri sesudah lafaz 'Allahuakbar'. Bila imam sebut 'Allahuakbar' untuk bangun, makmum pula rukuk. Patutlah pun bila rukuk itu lama benor rasanya sebab imam pada masa itu sedang membaca Fatihah. Sudah jadi makmum mendahului imam pula sedangkan imam yang salah kira rakaat (terlebih sudah). Makmum wanita pula terhalang dek tirai panjang, nak kerling pun tak dapat.

Confuse, kan? Itulah, ingat bab sembahyang ni sudah khatam...bila kena uji macam ini langsung panik. Sebab tak sangka akan berlaku, ye? Tak pernah terfikir imam akan silap walaupun tahu dia cuma manusia biasa. Otak 'senang diri' saya ni sudah program begitu...lain kali kena la alert dan bersiap sedia untuk saat-saat tidak terduga seperti ini.

Kami tanya Ustaz tadi. Ustaz kata, kalau kita yakin, tunggu. Biar imam menambah rakaat (dalam kes terlebih bilangan rakaat) dan ikut semula bila imam sampai sama kembali dengan kita. Imam dikira 'uzur' kerana dia dalam keadaan terlupa, jadi dimaafkan. Kita pula akan batal kalau sengaja menambah bilangan rakaat (sebab nak ikut imam) padahal kita tahu ianya sudah terlebih. Ataupun, kita boleh mufarakah (keluar dari mengikut imam) dan selesaikan solat kita.

Saya ada google tentang perkara seumpama ini dan mendapat beberapa penerangan yang diharap dapat membantu. Ianya tentang solat berjemaah dan imam terlupa tahayat awal...apa makmum patut buat...


"Mengikut kitab Syeikh Daud Al Fathoni, kalau imam melakukan tambahan rukun (mungkin kerana dia terlupa), makmum (yang yakin bilangan rakaat) tak boleh ikut, malah kalau ikut boleh jadi batal solat. 

Makmum ada dua alternative, samada boleh tunggu imam habiskan rukun itu dan sambung balik dengan imam atau niat mufaraqah sahaja. 

Contoh, kalau imam menambah rakaat, kita makmum patutnya duduklah tahiyat akhir dan tunggu imam selesai rakaat tersebut dan tahiyat akhir, kemudian kita boleh beri salam bersama dengannya. Atau imam ruku' dua kali, biarkanlah dia ruku', kita jangan ruku', bila dia sujud kita ikut balik.

Atau kita mufaroqah sahaja. 

Adapun perkara sunat yang tertinggal (tahiyat awal), kita perlu ikut imam terus. Imam sepatutnya tidak boleh duduk balik kalau dah terlepas, akan batal solatnya. Kita makmum jangan ikut dia pula kalau dia dah duduk balik, mufaraqah dan teruskan solat. 

Sebab tu penting mengetahui yang mana satu sunat yang mana satu wajib dalam solat, dan belajar akan perkara-perkara yang membatalkan solat."




Kena ubah cara mendapatkan ilmu ni...tak boleh tengok apa yang patut buat sahaja...rasanya kena tengok dari perspektif apa yang tak patut buat juga iaitu perihal berlaku kesilapan dan bagaimana hendak membetulkannya.

Friday, June 08, 2012

Di Alam Barzakh

Hari ini saya hendak bercerita tentang kematian. Kematian yang semua orang dan saya sendiri takut untuk menghadapinya. Namun, suka atau tidak, mahu tidak mahu, ia pasti tiba jua. Ia pasti datang, tak kira jauh mana diri berlari. Ia pasti hadir meskipun puas diri cuba bersembunyi. Cukup tempohnya, ia tidak akan ditangguhkan. Tepat pada masa yang dijanjikan, roh akan keluar meninggalkan jasad.

Apa yang tinggal untuk kita? Apa yang akan menanti di hadapan sana? Itu yang hendak saya kongsikan di sini sebagai menjalankan tanggungjawab saya menitipkan sedikit ilmu/maklumat, mudah-mudahan Allah mengiranya sebagai satu amal kebaikan, insyaallah.

Ada satu video yang boleh diperolehi di YouTube membuat lakaran/ilustrasi saat kematian dan keadaan yang dihadapi mayat berdasarkan Al-Quran & Hadis sahih. Ianya dalam bahasa Arab. Video ini ditunjukkan oleh Ustaz semasa kelas hari Rabu dan sekali lagi kelmarin ketika kelas bahasa Arab.

Begini serba-sedikit suasananya...

1. Ketika mayat diusung ke kuburan, mayat akan berkata-kata (namun cuma tidak didengari manusia & jin). Sekiranya si fulan itu seorang yang beriman maka mayat akan berkata..."Cepatlah...cepatlah segerakan urusan pengebumian" tetapi jika si fulan itu orangnya fasiq/kafir maka mayat akan berkata..."Wahai celakanya diriku...ke manakah kalian membawa ku pergi?".

2. Apabila dikuburkan dan bunyi selipar melangkah pergi , maka mayat yang soleh itu akan didatangi oleh dua orang malaikat dengan wajah yang indah bercahaya lagi bersih elok tubuh/pakaiannya. Kedua-duanya mendudukkan mayat dan bertanya : 1) Siapa Tuhanmu? Mayat menjawab, 'Allah Tuhanku'. 2) Apa agamamu? Mayat menjawab, 'Islam agamaku'.3) Siapa lelaki yang dibangkitkan di kalangan kamu itu? Lalu mayat menjawab, Dia adalah Pesuruh Allah (Nabi Muhammad). Soalan-soalan dan jawapan-jawapan ini memang sudah lama bocor, namun dapatkan kita memanfaatkannya kerana di saat itu, hanya dengan amal & iman sahajalah yang akan menentukan kita mampu menjawab  ataupun tidak.

Manakala bagi mayat yang fasiq/kafir, langsung tiadalah dapat dia menjawabnya tatkala berdepan dengan dua malakai yang berpakaian serba hitam lagi bengis rupanya. Hanya sekadar mampu dituturkan ialah..."A...a...a...la adri" (A...a...a...Aku tak tahu).

3. Bagi mayat yang soleh, alangkah bahagianya. Seluruh alam bergema mendoakannya dan Allah berkata, "Benarlah hambaku" lalu kuburnya dilapangkan. Tinggallah dia berehat di situ dengan gembira menunggu saat dibangkitkan semula dengan ditemani seorang teman yang elok rupa parasnya (jelmaan amalan baiknya) sedang pintu-pintu ke syurga dibukakan dan diperlihatkan kepadanya apa yang bakal ia perolehi nanti. Subhanallah.

Akan tetapi bagi mayat fasiq/kafir, alangkah pedihnya kehidupan di bawah sana. Kedua malaikat akan memalunya dengan satu tukul yang besar lagi berat diperbuat daripada besi. Setiap kali dipukul, ia akan terbenam jauh ke dalam tanah, dicungkil naik dan dipukul lagi. Tidak terkira sakit lagi azab sengsaranya balasan yang diterima. Sesudah itu Allah memerintahkan agar mayat itu dihimpit oleh kuburnya. Himpitan yang menyebabkan tulang-tulang rusuknya saling berselisih. Kemudian datang pula seekor ular yang besar lagi bengis yang memakan daging mayat dari kepala sehinggalah ke kaki.Pintu-pintu neraka pun dibukakan. Betapa panasnya membahang tak mampu diceritakan maka berharaplah mayat itu agar kiamat masih jauh kerana gentar dan takutnya menghadapi neraka yang sangat mengazabkan itu.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Alqabru awwalu manazilil akhirah, fa in naja minhu fama ba'dahu aisaru minhu, wa in lam yanju minhu fama ba'dahu asyaddu minhu." (Yang bermaksud)"Kubur itu pertama tempat yang menuju akhirat, maka bila selamat dalam kubur, maka yang dibelakangnya lebih ringan, dan jika tidak selamat dalam kubur maka yang dibelakangnya lebih berat daripadanya."

Benarlah bahawa mengingati kematian itu akan mengurangkan lazatnya kehidupan dunia. Cubalah lihat pada rumah besar kita itu dan tanyakan diri kita apakah nanti kubur kita juga akan seluas itu. Saya pasti kita tahu dan boleh membuat sedikit pengiraan kasar...bermuhasabahlah. (itu yang rasa balik semula sekadar lepas pintu...).

Mudah-mudahan menjadi peringatan untuk diri yang sering alpa ini.


Wednesday, February 22, 2012

Doa Untuk Semua

Kalaulah perkara itu benar, alangkah sedihnya. Benarkah ada seorang manusia yang kalau pada namanya menunjukkan dia Melayu yang beragama Islam (pada kebiasaannya), tergamak mencerca seruan azan?



Tapi, saya bukanlah nak tunding jari atau tuduh apa-apa kepada yang terlibat sebab tak tahu kesahihan perkara ini. Mana tahu dia dianiaya ke apa...betul tak? Benda macam ini mana boleh buat main. Nanti tak pasal-pasal jadi penyebar fitnah pulak...eee...tak kuase teman!

Bukan yang ini sahaja, memang ada peristiwa-peristiwa lain kejadian menghina agama Islam, menghina Al-Quran, menghina Nabi Muhammad S.A.W. Kalau yang buat tu orang agama lain, kita faham la...tapi kalau yang Islam...hish, kenapa sampai boleh jadi macam itu? Atau pun betulkah dia Islam? Orang Islam ialah manusia yang tunduk patuh kepada apa yang diperintahkan oleh Allah menerusi kitabNya, Al-Quran dan pesuruhNya Muhammad S.A.W. Dia melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Kehidupannya di muka bumi ini hanya semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Itu barulah namanya penganut Islam. Kalau sekadar tertulis Islam pada sijil kelahiran dan kad pengenalan, belum cukup syarat lagi.

Bercakap tentang penghinaan ini, rasa meremang bulu roma memikirkan...tahukah mereka kesan dan akibat perbuatan mereka? Dan dengan kata lainnya, sedarkah mereka itu sebenarnya berdepan dengan SIAPA? Menentang SIAPA? Kalau mereka tahu hakikatnya, saya yakin mereka tak akan berani melakukannya.

Jadi, yang demikian itu membuatkan saya rasa sedih dan kasihan kepada mereka.

Dulu, saya selalu fikir...lantaklah apa orang lain nak buat. Suka hati dialah. Tapi sebenarnya , cara saya berfikir itu adalah salah.

Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Riwayat Bukhari.

Kasihanilah mereka kerana mereka barangkali tidak tahu.

Betapalah keadaan nanti...kalau terkena air panas sedikit pun kita sudah kesakitan, bayangkanlah dahsyatnya api neraka...nauzubillah...jangankan sehari, seminit pun kita tak akan mampu bertahan.

Kalau kita tak mampu, saudara-saudara kita pun tentu tak mampu. Bantulah mereka. Dengan selemah-lemah kaedah, saya cuma mampu menghulurkan doa.

Marilah kita mendoakan agar Allah beri petunjuk dan hidayahNya kepada saudara-saudara kita yang tersasar semoga kelak mereka akan kembali dipandu ke jalan yang benar. Janganlah menghina dan cepat menjatuhkan hukum kerana diri kita sendiri pun kita belum tahu penghujung dan kesudahannya. Mudah-mudahan Allah tetapkan hati-hati kita untuk terus berpegang teguh pada taliNya, semoga terpelihara dan selamat dunia dan akhirat.

Amin.

Monday, February 20, 2012

Menundukkan Hati

Hari ini saya hendak menulis tentang berbuat baik sesama manusia. Sebenarnya, tentang bersikap baik kepada apa sahaja. Pendekata, mengapa kita harus menjadi manusia yang baik. Yang tidak menganiayai orang. Yang tidak menyusahkan orang. Yang selalu apabila berurusan dengannya, hati rasa lapang dan kerja menjadi mudah.

Memang kita jarang terfikir tentang kesan dan akibat perbuatan kita kepada orang lain. Terutama bila kita berurusan dengan orang yang tidak kita kenali.Tapi siapa tahukan...kuasa doa seorang hamba yang teraniya dan sangat memerlukan bantuan pada ketika itu. Dan kebetulan kita berada di situ dan menghulurkan bantuan tanpa memikirkan apa-apa...tanpa menyangka apa-apa. Namun di suatu masa, apabila kita berada dalam situasi yang sulit lalu entah kenapa laluan jadi mudah...ingatlah...ada doa-doa yang sudah terangkat. Ada balasan baik yang sedang kita nikmati. Bersyukurlah kepadaNya.

Saya ingat kisah-kisah yang berlaku di sekeliling. Ada satu kisah ini, seorang wanita yang bujang. Dia mencurahkan kasih sayangnya dengan mengambil anak-anak angkat. Dibesarkan dan dididik dengan baik. Masa terus berlalu. Lalu pada suatu ketika, wanita ini jatuh sakit. Dalam keadaan kita hari ini di mana anak-anak darah daging sendiripun semakin mengabaikan ibubapa, wanita ini sungguh bertuah kerana anak-anak yang dipeliharanya sungguh tulus menyayanginya seperti ibu kandung. Dan dia dijaga dengan baik dalam saat susahnya. Alhamdulillah, Allah membalas kebaikannya dengan kebaikan juga.

Siapa tahu doa seorang pengemis yang pernah terpacul dari mulutnya ketika kita memberinya wang untuk makan saat-saat dia sangat lapar akan melonjakkan kita ke suatu tingkatan yang lain...contohnya permohonan kita untuk jawatan yang lebih baik tercapai.

Atau doa seorang mak cik yang sangat-sangat perlukan tempat duduk dalam lrt yang penuh sesak. "Terima kasih nak, semoga Allah murahkan rezeki dan selamatkan anak dunia dan akhirat"...mahal doa tu.

Tapi adakah kita terfikir...sesuatu yang pada kita remeh temeh.

'Ok ...no prob....' heheh..

Allah S.W.T berfirman :

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya".

(surah Al-Zalzalah : 7-8)

Teruskanlah berbuat baik. Walau apa sahaja pandangan orang. Walaupun apa saja prasangka orang kerana kita harus berbuat baik untuk kebaikan diri kita. Untuk memberatkan timbangan kita di akhir sana kalaupun tidak menikmati balasan itu di dunia ini. Jangan susahkan diri dengan melakukan kejahatan kerana hidup di dunia ini bukannya lama manapun.

P/s : Motivasi diri untuk melembutkan hati kala geram bila madu yang kuberi, racun berbisa pula yang kau balas! (ya ampun, contoh tahap kronik!)

Tuesday, January 31, 2012

Peringatan

Walaupun rasa tidak sihat, tetap juga digagahkan diri untuk bangun pergi kerja. Masih sanggup dan masih mampu. Berusaha sedaya upaya. Untuk apa? Untuk habuan dunia. Betul, kan?

Cuba kalau untuk habuan akhirat. Hujan lebat sikit dah batal nak pergi masjid. Ala...sembahyang kat rumah ajelah. Janji sembahyang.

Begitu sikap kita. Betul, kan?



Sebab apa?

Kalau kata Ustaz saya...satu jer sebabnya...sebab kita tak pandai sifir...tak pandai Matematik. Pulak? Yelah, kita salah kira. Yang kita kira tolak, campur , darab, bahagi habuan dunia yang tidak seberapa. Yang habuan akhirat yang berganda-ganda tu kita buat tak tahu sahaja.

Senang cakap, kita tidak nampak. Kita tidak faham. Sebab tu kita tak ada buat wawasan akhirat. Tak ada visi dan tak ada misi.

Jadi, kosong semuanya. Apa tujuan kita hidup di dunia ini? Buat apa dengan rezeki yang Allah kurniakan? Ke mana sudah kita belanjakan? Adakah semuanya habis sia-sia ataukah sekarang sedang beranak-pinak dalam saham amanah akhirat kita?

Sendiri mesti mau ingat, Telipuk!!!

Wednesday, January 25, 2012

Mati Itu Pasti

Saya baru memasuki fasa pengenalan mimpi ketika sayup-sayup terdengar bunyi telefon bimbit berbunyi. Jam pukul 11.50 malam. Suatu ketika dahulu menerima panggilan pada jam sebegitu cukup untuk menyesakkan dada. Dalam kesedaran yang baru bertatih saya menyambut panggilan itu. Panggilan Lotuslily yang memaklumkan berita sedih kematian ayah kepada seorang pengurus besar di jabatan kami. Innalillahiwainnailaihirajiun.

Menunaikan fardu kifayah dan tanggungjawab sesama saudara Islam, saya, Lotuslily dan BGA menziarahi jenazah yang dibawa terus ke Madrasah Al-Hidayah, Seksyen 11, Shah Alam untuk disempurnakan. Melalui detik yang mengimbau apa yang telah saya alami sebulan lalu, segalanya bagai berputar semula. Ingatan demi ingatan silih berganti. Saya amat memahami situasi seperti itu. Patah yang tidak akan berganti selamanya. Hanya kepadaNya kita berserah. Doa ditadahkan memohon keampunan ke atas arwah, semoga ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman.

Kematian itu pasti. Hanya waktu yang menjadi penentu. Namun yang pasti itu selalunya tidak ingin diingati. Lalu datanglah perasaan yang diri kononnya masih akan ada di sini entah sampai bila. Alangkah tertipunya kita dengan godaan dunia!

Minggu yang lalu sebelum bercuti, datang berita kematian seorang teman, seorang ibu muda yang anaknya masih kecil setelah lama bertarung derita melawan penyakit leukimia. Usianya cuma setahun lebih daripada saya.

Pagi ini juga ada berita kematian 3 orang anggota syarikat. Salah seorangnya baru berumur 27 tahun yang meninggal kerana kemalangan jalanraya. Dua orang lagi dalam usia 50-an , meninggal kerana komplikasi penyakit buah pinggang dan jantung.

Baik yang tua, mahupun yang muda. Bila-bila ajal datang menjemput, tiada sesaat pun mampu diundurkan.

Takziah dari saya.

Wednesday, March 16, 2011

Di Sebalik Tragedi

Berikut adalah petikan berita AFP bertarikh 14 Mac yang tersiar di internet (MSN News). (Ihsan 'wartawan' hal ehwal semasa BGA...heheh)

Television stations around the world have broadcast the footage of the seismic waves as they razed homes and carried away cars as if they were toys, stranding dazed survivors on the brutalized landscape.

But coverage has also shown another side -- Japanese showing calm as they search for loved ones or wait for basic necessities. There is not a hint of looting or violence, even as residents line up at half-empty stores.

Entries on the English-language blogosphere speak of the Japanese as "stoic" and wonder the reaction in Western countries would be to a disaster of similar magnitude.


Apakah yang kita boleh pelajari daripada Jepun dan rakyatnya? Hemmm...rasanya dah lama kita cuba meniru Jepun. Tapi bab meniru Jepun, memang kita tak berapa pandai...kita cuma pandai meniru budaya-budaya barat...yang best tu, kita tak pandai tiru budaya yang baik, tapi yang buruk, yang huduh, yang buduh...tak banyak soal kita angkut semua.

Apabila melihat gambar-gambar kemusnahan itu, memang kita tumpang sedih dan berdukacita. Tetapi bila kita lihat rakyatnya yang sungguh tabah mengharungi kepayahan itu, kita berasa kagum dengan kekuatan mereka. Sesuatu yang tidak kita jangka lihat.

Dengan mudahnya kita dapat kaitkannya dalam kehidupan yang lebih dekat dengan kita. Pernah lihat bagaimana sesetengah wanita Timur Tengah dan India meratapi kematian insan tersayang? Mereka menampar-nampar dada dan muka, malahan ada yang mencarik-carikkan pakaian. Dalam kita berasa hendak kesian, tiba-tiba singgah rasa 'tak berapa' kasihan pula dengan kelakuan begitu.

Kemudian datang satu kisah kematian juga. Seorang isteri yang kematian suami dan anak-anaknya dalam satu kemalangan. Di hari pengebumian, isteri itu mempamerkan ketenangan dan keredhaan yang luar biasa. Ayat-ayat yang keluar daripada mulutnya tersusun dan berhemah. Walaupun tidak diluahkan, gambaran kesedihan jelas dapat dilihat dari raut wajahnya yang tenang. Kita yang melihat terus diruntun rasa sayu. Simpati pecah melimpah ruah.

Lalu berbalik kepada kenyataan dan realiti hidup...walau apa pun yang berlaku, tetaplah tabah dan sabar menghadapi musibah. Benda sudah terjadi, anda tak dapat lakukan apa-apa lagi. Anda cuma dapat memujuk hati dan mengawal tingkahlaku supaya tidak terus larut dalam kedukaan. Sepertimana yang selalu saya katakan, perkara-perkara baik dan buruk, kesemuanya ada sela masa tertentu. Ada permulaan. Ada pengakhiran. Kalau anda sedang menikmati saat-saat kebahagian, syukuri dan insaflah yang ianya pasti boleh berakhir. Begitu juga kalau ketika ini ada mendung yang berarak di langit kalbu...percayalah, sampai masanya ia akan berlalu. Hanya tinggal cepat atau lambat sahaja. Semuanya datang dan pergi. Silih berganti bagai putaran roda. Yang penting, jaga iman...insyaallah, anda pasti menjadi mukmin yang berjaya, dunia dan akhirat.