Hari selasa lepas Telipuk sempat melawat rakan-rakan yang terkesan dengan kejadian banjir baru-baru ini. Ketika melalui kawasan perumahan tersebut, Telipuk lihat kiri kanan penuh dengan timbunan perabut rosak. Ada sofa, tilam yang sedang dijemur. Ada kereta, motor yang juga sedang dijemur. Tak ada kedengaran bunyi riang kanak-kanak bermain. Tak ada bunyi trumpet penjual roti lalu juga tak ada bunyi lagu ais krim paddle pop. Cuma ada bunyi air dijirus, bunyi berus disental dan bunyi penyodok. Perasaan Telipuk? Entahlah, tak ada bahasa nak Telipuk jelaskan. Sungguhlah, semuanya milik Allah belaka. Apa yang kita banggakan selama ini tak ada satu pun kita punya. Bila Allah nak ambil, bila-bila masa Dia boleh ambil dan Dia ambil macam itu sahaja.
Kita siapa nak menidakkan kehendak Allah? Siapa kita nak menafikan kekuasaan Allah? Kita tak ada apa-apa. Apa yang kita ada semuanya pinjaman belaka. Perkara ini semakin hari kian mengetuk dan menyentuh jiwa Telipuk. Bila teringat segala apa yang menimpa kita kebelakangan ini, ia akan membawa kita kepada satu perkara sahaja. Semuanya dalam genggaman Allah. Telipuk teringat firman Allah dalam Suarah Al-Hadid, ayat 22-23 yang bermaksud :
" Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri".
Bila kenang ayat ini, dan faham maksudnya maka jiwa akan bebas dari rasa sedih dan takut. Bila kita sedih? Kita sedih akan perkara yang telah berlaku iaitu apa-apa jua perkara yang menimpa kita seperti kehilangan harta benda dan insan tersayang. Dan bila pula kita takut? Kita takut dengan masa depan iaitu kita takut , risau dan bimbang akan kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi. Takut kena buang kerja, takut ditinggalkan orang tersayang, takut dengan penyakit dan macam-macam lagi. Jadi ayat ini memberitahu kita bahawa apa yang telah dan akan terjadi ada dalam pengetahuan Allah. Dan Allah bagitau kita supaya kita jangan sedih dan jangan takut. Ianya seperti kita bagitau anak kita, minggu depan duit belanja sekolah awak ibu kurangkan kepada 50 sen saja. Hari hari kita bagitau benda yang sama. Tiba hari kejadian, bila kita bagi 50 sen, anak tu pun ambil dan tak kata apa-apa. Sebab? Sebab dia dah tahu. Dia sedih tak? Dia tak sedih sebab dah ready.
Kalau kita sedang bersedih dan orang cakap kat kita sabarlah, terima lah ingatan itu dengan syukur. Betul, bukan senang nak sabar. Dan orang yang melihat ni mungkin senang saja cakap..sabarlah ye. Tapi sesungguhnya itu sahaja nasihat terbaik yang boleh diberikan. Bukan nasihat yang cliche' . Tak ada nasihat yang lebih baik dari sabar. Kerana apa, kerana dengan bersabarlah maka akan beroleh pahala/ganjaran yang tidak terkira. Nak pakai bila ni pahala sabar ni, haa...tunggu kat akhirat nanti kita collect. Memanglah sebab kat dunia ni bila orang cakap sabar, kita rasa tenung si pemberi nasihat tu macam makin kecik, makin kecik, makin kecik je aku tengok eh...Aku yang menanggung tahu, kamu senanglah cakap. Sabarrrr. Jangan lihat dengan kaca mata dunia, lihatlah dengan kaca mata akhirat. Beruntunglah kalau ada yang boleh mengajak kita berpesan-pesan dengan kesabaran kerana Allah memberi berita gembira khusus buat orang-orang yang sabar dalam menghadapi ujian iaitu :
- Mendapat pujian daripada Allah dan para malaikat
- Beroleh rahmat Allah iaitu diampunkan dosa-dosa mereka
- Rahmat Allah bagi yang ikhlas beriman dengan ditinggikan darjatnya
- Beroleh ganjaran pahala yang tidak ada had
- Pengiktirafan daripada Allah bahawa orang-orang yang sabar dalam ujian sahaja yang sebenarnya mendapat petunjuk Allah
- Syurga
Semoga kita semua terselamat daripada musibah yang lebih dahsyat iaitu musibah iman dan kesusahan di akhirat.