Showing posts with label Serba Boleh. Show all posts
Showing posts with label Serba Boleh. Show all posts

Tuesday, November 26, 2019

Antara Sentul Dan KL Sentral

Pada suatu hari beberapa ketika yang lalu, Telipuk naik LRT ke tempat kerja. Semangat juga nak menapak ke stesen Sentul Timur sebab bolehlah tambah langkah yang nampak payah sungguh nak cecah 10,000 langkah sehari tu.

Biasa bila naik pengangkutan awam ni, mata Telipuk memang jarang nak perhati orang. Telipuk akan membuang pandang melangkaui dimensi kesedaran. Ahahaha. Biasalah, orang introvert. Dalam keadaan macam itu, Telipuk terpandang tulisan di belakang baju seorang pekerja (Telipuk rasalah) Bank Allianz.

Tulisan slogan syarikat yang berbunyi..."Allianz. With you from A to Z". Oooo....menarik juga ek. A-----z. Kreatif kan? Dalam dok berangan tu, tren tiba di stesen Sentral. Pekerja (tekaan Telipuk) Allianz itu turun di situ. Dan Telipuk perasan ada papan pemasaran Allianz Bank di sekitar kawasan platform. Yang menariknya, slogan tadi diterjemahkan sebagai "Allianz. Melindungi anda dari A ke Z" dalam bahasa Melayu.

Hemmm...sejak bila pula perkataan "with" itu terjemahannya "melindungi". "with" boleh diterjemah kepada "bersama". Ya, betul. mungkin ianya bukan terjemahan langsung...biasanya, yang penting dalam terjemahan ini ialah untuk menyampaikan makna yang tepat dalam bahasa sasaran. Mungkin sebab insuran itu yang bersifat melindungi maka terjemahannya begitu. Namun begitu, rasanya Telipuk lebih suka perkataan "Bersamamu" sebagai ganti kepada "With you" sebab kebersamaan itu juga boleh bersifat melindungi. Dengan adanya Allianz bersamamu bermula dari awal (A) sampai akhir (Z) maka kamu beroleh manfaat perlindungan yang menyeluruh.

Tak nak terjemahkan A...Z itu ke? Hahaha...yang tu tak pe...ianya untuk menyerlahkan uniknya nama Allianz yang aksaranya disusun bermula dengan A dan berakhir dengan Z. Kreatif kan...

Thursday, November 21, 2019

Memberi Makna

Ketika menunggu giliran melepasi persimpangan berlampu isyarat menghala ke Phileo Damansara 1, Telipuk terpandang satu papan iklan (billboard) yang tersergam (tapi tak berapa megah) di tepi jalan.

Tertera di situ tulisan "PENDERITAAN MENTAL WUJUD BERSAMA KESAKITAN FIZIKAL".
Sekali baca...hemmm...tak faham. Mujur ada teks bahasa Inggeris yang berbunyi, "Mental Pain is as real as Physical Pain"...laaaaa...faham terussss.

Jadi, sebenarnya ayat berbahasa Melayu itu adalah hasil terjemahan. Patutlah bunyi pelik. Bukan senang tau nak menterjemah untuk memastikan maksud dan konteks asal ayat kekal. Kalau terjemahan berbunyi "Penderitaan Mental Wujud Bersama Kesakitan Fizikal", maksudnya setiap kali awak mengalami kesakitan tampak...contohnya sakit kaki ka...buah pinggang ka...kesakitan yang 'tangible' makanya anda akan turut sama mengalami kesakitan mental. It comes together...macam beli satu dapat percuma 1 pulak. Sedangkan ayat asalnya membawa maksud yang berbeza , "Mental Pain is as real as Physical Pain". Di sini, ayat ini nak bagitau...sakit mental tu sama sakitnya macam sakit fizikal jugak. So, kalau hang tengok orang yang mengalami sakit mental...treat them seriously , care for them...macam jaga orang sakit . Bukan buat tak reti atau buat derk sebab lukanya ko tak nampak. Haaaaa...clearkan....

Ate, cemana tu nak diterjemahkan?

Kalau ikut pandangan Telipuk yang tak de sijil atau diploma penterjemahan ni (tapi saja suka menyibuk), ayat "Mental Pain is as real as Physical Pain" sepatutnya diterjemahkan kepada "Sakit Mental Sama Sakitnya Seperti Sakit Fizikal". Telipuk tak buat terjemahan 'direct' ke atas perkataan "real", hanya ambil konteks sahaja...janji maksudnya sampai.

Hemmm...tu la, selalu pejam-pejam mata jer bila jumpa terjemahan yang lari dari maksud asal. Tapi kali ni memang tak puas hati sungguh...eloklah meluahkan di blog yang semakin terpinggir ini.



Monday, December 05, 2011

Perihal Bahasa

Hari ini saya menerima emel pemberitahuan daripada LinkedIn.

Tuan/Puan Anira,

Hari ini kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa LinkedIn boleh didapati dalam Bahasa Malaysia. Dengan ahli melebihi 120 juta orang di seluruh dunia, LinkedIn adalah destinasi online terbaik untuk profesional seperti anda bertukar informasi, idea dan peluang baru. Sekarang anda boleh mengakses semua peluang yang berikut menggunakan bahasa yang anda selesa gunakan.

Mahu menggunakan LinkedIn dengan lebih berkesan? Lawati halaman bahasa pilihan anda untuk membaca mengenai petua dan teknik berkenaan cara berhubung dengan rakan sekerja, membina profil anda, mengakses LinkedIn dari peranti bimbit anda, dan banyak lagi.

Salam Hormat,
Arvind Rajan
Naib Presiden,
Antarabangsa di LinkedIn


Aha...LinkedIn, jaringan sosial untuk para profesional eceh ceh ceh...saya terperangkap dalam jaringan ini setelah menerima jemputan seorang rakan...pun ada perancangan untuk segmen pengguna berbahasa Malaysia. Ia satu pengiktirafan. Kalau tidak, kenapa hendak bersusah payah memberi pilihan. Pejam mata sudah. Baguslah mereka tak berfikir macam orang kita. Kalau kita, tak apalah, cukuplah ada Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bahasa kedua rakyat kita, mereka tentu boleh faham. Macamana Bahasa Malaysia hendak mengambil tempat sebagai bahasa rasmi negara?

Oh ya, kebetulan semalam saya ter'tengok'(sudah semestinya tidak dirancang), satu program pertandingan Lagu Bahasa Melayu peringkat Antarabangsa 2011 di saluran TV1. Bior benor? Iya...tak tipu! Tapi dah saat-saat akhir juga, sempatlah dengar persembahan peserta Khazakhtan menyanyi lagu 'Asmaradana'. Ada lagu 'Permaidani', 'Mimpi Laila'...heheh...menarik! Kita sudah pernah ada pertandingan debat, pantun dan sebagainya. Saya rasa, ada banyak perkara lagi boleh dilakukan dan semestinya ada masa depan untuk bahasa ini...kalaulah kita benar yakin dan percaya!

Dan pagi ini di Cyberjaya, saya memenuhi tuntutan kerja menghadiri satu sesi dialog dengan badan kawalselia negara Korea Selatan. Sangat menarik kerana itulah kali pertamanya berbincang dan bertukar-tukar pandangan menerusi jurubahasa. Mereka sangat bersemangat dan dengan bangga menggunakan bahasanya, saya tidak nampak sebarang kejanggalan dan keperluan untuk menjaga hati siapa-siapa. Korea, negara yang sangat maju dari segi aplikasi internet dengan jalur lebar berkelajuan tinggi. Negara yang kita ingin contohi dan mereka maju dengan acuan mereka sendiri. Kandungan tempatan mereka sangat hebat...segala-galanya hanya dengan bahasa sendiri. Kita???

Benar saya tak faham kenapa saya masih terdengar-dengar rungutan tentang PPSMI, yang kononnya ia patut diteruskan. Kita patut kukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pengajaran bahasa itu sendiri. Bukannya menumpang pada Matematik dan Sains yang ada 'bahasanya' tersendiri untuk dikuasai. Alasan lapuk betullah kalau kata kena buat macam tu sebab buku rujukan di peringkat tinggi dalam Bahasa Inggeris...kalau saya, budak kampung yang tiba-tiba sahaja kena kelek dan belek buku rujukan tebal berbahasa Inggeris ketika masuk universiti...boleh lakukannya tanpa banyak masalah...kenapa yang lain tidak?

Heheh...tak habis kalau hendak berdebat tentang bahasa.

Jom, siap hendak balik kampung...

Wednesday, October 28, 2009

Bakat Berkemban (bukan 'berkembang"!)

Tahniah! Tahniah! Baguslah, awak dah semakin berani mengembangkan bakat. Dulu masa belum kahwin, awak tak hendak seksi-seksi ini...tapi selepas kahwin, awak rasa kenalah ada peningkatan. Barulah boleh orang gelarkan awak, pelakon yang serba boleh!

Ya tak ya jugak, apa salahnya awak terima watak berkemban. Bukan banyak mana pun, bincang punya bincang dengan pengarah...setuju dia kurangkan sehingga 70%...huiii...banyak tu pengorbanan semata-mata nak jaga maruah awak, kan? Ala...6 babak saja pun. Lagipun berkemban atas sebab mengikut jalan cerita, bukannya awak dieksploitasikan. Betul, tak?

Yang bestnya, suami awak pun memang menyokong penuh karier lakonan awak. Awak berdua dah pun berbincang tentang batasan-batasan yang perlu dijaga dan suami awak telahpun memberikan keizinan untuk awak lebih menyerlah dan menonjol dalam lakonan. Harap-harap keberanian awak menerima cabaran berkemban itu dapat melayakkan awak digelar pelakon berbakatlah hendaknya.

Awak tahu, nyaris saya tergelak berguling-guling sebab awak dicabar pelakon veteran itu. Yelah, dia kata, kalau tak sanggup...jangan jadi pelakon. Dan sebab itu awak rasa tercabar untuk membuktikan keberanian awak? Awak ni...agaknya kalau orang mengatakan awak ni sebenarnya lelaki dan bukan perempuan..."cuba tunjukkan bukti?"...huiii...takut saya membayangkan awak menyambut cabaran itu!

Apa-apa pun, ikut awaklah. Saya cuma terkilan dengan ketewasan awak dengan 'cabaran' dan alasan 'mengembangkan bakat' itu. Eh...lupa pula, saya pun bukanlah rajin sangat tengok drama tu...hihihi...jadi tak kisahlah, awak nak berkemban ke, nak bukak semua sekalipun pasal dah sah-sah saya tak tengok juga. Saya tunggu majlis anugerah ajelah kot, mana tahu...tahun ini awak boleh pegang trofi tu...ye...?