Friday, October 06, 2017

Strategi

Gembira melihat hasil kerja pertama saya disiarkan menerusi emel dalaman hari ini. Antara beberapa usaha tidak seberapa yang saya sendiri tak sangka boleh terjebak. Kerja-kerja sukarela dalam syarikat. Asalnya sekadar menumpang-numpang, menyendeng mengambil tahu. Akhirnya, tersangkut sekali. Benda kecil sahaja, tetapi mengharapkan yang kecil ini menjadi sesuatu yang memberikan manfaat.


Saya mudah 'terhibur' apabila mengikuti kisah orang-orang soleh yang ketika hari pengkebumiannya begitu ramai manusia datang menziarahi serta mengiringi jenazahnya. Kadang-kadang orang yang kita tidak tahu pun apa amalannya, namun dilihat menerima penghormatan yang tinggi dihari kematian sehingga membuatkan hati ini terdetik dan rasa dijentik sama, ingin mendapat penghormatan serupa. Kematian anak-anak tahfiz Darul Ittifaqiyah juga antara keajaiban bagi saya, Besarnya penghormatan yang mereka terima. Saya yang tidak kenal mereka pun boleh gigih menyeka airmata dan berkirim doa. Hebatnya insan-insan yang Allah sayang.

Jadi, harapnya dengan penglibatan saya , orang akan kenal saya. Bukan saya mahu sanjungan...tapi saya mahu mereka ingat saya pada hari saya pergi meninggalkan dunia ini. Saya mahu lebih ramai orang mengirimkan doa untuk saya. Mungkin akan kedengaran, siapa ye si Polanah ni...lalu dijawab, owh...dia tu lah yang jaga Biro tut tut dan buat ini...eheheh...koman2 orang ingat siapa saya...kemudian diaorang cakap, owhhh...yang itu. Kenal!kenal! Jomlah kita pergi ziarah jenazahnya. Saya insaf, kalau di kawasan perumahan saya, berapa kerat sangatlah yang boleh datang kot...sendiri pun tak akrab dengan jiran...jadi mengharapkan persaudaraan di tempat kerja inilah harapnya dapat memberikan sedikit kelebihan.

Jadi begitulah, sikit demi sedikit saya mahu menghulurkan salam perkenalan , menjalin ukhwah sesama kita biar tidak sedalam mana, cukuplah untuk kau mengenaliku , saudara seagamamu.