Sekejap saja sudah hari Khamis. Tahun ini saya kerap kali tersasul menyebut hari dan tarikh. Saya harap ianya kerana keliru dengan kepantasan masa dan tugasan yang tidak pernah habis, bukan kerana faktor usia yang sudah melepasi 'rembang'...heheh...tak pe, usahakan yang terbaik untuk 'permainan' separuh masa kedua ini ye...gambatte!!!
Masih berkisar tentang masa, rupa-rupanya minggu depan sekolah sudah mula bercuti seminggu. Seperti biasa emak akan balik kampung. Lagi??? Belum habis suku pertama tahun, emak sudah beberapa kali berulang-alik balik ke Perak. Maklumlah, dulu selalu ikut kelapangan kami, tapi sekarang asal teringat sahaja dia boleh balik sebab dia sudah pandai naik bas ekspress. Hantar pagi, tengahari sudah sampai kampung. Senang.
Bila emak balik kampung, dia akan teruskan aktiviti dengan geng-geng di sana. Geng surau, geng marhaban, geng kenduri dll. Lepas tu dia 'stress'...bila dapat soalan-soalan sama yang dia dah naik malas hendak jawab. Antara soalan popular yang kerap diterima ialah..."Engkau duduk KL tu, mengasuh budak ye , Som?". Dulu mak jawab, tak, cuma tengok-tengokkan aje sebab cucu-cucu dia dah besar. Hanya nak ada orang tunggu di rumah meneman mereka. Rupa-rupanya soalan itu lebih menjurus hendak tahu samada emak saya mengambil upah menjaga budak (sambil menyelam minum air) sebab katanya, "Kat sana mahal!". Diaorang ingat emak duduk dengan saya ni untuk cari 'duit'.
Rasa nak 'bako' jer mak cik-mak cik kepoh ni...
Tapi sebenar-benarnya ada juga pernah seseorang bercakap dengan saya dengan nada tidak setuju saya buat mak ayah (masa ayah masih ada) begitu...(tinggal dengan saya), sepertinya saya mengambil kesempatan. Sepatutnya saya ambil orang gaji. Tak payah menyusahkan mak ayah. Sedih saya...
Saya tidak bawa mak ayah saya tinggal dengan saya untuk jadi 'orang gaji'.
Semasa saya masih belajar lagi, saya selalu katakan kepada emak dan ayah iaitu..."bila saya sudah kerja dan ada rumah sendiri nanti, saya nak emak dan ayah tinggal dengan saya". Saya sudah buat perancangan itu sebelum saya terfikir tentang cinta dan rumahtangga. Saya rasa itu adalah cita-cita kebanyakan anak-anak yang ingin ibu dan ayahnya merasa hidup lebih selesa setelah puas hidup susah menyara keluarga. Salah kah?
Saya bernasib baik kerana ibu mertua tinggal berhampiran ketika saya melahirkan anak-anak saya dan ibu mertua saya menawarkan diri menjaga anak-anak saya ketika mereka masih kecil. Syukur alhamdulillah, kerana itu, saya memang tidak terfikir hendak mengambil orang gaji kerana tiada keperluan untuknya. Pada masa itu saya memang sudah hendak emak dan ayah tinggal dengan saya, tetapi mereka merasakan belum masanya.
Emak dan ayah akhirnya bersetuju tinggal dengan saya ketika anak sulung saya mula bersekolah. Pada ketika itu juga ibu dan bapa mertua saya telah berpindah ke kampung halaman mereka di Melaka. Saya rasa lega kerana mereka ada di rumah, boleh tengok-tengokkan anak-anak saya. Juga lebih mudah nak uruskan mereka bila perlu ke klinik, hospital atau apa-apa rawatan yang perlu sebab semuanya dekat dan ada kenderaan. Ini memang terasa terutamanya ketika saya menguruskan pemergian kedua-duanya ke Mekah. Ketika itulah baru ayah mahu 'menyerah' diri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih teliti dan sanggup ke hospital. Saya dan suami bergilir-gilir berurusan, masa saya 'free' saya uruskan...masa dia 'free' , dia yang uruskan.
Saya bersyukur dengan perjalanan hidup kami yang Allah mudahkan. Sekarang tinggal emak seorang dan sebagai anak, saya rasa bertuah kerana berpeluang untuk menjaganya walaupun banyak kelemahan saya. Saya cuba penuhi apa kemahuannya, termasuk membenarkannya pulang ke kampung pada bila-bila masa yang dia suka. Sebetulnya, saya tak berapa suka juga dia naik bas seorang diri...tetapi buat masa sekarang itulah pilihan yang paling praktikal. Cumanya, kalau dia nak balik, saya tak benarkan dia bawa beg bersaiz besar, juga saya akan dapatkan tempat duduk paling depan.
Setakat hari ini, saya selesa dengan 'arrangement' yang ada. Saya tidak tahu di hari kemudian bagaimana dan saya hanya akan memikirkan tentangnya bila hari itu tiba. Namun, bermula dari hari ini juga sebenarnya saya sudah mempersiapkan diri untuk berdepan dengan kemungkinan emak tak mahu tinggal dengan saya lagi. Saya yakin emak suka dan gembira tinggal dengan saya tetapi saya faham hati emak, walaupun jasadnya di sini, hati dan ingatannya tetap kepada anak-anak dan cucu-cucu yang masih tinggal di kampung. Saya faham bila emak merasakan yang dia tidak begitu perlu berada di sini. Saya faham yang kadang-kadang emak bosan bila tak ada benda nak buat. Saya faham dia sunyi bila anak-anak saya ke sekolah dan saya pula hanya balik menjelang senja. Cuma perkara yang dia suka ialah, dia boleh beribadat semahu-mahunya. Boleh khatam Al-Quran berkali-kali. Boleh dengar CD dan tengok VCD ceramah...itu yang sampai suka benor dengan Ustaz Kazim. Bab yang itu emak memang tak boleh komplen...heheh...kalau kat kampung, macam-macam dia nak buat....nak tanam pokoklah, nak pergi marhabanlah, nak pergi mesyuarat Umno lah...hehehe...emak rasa dia lebih di'perlu'kan di kampung.
Saya gembira emak ada dengan saya. Kalau dia tinggal di kampung, entah berapa bulan sekali baru saya dapat balik. Faham-faham sahajalah kita kerja dengan orang, kalau sendiri bos sendiri kuli...bolehlah adjust sesuka hati. Kalau bukan cuti sekolah, lagilah payah. Itupun kalau cuti sekolah dah ada...belum tentu suami boleh dapat cuti. Dia lagilah susah nak dapat cuti berbanding saya...awal-awal tahun sudah kena siap jadual cuti...tak boleh suka-suka nak bercuti. Lagipun, bila emak di sini, senang juga adik saya di Kelang dan Melaka boleh datang berkumpul di rumah saya. Mereka pun sama macam saya juga, payah hendak bercuti. Walaupun adik saya di Klang tu cikgu, rupa-rupanya jadi cikgu lagi kesian...hujung minggu pun ada aktiviti. Ish...ish...ish...
Sebenarnya hati saya tersinggung bila menerima tuduhan sebegitu...saya tidak nafikan dengan adanya emak, saya boleh datang kerja dengan hati lapang kerana ada orang di rumah. Tapi nak kata saya 'menggunakan' emak itu...saya tak boleh terimalah! Suami saya balik tengahari tiap-tiap hari untuk jemput anak2 balik sekolah. Kalau tak sempat, saya ambil alih. Drive balik walaupun tahu bila balik pejabat terpaksa berdepan dengan masalah mendapatkan tempat parkir. Senang2 naik lrt...berpeluh berminyak sampai pejabat...kalau mengejar mesyuarat lagi haru. Hemmm...tak apalah, tak payahlah nak memberi justifikasi di sini Telipuk oiii...orang bukan tahu pun kehidupan kita macamana. Kan saya sudah kata, tak perlu dengar cakap orang. Biarlah apa orang nak cakap. Orang tu bukannya tahupun apa yang berlaku dalam hidup kita ni...sekadar melihat luaran dan sesedap rasa meluah pendapat. Barangkali dia buat perbandingan berdasarkan pengetahuan dan maklumat sedia ada dalam kepala dia saja dan tidak melihat skop yang lebih luas sebelum bercakap. Barangkali dia miskin empati. Kesian dia...dah ketandusan isu untuk diketengahkan....
Biarkanlah...
(Tiba-tiba pulaklah beremosi...)