Thursday, March 28, 2013

As-syifa

Hari ini ingatkan sampai awal (cuti sekolah jalan clear giler...), bolehlah lepas satu ceramah UKE di YouTube sesudah menghabiskan ceramah terdahulu yang berdurasi lebih 2 jam selama beberapa hari. Maklumlah kan, akses ke media sosial seperti itu cuma dibenarkan sebelum waktu kerja bermula. Malangnya, tak boleh pulak display video pagi ini...entah apa hal. Akhirnya, setelah sekian lama, melencong masuk FB.

Lama tak masuk FB ni, bukan sebab apa...saya takut bila baca status orang, hati saya pula berkata-kata di dalam. Tak sedar kita dok mencebik atau mengata orang...nak buat macamana, kalau dah orang tu jenis yang suka tulis benda-benda begitu...yang hang pi baca tu apasal? Haaa...so, tak payah nak susah-susah tak puas hati dengan orang, tak payah masuk senang cerita!

Alhamdulillah, jumpa perkongsian yang menarik dalam FB. Saya terus salin. Letak kat blog senang, boleh rujuk bila-bila perlu dan kongsikan dengan pembaca. Ianya tentang amalan yang boleh dilakukan untuk memusnahkan sel-sel kanser dalam badan dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Bercakap tentang penyakit ini, nampaknya sekarang rata-rata orang yang kita kenal ada menghidapi atau ada keluarga, saudara atau kenalan yang menghidapi penyakit ini. Dulu bila orang cakap tentang kanser...dengar macam 'rare' aje...tapi sekarang dengar, dah mangli. Rakan baik saya pun kena, alhamdulillah, dengan izin Allah, dia kembali sembuh dan berkeadaan baik. Minggu lepas, semasa saya berjumpa dengan seorang rakan dari bidang penyiaran, terkejut dimaklumkan dia baru sembuh daripada pembedahan membuang ovari akibat kanser. Patutlah lama tak nampak bila bermesyuarat. Rupa-rupanya dia sakit dan tak mahu ramai orang tahu tentangnya.

Baiklah, berbalik kepada amalan yang dipaparkan di dinding rakan FB saya itu, ini adalah antara usaha yang boleh kita lakukan. Penyembuhan sudah tentu dari Allah jua, kita hanya mampu berusaha. Sememangnya Al-Quran itu sendiri adalah sesuatu yang ajaib. Ia adalah mukjizat terbesar yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad S. A.W. Kuasa penyembuhan Al-Quran ada dinyatakan menerusi Firman Allah dalam ayat 82 Surah Al-Israa yang bermaksud, "Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian".

Mula-mula, sediakan botol/bekas yang berisi air bersih (untuk diminum). Istighfar sebanyak 10 kali, diikuti dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W juga sebanyak 10 kali. Seterusnya, bacalah surah Al-Fatihah sekali.

Baca ayat-ayat Al-Quran berikut, setiap kali selesai mengikut surah, tiupkan kepada air.


  1. Ayat 82 sehingga 91 Surah Al-Maidah
  2. Ayat 70 sehingga 81 Surah Al-A'raaf
  3. Ayat 16 sehingga 28 Surah Ar-Ra'd
  4. Ayat 38 sehingga 50 Surah Al-Anbiyaa'
  5. Ayat 185 sehingga 227 Surah Asy Syu'araa'
  6. Ayat 42 sehingga 52 Surah Az Zumar
  7. Ayat 67 sehingga 77 Surah Al-Mu'min
  8. Ayat 52 sehingga 70 Surah Az Zukhruf


Beri minum tiap-tiap hari dan sapu/mandi pada anggota yang terkena penyakit itu.

Adalah lebih baik kalau bacaan ini dilakukan oleh pesakit itu sendiri. Tetapi, sekiranya bacaan kurang lancar atau kurang elok, bolehlah meminta orang lain membacakan untuknya.

Oh ya, perlu ditegaskan di sini, sewajarnya Al-Quran itu harus menjadi bahan bacaan sehari-hari dan tidaklah hanya kerana ada berhajat akan sesuatu barulah kita sibuk mencari Al-Quran. Itu bukan cara yang betul. Saranan ini hanyalah tambahan kepada ikhtiar yang kita ada, mudah-mudahan berhasil.

In Shaa Allah.

Tuesday, March 26, 2013

Cara Saya

Nak tergelak saya bila BGA dengan selamba meramalkan tindakan yang saya akan buat jika berdepan dengan situasi-situasi tertentu. Walaupun rasa kelakar...betul juga!

Berdasarkan karekter kami, BGA mengkategorikan dirinya, Lotuslily dan Rosebud dalam kumpulan 'budak nakal' ketika di sekolah dan masih sempat buat 'nakal' bila-bila sesuai sekarang. Lotuslily dan BGA pernah menumbuk seseorang ketika bersekolah...of course, atas sebab-sebab yang munasabah. Lotuslily sebab tak puas hati mamat tu mengorat dia...hahaha...dan BGA pula sebab mangsa bersikap kurang ajar dan memulakan dulu. Waaa...hebat mu...!Rosebud tak ada di sini untuk menokok tambah tapi saya ingat cerita dia membaling kapur kepada cikgu Sainsnya yang sedang tekun menulis di papan hitam. Bila si guru menoleh, dia boleh selamba buat tak tahu dan tak mengaku bila ditanya. Bila si guru meneruskan tugasnya, dia buat lagi. Hahaha...gedebe sungguh!

BGA kata, sekiranya saya bersekolah dengannya dulu, dia pasti akan menjadi 'hero' yang akan mempertahankan saya sebab dia kata, "Nira sure tak akan buat benda-benda ni...kalau kena provoke pun gerenti tak melawan". Hahaha...betul...betul...betul...

Misal katalah, bab nak menggunakan telefon awam. Masa di kampus dulu, waktu malam, ramai yang berebut-rebut nak guna payphone untuk telefon rumah atau boipren. BGA kata, kalau yang guna tu 'bergayut', siaplah...dia akan baling batu (small size la) satu-satu sampai minah tu berhenti bercakap. Lotuslily pula akan 'harass' dengan caranya yang tersendiri. Aku? Err...Aku akan keep on intai sampai line clear...jengok-jengok ada orang, patah balik bilik. Tengok lagi, masih ramai orang...patah balik. Bila kerap kali begitu, terus patah hati. Last-last solusinya...tak pe lah, call esok jer la.

Memang saya begitu. Tak pandai hendak berkonfrontasi. Kalau terhidu 'masalah', awal-awal lagi dah 'belah'. Tak pandai nak berebut. Kadang-kadang, simple things pun saya akan mengalah...misalnya, saya teringin hendak membeli sesuatu. Bila masuk ke kedai dan saya dapati ramai orang sedang berada di rak yang saya hendak pergi, saya boleh keluar dengan membeli benda lain sebab rasa, tak payahlah berebut...benda lain ada. Sebab itu saya lebih suka naik tangga daripada menaiki lif sesudah parking kereta. Bukan apa, bila lif terbuka, ada banyak mata akan pandang saya (terutama kalau lif penuh) dan rasa macam diaorang bengang bila saya paksa lif itu berhenti untuk ambil saya. Lebih-lebih lagi kalau saya cuma nak ke satu tingkat di atas...err...sebenarnya ramai yang tak kisah pun sebab malas nak naik tangga. But, they just don't care! Yang kau ni peduli sangat , lu punya pasal la kan?

Dulu frust juga...teringin nak jadi seseorang yang lebih tegas dan digeruni. Yang berani mengatakan kemahuannya dan mendapatkan apa yang dia mahu...bukan hanya berpuas hati dengan apa yang tinggal. Tetapi bila difikir-fikirkan, hemmm...rasanya biarlah...itukan kepelbagaian ciptaan Tuhan. Kalau semua orang sama hebat, sama berani, sama garang, sama tegas...siapa pula yang nak jadi penakut, penurut dan pematuh? Heheh...

Terima dan hargai diri sendiri. Bukan pengiktirafan orang yang hendak dicari.
Masing-masing ada peranan yang perlu dimainkan dan dengan pendekatan yang tersendiri.

You're special!!!

Monday, March 25, 2013

Demam PRU

Sebenarnya saya tak kisahpun kalau ustaz-ustaz yang menyampaikan ceramah itu hendak menyentuh soal politik. Rasanya saya tak ada masalah bilamana isu-isu politik dikupas panjang lebar dalam masjid sekalipun kerana saya berpendapat bidang politik juga antara cabang-cabang yang ada dalam Islam memandangkan sifat Islam yang syumul. Islam mengajar cara berpolitik yang betul.

Sekali dengar saya buat bodo je...
Dua kali dengar buat tak faham jer la...
Tiga kali dengar...aiii...
Empat kali dengar...mulalah nak mual...

Tak payahlah nak hukum orang itu fasik, orang itu kafir...kita sendiri pun belum tentu hujungnya bagaimana. Saya setuju dengan UKE, kita patut bercakap dan bekerjasama mencari jalan bagaimana mahu menyatukan saudara kita yang bertelagah. Begitu banyak persamaan yang kita ada, mengapa yang berbeza itu juga hendak kita canangkan? Mengapa yang perbezaannya tak sebanyak mana itu kita jadikan alasan untuk tidak bersatu?

Saya simple aje orangnya, ok? Tak payah nak bercakap berdegar-degar tentang isu ini, isu itu...jangan fikir kalau saya diam begitu...maknanya saya tak faham apa-apa, tak ada pendirian dan boleh dimanipulasi. Saya kalau nak bagi sokongan pun tengok orang jugaklah...tak kiralah parti belah mana pun. Kita patut tengok kredibiliti calon. Kalau yang jenis asal buka mulut aje mencerca orang...sorry la, bro! Udah...kalau semua orang tak betul...siapa yang betul? Kamu sorang jer la betul!

Pada saya, di mana-mana pihak pun ada kesilapannya, ada kelemahannya. Kelemahan itu hanya dapat kita perbaiki kalau kuasa masih ada dikalangan kita. Sekurang-kurangnya kita masih bersaudara dalam bab agama, saya tak fikir tak ada jalan untuk kita sama-sama duduk berbincang dari hati ke hati, menegur dan memperbaiki. Hemmm...maaflah saya mula berlagak seperti seorang pejuang sejati...terbawa-bawa pula. Lagipun dah lama saya menahan diri daripada mengupas perkara-perkara seperti ini. Tak tahan sangatlah tu rasanya kena keluarkan sikit!

Saya rasa Ustaz-ustaz patut lebih mengupas tanggungjawab pemimpin. Beratnya tanggungjawab yang dipikul, bukan sekadar di dunia tapi di akhirat sana. Jenuh nak berdiri menjawab bagaimana amanah yang diberi dilaksanakan. Kalau pemimpin yang telus dan ikut macam Rasulullah buat, alhamdulillah, kalau yang menyeleweng dan kerjanya hanya nak pastikan keselesaan dalam pemerintahan...siaplah kau labu...Tapi adakah yang rasa gerun hendak berhadapan dengan mahkamah akhirat ini?

Kata seseorang kepada saya beberapa lama dahulu, orang-orang ini...kalaulah mereka tahu apa yang menanti mereka di hari kemudian, pastilah mereka bertolak-tolak tak mahu ambil sebarang jawatan. Sedangkan kita yang kuli ini pun masih perlu berdiri lama di depan Allah hendak menjawab soalan tentang bagaimana kehidupan dunia ini kita habiskan dan kita usahakan...inikan pula para pemimpin yang mana setiap tindakan mereka boleh memberi impak yang besar ke atas kehidupan manusia lain....kau sanggup???

Bias tak saya? Rasanya entri ini terpakai untuk semua pihak yang tak sabar-sabar nak mengundi termasuk yang tak kisah apapun , janji menang!

Rasanya la...:)

Nota Untuk Ahli KBJ

Saya ada berjanji dengan kawan-kawan geng kuliah untuk menitipkan nota ceramah di sini. Ceramah yang diadakan pada hari Rabu minggu lepas itu bertajuk "Setelah 7 Tapak Kaki Melangkah" dan disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Syed Abd Kadir Al Jofree (SAK).

Kami semua agak teruja dengan tajuk ini dan masing-masing turun awal merebut tempat...nun dia, duduk depan sekali ooo. Namun, jangkaan kami meleset kerana kupasan yang dibuat tidak menepati tajuk. Ustaz lebih menekan tentang persiapan menghadapi kematian. Kami pula ingat, ada kupasan tentang apa yang bakal dihadapi mayat setelah dibiarkan terbaring bersendirian dalam kubur, yakni lebih menjurus kepada perihal azab kubur. Maklumlah, sesekali telinga disumbat dengan ingatan-ingatan sebegini...bior sentap dibuatnya!

Apapun, setiap majlis ilmu tetap memberikan pengisian yang bermanfaat. Tidak ada istilah rugi, tak berapa best atau kurang umpph kerana kita pergi bukan sebab siapa-siapa...bukan sebab Ustaz ini best, ustaz itu hebat...kita pergi dengan niat hendak mendapatkan sedikit ilmu dan pencerahan kerana Allah Taala. Ingat...niat kena betul. Teringat usikan seorang ahli panel yang berkongsi pentas dengan Ustaz Kazim..."tuan-tuan jangan niat datang sebab nak tengok Ustaz Kazim...nanti sia-sia tak dapat pahala". Hahaha...tapi, bukan nak kata la...I like UKE! Walaupun bila sudah biasa dengan pendekatan dia dan dapat mengesan banyak pengulangan...tak adalah idea baru sangat tapi masih sangat suka kerana penerangannya jelas dan straight forward. Apapun saya mengaku, Ustaz yang paling berkesan masih Ustaz saya...hahaha...walaupun dia tak buat lawak, serius dan akan 'memanggang' kitaorang habis-habisan...dia banyak membantu saya memahami dan menapis ilmu. Syukran ya Ustaz...semoga Allah memberikan ganjaran pahala yang besar kepada tuan.

Baik, berbalik kepada catatan yang sempat saya buat untuk majlis ini, Ustaz SAK memulakan dengan membaca ayat 18 Surah Al-Hasyr yang bermaksud, " Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan".

Kubur itu, kata Ustaz SAK, namanya Baitul Turab...rumah tanah. Rumah sepi. Rumah ulat. Sekarang, kita tinggal di dalam rumah-rumah yang besar dan cukup segala kelengkapan. Ada air-cond. Ada tilam. Ada sofa. Serba-serbi selesa. Ingat...belum tentu nikmat yang serupa ini boleh kita nikmati bila kita pulang ke Baitul Turab. Justeru, setiap diri wajar berasa risau dan mempersiapkan diri bagi menghadapinya.

Manusia memulakan kitaran kehidupannya dengan alam roh. Ketika di alam roh, Allah bertanya kepada kita, "Alas tu birabbikum?" (Apakah Aku Tuhan kamu?) dan kita menjawab dengan yakin, "Bala! Syahidna" (Bahkan...kami naik saksi (Yang Engkau Allah adalah Tuhan kami)).Dari alam roh kita kemudiannya berpindah ke alam rahim. Menjadi nutfah. Seterusnya alaqah. Kemudian mudghah. Sempurna 9 bulan dalam kandungan ibu, kita pun dilahirkan justeru masuk ke alam dunia.

Kita semua sekarang ini berada di fasa kedua iaitu alam dunia. Sudah dua alam kita lalui. Tetaplah akan ada alam yang ketiga. Bersediakah kita untuk masuk ke alam ketiga? Selagi hayat masih dikandung badan, kita masih punya masa untuk membuat persiapan agar kepulangan kita ke alam akhirat nanti menjadi kepulangan yang menyeronokkan. Jangan dipersia-siakan masa yang ada kerana ajal bakal menjemput pada bila-bila masa samada kita bersedia atau tidak.

Sesiapa yang kenal Allah, maka dia akan cinta kepada Allah.
Siapa yang kenal dunia (dan tipu dayanya), maka dia akan benci kepada dunia.

Kalau kita tidak berhati-hati dengan dunia, dunia akan memenjarakan kita. Apabila kita terpenjara dengan dunia, hidup kita akan terseksa kerana disebabkan dunia, kita tidak dapat hendak menghubungkan diri dengan Allah dan RasulNya. Dunia ini dilaknat padanya melainkan tiga yang berikut iaitu :

  • Orang yang banyak zikirnya (mengingati Allah dalam apa jua keadaan)
  • Orang yang berilmu (ilmu yang bermanfaat)
  • Orang yang hadir di majlis-majlis ilmu dan selalu menuntut ilmu
Sempat Ustaz mengusik hadirin yang ada memandangkan 95% adalah wanita dan selebihnya barulah kaum Adam. Kata Ustaz," tak apa...bukan kat tempat tuan-puan je macam ni...kat mana-mana tempat saya pergi pun situasinya macam ni juga". Heheh.

Majlis ilmu ini siapa yang ramai hadir selalunya? Itu yang menyedihkan, kata Ustaz, sebab selalunya yang rajin datang ada 3 golongan iaitu :

  • KBJ iaitu Kelab Bakal Jenazah
  • KRU iaitu Kelab Rambut Uban
  • POP iaitu Persatuan Orang Pencen
Kiranya, bila dah dekat-dekat nak ke penghujung, barulah ramai yang mahu menghadiri majlis-majlis ilmu. Baru nak belajar buka kitab. Bukan kata tak boleh...bolehhhh. Tapi, alangkah baiknya kalau usaha menuntut ilmu ini, mencari bekalan ke akhirat ini, dimulakan semenjak usia muda belia. Bukankah nanti kita akan ditanyakan, "Masa mudamu ke mana kamu habiskan?". Alangkah silapnya kita menghabiskan masa muda dan kekuatan diri mengejar dunia yang nikmatnya tiada kekal sehingga mengabaikan masa depan di dunia yang kekal abadi nanti. Bukankah itu satu kerugian?

Perhatikan bagaimana Allah berfirman dalam Surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud, " Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Perhatikan sebutan 'mati' itu datang dahulu sebelum hidup. Ada 145 kali pasangan mati-hidup ini disebut dalam Al-Quran. Yang mana satu harus diberi keutamaan?

Allah berfirman dalam Surah Al-Qashash pada ayat 77 yang bermaksud, " Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan".

Perhatikan, untuk akhirat, Allah kata, "Ibtigha" iaitu kata perintah (fiil amar) digunakan membayangkan Allah suruh. Allah perintahkan suruh kita cari kebahagiaan akhirat. Manakala untuk dunia, Allah kata, "la tansa" iaitu jangan kamu lupa. Maknanya apa?Maknanya, di sini terlihat dengan jelas bahawa yang harus kita utamakan adalah kebahagiaan akhirat. Mengapa? Kerana di sanalah kehidupan abadi. Tidak akan ada lagi mati sesudah itu.

Kita dapat lihat adanya prioriti di sini. Antara sembahyang dan kerja, yang mana satu kita nak buat dulu? Kalau kita kenal beza makna kehidupan di akhirat dengan kehidupan di dunia, pasti mudah memberi keutamaan.

Lalu apakah maknanya kehidupan kita di dunia ini? Dunia adalah tempat kita mempersiapkan diri untuk akhirat. Sebagai tempat persiapan, dunia pasti akan kita tinggalkan. Ibarat terminal, kita transit di dalamnya sejenak, sampai waktu yang ditentukan, setelah itu kita tinggalkan dan meneruskan perjalanan lagi. Bila demikian tabiat dunia, mengapa kita terlalu banyak menghabiskan hidup untuk keperluan dunia? (kredit untuk   catatan seperenggan yang diambil daripada usrahrasahati.blogspot.com)

Baiklah, tak kira siapa dan di mana kita berada sekarang...harapan masih ada untuk mencapai kebahagiaan di dunia yang abadi. Semua ada permulaannya. Semua bermula dari tiada apa-apa. From zero to hero. Untuk bergerak dari pencapaian '0' kepada angka-angka selainnya, ada usaha di situ. Usaha untuk mencapai sesuatu. Sebelum kita mampu membaca Al-Quran, kita perlu belajar alif, ba, ta dulu...Tak kisahlah walau sudah umur 40 baru dapat membaca sekali pun, nak buat macamana? Kesedaran baru datang. Pedulikan apa kata orang, yang penting, kita berusaha untuk memperbaiki diri. Kita kena tanyakan diri kita, apa yang kita mahu? Apakah hasrat yang ada dalam hati kita? Apa yang kita impikan saat kita perlu berangkat meninggalkan dunia ini. Hari yang telah memutuskan kita dengan dunia. Terputus sudah hubungan dengan manusia. Bila hari itu sampai...apa yang kita hajatkan untuk diri kita bila berada dalam dakapan Baitul Turab nanti?

Renung. Tenung. Menung. Muhasabah elok-elok.

Adalah kubur itu merupakan rumah pertama bagi akhirat. Kubur tak sama macam rumah kita yang kita biasa boleh minta tolong. Nak air, ada orang ambilkan. Nak makan, ada orang masakkan. Konfem tak sama!!! Nikmat-nikmat yang pernah kita rasai itu semuannya sudah terputus, hanya yang akan tinggal 3 perkara sahaja iaitu :

  • sedekah jariah
  • amalan/ilmu yang bermanfaat
  • anak-anak soleh yang mendoakan kita
Jadi, apa yang dikatakan milik kita? Kita sebenarnya tidak memiliki suatu apapun. Semua yang ada kita miliki adalah kepunyaan Allah belaka. Semua yang ada pada kita cuma pinjaman, kita bukan pemilik. Kita hanya mengusahakan. Bukan hak kita. Ada yang kata nyawa itu milik dia. Adakah kita boleh beli nyawa? Ataukah ada siapa-siapa yang boleh beri nyawa? Setakat nak beli insuran nyawa bolehlah. Ada yang kata tubuh badan ni milik dia. Maka, suka hati dialah nak pakai seksi ke, nak telanjang ke...korang apa kisah? Jaga-jaga...tubuh badan itu Allah punya. Dia beri pinjam kita pakai untuk Dia uji kita. Apakah kita patuh dengan perintahNya supaya menutup aurat ataukah kita rasa 'rugi' tak dapat share dengan orang lain bentuk pinggang kita yang ramping bak kerengga itu? Ingatlah, pada hari kita dihadapkan di mahkamah Allah nanti, mulut akan terkunci rapat. Maka pada saat itu yang akan berkata-kata pastilah anggota badan lainnya yang akan menjadi saksi kepada segala perlakuan kita di dunia dulu.

Ustaz memberi contoh selebriti Diana Amir yang melakukan perubahan from zero to hero pada usia muda hanya 26 tahun dan di waktu diri masih dipuja-puji. Diana memilih untuk menjadi hambaNya yang benar-benar patuh. Ketika dalam satu program temubual di radio, Diana ditanya, apa yang sering bermain di fikirannya semenjak hidupnya berubah? Diana kata, dia tak pernah 'miss' ingat kepada 'mati'. Bila bercakap tentang mati, Diana mula menjadi sebak kerana memikirkan siapakah yang akan menemani dirinya ketika berdepan dengan Mungkar dan Nangkir. Itu adik Diana...kita macamana???

Lihat bagaimana Diana mengubah dirinya. Itu patut memberikan kita inspirasi bahawa tidak ada istilah terlewat atau terlambat. Yang penting kesudahan kita di akhir hayat. Kita harus bermula dari bawah, sedikit demi sedikit kita usahakan untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mesti ada keazaman untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Seseorang yang hendak berjaya, dia juga bermula dari '0'. Begitu juga bagi orang yang hendak masuk syurga, dia mesti mula dari tidak beramal kepada beramal. Kemudian diusahakan lagi agal amalan yang dikerjakan semakin baik dan ikhlas.

Begitu seharusnya kita pasakkan dalam diri agar sentiasa memperhatikan bagaimana kita dapat menjayakan agenda akhirat kita nanti. Bukanlah usaha itu kita harus buat dengan jalan membuang dunia seluruhnya, tidak...kena ambil dunia juga kerana dunia itu menyediakan ruang dan peluang untuk kita mencari bekalan. Dunia umpama tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita tuai untuk dijadikan bekalan akhirat. Kalau tak ada dunia, di mana kita hendak menyemai bagi mendapatkan hasil? Cumanya, jangan sampai terlalu mengejar kecemerlangan dunia sampaikan tak ingat membuat persiapan akhirat. Misalnya, bila sudah kaya raya...bukannya kita ingat nak infakkan harta untuk cari pahala sedekah jariah, tapi kita pi pulun lagi nak kaya dan kaya dan kaya lagi sampai sedar-sedar meninggal atas kerusi ketika tangan masih pegang kalkulator nak kira berapa banyak duit yang kita ada....nauzubillah, jangan sampai jadi macam itu. Sibuk mengejar habuan dunia sampaikan tak ada masa nak bersolat. 2 jam kita sanggup usahakan duduk buat kertas kerja yang terbaik yang belum tentu berhasil tapi 10 minit pun tak sanggup kita adakan untuk bersolat menyembah Allah sebagai tanda hamba yang patuh lagi bersyukur.

Mungkin sekarang kita belum nampak...
Tapi nak tunggu sampai bila?

Dengan pastinya kita semua adalah anggota KBJ...sebab bila-bila masa kita boleh menjadi jenazah. Mati tidak mengenal usia. Perhatikanlah persiapan yang ada.

Renung. Tenung. Menung.

Baitul Turab tetap sabar menanti kedatangan kita...elokkah atau jelikkah layanan yang bakal kita terima nanti bergantung kepada amalan yang dibawa.

Mudah-mudahan bermanfaat.

Thursday, March 21, 2013

Mari Memujuk Hati

Sekejap saja sudah hari Khamis. Tahun ini saya kerap kali tersasul menyebut hari dan tarikh. Saya harap ianya kerana keliru dengan kepantasan masa dan tugasan yang tidak pernah habis, bukan kerana faktor usia yang sudah melepasi 'rembang'...heheh...tak pe, usahakan yang terbaik untuk 'permainan' separuh masa kedua ini ye...gambatte!!!

Masih berkisar tentang masa, rupa-rupanya minggu depan sekolah sudah mula bercuti seminggu. Seperti biasa emak akan balik kampung. Lagi??? Belum habis suku pertama tahun, emak sudah beberapa kali berulang-alik balik ke Perak. Maklumlah, dulu selalu ikut kelapangan kami, tapi sekarang asal teringat sahaja dia boleh balik sebab dia sudah pandai naik bas ekspress. Hantar pagi, tengahari sudah sampai kampung. Senang. 

Bila emak balik kampung, dia akan teruskan aktiviti dengan geng-geng di sana. Geng surau, geng marhaban, geng kenduri dll. Lepas tu dia 'stress'...bila dapat soalan-soalan sama yang dia dah naik malas hendak jawab. Antara soalan popular yang kerap diterima ialah..."Engkau duduk KL tu, mengasuh budak ye , Som?". Dulu mak jawab, tak, cuma tengok-tengokkan aje sebab cucu-cucu dia dah besar. Hanya nak ada orang tunggu di rumah meneman mereka. Rupa-rupanya soalan itu lebih menjurus hendak tahu samada emak saya mengambil upah menjaga budak (sambil menyelam minum air) sebab katanya, "Kat sana mahal!". Diaorang ingat emak duduk dengan saya ni untuk cari 'duit'.

Rasa nak 'bako' jer mak cik-mak cik kepoh ni...

Tapi sebenar-benarnya ada juga pernah seseorang bercakap dengan saya dengan nada tidak setuju saya buat mak ayah (masa ayah masih ada) begitu...(tinggal dengan saya), sepertinya saya mengambil kesempatan. Sepatutnya saya ambil orang gaji. Tak payah menyusahkan mak ayah. Sedih saya...

Saya tidak bawa mak ayah saya tinggal dengan saya untuk jadi 'orang gaji'.

Semasa saya masih belajar lagi, saya selalu katakan kepada emak dan ayah iaitu..."bila saya sudah kerja dan ada rumah sendiri nanti, saya nak emak dan ayah tinggal dengan saya". Saya sudah buat perancangan itu sebelum saya terfikir tentang cinta dan rumahtangga. Saya rasa itu adalah cita-cita kebanyakan anak-anak yang ingin ibu dan ayahnya merasa hidup lebih selesa setelah puas hidup susah menyara keluarga. Salah kah?

Saya bernasib baik kerana ibu mertua tinggal berhampiran ketika saya melahirkan anak-anak saya dan ibu mertua saya menawarkan diri menjaga anak-anak saya ketika mereka masih kecil. Syukur alhamdulillah, kerana itu, saya memang tidak terfikir hendak mengambil orang gaji kerana tiada keperluan untuknya. Pada masa itu saya memang sudah hendak emak dan ayah tinggal dengan saya, tetapi mereka merasakan belum masanya.

Emak dan ayah akhirnya bersetuju tinggal dengan saya ketika anak sulung saya mula bersekolah. Pada ketika itu juga ibu dan bapa mertua saya telah berpindah ke kampung halaman mereka di Melaka. Saya rasa lega kerana mereka ada di rumah, boleh tengok-tengokkan anak-anak saya. Juga lebih mudah nak uruskan mereka bila perlu ke klinik, hospital atau apa-apa rawatan yang perlu sebab semuanya dekat dan ada kenderaan. Ini memang terasa terutamanya ketika saya menguruskan pemergian kedua-duanya ke Mekah. Ketika itulah baru ayah mahu 'menyerah' diri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih teliti dan sanggup ke hospital. Saya dan suami bergilir-gilir berurusan, masa saya 'free' saya uruskan...masa dia 'free' , dia yang uruskan. 

Saya bersyukur dengan perjalanan hidup kami yang Allah mudahkan. Sekarang tinggal emak seorang dan sebagai anak, saya rasa bertuah kerana berpeluang untuk menjaganya walaupun banyak kelemahan saya. Saya cuba penuhi apa kemahuannya, termasuk membenarkannya pulang ke kampung pada bila-bila masa yang dia suka. Sebetulnya, saya tak berapa suka juga dia naik bas seorang diri...tetapi buat masa sekarang itulah pilihan yang paling praktikal. Cumanya, kalau dia nak balik, saya tak benarkan dia bawa beg bersaiz besar, juga saya akan dapatkan tempat duduk paling depan.

Setakat hari ini, saya selesa dengan 'arrangement' yang ada. Saya tidak tahu di hari kemudian bagaimana dan saya hanya akan memikirkan tentangnya bila hari itu tiba. Namun, bermula dari hari ini juga sebenarnya saya sudah mempersiapkan diri untuk berdepan dengan kemungkinan emak tak mahu tinggal dengan saya lagi. Saya yakin emak suka dan gembira tinggal dengan saya tetapi saya faham hati emak, walaupun jasadnya di sini, hati dan ingatannya tetap kepada anak-anak dan cucu-cucu yang masih tinggal di kampung. Saya faham bila emak merasakan yang dia tidak begitu perlu berada di sini. Saya faham yang kadang-kadang emak bosan bila tak ada benda nak buat. Saya faham dia sunyi bila anak-anak saya ke sekolah dan saya pula hanya balik menjelang senja. Cuma perkara yang dia suka ialah, dia boleh beribadat semahu-mahunya. Boleh khatam Al-Quran berkali-kali. Boleh dengar CD dan tengok VCD ceramah...itu yang sampai suka benor dengan Ustaz Kazim. Bab yang itu emak memang tak boleh komplen...heheh...kalau kat kampung, macam-macam dia nak buat....nak tanam pokoklah, nak pergi marhabanlah, nak pergi mesyuarat Umno lah...hehehe...emak rasa dia lebih di'perlu'kan di kampung.

Saya gembira emak ada dengan saya. Kalau dia tinggal di kampung, entah berapa bulan sekali baru saya dapat balik. Faham-faham sahajalah kita kerja dengan orang, kalau sendiri bos sendiri kuli...bolehlah adjust sesuka hati. Kalau bukan cuti sekolah, lagilah payah. Itupun kalau cuti sekolah dah ada...belum tentu suami boleh dapat cuti. Dia lagilah susah nak dapat cuti berbanding saya...awal-awal tahun sudah kena siap jadual cuti...tak boleh suka-suka nak bercuti. Lagipun, bila emak di sini, senang juga adik saya di Kelang dan Melaka boleh datang berkumpul di rumah saya. Mereka pun sama macam saya juga, payah hendak bercuti. Walaupun adik saya di Klang tu cikgu, rupa-rupanya jadi cikgu lagi kesian...hujung minggu pun ada aktiviti. Ish...ish...ish...

Sebenarnya hati saya tersinggung bila menerima tuduhan sebegitu...saya tidak nafikan dengan adanya emak, saya boleh datang kerja dengan hati lapang kerana ada orang di rumah. Tapi nak kata saya 'menggunakan' emak itu...saya tak boleh terimalah! Suami saya balik tengahari tiap-tiap hari untuk jemput anak2 balik sekolah. Kalau tak sempat, saya ambil alih. Drive balik walaupun tahu bila balik pejabat terpaksa berdepan dengan masalah mendapatkan tempat parkir. Senang2 naik lrt...berpeluh berminyak sampai pejabat...kalau mengejar mesyuarat lagi haru. Hemmm...tak apalah, tak payahlah nak memberi justifikasi di sini Telipuk oiii...orang bukan tahu pun kehidupan kita macamana. Kan saya sudah kata, tak perlu dengar cakap orang. Biarlah apa orang nak cakap. Orang tu bukannya tahupun apa yang berlaku dalam hidup kita ni...sekadar melihat luaran dan sesedap rasa meluah pendapat. Barangkali dia buat perbandingan berdasarkan pengetahuan dan maklumat sedia ada dalam kepala dia saja dan tidak melihat skop yang lebih luas sebelum bercakap. Barangkali dia miskin empati. Kesian dia...dah ketandusan isu untuk diketengahkan....

Biarkanlah...

(Tiba-tiba pulaklah beremosi...) 

Tuesday, March 12, 2013

Mufti Menk @ Menara (TM)

Thank you Madam Lotuslily for the kind thought. I was not in the office when the invitation to all TM's staff to attend talk no.4 came. She took the initiative to register my name. Insya Allah, I will be there!



It's a free talk and is open to the public. We have to register anyway because the organizer allocates only about 100 seats to TM's staff and it's on first come, first serve basis.

Look forward to attend this event!

Taqwa

Apa maksud 'taqwa'?

Ada berbagai pendapat yang dikemukakan berhubung maksud 'taqwa' sebagaimana yang terdapat di dalam buku Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (Jagalah Allah, Allah Menjagamu).


  • Ada yang berkata, taqwa ialah : "Engkau takut kepada Allah dengan cahayaNya kerana mengharap rahmatNya. Engkau lakukan perbuatan baik dengan cahayaNya kerana mengharapkan pahalaNya. Engkau jauhkan perbuatan buruk dengan cahayaNya kerana takut seksaNya."
  • Ada lagi yang mengatakan: "Mengamalkan perintah, meninggalkan larangan dan membenarkan khabar (berita)."
  • Dikatakan pula :"Mengamalkan ketaatan dan meninggalkan keburukan."
  • Sementara Ali Bin Abi Talib (r.a) mengatakan : "Takut kepada Zat yang Maha Agung, mengamalkan Al-Quran, rela dengan pemberian yang sedikit dan menyiapkan diri untuk hari kematian."
  • Ibnu Mas'ud mengatakan : "Taqwa adalah, Allah diingat dan tidak dilupakan, ditaati dan tidak dimaksiati, disyukuri dan tidak dikufuri."
  • Dikatakan : "Taqwa adalah engkau menjadikan penghalang antara dirimu dan azab Allah."
  • Umar Khattab (r.a) bertanya kepada Ubay bin Ka'ab : "Perjelaskanlah kepadaku tentang taqwa?". Ubai bertanya kepada Umar, "Apakah engkau pernah melalui tanah yang ada durinya?". Umar menjawab, "Ya.". Ubay bertanya lagi, "Lalu apa yang engkau lakukan?". Umar menjawab : "Saya lompat dan berhati-hati." Maka Ubay pun berkata, "Itulah taqwa".
Bagaimana untuk meraih taqwa?

Taqwa boleh diraih dengan jalan-jalan berikut :

  • Selalu berasa diawasi oleh Allah (muraqabah)
  • Menunaikan kewajipan dan ketaatan

Monday, March 11, 2013

Sekadar Permainan

Semenjak emak pandai turun bas di Hentian Duta dan kami pun menjumpai jalan dalam untuk berpatah balik ke Sentul (sebelum itu Aku pernah sesat-barat sampai keluar Jalan Damansara sana), keraplah kami melalui jalan Cangkat Duta dan persekitarannya. Di sana, jalannya berbukit-bukit...maklumlah, tempat orang kaya. Rumahnya? Pergh...hebat! bak kata Aiman.

Jadi, semalam sesudah menjemput emak, kami melalui lagi jalan yang sama. Masing-masing terdiam menikmati kesunyian alam dan kehijauan tumbuh-tumbuhan. Mata menyoroti rumah-rumah agam yang beraneka rupabentuk. Sekilas ternampak sebuah kereta Ferrari yang berselubung di kawasan parkir sebuah rumah yang tersergam indah.

"Cantik rumah ni...sayang, semua akan ditinggalkan" kata emak perlahan.

Yalah, memanglah cantik. Memanglah mewah. Indah mempersona. Tetapi lama mana segala-galanya dapat dinikmati? Katalah seratus tahun sekali pun...lepas tu? Tinggal juga, kan? Tak adalah segala harta benda itu kita dapat angkut masuk dalam kubur...betul tak?

Ini bukan satu motivasi untuk menenangkan hati yang cemburu kerana tidak dapat mengecapi kelebihan seperti itu. Tetapi ini adalah satu motivasi untuk membantu hati supaya tidak terliur dengan godaan dunia. Betapa singkat waktu yang kita ada untuk diluangkan di dunia ini...janganlah kesemuanya dihabiskan mengisi perjuangan memenuhi tuntutan nafsu. Nafsu hendak hidup senang dan kaya raya. Alhamdulillah, bagus kalau kita jadi kaya seperti kayanya Abdul Rahman Bin Auf. Tetapi bolehkah kita menjadi seperti sahabat Nabi itu yang tidak hairan dengan hartanya malahan tidak kisah berapa banyak pun dia beri untuk diinfakkan ke jalan Allah. Berapa ramai dari kita yang sanggup berbuat seperti itu?

Sungguh! Semua yang ada ini sangatlah sedikit dan sementara nikmatnya. Sedikit kerana apa yang ada di sisi Allah jauh lebih besar. Dikatakan dalam suatu hadis, nikmat yang Allah beri di dunia ini kalau hendak diumpamakan adalah seperti banyaknya air yang melekat pada hujung sebatang jarum yang dicelup ke dalam sebuah lautan luas. Begitu kecil sekali! Bahkan sementara pula!

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut, ayat 64 yang bermaksud :

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui".

(Ini adalah ayat yang Ustaz syarahkan dalam kelas minggu lepas, juga sekali lagi ditekankan semasa kelas bahasa Arab).

Kalaulah kehidupan dunia ini adalah kehidupan sebenar, tak adalah kematian selepas ini. Kehidupan yang di dalamnya ada kematian...bukan kehidupan namanya. Itulah maksudnya 'main-main'. Yang namanya kehidupan sebenar ialah bila kehidupan itu berlangsung selama-lamanya...kekal abadi. Kerana itu, akhiratlah sebenar-benar kehidupan.

Semoga dapat dibezakan dengan jelas matlamat kehidupan di dunia ini supaya kehidupan kekal di akhirat nanti tidak bakal menjadi sia-sia.

Thursday, March 07, 2013

Bahasa Al-Quran

Teringat saya kata-kata seorang penceramah berkenaan kepentingan mempelajari bahasa Arab. Katanya, sesetengah ulama menghukumkannya sebagai wajib. Ini adalah kerana bahasa Arab merupakan bahasa Al-Quran dan Al-Quran itu sendiri adalah rujukan utama umat Islam. Kalam Allah. Manual yang semua umat Islam wajib pegang sebagai panduan untuk pulang dengan selamat kepadaNya. Kalau tidak memahami Al-Quran, bagaimana dapat Al-Quran menjadi pembimbing dan petunjuk jalan sebagaimana sepatutnya?

Benar sungguh bagai dikata, belajar bahasa Arab itu seumpamanya berjihad.

Ini sudah masuk 3 tahun ni...harap-harap tak gugur sebelum waktunya.

Sedikit penjelasan...walaupun saya mengikuti kelas belajar bahasa Arab Ustaz, sebenarnya penguasaan bahasa Arab saya cuma atas sikit sahaja daripada budak Tahun 1. Rasa dhoif sangat...maklumlah, kelasnya cuma 1 jam seminggu. Ulangkaji tak pernah buat...kalau buka buku pun, cuma masa nak pastikan latihan yang ada diselesaikan dulu sebelum kelas bermula dengan harapan, sekiranya Ustaz suruh seorang demi seorang buat latihan, tak nampaklah 'kantoi' sangat...hahaha. Dan yang bestnya tak ada ujian dan peperiksaan. Itulah agaknya rasa 'rileks' dan tak tertekan belajar kot...sampai tak ada motivasi hendak 'pulun'.

Semoga Allah memberikan ganjaran pahala yang besar di atas usaha dan kesabaran Ustaz mengajar kami. Ustaz telah mengajar dengan cara yang tidak menjadikan saya 'takut' untuk duduk dalam kelas dan 'takut' dengan bahasa Arab.

Motivasi saya masuk ke kelas ini ialah kerana keinginan saya untuk mengurangkan kebergantungan kepada tafsir Al-Quran. Saya berharap, setidak-tidaknya, bila saya membaca Al-Quran, saya boleh menangkap apa yang dimaksudkan oleh sesuatu ayat itu walaupun tidak secara keseluruhannya.

Kalau untuk tujuan berkomunikasi, rasanya saya masih ragu-ragu memandangkan tak pernah praktik bahasa Arab di luar kelas. Selalunya hanya dalam kelas sahaja baru kami terkial-kial hendak membina ayat. Walaupun dah diajar serba-sedikit kaedah nahu bahasa Arab, terus-terang cakap, saya masih bertatih hendak menentukan nak pakai baris apa...majrur ke...mansub ke...Kalau ayat dimulakan dengan 'isim', 'perbuatan' kena ikut bilangan isim...tapi kalau dimulakan dengan perbuatan, walaupun pelakunya ramai, tetap kata perbuatan itu dalam bentuk mufrad. Huhuhu...itu baru satu nota. Belum nota yang berlambak-lambak lagi mengelirukan. Tatabahasa Arab sememangnya sangat kompleks berbanding nahu Bahasa Inggeris. Perbuatan ada muaanas dan ada muzakkar. Bertukar-tukar lagi bila nak bezakan antara tunggal dan jamak. Dan perkataan jamak taksir pulak...pandai-pandai le engko menghafalnya kerana tak ada kaedah tertentu...huahuahua...

Mujur saya masih mampu bertahan...syukur alhamdulillah, kerana Allah masih memberikan saya keringanan untuk menghadiri kelas ini walaupun ada ketikanya saya tak mampu menjawab soalan dan hanya mampu tersengih-sengih tanda 'blur'.

Saya juga bermotivasi untuk terus mengikuti kelas ini kerana pendekatan Ustaz yang bilamana kami mempelajari sesuatu perkataan , atau frasa, maka dia akan merujuk silang bentuk aplikasi dalam Al-Quran. Kat mana dalam Al-Quran ada disebutkan tentang 'kemeja' , 'roti', 'bawang merah','timun', 'bawang putih'...huh...terkesima...(tu lah , tahu sibuk mengejar nak habiskan Quran, tak bagi kepentingan kepada memahaminya...itu yang terkial-kial nak mencari ayat, mencari surah...)Dan yang lebih best, dia akan ulas pula ayat yang dinyatakan itu. Sekali dengan tazkirah ringkas menjadikan kami rasa 'clear' maksud ayat. Kenapa dan mengapa Allah bersumpah dengan sesuatu? Mengapa Allah membuat sesuatu perumpamaan itu dengan sedemikian rupa? Mudah-mudahan setiap kali terjumpa perkataan atau ayat sebegitu, terus teringat penegasan yang diberi. Semoga tembus masuk menyuluh jiwa. Insya Allah.

Semoga Allah terus mempermudahkan bagi Ustaz mengajar kami (dan bersabar dengan kerenah kami) dan juga bagi kami untuk terus beristiqomah mengikuti pengajian ini.

Ameen.

Tuesday, March 05, 2013

Dari Mata Hati

Bila kita selalu melihat dari sudut yang sama, kita kerap terlupa menghargai kerana kebiasaan itu sesungguhnya lekas mengundang jemu sehingga akhirnya kita lupa mensyukuri.

Mujur hari ini saya berpeluang melihat dari kacamata seorang ibu. Walaupun dia tidak dibesarkan dalam persekitaran yang moden lagi lengkap dengan segala prasarana seperti yang anak-anak sekarang kecapi, ternyata dia mampu melontarkan suatu 'peringatan' yang mengesankan.

Esok pagi, ibu saya harus berada di mukimnya untuk menerima duit BR1M. Bagi ibu saya, apa yang dilakukan oleh kerajaan memerintah sekarang adalah sangat baik. Dia rasa bersyukur. Ibu langsung tak punya prasangka apa-apa. Ibu tak ada apa-apa kepentingan pun. Pada ibu, semua orang harus bersatu-padu dan mendiami negara ini dengan aman harmoni. Manakala saya sendiri, boleh dikatakan mudah 'diracuni'. Mungkin saya berasakan adalah perlu untuk mengambil satu pendirian. Saya tak mahu menjadi lalang, pergerakannya dikawal angin. Masalahnya sekarang ini, dengan ledakan maklumat di hujung jari...adalah sukar untuk menelah kebenaran. Mencari kesempurnaan. Hingga akhirnya, saya harus akui, saya menjadi keliru.

Hari ini, saya membawa ibu ke pejabat kerana saya gagal mendapatkan tiket perjalanan pagi kerana bas banyak yang tak ada hari ini. Khabarnya, banyak yang ditempah untuk program-program kerajaan. Tiket terawal ialah untuk perjalanan jam 3.30 petang. Jadi, sementara jam 3.30 itu, saya bawalah ibu ikut masuk pejabat.

Itulah saya dapat mendengar tafsiran ibu terhadap tempat kerja saya walaupun dia saya bawa berjalan ke sana sini kerana mod pengangkutan kami hari ini ialah lrt.

Ibu kata yang baik-baik saja tentang pejabat saya, kawan-kawan saya dan syarikat tempat saya bekerja.

Sesungguhnya bagi ibu, saya sangat bertuah.

Yang menariknya bila saya bawa ibu makan di kafetaria kami...ibu kata makanan yang dihidang sungguh pelbagai dan sedap. Sampaikan ibu kata, lain kali dia nak datang lagi makan tengahari di kafetaria kami. Saya bulatkan biji mata...maklumlah, kami kat sini dah mula rasa 'cemuih' dan hari-hari garu kepala nak makan apa.

Kemudian saya bawa dia ikut kelas pengajian Al-Quran Ustaz saya...pun memuji-muji dia. Heheh. Padahal tempat pengajian kami nun orang bagi tersorok kat tingkat atas kubah tu...pun mak kata tempat elok.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kamu ada semua...ada dunia, ada akhirat. Seimbang.
Eloklah kamu kerja di sini...

Alhamdulillah.

Mungkin saya terlalu rasa 'biasa' sehingga terlupa dengan nikmat ini. Saya fikir ianya sesuatu yang saya telah lama terima dengan besar hati dan tidak terfikir ianya sesuatu yang patut saya kenang-kenangkan sentiasa. Aduh...lalu kalau begitu, makanya ada banyak lagi nikmat-nikmat yang menjadi 'kebiasaan' yang lupa untuk saya kenang dan syukuri selalu...??? Nikmat mata? Nikmat jari-jari yang banyak membantu saya dalam pekerjaan termasuk mencurah rasa di blog ini. Banyaknya nikmat...astaghfirullah....itulah, bila selalu ingin memandang yang ada di depan sana....konon-kononnya masih dalam pencarian, terlupa hendak menyemak 'inventori' yang sedia ada.

Terima kasih ibu kerana mengingatkan.