Friday, January 28, 2011

Mengimbau...

Kita tidak boleh menghargai apa yang kita miliki sekarang dan memandang jauh ke hadapan kalau bukan kerana masa lampau kita
We cannot appreciate our present and look forward to our future if not for our past
Begitulah mesej yang ingin disampaikan dalam iklan CNY kami tahun ini. Penuh nostalgia rasanya. Terasa kena dengan entri sebelum ini. Kata-kata itu...bukan penceritaan iklan itu.
Banyak yang boleh dikupas. Tapi tak mengapa, semua orang dalam mood di ambang percutian...hahaha...almaklumlah, ramai yang bercuti seminggu penuh bermula esok, kan? Selamat bercuti. Berhati-hati di jalan raya, okay?

Thursday, January 27, 2011

Bunga Melur

Di hujung sana tempatmu, bunga melur
Bukan di taman yang indah, bunga melur
Hanya di sudut halaman
Tiada dihiasi jambangan indah permai

Tapi warnamu yang putih, bunga melur
Tandanya suci dan murni, bunga melur
Walaupun ditiup debu
Warnamu dan baumu tetap memikat kalbu

Ibarat gadis desa, bunga melur
Sederhana...
Walau kering tak bercahaya, bunga melur
Baumu memikat jiwa

Semoga sabar dahulu, bunga melur
Pada di satu ketika, bunga melur
Masanya kan menjelma
Disanjung dan dipuja
Oleh gadis remaja

Ceritaku

Hari ini saya dalam mood 'melancholic' sikit...apakah ianya kerana cuaca? Atau kerana beberapa peristiwa kebelakangan ini yang membuatkan saya sedikit sedih...sedih dengan sikap sesetangah orang yang mudah mengalah, selalu hendak senang, tak mahu bersusah sikit pun dan sikit-sikit salahkan orang lain. Kita memang tak mampu mengawal persekitaran, tetapi kita pasti mampu mengawal cara bagaimana diri kita bereaksi dengan persekitaran.

Lalu saya teringatkan kisah-kisah lama yang banyak mewarna dan mencorakkan kehidupan saya pada hari ini.

1. Mengerah kudrat saya menolong emak dan ayah di bendang bertahun-tahun lamanya semenjak sekolah rendah sampailah last saya turun bendang masa tingkatan 4 kot (sebab lepas tu bendang tu dipawah kepada orang lain). Saya tak kisah bendang yang kat Sungai Labu tu sebab tanah bendang tu agak kejap...senang hendak berjalan. Tapi, yang bendang tok kat belah darat tu yang saya selalu 'bechinta' nak turun bila mak ajak...ya Allah, memang tanah liat tahap keleboq ler...baru 2 langkah dah mencungap dibuatnya. Selalunya saya tolong masa fasa hendak membersihkan je, pasal masa tu penggunaan mesin tak sampai ke tempat kami lagi. Nak upah orang, mahu tak kena bayor lagi...hish...masa tu seringgit dua pun kena berkira gak.

2. Berulang-alik naik turun bas ke Klinik Kesihatan Kedai Empat ambil ubat cecair apa ntah yang saya terpaksa guna ketika mandi sebab kulit saya yang tak berapa 'serasi' dengan air bendang. Apa taknya, balik bendang aje...semalaman saya menggaru. Habis melecet di sana-sini. Ikut-ikutkan rasa hati memang saya boleh aje taubat nasuha tak turun bendang...tapi asal saya nampak je mak sarung baju bendang dan bau lumpur kering menyentuh saraf bau saya bila mak lalu tak berkata apa-apa...gerenti lima minit lepas tu saya menggelupur cari uniform saya pulak. Saya tak sampai hati.

3. Di sebalik masalah gatal-gatal kulit tu, saya juga berhadapan dengan benda-benda lain yang walaupun tak 'alah' tapi saya 'geli' bercampur takut. Masalah utama saya ialah katak. Ada banyak katak bersembunyi dalam timbunan-timbunan rumput dan jerami yang saya kena clearkan. Setiap kali terserempak, saya akan melompat-lompat sama sebab geli tengok perut dia...yang tak best tu, time saya lompat ke kiri...time tu jugak le dia nak lompat ke kiri juga...nasiblah saya tak develop tabiat melatah...kot tak, haru je! Ada juga beberapa kali terserempak 'lingkaran ubat nyamuk Fumakilla ' tu...hehehe...syyhhhh...(Rosebud tak leh baca nih!). Tapi alhamdulillahlah, selalunya dia pun takut terserempak orang, laju je menyelinap lari.
Tapi itulah yang mengajar saya untuk peka dengan persekitaran, mengagak situasi dan merangka strategi...hehehe.

4. Saya pernah beberapa kali berjalan kaki dengan juraian air mata sebab mendapati emak tak ada di rumah di Sungai Labu. Kadang-kadang emak lupa bagi notis awal bila dia pergi rumah tok. Dan kadang-kadang saya terlupa. Setiap hari balik sekolah, saya akan bagitau Pak Mat kat mana hendak turun. Kalau saya tak cakap apa-apa, alamatnya rumah Sungai Labu. Kalau saya kata Bagan Tiang...rumah tok. Bila-bila saya tak sure nak turun mana, saya akan terus ke Sungai Labu. Kena menapak masuk jalan lorong simen tu dalam 500 meter. Selalunya bila sampai kat pondok Haji Dollah, yang ada banyak rimbunan pokok pisang (selalu perasan cam ada 'hantu' je bila malam dan subuh hari)...perut saya akan memulas kalau dari situ saya nampak tingkap rumah bertutup. Tapi saya jalan jugak sampai ke rumah untuk pastikan mak ada atau tidak. Kalau panggil-panggil tak ada, time tu le saya mengamuk sepak sabut-sabut kelapa yang tergantung bawah rumah tu...lepas mengamuk tu baru le saya jalan kaki balik ke rumah tok pulak...more than 1 km dowh....tengahari rembang pulak tu kan...tapi itulah pengalaman.

5. Ada sekali tu saya kena tinggal dengan bas Pak Mat. Masa tu saya sekolah kat Jam Besar, bangunan lama di pekan lama PB. Tunggu punya tunggu dah pukul 2 lebih, bayang tayar van pun tak nampak. Panik dibuatnya. Dah la duit satu sen pun tak ada. Masa tu darjah 2 atau 3 rasanya. Selalu mak beri saya duit saku 30 sen. 20 sen saya guna untuk beli mee goreng atau laksa sepinggan...masa tu 20 sen pun dah kenyang dowh! 10 sen lagi beli air la. Memang cukup. Nak balik sendiri saya kena guna pengangkutan awam. Tambang bas merah tu 30 sen...huhuhu...Tahu apa ikhtiar saya? Saya pun gunakan kepakaran dan ketelitian mata untuk mencari kalau-kalau ada budak-budak yang dok leka bermain masa tunggu giliran dijemput pulang tu ada keciciran syiling. Memang rezeki saya, bawah bangku batu ada, kat playground pun ada juga...saya berhasil mengumpul seringgit lebih juga. Dengan wang itu, dapatlah saya pulang. Tapi saya balik selamba, siapa pun tak tahu apa masalah yang telah saya hadapi. Kemudian saya menyedari, saya tidak suka menceritakan masalah saya kepada keluarga...selagi saya boleh settle, saya handle sendiri...saya belajar untuk tidak menyusahkan siapa-siapa.

6. Saya memang tak pernah ponteng sekolah. Kehadiran sekolah saya setiap tahun adalah 100% tetapi saya selalu ponteng sukan (cikgu kata tak apa sebab rumah saya jauh...yeayyy!!!). Walaupun garang macamana pun cikgu tu, walaupun sakit perut saya kena piat sebab lambat jawab soalan sifir cikgu masih berbekas, saya tetap akan gagahkan diri hadir. Bukanlah sebab saya ini rajin sangat atau apa...satu jer sebab saya gigih pergi sekolah masa tu...saya tidak suka orang memandang rendah pada saya dan saya tidak mahu mengalah walaupun saya satu-satunya anak pesawah dalam kelas dari darjah 1 sampai darjah 6. Lagipun kalau satu hari tertinggal pelajaran, dengan siapa saya hendak merujuk? Saya tak ada kawan-kawan sekampung yang satu kelas. Saya tak ada siapa-siapa untuk diajak berbincang. Juga tak ada telefon di rumah. Saya tidak boleh terlepas satu hari pun. Nanti kerja tak siap mesti kena marah. Cikgu pula garang macam harimau. Sebab itulah saya tak berani ponteng.

7. Basikal pertama yang saya gunakan ketika belajar naik basikal ialah sebuah chopper lama peninggalan sepupu saya. Saya bermula dengan duduk dipalang kerana tak sampai hendak duduk atas seat. Banyak kali saya jatuh. Ada sekali tu saya langgar pokok kelapa, basikal tu berpusing menghempap saya. Banyak kali juga saya jatuh dalam parit. Tapi saya tak serik-serik...mujurlah. Ketika tingkatan 5, ramai kawan-kawan saya yang mula hendak 'kontrol ayu'. Mereka tak mahu naik basikal, tetapi naik bas. Saya pula keluarkan duit biasiswa dan beli sebuah basikal beroda besar...memang tak cun basikal tu...nasibla pelantarnya tak macam basikal tua arwah Abang Sudir dan tak ada palang di depan. Tapi memang design yang agak-agak kuno. Tapi saya tak kesah lah, basikal saya tu lajuuuu...Itu yang pentingnya. Saya memang sudah agak-agak sedar yang saya tak suka bila tak boleh kawal situasi. Kalau naik bas, saya kena bergantung pada jadual bas. Sekejap awal, sekejap lambat...hish...saya pula pantang kalau kena menunggu. Rasa rimas! Dengan basikal, suka hati sayalah nak keluar pukul berapa, budget masalah. Perjalanan ke sekolah dengan kayuhan sederhana secara purata memakan masa dalam 30 minit. Jarak sekolah masa tu ermmm...dlm 2 batu lebih rasanya. Tapi saya selalu sampai awal sebelum loceng berbunyi. Maklumlah, memang jenis skema.

8. Di sekolah menengah, orang kenal saya kerana kakak-kakak saya. Kakak-kakak saya lebih dikenali kerana mereka aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah dan mereka juga lebih cemerlang dalam hal komunikasi dan pergaulan.Saya pula lebih kepada kera sumbang. Tetapi bila kedua-duanya meninggalkan sekolah, saya terpaksa memikul legasi mereka...bermulalah penglibatan saya dalam aktiviti syarahan, debat, kuiz, persatuan dan sebagainya (kecuali sukan). Nak buat macamana, cikgu bila dah kenal kita...kita ajelah yang kena. Sampaikan masa nak dekat-dekat SPM, ada seorang guru ini tegur saya kerana masih 'sibuk' diluar sedangkan peperiksaan sudah dekat. Saya berjanji pada diri saya tak akan jadi 'mak sanggup' lagi...pasal tulah bila masuk U , saya malas nak join aktiviti kolej dan universiti. Satu program bakti siswa pun saya tak pergi.

9. Saya cuba memohon masuk perkhidmatan tentera selepas SPM bukanlah kerana saya berjiwa perwira. Saya hendak masuk kerana saya fikir dengan cara itu, emak dan ayah tak perlu risaukan saya lagi dan insyaallah, saya akan dapat membantu mereka dengan kadar segera. Maklumlah semuanya ditanggung beres. Satu apa pun pasal hal ketenteraan saya tak tahu pun. Tapi saya buat muka konfiden giler...Hari-hari pertama disitu memang menyeksakan. Ujian demi ujian. Panjat tembok. Panjat orang. Yelah, kerjasama sepasukan namanya. Jiwa saya gelisah. Tetapi saya tidak mahu mengaku kalah. Malangnya, saya tidak terpilih pada tapisan akhir. Hemmm...takutnya nak balik masa tu, takut menghampakan emak dan ayah. Pada masa itu, mungkin mereka hampa...tapi semuanya pun ada hikmahnya, bukan? Saya banyak belajar daripada pengalaman singkat ini.

10. Saya ingat lagi emak tebalkan muka meminjam duit untuk membolehkan saya mendaftar sebagai pelajar di universiti. Emak dan ayah sangat berbangga masa itu. Pertama kali hidup berjauhan, saya langsung tak kekok. Malahan ramai yang bertanya saya daripada sekolah mana. TKC? Saya geleng. STF? Pun saya geleng. Seri Puteri? Tak juga. MRSM mana? Habis tu sekolah apa? Saya pun sebut nama penuh sekolah saya dengan hati bangga. Sayangnya, mereka tak pernah dengar pun...masa itu saya bertekad, untuk belajar bersungguh-sungguh mencapai cita-cita yang saya tak tahu apa...heheh...(hakikatnya saya cuma ingin menjadi guru...)

11. Saya pernah sampai tak balik pada hari perkahwinan kakak sulung saya kerana takut dengan ugutan warden yang tak membenarkan kami meninggalkan kolej pada suatu hujung minggu. Kebetulannya ada hari keluarga kolej masa tu jadi peraturan itu dikuatkuasakan. Saya pula betul bendul. Sepatutnya saya berbincang baik-baik. Hari keluarga pun bukannya ada apa, ada gerai jualan dan pertunjukan itu ini...tak terjejas pun kalau saya tak ada. Saya semat dalam hati saya, kalau saya menjadi orang yang memegang kuasa...mudah-mudahan saya tidak bersikap menindas dan mengamalkan timbang rasa dalam berurusan. (sah...saya memang tak sesuai menjadi bos!)

12. Saya pernah berpuasa selama 200 hari kerana melunaskan nazar saya. Saya mengambil masa 2 tahun untuk menyelesaikannya. Apa yang terjadi? Kelas saya menganjurkan aktiviti jalan-jalan ke beberapa tempat di Perlis dan Kedah pada suatu hujung minggu. Asalnya saya tak mahu pergi. Tetapi sebab menjaga hati orang, dan merasakan saya selalu mengelak aktiviti kelas sebelum itu, saya pun bersetuju ikut. Saya tak tahu pula yang aktiviti macam itu mesti mendapat kebenaran. Rupa-rupanya keluar guna pengangkutan persendirian...tumpang kereta kawan-kawan. Kira kalau jadi apa-apa universiti tidak akan bertanggungjawab. Dan saya yang ketinggalan keretapi itu tak tahu pula yang dalam kelas itu ada beberapa pasangan yang bercintan-cintun...alamak, masa kawan saya bagitau...saya dah gabra biawak, bila saya nak tarik diri kawan-kawan tarik muka masam. Ishhh...payahnya hendak bertegas dan kata, "NO". Jadi, saya ikut juga. Sepanjang perjalanan, saya risau aje. kalaulah terjadi apa-apa...habislah saya kena buang universiti. Mesti mak ayah saya sedih dan malu. Di ketika itulah saya bernazar dengan sepenuh pengharapan...semoga saya selamat balik kampus dan tak ada apa-apa perkara buruk berlaku. Alhamdulillah, semuanya baik. Dan saya tunaikan nazar itu.

Saya harap saya tak lupa mengongsikannya dengan anak-anak suatu hari nanti.

Wednesday, January 26, 2011

Empat Hal

1. Empat hal yang merosak tubuh : cemas, sedih berpanjangan, lapar dan kurang tidur malam

2. Empat hal yang memberi kesenangan ke dalam hati : melihat yang hijau-hijau, melihat air yang mengalir, melihat kekasih dan melihat buah-buahan

3. Empat hal yang boleh membuat pandangan mata menjadi gelap : Berjalan tanpa alas kaki, merungut pada pagi buta dan menjelang tidur, terlalu sering menangis dan terlalu banyak membaca tulisan bersaiz kecil.

4. Empat hal yang membuat badan menjadi kuat : Memakai pakaian yang lembut, mandi dengan air hangat, memakan makanan yang manis dan berlemak dan mencium wangian.(jangan berlebihan sudahlah bab makan tu...obese la pulak nanti)

5. Empat hal yang menghilangkan kesegaran dan keriangan wajah : Berbohong, tidak tahu malu, terlalu sering bertanya yang tidak perlu dan sering melakukan maksiat.

6. Empat hal yang membuat wajah semakin segar : Menjaga harga diri, menepati janji, pemurah dan takwa.

7. Emapt hal yang mendatangkan kemarahan dan kebencian : Takbur, dengki, bohong dan suka mengadu.

8. Empat hal yang boleh mendatangkan rezeki : bangun malam untuk sembahyang, banyak beristighfar menjelang fajar, membiasakan memberi dan membiasakan berzikir pada waktu petang.

9. Empat hal yang akan mencegah datangnya rezeki : Tidur pada waktu pagi, jarang sembahyang, malas dan suka berkhianat.

10. Empat hal yang akan membahayakan pemahaman dan kemampuan otak : ketagihan makanan yang masam dan buah-buahan, tidur terlentang, resah dan susah hati.

11. Empat hal yang akan menambah daya pemahaman : hati yang bersih, tidak makan dan minum secara berlebihan, mengatur makanan yang baik dan membuang enapan makanan yang memudaratkan badan (senaman???)

Dipetik drp.buku La Tahzan, di bawah tajuk 'Meneliti Jalan Fikiran"

Monday, January 24, 2011

Pulangkan

Tak faham betullah manusia ini, kalau sudah bukan hak kamu...pulangkanlah balik kepada pemiliknya. Sudah terang-terang lagi bersuluh...! Macam duduk bawah spotlight lampu kat stadium lagaknya. Sudah-sudahlah tu. Tak berapa ringgit pun...tak akanlah hendak masukkan benda yang 'haram' dalam tekak. Jadi darah daging tu beb, serius nih!

Begitulah 'adegan yang tak ingin kita lihat' dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda yang dalam perjalanan menghantar sejumlah RM75,000 dalam bentuk wang syiling ke selatan tanahair. Muka depan suratkhabar memaparkan gelagat pengguna-pengguna lebuhraya utara selatan yang sanggup memberhentikan kenderaan masing-masing untuk menolong. Yeah...righttt!!! Menolong menyelamatkan duit syiling yang bertaburan itu! Ada yang kaup masuk dalam poket...ada yang kaup masuk dalam beg plastik...pendek kata tak cukup tapak tangan, helmet ditadahkan. Huuuu...sadis sungguh perlakuan begitu. Kesian dengan pemandu yang mengalami kemalangan tu...sudahlah sakit, hendak kena menjawab pula bab duit yang sah-sah tak cukup tu...dek kena samun dengan lanun darat. Malang! Malang! Seumpamanya sudah jatuh ditimpa tangga, datang ayam patuk bijik mata!

Rasanya dua hari kebelakangan ini, pihak polis pun ada keluarkan rayuan meminta mereka-mereka yang terlibat 'merampok' tu supaya memulangkan wang syiling yang diambil. Kalau degil gak, nanti sekor-sekor akan dicari sampai ke lubang cacing. Hahaha...idok le susah bebenor nak detect dema ni...muka sekor-sekor dah keluar 'front page' katakan...hehehe...udoh le tu, bawok-bawok le bertaubat. Kalau yang muslim tu, ingat-ingat le...tak berbaloi sesen dua yang dipungut tu dengan hukuman yang menanti di hari kemudian tu. Fikir dengan iman, jangan dok turut sangat kata nafsu tu.

Ingatkan bab 'halal/haram' ni kita dah terang jelas...rupanya pun masih teraba-raba lagi...tak kan nak tunggu keluar fatwa kot? (kalau benda basic macam ini pun tak lepas...nak bincangkan benda-benda seperti perbezaan mazhab, lagilah haru biru...betullah kata ustaz yang mengajar kat surau hari Isnin minggu lepas tu, dari sekolah rendah membawa ke sekolah tinggi tua bangka, dok le cerita bab haid...bab nifas...tak habis-habis...!)

Thursday, January 20, 2011

Apa Kata Survey?

Lai lai li tam plum...laksa asam.



Lai lai li tam plum...daging masak hitam



hemmmm...

Lai lai li tam plum...rendang pedas kerang?



Lai lai li tam plum...cucoq udang kuah kacang?



(gambar-gambar hiasan diambil dengan men'google' imej yang berkenaan kecuali cucoq udang, memang Telipuk punya)

haiyohhhh...

Problemo!

Tengah menimbang-nimbang apalah agaknya masakan yang akan disediakan menjelang aktiviti pot luck Jumaat depan. Hoh...memang kena fikir sekarang sebab hujung minggu ini kena siap cari bahan. Maklumlah, hari-hari bekerja manalah sempat keluar. Kalau hendak buat persiapan, hujung minggu inilah. Lagipun, tinggal 'chef' ini je lah sorang sebatang kara. Jadi, kena pikiaq betoi-betoi...kang kelam kelibut bersilat kat dapur sorang-sorang. Kena rancang strategi betul-betul.

Rasanya kena pilih yang boleh disediakan pada sebelah malam. So, cucoq udang kuah kacang tak bleh lah nampaknya...tak sompek den nak menggoreng pagi-pagi one by one gitu...huuuu...(nak jamu ompat puloh oghang...hiiiiii)

Laksa asam buleh yooo....taaapppiiii...nak bawak kuah nye yang den tak sanggup tu. Tak boleh naik lrt nih...kena drive jugak lah. Bekas pun satu hal jugak...silap haribulan, tumpah lak dalam keta den. Hish! Kang Aku taruk dalam jag plastik tu kangggg...Laksa senang gilos...celur je laksa tu (pagi2 pun sompek)...ulaman boleh sediakan sebelah malam, simpan dalam peti ais. Kuah pun buat sebelah malam...pagi tu panaskan jer la. Hemmmm...cuma tang nak bawak pi jer la yang teraso boghek yo ati ni...

Rendang pedas kerang pun senang...heheh...boleh buat sebelah malam. Cumaaaaa...bab nak membelah kerang (masih nak kekalkan tradisi tu...) tu yang macam sedikit liat. Sekilo tak pe....ini busuk-busuk pun mahu kena hadap 5 kilo...aiyaaaaa...

Daging masak hitam? hemmm....yang ni senang...masak sebelah malam. Panaskan waktu pagi. Nak bawak pun senang. Masuk dalam bekas empat segi yang sederhana besar tu...tahap penuh tepu. Cukuplah kot. Tapi, kena pi cari daging batang pinanglah weekend ni...lama tak pi pasar pagi Danau Kota.

Orait...so, lepas ni nak lat ta li lat ta li lat tam plum antara rendang pedas dengan daging masak hitam jer la...

Wednesday, January 19, 2011

Menimbang Percaya

"Don't judge a book from its cover". Tapi novel Interlok itu kena baca dulu sebelum kalian suka-suka membuat tohmahan. Bukan pasal kes ini yang hendak Aku ketengahkan di sini. Perihal buku ini hanyalah mukadimah sahaja.

Yang pentingnya, penampilan dan perwatakan fizikal, jelas sekali bukan jaminan yang what you see is what you get. Selalunya ia akan jadi terbalik. Kata seorang kawan...very 'unsangkarable'. Sebab itu bila baca kes-kes remaja perempuan lari daripada rumah ni, Aku rasa tak teruja hendak percaya dengan kata-kata ibu atau bapa yang mengulas tentang peribadi anak-anak mereka. Menurut seorang ibu dalam satu kes, anaknya adalah seorang yang sangat baik dan patuh kepada ibu bapa serta tidak mungkin akan melakukan perbuatan yang tidak baik. Hakikatnya beberapa hari kemudian, anak itu dijumpai di rumah kenalan lelaki dan enggan pulang kerana inginkan kebebasan. Tentulah terkedu ibu dan bapanya kerana sangkaan mereka yang semuanya elok-elok sahaja rupanya hanya tenang di permukaan. Begitu juga dengan beberapa kes lain, termasuk yang di rumah berkelakuan macam malaikat, tetapi di luar...masyaallah...

Bercakap pengalaman sendiri, memang Aku pun pernah ditipu hidup-hidup. Very unsangkarable! Orang yang kita sangka kita kenal, tetapi rupa-rupanya...Hinggakan rasa tak percaya! Susah hendak percaya! Ada satu kisah yang lapuk, Aku percaya bulat-bulat kata seseorang ini kerana menyangkakan dia berada di pihak yang benar. Oleh kerana Aku yakin dia difitnah, Aku telah sanggup pula mempertahankannya dengan pelbagai hujah. Akan tetapi, tanpa disangka-sangka, segala yang diperkatakan tentangnya itu semua adalah benar dan bukan rekaan. Terkedu Aku dibuatnya. Sudahnya Aku pula yang rasa malu kerana terlebih mendewakan kawan ini. Musang berbulu ayam rupanya. Serik!!!

Malang sekali sejak peristiwa itu, Aku telah menjadi insan yang susah hendak percaya orang. Sentiasa ada di belakang kepala Aku..."iya lah tu" atau "apa-apalah"...Sentiasa ada 'buffer' supaya tidak lagi terkena. Expect the unexpected.

Tapi yang bagusnya, perkara sebegini menginsafkan kita bahawa kalau sesama manusia ini, tak payahlah berharap-harap. Kepercayaan, pengharapan dan seluruh keyakinan sewajarnya bersandarkan kepada Allah sahaja. Kalau ada benda yang kita rasa boleh buat, yakin boleh...jangan lupa ucap 'insyaallah' kerana tidak semestinya yang dalam genggaman itu boleh dicapai. Kalau rasa orang itu, orang ini sangat bagus, sangat mulus suci...sangat perfect, berhentikanlah...dia cumalah manusia biasa. Hormati apa yang diperkatakannya. Tetapi ingat, dia hanyalah hamba Allah seperti kita yang ada pasang-surutnya, ada dolak-daliknya...jadi, tak payahlah hendak hairan terkejut beruk bila dia menjelma menjadi 'naga kepala tujuh'.

Paling Aku takut ialah kecenderungan diri yang konon rasa giler terkejut bila orang 'baik' ini berubah...kadang-kadang tak sedar terucap, "ish...ish...tak sangka ye, orang yang baik macam tu boleh buat macam ni...macamana boleh jadi macam tu...Aku ingatkan..." opss...opsss...brek...hentikan...Takut-takut kita jatuh kepada peringkat memandang hina orang atau merasa diri kita lebih baik. Pesan Aku pada diriku sendiri, langit tidak selalunya cerah. Panas tidak semestinya sepanjang hari. Mungkin turun hujan sebelah petangnya. Dalam apa keadaan pun, kena beringat-ingat. Kalau orang buat baik pada kita, alhamdulillah. Tapi kalau kemudiannya jadi apa-apa yang kita tak suka, sabar ajalah. Mungkin itu ujian untuknya. Dan juga ujian untuk kita, apakah kita cukup sabar, cukup tabah untuk mendepaninya. Benarkah kita betul percaya pada Qada & Qadar Allah...justeru redha dengan segala yang mendatang?

Allah S.W.T berfirman:Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hambaNya.(Az-Zumar : 36). Dialah yang mencukupkan keperluannya dan menghilangkan kesusahannya, melindunginya daripada orang yang bermaksud berbuat jahat, menjaganya daripada orang yang menyimpan rencana jahat, dan memeliharanya daripada orang-orang yang berhasrat berbuat makar.

Tuesday, January 18, 2011

Tanya Sama Itu Hud Hud ~ M.Nasir

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Lihat dunia dari mata burung
Atau dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih
Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerana dia yang terbangkan Aku kemari.

Motivasi Pagi

Masalah kita, dah jemu dengan makanan di cafetaria...apa pula hendak dimakan tengahari nanti? Masalah orang, bukan hendak makan apa...tapi ada atau tidak benda yang boleh dimakan?

Masalah kita, risau tak cukup ruang meja makan hendak letakkan aneka jenis hidangan. Masalah orang, bimbang langsung tak dapat sediakan hatta sejenis makanan pun untuk dijadikan hidangan.

Masalah kita, tak pernah rasa cukup dengan duit gaji yang diterima walaupun sudah 5 angka. Masalah orang, tak pernah merasa terima duit yang cukup. Nak beli beras pun fikir dua tiga kali.

Masalah kita, tak boleh lena tidur malam walaupun berbaring atas tilam empuk. Masalah orang, tak boleh tidur malam kerana berjaga risau anak-anak tak dapat lena kena gigit nyamuk atau takut atap bocor.

Masalah kita, pening kepala sikit dah melepek tak larat buat kerja. Mulut pun tak henti-henti mengaduh. Masalah orang, jangankan pening kepala...tengah demam teruk pun bergagah juga hendak keluar bekerja.

Masalah kita tak henti-henti mengantuk dan menguap sebab perut terlebih kenyang. Masalah orang tak henti-henti sakit perut masuk angin sebab tak ada benda hendak diisi.

Begitulah, besar kecil suatu masalah itu terpulang pada individu yang mengalaminya. Ada orang ditimpa masalah yang biasa-biasa aje tapi dia punya propa, macam hendak runtuh banjaran Titiwangsa. Ada orang , kita dengar masalah dia...kita yang rasa hendak pengsan, tapi dia masih mampu tenang mengukir senyum.

Jadi, bila mana rasa diri tak larat dengan 'masalah', pandanglah sekeliling. Bersyukurlah yang dalam banyak perkara, kita masih tergolong dalam golongan yang bertuah. Lihatlah kepada mereka yang jauh lebih susah, pasti masalah yang dihadapi akan semakin menyusut skalanya.

Friday, January 14, 2011

Erti Sayang

Sayangkah kita pada anak-anak kalau begitu jawapan yang diberi? Kita kata kita sayang, hakikatnya kita tidak sayang. Jika sayang, kita tidak akan sampai hati membiarkan anak berkelakuan begitu. Kita sayang bukan setakat kita mahu dia selamat di dunia, tetapi sayang kita adalah sehingga kita berusaha memastikan yang dia juga selamat di akhirat sana.

Begitu Aku termangu dengan jawapan seorang ibu yang mengulas isu anaknya berbikini di sebuah pulau peranginan di luar negara baru-baru ini.

"Kalau di Bali,tak kisahlah..tetapi kalau di Malaysia memang tak bagi pakai.Kami pun selalu mandi manda di sini (Malaysia) tetapi XXXXX pakai baju T dan seluar panjang,Kami sekaluarga selalu pergi ke luar negara melancong dan bercuti seperti di Phuket,Thailand sebelum ini,XXXXX pakai pakaian yang sama (Berbikini) tetapi tak masuk surat khabar pun sebab kami tak memuat naik gambar tersebut."

Kenapa pula tak kisah di Bali? Kenapa kena kisah kalau di Malaysia? Sebab di Malaysia ada Allah, di Bali tak ada ke? Atau sebab di Malaysia ramai orang kenal tapi di Bali tak ada yang kenal? Betullah macam ustaz aku selalu dok ulang pesan, iatu masalah kita ialah kita tak kenal Allah. Bila kita tak kenal, itulah kita lebih cenderung untuk 'menjaga' sensitiviti sesama manusia, dengan Tuhan langsung tak sensitif...padahal....

Apa yang kita buat sebagai tanda kita sayang anak? Bila anak nak keluar rumah naik motorsikal, kita pastikan dia pakai topi keledar. Kalau naik kereta, kita pastikan pakai tali pinggang keledar. Kita jaga dia. Kita nak dia selamat. Kita pastikan dia selamat. Tapi keselamatan dia di dunia sana? Kita takut dia tercedera di dunia sini, tapi di sana bukan takat cedera...dibakar hangus segala kulit, isi, sampai ke hati dan jantung...bukan sekali, berulang kali....bukan sehari...silap haribulan selama-lamanya. Nauzubillah!

Jadi betulkah kita sayang anak kita?

Hemmmm...

Thursday, January 13, 2011

Pagi Khamis di RCH

Pagi-pagi tadi saya sudah terpacak di depan Royale Chulan Hotel. Kehadiran kerana memenuhi jemputan majlis perasmian mesyuarat menteri-menteri telekomunikasi ASEAN ke-10 oleh PM.

Usai acara perasmian yang berwarna-warni, seperti biasa singgah makan-makan dan menyapa rakan-rakan industri.

Oleh kerana ada 'terbawa' kamera, sempatlah tangkap gambar makanan.

Alhamdulillah, sedap.



Dim sum yang enak.



Aneka kuih-muih



Kuey teow goreng





Emmm...nyummyyyy!!!

Alhamdulillah, kenyang. Tak jadilah melencong ke tempat lain, pasal kenyang sampai petang. :)

Cerita Hari Hujan

Hari ini saya pulang dalam hujan. Saya pulang dengan hati yang risau kerana dimaklumkan anak bongsu saya demam panas. Oleh kerana mak berada di Alor Setar, saya gusar memikirkan beban yang ditanggung ayah. Saya khuatir menyusahkan ayah dengan ragam dan kerenah anak yang demam. Perjalanan pulang saya rasakan sangat lama dan jauh. Lebih-lebih lagi saya menggunakan pengangkutan awam hari ini. Saya tidak dapat mengawal 'kelajuan' dan saya rasakan saya 'hilang kawalan'. Saya juga risau memandang mega mendung di langit, apatah lagi merasa percikan gerimis yang menampar pipi ketika melangkah laju menuju stesen lrt. Saya meraba beg tangan saya yang macam poket ajaib 'doraemon'...sayang sekali, saya sudah lama tidak menyimpan payung. Ketika di stesen Masjid Jamek, saya terpandang seorang wanita yang menjual payung jenis lipat. Murah. RM5 satu. Macam orang mengantuk disorongkan bantal, saya pun cepat-cepat membeli satu, maklumlah, semakin ramai yang cuba mendapatkan payung-payung pelbagai warna yang semakin susut bilangannya. Saya memilih yang berwarna ungu.

Ketika berjalan menyusuri jalan berhadapan OCBC, saya terpandangkan seorang remaja perempuan yang kebasahan meredah hujan. Menyarungkan sweater hitam dengan 'hood', dia berjalan cepat memintas saya yang masih terkial-kial mengawal payung ala-ala perempuan melayu terakhir. Saya cuba merapatkan jarak dengan niat mengajak gadis itu berkongsi payung dengan saya, tetapi dia sudah mula berlari-lari anak. Tak mungkin saya mampu mengejar dengan keadaan kasut dan jalan yang kelihatan licin. Usia pun satu hal. Saya senyum sendiri mengenangkan saya pun pernah berjalan berlari begitu ketika di Sintok dulu. Malahan saya sebenarnya lebih suka mengenakan kasut kanvas Jazz saya yang berwarna hitam dengan baju kurung ketika itu. Saya betul-betul tak peduli, yang penting saya mudah bergerak ke sana ke mari, kaki tak lecet dan saya boleh berlari bila-bila perlu...hahaha...

Saya terserempak dengan penjaja payung yang lain di stesen bertentangan. Memang bagus betul ilmu keusahawanan mereka. Menjual payung di lokasi begini dalam keadaan hujan yang lebat begitu...jualan payung sungguh laris bak goreng pisang panas. Sempat saya memerhatikan adik penjual karipap panas yang murung kerana jualannya agak lembab. Maklumlah, dalam hujan begitu, orang ramai tak ada ruang senggang untuk berhenti membeli karipap. Semua berkejar hendak lekas balik. Malas hendak menjinjit plastik karipap, mana hendak pegang payung...mana hendak genggam beg...hemmm....Semua orang berjalan laju. Masing-masing 'tenggelam' dalam kerisauan sendiri.

Begitulah diri, risau dengan segala macam perkara. Hujan pun boleh menjejaskan 'mood'. Tiba-tiba diri terasa 'mementingkan diri'. Masalah-masalah yang dilalui hanyalah kecil cuma. Bila hujan begini, selalu sangat fikirkan masa yang terbuang kerana kesesakan jalan, risau basah kuyup, risau keretapi tak datang ikut jadual kerana masalah teknikal dan risaukan pelbagai ketidakselesaan lain...padahal ada manusia lain yang bilamana hujan, risau apakah cukup bekas-bekas yang ada untuk menadahkan bumbung yang bocor, risau tak ada tempat yang cukup kering untuk anak-anak berbaring, risau buku-buku sekolah dan pakaian basah...Ada insan lain yang risau kalau-kalau terganggu urusannya mencari rezeki untuk menyuap makan keluarga. Juga ada anak-anak yang susah hati mahu ke sekolah kerana jalan yang bakal menjadi becak teruk. Ada seribu satu kesusahan lain yang harus insan-insan seperti ini fikirkan dan Aku yang hanya duduk dalam gerabak selesa lrt berhawa dingin masih ada hati merasa 'susah hati'? Hemmm...

Dan sewaktu menapak pulang dari stesen keretapi, dalam hujan yang masih belum masuk kategori renyai, terlihat susuk tubuh seorang pekerja DBKL yang gigih menyapu sampah dan daun-daun kering di tepi jalan. Dia memakai baju hujan. Hujan langsung tidak menjejaskan misinya melaksanakan tugas yang diamanahkan. Padahal insan-insan (seperti Aku) yang ada segala macam kemudahan di pejabat yang serba lengkap...terkadang memberikan alasan yang tak masuk akal untuk tidak menyegerakan sesuatu tugasan. Pelik tetapi benar. Bahawasanya, apa pun pekerjaan, jawatan dan pangkat yang kita pegang di duni ini tak penting satu sen pun...yang akan dipersoalkan nanti ialah amalan kita. Apakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah? Masuk kubur nanti, tak ada ditanya pun pangkat kita, gaji kita berapa? Mula-mula ditanya, "Ma rabbuka?". Hang Dato' ka, Tan Sri ka, CEO ka, peon ka...sama ja soalan dia. Amalan yang kita buat yang menjadi bekalan nanti itulah yang akan menentukan samada kita boleh jawab atau tidak.

Benarlah perjalanan ini terasa sedikit panjang...syukur, ada sesuatu yang boleh dipelajari yang mengetuk pintu keinsafan dan mendalamkan kesedaran.

Tuesday, January 11, 2011

Pantang Larang

Hari ini Aku hendak bercakap tentang 'pantang larang'. Bukan pantang larang tok nenek, tapi pantang larang Aku sendiri. Yang bila terjadi akan buat Aku rasa 'gerammmmm...' je, silap hari bulan Aku meletup!

1. Senarai teratas, memang 'pantang' Aku kalau orang menipu. Aku memang tak suka.
Lagi tak boleh terima kalau yang menipu tu, tipu Aku 'hidup-hidup'. Maksudnya, dia memang sengaja-sengaja hendak menipu Aku sampaikan Aku dah nampak dengan mata kepala sendiri pun, dia masih hendak menipu. Tu yang keluar ayat tagline yang Rosebud suka sangat tu, "I was there!!!". Sekali kena tipu, sampai mati pun Aku tak percaya!

2. Memang menjadi kepantangan Aku kalau orang buat janji tapi tak tunai janjinya. Walaupun hanya janji simple yang tidak menimbulkan masalah dunia. Ada sesetengah orang, sebab hendakkan komitmen kita pada satu-satu masa, manis mulut dia berjanji itu ini...padahal bukan Aku suruh pun. Lepas tu bila tak tertunai, boleh pula mengelak-mengelat...hek elek...(macamlah Aku hadap sangat dengan janji-janji bombastik kau tu...).

3. Pantang seterusnya, berhadapan dengan si talam dua muka. Tak kenal? Bukan kuih tepung talam tu...kuih tu sedap dimakan. Yang ini, bila kita 'telan' depan kita, aduhaiii...sedap, lemak, enak secukup rasa...tapi bila di belakang, macam-macam keluar...semuanya tak kena belaka, diburuk-burukkannya sampai habis tujuh keturunan pun diungkit...biasalah si Telipuk tu, dia tu memang perangai mengarut...maklumlah, keturunan mamak! Cehhhhhh...

4. Aku juga pantang tengok orang buang sampah dengan selamba di tempat selain tong sampah. Memang sakit mata yang membawa sakit hati sekali. Kenapa kita hendak buang sampah merata-rata? Ada sekali tu, Aku tengah shahdu-syahdan melepak kat wakaf depan flet Sri Perak, tunggu Hisham habis kelas taekwondo, sekali dengar 'kelepuk'. Aku toleh tengok...laaa isshhh...malaun mana la sesuka hati je dia campak beg sampah entah daripada balkoni tingkat berapa....terus le sampah sarap tu jatuh terhempas bertaburan di kaki lima. Walaupun bukan tempat tinggal Aku, tapi sebagai warganegara yang mencintai kebersihan...Aku rasa nak jerit 'hoi' je jam-jam tu. Nasib la, Aku tak berani. Patutlah sempat Aku tengok tikus cencurut berjalan lenggang lengguk tepi longkang tuh...memang syurgalah kalau dapat penghuni pengotor macam tu.

Tu jer la pantang-larang paling top dalam senarai Aku sekarang...kalau kupas pi, kupas mai...Aku rasa ramai orang pun macam Aku jugak, so, kalau yang rasa Aku ni cerewet dan banyak kerenah, well...silap haribulan la ngkau!

Tolong Ingatkan Aku - Ana Raffali

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa ditebus hari

Chorus
Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa
Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda
Kecewa menyelubungi jiwa
Aku lupa

Ulang Chorus
Tolong ingatkan aku kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Tolong ingatkan aku
Kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan aku
Kisah kita

Sunday, January 09, 2011

Celoteh hari Ahad

Terbaca baru-baru ini tentang rencah yang digemari akhbar-akhbar Melayu dalam memastikan survival mereka...G.S.M Betulkah begitu? Berminat benar bangsa Melayu dengar cerita-cerita gossip, seks dan mistik. Maka tak hairanlah ada satu akhbar tabloid ini...tajuknya memang tahap propa. Padahal bila kita baca isi ceritanya...hek eleh...adakalanya ia hanyalah cerita yang dipetik daripada pengalaman 15 tahun lalu, atau yang disebut oleh seorang jiran yang pernah berjiran dengan si fulan itu beberapa ketika dulu...hish!

Tajuk hari ini memang agak menyinggung perasaan perempuan Aku. Tajuk "isteri super". Sampaikan masa Aku singgah beli barang kat pasaraya berdekatan rumah, ada seorang wanita dalam lingkungan umur 40an menayangkan muka depan akhbar itu kepadaku sambil tersenyum, "Tengok tajuk ni, rasa kena beli jugak!" katanya membuatkan Aku senyum terpaksa. Bukan apa, Aku sudah baca kandungannya di rumah awal-awal pagi lagi. Biasanya hujung-hujung minggu macam itulah, semua akhbar nak rembat.

Bukanlah Aku jeles dengan mak cik super tu yang mampu melahirkan 23 orang anak dan pada usia 65 tahun masih mantap dan bahagia dalam perkahwinan. Macam kisah ibu-ibu dan isteri-isteri mithali yang selalu ada dalam majalah-majalah wanita, seronok mengambil pengajaran di mana yang dapat. Maklumlah, bukan semua orang bertuah macam itu. Dan bukan semua orang begitu berdaya tahan melalui cabaran hidup. Sebab itu kita suka membaca kisah kejayaan mereka. Tetapi kalau yang disensasikan ialah petua 'dalam kain'...aduyaiiii...please la...klise sangat!

Entah kenapa masyarakat kita ini macam meletakkan tanggungjawab pada satu pihak sahaja. Kalau gagal di sana-sini, yang salah satu pihak juga. Macamlah tak ada benda lain hendak difokuskan. Sini kena montok. Sana kena tegang. Kena makan jamu itu. Jamu ini. Kena buat macam-macam supaya suami tak beralih arah. Eeeuukkkk...

Ke mana perginya KPI lain dalam alam rumahtangga...yang mana sepatutnya usaha difokuskan kepada mengukuhkan institusi kekeluargaan dan melahirkan zuriat dan hamba Allah yang berkualiti? Tak kanlah ikatan perkahwinan itu hanya dipegang oleh satu faktor itu sahaja? Bior benor? patutlah orang melayu ni tak ada kerja lain nak buat...tak ada produk lain nak buat...semuanya ke arah yang itu sahaja. Aii...kalau sudah meningkat usia tu, sudah-sudahlah....yang dok sibuk hendak kekal kehebatan supaya sama macam zaman muda dulu tu apahal?

Lepas tu darah Aku naik lagi pasal kes datuk rogol cucunya yang berumur belasan tahun. Cucu tu tinggal dengan datuk setan tu sebab mak bapa dia dah bercerai. Ingatkan datuk seorang saja buat hal, rupa-rupanya bapa saudara budak ini pun tumpang sekaki. Masyaallah, apa hendak jadi???

Bab cinta dan kasih-sayang kalau bersandarkan kepada ciri-ciri fizikal dan luaran semata-mata, Aku yakin, tak membawa ke mana. Kalau kita hanya cinta kerana pasangan lawa, pada ketika usianya merosot...gerenti kita akan tinggalkannya kerana dia sudah tak lawa. Begitu juga dengan sifat-sifat lain seperti kaya, berkulit cerah, berbadan kurus dan sebagainya.

Dan henti-hentikanlah melonggokkan tanggungjawab untuk mempertahankan rumahtangga kepada wanita semata-mata. Lelaki adalah pemimpin. Di mana-mana pun kita baca, baik dalam Al-Quran mahupun hadis, lelakilah yang perlu bertanggungjawab dalam banyak hal. Perempuan pula dituntut untuk patuh, menjadi suri dan ibu yang baik di bawah kepimpinan suami (yang bertanggungjawab).

Lelaki ada 9 akal. Boleh berfikir dengan baik. Tak mungkin mereka hanya bertindak berasaskan sesuatu yang remeh seperti kata-kata, "sebab saya pandai jaga body saya, maka itulah suami saya langsung tak pandang perempuan lain". Bukanlah saya kata jangan pedulikan penjagaan badan langsung...jagalah kesihatan, jaga pemakanan, berhias di rumah, jaga tuturkata dan sebagainya...buatlah...tapi janganlah fikir, hanya dengan dada yang tegang, kulit yang gebu, muka yang cantik...akan mengikat pasangan kepada kita selamanya. Mereka hanyalah pinjaman. Bila-bila pun boleh diambil balik. Yang afdhalnya, bercinta dan berkasih sayanglah kerana Allah. kalau hati sudah tak sayang, buatlah macamana sekali pun...tetap kena tinggal juga. baik macamana sekali pun, orang tak peduli juga. jadi, kalau kita paut dan bersandarkan kepada Allah, insyaallah, kita tak akan rasa kecewa kalau kasih beralih arah.

Kalau hendak orang sayang dan hormat kita, kita kena sayang dan hormat diri kita sendiri. Dan jagalah Allah. Allah tentu akan balas dengan menjaga kita semula. Insyaallah, selamat dunia dan akhirat.

Thursday, January 06, 2011

Teka-teki

Ada satu teka-teki...hehehe...

Ada sebuah dusun buah-buahan. Ada banyak jenis pokok buah-buahan yang ditanam di situ. Pada suatu hari, berlaku suatu bencana kebakaran yang besar. Habis hangus dusun tu. Rentung! Siasatan pun dijalankan untuk mentaksir jumlah kerugian.

Hasil siasatan mendapati kesemua jenis buah-buahan yang ada telah musnah belaka melainkan cuma tiga jenis sahaja yang terselamat.

Pada pandangan anda, apakah dia tiga jenis buah-buahan yang tidak hangus terbakar dalam kebakaran tersebut...jeng...jeng...jeng...
.
.
.
.
Mengikut kata si penyampai teka-teki ini, jawapan yang pertama ialah...
.
.
.
Buah cempedak kerana ia berada di luar pagar dusun tu...hanya kawasan dalam dusun tu jer yang terbakar.
.
.
.
Yang kedua ialah buah pisang emas. Kerana ia sudah dibawa belayar. Tak ada lagi dalam dusun tu...kira selamatlah daripada menjadi pisang hangus.
.
.
.
Akhir sekali sudah tentulah buah keranji. Sebab? Ek eleh korang, buah keranji kan ada dalam perahu...tak ada kat dusun tu...tentulah tak terbakar.
.
.
.
Ada yang nak kena bakar ni...

Heheheh.

Selagi Pintu Masih Terbuka

Dalam kuliah tengahari Rabu lalu (alhamdulillah, syukur ada peluang sebegini di organisasi ini), Ustaz memperkatakan tentang taubat. Banyak yang ingin Aku coretkan, tetapi tak terdaya hendak catat semua. Apapun, insyaallah, perkongsian ilmu ini Aku akan teruskan, dengan gaya tersendiri eceh...ceh...ceh...harap tak menyimpang jauh le hendaknya.

Aku bermula daripada hujung...iaitu kesudahan yang kita manusia yang mengaku beriman dengan Allah percaya. Ada dua kesudahan. Kesudahan yang baik ialah syurga yang indah dan penuh dengan kenikmatan. Dan yang satu lagi neraka yang penuh dengan siksaan, nauzubillah!

Passport untuk masuk ke syurga ialah suci dan bersih daripada dosa. Manakala lawannya ialah dosa yang bertimbun-timbun yang bakal mencampakkan kita ke dalam neraka. Kerana itulah wajib ke atas setiap muslim untuk sentiasa bersegera dalam hal membersihkan dosa. Yakni, apabila sedar yang kita melakukan dosa, cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Jangan tangguh-tangguh sebab kita tak mahu mati dalam keadaan masih ada dosa melekat pada kita. Dan maut datang tak tentu hari, tak tentu masa.

Dosa ada 2 kategori utama. Dosa2 kecil dan dosa2 besar.

Dosa-dosa kecil boleh dihapuskan dengan melakukan amalan-amalan kebaikan seperti berwuduk, berzikir selepas solat, berjalan ke masjid untuk sembahyang berjemaah, melakukan umrah, membaca al-Quran seperti surah Al-Kahfi pada hari Jumaat dan sebagainya. Manakala dosa-dosa besar hanya boleh dihapuskan dengan bertaubat nasuha iaitu meninggalkan dosa tersebut, menyesal dan berazam untuk tidak akan kembali lagi melakukan dosa tersebut untuk selama-lamanya.

Dosa kepada Allah lebih mudah dihapuskan kerana sifat Allah itu yang Maha Pengampun, Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Dari Anas r.a, katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Telah berfirman Allah Ta'ala :

Wahai anak Adam ! Setiap kali engkau berdoa berharap kepadaKu, Aku akan tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tiada peduli.
Wahai anak Adam ! Andaikata dosa-dosa kamu setinggi langi kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampunimu.
Wahai anak Adam ! Andaikata engkau datang padaku dengan dosamu sepenuh bumi ini, kemudian engkau menemuiKu, pada hal tiada engkau menyekutui akan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.

Tetapi dosa sesama manusia lebih payah kerana manusia itu maha pendendam! Tak percaya? Ingat senang ke hendak minta maaf bila kita sudah buat dosa sesama manusia...huiii...nak buka mulut satu hal...sudah cakap, lain pulak halnya...uiiii...payahhhhh!!! Sebab itu bila di Padang Mahsyar nanti kita menunggu amalan dihisab, jenuh le kena bagi 'pahala' kita kepada orang yang kita zalimi di dunia, nasib la kalau sampai mengalami defisit sehingga bila habis pahala kita, kena pula terima dosa orang tu sebagai galang ganti...habis segala amalan! Jadi, jangan buat kerja sia-sia...hablun minnannas kena jaga juga.

Jangan pulak salah sangka kata tak apalah buat dosa dengan Tuhan kalau macam tu, maklumlah Tuhan kan Maha Penyayang...haaaa...tok sah nak buat cerita dan nak jadi kreatif bengong, ok? Walaupun satu minit je kita buat dosa tu...tapi tiba-tiba sampai ajal...sanggup ke pulang ke rahmatullah dalam keadaan diri menanggung dosa? Jawab jangan tak jawab!

Buat dosa tu bukanlah satu masalah sebenarnya (huh?). Yang menjadi masalahnya ialah bilamana kita buat dosa tapi tak sedar-sedar diri atau tahu yang diri telah melakukan dosa akan tetapi tiada kekuatan untuk meninggalkan dosa. Maka, dilakukan dosa demi dosa. Lama kelamaan bila sudah terlalu lama bergelumang dosa, timbul rasa 'lali', tak rasa jijik dengan dosa, rasa tak apa. Maka pada ketika itu, malanglah kita kalau tak jumpa juga jalan pulang dan tak sempat bertaubat bila Izrail datang memanggil. Itulah sebesar-besar masalah!!!

Bermulanya masalah besar manusia ialah apabila ia tak kenal Tuhannya. Bila tak kenal Tuhan, maka manusia jadi tak yakin yang Allah itu sentiasa melihat perlakuannya. Sekiranya manusia sedar yang dia sentiasa diperhatikan, dia tak akan tergamak melakukan apa jua bentuk dosa kerana pasti rasa bersalah dan malu kepada Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW :

“Sesungguhnya di antara perkara yang sampai daripada perkataan Kenabian yang awal ialah, apabila kamu tidak malu, maka perbuatlah apa yang engkau kehendaki.”

Maksud hadith :

Jika sekiranya engkau tiada sifat malu, maka perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Allah akan membalas dengan balasan yang berat.

Malangnya manusia berlebihan berasa malu sesama manusia. Ketika melakukan dosa, mereka bukannya malu kepada Allah yang melihat tetapi sangat malu sekiranya diketahui oleh manusia lain. Sepatutnya kita berasa malu kepada Allah. Malu kerana kita makan rezeki yang diberikanNya, kita ambil segala pemberianNya...tetapi kita tidak mahu tunduk kepadaNya. Kata Ustaz, memang dasar muka tak malu!!!

Membersihkan rumah itu mudah. Hendak membersihkan kereta juga mudah. Tetapi alangkah payahnya hendak membersihkan hati. Kerana itulah kita dituntut agar sentiasa dan banyak beristighfar kepada Allah setiap hari kerana manusia sentiasa dalam keadaan melakukan dosa samada ia sedar atau tidak.

Sabda Rasulullah S.A.W : "Setiap anak Adam selalu melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang segera bertaubat" - Hadis hasan - Riwayat Al-Tirmiziy, Ibn Majah dan Al-Hakim.

Perlukah buat solat taubat setiap malam? Kata Ustaz, tidak perlu. Lakukan bila tahu apa dosa itu secara spesifik. Bila sudah bertaubat, menyesal dan berazam meninggalkannya...insyaallah, tentulah tak akan mengulangi dosa yang sama. Kalau hari ini buat solat taubat, esok lusa masih mengulangi dosa yang sama...apa maknanya taubat nasuha itu? Itu tandanya taubat tidak diterima.

Ada orang kata, tak apalah...muda-muda ini buat apa hendak bertaubat, tunggu tua sahajalah. Nanti sudah bertaubat, tiba-tiba masih buat dosa lagi...kan tak patut. Alang-alang buat dosa, buat puas-puas...dah boring esok bertaubatlah. Tak adalah buat lagi lepas taubat tu. Wahhh...pakai logik nampak? Yalah tu...all the best to you...

Yang terbaik ialah sentiasa bersiap sedia dalam apa jua keadaan. Hari demi hari, mesti mahu berazam membersihkan diri daripada sebarang dosa. Termasuk dosa yang selalu kita tak perasan buat. Dosa yang Aku pun rasa banyak dok pikul ni...dosa mengumpat. Adoi, tak boleh pakai ayat...bukan nak mengata Ustaz, tapi dah kenyataannya...heheh...dosa yang mudah dilakukan, sampai tak sedar buat.Seronok jadi radio tak bertauliah. Kalau tak jadi penyebar, jadi tukang dengar. Nak hindar kena jaga lidah, jaga lisan...jaga hati....heemmm...bagus juga jadi kera sumbang rupanya.

Beristighfarlah sebanyak-banyaknya untuk membersihkan hati dan menghindar tingkah laku yang mengundang perlakuan dosa.

Wednesday, January 05, 2011

Lembaran Baru

Seseorang menelefon petang semalam. Ajak datang mesyuarat. Heheh...tunggu hari Rabu boleh? Sebabnya saya masih bercuti . Cuti yang panjang bermula 25 Dis sampai 3 Jan. Seronok!!! (Tetapi letih + penat + sentiasa rasa tak cukup masa).

Bila muncul di pejabat, terasa macam berada di planet asing sekejap. Bos pulak bagi kerja berbentuk write-up yang kena siap dan-dan tu jugak. Amboihhhh...Mengagau jugak le nak ciptakan situasi yang kondusif untuk merangka perenggan demi perenggan ayat-ayat yang padat dan tepat (setelah lama ketinggalan keretapi). Seksa juga!

Apapun perjuangan harus diteruskan. Tiba-tiba datang pulak semangat baru walaupun tak ada azam baru yang dibuat (azam lepas2 pun tak tercapai!). Masalah, dugaan, ujian dan apa-apa jua halangan tidak seharusnya membantutkan minat, keinginan, cita-cita dan harapan yang ada...samada kita berhasil memperolehi apa-apa yang kita ingini atau tidak, adalah tidak penting. Yang penting ialah proses yang dilalui. Pengalaman yang diperolehi. Dan kematangan fikiran yang tiada galang gantinya. Atas semua itu, syukur alhamdulillah kupanjatkan kepada Yang Maha Esa.

Dan satu lagi, jangan komplen!!! Merungut. Mengomel. Mengkritik. Tak akan dapat menyelesaikan masalah. Kalau masih ada tenaga untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti tak berfaedah itu, bermakna tentulah ada tenaga dan ikhtiar juga untuk menyelesaikan masalah dan menghasilkan solusi. Tumpu kepada perkara yang betul dengan membetulkan diri dan nawaitu terlebih dahulu. Barulah rasa walaupun buat benda yang kecil, tetap besar maknanya.

Tiba-tiba kalendar sudah menunjukkan angka 5...bulan yang pertama...pejam celik, pejam celik, cepatnya masa berlalu...tak ada azam bukan bererti tak ada pengisian. Tak perlu berazam untuk mengisi suatu kehidupan. Cukup dengan kesedaran yang nyawa masih ada dalam badan, masih diberi peluang dan ruang untuk mencari bekalan...tak usah disia-siakan hayat yang tak pasti bila bakal berakhir.

"Usia hamba itu sangat singkat, akan segera berakhir dan berlalu dengan sangat cepat. Justeru itu, jangan sekali-kali usia itu dipendekkan dengan dosa-dosa, kesedihan, kebimbangan dan kegelisahan" ~ La Tahzan