Sebenarnya hari ini ada dua kuliah oleh dua murabbi kegemaran Telipuk yang berlangsung lebih kurang sama masanya. Nasib baiklah nanti boleh saja Telipuk tonton rakaman video kemudian, jadi untuk pengisian rohani pagi tadi Telipuk pilih topik "Berbaik Sangka Kepada Allah" yang disampaikan oleh Ustaz Dr Abdullah Yasin. Memang terbaiklah.
Kata Ustaz, ini adalah satu topik yang penting kerana ia berkaitan dengan ibadat hati. Telipuk pun kadang confuse bila masuk bab husnu dzon (berbaik sangka) ini sebab ada orang dia faham lain. Nak kata dia salah, tak berani pulak Telipuk - maklumlah, siapalah kita nak menyentuh sesuatu yang terkait dengan keluasan kasih sayang dan rahmat Allah. Ada orang cakap, "Alah, tak apa...dah lapang nanti barulah pergi masjid, pergi kelas. Sekarang ni kena kerja kuat sementara tenaga masih ada, untuk kemudahan kita juga. Allah kan memahami. Nanti kita bertaubat, minta ampun, tentulah Allah ampunkan". Hari ni dapat penjelasan yang terang dari Ustaz tentang apa yang dikatakan husnu dzon ini.
Apabila berbaik sangka dengan Allah, ia mestilah melahirkan amal. Tak mungkin kita husnu dzon jika tidak terlahir amal. Bersikap husnu dzon akan membantu, membimbing dan mendorong diri untuk melakukan amalan soleh. Ini berlawanan dengan ghurur yang boleh dikatakan 'perasan' atau terpedaya dengan diri sendiri. Disangkakan dia husnu dzon tetapi tidak memperbaiki diri dan menambah amalan kebaikan. Itu bukanlah husnu dzon. Siapa yang mengira husnu dzon kepada Allah tidak perlu diimbangi dengan perbuatan, itu sebenarnya telah keliru dan salah. Ini orang yang terpedaya dan memiliki harapan yang tercela. Adalah tidak bermanfaat berprasangka baik kepada Allah dengan meninggalkan kewajipan atau dengan melakukan kemaksiatan.
Berbaik sangka dengan Allah ini ada 2 jenis iaitu :
1. Husnu dzon ketika menunaikan ketaatan kepada Allah
2. Husnu dzon ketika kita mengalami musibah atau menjelang kematian
Berbaik sangka ketika menunaikan ketaatan kepada Allah
Ketaatan yang dimaksudkan berupa ibadah seperti solat, puasa, doa dsbnya. Berikut merupakan hadis-hadis Qudsi (Datang dari Allah melalui lisan Nabi) berkaitan sangkaan terhadap Allah :
Hadis #1
“Allah SWT berfirman: Aku sesuai persangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingatKu. Jika ia mengingatKu saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Jika ia mengingatKu di suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada pada itu (kumpulan malaikat).”
(Hadis Qudsi: Muttafaqun ‘alaih) [HR. Bukhari, no. 6970 dan Muslim, no. 2675
Hadis #2
حَدَّثَنِي سُوَيْدُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ مَيْسَرَةَ، حَدَّثَنِي زَيْدُ بْنُ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي، صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ “ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ حَيْثُ يَذْكُرُنِي وَاللَّهِ لَلَّهُ أَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ يَجِدُ ضَالَّتَهُ بِالْفَلاَةِ وَمَنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَمَنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِذَا أَقْبَلَ إِلَىَّ يَمْشِي أَقْبَلْتُ إِلَيْهِ أُهَرْوِلُ ”
Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang hilang. Dan barangsiapa yang mendekat kepadaku sejengkal, aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat kepadaku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaku berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat
(HR. Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan ringkas yang boleh diambil dari hadis-hadis di atas menunjukkan betapa dekat hubungan antara berbaik sangka dengan amalan. Sesiapa yang berbaik sangka dengan Allah pasti akan mendorongnya untuk beramal. Kalau kita tahu Allah mengingati kita, pasti kita akan berusaha untuk mengingati Allah dalam khalayak yang lebih baik (kerana kita mengharapkan balasan dari Allah).
Tak mungkin kita akan melakukan perkara yang Allah tidak suka dalam usaha mendapatkan redhaNya. Contoh : Seorang anak yang mengharapkan redha Allah tetapi dalam masa yang sama berbuat perbuatan yang menyakiti hati kedua ibubapanya, mana mungkin dia beroleh redha Allah.
Justeru, sekiranya kita masih melakukan perbuatan yang Allah tidak sukai, jika mahu menjadi hamba yang baik sangka dengan Allah mestilah cepat-cepat bertaubat dengan kadar segera. Secepat mungkin. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah A-li'Imraan ayat 133 :
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Hassan Al Basri berkata sesungguhnya seorang mukmin ketika berbaik sangka kepada Allah maka dia akan memperbaiki amal manakala jika dia berburuk sangka kepada Allah maka dia akan berbuat perkara maksiat. Ada orang yang kata "Alah, orang macam aku ni memang taubat pun tak gunalah, dosa aku menimbun...dah lambat". Jangan begitu. Ingat kisah seorang penjahat yang dah bunuh 99 orang. Bila jumpa orang yang ke-100, dia tanya, kalau dia nak bertaubat ada jalan tak? Orang yang ditanya jawab, tak ada. Geram, terus dibunuhnya orang tadi. Akhirnya si penjahat berjumpa seorang alim yang menjawab pertanyaan, ya, kau masih boleh bertaubat dan Allah akan ampunkan. Akhirnya apa? Dia menuju ke satu tempat untuk dia mulakan hidup baru setelah bertaubat namun mati di pertengahan jalan. Di mana dia hendak diletakkan? Dia akhirnya beroleh pengakhiran gembira kerana dia lebih hampir kepada jalan kebaikan setelah berhijrah daripada jalan kegelapan. Begitu seharusnya kita memahami bagaimana bersangka baik dengan Allah. Bukan hanya sekadar sangka baik tetapi lepas tu tak buat apa-apa. Mana manifestasi amalnya?
Amal ibadat yang kita lakukan mestilah ikhlas kerana Allah. Dan dilakukan ikut cara Rasulullah. Tak guna kita beramal baik dan ikhlas kerana Allah namun amalan kita tidak ikut macam Rasulullah. Berbaik sangka macam manapun pasti Allah tidak akan terima amalan kita. Jadi, baikilah amal. Tiada istilah terlambat dalam Islam. Yang menjadi ukuran di sisi Allah ialah apa yang di akhir hayatmu bukan ketidaksempurnaanmu di masa mudamu. Sebab itu taubat didahulukan berbanding ibadah. Senag nak ingat macam ini. Taubat diumpamakan membersihkan diri dan ibadah itu pula diumpamakan sebagai menghias diri. Maka, membersihkan diri itu hendaklah didahulukan berbanding menghias diri. Contoh : Mandi dulu sebelum pakai baju , itulah urutan yang betul.
Peranan taubat adalah untuk membersihkan diri dari dosa. Ada orang dia banyak beribadah tetapi masih buat perkara syirik (jumpa bomoh), buat bidaah. Itu belum bersihkan diri namanya. Berkenaan kepentingan bertaubat dahulu sebelum diikuti ibadat, urutannya ada dalam ayat 11 dari Surah At-Taubah :
Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.
Perhatikan bagaimana taubat disebut dahulu sebelum dituruti dengan amalan sebagaimana sabda Nabi, mulailah olehmu sebagaimana yang Allah awali. Bila kita faham Al-Quran, ambil sebagai hujah maka kita faham ketetapan Allah adalah benar belaka.
Dengan bersangka baik akan menyebabkan kita mengatur langkah-langkah keselamatan untuk masuk syurga contoh rajin pergi belajar ilmu agama, ini adalah antara jalan keselamatan iaitu jalan menuju syurga. Termasuk dalam bersangka baik ialah bila berdoa adalah berada dalam keadaan menyakini Allah akan makbulkan (Imam Al-Qurtubi). Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin doa kamu akan dimakbulkan kerana Allah tak akan terima doa daripada orang yang hatinya lalai.
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. Riwayat al-Tirmizi (3479) – Hadis ini dinilai hasan
Jadilah kamu ketika berdoa itu dalam kondisi doa yang layak dimakbulkan. Contoh bila kamu ada hajat, kamu sedekah dulu sebelum berdoa. Yakni, berbuat kebaikan sebelum doa, ini adalah antara kaedah menjadikan doa dimakbulkan Allah. Antara tips lainnya ialah sentiasa berbuat ihsan, jangan buat benda-benda yang mungkar juga posisi/timing doa perlulah tepat misalnya berdoa di sepertiga malam, atau berdoa ketika dalam sujud.
Berbaik sangka ketika mengalami musibah atau menjelang kematian
Ini adalah jenis sangkaan baik yang kedua. Daripada Jabir r.a , beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum Baginda wafat:
لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah. Riwayat Muslim (2877)
Antara maksud dalam hadis ini adalah wajib bagi setiap orang yang beriman untuk bersangka baik dengan Allah. Dan ini hendaklah ditambah lagi sangkaan baik ketika mana berlakunya musibah dan hampir mati. Kata al-Hattab: Sunat bagi orang yang dalam sakaratul maut bersangka baik dengan Allah. Dan sangkaan ini hendaklah bertambah ketika hampir mati dan ketika sakit. Ini tanpa dinafikan sangkaan baik bagi orang yang mukallaf hendaklah sentiasa kepada Allah. (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 10/220 dan Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 17/10).
Allah terima taubat hambaNya selagi belum sampai 3 perkara berikut :
1. Nazak
2. Sakaratulmaut (mabuk mati)
3. Ta'ghar ghar iaitu keadaan di mana suara bercampur lendir
Kesimpulannya, sentiasalah berprasangka baik dengan Allah. Husnu dzhon menuntut setiap kita melakuk suruhan Allah dan menjauhi laranganNya serta memenuhi syarat sehingga layak mendapat redhaNya.
Mukmin akan bersangka baik ketika akan meninggal dunia bahawa Allah akan memaafkan dan memberikan rahmat kepadanya walaupun mereka kurang melakikan amalan kebaikan.
Semoga Allah jadikan kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dan menempatkan kita di kalangan orang-orang yang soleh dan mencintai Nabi-Nya SAW sehingga ke akhir hayat.