Showing posts with label Reflection. Show all posts
Showing posts with label Reflection. Show all posts

Saturday, March 09, 2024

Bukan Ku Tak Sudi

Telipuk masih ingat lagi ketika mula-mula belajar sunnah dan tadabbur Al-Quran dengan Ustaz Muein. Rasanya sekitar 2006. Ustaz selalu pesan, kalau nak minta syurga tu, mintalah syurga yang paling tinggi. Firdaus namanya. Memang Nabi pun mengajarkan begitu. Tiba-tiba umatnya pula tak ikut. Bukan tak mahu, tapi malu sebab rasa tak layak. Cepat Ustaz menempelak...wahhh kalau bab dunia kita berlumba-lumba nakkan yang terbaik, tapi bab akhirat acuh tak acuh. Masa tu Telipuk dengan Sirap Madu cuma mampu tersengih-sengih. Di belakang Ustaz, kami membuat kupasan pandangan. Kami berdua kata, jangankan Firdaus...kalau dapat tempat yang sipi-sipi , asalkan masuk kawasan syurga mana-manapun kami rasa sudah cukup. Telipuk kata, tak dapat istana tapi dapat duduk kat perdu pokok dalam syurga pun alhamdulillah bagi Telipuk. Kiranya asal jangan kena tempias bahang neraka. Macamana nak cakap ye? Bukanlah niat tu tak mahu Firdaus, nakkkkk. Tapi rasa macam tak terjangkau. Lepas-lepas tu memang baca dan minta jugak doa untuk mendapatkan Firdaus. 

Hari ini Telipuk teringat kembali alasan kenapa Telipuk rasa perdu pokok tu memadai. Tengahari tadi Telipuk nak keluar, jadi Telipuk masuk ke kereta yang berjemur tengah panas tu. Maklum sajalah kan , sekarang musim panas El-Nino tu ye tak...bila buka je pintu kereta, mengucap panjang rasa. Bahangnya rasa macam nak melompat lari keluar. Belum seminit duduk nak hidupkan enjin bagai, dah rasa tak sabar-sabar nak cepat-cepat sejuk. Telipuk pun membayangkan, macamanalah Telipuk mampu nak bertahan dalam neraka kalau....nauzubillahi min dzalik...gila kauuuu. Astaghfirullah, janganlah kesudahan yang buruk menanti diri ini. Lalu perdu pokok itu kembali tersemat dalam ingatan Telipuk, sanggup Telipuk terima asalkan bukan jahannam. Bukanlah syurga itu tidak menggiurkan, tapi neraka itu sesungguhnya sangat-sangat menakutkan. 

Saturday, May 02, 2020

Hidayah

Semalam Telipuk diberi ruang masa untuk mendengar kuliah online yang disampaikan oleh Tuan Guru Telipuk iaitu Ustaz Dr Abdullah Yassin. Telipuk katakan diberi ruang dan peluang sebab kebanyakan ketika Telipuk tak dapat pun ikuti banyak majlis ilmu online walaupun niat tu ada. Ada ada sahaja gendalanya meskipun sepatutnya dalam keadaan duduk di rumah ini peluang terbuka luas. Sebab itu, Telipuk katakan pada diri Telipuk sendiri...jangan perasanlah yang awak ni dah bagus, semua gerak geri dan perbuatan, sesungguhnya yang membenarkan semuanya terjadi adalah dengan bantuan dan izin Allah SWT jua. Kena selalu beringat, bukan mudah nak tundukkan nafsu.

Kuliah Ustaz ini panjang, melewati 2 jam tempohnya (campur sesi soal jawab). Sebelum ini untuk dua siri penjelasan COVID-19 oleh Ustaz Abd Muein, memang Telipuk buat nota betul-betul ikut flow ceramah dia, itu pun memang berkajang panjangnya. Maklumlah, sesinya sejam lebih. Boleh ambil nota ringkas, tapi macam tak puas pulak...sebab cara Ustaz memberi komen dan ulasan tu sangat sedap untuk difahami. Sebab itu, lenggok gaya percakapannya pun Telipuk ambil sekali hahaha. Tapi itulah jadinya, bila Telipuk mula buat nota sebegitu, dah jadi pressure pulak bila ikuti kuliah lain...kuliahnya banyak, ambil nota tak semestinya sempat...nak luang masa go through satu persatu video memang mencabar...sudahnya, asal nak buat semua tapi satupun tak keluar...apa cer? Jadi pengajarannya, jangan letak expectation tinggi sangat Mak Jemah oiii...skala tu kurangkan sikit...nak tunggu perfect notes baru nak share alamat kembali berhabuklah blog ni...hahaha...

Baiklah, jadi untuk kuliah Ustaz Abdullah (antara guru favourite Telipuk), Telipuk nak kerat-kerat sikit kepada beberapa bahagian. Macam untuk entry ini Telipuk nak berkongsi tentang 'hidayah' sebab nak relate dengan topik sampingan, tentang seorang hamba Allah dari Korea yang Telipuk suka ikuti perkongsian videonya di FB dan IG. Hyun Bin? Lee Min Ho? Dak aihhhh....korang bior benor...tahap-tahap ahjumma macam Telipuk ni tak sesuai kot nak beroppa-oppa ni...hahaha...(walaupun ia tidaklah menafikan yang Telipuk suka tengok drama Korea sejak dua menjak ni...ke dah tiga menjak? sabar jer laaaa).

Kim Jae Han atau Jay Kim adalah bekas penyanyi dan penulis lagu Kpop dari Korea yang telah memeluk Islam tahun lalu. Bila video-video pengalaman dan kisahnya bertebaran dikongsi di media-media sosial, tak tersengaja Telipuk ikuti dan Telipuk kagum dengan kesungguhannya untuk berusaha menjadi seorang Muslim yang baik di tengah-tengah masyarakat Korea yang mana Islam itu sendiri masih sangat asing di sana. Bukan senang banyaklah nak dibandingkan dengan Telipuk yang born Muslim dan hidup dikelilingi majoriti Muslim , di sebuah negara Islam. Fuh...memang tabik spring toing toing pada dia yang kini menggunakan nama Daud Kim (He was born as catholic under the name David). Dalam masa yang sama Telipuk susah hati dan merasakan kesukarannya, semoga Allah mudahkan untuk dia perjalanan berterusan yang mencabar ini ke arah menggapai redha dan syurga Allah. Perjalanan ini bukan perjalanan dia seorang tetapi perjalanan semua orang Islam menuju Allah. Bagi Telipuk, Duad memang bertuah terpilih, dia macam baby yang bersih dan sekarang boleh pulun sungguh-sungguh. Memang nampak kesungguhan dia dan dia menggunakan kelebihan media sosial untuk cuba menyampaikan mesej-mesej positif tentang Islam dengan caranya sendiri. Masya Allah, manusia bila dia kenal siapa Tuhannya memang ketara perubahannya. Malu ok, malu...jadi Telipuk pun nak belajar dari Daud Kim, belajar untuk jadi bangga dan bersyukur jadi seorang Muslim.

Itu kisah seorang convert er tidak, bak kata Daud...dia tak suka perkataan convert itu...dia lebih suka 'revert' sebab adalah benar setiap baby yang dilahirkan itu mereka pada asalnya, berada dalam agama fitrah (Islam) namun ibubapa dan keluargalah yang mencorakkannya sehingga dia menjadi samada Muslim, Kristian, Majusi atau atheis. Dalam perjalanan hidup yang bersimpang siur itu, destinasi semua kita sama sahaja...penjalanan menuju ke pengakhiran (mati)...namun apa yang membezakan kita ialah jalan mana yang kita tempoh dan bagaimana kita menempuhinya. Alhamdulillah, yang dilahirkan Muslim ini sudah berada di landasan yang betul cuma jalan ini ia ada banyak cabang dan halangan, hanya kena pastikan berjaya lepasi halangan itu dan jangan ikut sign board yang salah, kalau agak-agak dah 'ke laut' tu...cepat-cepat tengok peta balik dan back onto the right path. Tapi untuk yang non-Muslim, awal-awal lagi mereka sudah berada di landasan yang salah...hanya petunjuk dan hidayah dari Allahlah yang boleh kembali membuka mata hati mereka untuk mencari jalan kebenaran yang hakiki.

Pengalaman Telipuk sendiri sebagai seorang born Muslim...memang tak perasan keistimewaan itu, maklumlah celik-celik mata kau memang Islam. Dah tak payah nak fikir-fikir betul ke tak agama kau ni...sebab dah kuat tertanam dalam minda yang Islamlah agama yang benar. Tapi itu tidaklah bermakna yang Telipuk ni islamik sangat, bolehlah dikatakan, cara hidup kebanyakan kita ini...agama itu tidak menjadi syumul sebagaimana yang sepatutnya. Maksud Telipuk, pengalaman Telipuk...agama ini terhad kepada acara-acara keagamaan, berkisar sekitar hal-hal ibadat dan tidaklah berkembang sehingga dibahaskan di meja-meja kopi. Masa itu tak ada siapa pun sibuk bercakap tentang infaq, tentang dakwah apatah lagi tadabbur Al-Quran. Al-Quran itu haruslah dikhatamkan...mesti, waima sekali seumur hidup. Paling bangga kalau masih di sekolah rendah sudah habis baca Al-Quran. But....tak ada yang persoalkan kalau lepas tu kau langsung tak sentuh dan buka Al-Quran...sebab kau dah khatam. Pelik kan? Dan Al-Quran tu macam kau tak boleh suka-suka nak pegang...kau mesti simpan jauh dari orang, letak tempat tinggi-tinggi dan biar kat situ, walaupun berhabuk. Maka, Al-Quran tidak mampu untuk menjelma dalam diri manusia Islam ini...manakan tidak, tafsir pun tak ada masa itu...bagi kebanyakan orang (yang Telipuk tahu pada masa itu), Al-Quran itu sekadar untuk dibaca dan dilafazkan, dan mungkin juga untuk menghalau hantu. Sebab itu Telipuk pelik, macamana ada kisah jin boleh tergelak-gelak ikut mulut tok bomoh yang konon mengubat sambil baca ayat suci Al-Quran...ye lah, tok bomoh tahu baca sahaja tapi dia tak faham pun apa yang dia baca....jin lagi faham, dan siap hafal kot...

Telipuk dan agama Telipuk ini (pada pandangan Telipuk) pada suatu ketika, malu nak cakap ia hanya sekadar agama. Sepatutnya agama itu menjadi kulit yang membalut seluruh inci susuk tubuh Telipuk, bukan menjadi pakaian untuk Telipuk peragakan. Namun, untungnya walaupun tak berapa lengkap, Telipuk sudah mula bersolat dari sekolah rendah. Masa itu memang sekadar buat. Buat pun asal siap, nak cepat sahaja. maklumlah, nak kejar tengok Ultraman la, Cumi dan Ciki lah...nasib baiklah, bukan zaman mobile legend macam sekarang...kalau tak naya weyyy. Solat Telipuk semakin baik bila sudah menengah atas, tapi bab tutup aurat ni aaa...memang fail...keluar sekolah tudung hilang...tapi pelik eh, orang tak kisah pun. Tudung cuma sekadar uniform. Telipuk ingat, mungkin asbab doa tok nenek moyang dulu kot banyak bantu Telipuk dari tersasar...sebab tu, jadikanlah ia suatu kelaziman untuk sentiasa mendoakan anak cucu cicit zuriat keturunan kita agar tetaplah mereka berada dalam agama yang benar ini. Kata mak Telipuk, moyang Telipuk, namanya Lebai Isa adalah seorang yang alim pada zamannya. Dia datang dari selatan Siam. Sejarah tolak tepi, masa depan harus dicorakkan dengan baik. :)

Ketika ramai yang merungut ditempatkan di sebuah universiti nun terperosok di utara sana (kalau jalan kaki...dalam 3 km sudah masuk sempadan Thailand), keadaan itu menjadi satu hikmah yang terbaik untuk Telipuk. Bila Telipuk muhasabah balik, memang sangat beruntung Telipuk menghabiskan tahun-tahun awal kedewasaan Telipuk di sana (1993-1998). Telipuk kira 'sebatang kara' di situ...ye lah, tak kenal siapa-siapa. Telipuk bukan budak asrama...MRSM pun tidak, sekolah sains pun tidak...jadi banyak kena berdikari. Menariknya ia menjadikan Telipuk tak menghadkan pergaulan, maksudnya Telipuk berkawan dengan semua...siapa-siapa yang suka nak kawan dengan Telipuklah. Kadang orang yang dah ada geng, memang tak pandang lah Telipuk yang comot dan kekampungan ni...ahahaha...ko dah kenapa, malam-malam keluar pun pakai baju kurung? Ate...dah tu jer baju yang banyak...owh...actually, Telipuk ni international size...so, nak dapat pant yang panjang sampai labuh tutup buku lali sangat-sangat lah bermasaalah (kat Krian mana nak cari weyy...)...jadi banyak customized baju kurunglah...owhhh so kampunggg! Tapiii...itulah hikmahnya, end up ramai kawan Telipuk adalah geng-geng tudung labuh...pulakkkk! Roomate Telipuk masa kat matrik ialah budak sekolah agama di Johor. Kesannya, kawan-kawan dia yang sekolah agama tu jugak selalu datang berkunjung ke bilik kami...asalnya Telipuk malu alah dan jenis accomodative ni...asal orang ajak kau tak pandai menolak kan...Mulalah ikut pergi usrah, ikut pergi program ceramah, ikut kem di masjid...akhir-akhirnya nak join geng yang sedikit 'rancak' pun dah rasa semacam. Masa tu bukanlah perasaan 'semacam' itu lahir dari dalam...tapi lebih nak menjaga persepsi orang, iyalah semalam dah pergi masjid...tak kan hari ni kau nak keluar dating kot? Ahahahaha....

Sebenarnya Telipuk ni antara satu perangai yang tak boleh nak buang ialah...kalau Telipuk rasa nak buat juga, Telipuk buat juga...contoh, aktiviti teater. Telipuk bermula dengan tolong kakak-kakak senior geng pertubuhan Islam menjayakan pantomine mereka...aktiviti tu sesama muslimat. Lepas tu Telipuk macam mana ntah terberkawan dengan geng budak-budak TEMA...tak sangka pulak dema offer Telipuk join pementasan untuk aktiviti kolej Matrikulasi masa tu...watak utama pulak tu...hahaha...tapi actually ok je, sebab tu teater berat yang just banyak dialogue dan mimik muka...in term of pakaian , Telipuk tampil dengan baju kurung cotton biasa sahaja. Wahh...masa tu glamer sekejap la orang panggil Tengku Malini...sempena nama watak teater tersebut. But you know...I am always a low profile person...(blah laaaa....). Then bila masuk degree, Telipuk tak boleh tidak pilih pementasan teater sebagai aktiviti ko-K. Nak masuk Kembara atau Wataniah...lasak sangat kot...tak habis trauma lagi pengalaman di Kem Desa Pahlawan...nak masuk jenis sukan, tak minat lah pulak. Rasa yang senang Telipuk nak kawal dan hanya bermodalkan bakat sendiri ialah teater. Jadi, Telipuk sorang sahajalah join teater sedangkan kawan-kawan pilih ko-K lain. Pensyarah teater ialah tenaga pengajar luar dari UiTM...owhhh...hari pertama dia test pun mencabar weyyy...buat macam-macam ekspresi, pergerakan dan dialog spontan...contoh...melompat dan mengaum seperti seekor harimau...yang ni dah bercampur gaul pulak lelaki dan perempuan...err...agak tak selesa tetapi Telipuk teruskan jugak. Masa ni la geng-geng masjid mula pandang Telipuk semacam hahaha...ko apa kes...orang lain pergi qiamullail ke masjid, ko pulak balik dengan geng termasuk lelaki turun dari Pusat Kegiatan Pelajar pukul 3-4 pagi (kes buat persiapan akhir untuk pementasan...ni biasanya untuk grand projek bagi tujuan pemarkahan). Telipuk secretly admire seorang brader senior yang selalu jadi imam solat kat masjid...tergamam tau terserempak dia pagi-pagi buta tu...terus harapan tinggal harapan. Hahahahaha...

Jauh pulak menelusuri sejarah pagi ini...apo kono eh Jang ? (ke melankolia tak pasal-pasal sebab tak boleh buat aktiviti merentas sempadan negeri untuk raya ni ke? hua hua hua). Okay, the point is, Telipuk rasa perjalanan Telipuk untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari semalam itu sama juga macam Daud...walaupun Telipuk dilahirkan Islam, Telipuk pun struggle juga. Jangan fikir dah Islam tu tak payah buat apa-apa. Kena belajar macam Daud start dari bawah, dari sekecil-kecil benda. Banyak lagi benda yang Telipuk terlepas pandang dan perlu banyak belajar. Terperasan yang konon amalan fardu tu dah cukup...tak cukup beb setakat solat, berpuasa, berzakat, pergi haji kalau ia sekadar menjadi amali praktikal tapi tak lepas masuk menusuk ke hati. Macam sekarang, orang puasa kita pun puasa. Tapi apa beza puasa kita dengan puasa orang? Macamana nak dapat pahala puasa yang hanya Allah sahaja berhak menentukannya? Macamana? Cukup ke dengan menahan lapar dahaga...bangun pagi bersahur...lepas tu bantai tidur sampai tengahari, apa benda pun tak nak buat sebab penat...terjelepuk kat sofa layan Netflix lepas tu sibuk fikir nak makan apa masa berbuka. Dah berbuka tersandar kekenyangan dan update kat IG cakap alhamdulillah selesai sudah iftar hari ke sekian-sekian...eh puasa ke tu?

Orang solat kita pun solat. Orang solat zohor awal waktu kita solat dekat-dekat pukul empat. Orang solat 4 rakaat ambil masa 10 minit, kita 3 minit dah settle. Orang baca Al-Bayyinah selepas Fatihah, kita cukup berpuas hati dengan Al-Kautsar memanjang...orang sujud lama sikit sambil baca doa kat dalam sujud tu, kita cukup touch down beberapa saat...lepas bagi salam panjang pulak nak doa...eh...kan bagus kalau doa tu kau baca sebelum beri salam (ketika masih dalam solat)...tapi ye lah, kau tak sempat nak belajar kot betapa afdhalnya berdoa dalam solat. So macamana solat tu nak sama pahalanya dengan solat orang lain? Sebab bagi kebanyakan kita, dah pandai kan solat tak perlulah belajar lagi...ikut sahajalah dulu, kini dan selamanya...janji buat. Maka jadilah ibadat kita sekadar ikut-ikutan dan solat tidak menjadi benteng untuk melindungi kita dari perbuatan keji dan mungkar.

That's it...itulah point penting entri sepanjang ini...iaitu kita terlupa nak cek amalan kita selama ini...yang kita sangka dah cukup. Kita lupa nak semak, betul ke sama amalan kita dengan apa yang Nabi buat. Dah bertahun-tahun tak de perubahan sebab kita tak rasa ada keperluan untuk menambahbaik amalan. Kita patut takut hendak balik menghadap Allah dengan amalan yang tidak seberapa ini dan patut kita tanya balik apakah berkualiti amalan yang kita bawa itu...takut-takut semuanya nanti Allah campak balik ke muka kita menjadi debu-debu berterbangan.

Orang-orang macam Ustaz Hussain Yee, Ustaz Farid Ravi adalah antara insan yang Telipuk kagumi. Telipuk kagum denga orang yang revert ini sebab Telipuk boleh rasa terinspirasi dengan perubahan mereka dan pendekatan yang mereka ambil. Nak tiru banyak pun rasa tak mampu, jadi Telipuk tiru yang mudah-mudah...macam Daud Kim, itupun terasa macam adoii..dia jauh lebih baik sebab dia seumpama bayi yang baru dilahirkan ,yang bersih berbanding Telipuk yang banyak dosa ini. Mujur selalu ingat, tiada putus asa dalam agama dan sentiasa bersangka baik dengan Allah...jadi kita kena teruskan, do our best! Yang penting ialah bagaimana pengakhiran kita. Sebab itu pastikan hidup kita sentiasa buat amalan yang baik. Kata Imam al-Ghazali, cara mati seseorang mukmin itu ditentukan oleh cara hidupnya. Ramai orang mahu 'pergi' dalam pengakhiran husnul khatimah, namun jika cara hidup jauh daripada mengingati Allah SWT, tidak mengamalkan ajaran Islam sempurna, gagal menunaikan tuntutan makna kalimah syahadah, mana mungkin akan mendapat pengakhiran hidup yang baik.

Justeru, jangan berpuas hati menjadi Islam tetapi harus sentiasa doa pohon diberi taufik dan hidayah agar kita teguh di jalan yang benar kerana hidayah itu milik Allah. Pesanan ahli sufi, ketuklah pintu hidayah Allah SWT berkali-kali kerana jalan itu akan membawa seorang mukmin untuk dekat dengan-Nya.

Firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 36 dan 37 :



Allah menegaskan bahawa siapa yang Allah beri hidayah maka tidak ada suatu kuasapun yang boleh menyesatkannya. Akan tetapi, barangsiapa yang Allah sesatkan , maka tiada yang boleh memberinya hidayah.

Ini penjelasan Ustaz Abdullah Yassin tentang 'hidayah'. Kata Ustaz, hidayah ini terbahagi kepada dua iaitu :

  1. Yang disebut sebagai Al-Bayan (Penjelasan dan bimbingan)
  2. Yang disebut sebagai taufik (Buka hati untuk patuhi Allah dan tidak melakukan maksiat)

Hidayah Al-bayan itu manusia boleh beri sesama manusia. Sebagai contoh, Nabi Muhammad boleh memberi hidayah kepada umatnya, menunjuki mereka tatacara dan panduan ibadah/amalan yang benar serta menasihati mereka. Begitu jua para Ustaz, ilmuan dan agamawan. Mereka boleh memberi hidayah menerusi ilmu dan nasihat mereka justeru membantu menjelaskan dan membimbing para pengikut/penuntut mereka.

Akan tetapi hidayah dalam bentuk taufik itu hanyalah milik Allah dan Allah sahaja berhak memberinya kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki. Sebab itu jangan hairan, walaupun Nabi Nuh bertungkus lumus berdakwah selama beratus-ratus tahun (usia baginda sekitar 950 tahun) menggunakan wahyu yang diterimanya untuk membimbing dirinya, keluarganya dan umatnya -  masih tetap tidak mampu untuk memberi hidayah (dengan makna taufik) kepada anaknya, Kanaan. Begitu juga dengan Nabi Ibrahim yang tidak dapat memberi hidayah kepada bapanya, Azar. Nabi Muhammad juga tidak dapat memberi hidayah dan menyelamatkan dua orang bapa saudara Baginda yang kekal kufur kepada Allah iaitu Abu Talib dan Abu Lahab.

Akhir kalam, teruskan usaha dan teruskan berdoa semoga Allah terus memberikan hidayahnya agar kita tetap berada di jalan yang benar (keep on improving our life as a Muslim) dan mudah-mudahan Allah redha kepada kita dengan ganjaran syurga. Amiin amiin amiin  ya Rabbal'alamin.

Thursday, April 30, 2020

Di Penghujung Rindu

Macam tak percaya je yang hari ini telah masuk hari ke 7 berpuasa. Serius? Cepat masa berlalu, tak terasa walaupun perintah kawalan pergerakan masih berjalan. Maknanya, benarlah seperti firman Allah dalam Surah Al-Asr. "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian". Bila Allah bersumpah dengan sesuatu, pastilah benda itu sesuatu yang penting. Masa sememangnya satu perkara yang penting. Pengisian masa yang seiring dengan kehendak Allah akan membawa kita kepada keberuntungan dunia , lebih-lebih lagi untuk akhirat. Namun jika kita leka dan merasakan kita masih punya banyak masa untuk dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, bersiaplah untuk kehidupan akhirat yang mendukakan.

Sifat masa ini, ia terus berjalan tanpa henti. Masa tidak menunggu kita. Dan bila ia telah berlalu, ia tidak mungkin akan kembali lagi. Perasaan ralat dan sedih manusia atas apa yang luput darinya kerana berlalunya masa sehingga suatu kesempatan yang sepatutnya dia pergunakan sebaik mungkin gagal dimanfaatkan membuatkan manusia sering menyesal. Kalau biasa tengok drama Korea, mungkin akan jumpa elemen ini iaitu plot kembali ke masa lalu untuk mengubah sejarah atau kelahiran semula di masa hadapan untuk memberi peluang menikmati kehidupan yang lebih baik. Bolehlah sekadar berangan tapi pada hakikatnya ini hanyalah impian dan kepercayaan yang salah.

Masa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan namun kita boleh belajar untuk berubah menjadi lebih baik, tak kiralah berapa jauh pun sela masa itu. Yang penting, sekiranya kesalahan atau dosa yang telah kita perbuat, tindakan seterusnya ialah bertaubat dengan sebenar-benar taubat, menyesal dan pastikan tidak kita ulangi kesilapan itu. Taubat adalah sangat berkuasa. Taubatnya seorang hamba kepada Allah Yang Esa hanya sah jika memenuhi syarat-syarat taubat tadi dan pada masa yang masih ada. Benar, di situ masa masih memainkan peranan yang penting. Jangan seperti taubatnya Firaun, ketika nyawa sudah berada di kerongkongan baru mahu mengakui keesaan Allah, maka taubat seperti itu sudah tiada gunanya.

Kita umat Nabi Muhammad, tidak punya kelebihan umur yang panjang...rata-ratanya umur kita sekitar 60 ke 70 tahun sahaja. 80 tahun ada, tapi itupun tak ramai. 90 tahun lagilah. 100 tahun hampir-hampir tak ada. Itu yang hairan tu, masih ramai yang berangan perasan muda dan menangguhkan masa untuk bekerja untuk akhirat. Ramai yang rasa masih belum cukup puas dengan kehidupan dunia, padahal harta yang dikumpulkan itu belum tentu boleh dimanfaatkan untuk dirinya, hanya sekadar menjadi perhiasan dan permainan sahaja. Rasanya belum pernah lagi kita dengar orang mati bawa hartanya bersama-sama bukan? harta-harta itu semua bila kita meninggal, jadi hak milik orang lainlah. Kot yang meninggal itu suami, harta-harta tu nanti isteri dan anak-anaknya akan gunalah. Kalau si isteri kahwin lain, nanti BMW 7 series yang plastik pun tak bukak lagi tu...suami baru isterinyalah yang bawak.

Walaupun kita semua tahu, tapi pelikkan, kita masih selesa untuk mengutamakan dunia. Yang akhirat ni, bak kata ramai orang, tunggulah dah pencen nanti...ketika tu dah ada banyak masa untuk pergi masjid. Masa tu nantilah kita bertaubat dan buat amal-amal soleh banyak-banyak. Oooo...macam tu ye? Sekarang umur berapa ek? Katalah 45 tahun...target pencen bila? Katalah ikut umur persaraan 60 tahun, bermakna kita masih ada 15 tahun untuk bekerja. Target mati bila ye? Eh eh...mak Jemah ni...ke situ pulak dia...laser tau!!! Rileks la, kita nak buat kira-kira sempoi jer...play along boleh? hahaha...Katalah kita ikut macam Nabi, tarikh akhir 63 (ada berani ke?)...eh eh...3 tahun jer tinggal nak pergi masjid? Mana sempattt...Tahu tak apa...ngape ko perasan kau boleh hidup sampai umur 100 tahu ke? Kot ye pun belum tentu sampai masjid, buatnya sakit itu ini...kencing bertabur ke, nyanyuk ke...so the point is, jangan hanya merancang untuk dunia. Jadilah orang yang bijak, yang menggunakan segala sumber dunianya untuk merancang kehidupan akhiratnya.

Ustaz kata, yang melayakkan kita masuk syurga bukan panjang pendeknya umur. Kalau umur panjang tapi amalannya kurang apa gunanya. Dan orang yang pendek umurnya tapi banyak amalannya adalah jauh lebih beruntung. Macam Imam Nawawi, umurnya pendek sahaja...sekitar 40 tahun lebih sudah dijemput kematian tapi beliau pergi dalam keadaan meninggalkan sekian banyak ilmu. Jadi, yang melayakkan kita masuk syurga ialah kualiti amalan.

Berita baik untuk orang beriman ialah kehadiran Ramadhan ini membawa bersamanya satu malam yang penuh keberkatan iaitu malam Lailatul Qadr. Ia adalah benda yang sangat bernilai. Lebih mahal dari emas. Lebih mahal dari dunia dan segala isinya. Beribadat pada malam kemuliaan ini (mulianya Lailatul Qadr adalah kerana turunnya Al-Quran), membolehkan kita mendapat pahala seolah-olah telah beramal selama 1000 bulan nilainya atu bersamaan dengan 83 tahun. Cukup tak 83 tahun untuk menampung lompang amalan kita yang belum tentu mampu beribadah selama 83 tahun? Pastilah ini memberi kelegaan bagi yang tahu menilai.

Tunjukkan kesungguhan untuk mencari dan memburu Lailatul Qadr dalam 10 malam terakhir Ramadhan. Buatlah semampu boleh, kalau untuk dunia yang sementara ini sanggup bertahun kita merancang tanpa henti...apatah lagi untuk suatu kehidupan akhirat yang abadi. Jangan sampai masa yang masih tinggal bersisa ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Yang pasti, ini bukan lagi satu pilihan. It's now or never!

Wednesday, January 16, 2019

Variasi

Pada suatu hari yang indah, ehehehe...Telipuk menghadiri mesyuarat pertama CMCF bertempat di Bangunan Sri Pentas, Bandar Utama. Untung sertai CMCF ni sebab Telipuk boleh mencuba perkara-perkara baru di luar ruang lingkup bidang telekomunikasi. Boleh dikatakan yang mendominasi CMCF ini adalah pemain industri penyiaran dan juga para pengiklan. Rakan-rakan industri ini memang lain macam pendekatan diaorang...apapun tak jadi masalah sebab latarbelakang pendidikan Telipuk pun sebenarnya lebih menjurus kepada bidang pemasaran (walaupun tak praktis). Tu belum diaorang tau yang kita ni pelakon teater sepanjang menuntut di universiti dulu...hahaha...(memang tak berapa nak senada dan seirama kan?)



Hari tu Telipuk tak drive. Mula-mula memang ingat nak memandu ke sana. Lepas tu risau pulak kalau tak ada parking. Lokasinya Telipuk agak-agak sekitar One World Hotel, memang pernah pergi few times tapi exact location Sri Pentas, Telipuk tak berapa pasti. Dan kalau Telipuk memandu keluar, masalah bila balik Menara sebab kebiasaannya tak ada parking. Bolehlah nak bayar RM12 untuk sejam pertama dan RM3 untuk jam seterusnya tu...tapi...hishh...macam tak perlu jer.

Lepas tu terfikir pulak, nearest station MRT ialah Bandar Utama. Sebelah kot. Ishh...cantik ni kalau cuba pengangkutan awam. Cuma tak berapa yakin nak bergerak solo. Terus call kawan industri yang biasa dengan pengangkutan awam ini. Dia dari Putrajaya naik ERL, turun di KL Sentral. So, kami pun berjanji. Jumpa di hadapan restoran McDonalds, berdekatan information counter.


Tepat pada masa dijanjikan, kami bertemu. Suka kalau janji tertunai seperti dirancangkan. Maklumlah, Telipuk ni agak punctual orangnya. Kawan ni pun sepesen macam tu...tu yang boleh ngam. Dari situ, kami ikut tanda arah ke stesen MRT Muzium Negara. Eh...senang baaa tuuu...ikut jer, ada connecting walkways...memang proper. Telipuk ingat kena keluar bangunan berjalan tepi highway ke apa sebab dok bayangkan bangunan Muzium Negara yang terletak di berhadapan KL Sentral di seberang jalan nun. Sekejap jer dah sampai platform. Kami ambil tren menghala ke Sungai Buloh. Tambang as usual tak ingat sebab dok rancak sembang dan guna touch n go encik suami sponsor...so, memang tak berapa nak alert. Kih kih kih.


Bila turun stesen Bandar Utama...memang betul nampak bangunan Sri Pentas kat sebelah jer. Dokek bebenor. Cuma, masalah nak sampai ke situ agak tak pasti. Kami bertanyakan petugas di kaunter pertanyaan...rasanya arahan yang dia bagi tu betul dah, tapi kami yang tersilap tafsir. Sebab konfius nak ambil jalan kiri ke jalan kanan since dia kata ikut hala hotel...sedangkan dua-dua jalan tu ada hotel...Hotel One World di sebelah kanan dan Hotel Avante di sebelah kiri. Berdasarkan agakan, kami ambil jalan kiri. Turun ke bawah dan kena melintas jalan macam anak ayam untuk sampai ke main gate Sri Pentas. Hahaha...rasa macam susah sikit route tu...so, sohih la salah.


Mesyuarat bermula jam 10.30 dan berakhir hampir ke pukul 12. Mengambil kesempatan berada di sana, tuan rumah berbesar hati membawa kami semua melawat bangunan Sri Pentas yang menempatkan stesen televisyen swasta pertama negara TV3 serta lain-lain siaran TV dan radio swasta yang bernaung di bawah kumpulan Media Prima.

Apalagi...sukalah mak cikkkk...

Tu yang biarkan gambar-gambar bercerita...hahahah...


Terus cam bila jumpa deejay Hot fm Zetty. Telipuk cakap kat dia, tengok Zetty terus teringat Destinasi Bajet. Zetty gelak kata tu dah lama lah kak...hahaha...program Destinasi Bajet tu adalah homegrown production unit penyiaran TM, HyppTV sekarang dikenali dengan nama UnifiTV. Kat rumah memang Telipuk tengok UnifiTV...eh...kenalah support syarikat sendiri kannn...


Memang kena berterima kasih dekat tuan rumah sebab tolong lobi untuk program lawatan ni...hehehe...yelah, kita dah lama tak join program lawatan ni...dah tua-tua ni baru dapat masuk tengok studio bagai...dah tak pasal-pasal jadi kanak-kanak ribena sekejap. Lepas tu kitaorang tergelak kat diri sendiri sebab yang dok iring pergerakan kitaorang adalah anak-anak muda yang well...memang sangat-sangat muda dan cantik segak semuanya. Maklumlah, industri penyiaran kan. Ianya mengingatkan yang dulu pun kita pernah muda...pernah berada pada tahap seperti itu...tapi sekarang ...opocot mak kau...Telipuk pun macam tak percaya bila fikir tahun ni umur Telipuk sudahhh...ahahaha...rasa macam, eh dah tua kau makkkk!


Taklah...bukan Telipuk takut tua pun. Jangan salah faham pulak. Telipuk tak pernah kesal dengan apa-apa. Rasanya Telipuk lebih enjoy dan relax pada masa sekarang. I think all is well. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan kepelbagaian pada setiap tahap hidup kita sehingga kita tak rasa rugipun meninggalkan usia muda. Sempurna sungguh aturan Allah. Entahlah, tak tahu Telipuk nak ungkapkan macamana...tetapi memang itulah yang Telipuk rasa. (Apa-apalah Telipukkk...).

Ahaha...lain pulak penghujung cerita ini kan...

Telipuk nak cerita, dalam hidup ini macam-macam yang akan kita tempuhi...kadang-kadang tak pernah bayangkan pun. Tapi bila kita lalui dan mengalaminya sendiri, barulah kita faham. Sebab itu, jangan selalu sembrono menilai orang dan tindakan mereka. Kita tidak berada di tempat mereka untuk menghukum kenapa dan mengapa mereka begitu. Sesuatu yang mudah untuk kita, belum tentu senang untuk mereka. Sementara hayat masih bersisa ini, hiduplah dengan baik dan belajarlah menghargai apa yang ada di sekeliling kita. Everything is special in its own way...lihatlah dengan mata lebah ok...

Peace!

Tuesday, January 01, 2019

Teruskan Saja

Salam Tahun Baru 2019.

Selamat tinggal 2018. Sebenarnya tempoh masa setahun itu terasa terlalu singkat. Macam baru semalam tahun 2010 berlalu. Hari ini hari pertama untuk kiraan tahun 2019 bermula. Wah...9 tahun terasa seperti 9 hari! Ok, itu mungkin kenyataan yang melampau...how about 9 months? Still, too fast don't you think so?

Dalam satu program radio, hari ini juruhebah mengutarakan topik pencapaian terbaik 2018. Macam-macam kisah dikongsikan pendengar. Kalau tanya diri sendiri, memang boleh melopong dibuatnya. Macam tak ada jawapan...sadis betul rasanya! Seriously? The best pencapaian probably...my ability to survive kot...hahahah...hellooo...not a big deal ke tu? Inilah yang paling baik apa. Ability to maintain harmony and sanity. Finding a balance is definitely one big achievement, at least for a Libran. :)

Ok, azam baru pulak apa? hahaha...macam dah basi kot topik azam ni. Namun kalau tak ada azam macam tak best pulak kan...? Azam saya senang saja, nak jadi orang yang baik. Baik dalam erti kata, hidup yang tidak menyusahkan orang lain. Boleh masuk dalam kehidupan orang tanpa mengganggu gugat keharmonian mereka. Eh eh...macam tu punya azam pun ada ke? Mestilah ada. Mahu ke kita hidup kalau kita tahu ada perbuatan kita yang menguris hati orang? Orang lain, tak tahulah...for me, I can't. Memang dari dulu saya macam tu. Kalau orang lain lega lepas bergaduh sebab  dah luahkan segala-galanya...saya pulak akan susah tido malam bila fikir-fikir balik kejadian tu...jadi pada akhirnya, benda itu akan membebankan saya. Jadi, lebih baik jangan mula langsung. Hemmm...pelik...pelik...

Once upon a time, I kind of regretting all my action...terutamanya bila masuk bab bab mengalah ini walaupun tahu diri dalam posisi yang benar. Selalu bila buat macam tu saya fikir, saya sudah melepaskan banyak peluang peluang atau kemungkinan yang boleh memenangkan saya...kenapa saya tak buat macam orang lain saja? Kenapa perlu peka kepada perasaan orang sedangkan orang tak pedulipun apa yang saya rasa? Tapi bila meningkat usia ini, saya baru sedar...ini bukanlah satu kelemahan. Tetapi ia adalah satu kelebihan. Mungkin orang lain melihat saya lemah dan jenis yang boleh diperkotak katikkan. Terpulanglah, sebab saya tidak perlu memuaskan hati orang. Betul, bukan senang menjeruk rasa sendiri tetapi kalau itu menyenangkan hidup lebih ramai orang...bukankah itu lebih baik berbanding saya gembira sedangkan ramai yang terjejas? Wahhh....ini cerita pengorbanan ke apa? Hahaha...saya cuma gembira sebab lebih kenal diri sendiri. :)

Ok, mari teruskan kehidupan di tahun 2019. Hidup dengan baik, dan jadi manusia yang bermanfaat. Melakukan kesilapan itu biasa, tetapi bila sudah silap...belajarlah memperbaiki kesilapan itu. Walaupun kesilapan yang sama masih tetap berulang, jangan pernah berhenti mencuba menjadi baik kerana inilah sifatnya sekolah kehidupan. Mudah-mudahan Allah berkati kehidupan kita dan mempermudahkan segala urusan.

Friday, October 26, 2018

Andai Dapat Ku Undurkan Masa

Kalaulah Telipuk berada di tempat Cha Ju-Hyuk, agaknya apakah perkara lepas yang Telipuk ingin ubah? Hemmm...dah macam nak buat karangan, "Sekiranya saya menjadi seorang jutawan". Manusia ni kalaulah ada kebolehan untuk mengubah sejarah...pastilah huru-hara satu dunia ni. Sebab apa, sebab sikap manusia yang hanya akan buat benda yang penting untuk dirinya. Mengutamakan kepentingan diri sendiri berbanding orang lain itu adalah fitrah. Macam Cha Ju-Hyuk yang merasakan dirinya menjadi mangsa lalu ingin menukar sejarah kerana menyangka dia berhak untuk menikmati kehidupan yang lebih baik tanpa memikirkan keadaan orang lain.

Ok, baik , jom Telipuk cerita tentang drama Korea berjudul "Familiar Wife"ini. Pelakon siapa tu semua Telipuk tak akan sentuh sebab Telipuk hanya berminat dengan ceritanya. Lagipun tak reti kot nak cerita tentang pelakon sebab tengok macam sama jer rupa masing-masing hahaha...semua pun comel-comel juga.

Cerita bermula apabila seorang suami merasa terbeban dengan perubahan sikap isterinya. Baru kawin beberapa tahun isteri yang dicintai berubah menjadi 'raksasa' katanya. Dari sudut pandangannya, lelaki ini (Cha Ju-Hyuk) merasakan dirinya amat malang. Sudahlah kerja di bank bagai tak pernah habis, kena selalu hadiri perjumpaan dengan boss dan rakan-rakan sekerja dan macam-macam lagi sehingga dia rasa dia seorang sajalah manusia yang paling sibuk. Dia juga rasa isterinya kejam dan tidak memahami dirinya. Isteri sibuk dengan anak-anak dan kerja sendiri, bila ada apa-apa hanya tahu menyusahkan dia sahaja. Isteri suka menengking dan tidak masak untuknya. Juga pentingkan diri sendiri. Bagi Cha Ju-Hyuk, isterinya Seo Woo Jin telah berubah menjadi seorang wanita yang dia tidak ingin impikan lagi sebagai isteri. Sedangkan hakikatnya, komunikasi antara mereka telah menjadi sehala, masing-masing buat hal sendiri dan Woo Jin dibiarkan menguruskan segala-galanya hal ehwal rumah dan anak-anak sampaikan tak ada masa untuk diri sendiri. Namun, as expected, Cha Ju-Hyuk tak sedar yang dirinya turut menjadi punca perubahan sikap si isteri dan berharap dia tidak berkahwin dengan Woo Jin.

Ok...next, entah datang bintang apa ntah yang membuka lowong masa dan membolehkan manusia merentas masa. Standard aaa citer Korea. Dengan menggunakan syiling 500 won tahun 2006 (tahun di mana Ju-Hyuk dan Woo Jin bertemu buat pertama kali), Ju-Hyuk telah mengembara balik ke tahun itu. Dipendekkan cerita dia telah meminda sejarah, membuatkan dia tidak bertemu dengan Woo Jin sebaliknya berjumpa dengan seorang perempuan yang dia pernah suka bernama Lee Hye Won.

Jeng...jeng...bila bangun tidur, segala-galanya telah bertukar. Ju-Hyuk kini menjadi suami Hye Won. Hye Won rupa-rupanya anak tunggal seorang ahli perniagaan yang kaya raya, maka, seluruh rumah dan perkakasannya termasuk kereta memang yang mewah-mewah belaka. Tak macam semasa hidup dengan Woo Jin, serba serbinya kena berjimat cermat. Cuma Ju-Hyuk masih merupakan seorang pekerja di KCU Bank. Satu perkara yang Ju-Hyuk kesal bila menyedari takdirnya telah bertukar ialah ketiadaan 2 orang anaknya dengan Woo Jin. Sebab dalam kehidupan baru ini, dia dan Hye Won tidak mempunyai anak. Berkenaan Woo Jin, dia seorang wanita yang berdikari dan masih bujang. Cuma tinggal berdua dengan ibunya yang menghidapi Alzheimer. Ditakdirkan, Woo Jin bertugas di ibupejabat KCU Bank. Oleh kerana jauh dari rumah, dia minta bertukar ke cawangan terdekat iaitu cawangan di mana Ju-Hyuk bekerja. Maka bertemulah mereka buat kali pertama. Ianya seperti perkenalan baru sebab Woo Jin langsung tidak mempunyai ingatan tentang hubungan mereka sebelum itu walaupun dia kerap diganggu oleh mimpi sama berulang-ulang tentang seorang lelaki dan perkahwinan. Bermulalah kehidupan mereka sebagai rakan sekerja.

Tetiba bila dah jadi rakan sekerja ni sibuk pulak Ju-Hyuk ambil tahu hal Woo Jin sampaikan bila kawan baik dia nak mengurat Woo Jin pun dia menentang. Kiranya, walaupun dia cuba menafikan , hati dia sebenarnya masih pada Woo Jin . Dalam pelbagai insiden yang dilalui membuatkan Ju-Hyuk mula belajar memahami Woo Jin dan dia sedih bila menyedari pada akhirnya, yang membuatkan perkahwinan dia dengan Woo Jin hambar adalah gara-gara sikap dia sendiri. Bottom line, if you want someone to change...you must change first!  Namun berlaku pertembungan dilema dalam diri Ju-Hyuk iaitu antara mahu kembali kepada Woo Jin dan perasaan bimbang yang sekiranya mereka kembali bersama, adakah mereka akan bahagia atau jadi seperti kisah asal di mana mereka saling membenci antara satu sama lain.

Kesudahannya...ehhh...tak naklah Telipuk cerita sampai noktah terakhir. Nanti tak best pulak untuk yang belum menontonnya...hahaha...tengok kat internet jer adaaa. Tapi itulah, berbalik kepada kisah kalau manusia boleh mengubah sejarahnya....hemmm...memang tak ke manalah kita, betul tak? Asal silap saja ubah. Asal hasil tak seperti diinginkan ubah. Lalu kita tidak akan pernah menjadi manusia yang boleh bangkit dari kegagalan dan belajar dari sejarah.

Ada jugalah terlintas dalam fikiran, kiranya bisa ku undurkan masa ini...tahun apakah, detik apakah ingin Telipuk ubah? Fikir punya fikir, memang ada banyak perkara yang ingin dipinda. Namun fikir punya fikir balik, perkara-perkara itulah yang menjadikan Telipuk seperti apa yang ada pada hari ini. Ya, Telipuk kesal dengan segala kesilapan yang telah Telipuk lakukan tetapi dengan kekesalan itulah Telipuk terpanggil untuk mendapatkan keampunan. Telipuk ralat tidak berbuat sehabis baik kala berpeluang, tetapi Telipuk tetap merasa bersyukur dengan apa yang termampu Telipuk miliki. Betul, adakala rasa terhimpit oleh keadaan dan sikap manusia lain, namun alhamdulillah , yang penting Telipuk masih boleh mara ke hadapan dan belajar untuk meneruskan hidup walau bagaimana sekalipun keadaannya sebab tiada istilah putus asa dalam hidup manusia Muslim. Kita ada Tuhan. Tuhanlah segalanya. Justeru, tiada keperluan untuk berpatah balik mengubah masa lampau kerana segala yang perlu ditulis sudah pun tercatat di lembaran, sudah terangkat .

Masa lalu hanyalah kenangan yang tidak mungkin dapat dikembalikan. Sedang hari esok bukan milik kita untuk dinoktahkan kepastian. Maka, cukuplah kita berpada dengan hari ini...semoga mampu kita jalani dengan sebaiknya.


Friday, October 06, 2017

Strategi

Gembira melihat hasil kerja pertama saya disiarkan menerusi emel dalaman hari ini. Antara beberapa usaha tidak seberapa yang saya sendiri tak sangka boleh terjebak. Kerja-kerja sukarela dalam syarikat. Asalnya sekadar menumpang-numpang, menyendeng mengambil tahu. Akhirnya, tersangkut sekali. Benda kecil sahaja, tetapi mengharapkan yang kecil ini menjadi sesuatu yang memberikan manfaat.


Saya mudah 'terhibur' apabila mengikuti kisah orang-orang soleh yang ketika hari pengkebumiannya begitu ramai manusia datang menziarahi serta mengiringi jenazahnya. Kadang-kadang orang yang kita tidak tahu pun apa amalannya, namun dilihat menerima penghormatan yang tinggi dihari kematian sehingga membuatkan hati ini terdetik dan rasa dijentik sama, ingin mendapat penghormatan serupa. Kematian anak-anak tahfiz Darul Ittifaqiyah juga antara keajaiban bagi saya, Besarnya penghormatan yang mereka terima. Saya yang tidak kenal mereka pun boleh gigih menyeka airmata dan berkirim doa. Hebatnya insan-insan yang Allah sayang.

Jadi, harapnya dengan penglibatan saya , orang akan kenal saya. Bukan saya mahu sanjungan...tapi saya mahu mereka ingat saya pada hari saya pergi meninggalkan dunia ini. Saya mahu lebih ramai orang mengirimkan doa untuk saya. Mungkin akan kedengaran, siapa ye si Polanah ni...lalu dijawab, owh...dia tu lah yang jaga Biro tut tut dan buat ini...eheheh...koman2 orang ingat siapa saya...kemudian diaorang cakap, owhhh...yang itu. Kenal!kenal! Jomlah kita pergi ziarah jenazahnya. Saya insaf, kalau di kawasan perumahan saya, berapa kerat sangatlah yang boleh datang kot...sendiri pun tak akrab dengan jiran...jadi mengharapkan persaudaraan di tempat kerja inilah harapnya dapat memberikan sedikit kelebihan.

Jadi begitulah, sikit demi sedikit saya mahu menghulurkan salam perkenalan , menjalin ukhwah sesama kita biar tidak sedalam mana, cukuplah untuk kau mengenaliku , saudara seagamamu.

Tuesday, February 28, 2017

Kalis

Sejujurnya saya sekarang sudah tidak peduli lagi dengan tanggapan orang terhadap saya. Rasanya saya tidak perlu memuaskan hati semua orang sebab saya tidak lagi memerlukan perhatian atau endorsement orang lain terhadap apa jua tindakan saya. Bukan mengatakan yang saya ni dah kebal benar tetapi nak kata yang sebenarnya, kita ni buat apapun orang tetap akan judge dan tetap akan berkata-kata, baik kata-kata yang positif mahupun yang negatif.

Kadang-kadang saya rasa memang sudah ambil tindakan yang saya rasakan terbaik dan tidak terfikir yang boleh juga orang fikir yang sebaliknya. Dan jika itulah yang terjadi, memang saya tak boleh nak buat apa-apa. Manusia ini rambut sahaja yang mungkin sama warna tetapi hati di dalam...macam-macam warna ada. Sudah tentu sebagai manusia biasa, waima baik macamana pun tetap akan ada orang yang tak suka. Maka, saya ambil pendekatan...lantak ko lahh. Kalau ko rasa aku jahat...sukahati ko lahhh. Aku tak rugi apa-apa pun...mungkin akan ada orang-orang lain yang terpengaruh dengan cara penyampaian ko...tapi biarkanlah.

Selagi saya tidak melanggar perintah Allah dan Rasul, saya anggap itu hanyalah perkara lumrah yang manusia hina seperti saya perlu hadapi. Mudah-mudahan Allah berikan saya kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi situasi seperti ini. Mudah-mudahan hikmah atas ujian ini berupaya mengikis serba sedikit dosa-dosa saya yang banyak.

Wednesday, January 25, 2017

Pintu-pintu Rezeki

Perjalanan hidup ini penuh dengan kepelbagaian dan dinamika yang bila difahami menunjukkan kebesaran dan keagungan perencananya. Kita? Kita manusia boleh merancang, tetapi Tuhanlah yang menentukan. Sejauh mana, sebanyak mana, sehebat mana, sekuat mana, seteliti mana, secermat mana pun kita mahukan sesuatu itu terjadi dalam hidup kita, tidak akan berhasil jika Dia tidak berkehendak. Untuk apa perkara ini harus kita semat kukuh dalam akal dan hati? Apakah ini bererti, kita boleh duduk lepak dan biar hidup ini berjalan seada dan semahuNya? Tidak sama sekali. Kita perlu ingat ini supaya kita tidak tersasar dari matlamat hidup dan supaya kita tidak sombong bila dipuja dan tidak rasa keji bila dihina. Ianya juga supaya kita selalu bersyukur dengan apa yang ada dan tidak iri dengan apa yang tiada.

Ada banyak perkara yang berlaku dan bila saya amati menjadi bukti-bukti yang sangat nyata tentang kekuasaanNya. Tak perlu lihat jauh, hanya lihat ke dalam diri...pasti jumpa. Atau lihat saja di sekeliling, pasti ada. Hari ini saya hendak bercakap tentang rezeki. Perkara ini semakin saya fikirkan sekembali dari reunion bersama-sama kawan lama dulu. Untuk saya, perjalanan yang saya lalui ini agak mudah dijangka dan tiada apa-apa yang mengejutkan. Ianya sesuai untuk menyokong skrip yang biasa kita dengar dulu...belajar rajin-rajin, masuk universiti, keluar dapat kerja yang bagus = itulah kejayaan. Kalau jumpa yang kerja pun tak tentu hala, keluar pula skrip macam ini..."tu laaaa....dulu orang suruh belajar...engkau main-main. Orang lain masuk universiti dapat kerja bagus tak macam engkau...tengok betapa senang hidup mereka sekarang...engkau jugak yang tak senang".

Saya memang lulusan universiti...saya ikut formula yang biasa disogokkan dalam kepala namun sehingga ke hari ini saya tidak percaya yang apa yang saya perolehi hari ini adalah kerana saya pandai. Dan saya juga percaya yang saya miliki ini sebenarnya tidak seberapa pun berbanding rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan...bukanlah saya tulis ini nak bagitau saya tak puas hati...tidakkkk!!! Saya tulis ini sebab saya nak kongsi dengan pembaca pemerhatian saya tentang rezeki yang saya harapkan akan membuatkan kita semua berlapang dada, terhindar dari sikap irihati, bersemangat memburu matlamat yang benar, saling memberi peringatan dan sokong-menyokong antara satu sama lain.

Saya ada kawan yang melalui kehidupan yang payah sesudah berkahwin. Suami kena berhenti kerja. Anak pula ramai. Macam-macam pekerjaan dilakukan. Satu demi satu dicuba tanpa berputus asa. Sehingga akhirnya mendapat satu pekerjaan yang bagus. Yang membawa mereka ke serata dunia. Alhamdulillah, dia hidup bahagia dan sentosa. Pada saya, itu satu kejayaan duniawi yang besar dan in shaa Allah, dia bakal beroleh keuntungan akhirat juga kerana akhlak dia suami isteri yang baik lagi gemar bersedekah. Diam diam saya berharap saya pun akan berjaya seperti itu juga.

Juga saya ada kawan yang belajar setakat tingkatan 3. Lepas tu terus kahwin. Kalau ikut formula masyarakat, memang konfem gagal segalanya. Tetapi alhamdulillah, kawan saya ini orangnya rajin dan pandai mencari peluang. Dia berniaga kecil-kecilan. Jual nasi lemak. Jual kuih. Lama-kelamaan dia buat bisnes katering. Mula-mula bisnes dia kecil sahaja tapi sekarang sudah maju.  Sudah ambil tempahan sampai ke Kuala Lumpur katanya. Saya tumpang seronok tengok betapa dia enjoy dengan pekerjaannya yang tidak terikat dengan peraturan-peraturan syarikat. Sendiri jadi bos dan sendiri jadi kuli. Seronok nyaaa!!!

Saya percaya...kebahagiaan dan kejayaan sebenar ialah apabila apa jua yang kita buat itu, dalam kerangka yang digariskan Allah dan Rasul. Tak semestinya banyak duit itu bahagia. Dan tak semestinya bahagia itu banyak duit.

Kereta yang tak selalu meragam itu rezeki.
Bos yang baik itu juga rezeki
Kawan yang selalu ingatkan kita untuk buat benda-benda baik adalah rezeki
Kesihatan yang baik tentulah rezeki
Apatah lagi ruang dan kesempatan yang selalu ada untuk kita mudah buat amalan-amalan baik...mudah untuk beristiqamah...dan yang pentingnya ingat Allah selalu...itu adalah sebaik-baik rezeki.

Orang ada kereta mewah tapi tak sampai kereta tu membawa dia ke masjid itu bukan rezeki.
Orang yang miliki rumah besar tapi sunyi tidak ada tetamu lagi tidak dikunjungi saudara itu bukan rezeki
Orang yang miliki kepandaian tapi tidak dimanfaatkan ke jalan Allah , hanya semakin menjauhkan dia dari Allah
Orang yang ada wang banyak tapi takut untuk bersedekah tak miliki keberkatan rezeki. Dia hanya pegang wang itu untuk dihabiskan sedang wang itu tidak menyumbang dalam peningkatan amalan dan iman.

Jadi, tanyalah diri kita...rezeki yang bagaimana kita hendak? Dan nikmat Allah yang mana satukah yang hendak kita dustakan?

Apa yang kita perolehi ini, bersyukurlah. Pastilah ketetapan itu terbaik untuk kita. Paling sesuai kadarnya untuk kita, sesuai dengan keupayaan dan kemampuan kita. Jangan dihitung kepada apa yang tidak kita miliki, tapi kiralah apa yang telah kita miliki. Pandanglah kepada mereka yang berada di bawah, nescaya kita akan sedar betapa beruntungnya kita.

Thursday, January 19, 2017

Berpada-pada

Sebagai manusia yang jauh dari bersifat sempurna, sememangnya diri ini banyak kekurangan. Justeru, apabila kita berurusan dengan manusia lain, fahamilah, mereka pun sama macam kita...tak sempurna. Jadi mana-mana yang tersilap, yang tak sedap di mata dan yang sakit di hati, pujuk-pujuklah diri memaafkan. Sebabnya, kita pun suka kalau orang lain boleh memaafkan kekhilafan kita...jadi mengapa tidak kita juga berlapang dada memaafkan orang.

Janganlah kerana perkara-perkara yang cuma satu dua, kita terus 'cop' orang itu. Ada yang sampai nak sebut nama pun tak mahu. Kadang-kadang kita langsung tak bagi peluang untuk kenal dengan orang tu...terus kita tolak ke tepi gara-gara perbuatannya yang tidak menyenangkan hati. Kalau macam tu susahlah sebab kalau ada 10 bidang yang seseorang manusia itu perlu kuasai, tak semua 10 tu dia mampu score penuh...macam Telipuk sendiri, mungkin bab mengemas rumah tu rajin, tapi bila masuk bab buat kuih, hampeh tak reti...so, tak kan nak cakap Telipuk teruk kan...eh...eh...eh...(apa daaa punya contoh)...

Untuk Telipuk sendiri, berpengalaman juga tak suka dengan beberapa orang. Tapi standard lah tu, entahkan lagi ramai orang yang tak suka Telipuk. Yelah...siapa tahu kann. Telipuk pun bukanlah baik sangat. Cuma nak kata, walaupun si fulan tu Telipuk tak suka, tapi Telipuk kena bezakan benda/perbuatan dia yang Telipuk tak suka dengan benda/perbuatan lain yang dia ok. Takkanlah sebab tak suka satu-satu perbuatan, terus Telipuk boikot tak nak kawan dengan orang tu...macam rugilah pulak.


Mungkin yang kita tak sukai itulah sebenarnya baik untuk kita. Tapi yang kita suka tu sebenarnya tak baik. Contoh, kawan yang kita berkenan tu memang baik jer semuanya, tak nampak cacat cela pada pandangan kita tapi sebab dia baik sangat sampai tak pernah pun tegur kesilapan kita sebab nak jaga hati, sampai menjadi pulak dalam hati kita ini perasaan diri hebat dan rasa bagus sokmo. Akibatnya kita lalai dan alpa. Dan musuh yang kita meluat, menyampah tu...sebenarnya ada kebaikan. Sebab perangai dia yang tak senonoh tu lah kita belajar banyak benda. Sekurang-kurangnya kita dapat ambik ikhtibar supaya tak jadi macam dia. Tengok...bukankah itu satu peringatan yang baik untuk diri kita. Ia membawa kita dekat dengan Allah sebab kita selalu doa dan minta perlindungan dari Allah supaya terhindar daripada kezalimannya.

Janganlah sampai tak pandang langsung kebaikan yang seseorang manusia/makhluk Allah itu ada. Muhasabahlah diri sendiri sebab kita pun tak setera mana pun.

Peringatan untuk diri sendiri sebab banyak kali lupa dan perasan dah cukup bagus, padahal semua tu atas izin dan limpah kurnia dari Allah jua.

Semuanya Allah punya. Pinjaman belaka. Kita tak miliki suatu apa pun.

Tuesday, August 09, 2016

ATTLG : Refleksi Sentap

Petang Ahad lalu sempat meluangkan masa menonton filem "Alice Through The Looking Glass" (ATTLG). Tengok CD sahaja, lebih mudah begitu. Sambil-sambil buat kerja, boleh sambil-sambil tengok. 2 dalam 1. Habis kalau tumpu 2 jam melekat kat situ naya lah kerja-kerja lain tertangguh. Biasalah, selalunya orang perempuan memang macam tu, sambil tengok TV boleh lipat baju juga, boleh bangun bersihkan sangkar kucing dan sapu sampah...hahahaha...lepas tu sibuk tanya, "lepas tu jadi apa? lepas tu jadi apa?".


Ini kisah lanjutan filem terdahulu "Alice in Wonderland". Dulu Telipuk tak suka tengok filem ini sebab Telipuk rasa serabut semacam. Watak Mad Hatter tu begitu menjengkelkan dan semuanya nampak tak 'secomel' seperi kisah yang sama biasa Telipuk baca dalam buku atau tengok kartun. Tapi lama kelamaan dah OK. Filem ini dah lama keluar tapi baru ada masa nak tengok.

Oh ya, Telipuk bukan nak promote filem ini atau nak buat ulasan. Tapi Telipuk nak berkongsi cetusan rasa yang terhasil usai menonton filem ini. Temanya bagi Telipuk, "Time is a gift". Whoaaa...menyengat menusuk kalbu gitu sampai dah nak tidur pun Telipuk terfikir-fikir tentang hal itu. Betullah, kita kalau mendengar sesuatu...jangan lihat pada siapa yang menyampaikan tetapi lihatlah kepada apa yang disampaikan. Waima ia datang daripada filem yang boleh jadi dianggap remeh dan merepek.

Di dalam Al-Quran, Allah bersumpah dengan masa di dalam Surah Al-Asr Ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".

Bila Allah sebut tentang sesuatu, maka, perkara yang disebutkan itu tentulah penting, patut kita teliti dan fahami mesej yang hendak disampaikan. Kepentingan masa bukanlah sesuatu yang baru diketahui atau disedari. Malahan zaman berzaman lagi manusia sudah tahu betapa pentingnya masa namun dari segi aplikasi, seolah-olahnya manusia tidak kisah dan peduli. Sejarah tinggal menjadi sejarah dan kita masih tidak belajar apa-apa tentangnya. Mengapa? Sedangkan sejarah itu bisa saja berulang. Kesudahannya sama namun tiba-tiba kita masih dengan kedegilan kita tidak mahu ambil iktibar. Kita sibuk memburu perkara-perkara yang kita rasakan berharga dan penting dalam hidup kita. Kita sibuk mengejar pangkat yang membawa bersama-samanya peluang untuk meraih keuntungan serta habuan dunia. Dikenali dan ternama. Kita teruja disegani dan dikagumi manusia. Kita lupa lama masa yang kita ada. Tiba-tiba saat nyawa melalui kerongkong ingin pergi meninggalkan jasad yang semakin tiada gunanya, kita merayu dan merayu mohon belas kasihan Sang Pencipta. Kita merayu minta penangguhan hatta untuk sesaat cuma. Berapakah nilai satu saat yang kita minta itu? Sangat sangat tidak ternilai...kerana dalam satu saat itu kita ingin kesempatan untuk mendapatkan pengampunan Allah supaya kita tidak terjerumus ke dalam seburuk-buruk tempat tinggal pada kehidupan yang abadi.

ATTLG mengingatkan Telipuk tentang betapa bertuahnya Telipuk masih punya masa untuk mengubah apa-apa yang perlu Telipuk ubah supaya hari depan yang mendatang seharusnya menjadi lebih baik berbanding hari yang telah berlalu. Bila pagi Telipuk buka mata, Telipuk masih berupaya memandang wajah insan-insan tersayang yang ada bersama Telipuk. Telipuk terfikir tentang perbuatan Telipuk yang pasti banyak menyusahkan mereka. Adakalanya Telipuk tak sedar. Adakalanya Telipuk sedar namun tak berbuat apa-apa untuk memperelokkan suasana. Dengan masa yang Telipuk tidak tahu berapa lama lagi Telipuk miliki, rasanya tidak berbaloi untuk Telipuk terus-terusan memikirkan tentang apa yang telah terjadi. Telipuk menyesal membuang masa berfikir tentang perkara-perkara yang di luar keupayaan Telipuk untuk menghalangnya dari terjadi dan Telipuk menyesal meratapi apa yang terjadi. Sudah-sudahlah dengan masa yang sudah terbuang itu. Telipuk perlu memandang ke hadapan dan menggunakan dengan sepenuhnya baki masa yang Telipuk ada untuk pelaburan yang lebih baik.

Ini sahajalah masa yang Telipuk ada. Kalau perlu Telipuk nyatakan sayang, Telipuk akan menzahirkannya tanpa perlu mengharapkan apa-apa balasan. Kalau Telipuk perlu maafkan, Telipuk pasti maafkan kesemuanya tanpa menangguhkannya. Dan kalau Telipuk perlu lakukan sesuatu, Telipuk akan lakukannya sebab Telipuk tak pasti ada masa lain untuk melaksanakannya andai Telipuk menangguhkannya. Pendekatan yang sama Telipuk gunakan untuk JK1M dulu.

ATTLG juga menyedarkan Telipuk yang manusia tidak mampu mengubah sejarah. Apa yang telah terjadi, telah pasti terjadi. Namun, manusia boleh belajar daripadanya dan Telipuk ingin belajar banyak tentang hal itu. Yang pastinya, Telipuk sangat menghargai apa yang Telipuk ada sekarang. Semoga kesedaran ini akan berkekalan dan menambahkan rasa kesyukuran Telipuk di atas segala nikmat dan ujian yang Allah berikan. Setiap satunya adalah langkah-langkah menuju kepadaNya yang harus Telipuk harungi dengan bekalan ilmu. Jangan sombong, jangan rasa serba cukup. Selalu kena pandang betapa hinanya diri ini dan betapa jauhnya untuk menggapai kejayaan abadi. Semoga cukup memotivasikan diri untuk terus berusaha lagi dan lagi dan lagi dan lagi...



Wednesday, July 13, 2016

Bersangka Baik

Wahhh...lorat nya korang!!! Apa kes??? Tiba-tiba macam geram jer dengan benda-benda internet ni...yelah, dengan macam-macam cerita tak masuk akal. Ada satu program kongsi berita yang melibatkan kisah-kisah viral di media sosial yang disiarkan semalam. Program tu okay jer bagi saya sebab saya ni bukannya up to date sangat dengan benda-benda viral ni...heheh...biasalah, orang lama...agak slow pergerakannya. Hahaha. Bila ada program macam ni...barulah tahu...ooooo...gitu alkisahnya...(hemmm...apa ntah manfaatnya untuk saya???).

Dipendekkan cerita, ada satu bahan berita tentang kisah seorang gadis melayu yang mengahwini seorang pemuda dari negara Bangladesh. Senang sebut 'Bangla'. Elok jer nengok lengkap segala acara perkahwinannya...macam majlis perkahwinan lain juga cumanya dia memilih seorang pemuda Bangla. Uihhh...teruk kena kecam dengan netizen...apahal??? Saya masa tu tengah siap-siap nak berbuka puasa terus berdiri pegun sekejap tengok. Lepas tu saya membebel...apalah diaorang ni...siap ada yang komen konon nanti selepas beberapa tahun mesti akan menyusahkan Kerajaan bila dok merayu suruh tolong bila terkandas di Bangladesh. Eh...eh....ada ke macam tu sangkaannya? Ate yang kawin dengan orang jantan melayu tu semuanya konfem senang dan bahagia ke? Ishhh...kan semua tu ketentuan Allah. Dah jodohnya dengan orang asing. Tak payahlah sibuk dok menempelak dan buat ramalan. Tak baik tau!

Allah jadikan umat manusia ini berbilang bangsa dan warna kulit untuk kita saling kenal mengenali dan sebagai tanda kekuasaan Allah. Tak ada siapa yang kurang atau lebih. Kita semua sama sahaja pada Allah. Tak payah nak hina orang atau perasan kita lebih baik. Yang akan membuat penilaian nanti ialah Allah. Dia tak tengok rupa paras dan apa bangsa kita. Juga tak heran dengan pangkat dan kekayaan kita. Yang Dia akan tengok ialah amalan kita. Ibadat yang kita buat semata-mata untukNya dan perlaksanaan yang mengikut sepertimana diajarkan Nabi berdasarkan wahyu Allah. Itu sahaja yang penting. Jangan pernah meremehkan orang lain. Kita tak tahu apa amalan mereka. Risaukan dulu amalan kita, jangan sibuk menghakimi orang. Kita ni kalau perasan semua serba molek...definitely something is wrong somewhere.

Kena banyak muhasabah diri. Biar rasa diri kita yang hina, jangan hina orang lain.

Friday, June 17, 2016

Jalan Pintas Ke Syurga

Ya Allah...cepatnya masa berlalu. Serius pantas. Rasa macam...eh...apa yang Aku dah buat sepanjang hari ini? Atau sepanjang minggu? Sebulan? Seolah-olah tak berbekas sedangkan masih banyak benda perlu dilakukan. Allahuakbar. Jadi betullah, masa itu bukan seperti emas, sebab emas masih boleh dimiliki. Masa itu seperti mata pedang yang memutuskan nyawa...pergi tidak kembali.

Maka sebab itu tak boleh tidak kita akan berasa hairan bila melihat masa dibiarkan berlalu begitu saja. Malahan boleh sahaja mengundang rasa sedih. Mungkin kesian. Ada orang, masanya sibuk dengan bekerja. Betul-betul punya kerja sampaikan tak ada masa untuk diri sendiri. Memang orang yang komited sungguh. Malam pun buat mesyuarat lagi. Lalu kita pun terfikir, begitu banyak masa yang dia laburkan untuk pekerjaannya, sejauh manakah pelaburan itu akan membawanya? Ketua bahagian? Ketua syarikat? Ketua negara? Pangkat! Tapi bolehkah dia menggunakan pangkat yang sama sebagai tiket untuk masuk ke syurga Allah? Belum tentu.

Ada orang tak rasa apa-apa dengan Ramadan. Ramadan baginya macam bulan-bulan lain juga. Cuma tak boleh makan waktu siang sahaja. Puasa memang puasa tapi pengisian Ramadan entah ke mana. Dia terlupa tentang betapa beruntungnya dia sebab masih mampu berada di dalam bulan Ramadan. Masih berpeluang mendapatkan hadiah Lailatul Qadr. Tak seperti seorang anggota syarikat kami yang sudah tidak punya peluang sebegitu. Dia dijemput pulang menemui Allah akibat kemalangan jalanraya. Ajalnya sudah sampai sedangkan ketika kejadian arwah baru selesai bersahur dan hendak ke surau menunaikan solat subuh. Pagi jumaat yang indah. Saya tidak kasihankan arwah...tapi saya cemburukan dia. Saya belum pasti menemukan Lailatul Qadr tapi arwah telah dijemput pulang dalam sebaik-baik keadaan. Orang yang baik. Hati yang baik. Berpusu-pusu orang datang mahu menziarah dan menyembahyangkan jenazah. Malahan yang mengenali di Mekah, menadah tangan di depan kaabah memohonkan keampunan dan jannah untuknya. Betapa beruntungnya arwah.

Arwah telah pergi tidak akan kembali lagi tetapi saya dan kita semua masih ada di sini menunggu undangan yang hanya Allah sahaja tahu bila akan tiba. Rasa sangat tidak logik membiarkan Ramadan yang ada padanya begitu banyak pahala berganda-ganda berlalu begitu sahaja. Seumpama setiap hari kita mesti mencari seseorang untuk belanja kita makan dan kita makan untuk kenyang satu hari...tapi suatu hari datang seorang manusia yang menawarkan untuk belanja kita makan setiap hari tanpa terputus bekalan...yakni pasti kenyang setiap hari tetapi kita tolak tawaran itu sebab yakin pasti akan ada seseorang yang sedia belanja kita makan esok hari...dan hari-hari seterusnya.

Lailatul Qadr adalah malam yang padanya ada ganjaran pahala seumpama kita beribadat selama 1000 bulan bersamaan 83 tahun. Dengan umur sekarang yang sudah dikira masak...saya tak yakin amalan saya dalam tahun-tahun hayat saya ini semuanya boleh diambil kira. Meskipun barangkali semenjak umur 10 sudah bersolat, tidak semuanya diterima. Berapa banyak sembahyang yang dikerjakan dalam keadaan malas dan lalai? Berapa banyak amalan yang dibuat sebab nak tunjuk pada orang? Berapa banyak lagi yang dibuat tidak ikut spesifikasi yang betul? Tolak pi tolak mai, tak mustahil yang betul-betul berkualiti untuk dijadikan bekal balik berjumpa Allah hanya boleh dibilang dengan jari. Jadi, Lailatul Qadr adalah hadiah yang patut kita semua cari.

Kalau kita percaya akan mati dan bahawasanya mati itu bila-bila sahaja boleh terjadi, pasti kita tak punya alasan untuk membiarkan saja Lailatul Qadr berlalu pergi tanpa sebarang usaha dan pengisian.

Thursday, March 31, 2016

Muhasabah

Lebih mudah melihat ke luar tingkap
Berbanding melihat ke dalam diri
Di sana lebih senang menggambarkan
Segalanya jelas terlihat
Sedang di hati sukar untuk diungkapkan
Tak terluah dengan kata-kata

Lebih mudah menghukum apa yang terlihat dek mata
Sedang yang terlintas di hati jauh lebih merbahaya
Mudah memandang rendah
Merasakan diri lebih baik
Padahal setiap satunya menoktahkan titik hitam
Hatipun semakin berkarat dengan dosa

Dosa hati tak siapa peduli
Terbenam jauh disangkakan remeh
Berpuas hati dengan amal
Dipuji orang dirasakan hebat

Amalan sebesar Tihamah yang gah
Berkecai berhamburan sekelip mata
Debu-debu berterbangan
Sia-sia belaka

Berilmu namun tiada memberi makna
Beramal namun terheret ke neraka

Wednesday, February 10, 2016

Refleksi Rabu

Apa khabar kaki kananku? Sudah surut nampaknya bengkakmu. Sudah kuat berdiri, rukuk dan bersujud dengan lebih sempurna. Pun begitu, tiap kali melangkah, masihku menahan rasa payah mencipta langkah dan pijakan yang sempurna. Khabarnya, otot yang direhatkan itu sudah terlebih rehat. Terasa keras dan kejang bila dipaksa bekerja semula. Hampir sahaja diri ini mahu mengeluh namun pantas ku bertahan. Wahai diri, bersabarlah kamu dengan kesabaran yang cantik. Bukankah telah kita pelajari, beruntungnya menjadi orang mukmin?...Hatta tiadalah ia menanggung beban meski sekadar tercucuk dek duri melainkan setiap kesakitan itu Allah kurniakan pahala untuk kesabarannya. Alhamdulillah, syukur. Syukur. Syukur. Syukur.

Betapalah episod ini memberi pengajaran yang besar untuk diri yang alpa. Hebat, sungguh hebat ciptaan Tuhan. Nampak di mata hanyalah kepala lutut yang tiada apa-apa istimewanya. Padahal yang berselirat dikelilingnya segala ligamen yang memegang fungsi-fungsi tersendiri. Setiap satunya punya tugas yang tertentu. Pincang satu, pincang semua. Sebelum ini melanyak kaki tanpa peduli apa-apa kerana tak pernah kenal kesakitan. Bila ada yang sakit kaki berjalan lambat di hadapan, boleh pulak rasa rimas...ehhh...tepilah sikit!!! Sekarang baru merasa dan mengerti perasaan mereka. Bukan senang nak buat benda yang kita sangkakan mudah. Alah...jalan jer la...Padahal nak mengatur langkah itupun punya mekanisme yang tersendiri. Yang jelasnya bukan dalam kawalan diri.

Memang ini badan kita tapi percayalah, kita tak punya satu kuasa pun ke atas tubuh badan yang kita perasan hak kita. Kalau badan ini engkau punya, boleh tak engkau tahan mata dari berkelip? Jangan harap! Boleh engkau bagi arahan kepada rambut supaya berhenti tumbuh? Tak mungkin. Sekecil-kecil itupun kita tak mampu buat, masih ada hati hendak sombong dengan Allah, Tuhan yang mencipta kita dan sekelian yang ada di langit dan bumi.

Jangan sombong! Jangan sombong! Jangan sombong!
(Kalau Allah suruh tutup aurat, tutuplah. Jangan cakap...ini saya punya badan, suka hati sayalah nak buat apa. Tubuh badan awak tu bukan awak punya...Allah bagi pinjam saja. )

"Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya
Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya".

Monday, April 06, 2015

Insaf

Hidup ini bagai lampu dinding
Yang dinyalakan di malam hari
Apabila minyak sudah kering
Ia akan pasti padam sendiri

Pagi ini, kita boleh sahaja tersenyum dan gembira memulakan hari sepertimana selalunya. Kita mungkin berada di majlis yang indah dikelilingi handai dan taulan. Bergambar dan berselfie ceria. Makan dan bertukar cerita. Segala-galanya berjalan seperti biasa. Tiada yang aneh tentangnya.

Namun begitulah peraturan Illahi. Yang seringkali tidak kita jangka walaupun hampir pasti kita tahu tentang hakikatnya. Semua yang mengenali kita bungkam, diam membisu seribu bahasa seakan tidak percaya menerima perkhabaran bahawa kita yang tadinya bertepuk tampar, bergurau senda dengan mereka kini sudah tiada lagi di petang harinya. Kita pergi menyahut panggilan Ilahi, pulang ke sisiNya sebagai hamba yang tidak punya sebarang keupayaan untuk menghalang meskipun seisi dunia masih menagihkan bakti dan jasa kita kepada masyarakat. Siapalah kita untuk menangguhkan walau sesaatpun kematian yang mendatang. Mati itu pasti.

Mengambil iktibar atas peristiwa yang terjadi di sekeliling kita, sewajarnya kita semakin jelas akan tempoh masa yang kita miliki untuk kehidupan di dunia ini dan apa yang patut kita lakukan. Bersyukurlah kita masih punya waktu untuk menebus kesilapan dan bertaubat di atas sekian banyaknya dosa yang kita lakukan. Berusahalah untuk merangka strategi terbaik yang akan memastikan kita selamat pulang nanti. Di sini, kita masih ada ruang dan peluang untuk merancang. Rancanglah dengan sebaik-baiknya. Nanti, bila sampai waktu kita pulang, janganlah baru berasa sesal dengan kesempatan yang tidak dimanfaatkan. Sebagaimana tajuk yang disyarakkan oleh Mufti Menk di TMCC bulan lepas, "And You Shall Be Asked". 

Atas setiap sesuatu nikmat yang Allah kurniakan, kita pasti ditanya tentangnya...
- Waktu muda kita, untuk perkara apakah telah kita habiskan?
- Waktu sihat kita, pada jalan apakah telah kita manfaatkan?
- Waktu lapang kita, ke manakah telah kita luangkan?
- Waktu kaya kita, ke manakah telah kita belanjakan?
- Waktu nyawa masih di badan, apakah telah kita persiapkan untuk mendatangi kematian?

Mata kita - Apa yang kita lihat?
Tangan kita - Apakah kita gunakan untuk menyakiti orang?
Telinga kita - Apakah kebaikan yang kita dengar?
Lidah kita - Apakah telah kita gunakan untuk berbicara tentang yang baik-baik?
Kaki kita - Adakah ia kita gunakan untuk berjalan ke tempat yang baik?

Dan banyak lagi pertanyaan yang perlu kita jawab. 

Persoalannya...mampukah kita menjawabnya? Dengan skema jawapan yang betul yang ada markah?
Yang boleh menyampaikan kita ke jannah.

Fikir-fikirkanlah.

Friday, January 16, 2015

Refleksi Jumaat

Rasa-rasanya saya tidak akan berasa jemu bercerita tentang musibah. Setiap kali mendengar ulasan Ustaz tentang musibah, setiap kali itu juga saya rasa terpanggil untuk cuba mengupas lagi tentang topik ini. Dulu mungkin saya tidak berani pun nak cakap tentang musibah, apatah lagi hendak menulis tentangnya yang memerlukan saya berfikir tentang musibah. Namun sekarang saya terfikir, hidup aman damai , tenang tenteram juga barangkali satu musibah...untuk yang mahu bermuhasabah.

Oleh kerana saya banyak mendengar secara langsung daripada guru-guru yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, maka, untuk contoh musibah di sini, saya banyak merujuk kepada peristiwa banjir itu. Musibah , boleh hadir dalam berbagai bentuk . Solat lewat itu juga sebenarnya satu musibah!

Guru Hikam saya menyatakan yang adalah salah untuk mengaitkan musibah dengan dosa seseorang. Kalau kita kata Allah timpakan musibah kepada negeri sekian-sekian adalah sebab penduduknya banyak buat dosa....bukankah ianya seperti kita memberitahu seorang ibu yang baru kematian anaknya akibat kemalangan (musibah) misalnya bahawa anaknya mati disebabkan dia banyak dosa (padahal budak itu mungkin baru berusia 8 tahun, dilanggar kereta ketika melintas jalan nak beli ais krim). Atau kita kata, Allah ambil anak yang tak berdosa itu sebab ibunya banyak dosa? Adakah kita nak kata bencana tsunami di Aceh yang mengorbankan ratusan ribu nyawa itu sebab penduduk di sana banyak buat dosa? Agak-agaknyalah, antara kita di Kuala Lumpur ini dengan penduduk di Aceh, siapa yang lebih Allah sayang? Siapa yang lebih dekat amalannya dengan Allah?

Mengaitkan musibah dengan dosa seseorang adalah bicara orang-orang yang tidak faham bagaimana Allah menggunakan mekanisme ini untuk memberi kebaikan kepada hambaNya. Sekian banyak para Rasul, para Nabi, para penjuang di jalan Allah, para salafussoleh dahulu ditimpa dengan bermacam-macam musibah yang tak terjangkau dek akal kita. Ada yang dibunuh dengan dipijak sampai mati, ada yang dihumban dalam api, ada yang digergaji kepalanya , ada yang disikat kulitnya dengan pencakar besi....bagaimana semua ini boleh memberi kebaikan?

Musibah, bala, ujian, dugaan dan terma-terma yang sewaktu dengannya adalah BAIK untuk manusia. Dengan sebab ujin ini, manusia dapat mengerah kekuatan/keupayaan dirinya untuk memperbaiki keadaan baik secara fizikal mahupun spiritual sehingga dia mampu menjadi insan yang lebih baik dan berjaya. Berapa ramai anak-anak kampung yang hidup susah dulu kini sudah menjadi kaya-raya dan berpangkat? Mereka berhasil mengubah nasib dengan kegigihan dan keazaman yang kuat, dimotivasikan oleh persekitaran yang mencabar lalu akhirnya berjaya memecah kepompong, seperti rama-rama cantik yang dulunya hanya segumpal larva/kepompong yang hodoh.

Ujian yang Allah beri itu sifatnya adalah sentiasa ada yakni berterusan. Hari ini ujian lain, hari esok ujian lain pula, lusa mungkin bentuknya berbeza, begitu juga dengan tulat...pendek kata, setiap masa dan ketika , kita akan diuji baik secara sedar mahupun tidak sedar. Kesusahan adalah ujian, kesenangan juga ujian. Ujian dihadirkan sebagai kifarah dosa. Apabila ujian dapat dihadapi dengan baik (Allah suruh mendirikan solat dan bersabar), kelak ganjarannya sangat menguntungkan. Hingga pada akhirnya hamba Allah yang diuji ini dapat menemui Tuhannya dalam keadaan hapus segala dosa lalu dia masuk ke syurgaNya. Sungguh...begitulah fungsi ujian. Maka, berhati-hatilah kalau hidup kita ini 'beku' dan tiada apa-apa yang perlu difikirkan sehingga tidak terbetik di benak hendak merenungi dan muhasabah diri.

Merasa lega dan bebas dari masalah sedangkan itu barangkali musibah yang sedang menyelubungi kerana ia berfungsi diam-diam menjadikan kita leka dan alpa. Sedar-sedar kita sudah terlalu jauh dari Allah.

Musibah banjir hanya menghilangkan rumah, tetapi mati menghilangkan segala nikmat. Kerana musibah banjir, ada yang terpaksa menumpang teduh di bawah khemah, bersesak-sesak. Tidak ada elektrik. Bergelap 1 minggu. Tetapi alhamdulillah, kita mungkin masih ada pasangan di sisi, ada anak-anak, ada saudara mara dan jiran tetangga untuk menghadapi  ujian itu. Akan tetapi, kalau kita mati....kita akan masuk seorang diri ke dalam kubur yang gelap gelita, langsung tak ada lorong cahaya. Tidak ada siapa-siapa yang boleh membantu kita sekalipun orang yang paling sayangkan kita sekalipun, dia tak akan masuk kubur dengan kita untuk temankan.

Bila hilang rumah, akan ada orang bantu kita untuk bina semula, beri sumbangan atau sediakan tempat tinggal sementara. Menderita fizikal itu sedikit sahaja kalau dibandingkan dengan penderitaan yang menanti di akhirat sana. Mengapa untuk dunia yang sementara ini kita berhempas pulas dan beri jiwa sepenuhnya (sehingga kecewa merana bila ditimpa musibah yang sifatnya sementara) sedangkan akhirat yang pasti menanti itu kita abaikan dan tidak memikirnya persediaan untuknya. Kalau kita sedar yang kita sedang menuju kepadanya, mengapa tidak kita bersiap untuk menjadikan liang lahat kita nanti sebagai taman-taman syurga?

Musibah : Allah timpakan pada mereka bukan sekadar untuk menguji mereka, tetapi juga untuk menguji kita, apakah yang kita lakukan untuk mereka atau setidak-tidaknya orang-orang disekeliling kita atau paling lekeh sekali pun diri sendiri...yang sudah lama hidup dalam 'musibah' (tidak/belum betul mengenali tuan musibah).

Monday, November 24, 2014

Kira-kira

Kalaulah dosa-dosa itu dapat dilihat dan ditatap...datang sebulan sekali macam bil telefon...Aku yakin, semua manusia tidak berani membuat dosa. Bayangkan...

Senarai dosa-dosa dan markahnya...
  1. Dosa menghadiri pesta-pesta remaja liar - 1000 markah
  2. Dosa berzina - 5000 markah
  3. Dosa menipu mak ayah - 3000 markah
  4. Dosa membunuh bayi hasil hubungan luar nikah - 8000 markah
....dan lagi, dan lagi...lagi...

Jumlahkan semuanya.

Bandingkan jumlah terkumpul pahala sebelum ini, ditolak dengan markah-markah dosa...berapakah yang tinggal?

Semak kelayakan minima...

Perlu berapa markah terkumpul untuk layak masuk syurga...
Atau...sekian-sekian markah, layak untuk sekian-sekian jenis neraka...

Masyaallah, astaghfirullah...

Namun kita tidak ada sebarang rekod untuk membuatkan kita rasa gusar atau lega dengan pencapaian sekarang. Kita tidak tahu di mana duduk kedudukan kita. Ramai juga yang bersikap tangguh-tangguh.

"Tunggu dululah, hidup hanya sekali...mesti mau enjoy!"

Tapi tahukah kita lama mana hayat kita? Kalau tahu okaylah, boleh merancang bila hendak buat larian pecut...

Kita tak tahu. Ajal maut macam jodoh pertemuan juga, kita tidak tahu.

Adapun seluruh bumi dan isinya hanyalah semata-mata tipu daya.

Beruntunglah mereka yang tidak tertipu. Mereka yang faham jelas matlamat hidup di dunia ini dan yang berpegang teguh dengan panduan yang Allah berikan. Manual kehidupan sudah ada (Al-Quran) dan perincian serta kaedah ibadah juga ada (Hadis dan sunah Rasulullah S.A.W). Tinggal nak buat atau tidak.

Setiap masa dan ketika kena mohon perlindunganNya untuk sebuah husnul khatimah. Takut sekarang ikut jalan lurus...hujung-hujung terbabas. Sebab itu kena beringat dan bermuhasabah selalu. Juga kena ingatkan diri supaya selalu bersangka baik dengan orang lain. Hari ini nampak dia macam sangat 'tertinggal' dengan agama...tapi jangan lupa, hidayah itu milik Allah. Yang penting ialah kesudahannya. Benda ini kadang-kadang terlupa, sebab selalu dok ikut fikir kepala . Tu yang dok kena peringat selalu.

Wednesday, December 11, 2013

Sesak

Bercakap tentang teknologi hijau dan peranan yang boleh kita mainkan, ada beberapa inisiatif yang telahpun saya lakukan. Nak kata kesedaran tu tinggi...tak jugaklah. ;). Bab kitar semula...itu perkara biasa yang paling mudah dilakukan. Kami menghantar sendiri ke tempat-tempat pelupusan mengikut kesesuaian benda-benda yang tidak diperlukan seperti botol-botol plastik dan suratkhabar lama. Kadang-kadang nak tergelak juga bila ada jiran-jiran dan saudara-mara tolong 'tambahkan' ...terasa semacam pula...hahaha...errr ya, memang dapat duit ikut timbangan berat tapi bolehlah untuk buat duit beli suratkhabar lagi . Mungkin diaorang malas kot nak pergi hantarsendiri...nak biar dalam rumah menyemak.

Di pejabat pula, semenjak bulan Julai lalu saya dan kawan-kawan sekitar BBS masuk program Bumiku syarikat tempat kami bekerja di mana kami berkongsi kereta untuk pergi/balik kerja. Faedahnya? Dapat tempat parking khas untuk kereta kami. Satu lot sahaja dan kami bergilir-gilir memandu. Ada harinya saya drive, ada hari lain kawan-kawan pula yang drive. Oleh kerana itu, pagi-pagi tak perlu gusar tak sampai cepat sebab tahu tetap boleh parking di dalam. Hah...satu kelegaan. Kalau tidak kelam-kabut pagi-pagi ke tempat kerja semata-mata nak pastikan boleh masuk parking. Kalau terlepas, alamat bayar lebih untuk private parking. Sehari dua boleh lah...kalau hari-hari? Robek poket ku wehhh...!!!

Kalau tak ada car pool, saya masih ada inisiatif lain...naik pengangkutan awam. Pengangkutan awam di sini ialah tren aliran transit ringan atau LRT. Oleh kerana saya perlu bergerak pergi-balik antara BBS dan Kerinchi, maka, ada dua jenis LRT yang saya gunakan. Dari BBS, saya menaiki LRT STAR (aliran Ampang) sehingga stesen Masjid Jamek sebelum bertukar ke LRT Putra (aliran Kelana Jaya) untuk sampai Kerinchi. Tambang perjalanan satu hala  ialah RM3. Jadi, kalau saya park kereta di SS dan naik LRT pergi/balik...belanja sehari ialah RM9.

Selain LRT, saya tidak berkeyakinan untuk mencuba perkhidmatan pengangkutan awam yang lain. Bas bukan satu pilihan kerana jalanraya kerap sesak di waktu puncak dan tiada penguatkuasaan lorong khas bas menyebabkan jadual perjalanan tidak menentu. Jadi, sukar untuk menentukan samada boleh sampai ke sesuatu destinasi mengikut masa yang kita mahukan. Teksi pun menghadapi masalah yang sama...apatah lagi selalu rasa was-was nak naik seorang. Lepas tu takut kena caj lebih. Ada juga pemandu teksi yang enggan pergi ke sesuatu destinasi. Komuter? Hemmm...ada stesen komuter di Sentul dan saya boleh sampai ke Stesen Sentral,KL. Cuma dari Sentral perlu bertukar naik LRT Putra. Mungkin saya tak patut bercakap benda yang tak pasti...tapi saya masih merasakan yang perkhidmatan komuter sangat-sangatlah slow. Pengalaman menaiki  sebelum ini tidak berapa bagus sehingga sampai sekarang saya keberatan mencubanya.

Apapun hari ini saya sangat-sangat merindukan Snowy kerana semenjak Isnin dia hanya terletak pegun di petaknya. Bukan itu sahaja, hari ini saya telah tersalah percaturan. Saya fikir nak balik sendiri kerana member yang  drive hari ini balik sedikit lewat. Kalau ikutkan kebiasaan, patutnya pukul 6 saya sudah boleh sampai Sentul...kalau tidak jalan berlenggang...Sayangnya, entah apa masalahnya LRT bergerak tersangkut-sangkut. Dari satu stesen ke satu stesen memakan masa lebih 15 minit. Sehingga akhirnya, saya hilang sabar di stesen Pasar Seni. Saya ambil keputusan turun dan menapak ke Masjid Jamek. Dan perjalanan itu memberi saya kesempatan meninjau sepintas lalu Pasar Seni yang sudah lama tidak saya kunjungi. Sempat 'usha' lukisan-lukisan potret di belakang sebelum menyambung perjalanan melalui 'Dataran' berhampiran tugu jam (tempat warga asing suka berkumpul khabarnya). Sempat juga menelefon mengusik Encik Suami di pejabatnya yang terletak berhampiran.

Dipendekkan cerita...menjelang azan Maghrib berkumandang, saya pun sampai ke pintu masuk AV. Alhamdulillah. Sangat-sangat lega sudah sampai ke rumah. Serik rasanya mengingat semula pengalaman berasak-asak dalam LRT yang tidak bergerak. Saya agak trauma bila dalam keadaan terkepung begitu kerana perasaan seperti hendak 'pengsan' selalu datang menghantui menyebabkan saya mudah rasa 'panik' dan hilang punca. Mujur tadi ada staff TM yang kebetulan duduk di sebelah dan saya mengajaknya berbual untuk membuatkan saya lupa dengan persekitaran sebegitu.

Ketika termangu-mangu memikirkan apakah saya akan rebah dalam LRT itu atau mampu bertahan ...saya terfikir bagaimanakah keadaannya nanti di Padang Mahsyar nanti. Dalam LRT hari ini, saya mendapat tempat duduk...ada pakaian pula...ada air-cond lagi. Kat tangan ada smartphone untuk berwhatsapp. Tapi di Mahsyar nanti...jauh lebih sesak. Umat manusia dari zaman Nabi Adam sehinggalah akhir zaman akan berhimpun...satu pun tak tinggal. Sudahlah begitu, semuanya berdiri menunggu dalam keadaan bertelanjang. Panas terik tak ada naungan. Matahari sejengkal di atas kepala. Semuanya tenggelam bermandikan peluh dan airmata. Bukan seminit dua. Bukan sejam. Bukan juga sehari. Bahkan bertahun-tahun lamanya. Bayangkan!!!

Kita semua pasti akan menyesal. Memang dan sudah tentu akan merasakan penyesalan yang amat sangat.

Menyesal kerana telah menzalimi diri sendiri.

Alangkah baiknya kalau apa yang saya rasakan ini selalu terasa segar dalam hati . Bukan sesuatu yang saya tak endahkan lagi bila bangun tidur keesokan harinya.

Wednesday, October 09, 2013

Sedar Diri

Ada saya terbaca kenyataan seorang artis kita yang mengatakan kalau dia nak melakukan penghijrahan, dia akan lakukan bila hatinya benar-benar ikhlas. Bukan semata-mata mengikut trend semasa. Saya tak tahu pulak yang menutup aurat itu ada trendnya...menutup aurat bukannya fesyen. Hari ini fesyen kembang kat atas, hari esok fesyen kembang kat bawah.

Saya tak nak cakap tentang pendirian dia, bagi saya itu terpulanglah. Saya cuma nak komen atas kenyataan yang diberikan. Peribadi dia bukan hak saya untuk mengupas, itu antara dia dan Allah...wahhh...siap ada disclaimer. Tahulah kan sekarang ni orang suka tulis macam-macam, menggunakan media sosial untuk mengata sesama kita. Saya tak mahulah masuk bakul sama. Saya cuma tertarik untuk memperkatakan tentang 'keikhlasan' itu.

Keikhlasan dalam beribadat memang antara komponen kritikal yang bakal menentukan kualiti amalan.Betul...itu saya tak nafikan. Amalan yang berkualiti akan semakin mendekatkan kita kepada keredhaan Allah, seterusnya menjauhkan kita daripada azab siksaNya yang pedih. Kita beribadah mengikut garispanduan yang Allah bekalkan dalam kitab suci Al-Quran dan sunnah nabi kita, Muhammad S.A.W. Kita ikut dua sumber ini, berpegang teguh dengannya...in sha Allah, kita akan berada di atas jalan yang benar.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan caracara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 
Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)

Oleh kerana menutup aurat itu perintah Allah, secara automatiknya, kita kena ikut...suka atau tidak kenalah buat. Ikhlas atau terpaksapun kena buat juga. Tak ada maknanya nak mengaitkan suatu ketetapan yang wajib dengan ketersediaan diri. Dalam bab ini, keikhlasan tidak menjadi suatu pra-syarat. "Samiaq na wa atoq na" - kami dengar dan kami patuh sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 285.

Mungkin patut lihat dari sudut lain untuk memotivasikan diri mematuhi perintah Allah. Sebagai manusia dengan tabiatnya yang kurang sekali bersyukur dan sangat suka akan dunia, saya mengaku tugas ini sangatlah sukar. Setiap detik adalah perjuangan. Namun, perjuangan ini harus diteruskan, berjuang menewaskan kemahuan diri yang tidak pernah padam. Kata seorang Ustaz yang saya pernah dengar ceramahnya, "kita patut ikut pendekatan syaitan?" Hahhh??? Bukan maksud dia jadi macam setan! Maksudnya, syaitan itukan tidak pernah berputus asa lagi mengenal erti lelah dalam usaha menjahanamkan kita. Walau gagal, tetap diusahakan sampai boleh. Kita pun patut macam tu juga...apatah lagi dalam keadaan iman yang kejap naik, kejap turun....lagi-lagilah kena lipatgandakan usaha. Saya rasa menjalankan perintah Allah itu tak susah...berpuasa tak susah. Solat pun tak susah. Nak menutup aurat pun tak susah sebenarnya. Yang susah ialah nak mengekalkan amalan tu dari titik awal perubahan sampai saat akhir nafas kita terhenti. Sebab bila-bila masa dalam sela masa yang terasa sangat panjang seperti itu, kita dengan mudah akan terbabas dan terjerumus dalam kealpaan. Belum campur rasa ujub pada diri, rasa diri lebih baik dari orang, rasa orang lain semua hampehhhh...kita saja yang best...Campur tolak, campur tolak...entah berapalah bilangan amal kita yang betul-betul suci murni yang kita boleh bawa buat bekal perjalanan ke sana. Takut-takut dok syok sendiri bawa karung kembung, padahal kosong!

Peringatan untuk diri sendiri bila-bila mula terasa tak berapa nak ikhlas...hai diri, silalah sedar diri! Hang tu sapa? bak kata oghang utagha. Ye....itulah ubatnya, silalah sedar diri...renung-renungkan kita ni siapa? Asal mula kejadian kita yang serba hina, dhoif dan tak berupaya. Tapi Allah beri kita kemuliaan lahir sebagai orang Islam macam sekarang...mak pak kita Islam, alhamdulillah. Tapi jangan dok syok pegang 'Title' saja, usahakan untuk betul-betul menjadi hambaNya. Kalau hendakkan sesuatu usahakan. Jangan tunggu datang ikhlas baru nak buat. Nasib baik Allah tak letak syarat kena kita kena ikhlas dulu sebelum Dia beri rezeki, sebelum Dia turunkan hujan, sebelum Dia beri kita pasangan yang baik...kita pulak sedap jer rembat semua sampai lupa nak bersyukur nikmat penglihatan,nikmat mampu bernafas, nikmat boleh tidur lena waktu malam dsbnya. Tak pulak kita cakap soal ikhlas atau tidak....sebab apa? sebab kita berada di pihak yang mendapat nikmat...bila kita disuruh taat dan patuh...tiba-tiba kita kaitkan dengan rasa tak bersedia, takut orang kata apa, takut tak ikhlas....bla...bla...bla...Macam-macam alasan kita bila kita yang kena beri.

Semoga Allah beri diri ini kekuatan untuk sentiasa muhasabah diri.