Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menjejak masuk ke tahun 2022. Masih jauhkah perjalanan Telipuk ? Sesekali bila menoleh ke belakang, rasa macam tak percaya. Semestinya selagi hayat masih dikandung badan, hidup harus terus. Semoga Allah sentiasa menjaga kita. Aamiin.
Dalam suku pertama tahun 2022 ini, telah ada beberapa peristiwa yang sepatutnya boleh menjadi entri yang merancakkan KL Traffic namun disebabkan daya kerajinan yang kurang, Telipuk rangkumkan semuanya di sini. Antara permulaan yang baik tahun ini ialah jalinan ukhwah dengan kawan-kawan rumah bujang dulu. 3 orang dapat bersua untuk edisi julung-julung kali ini, itupun setelah beberapa kali tukar tarikh dan venue. Alhamdulillah, dapat bersembang puas-puas dengan Jiha dan Wani. Seronok sangat la, nasib baiklah tak de ramai pengunjung kat Secret Recipe, Kompleks Sogo tu...kalau tidak, haruslah kena jeling hahahaha. Telipuk siap apply leave tau...haaaa...member punya pasal. Mula-mula ingat nak apply half-day je. Tapi pikir punya pikir, baik ambik whole day terus , tak de la nak risau dan kelam kabut nak masuk kerja.
Peristiwa seterusnya yang berlaku dalam bulan Januari ialah majlis walimah anak buah Telipuk. Anak perempuan sulung kakak Telipuk. Haruslah balik kampungkan. Sempatlah menyumbangkan tenaga merebus telur. Kenduri keluarga Telipuk ni memang tak sah kalau tak ada bunga telur.
Nampak tak 'sepokok' bunga telur kat belakang Telipuk tu? Haaa best kan...ni kalau budak-budak kecik memang depa sentiasa teruja dok lalu lalang tepi pokok tu...haipp...haippp...Kami beri kepada semua tetamu la...memang cukup malahan berlebihan sebab ada je yang menokok last-last sampai 800 biji telur sedangkan undangan memang separuh je memandangkan majlis berlangsung dalam suasana norma baru kannn.
Ini majlis yang bulan Januari. Ada majlis lagi dalam bulan Februari. Haaa...Telipuk kan bersusun-susun anak buah. Yang bulan Februari ni anak abang. Tapi malangnya, tak de ambik gambar pun sebab ada kejadian lain yang menganggu fokus Telipuk...pulakkkk...
Alkisahnya sebab nak balik menghadiri majlis walimah ni Telipuk gagahi jua meramaikan umat atas jalan . Masa tu memang sedang eloklah, dengan cuti sekolahnya, dengan cuti Tahun Baru Cina lagi haaa oppsss tambah Cuti Hari Wilayah...hehehehe....kemainlah kannnn. Punyalah bercuti sakan rakyat Malaysia ni sampai penuh lebuhraya. Bayangkan belumpun lepas Rawang , perjalanan sudah mula sangkut. Telipuk menten cool memandu di lorong paling kanan. Mula mula waze kata ETA pukul 2 lebih, Telipuk keluar jam 9 pagi. Okaylah, since memang dah menduga kenderaan banyak hari ni. Then lepas Tg Malim ETA berubah ke pukul 4 petang...aihhhh...berpeluh dah dahi Telipuk. Biarpun terhenti-henti, Telipuk tetap sabar je...chewahhh...maklumlah, mak ada kat sebelah...so rancaklah kami dua beranak sembang pot pet pot pet...buat plan nak singgah sana sini, nak makan cendul la...macam-macamlah punya berangan. Nak berhenti tak dapat, sebab semua hentian pun penuh dengan orang...nak masuk pun kereta beratur panjang. Ah sudahhhh. Jeling-jeling indicator petrol, dah less separuh. Aduhhh....
Mujurlah dalam berdenyut-denyut tu sampai jua ke R&R Tapah. Teruslah berhenti kat Petronas, isi bekalan makanan dan bekalan minyak. Barulah yakin nak meneruskan perjalanan. Belum lama terkedek-kedek atas highway tu, waze dah mula mengarahkan suruh detour. Disuruh keluar tol Tapah. Encik somi selalu pesan, ikut je cakap waze tu. Kemudian dengar berita di radio rupanya ada trailer kemalangan belah-belah Gopeng sana dan kesesakan sudah sepanjang 25 km. Amboiii...patutlah lain macam jam kali ini. Biasa tu bergerak la jugak...ini macam tak ada harapan je. Lalu Telipuk pun ambil keputusan keluar ikut jalan lama. Pun lama jugaklah nak lepas keluar tol sebab bukan Telipuk sorang pandai guna waze. Pakat lari ke jalan lama. Adoiii. Masa tu memang nampak dah gerai petai bergantungan, dengan buah jambu seedless nya, dengan ayor kelapa muda...haisshhhh,,,nak singgah mende, jalan padat. Telipuk cakap kat mak, tak pe mak...jalan lama ni kang ada je gerai-gerai mana kita jumpa...karang sampai kawasan yang selesa untuk stop, kita stop. Lepas la jalan dalam sebatu dua...sebelum sampai di suatu persimpangan. Cuaca memang tengah panas lit lit tapi ok je la, as long as air-cond kereta berfungsi baik dan dengan harapan perjalanan akan lebih baik. ETA dah menokok ke pukul 5 lebih. Urut dada je la Mak Jemah oiiii....Tengah sedap sedap menenangkan hati tu, tau..tau...bunyi berdentum kat belakang...bammmmm...Blur sekejap Telipuk sebab tak de angin, tak de ribut kannn apahal pulakkkk...
Dalam debor tak berdebor tu, Telipuk terus bagi signal ke tepi dan keluarkan tangan minta pemandu kat belakang tu ikut. Telipuk keluar tengok...aduhhh...robek hatiku...Pemandu yang melanggar kereta Telipuk tu datang. Telipuk pandang muka dia...lepas tu Telipuk cakap, " Kenapalah awak langgar saya"...mendatar je...nak marah pun tak guna, benda dah jadi. Pemandu tu kata, lampu sudah hijau. Telipuk pandang lagi ke muka dia..."memanglah lampu tu dah hijau...tapi depan saya kan ada 2 kereta lagi...macamana saya nak jalan..." . Dia pun garu-garu kepala. Telipuk tengok dia bawak toyota lama...bumper depan tu memang tak tau la pernah langgar apa dah dengan cat yg dah lama tanggal. Kira setakat cium bontot Sienta ni, tak jadi hal lah. Masalahnya Sienta ku sudah cacat hua hua huaaa...
Pemandu tu kata kecik punya hal la. Boleh ketuk saja. Masalahnya Telipuk ni bukan pemastautin kat sini, dengan cuti raya bengkel tutup, camno nak baiki ni. Telipuk haruslah lusa dah nak meredah balik KL. Cakap banyak pun tak gunalah, akhirnya we both buat laporan polis saja. Memanglah nampak macam sikit hal (hishhh...sikit ke?), tapi kecederaan dalaman tak tahu lagikan. Kot seratus dua tak pe, kot more than that how leh? Sedih tau...rasa nak bebal pun ye jugak....apa tak nye, sensor kereta dah gone haywire, dengan tak boleh lock lagi...all the way kereta tu keriau keriau bagi warning pintu terbuka. Sadis tau...bingit telinga Mak Jemahh. Telipuk pun teruslah ke IPD Tapah. Buat report. Bukan makan seminit dua la kannn....so dipendekkan cerita, selesai dekat pukul 5 jugaklah. Aduhhh...Borak borak dengan polis tu dia pun bagitau benda yang sama iaitu highway jammed teruk gara-gara kemalangan trailer tu lah . Dan habis jalan lama pun melimpah penuh sebab kenderaan semua lari keluar. Kejadian tu since pagi katanya tapi masa sembang tu dia kata tak settle lagi.
Kesian mak Telipuk. Memang we both dah tak de mood nak singgah mana-mana. Hanya ingat nak balik saja. Bila on waze , waze hantar Telipuk masuk balik tol Tapah...what the......ko ni kan waze, semata-mata ko hantar aku jalan lama ni nak ke balai polis je ke ...hishhh...sabor...sabor...sabor mak Jemahhhh. Mengucap banyak2. Malas nak pikir, ikut je la. Probably sebab IPD Tapah dah dekat highway and sebab jalan lama pun dah merah berjahang warnanya. Telipuk teruslah memandu dengan berhati-hati sebab risau kang terbukak pulak pintu belakang Sienta tu...tapi ye la, jalan memang still berdenyut-denyut, the most Telipuk leh lari pun 20km/j. Haishhhhh. Tak pe lah, sabar je lah. berkat kesabaran tu akhirnya cecah jugak Ipoh. Lepas Sungai Perak, tetiba waze bising suruh keluar tol Kuala Kangsar. Eh apahal pulakkkk...Tengok jalan ke depan tu semua dah merah balik. Tengok jam, hari makin lewat ni...lapar tok sah ceritalah kannn. Fikir punya fikir, oklah keluar tol sebab busuk-busuk kalau ikut jalan lama ni boleh juga singgah mana-mana kalau terdesak. So, keluar tol terus menten ke kiri, masuk ke jalan lama melalui Padang Rengas menghala ke Taiping. Masa lalu depan kilang simen tu, nampaklah highway yang sangkut tu...aduhhh nasib baiklah keluar . Jenuh jugak tu nak lepas, mau sampai ke Bukit Gantang.
Hanya selepas Telipuk keluar tol Cangkat Jering (cadangan waze jugak), barulah perjalanan lebih lancar. Syukur alhamdulillah, selamat sampai rumah yang pentingnya. Tapi bila tengok kereta, sedih tauuu...sebab Telipuk memang paling sayang kereta ni...MPV yang sangat practical. Walaupun orang kecam cakap dia huduh...bagi Telipuk dia paliiinnngggg comel! Termasuk kejadian ni bermakna dah 2 kali la merasa insiden kemalangan yang berlaku sebab kecuaian orang lain. Sebelum ni dengan Snowy, pun kena hentam di belakang...haishhh...sedih tau. Sebab tu la orang kata kemalangan ni tak berbau, kita dah bawak sehabis baik pun tak leh buat apa la kalau orang yang langgar kita. Manalah Telipuk ada mata kat belakang kepala. Orang cakap syukurlah awak tak apa-apa...ya betul, alhamdulillah, syukur baik Telipuk mahupun mak Telipuk, kami berdua okay. Cuma bab ralat tu la...tak pasal-pasal kena berenyah kan. Padahal kemalangan tu tak sepatut berlaku pun. Kereta semua berhenti di traffic light, tak de sapa yang laju, tak de sapa yang nak memotong, jalan pun tegak lurus....haishh...benda kalau dah nak jadi ke...waima awak pikir macamana sekali pun tak de kesudahannya. Redha je la.
Tercalar sudah rekod my Cutie...😞














































