Aku sebenarnya kalau boleh mahu mengelakkan dari membuat posting ini. Tapi mengenangkan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan blog ini, Aku fikir ada baiknya apa yang berlaku itu dipaparkan di sini. Paling tidak ia dapat mengingatkan Aku bahawa cabaran ada di mana-mana, hanya bagaimana kita mahu menanganinya. Yang mana elok, diambil buat pedoman...yang mana tak elok, boleh dijadikan pengajaran.
Berkisar pengalaman pulang ke kampung tempohari yang turut melibatkan pengalaman diriku sebagai pemandu. Alkisahnya begini. Perjalanan balik hari itu sememangnya agak mencabar. Cuaca sudahlah panas terik, ditambah pula dengan kesesakan lebuhraya. Almaklumlah, bukan kaum Tionghua sahaja yang balik kampung beraya, kaum-kaum yang lain pun ambil kesempatan balik bercuti juga. Alhamdulillah, selain daripada itu semuanya okay, tak ada masalah. Sebaik keluar dari tol Bandar Baharu, Abang menyerahkan tugas memandu kepada Aku. Dah penat sangatlah tu. Jarak nak sampai kampung actually dah tak jauh dah. Ini first time lah Aku memandu Nazaria melalui jalan kampung. Tahulah, nak adjust dengan jalan yang sempit tu kan, mungkin agak melilau jugaklah.
Aku pun tak perasan sangat benda ni. Cuma Abang adalah tegur, "Awak tu jangan ke tepi sangat...tengok motor-motor tu...". Masa tu mungkin Aku nak jaga jangan makan jalan sebelah. Tapi alhamdulillah, tak adalah terlanggar, tergesel sapa-sapa...memang pun ada banyak motor-motor kat jalan tu. Yalah, jalan kampung. Yang duduk tengah jalan. Yang ala-ala makan angin. Semua pun ada. Cumanya masa dah dekat nak masuk jalan ke rumah Aku, tetiba datang satu motor ni menghalang jalan Aku. Aku memang dah slow la sebab nak masuk kiri. Aku pun terfikir, eh...dia ni nak pi mana...kanan kah...kiri kah? Tapi dia maintain tengah jugak sambil dok bagi isyarat tangan. Bila dia angkat tangan kiri...aku ingat, oh...nak ke kiri...tapi kemudian, diangkat tangan kanan pulak. Dalam Aku dok teragak-agak tu...Abang terus sambar dan tekan hon dua kali. Aku bagi signal kiri dan masuk jalan ke rumah. Elok-elok sampai perkarangan rumah, motor tadi ikut di belakang.
Penunggang motor tu terus datang ke arah kami. Abang buka pintu dan tanya "Ada apa hal , Encik?" Tapi penunggang motor tu, dah pertengahan 50 puluhan rasanya, terus datang dekat Aku yang baru buka pintu bahagian pemandu tu.
"Hang ni dah berapa lama memandu?" . Terkedu gak Aku. Dalam kepala Aku, "Apa hal ni?".
"Hang tau ka, hang memandu tu merbahaya...ha..kalau jadi apa-apa, macamana? katanya dengan garang gila. Aku cuma beberapa inci jer dari dia. Kalau dia lempang Aku pun gerenti Aku kena cap lima jari kat pipi sebab tak dapat nak mengelak.
Abang pun tak bertangguh lagi terus menerpa melindungi Aku.
"Apa hal ni Pak Cik? Ini orang rumah saya. Kalau ada apa-apa hal Pak Cik tak puas hati, Pak Cik boleh cakap dengan saya."
"Hang jangan masuk campoq, Aku cakap dengan dia. Bukan dengan hang!" Alamak...Aku memang la penakut orangnya, nampak jer macam macho...sebenarnya Aku ni memang kategori lembik jugaklah bab-bab orang meninggi suara ni. Tapi sebab Abang ada kat depan, Aku pun beranikan diri jugaklah.
"Pak Cik, kalau saya buat salah, saya minta maaf." Walaupun dalam kepala Aku memang Aku tak recall ada aktiviti-aktiviti pelik kat jalan tu...mungkin masa Aku ketepi tu kot...tapi Aku pasti, tak ada kena motor siapa-siapa.
Yang nyatanya Pak Cik ni memang agresif gila. Dua kali Aku minta maaf sebab tak mahu panjangkan cerita. Tapi memang Pak Cik ni bukan jenis nak bincang baik-baik, macam nak cari pasal saja. Sekali suami Aku kata, "Pak Cik, saya hormat Pak Cik sebab Pak Cik orang tua...tak habis cakap lagi Pak Cik tu potong terus...
"Habih tu hang ingat Aku tua Aku takut kat hang...kalau berani jom pi tengah bendang...kita tengok siapa takut siapa..."sambil mencekak kolar baju suami Aku. Dua kali dia cabar suami Aku berlawan dengan dia. Nasib baik waras lagi suami Aku ni. Bukan apa, cik Abang Aku tu boleh tahan panas baran dia...tapi agaknya dia memang kontrol habis hari tu...
Wah! melampau Pak Cik ni! Kalau Aku tahu, baik Aku langgar aje dia ni...puas hati. Ni kalau dah macam ni, kita argue pun tak guna. Yelah, ke arah mana...nak cakap pasal pampasan tak ada benda yang berlaku. Setakat berkalau-kalau saja, mana jadi. Kalau langgar betul, koman-koman boleh bincang nak bayar berapa...Nasib baik Abang Aku ada. Dia tolong leraikan. Kalau tidak percuma aje suami Aku kena belasah. Lepas tu ada juga orang kampung yang datang nasihatkan orang tu supaya beredar. Actually dia naik motor dengan wife dia. Tapi wife dia duduk jauh tak cakap apa-apa.
Aduiii...trauma jugak dibuatnya. "Bang, lain kali tak mau lah bawak keta ni lagi..." Aku mengadu. Sebab yalah, tak pasal jer mengundang benda-benda macam ni.
"Bukan pasal kereta jenis apa, atau drive kat mana...yang penting mana-mana pun awak pergi, awak kena drive baik-baik. Sebab kita tak tahu kita akan jumpa manusia jenis apa...Abang pun ada gak kadang-kadang bawak kereta potong macam sesuka hati, atau buat salah...kita angkat tangan minta maaf. Selalu okay jer. Orang lain pun buat macam tu jugak. Ada give and take. Tapi nasib la hari ni jumpa manusia macam ini...nak buat macamana. Abang tak nak awak rasa 'down' sebab benda-benda macam ini".
"Tapi Ira tak buat apa-apa pun..."
"Yelah...but still you have to be careful".
Aku tak ada masalah nak argue. Tapi dengan syarat, Aku ada maklumat dan tahu dekat mana duduk letak sesuatu perkara. Macam dalam kes ni, Aku rasa samar-samar...Aku rasa tak ada apa-apa. Mak ayah yang kat dalam kereta tu pun rasa okay je Aku drive. Tapi reaksi Pak Cik tu macam la Aku dah buat jenayah besar. Tak kisahlah kalau dia nak marah sebagai satu cara memberi pengajaran atau peringatan...tapi tak adalah sampai nak tengking dan ajak orang bertumbuk ni. Too much lah! Bila Aku tengok cara dia ni, memang jenis yang penyelesaian dekat 'tangan'...masalahnya berbaloikah? Kita cakap baik-baik, dia pulak makin naik minyak. Apahal? Berbalik pasal berperang mulut ni, satu sikap Aku yang Aku pun tak pasti elok atau tidak ialah kadang-kadang rasa Aku tak cukup agresif atau 'semangat' mempertahankan diri sendiri. Ada masanya Aku sungguh passionate 'berbalah'...tapi dalam konteks perbincanganlah. Tapi kalau benda tu menjurus macam menyerang peribadi...atau bersifat personal, ya ampun...Aku rasa buang masa sahaja. Macam kes kat Penang dulu. Kes pelanggaran kecil tiga buah kereta sebab kereta depan berhenti mengejut. Kereta kancil yang dah buruk tu tak rosak teruk pun..kemek sikit saja. Tu pun pemandu tu tahan kami berjam-jam semata-mata tak percaya yang harga nak baiki tu tak sampai RM150 pun. Sebab dah malas nak bertekak, kami bayar dekat RM300, memang gila punya orang. Mak suruh Aku pergi 'lawan' he..heh...sebab bini driver tu semacam jer...Aku geleng tak nak...bukan tak nak support Abang, tapi bukan 'standard' Aku nak menyeringai kat orang tepi jalan macam tu. Apa taknya, sebelum blah lepas 'pau' kitaorang...bini dia siap buat gaya budak tadika bergaduh...ala-ala "tonggek" 90 darjah tu sambil mencebik seolah-olah berkata...pirrraaaahhhh! Aku dengan Mak pandang terkelip-kelip rasa macam tak percaya. Oh! sadis sungguhlahhh!!!
Oh berbalik pasal kes di kampung tu, petang tu jugak Abang bawa Aku dan Ayah pergi Balai Polis Tanjung Piandang buat laporan polis. Abang cakap, untuk langkah keselamatan. Sebab kita tak tahu apa orang ini boleh buat. Manalah tahu, kan...kot-kot dia tak puas hati datang bawak geng serang kami atau jahanamkan kereta kami. Sekurang-kurangnya dah buat laporan. Bukan pasal hal-hal pemanduan, tapi laporan dibuat berdasarkan tindakan agresif Pak Cik tu 'menyerang' kami dalam kawasan rumah sendiri...iaitu atas dakwaan ugutan dan ancaman mencederakan sebab takut terjadi apa-apa di kemudian hari.
Apapun, walaupun masih berbekas rasa terkilan, Aku maafkan Pak Cik tu. Aku bukan manusia sempurna dan Aku bersyukur pada Tuhan, tidak terjadi apa-apa perkara yang lebih teruk. Sekurang-kurangnya Aku tak langgar siapa-siapa. Bayangkan kalau ianya satu pelanggaran macam andaian Pak Cik tu...gerenti lagi teruk trauma yang Aku bakal rasakan. Cuma Aku berharap, bila ada masa terluang, Pak Cik tu boleh duduk renung-renungkan sikapnya itu...Aku yakin bukan Aku seorang yang pernah jadi 'mangsa' dia. Benda macam ni perlukan 'latihan' bertahun-tahun. Mungkin ada baiknya laporan polis itu dibuat, supaya next time dia berfikir sebelum bertindak. Kiranya ada juga orang yang sanggup memanjangkan perkara ini...teringat lagi kata-kata dia sebelum blah, "Report la kalau berani!". Tergelak Aku teringat kata-kata adik ipar Aku. Masa kejadian tu dia tak ada di rumah. "Ish...awat kak tak bagi ja dengan kayu...biaq dia rasa. Mai serang orang kat rumah, tu dah kira tak apalah kita melawan. Mempertahankan diri tu...". Dan dia kenal siapa Pak Cik tu. Malaslah Aku nak cakap kat sini.
Dan pesan Aku pada diri Aku sendiri, lain kali lebih berhati-hati sebab manusia ni banyak ragam. Rambut saja mungkin sama hitam tapi hati lain-lain.