Friday, December 30, 2011

Jom Ke Sekolah

Hari ini hari suai kenal untuk murid-murid baru tahun 1 dan pra-sekolah SKBBS. Si Abang Long asyik la memberitahu jangan buat itu, jangan buat ini sampai si Adik takut-takut. Adik tanya dengan muka muram, "Kalau kerja yang susah saya tak tahu buat macamana ibu?" sebab Abang dah awal-awal mengertak kononnya cikgu garang.



Program bermula kalau ikut jadual pukul 8 pagi. Pukul 7.30 pagi kami sudah ada di sana. Biasalah, Aku suka sampai awal dan benda ini Aku selalu tekankan pada anak-anak. Ini ikut disiplin arwah ayahlah. Lagipun muka kulit nipis macam Aku ni, mana boleh sampai sesuatu tempat sesudah majlis bermula...bila kita masuk dan orang tengok, rasa malu sangat-sangat. Masa arwah ayah ada dulu, walaupun sekolah cuma di seberang jalan, dia akan pastikan pukul 7.15 pagi, Hisham sudah masuk pagar sekolah.

Dan seperti biasa juga...majlis tidak bermula tepat jam 8.00 pagi, sebaliknya pukul 8.40 pagi. Biasalah, nak tunggu dewan penuh dulu...macamana nak penuh, pukul 8.30 pun masih ada yang berbaris di kaunter pendaftaran. Haish!!!



Mengikut maklumat pendaftaran dulu, Aiman ditempatkan di kelas 1 Cekap. Untuk tujuan kendalian hari ini, murid-murid diberi lencana kertas berwarna. Murid-murid kelas 1 Cekap memakai lencana biru dengan lambang 'sharpener'...heheh...Aku ingatkan aiskrim. Ada 6 kelas tahun satu - Cekal, Cekap, Cerdik, Cerdas, Cemerlang dan Canggih. Buat masa sekarang, pengkelasan dibuat tanpa sebarang pertimbangan khusus. Actually, Aku pun tak tahu yang kelas-kelas tu kalau ikut prestasi, mana yang terbaik, kedua baik dan seterusnya pasal Aku tak kisah pun. Janji anak-anak faham keperluan untuk belajar dan belajar mengikut kemampuan. Aku bukan jenis yang mesti score 100. Mesti dapat A. Bukan tak suka A...sukaaaa...tapi biarlah pemburuan A itu datang daripada kemahuan anak-anak & kesedaran mereka bukan sebab Aku kata begitu.

Tapi, mengikut kata Guru Besar, sistem sekarang sudah berbeza. Ikut standard baru, murid-murid akan dinilai bukan lagi dengan gred A, B, C etc...tapi bermula untuk batch tahun ini, mereka akan dinilai mengikut 'band'...amboiii...Aku ingat kat opis jer ada menate 'band' ni. Macam Hisham yang akan melangkah ke tahun 4 tahun depan, dia masih lagi mengikut sistem gred seperti dulu. Tapi, Aiman dah ikut sistem lain. Kalau Band 1 - murid sekadar tahu tapi belum menguasai. Band 2 - murid tahu dan boleh kuasai. Band 3 - murid tahu, boleh kuasai dan tahu buat...heheh...Aku just ikut pemahaman Aku yang tak seberapa ni jer la pasal sejam pertama tu selang 1 row dibelakang ada satu budak ni melalak melolong tak ingat dunia. Boleh mak dia dok syuh...syuh...syuh...macam tu jer. Mula-mula Aku rasa kesian juga, yelah...biasalah, budak buat hal...anaknya dalam 2-3 tahun jugak. Entah apa yang diamukkan. Pujuk punya pujuk, makin kuat jer. Sudahnya satu dewan mula rasa tak senang. Setakat sepuluh minit rasanya orang simpati lagi...tapi kalau sudah sejam, orang dah bengang jadinya. Yang si suami buat derk jer...kot la nak ambil budak tu bawak keluar biar isteri fokus dengar amanat Guru Besar atau...isteri yang keluar, suami tunggu dalam...whatever la...janji jangan sampai mengganggu majlis.

Apapun pemerhatian Aku mendapati jenama 'Angry Birds' memang menjadi pilihan top budak-budak. Beg 'Angry Birds' paling banyak kelihatan.

Aiman pun tak ketinggalan.



Apalah yang best sangat tentang burung-burung ni...bekas makan dan minuman Aiman, pencil box, alat tulis...semua dia nak yang ada gambar menate ni...



Memandangkan ini bukan kali pertama menghantar anak ke sekolah, Aku tak risau dah...lagipun Hisham ada. Aiman pun, alhamdulillah, boleh sesuaikan diri. Dia kata, "Saya suka la sekolah ini. Nanti tak sabar nak jumpa kawan saya yang tiga orang tu". Dia kata dah ada 3 orang kawan. Nama tak ingat. Harap-harap dia dapat kawan-kawan yang baik. Tapi tak tahulah, sebab hujung bulan Januari ada ujian untuk tentukan kelas semula. Apapun harap dimanapun dia ditempatkan, dia boleh enjoy sesi pembelajaran dan menghargainya.

Kalau boleh jadi macam omaknya dulu pun baguih...selalu tak sabar tunggu Isnin setiap hujung minggu...hahaha (sekarang bila dah kerja, selalu tak sabar tunggu Jumaat...)

Wednesday, December 28, 2011

Belum Cukup Kenal

Sebenarnya, semakin cuba hendak mengenal, semakin rasa tak kenal. Mungkin sebab tak betul-betul kenal asalnya atau tersalah kenal dan menyangka sudah tahu benar. Adoi...pusing-pusing semakin tak faham, kan?

Itu yang kita kenal...yang memang tak berapa kenal tapi tiba-tiba bercakap macam sudah kenal lama, macamana pulak? Ini yang peningnya. Nak nak pula tiba-tiba bawa cerita tentang orang yang kita kenal...cerita yang kita macam tak percaya orang yang kita kenal akan buat macam itu. Well...mula-mula dengar tu kita terperanjat...lepas tu mulalah terdetik, eh...iye ke macam tu? Haiyoh...sudah dengan cerita-cerita pasal kita yang konon orang tu bercerita sakan di belakang keluar. Paling tak tahan, "macam-macam dia kata awak. saya pun dah nasihatkan dia, udah-udah le memburukkan awak ni...saya yang dengar ni pun rasa malu..." Eh..eh...eh...apa cer ni? Akak tak glamer pun dek non oiii....buang masa je mengumpat akak...kot artis boleh tahanlah, dapat gak publisiti murahan.

Huiyooo...tolonglah, tak kisahlah awak betul ke dia betul ke...saya tak mau tahu boleh tak? Entahlah siapa yang bercakap benar. Maaflah, tak berminat betul rasanya hendak tahu.Kalaupun betul dia mengumpat saya di belakang...saya terima sahajalah. Tak kuasa saya nak serang-serang orang. Buang masa je...tak ada faedah pun. Anggap sahaja saya dah maafkan. Hidup ni sebentar cuma...saya tak mahu mengotori hati dan jiwa dengan rasa benci dan sakit hati. Biarlah apa orang nak buat...janji saya tak kacau orang.Kalau kamu fikir cerita-cerita sensasi ini akan membuatkan saya lebih teruja mahu menyebelahi kamu supaya lebih seronok mengorek rahsia, "eh! apa lagi dia mengata saya?"....maaflah, kamu silap orang.

Saya tak kisahlah kamu betul ke...dia betul ke...apa-apalah. Setakat mendengar ni bolehlah. Saya tak akan lagi menyebelahi siapa-siapa. Saya khuatir salah pertimbangan. Biarlah Allah sahaja yang mengadili sebab saya tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Cukuplah saya sudah buat silap dulu. Silap mendengar cakap sebelah pihak sahaja kerana menaruh kepercayaan penuh kepada orang itu sampai langsung tak mahu dengar cakap orang lain. Sayangnya di akhir cerita rupa-rupanya saya dikhianati hidup-hidup. Seakan satu dunia mentertawakan saya yang naif. Kesian! Tapi tak apa, besar hikmahnya apa yang berlaku. Satu sesi pembelajaran yang tak mungkin dapat dipelajari di mana-mana dewan kuliah.

Jadi, moral of the story...manusia ini macam-macam ragam, macam-macam perangai...hari ini cakap lain, esok cakap lain. Jadi, tak payahlah hendak susah hati kalau lain yang diharapkan, lain yang berlaku. Sebab itu lebih senang jangan taruh apa-apa harapan. Biarkan semuanya berjalan seperti apa mahunya. Senang begitu. Tak payah hendak makan hati. Kan???

Bila Rindu Menderu

Seminggu lebih sudah berlalu. Semuanya masih terasa baru. Segar dalam ingatan sehingga adakala sukar mendakap realiti. Betul. Rasa terlupa. Rasa seperti ada. Bila tersedar, terasa seperti ada lohong kosong. Sesuatu yang telah hilang. Dan ingatan demi ingatan pun berputar-putar seperti pita filem. Ingat apa yang dia suka. Ingat jenaka yang selalu dibuat. Usikannya. Rajuknya. Ingat segalanya. Mungkin itulah lumrahnya, kita hanya pandai menghargai bila kehilangan.

Ketika meraikan pemergiannya ke tanah suci dulu, memang tidak menduga sakitnya akan bertambah teruk memandangkan dia nampak sihat ketika itu. Kami sempat merakamkan gambar bersama-sama adik-beradiknya yang turut sama hadir.



Kepulangannya tanggal 6 Disember lalu sangat dinantikan. Hati berdebar melihat ambulan yang siap menanti. Janganlah jadi apa-apa...kami adik beradik berdoa sungguh-sungguh. Hati rasa sangat lega apabila kelibat mereka berdua mula kelihatan. Lega sangat-sangat meskipun ayah keluar berkerusi roda. Alhamdulillah.





Dua hari selepas kepulangan mereka, kami bermohon pulang semula ke ibukota. Baru sampai di rumah, sudah menerima khabar yang ayah tidak sihat. Dua hari pula ayah berada di hospital Parit Buntar. Hujung minggu itu juga kami pulang menjenguk ayah. Kali ini ayah tidak mampu duduk lagi. Hanya terlantar di katil. Sedih melihat keadaannya. Terfikir hendak dibawa ke Kuala Lumpur, namun cadangan itu kurang bersesuaian dengan keadaan ayah dan ramainya sanak-saudara dan handai taulan yang sukar hendak ke Kuala Lumpur kalau dia dibawa ke sini.

Sudah menjadi rutin kami pada hujung-hujung minggu itu untuk berulang-alik ke kampung. Letih tak usah cakap. Selalunya, tengah malam baru bertolak balik dan sampai sekitar jam 3.30 ke 4.00 pagi Sabtu. Syukur perjalanan dipermudahkan. Pada suatu pagi 17 Disember lalu, Aku mengambil alih pemanduan setelah encik suami mengaku sangat penat dan mengantuk sementelah baru pulang dari pejabat jam 11 malam. Jadi, bermula Tapah, Aku memandu sendirian bertemankan radio. Mujur tidak terasa mengantuk langsung. Sesekali bila line clear, tak perasan meter semakin naik dan naik dan naik. Hanya ingat hendak cepat sampai. Melepasi Bukit Merah, alamak...ada road block pula. Hish...berdebar jiwa, satu demi satu kereta diperiksa...perjalanan yang semakin hampir terasa sayup di kejauhan...aduh, berderau darah bila tiba giliran dan pegawai polis itu menyemak nombor plet Snowy dalam kesamaran lampu. Berterabur jampi serapah...heheh...ya, sempat baca 'waja'alna'...alhamdulillah, lepas!

Sampai di rumah, Ayah masih belum tidur dan emak ada setia menunggu di sisinya. Bila dengar emak sebut namaku, ayah buka mata dan mencari. "Mana Ya"? Tangannya dihulurkan. Aku sambut dan kucium tangannya.
"Pi tidoq la Ya. Pi tidoq. Ayah mengantuk ni" katanya.
Sempat emak memaklumkan yang ayah ada bertanya di mana kami dan bila kami hendak bawa dia balik ke KL. Dia hendak balik KL. Sedih rasa hati mendengarnya.

Keesokkannya keadaan ayah masih sama tidak berubah. Ayah tidak mahu menjamah apa-apa. Hatta jus Monavie yang Aku belikan itu pun masih belum luak. Hendak beri dia sedut ubat pun tak mahu lagi. Ayah menggunakan 'air chamber' , masa hendak pakaikan mask ke mukanya pun langsung ditolaknya.Tengahari itu, Aku mengajak abang ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Baru sampai di pekan baru, adik menelefon. Katanya, keadaan ayah nampak teruk dan kak Ida yang menjalani pengajian luar kampus di USM setiap hujung minggu meminta Aku menjemputnya. Terus tak jadi beli barang dan kami bergegas ke Pulau Pinang. Adalah pula lori besar terbalik dilebuhraya hari itu...tidak semena-mena tersangkut satu jam sebelum melepasi exit Tol Juru. Apapun syukur sangat sebab jemput kakak dan bila sampai rumah terus duduk berkeliling adik-beradik membaca Yasin. Masuk pusingan ketiga bacaan Aku, ayah terus nazak. Air mata kami bercucuran keluar. Hiba. Dalam memandang ayah itu, emak suruh panggilkan yang lain-lain di luar sana. Aku blur sekejap..."Tak payahlah panggil..." rasa berat hendak bangun keluar. Hanya setelah emak kata, "Mak rasa ayah dah tak ada ni..." barulah rasa panik. Keluar mencari suami yang tersadai dalam bilik. Tak bagi intro lagi terus meluru dan menangis di dadanya. "Abang, ayah dah tak ada...". Jam sekitar pukul 4.45 petang.

Ayah sudah tak ada. Masih terasa blur...

Telefon Khairi, tak dapat. Telefon Ramzan. Ramzan masih dalam perjalanan. Jauh lagi. Suami menelefon ibu dan ayahnya. Mertua pun bergegas bertolak dari Melaka membawa bersama anak-anak kami. Pukul 3.30 pagi baru mereka sampai. Semua orang ada. Ramai. Al-Quran dibaca bergilir-gilir. Pukul 4 pagi baru dapat baring dan cuba melelapkan mata.

Sekonyong-konyong ayah datang menjelma di depan mata. Dia berjubah putih bersih dan berserban. Kain serban yang sama dipakainya ketika masih kuat. Wajahnya bersih. Mukanya ceria. Dia seakan-akan ketawa. Dipeluknya Aku seperti hendak bergurau. Katanya, " Tok sah bimbanglah, ayah ampunkan hangpa semuanya..." .

Eh, ayahkan....dalam terpinga-pinga mahu membalas...Aku terjaga. Terkejut. Eh! Aku bermimpi. Astaghfirullah...Terpisat-pisat membaca jam ditangan. Pukul 5.00 pagi. Memang tak jadi tidur lagi. Mengantuk pun tidak. Aku bingkas bangun berwuduk dan terus duduk di sisi jenazah ayah membacakan Yasin untuknya. Mak Lang masih konsisten dengan bacaan Al-Qurannya manakala Mak Ngah sudah sekejap berbunyi, sekejap terdiam. Mereka berjaga sepanjang malam.

Urusan jenazah ayah, alhamdulillah...sangat senang dan lancar. Semuanya berjalan baik. Anak-anak kusuruh duduk , tengok. Mana-mana yang mampu Aku jelaskan, Aku cuba jelaskan. Kata Aiman, "Siapa hendak jaga saya nanti, Ibu?". Anak-anak ikut bersama sepanjang urusan pengebumian. Hisham tidak banyak bertanya, hanya diam memasang telinga membiarkan adiknya bersoal-jawab. Pukul 10.00 pagi semuanya sudah selesai. Alhamdulillah. Tidak ada masalah, hanya selepas beberapa hari hujan, tanah perkuburan memang sangat becak dan berlumpur. Ramzan berlumuran tanah setelah turut sama mencangkul. Walaupun adik-adik lelakiku itu nampak 'cool', Aku tahu, sesekali ada air mata yang mencuri tumpah keluar. Insyaallah, mudah-mudahan Allah tempatkan roh ayah kita dikalangan hamba-hambanya yang beriman. Amin.

Ayahku telah pergi dalam keadaan dirinya yang bersih. Dia berada pada kedudukan yang terbaik. Alhamdulillah. Kami sangat-sangat bersyukur kerana hajatnya untuk menunaikan haji telah ditunaikan. Dia sangat gembira berada di bumi Mekah, walaupun sebelum wukuf dia sudah mula masuk hospital, alhamdulillah, ibadahnya dapat dilakukan. Ada seorang insan lagi yang perlu Aku ucapkan setinggi penghargaan iaitu doktor pakar yang membuat keputusan membenarkan ayah pergi walaupun Aku tahu dia ragu. Dengan persetujuannya maka mudahlah urusan haji ayah. Syukur sangat-sangat. Rupanya penyakit ayah semakin kritikal. Begitulah sifat COPD...ia sejenis penyakit yang progresif. Lambat dikesan dan bertindak dalam senyap. Macam kes ayah, kalaulah tidak kerana urusan haji itu, sampai sudah kami menyangka dia menghidap lelah. Hanya kerana terpaksa berurusan dengan doktor, barulah tak ada alasan lagi untuk tidak ke hospital. Biarpun semuanya sudah terlambat, sekurang-kurangnya dengan izin Allah, ayah berpeluang untuk menyempurnakan rukun Islamnya yang kelima dan sebagai anak, kami semua sudah sangat cukup berpuas hati. Alhamdulillah. Syukur ya Allah.

"Wahai Allah, ampunilah dosa-dosaku, dan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka menjagaku ketika aku kecil"

Tuesday, December 20, 2011

Tinggal Kenangan

Buat ayahanda tercinta...semoga damai disisiNya.

Hari Ini Dalam Kenangan ~ Sudirman

Hari itu kita bersua
Tidak ku duga buat kali terakhir
Kita bercerita kisah lama
Seakan tak mungkin ada kesudahannya

Hari ini ku terima berita
Tidak ku duga tak sanggup ku percaya
Sungguh terharu di hati ini
Kini kau telah pergi

Kau telah pergi tak akan kembali lagi
Kau telah pergi sendiri
Diiring pilu diiring sedu diiring angin petang
Ku iring doa setulus hati ku
Sekadar restu hanya untuk mu

Hari esok kian menjelang
Kisah semalam tinggal dalam kenangan
Suka dan duka waktu bersama
Ku kenang abadi

Friday, December 16, 2011

Kawan Sejati

Ada tiga jenis kawan yang boleh kita pilih untuk didampingi.

Kawan yang pertama, dia sanggup susah payah bersama kita sehinggalah kita mati. Kawan jenis pertama ini nama dia 'HARTA'. Contohnya rumah besar, wang ringgit yang berkepuk-kepuk dalam bank, emas permata, sawah ladang nan luas terbentang dan lain-lain seumpamanya. Kawan ini hanya ada bersama kita semasa kita hidup. Sebaik nafas kita terhenti, kawan ini akan hilang lenyap meninggalkan kita.

Kawan yang kedua, dia sanggup ada bersama-sama kita sehingga ke tepi kubur kita. Bila kita sudah siap dimasukkan dalam kubur, kita tak boleh ajak mereka ikut serta. Walaumacamana pun mereka sayangkan kita, mereka tidak akan sampai sanggup dikuburkan bersama-sama kita yang telah mati itu. Siapakah kawan jenis kedua ini? Itulah dia anak, isteri, suami, saudara-mara dan handai taulan kita di dunia ini.

Dan kawan yang terakhir ini, adalah kawan yang sanggup ada bersama-sama kita menghadapi kematian dan sedia pula menemani kita sepanjang masa kita berada di alam barzakh nanti. Wow! hebat tu! Siapa kawan jenis ketiga ini? Setia betul dan tidak akan pernah meninggalkan kita di saat kawan-kawan jenis pertama dan kedua sudah menghilang entah ke mana, dia tetap berada di sisi. Inilah dia yang dinamakan 'ilmu dan amalan'.

Jadi, kita sudah tahu bukan kawan yang mana patut kita dampingi supaya sejahtera hidup kita nanti? Kita mahukan kawan yang sejati. Yang setia.Yang boleh tolong kita dan sudah pasti akan tolong kita. Carilah dia. Jangan sibuk dengan kawan-kawan jenis satu dan dua kerana mereka hanya ada saat kita gembira di atas dunia. Tetapi bila tiba masa kita perlukan mereka, mereka tinggalkan kita sendirian tak keruan menunggu balasan. Hanya kawan jenis ketiga sahajalah yang boleh kita harapkan untuk membantu kita menjawab dengan lancar. Menyelamatkan kita daripada azab.

Jadilah manusia muslim yang baik, mudah-mudahan kita akan mendapat 'kawan baik' ini juga. Carilah ilmu yang boleh mendekatkan kita kepada Alllah, ilmu yang boleh membantu kita tetap di jalan yang lurus dan laksanakanlah amalan-amalan wajib dan sunat secara beristiqamah. Insyaallah, kita tidak akan sunyi dari kawan jenis ketiga ini.

Selamat berkawan!

Angry Bird

Hemmm...I still cannot forget her cynical smile. Or, was it fake? I know where I stand. I do. It's not that I wanted to be there. I was there because someone instructed me to do so as part of the job.Though that someone already left and got nothing to do any more with the 'instruction', I find myself entangled with various excuses and false hope that somehow forced me to just do it. Until when? Oh...soon I hope!

She sat across me in the meeting that day. As usual, I just tried my best to be as 'responsive' as possible to whatever that came my way. I just did not expect it coming from her.

"Where's the calendar?"

(In my head...what???). "Err...calendar?"

"Yaaa laaaa...you know aaa...he always gives calendar and diary to me...every year without fail".

(In my head...ceeehhhh...so kiasu la youuuu!)

"Oh reallyyyy??? Well...you know what, we're doing cost cutting nowadays. So, from now on, we don't produce calendar, not even for staff. But I think, we do have online version available for download". (hahaha...you think I will just comply? sorry, you got the wrong person!)

And she went on rambling..."He's so nice , he always...bla...bla...bla...blahhhh..."

Listen, I am different! I don't give things just for the sake of being popular here. I am here to do my work. To just deliver whatever requested from me. If you will only cooperate and befriend me if I give you freebies...then, by all means, do whatever you want to do.I don't care. I am not going to 'bribe' just to get your friendly treatment.

Anyway, I am 'likeable'.

So, if you don't like me...that's your problem!

Monday, December 05, 2011

Perihal Bahasa

Hari ini saya menerima emel pemberitahuan daripada LinkedIn.

Tuan/Puan Anira,

Hari ini kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa LinkedIn boleh didapati dalam Bahasa Malaysia. Dengan ahli melebihi 120 juta orang di seluruh dunia, LinkedIn adalah destinasi online terbaik untuk profesional seperti anda bertukar informasi, idea dan peluang baru. Sekarang anda boleh mengakses semua peluang yang berikut menggunakan bahasa yang anda selesa gunakan.

Mahu menggunakan LinkedIn dengan lebih berkesan? Lawati halaman bahasa pilihan anda untuk membaca mengenai petua dan teknik berkenaan cara berhubung dengan rakan sekerja, membina profil anda, mengakses LinkedIn dari peranti bimbit anda, dan banyak lagi.

Salam Hormat,
Arvind Rajan
Naib Presiden,
Antarabangsa di LinkedIn


Aha...LinkedIn, jaringan sosial untuk para profesional eceh ceh ceh...saya terperangkap dalam jaringan ini setelah menerima jemputan seorang rakan...pun ada perancangan untuk segmen pengguna berbahasa Malaysia. Ia satu pengiktirafan. Kalau tidak, kenapa hendak bersusah payah memberi pilihan. Pejam mata sudah. Baguslah mereka tak berfikir macam orang kita. Kalau kita, tak apalah, cukuplah ada Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bahasa kedua rakyat kita, mereka tentu boleh faham. Macamana Bahasa Malaysia hendak mengambil tempat sebagai bahasa rasmi negara?

Oh ya, kebetulan semalam saya ter'tengok'(sudah semestinya tidak dirancang), satu program pertandingan Lagu Bahasa Melayu peringkat Antarabangsa 2011 di saluran TV1. Bior benor? Iya...tak tipu! Tapi dah saat-saat akhir juga, sempatlah dengar persembahan peserta Khazakhtan menyanyi lagu 'Asmaradana'. Ada lagu 'Permaidani', 'Mimpi Laila'...heheh...menarik! Kita sudah pernah ada pertandingan debat, pantun dan sebagainya. Saya rasa, ada banyak perkara lagi boleh dilakukan dan semestinya ada masa depan untuk bahasa ini...kalaulah kita benar yakin dan percaya!

Dan pagi ini di Cyberjaya, saya memenuhi tuntutan kerja menghadiri satu sesi dialog dengan badan kawalselia negara Korea Selatan. Sangat menarik kerana itulah kali pertamanya berbincang dan bertukar-tukar pandangan menerusi jurubahasa. Mereka sangat bersemangat dan dengan bangga menggunakan bahasanya, saya tidak nampak sebarang kejanggalan dan keperluan untuk menjaga hati siapa-siapa. Korea, negara yang sangat maju dari segi aplikasi internet dengan jalur lebar berkelajuan tinggi. Negara yang kita ingin contohi dan mereka maju dengan acuan mereka sendiri. Kandungan tempatan mereka sangat hebat...segala-galanya hanya dengan bahasa sendiri. Kita???

Benar saya tak faham kenapa saya masih terdengar-dengar rungutan tentang PPSMI, yang kononnya ia patut diteruskan. Kita patut kukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pengajaran bahasa itu sendiri. Bukannya menumpang pada Matematik dan Sains yang ada 'bahasanya' tersendiri untuk dikuasai. Alasan lapuk betullah kalau kata kena buat macam tu sebab buku rujukan di peringkat tinggi dalam Bahasa Inggeris...kalau saya, budak kampung yang tiba-tiba sahaja kena kelek dan belek buku rujukan tebal berbahasa Inggeris ketika masuk universiti...boleh lakukannya tanpa banyak masalah...kenapa yang lain tidak?

Heheh...tak habis kalau hendak berdebat tentang bahasa.

Jom, siap hendak balik kampung...

Wednesday, November 30, 2011

Khal

Saya sedang memandu di suatu petang yang syahdu ketika saya mendengar satu program bual bicara di radio IKIM. Kebetulan, ianya satu segmen tajaan dan mereka memperkatakan tentang produk khal atau cuka kurma dan khasiatnya. Sebetulnya, saya tidak tahu banyak tentang cuka kurma jadi bila mendengar program itu rasa tertarik pula untuk mendapatkannya. Biasalah, bila umur semakin menganjak ini, tidak boleh tidak, teringin juga hendak 'jaga badan', bukan hendak melawan peraturan alam...cuma hendak berusaha agar sihat dan cergas agar tidak menganggu ibadah. Kalau boleh. Sekadarnya. Insyaallah.



Saya ada minum jus Monavie. Untuk makanan tambahan sahaja.Juga ada mengambil Evening Primrose Oil, dalam beberapa bulan sudah. Seperti biasa, saya tidak pasti kalau ada perubahan apa-apa, kerana rasa sama sahaja. Tapi alhamdulillah, setakat ini sihat. Tahun ini belum ambil sehari MC pun. Syukur.

Yang Monavie itu saya belikan untuk ayah sebagai sebahagian usaha menjayakan permohonannya. Semasa menggunakannya, maklumbalas ayah positif. Dan sekarang, saya menghabiskan beberapa botol yang tinggal. Rasanya sedap! Orang kata yang warna merah itu boleh menguruskan badan, hemph...tak berkesan kot untuk saya...hahahah...

Dah puas minum jus hendak cuba benda lain pula. Setakat ini yang kekal ialah kebiasaan minum teh hijau. Saya mula berkenalan dengan teh hijau semasa di Jepun. Masa tu terpejam celik hendak menghabiskan hidangan teh hijau mereka. Bila saya kata 'oishii desu ne..' udah ditambah lagi penuh melimpah. Nak tolak tak manis. Mahu tak mahu ku hirup jua dengan gaya 'bersahaja'. Heheh...

Tapi sebenarnya orang kata bagus minum teh hijau ini. Saya minum satu cawan sebelum tidur, sebab time tu je saya ada masa menghirup perlahan sambil berehat membaca surat khabar.

Jadi, bila keluar cerita 'Khal' ini...eh, saya nak cubalah. Kalau okay, boleh bagi mak dan ayah cuba juga.

Saya baru beli dua botol 'Khal' dan sebotol jus delima. Jenama Al-Baraka dari Egypt. Yang delima tu pula dari Turki. Saya sedang mencari maklumat cara memakannya dan khasiatnya. Saya jumpa dan saya kongsikan di sini. Mudah-mudahan bermanfaat.

************************************************************

Kebaikan buah kurma disebut sebagai makanan yang dapat mengubati masalah darah, masalah usus, masalah hati, hempedu, lemah jantung, menambahkan air mani, masalah kerongkong dan mulut, menambahkan nutrisi tubuh badan, mematikan kuman (bakteria), masalah migrain dan penawar racun dalam badan yang sangat baik.

Bersabda Rasulullah S.A.W., ” Sebaik-baik hidangan makanan ialah Khal. Ya Allah berkatilah pada Khal, sesungguhnya Khal adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus Khal dalam suatu rumah.” (Hadis riwayat Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)

Kebanyakan orang belum mengetahui khasiat "CUKA KURMA"

"BAGAIMANA ORANG ARAB MAMPU MAKAN SEEKOR KAMBING HANYA UNTUK TIGA ORANG MAKAN TANPA RISAU TERKENA PENYAKIT-PENYAKIT BERBAHAYA SEPERTI DARAH TINGGI, KENCING MANIS, JANTUNG, KOLESTROL ATAU OBESITY"

KEPERLUAN CUKA KURMA OLEH TUBUH BADAN

Cuka kurma mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin C, vitamin E, vitamin B1, vitamin B6, beta-karotena, vitamin P (bioflavonoid) dan kaya dengan kandungan potassium (keremajaan kulit).
Cuka kurma juga dapat membuang lemak, kolestrol, asid-asid dan garam berlebihan dalam badan yang membawa pelbagai penyakit berbahaya.

KHASIAT CUKA KURMA MENURUT PERUBATAN ISLAM

Ibnu Sina dalam kitab beliau Al-Qanun Fi Al-Tib menyatakan bahawa “Cuka kurma dapat mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser), menyucikan darah, membaiki masalah pencernaan di perut, masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan, menjaga kulit dari kepanasan matahari, mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol), menstabilkan asid dan garam di badan, membuang keracunan badan (toksik), masalah rahim, menguatkan gigi, mata, telinga serta mengembalikan tenaga lelaki dan perempuan”. Darul Fikri, Bairut Tahun 1414H, m.s 908 - 909.

Ibnu Qaiyyim dalam kitab beliau Al-Tib Al-Nabawi menyatakan cuka kurma bermanfaat untuk mengatasi masalah gastrik di perut, masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu), mencegah terhadap bahayanya ubat-ubatan (kesan sampingan dari ubat yang pelbagai) yang boleh membawa kepada kematian.

Cuka kurma dapat melancarkan susu ibu dan melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid). Cuka kurma bermanfaat mengatasi masalah limpa, membersihkan usus (membuang toksik di perut), menguatkan sistem perut (masalah buasir), menghilangkan masalah dahaga (panas badan), mencegah sebarang pembengkakan yang akan terjadi di tubuh manusia (seperti kanser, bisul dan sebagainya), membantu sistem penghadaman makanan yang kasar dan membersihkan darah manusia (darah yang beracun). Darul Kitab Al-Arabi, Bairut 1410 H, m.s 233.

CARA PEMAKANAN :-

Sebelum mengambil atau minum cuka kurma digalakkan agar:

1-Baca Bismilah serta selawat kepada Nabi SAW dan keluarga sebanyak 3x.
2-Di niatkan agar disembuhkan oleh Allah SWT kesemua penyakit yang dihidapi agar dapat beribadah kepada Allah SWT dengan sempurna.

Pelbagai cara boleh digunakan semasa pengambilan produk cuka kurma ini:

1-Satu sudu besar 10ml dicampur terus ke dalam secawan air masak dan diminum terus.

2-Digalakkan cara ini iaitu mencampurkan satu sudu besar 10ml cuka kurma dengan satu sudu besar 10 ml madu ke dalam secawan air masak. Pastikan anda menggunakan sudu plastik kerana madu agak sensitif dengan sudu besi.

3-Kombinasi cuka kurma dengan teh o /kopi pun boleh menghilangkan rasa masam cuka kurma tersebut .

4-Ia juga boleh digunakan sebagai gantian kepada cuka makanan buatan sebagai bahan masakan makanan harian. Cuka makanan buatan agak asidik sifatnya berbeza dengan cuka kurma.

Pengambilan disyorkan sebanyak 2/3 kali sehari.

Dipetik daripada http://tamankoperasibenabt8ijok.blogspot.com/2011/02/cuka-kurma-iran-minab.html

Tuesday, November 29, 2011

Hitam Berganti Putih

Perasaannya sama seperti pertama kali dulu. Berdebar-debar, diselang-seli rasa teruja. Tak sempat menjeling keliling. Hanya pandang lurus ke depan. Rasa belum yakin sepenuhnya.Snowy belum kukuasai seluruhnya. Kami masih dalam proses mencari keserasian.

Terasa rindu pula pada Blackie. Blackie yang telah sama-sama mengharungi susah senang menelusuri jalan-jalan kehidupan di kota KL ini. Blackielah yang mencetuskan inspirasi untuk memiliki sebuah blog. Dan Blackie telah menjadi sebahagian daripada blog ini.

Salam hormat untuk Blackie yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi. Langsung tidak pernah menyusahkan. Sentiasa ada untukku. Sentiasa memahami dan menenangkan. Semoga Blackie dapat meneruskan khidmat cemerlang kepada pemiliknya yang baru. Dan semoga pemiliknya menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Wednesday, November 23, 2011

Emosi Terganggu

Saya tak pasti apa signifikannya entri kali ini selain daripada menjadi satu lagi batu aras yang menghiasi liku-liku perjalanan hidup ini.Catatan yang sudah lama dibayangkan, namun hanya kali ini mampu mencatatkan, walaupun dada terasa sebu sesak menggarap sebuah cerita. Menukilkan satu perasaan.

Pedih mata bergelut dengan limpahan air mata sejam dua tadi nyata masih terasa. Saya selalu menyangkakan yang adalah sesuatu yang sukar untuk membasahkan pipi. Saya merasakan keras hati saya bisa menyekat seribu rasa yang mengharukan itu. Namun sebetulnya saya cuma mengalami sindrom penafian. Menafikan sesuatu yang saya takut untuk mengakui. Yang keras hati saya sudah lama menghilang, lalu mendedahkan seluruh perasaan untuk menanggung risiko merasakan apa yang saya enggan rasakan.

Sebetulnya saya masih menyalahkan diri saya. Merasa bersalah kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan lama dulu. Rasa terkilan kerana perancangan yang asal lepas. Yang akhirnya menghantui saya dan melontarkan diri dalam seribu penyesalan yang membekam jiwa. Sukar untuk meleraikan rasa yang menggigit tangkai hati.

Bila-bila terlintas di fikiran yang sepertinya saya telah gagal melaksanakan tugas seorang anak ...saya rasa sangat terganggu dan tersiksa.

Saya rasa bersalah kerana tidak berada di sana membantu ibu dan ayah pada saat-saat memerlukan begini. Hanya mendengar cerita melalui talian komunikasi tanpa mampu berbuat apa-apa benar-benar merobek jantung hati saya.

Saya terkenangkan rajuk ayah apabila rayuan kali pertama dan keduanya gagal. Saya terkenangkan hampir dia berputus asa apabila kami anak-beranak keluar masuk HKL tanpa kepastian. Sayalah yang memberikan dia harapan demi harapan. Sayalah yang menyakinkan dia yang dia pasti dapat pergi kerana saya sendiri tidak sanggup menidakkan impiannya walaupun saya akur yang kesihatannya semakin merosot.

Saya duduk mengarang surat rayuan yang panjang lebar untuk kali ketiganya. Merayu dengan sebenar-benar merayu. Alhamdulillah, Allah makbulkan. Kegembiraan ayah adalah sesuatu yang terlalu berharga. Saya sangat-sangat bersyukur. Gembira kerana dapat menggembirakannya. Berkali-kali dia menekankan yang dia mampu untuk menjalani ibadah di sana. Jangan risau katanya. Entahlah otak kosong saya pada masa itu langsung tidak terfikir hendak ikut sama atau sekurang-kurangnya memikirkan untuk menghantar saudara lelaki yang ada kudrat untuk membantu tika memerlukan. Kerana mungkin saya juga manusia biasa yang kerap kali mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Dan hari ini , berita yang saya terima adalah dia dimasukkan semula ke hospital sesudah keluar seminggu lalu.

Emak kata, kesihatannya semakin merosot berbanding dulu. Malahan ubat sedut yang selalunya membantu seakan tidak memberikan kesan lagi.

Saya teringatkan yang akhirnya ayah akur berhenti mendadak daripada merokok sesudah saya memberi kata dua. Saya berkeras memaksa. Dan ayah ikut. Semata-mata kerana ghairahnya dia mahu menginjak bumi suci Mekah.

Ayah kata, balik Mekah nanti boleh sambung balik. Saya tahu dia sekadar mengusik kerana tahu saya akan menjegilkan mata tanda protes.

Semalam, kata emak...ayah sebut nama Hisham dan Aiman. Ayah sebut nama Aidil. Ayah seru nama anak-anaknya satu persatu.

(Air mata saya tumpah lagi sewaktu catatan ini dibuat).

Ayah tanya emak, "Mana semua orang?"

Emak jawab, "Semua orang ada di rumah".

Ayah tanya lagi, "Kita bukan di rumah ke?"

Emak jawab, "Tak. Kita kat hotel ni. Kita kat Mekah".

Ayah diam.

Pagi tadi ayah tak sedarkan diri. Badan ayah makin lemah. Emak kata ayah tak lalu jamah nasi. Ayah dah seminggu tak makan. Ayah tak lalu nak makan. Langsung selepas itu, ayah di bawa ke hospital.

Saya teringat, kamera digital Olympus saya yang saya berikan padanya untuk dibawa bersama dulu, di saat-saat akhir dipulangkan.

Juga telefon bimbit.

Waktu itu semuanya sudah siap dikemaskan dalam beg. Ayah tak jadi bawa. Ayah kata tak payah. Tak payah ambil gambar.

Saya beritahu emak, saya sudah sampai tahap redha. Saya redha apapun jua yang Allah takdirkan. Saya sudah tunaikan hajat ayah. Saya tak menyesal.

(Tapi saya masih rasa terkilan...)

'Wahai Zat Yang Maha Berkuasa, kepada Engkaulah sahaja kami berserah'.

Monday, November 14, 2011

Sambil Lewa

Kan saya dah kata...dah agak dah...mesti jadi macam tu juga kesudahannya.

Tak percaya? Heheh...

Nak tunggu, bilalah agaknya kita akan betul-betul bertegas dan berpegang teguh kepada apa yang telah dipersetujui bersama.

(Yeah, rite...in your wacky dream!!!)

Ada satu benda ni, minggu lepas lagi patutnya deadline. Saya yang bercuti sepanjang minggu itu berusaha memastikan saya ikut deadline. Dan kawan-kawan pun saling mengingatkan. Semua orang mengejar deadline. Saya siapkan lebih awal dari deadline. Saya tidak mengharapkan pujian apa-apa, juga tidak terfikir akan dinobatkan sebagai ikon bulan ini...hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai anggota yang prihatin dan peka dengan keperluan organisasi.

Dulu, pun ada satu benda ini. Diwar-warkan dan dicanang-canangkan yang apa terjadi sekali pun, deadlinenya pasti tidak akan dianjak. Korang menangislah keluar air mata darah sekalipun, tetap tiada kompromi. Wahhh...saya terfikir, saatnya pasti akan tiba. Akhirnya. Maka hati jahat saya berkata, habislah korang yang tak ikut deadline...lain kali tirulah macam sayaaaaa!

Sekali, tiba harinya..."Tuan-tuan dan puan-puan, sukacita dimaklumkan tarikh untuk menghantar dot...dot...dot...kini telahpun dilanjutkan sehingga tahun depan..." duuuhhhh...korang pikir tengok sakit tak sakitnya hati ku ini...oh! Hehehe...

Jadi, bila trend yang sama macam hendak terjadi...saya segera mengatakan kepada diri saya, "kalau kali ini betul-betul ikut deadline...perghhh...kira dashyat lah tu...marbellessss!!!" dengan meletakkan kebarangkalian 50:50...owh...kita mesti bersangka baik maaaa!

Bila saya buka kotak emel pagi ini...tu dia aiihhh...hemmm...agak dah! Tak kesampaian lagi menantikan saatnya kita betul-betul mengotakan janji dan menaikkan mutu perlaksanaan. Benar, deadline itu dianjak juga kesudahannya. Untuk memberi peluang kepada siapa agaknya? Anak-anak bilis macam saya rasanya sudah lama melunaskan tanggungjawab...kitakan takut dengan hukuman manusia...duhhhh...pedih dowh!

Lepas itu saya lebarkan aplikasi ini keluar, mengapai perkara-perkara di ruang luas sana yang mengalami masalah yang sama. Banyak contoh yang boleh dipakai. Misalnya penguatkuasaan undang-undang jalan raya. Heh...cakap le berbuih-buih mulut sekali pun, berkajang-kajang akta diwartakan sekali pun...kalau asyik le bertangguh-tangguh dan lewa dalam perlaksanaan, buat gelak orang aje. Bayar saman pada hari terakhir pemberian diskaun? Jangan bimbang, bro, for sure ada extension...ahaks!!! Dan kes-kes lain yang lebih panas...dah berapa lama kita tunggu nak tengok tindakan lebih tegas ke atas pihak yang memainkan isu perkauman. Alih-alih tak ada juga, pasal tu lah pakat naik lemak. hahah...makan nasi lemak je la...Asal nak komen je, politik...asal nak bagi pandangan je, politik...maklumlah, sudah dekat-dekat mahu pilihanraya, semua nak jaga bagi nampak elok. Tak tahu yang di akar sana semakin membusung, bernanah!

Eh, ke situ pula saya. Hemmm...Puan Telipuk kalau dibiar berpolitik jadi apalah agaknya ya...hohoh...ya ampun, itu bukan bidang saya. Komen dari tepi gelanggang sahaja cukuplah.

Senyum. Tak perlu kata apa-apa.

Peace!

Friday, November 11, 2011

Bersangka Baik

Ini ada satu 'penyakit' yang banyak terjadi di kalangan kita.

Saya tak faham kenapa ada yang macam tak puas hati kalau orang (yang pada pendapatnya jahat dan banyak buat dosa) dapat pergi ke Mekah mengerjakan ibadah haji serta selamat pulang tanpa mengalami apa-apa kejadian. Dia berpendapat atau menyangka, dengan 'reputasi' orang ini, patut sangatlah dia menerima balasan bila mengunjungi tanah suci Allah. Maka kalaulah orang ini diuji dengan macam-macam hal, misalnya tiba-tiba semasa tawaf tu terjatuh dan kena serangan strok terus ke...maka, bolehlah dia kata..."haaa...tengok, kan sudah terbukti, dia ini jahat...maka sebab itulah Tuhan balas kejahatannya on the spot". Puas sangat hatinya kalau ada berita-berita macam ini.

Eh...awak sakit, tahu? Hati awak tu ada penyakit!

Sebab itulah kot ramai orang-orang kita ini, tak pasal-pasal takut hendak pergi Mekah. Nak tunggu enjoy dunia puas-puas lepas tu agaknya baru hendak bertaubat, barulah berfikir hendak pergi. Semuanya nak tunggu tua ganyut baru hendak pergi walaupun berkemampuan, duit berkepuk-kepuk dalam simpanan. Sebabnya? Takut sampai sana kena ujian. Takut nanti orang semua mengata kat dia. Takut dengan bayang-bayang sendiri!

Janganlah macam itu.

Saya berterima kasih kepada Prof. Kamil yang menulis buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang telah membuka mata fikir saya dengan bahasanya yang mudah dan santai. Seorang yang merasakan dirinya terlalu kerdil dan jauh dari Allah...namun berusaha menggapainya dengan kepercayaan teguh atas luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Ternyata, Allah telah anugerahkannya kehidupan selepas haji yang lebih baik tanpa mengira apapun yang telah dia lakukan sebelumnya. Yang pentingnya adalah keinginan dan kemahuan untuk berusaha menjadi hambaNya yang baik. Kerana Allah itu tidak memerlukan apa-apapun dari kita. Dia tidak perlukan kita pun. Namun kita sangat-sangat perlu kepadaNya kerana kita tidak akan mampu bertahan dengan dahsyatnya azab Neraka. Jadi, siapalah kita untuk menentukan kesudahan saudara-saudara kita walau sejahat dan sehina manapun dia pada pandangan kita kerana di pengakhirannya yang akan membuat penilaian adalah Allah S.W.T yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tulisan sebegini benar-benar membakar keinginan untuk mengambil tindakan yang patut agar dapat menjadi tetamu Allah, insyaallah, dalam keadaan diri yang masih kuat dan sihat ini. Insyaallah.

Berhentilah menilai buruk orang lain kerana kita tidak sebenar-benarnya tahu apa yang sebenarnya berlaku kepadanya atau apakah yang telah dilaluinya. Allah Yang Maha Mengetahui. Allahlah yang tahu apa yang ada , baik yang zahir mahupun yang tersembunyi. Ada baiknya kita mendoakan saudara-saudara seagama kita mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya untuk mereka kembali ke jalanNya bukannya kita menambah dengan caci maki dan nista.

Tentang perjalanan ibadah haji itu...mabrur atau tidak, terpulanglah kepada Allah untuk membalasNya. Siapa tahu kalau-kalau doanya Allah terima. Kerana sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat.

Firman Allah dalam Surah Al-Maa'idah. Ayat 40 yang bermaksud :

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan syariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Berhentilah bersangka buruk dengan orang. Tidak usah direnung semut di seberang sungai sedangkan ada gajah berdiri di depan mata masih kita buat tidak peduli.

Jaga diri, hiasi peribadi.

Thursday, November 10, 2011

Bual Bicara

Menarik sungguh program Salam Baitullah semalam. Sayangnya saya cuma sempat tengok sebahagian, alhamdulillah, bahagian yang menarik bilamana tetamu jemputan tidak ragu-ragu, tidak teragak-agak, menyeru kepada penyatuan ummah. Kita harus bersatu. Dan tunjang penyatuan itu mestilah Islam. Bukan atas tiket kebangsaan. Tidak mengapa kalau ada perbezaan di mana-mana, pokoknya, kita menyembah Allah yang Satu. Kita berpegang kepada kitab Al-Quran yang sama dan kita mengikuti,mencontohi dan mencintai pemimpin yang sama Muhammad Rasulullah S.A.W.

"Unity in Diversity"...sebagaimana yang ditunjukkan dalam perlaksanaan ibadat Haji. Betapa hebatnya. Bayangkan kalau umat Islam mempraktikkan apa yang dilakukan sepanjang mengerjakan ibadah haji dalam kehidupan sehari-harian. Di sana, tanpa mengira warna kulit, rupa paras dan darjat, masing-masing tunduk patuh kepada Rabbul Alamin. Semuanya sama rata. Pengalaman di sana mengajar bahawa majoriti yang bersatu akan menjadikan kelompok itu kuat. Selama 40 hari itu diajar untuk bertoleransi. Untuk menerima satu sama lain dan belajar menghormati perbezaan yang wujud. Ianya bukan suatu kelemahan, bolehjadi ia akan memberikan banyak kelebihan. Bila sudah ramai-ramai begitu berkolaborasi menjayakan ibadah menyembah Yang Satu, maka terlihatlah kesepakatan dan perpaduan. Yang tak rajin sembahyang sunat, tiba-tiba jadi rajin. Hatta jadi hairan kalau tak nampak muka di masjid. Masing-masing berlumba-lumba melipat gandakan amalan. Yang tak bertudung pun jadi bertudung sempurna. Sebab, rasa janggal kalau tak tutup aurat sedangkan yang lain semua menutupnya. Begitulah keadaannya. Orang akan rasa janggal, pelik dan tidak kena untuk mempersoalkan kumpulan majoriti yang seia-sekata.Mereka tak berani hendak kata yang bukan-bukan kalau semuanya bersatu. Tapi kalau kita terpecah, serpih sana, serpih sini...memang senang sangat dibuli. Dan malangnya, sesudah diasuh dan dilatih bersatu di bumi suci sana, bila pulang...kita kembali kepada tabiat lama. Kalau di Mekah boleh sembahyang di awal waktu, pulang ke sini dilengah-lengahkan waktu. Bertangguh-tangguh. Kalau di Mekah, bersemangat sembahyang berjemaah tak tinggal, balik sini masjid yang sekangkang kera itupun jarang dijengah. Maka malanglah, kerana masing-masing buat hal. Buat hal sendiri-sendiri. Macam yang selalu orang dok kata, I punya kubur...I punya pasallah! Amboi...suka-suka je sebut kubur macam tempat melepak jer bunyinya.

Dan di Salam Baitullah semalam itulah saya tertarik dengan perbincangan konsep perpaduan ini yang seharusnya diterapkan kerana umat Islam sekarang hidup berpecah-belah. Sedangkan Islam mengajar sebaliknya, harus bersatu. Sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Imran, ayat 103 yang bermaksud, " Berpeganglah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah (yang diberikanNya) kepadamu, ketika kamu dahulu telah bermusuh-musuhan lalu dipersatukanNya hati-hati kamu sehingga kamu menjadi bersaudara di atas nikmatNya. Dan adalah kamu di atas pinggir lubang neraka, lalu Allah melepaskan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, mudah-mudahan kamu menerima petunjuk".

Itulah kunci kemenangan umat Islam. BERSATU & BERPEGANG TEGUH DENGAN AGAMA ALLAH. Kalau bersatu atas sebab-sebab lain, bersatu atas dasar kaum dan kepentingan politik, percayalah , ia tidak akan berhasil.

Betul seperti kata ahli panel Salam Baitullah itu semalam, kita tidak punya banyak masa. Dan kita tidak punya alasan untuk tidak mahu bersatu. Kita sudah mula dikeronyok dari segenap penjuru. Kalau kita masih dengan sikap tak apa dan biarlah, janji tak kena kepada kita...tidak mustahil dan memang sudah terjadipun, Islam akan kembali menjadi dagang, sama seperti saat ia mula datang dulu.

Tahniah kepada penaja program dan tenaga produksi Salam Baitullah di atas perbincangan yang menarik seperti itu. Kebetulan saya sempat juga tengok program bual bicara TV Al-Hijrah berkenaan agenda di sebalik penganjuran Seksualiti Merdeka. Perghh...perbincangan yang sangat mantap! Sangat-sangat suka dengan ketelusan perdebatan. Sesuatu yang saya tak pernah terfikir akan lihat di kaca TV. Tahniah juga kepada Al-Hijrah.

Mudah-mudahan akan tiba masa dan ketikanya yang kita semua sama-sama nantikan. Insyaallah.

Wednesday, November 09, 2011

Dipenjara Nafsu

Betullah tu...mana ada kebebasan yang betul-betul lepas bebas. Tak ada. Hatta alam pun ada peraturannya, inikan pula kita manusia. Tak payahlah hendak dipersoalkan lagi. Terpulang kepada Maha Pencipta. Begitu diciptakanNya. Siapa kita untuk bersikap kurang ajar? Bercakap macam kitalah pemilik jiwa raga dan kitalah yang menentukan segalanya. Bercakap macam tak pernah tahu wujudnya Tuhan.

Semuanya berbalik kepada tujuan asal penciptaan manusia. Mengapa Allah menciptakan manusia? Untuk apa? Untuk dibiarkan lepas bebas tanpa sebarang tanggungjawab? Terbang bebas macam layang-layang terputus talinya? Kehidupan yang tanpa pedoman. Tanpa peraturan. Tanpa batasan. Itukah yang dinamakan kebebasan? Kalau begitulah kebebasan yang diburu, apa bezanya kita dengan haiwan? Haiwan begitulah...buat apa sahaja kerana ia tidak punya akal. Ia bebas berbuat apa sahaja. Harimau boleh membunuh rusa bila-bila masa tanpa perlu risau akan dosanya. Anak kucing jantan boleh sahaja membesar dan kemudian menjadikan ibunya sebagai 'bini' tanpa perlu berhadapan dengan tentangan daripada masyarakat kucing. Tak ada masalah. Haiwan tidak perlu bertanggungjawab dengan perlakuannya jadi buatlah apa sahaja, tidak ada istilah dosa dan pahala padanya.

Jadi, kita yang konon bertamadun dan maju serba serbi ini sedang menuju era kebinatanganlah nampaknya...

Hawa diciptakan untuk menjadi pasangan kepada Adam. Lalu untuk kesejahteraan hidup manusia dan tanda kebesaranNya diturunkan Al-Quran sebagai pedoman menerusi RasulNya yang menerangkan dengan lebih jelas peraturanNya. Dijelaskan peranan lelaki sebagai pemimpin (ketua keluarga). Dan wanita sebagai isteri yang melahirkan zuriat keturunan. Kemuliaan wanita terjaga dan terpelihara oleh Islam. Lalu diperkukuhkan institusi asas ini dengan peraturan-peraturanNya. Dan nikmat yang mana satukah hendak kita dustakan?

Tetapi entah macam mana...di zaman serba moden ini ada pula yang merasakan peraturan ini sesuatu yang mengongkong lagi menindas. Kelompok-kelompok aneh ini telah semakin berkembang biak, menagih pengiktirafan. Atas nama kebebasan. Mereka rasa tertindas dengan persepsi masyarakat dan tindak balas masyarakat. Mereka mahukan ruang untuk hidup aman damai macam manusia lain. Jadi, tak mengapa kalau Ali tidak mahu berkahwin dengan Gayah kerana Ali tidak ada perasaan kepada Gayah. Cinta Ali hanya kepada Abu dan masyarakat harus faham situasi Ali. Kesian sebab jiwanya yang terbelenggu. Kerana hakikatnya, dia perempuan yang terperangkap dalam badan lelaki...euwww...kamu fikir Allah itu apa? Apakah Dia bisa membuat kesilapan seperti kita? Hakikatnya, Ali dan Abu tak mahu fikir tentang peraturan-peraturan yang sudah Allah tetapkan. Kerna menuruti hawa nafsu itukan lebih enak? Ali dan Abu hanyalah satu contoh penyatuan yang terlarang dan gambaran betapa seriusnya kegagalan akidah dan iman berfungsi dalam diri umat masa kini. Apabila hanya akal digunakan untuk membuat pertimbangan, maka semakin membuak nafsu bermaharajalela kerana iman semakin terpinggir. Sedangkan iman sepatutnya memandu akal agar jelas terlihat yang benar dan salah.

Mungkin mereka terlupa dahsyatnya azab yang menimpa kaum Nabi Lut.

Ingatlah betapa pedihnya balasanNya. Janganlah terlalu menurutkan kemahuan diri kerana ianya hanya valid di dunia yang sementara ini. Kepuasan yang diperolehi hanya sebentar sedangkan azab menentangNya kekal selama-lamaNya , nauzubillah.

Mungkin definisi 'merdeka' itu patut diubah. Merdeka yang bagaimana? Kalaulah diri masih saja terpenjara oleh kemahuan nafsu semata...dan diri tidak berupaya menentangnya, sebaliknya tunduk kepada kemahuan serakah sedangkan tahu bagaimana pincang dan haru birunya masa depan...ternyata kamu pejuang yang tewas dan tidak mungkin 'merdeka'!

Seminggu Menyeri Rumah

Hakikatnya, saya sama juga seperti surirumah yang lain. Berpagi-pagi ke pasar. Membeli ayam, membeli sayur...sama-sama menatang bakul plastik kecil, berebut-rebut mengisinya dengan bawang merah, kentang, halia dan err...sup bunjut! Rasa seronok, berbeza sebenarnya membeli di pasar (wet market) dengan membeli di pasaraya besar.

Bila menjadi surirumah, ada-ada sahaja benda yang hendak dilakukan. Dalam pada meneguk air untuk menghilangkan dahaga, mata terpandang akuarium ikan puyu. Aisey...belum bagi makan. Cepat-cepat tangan mencapai bungkusan makanan ikan tropika. Belum reda puyu berloncatan, terpandang pulak bakul kain baju yang belum bersidai. Ampaian di balkoni boleh tahan penuh. Kena angkat jemuran dulu sebelum digantikan dengan kelompok baru heheh...lantai pula mula terasa melekit, hemmm...nak kena mop lepas ni. Dalam ke hulu hilir, keluar masuk dapur...tersedar beg pasar tadi belum bersentuh. Nak kena keluarkan ayam ni. Sekilo ayam kat pasar sini RM7.50. Hemm...bolehlah, kan? Tadi habis dalam RM30 sahaja...eh..orait la tu, ye tak? Kalau masuk pasar besar, jangan haraplah angkanya puluh-puluh...entah apalah yang diangkut masuk troli tu...nafsu...nafsu...

Tapi yang pastinya, dalam sibuk menguruskan rumah...lap top saya ternganga atas meja. Lemas sebenarnya bercuti dan berada di KL. Dan mengetahui yang ada banyak kerja-kerja pejabat yang masih perlu berjalan. Ada tugasan yang perlu dibereskan. Jadi, perasaan risau dan hendak mengambil tahu banyak perkara itu menjadikan percutian ini sesuatu yang mengusarkan. Perasaan bersalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi sebetulnya, saya juga tak mampu mengelak daripada mengambil cuti. Minggu ini giliran saya. Berselang-seli dengan suami menjadi 'bibik' bak kata Aiman. Cuma yang tak best tu tang perasaan rasa 'bersalah'. MS Outlook pulak buat hal...lagilah terasa terpencilnya hidup. Aduhai Telipuk...berbaik sangka dan berfikiran positiflah. Insyaallah, rakan-rakan seperjuangan sangat memahami dan mereka tak ada masalah menangani tugasan yang ada tanpamu. Kenapa ek risau sangat...??? Kan bagus kalau risaukan keselamatan di akhirat macam ini...ini tidak, balik-balik dunia jugalah yang mengisi kotak fikiran. Bukan...bukan macam tu, saya ni risau kalau-kalau disebabkan saya bercuti ini, menyusahkan orang lain pulak...saya tak kisah yang bab kerja tu, tapi saya risau hubungan dengan orang. Manalah tahu kan ....hah...hah...dah mulalah tu, suka sangat cipta senario entah apa-apa...:). Alhamdulillah, saya sudah siapkan dua tugasan saya...heheh...cuma tinggal untuk perkara-perkara yang memang rakan2 sejawatan sudah tahu bahagian masing2. Cuma kalau boleh saya ingin sama-sama berkongsi sukarnya membuatkan orang lain memahami keperluan kita dan seterusnya melunaskannya tanpa perlu berdolak-dalik. Tak mudah sebenarnya mengkoordinasi untuk sebuah syarikat sebesar ini. Banyak orang, banyak ragam. Saya doakan urusan teman-teman saya di pejabat dipermudahkan Allah, supaya kita punya ruang untuk mengingatiNya dan tidak semata-mata menjalani hari dengan bebanan tugasan kerja duniawi sahaja.

Oppsss....apa saya buat ni, masih menaip di blog sedangkan ada sekian banyak kerja yang menjerit-jerit memanggil pinta dilaksanakan. Entahlah, mungkin bila mod surirumah serba boleh itu saya aktifkan, makanya, empangan idea untuk penulisan blog yang tersekat kebelakangan ini telah melimpah-ruah...hahaha...

Di mana-mana pun kita, berusahalah memberi yang terbaik dalam apa jua peranan, walau sekecil manapun pada pandangan orang...yang penting, ikhlas dan amanah dalam tugasan yang diberi, ya? Gambatte ne...!

Tuesday, October 25, 2011

Keliru

Saya selalu memberitahu diri saya supaya memberi yang terbaik, bukan hanya untuk kepuasan diri sendiri tetapi juga kerana saya tak mahu orang lain susah disebabkan perbuatan saya. Banyak keadaan saya terima sahaja kesusahan yang disebabkan oleh orang lain, yang mungkin tak terfikir pun akan kesan dan akibat yang tempias kepada saya. Tak mengapa, janji bukan saya yang menyusahkan orang. Kalau terjadi pun, barangkali atas dasar salah faham atau sesuatu yang tidak saya duga. Seboleh mungkin saya akan cuba mengelak.

Hari ini nampaknya saya tak dapat mengelak. Terus terang cakap, saya pun tak tahu apa nak fikir. Bukanlah niat saya hendak menyusahkan siapa-siapa tetapi ada ketikanya saya pun 'blurrr' jugak! Sebenarnya saya tak kisah kalau hasilnya gagal kalau sememangnya saya telah berusaha dan memberikan yang terbaik. Biasalah, hukum alam! Cuma yang menjadi masalahnya ialah kalau...errr...kalau kita tak tahu samada kita patut 'all out' atau tidak? err...kalau sekiranya saya tak mahu? Hehehe...Macamana ye nak cakap???

STOPPPP!!!

Masa semakin mencemburui. Saya tak mahu mula berfikir sebab kalau saya mula sekarang, saya akan menjadi lebih rungsing. Time to put a dot. Nasihat saya untuk diri saya sendiri, yang siang akan jadi malam...yang malam akan jadi siang...hari, masa akan terus beredar. Samada saya mahu atau tidak, saya perlu tempuhinya juga. Tahu-tahu esok sudah cuti pun. Yeahooo...fikirkan yang ianya akan tetap berlalu. Cara dan bagaimana saya menghadapinya rasanya saya boleh tangani tanpa memalukan diri sendiri dan sesiapa yang berkenaan, insyaallah...dan apa jua keputusannya, itu bukan masalah yang patut saya fikirkan sekarang dan lagi itu bukan hak saya pun untuk memutuskan.

Saya serahkan segalanya kepada Dia Yang Maha Mengetahui, yang tahu apa yang terbaik untuk saya.

MODE PASRAH : activated!

Friday, October 21, 2011

Un'sangka'rable

Ada satu benda yang memberi kesan kepada saya minggu ini. Sesuatu yang membuka fikiran dan mata hati.

Tentang yang dimaksudkan dengan 'anak-anak yang soleh'.

Apabila mati seseorang anak Adam, maka, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu :
1. Sedekah dan amal jariah
2. Ilmu yang bermanfaat
3. Doa daripada anak-anak yang soleh

Kalaulah kita ini kurang sungguh yang 1 dan 2, tentulah kita akan sangat-sangat berharap pada yang ke-3. Namun, kefahaman selama ini selalu membuatkan diri berfikir, "aiyooo...boleh ke?". Kalau anak tu biasa-biasa sahaja, sembahyang pun buat asal siap...macamanalah hendak meletak harap.

Dalam kuliah Rabu lepas, ustaz cakap, ada sesetengah ulama menafsirkan 'anak yang soleh' sebagai anak yang berbakti/membuat kebaktian kepada ibu dan bapa. Makanya, doa mereka ini Allah terima.

Tidak semestinya mereka ini lulusan Al-Azhar. Tidak semestinya mereka ini sembahyang di sepanjang malam dan menghafal Al-Quran. Tidak.

Wah...kalau macam itu agak cerahlah ruang dan peluang kita mengaut amal anak yang soleh, kan? Insyaallah...itulah tanda luasnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya. Diberi juga cara demi cara supaya hamba-hambaNya dapat menempa kehidupan yang sejahtera di akhirat sana.

Yang membuka mata saya itu, apanya?

Bahawa saya jangan memandang buruk pada orang yang saya sangka tak baik. Biarlah dia tak sembahyang atau tak pandai mengaji Al-Quran pun. Biarlah kalau seumur hidupnya sehari berpuasa pun tak pernah. Tetapi, tengoklah, betapa dia anak yang sangat menghormati dan mengutamakan ibu dan ayahnya. Sepatah pun tak pernah membantah cakap ibunya. Sedikit pun tak pernah membuatkan ayah dan ibu berduka. Amalannya dengan Allah, dia boleh bertaubat pada bila-bila masa dan Allah Yang Maha Pengampun boleh ampunkan dosanya hatta sebanyak buih di lautan sekalipun. Tetapi kalau berdosa dengan ibubapa?

Demikianlah saya merasai terpukul dengan perasaan kononnya amalan saya lebih baik...padahal hati saya masih busuk dan kotor. Astaghfirullahalazim...

Aku mohon keampunanMu, Ya Allah...

Aku & Oktober

Betapa cepatnya masa beredar. Lelah rasanya mengejar. Sehari jadi seminggu, seminggu jadi sebulan, sebulan jadi setahun...oppsss...bertambah lagi setahun usia. Usia di atas bumi yang bertambah itu juga menunjukkan semakin kurangnya masa yang tinggal untuk menikmati kesenangan dunia. Semakin dekat jalan menuju penamat yang belum tahu bila, tapi dengan pastinya, akan tiba jua.



Saya tak takut menjadi tua. Cuma saya sedikit risau kerana rasanya dalaman saya masih macam dulu saja...heheh...tambah pula dikelilingi kawan-kawan yang juga 'berjiwa muda'. Hahah...kadang-kadang nak tergelak pun ada. Perasaan hendak menyakat...perasaan hendak buat lawak...yang kadang-kadang macam zaman belasan tahun dulu masih ada. Macamana tu ye? Ambil je la Rosebud sebagai contoh...masih 'bobok' walau sudah berdekad-dekad meninggalkan zaman persekolahan, kan? hahaha. Tapi sesungguhnya, saya sangat bertuah dikelilingi kawan-kawan yang 'sporting' macam kalian.

Syukur alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana peluang yang masih ada. Saya berdoa mudah-mudahan lancar segala urusan hidup saya, sekadarnya untuk apa yang masih bersisa bagi bahagian saya di muka bumi ini dan berlebih-lebih, insyaallah, untuk bahagian dunia yang akan menunggu di sana nanti. Doakanlah semoga saya tetap dan teguh dalam mengharungi dugaan hidup, biarlah apapun yang mendatang semakin mendekatkan saya kepada Dia, bukan semakin jauh.

P/s : Thank you BGA for the thought...that is so sweet of you!

Friday, October 14, 2011

Pantun Rasa Terbuang

Dedikasi khas untuk rakan-rakanku yang sedang seronok menginjak pasir putih di pantai Cherating sana...

Jauh bermenung bukan berangan
Hati terusik disapa sunyi
Jauhlah sudah Tuan tinggalkan
Saya di sini ternanti-nanti

Sungguhpun Tuan jauh di mata
Ingatan di hati kukuh tersimpan
Belumlah sampai khabar berita
Sudahkah saya Tuan lupakan?

Tuan di sana riuh bersenda
Saya di sini mengulit rajuk
Sendirian di sini berteman tiada
Menanti Tuan datang membujuk

Jangan gelisah dijentik bersalah
Tiadalah saya melayar lara
Bukan sengaja mengundang resah
Hanya sekadar meluah rasa


Begitulah sesekali bila alam keliling terlalu sunyi...
Hanya kedengaran bunyi air-cond yang menghantar sejuk nan mencengkam...hehehe

Bakal...

"Kita adalah bakal-bakal jenazah" begitu bunyi tulisan di dinding Facebook seorang kawan. Apa rasa anda? Ada sesiapa yang boleh menafikan dan menolak kenyataan itu? Dah sah-sah tak ada, sebab, itu adalah sesuatu yang betul. Sangat-sangat benar. Bukankah tiap-tiap sesuatu yang bernyawa itu akan merasai mati? Hanya tinggal kita ini menunggu masa dan ketikanya sahaja. Menunggu giliran kita. Kalaulah ditangan kita ada nombor giliran, agak-agaknya berapalah nombor giliran itu, ya? Cubalah bayang-bayangkan...

Okay, sekarang kita semua tahu dengan pasti yang kita akan mati suatu hari nanti. Kita akan tinggalkan apa yang kita usahakan selama hayat kita di dunia ini. Harta benda yang kita kumpulkan dengan susah payah. Pangkat dan darjat yang kita bina dengan usaha yang bukan sedikit. Segala-galanya...satu pun tak ada yang boleh kita ambil.

Tapi...walaupun dengan mengetahui segala hakikat itu...kita masih juga mahu berhempas pulas memastikan yang kenikmatan duniawi ini kita dapatkan. Betul?

Saya pernah dengar orang kata, dunia dan akhirat ini kena diseimbangkan. Ustaz saya kata, itu salah. Salah kalau kita samakan kedudukan dunia dengan akhirat kerana sesungguhnya dunia itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah tempat persinggahan sementara untuk menguji keimanan manusia dan ia tidak punya nilai sedikitpun di sisi Allah S.W.T.

Teringat saya pada suatu iklan ini. Seorang anak muda yang berusaha hendak membuatkan ayahnya bangga dengannya menerusi sukan bola sepak. Dia akhirnya menjadi anak watan pertama menyertai pasukan bolasepak ternama dunia dan menjaringkan gol dalam perlawanan yang mengundang sorak sorai dan keterujaan semua warga negara. Si ayah pun menitiskan air mata kegembiraan dan terharu dengan kejayaan anaknya.

Ia satu iklan yang mudah jalan ceritanya. Lengkap segala elemennya. Diceritakan dalam tempoh yang pendek. Padat dan tepat. Tetapi nilai dan pengajaran yang hendak diangkat itu tentulah jauh bak langit dan bumi kalau kita melihatnya dalam perspektif memenuhi peranan sebagai Khalifah, tujuan manusia dan ke mana manusia akan pergi.

Alangkah baiknya kalaulah semangat membara untuk mengapai kejayaan dunia itu diaplikasikan sama untuk memburu tempat yang terbaik di akhirat sana. Kita harus cemburu dengan insan-insan yang tidak pernah sedetik pun alpa dalam mengingati Allah, kita harus meniru insan-insan yang kerjanya adalah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah amalan, harus teruja mengaut pahala dan harus berlumba-lumba dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan.

Malangnya, kita tidak buat. Atau, hendak buat...cumanya berasakan perjalanan masih panjang lagi. Yakin yang kita sempat kejar. Jadi kita rasa sedap perut dengan kata-kata, "Allah itukan Maha Penyayang...Maha Pengampun". Tapi kita tahukah lama mana pintu taubat akan terbuka?

Yang pastinya...jangan lupa kita adalah bakal-bakal jenazah. Buatlah sesuatu sebelum nombor giliran kita naik. Sementara kesempatan untuk beramal masih ada. Bersegeralah!

Friday, October 07, 2011

Menghitung Hari

Mak saya tinggal dengan saya baru genap 3 tahun, tapi dia dapat lebih ramai kawan berbanding saya yang sudah menghuni di sini sejak tahun 2005. Mak kenal baik dengan cleaner yang juga tukang kebun, tukang ambil upah cuci kereta dan pelbagai pekerjaan lain ikut permintaan di sini. Pak janggut dari negara Bangladesh itu sudah jadi macam adik-beradik angkat pulak. Mak siap tahu nama dia, nama dia Idris. Setiap pagi tak pernah cuai solat Dhuha. Baru-baru ini bila kami balik kampung, Idris siap pesan minta bawa balik bekalan sirih dan pinang dari kampung. Huh...cukuplah bekalan Idris sebulan dua ini. Tersengih-sengih dia!

Itu Idris.

Mak juga bukan setakat kenal dengan mak, bapak jiran sebelah tetapi juga pembantu rumah sebelah yang silih berganti. Malahan mak sudah jadi tempat pembantu rumah itu mencurah rasa. Sekarang ini, yang ke-9, juga semakin ramah menegur mak. Seperti biasa kata mak, "Baikkkk budak tu...".

Sebab mak juga, kami sekeluarga sudah mesra dengan jiran tingkat 1. Hahah...tak pasal-pasal che' abe dapat kerja sambilan, pengumpul barang-barang kitar semula. Panjang ceritanya. Ingat lagi betapa tak keruannya mak bila jiran tu meletakkan dua karung botol plastik dan tin aluminium depan pintu. Ayah dah marah-marah sebab risau menantu nanti berkecil hati. Mundar-mandir mak nak selesaikan masalah. Dia dah plan nak heret karung tu ke tong sampah. Eh...nanti apa pulak kata jiran bila nampak? Tak sudi le pulak! Haru! Haru! Tapi che' abe balik dan gelak aje..."Tak apalah, abang tak kisah...boleh kumpul sekali dengan barang-barang kita dan drop by ajelah bila lalu Jalan Gombak tu..." Heheh...inisiatif bumi hijau pun bermula!

Tapi seterer-terer mak, tak dapat juga solve misteri jiran tingkat 2...hahaha...tapi bermula sekadar senyum, la ni dah boleh angkat-angkat tangan dah...heheh...lawak juga.

Yang best tu, jiran blok sebelah pun mak dah kenal mesra. Siap tahu apa kereta orang tu pakai, selalu keluar pukul berapa dan apa kerja dia . Dengan driver van Hisham pun boleh bertukar-tukar kuih...ngkaauuu!

Sebab itu sekarang tak pasal-pasal mak lemas...heheh...mahunya tak, semua orang dah sibuk dok tanya "Bila mak cik nak ke Mekah? Dah dapat tarikh ke?". Orang tengah menunggu ni, makin lama, makin berdebar ye tak? La ni dah makin tak sabar je rasanya.

"Apa nak jawab kat jiran sebelah tu ye? Hari-hari dok tanya mak..." Mak mengadu semalam.

"Alah...mak kata je nak pegi 20hb..." memandai je Aku menawarkan jawapan.

"kang tak pegi jugak, dia ingat apa pulak..." tak berapa nak setuju le tu.

"Tak pe la , mak...dah call TH katanya dalam pertengahan minggu depan , insyaallah, jadual penerbangan dari Bayan Lepas dah keluar...lagipun orang memang nak hantar mak balik weekend tu. Kira mak dah tak jumpalah diaorang ni semua...ok apa..."

Hehehe...

Mak...mak...

Aku memang kagum dengan mak Aku ni sebab dia sangat baik dengan orang. Tak pernah nak buruk sangka. Semua orang pun baik je pada dia. Sebab tu Aku tengok, dan Aku percaya yang insyaallah, di mana-mana pun mak boleh bawa diri dan sesuai dengan semua orang. Murah rezeki dia...hemmm...sebelum cuti maternity lagi, Mek Da dah kirim dua mini telekung. Lotuslily pun ada barang nak kirim. Kawan-kawan Aku yang selalu merasa masakan mak pun dok tanya-tanya khabar. Dengan ingatan dan doa kalian, insyaallah, mudah-mudahan senang urusan mak ayah di sana nanti.

Sama-samalah kita doakan, ye...

Terima kasih semua.

Thursday, October 06, 2011

Mencari Salah

Ada banyak benda yang berlaku di sekeliling saya yang ada terlintas hendak dicatatkan di sini. Antaranya tentang album Inggeris pertama penyanyi nombor 1 negara, Siti Nurhaliza. Walaupun saya bukan peminat (eheh...) , saya tak dapat tidak berasa geram dengan beberapa kritikan yang ditujukan kepada usaha SN menyanyi lagu-lagu Inggeris. Kritikan yang tak perlu dan langsung tidak membina.

Saya tidaklah hendak ulas satu-satu...cuma saya tak faham dengan tujuan kita mempelajari dan bercakap bahasa Inggeris itu. Adakah seseorang itu hanya dikira layak menyanyi atau bercakap Inggeris hanya setelah lidah dan sebutannya betul-betul ikut lidah Inggeris? Kalau ada bunyi kemelayuan, kita gelakkan dia. Kalau grammer dia salah...pun kita gelakkan dia dan anggap dia belum layak. Patutlah orang kita payah nak maju.

Untuk orang lain yang betul-betul mahu kuasai macam orang putih sejati tu...terpulanglah...tapi bagi saya, bahasa hanyalah medium komunikasi, perantara untuk berhubung...asalkan tujuan dan maknanya dapat kita fahami, saya rasa tujuan bahasa dan objektifnya sudah pun tercapai. Lagipun muzik adalah sesuatu yang universal. Ramai yang tak faham pun Bahasa Korea tapi trend sekarang budak-budak muda gila betul dengan k-pop ini. Tak pula menjadi isu. Kiranya, walaupun misal kata nyanyian SN itu telor Melayu, sepatutnya tak ada masalah pun untuk menghargai irama yang digubah dan nyanyian yang didendangkan.

Saya teringat seorang brader ni. Dia senior saya. Masa tu kami masih di Matrikulasi. Memang tergagap-gagap dia berbahasa Inggeris. Tapi dia memang tak mengalah dan 'berani mati' orangnya. Yang best tu, dia siap pergi masuk Persatuan Bahasa Inggeris dan sibuk juga nak masuk pertanding berdebat, syarahan, puisi dan sebagainya yang menggunakan bahasa Inggeris. Pada awalnya memang saya pun pejam mata, sebab kesian bila dia diketawakan. Tapi dia memang hebat. Sikit pun tidak ejekan dan sindiran yang dilontarkan itu membekas kepadanya. Tak lut kata orang. Kata Aku, kebal! Memang kental semangatnya, malah cemuhan itu menjadi pemangkin untuk dia berusaha dengan lebih gigih membuktikan dia mampu. Dia lulus dengan cemerlang! Akhirnya penguasaan bahasa Inggerisnya jauh lebih sempurna daripada mereka yang pernah mentertawakannya dulu.

Mujurlah dia kuat. Tapi ramai yang tak sanggup buat macam itu. Saya pun tak sanggup. Sebab tu saya masih di sini...hahaha...tapi tak kisahlah, saya tahu apa yang saya mahu dan ingin capai dalam hidup saya. Boleh gitu???

Berbalik kepada kisah Siti tadi, harapnya semangat berkarya beliau tidak luntur dek komen-komen tak membina yang diterima. Kalau saya yang bukan seorang peminat pun boleh rasa simpati, apatah lagi yang mengaku peminat. Oh...isunya bukan SN, isunya lain weiii.

Serius!

Bila terjadi perkara ini kepada SN, semakin bersuluhlah isu-isu berkaitan bahasa ini (dan isu-isu lain berkaitan bangsa). Masalah di Malaysia ini, yang merencatkan kebolehan penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak kita antaranya ialah dek sikap suka mencari kesempurnaan (sesetengah aspek tak pulak!) dan suka merendahkan orang lain. Yang nak belajar, memang perlukan kekuatan untuk mempraktiskan bahasa yang cuba dikuasai kerana sokongan di sekeliling amatlah lemah. Mereka hanya akan sokong bila anda dah betul-betul 'perfect' berbahasa. Masa bertatih tu pandai-pandailah bawa diri.

Ataukah memang begitu perangai buruk orang-orang kita? Buat itu kena kutuk. Buat ini pun kena kutuk juga. Patutlah dok terperuk di takuk lama juga. Susah hati tengok orang senang dan senang hati kalau ramai yang susah. Kalau benda itu Aku tak boleh buat, tak boleh dapat...kau pun sama patut tak boleh buat dan tak boleh dapat. Jadi, sebenarnya isunya bukanlah isu bahasa sahaja, bukan?

Hemmm...

Friday, September 30, 2011

September 30

Kheelllaaassss ko Telipuk...topik pun letak tarikh ja...ahaks...

September dah menghujung, tapi seolahnya seperti segalanya baru sahaja bermula. How I miss my blogging activity...gambar-gambar yang belum sempat dimuat turun, entahkan bakal menghiasi catatan Oktober, atau tak akan muncul langsung? Semuanya ikut keadaan semasa nanti. Insyaallah, bukan tak teringin menulis panjang, tapi bila macam-macam ada bercampur gaul dalam minda...tak best! Menulis ini perlu bersunyi-sunyi, baru ada umpphhh...

Penerbangan pertama jemaah haji sudah bermula semalam. Insyaallah, masih menunggu tarikh penerbangan untuk mak dan ayah. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Saya tinggalkan doa ini, yang kita baca ketika duduk tahayat awal, beserta maknanya...buat menutup catatan September blog ini.



Semoga bermanfaat.

Wednesday, September 28, 2011

Bior Benor

Anda tahu anda sibuk bila...

1. Best friends dok rancak berborak kat depan, anda boleh buat muka 'blur'...

2. Asyik tersalah quote aje...orang cakap lain, anda maksud lain...itulah tanda your mind has been occupied.

3. Komitmen terserlah...member ajak minum petang pun, tetiba je menolak...hahaha

4. Ter'miss' kelas Ustaz...alangkah ruginya diriku ini

5. Makin kerap terlepas solat jemaah di surau utama

6. Tak sedar masa berlalu...haaahhh...dah pukul sebelas malam...paper tak buat lagi!!

7. Sedar-sedar eh...eh...esok dah Khamissss???

8. Terlupa kata laluan Facebook

9. Eh...eh...dah kawin ye si Memey tu...hahaha tak ikut perkembangan artis!

10. Aku dah makan ke tadi? Awat lapor je rasa....

11. Blog sudah mula berhabuk! Entry less than 10...bior benor...heheh

Muhasabah...muhasabah...muhasabah lagi...(bila-bila terasa diri semakin jauh...)

Monday, September 26, 2011

Sibuk

Sibuk?

Sangat sibuk. Tapi segan nak mengaku sebab bukannya sibuk apa sangat. Sibuk dengan urusan dunia aje pun. Itu yang pelik tu kan, yang buat kita sibuk ialah hal-hal dunia. Sibuk nak siapkan deadline dunia. Pening sebab orang tak nak beri kerjasama untuk selesaikan hal-hal dunia.

Tak pasal-pasal sakit hati dan terbungkam jiwa melayan perselisihan yang disebabkan kerja-kerja dunia. Dunia yang tak ada sikit nilai pun. Yang Allah kata, nilai sebelah sayap nyamuk punnnn tak ada. Tapi itulah yang kita sibuk-sibukkan.

Baca Quran ke mana?
Janji nak mula menghafal pun entah ke mana.
Ingat nak baca lebih buku-buku agama pun belum terlaksana.
Nak ajar anak-anak macam-macam kalau boleh, satu pun payah!

Nak bagi alasan apa kalau Allah tanya?

Ko boleh jawab ke Telipuk???

Monday, September 19, 2011

Ceritera Putrajaya

Terasa agak lama juga tidak berkesempatan untuk mengemaskini KLtraffic. Memang ada banyak aktiviti yang mengambilalih tumpuan kali ini. Minggu lepas di pejabat, terikat dengan aktiviti konsultasi yang sememangnya sudah dijadualkan awal lagi. Lepas tu pulak seronok beraya di majlis Aidil Fitri pejabat. Hujung minggu tadi, berulang-alik ke Putrajaya, dan sempat juga menyelitkan satu kunjungan raya ke rumah Sirapmadu di Bukit Jalil.

Oh ya, yang pasal aktiviti di Putrajaya itulah yang saya hendak kemaskini di sini. Boleh dikatakan, saya terlibat secara langsung dengan setiap urusan haji emak dan ayah. Sekarang ini semakin hampir ke kemuncaknya. Mereka baru selesai menjalani Kursus Haji Perdana, Sabtu dan Ahad lalu di Masjid Putra, Putrajaya.



Bagi saya, inilah masa dan peluangnya mengacukan kamera merakam antara monumen cantik di bandar pusat pentadbiran negara ini. Bukan selalu peluang macam ini datang, saya pasti saya tidak sampai ke sini kalau tiada keperluan. Jadi, walaupun cuaca sungguh terik dan menyilau, ia tidak menjadi masalah buat saya.



Cabaran kami bermula apabila mendapati jalan masuk ke Masjid Putra ditutup untuk lalulintas bersempena kursus haji tersebut. Kerana menyangka yang kami ini cuma hendak menghantar, bukan hendak lama letak kereta, maka tentu ada keringanan, menyebabkan kami terus memandu ke sana tanpa sebarang pelan kontigensi. Apabila tidak dibenarkan masuk, kami yang tak tahu jalan lain ke situ (sebenarnya ada, tapi tak cukup persiapan mengumpul maklumat), kami pun meletak kereta berhampiran Jabatan Akauntan Negara dan berjalan kaki ke masjid Putra. Perghhh...memang dugaan betul, nasib baiklah mak dan ayah menerimanya sebagai sebahagian daripada latihan dan apa yang sudah semestinya bakal ditempuhi di Tanah Suci nanti. Jadi, syukur, semua menerima keadaan itu dengan positif. Dan syukur juga kerana ayah berjaya mengharunginya dengan baik. Maklumlah sesudah 'ujian' bulan Ogos dulu, ini adalah perjalanan paling jauh yang dibuatnya semenjak berhenti merokok. Alhamdulillah.



Di sepanjang perjalanan itu, sempatlah saya merakamkan keindahan persekitaran ( dengan dhoifnya).



Bakal-bakal tetamu Allah sudah ramai di hadapan masjid untuk pendaftaran. Hati terasa berbunga-bunga bila ditimpa 'perasaan', maklum, hari itu berjubah sama seperti kebanyakan bakal hajah yang hadir...auwww...terperasan sendiri! Alahai, alangkah seronoknya...Ya Allah, semoga cepat sampai giliran saya...



Khemah-khemah menjual pelbagai jenis barangan haji didirikan di kawasan lapang berhadapan pintu utama dewan solat. Ada gerai menjual jubah, telekung, ubat-ubatan dan segala kelengkapan lain. Alhamdulillah, untuk emak dan ayah, kebanyakan barang keperluan mereka sudah saya lengkapkan kecuali stok ubat-ubatan yang perlu dibawa nanti. Harap lepas jumpa doktor minggu depan, boleh minta preskripsi untuk tempoh 40 hari itu nanti.



Peserta-peserta diagih-agihkan mengikut 'Maktab'. Ayah dan emak ditempatkan di Maktab 71. Yang dikatakan Maktab itu, macam inilah...beramai-ramai membentang tikar dan berkampung di kaki lima belakang Dewan Solat. Dengan segala macam kerenah dan situasi yang tak mampu memuaskan hati semua orang, memang perlu sangat-sangat kepada kesabaran yang tinggi.



Ada suatu ketika itu, saya tumpang ke tandas wanita. Wah...ada lif bagai, syukur...mudahlah hendaknya untuk urusan mak dan ayah. Bila saya keluar, ada seorang mak cik ni hendak masuk. Dia tanya saya, "ada tisu tak?". Saya jawab, "tak ada". Mak cik itu pun menjawab tanpa tapisan, "Bodoh betullah!". Oppssss....terkejut saya. Tak terfikir nak jawab apa. Bila keluar, saya terfikir...ini belum sampai Tanah Suci lagi, bagaimana agaknya bila di sana? Bukankah apa sahaja yang dilalui sepanjang sesi itu juga nanti sepatutnya diambil kira sebagai cabaran/ujian? Di tanahair lagi sudah mulai diuji. Hemmm...paling penting kena bersihkan hati dululah, kalau dalam sudah bersih...insyaallah, yang terzahir di luar pun indah.

Seperti biasa, saya sangat berminat dengan tiang-tiang dan menara...cantik Masjid Putra ini. Alangkah baiknya kalau kesemua masjid-masjid di seluruh negara yang kebanyakannya indah-indah belaka itu diimarahkan dengan program-program yang bermanfaat sepanjang masa. Tentu banyak yang boleh dilakukan...



Hari Ahad pagi itu saya sudah tahu helahnya. Heheh. (Saya yang tak pandai berhelah). Berbanding melalui Jambatan Wawasan, saya ajak suami lalu ikut Kompleks Pentadbiran Putra...itu lebih hampir dengan Masjid Putra. Kalau laluan masih ditutup sekalipun, sekurang-kurangnya tak haus tapak kasut sebab jarak yang lebih dekat untuk berjalan. Dan lebih best sebab saya sempat menyapa abang-abang polis yang berkawal dengan 'manis' muka hahah...dan bolos masuk! Yeahuuuu...Sebenarnya saya propa saja, mungkin mereka memang tak kisah kalau cuma hendak masuk sebentar cuma saya tak terfikir hendak tanya agaknya semalam. (Atau mungkin juga memang rezeki kami berjalan jauh semalam). Eh! bagus apa, boleh saya buat penilaian awal keupayaan ayah dan emak. Hellooo...penempatan untuk jemaah skim muasasah jauh jaraknya dengan Masjidil Haram...jadi, dalam jarak yang kami lalui semalam...saya rasa boleh agak dan anggar itulah lebih kurang apa yang emak dan ayah bakal hadapi nanti.



Bandar Putrajaya dilihat dari salah satu sudut Masjid Putra. Ada juga terfikir-fikir hendak mencari akak Cik Na dan AZ...tapi, tak ada plan pula. Patut bagitau dulu . Tak sedap rasanya main terjah, entahkan tuan rumah ada rancangan lain. Tak apalah, ada rezeki, lain masa saya datang lagi. Insyaallah.



Alhamdulillah, emak dan ayah baik-baik sahaja. Seronoklah dengar cerita mereka berkongsi pengalaman dan mengupas peristiwa-peristiwa yang mereka alami sepanjang tempoh kursus. Singkat tetapi bermakna.



Masjid Putra kami tinggalkan.



Owh...mestilah sempat! Saya dah belipun fridge magnet pada hari saya datang menghantar mereka ke sini. (Saya sungguh jeles dengan koleksi yang Sirapmadu ada di peti aisnya!)



Alhamdulillah, semuanya selesai elok. Dan dalam perjalanan balik, kami sempat singgah di Bukit Jalil makan tengahari di rumah Sirapmadu. Terima kasih atas layanan baik, Sirap & suami. Rasa nak datang lagi...heheheh...

Wednesday, September 14, 2011

Robek Hatiku

Kesal. Ralat. Terkilan. Perasaan itu datang menyelubungi jiwa di pagi Rabu nan indah ini. Sayang sekali, baru hendak memulakan hari dengan gembira. Apa nak buat, benda sudah hendak jadi. Begitulah nasib pengguna-pengguna jalanraya di Kuala Lumpur khasnya dan seluruh Malaysia amnya.

Cerita ringkasnya, saya langgar lubang hari ini. Saya yang pada kebiasaannya sangat berhati-hati. Saya yang selalunya, alhamdulillah, boleh mengelak. Bukannya sehari dua baru guna jalan tu. Dah bertahun. Dah 5 tahun pun. Alangkan jalan Bukit Pantai yang timbul tenggelam tu pun boleh saya tangani, inikan pula Jalan Bangsar yang lurus terbentang. Itu yang tensen tu!!!

Eh, sejak bila pulak le ada lubang kat situ. Semalam saya lalu...elok jer. Tup...tup pagi ini menjelma depan mata pada jarak yang saya tak mampu buat apa-apa...hendak menepi pun tak boleh sebab kebetulan sebuah motorsikal lalu memotong di tepi. Tak akanlah semata-mata hendak mengelak lubang, saya membahayakan pula nyawa seorang insan...Cumanya yang geram tu, dalam pulak le lubang tu...bila berlaku impact tu...boleh terngiang-ngiang bunyi yang terhasil, serasakan ada gerudi menebuk gusi. Itu yang buat rasa tak puas hati ni! Hiiisshhhh...

Elok-elok siap meletak kereta, sempatlah saya membuat pemeriksaan fizikal. Tengok kalau-kalau ada yang bengkok, atau calar. Mata tidak menemukan apa-apa kejanggalan. Cuma hati berdebar takut ada kecederaan dalaman. Tahulah, saya fobia kalau tengok tayar kempis...mintak simpang!!!

Apa nak dikata lagi...cuma boleh berdoa dan berharap, akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Jalanraya kita bukan boleh diramal-ramal, hari ini berlubang, esok bertampal...lusa berlubang balik, tulat belum tentu siap ditampal...dan entah dekat mana-mana pula lubang tu boleh muncul...

Kesian Blackie!

Friday, September 09, 2011

Terkhilaf

Sukar sebenarnya apabila kita meletakkan diri kita di tempat orang lain.

Orang yang kita anggap sekian-sekian, yang kita sangka begitu-begini dek kegagalan kita yang memfokuskan kepada apa yang terzahir di mata sahaja sehingga mudah menjatuhkan hukum. Lalu kita menempah bencana, mengundang penyakit hati yang tidak sepatutnya ada, membuka ruang untuk mengumpulkan dosa percuma. Alangkah payahnya mensucikan hati. Seperti payahnya berusaha untuk sentiasa cuba bersangka baik.

Melembut dan melunakkan hati adalah perkara yang bukan boleh dipaksa-paksakan. Kerana kecenderungan nafsu, selalu menjadikan diri enggan tunduk. Sikap tidak mahu kalah menyebabkan kita enggan memperhalusi realiti. Ataukah kerana kita suka jalan singkat, lalu yang separuh masak itu kita terima sebagai produk siap. Hakikatnya, ada benda-benda lain yang harus turut sama masuk dalam pertimbangan. Benar, yang benar tetap benar, yang salah tetap salah, tiada jalan dan penyelesaian untuk mencampuradukkan perkara yang benar dengan yang salah ...juga tiada keringanan di situ. Namun, bila kita meletakkan diri pada situasi sebegitu, setidak-tidaknya kita lebih memahami dan mampu menilai kembali duduk sesuatu perkara walaupun pahitnya tetap sahaja melekat di kerongkongan.

Untuk apa?

Apakah perlu untuk kita menghukum siapa benar dan siapa salah? Perlu sangatkah menjadi pemenang walaupun kemenangan itu tidak punya apa-apa makna melainkan hanya sekadar memuaskan diri dan membiarkan keegoan berleluasa?

Saya kira kepentingan untuk memahami mengapa sesuatu itu berlaku bukanlah untuk tujuan kita saling tuding menunding jari. Tapi yang sebenarnya ia penting untuk muhasabah diri. Juga penting untuk kita menginsafi betapa bertuahnya diri kerana tidak berada di tempat sebegitu kerana siapalah diri untuk mendabik dada mengatakan, "ah! kalau Aku, tak mungkin Aku sanggup buat begitu?". Siapalah diri untuk menyangka yang diri tidak akan pernah sebegitu terdesak? Sebegitu terpaksa. Siapa tahu? Apa jaminannya?

Bersyukurlah, yang diri ini tidak diduga sebegitu...kalau kena batang hidung sendiri entahkan terhumban ke alam dejavu...seperti pernah ku lalui tetapi bila dan di mana ya?

Betullah, pandanglah dengan mata simpati dan dengarlah dengan telinga mengerti kelak hati akan lebih bersimpati dan memahami.

Ampunkan Aku Ya Allah atas kekhilafan ini.

Tuesday, September 06, 2011

Siaran Tertunda

Sebelum Ramadhan tempohari, memang seronoklah makan durian. Aku lupa nak letak gambar durian yang sudah masak ranum tu...ketika posting terdahulu masih cuma putik. Jom tengok...haish...puasa-puasa ni lah nak buat hal ye...hehehe...
Tahun ini, boleh tahan juga jumlah buahnya. Cuma pokok dekat belakang nun saja yang kureng mengancam isinya.
Geram tengok buah di atas sana. Yang tepi pagar lagilah, asal orang lalu je, tengok atas...asal lalu je, tengok...tapi kira merasa jugaklah semua jiran tetangga yang berdekatan, walaupun tak banyak...sebiji dua tu tetap dihulurkan.
Seronok dapat kutip durian yang gugur. Asal gedebuk je...pakat berlumba-lumba nak ambil. Teruja!
Mangsa yang terpilih...heheh...ya, betul, saya budak bendang...tapi jangan tak tau, saya juga berkemampuan kopek durian tanpa bantuan...hehehe....
Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan.
Dah selesai dengan durian, cari subjek lain pulak...(tak de keroje, cari keroje!)
Tak tahu apa nama pokok ini. Tapi comey jugak!
Jambu yang belum masak di hujung julai...tapi yang tak best tu, bila besar tak boleh makan. Kena sebat dek ulat dulu.
Purple lagi!
Teringat cerita Selendang Delima
Hemmm...
Selesai sudah acara siaran tertunda ini... (Sukalah guna dashboard blogspot yang baru ni...)