Friday, October 14, 2011

Bakal...

"Kita adalah bakal-bakal jenazah" begitu bunyi tulisan di dinding Facebook seorang kawan. Apa rasa anda? Ada sesiapa yang boleh menafikan dan menolak kenyataan itu? Dah sah-sah tak ada, sebab, itu adalah sesuatu yang betul. Sangat-sangat benar. Bukankah tiap-tiap sesuatu yang bernyawa itu akan merasai mati? Hanya tinggal kita ini menunggu masa dan ketikanya sahaja. Menunggu giliran kita. Kalaulah ditangan kita ada nombor giliran, agak-agaknya berapalah nombor giliran itu, ya? Cubalah bayang-bayangkan...

Okay, sekarang kita semua tahu dengan pasti yang kita akan mati suatu hari nanti. Kita akan tinggalkan apa yang kita usahakan selama hayat kita di dunia ini. Harta benda yang kita kumpulkan dengan susah payah. Pangkat dan darjat yang kita bina dengan usaha yang bukan sedikit. Segala-galanya...satu pun tak ada yang boleh kita ambil.

Tapi...walaupun dengan mengetahui segala hakikat itu...kita masih juga mahu berhempas pulas memastikan yang kenikmatan duniawi ini kita dapatkan. Betul?

Saya pernah dengar orang kata, dunia dan akhirat ini kena diseimbangkan. Ustaz saya kata, itu salah. Salah kalau kita samakan kedudukan dunia dengan akhirat kerana sesungguhnya dunia itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah tempat persinggahan sementara untuk menguji keimanan manusia dan ia tidak punya nilai sedikitpun di sisi Allah S.W.T.

Teringat saya pada suatu iklan ini. Seorang anak muda yang berusaha hendak membuatkan ayahnya bangga dengannya menerusi sukan bola sepak. Dia akhirnya menjadi anak watan pertama menyertai pasukan bolasepak ternama dunia dan menjaringkan gol dalam perlawanan yang mengundang sorak sorai dan keterujaan semua warga negara. Si ayah pun menitiskan air mata kegembiraan dan terharu dengan kejayaan anaknya.

Ia satu iklan yang mudah jalan ceritanya. Lengkap segala elemennya. Diceritakan dalam tempoh yang pendek. Padat dan tepat. Tetapi nilai dan pengajaran yang hendak diangkat itu tentulah jauh bak langit dan bumi kalau kita melihatnya dalam perspektif memenuhi peranan sebagai Khalifah, tujuan manusia dan ke mana manusia akan pergi.

Alangkah baiknya kalaulah semangat membara untuk mengapai kejayaan dunia itu diaplikasikan sama untuk memburu tempat yang terbaik di akhirat sana. Kita harus cemburu dengan insan-insan yang tidak pernah sedetik pun alpa dalam mengingati Allah, kita harus meniru insan-insan yang kerjanya adalah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah amalan, harus teruja mengaut pahala dan harus berlumba-lumba dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan.

Malangnya, kita tidak buat. Atau, hendak buat...cumanya berasakan perjalanan masih panjang lagi. Yakin yang kita sempat kejar. Jadi kita rasa sedap perut dengan kata-kata, "Allah itukan Maha Penyayang...Maha Pengampun". Tapi kita tahukah lama mana pintu taubat akan terbuka?

Yang pastinya...jangan lupa kita adalah bakal-bakal jenazah. Buatlah sesuatu sebelum nombor giliran kita naik. Sementara kesempatan untuk beramal masih ada. Bersegeralah!

No comments: