Showing posts with label Reminder. Show all posts
Showing posts with label Reminder. Show all posts

Monday, August 15, 2016

Mok Cun

Bawak bertenang sis...rileks la...

Pada usia-usia sekarang biasalah kalau orang panggil kita, "Mak Cik".
Tak payah nak rasa sentap sangat...dah memang pun kita dah berusia.
Tak payahlah berazam nak kurus, nak cantik hanya semata-mata sedih dipanggil "Mak Cik". Kalau kurus pun umur dah nak dekat 50 tahun ...walau cantik macamanapun, tak kan budak sekolah umur 14 tahun nak panggil kita "Kakak" kot...patut-patut padanlah!

Telipuk yang lagi muda ni pun dah beberapa tahun dulu lagi orang panggil Mak Cik. Ok apa orang panggil Mak Cik...dema respek tu...yer lah...Mak Cik kann...taraf-taraf Mak diaorang dah punn...berani nak cakap kurang ajar...cubaaa...Mak Cik bagi ceramah perdana nanti kang jenuh nak lari hahahah...mak-mak ni kan kuat membebel...;)

Memanglah mula-mula dulu macam stress jugak bila orang yang kita ketahui lebih tua dari kita menyapa dengan panggilan "Kakak"...(masa tu belum tahap Mak Cik lagi). Tapi akhir-akhirnya, bila Telipuk dapati lagi seronok dipanggil"kakak"...bila Telipuk gi kedai, gi pasar...mana-manalah...time nak panggil jurujual atau misi atau siapa-siapa yang bertugas tu, Telipuk sapu bersih guna "Dik"..."Dik, tolong akak ambilkan tu"..wahhh..cepat ngko dia bingkas bangun. Baik lelaki mahupun perempuan...aku belasah jer...nak-nak yang sebenarnya lagi berusia, tapi bila Telipuk panggil "adik", huh...memang nampak perbezaan layanan tu...ok whatttt....

Jadi, bila dipanggil "Mak Cik" tu berlapang dadalah. Kita ni makin lama memang makin tua. Tak adanya nak jadi muda balik. Tak perlu takut menjadi tua kerana itulah fitrah hidup manusia. Bersyukurlah kita sudah melalui banyak peringkat hayat dari baby sampai dah nak kertu ni kann...syukurlah merasa sampai ke tahap ini...bermakna kalau kita ambil positif perjalanan hidup ini, pastilah setiap masa yang kita ada itu kita isikan dengan kegiatan berbekal...berbuat bekalan sebanyak mungkin.

Kan bagus tu sebab kita dah sampai tahap ini...bayangkan kalau time remaja tak sedar diri tu Allah dah panggil pulang...nahhh...nak bawak bekal apa tu? Jadi bersyukurlah atas setiap kurniaan Illahi, mudah-mudahan pada usia-usia begini Allah beri kita petunjuk untuk berada di atas jalanNya sebab tak kira berapa umur kita, tak kira apa orang panggil kita...kita semua pasti akan menemui mati dan kembali kepadaNya.


Friday, March 09, 2012

Perkongsian Jumaat

Apabila sesuatu itu tidak kita perolehi padahal daripada penilaian yang dibuat sepatutnya tiada masalah mendapatkannya, ketahuilah bahawa belum ada rezeki untuk kita. Atau juga perkara itu barangkali tidak baik untuk kita lalu Allah tidak makbulkan doa kita. Atau juga ada perkara lain yang lebih baik yang Allah sediakan untuk kita sebagai ganti. Dan boleh jadi juga Allah sangat suka mendengar rintihan dan doa kita lalu Dia tangguhkan kurniaNya ke suatu masa yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Jadi, la tahzan. Janganlah bersedih. Janganlah berasa kecewa. Janganlah sekali-kali berputus asa.

Teruskan berdoa. Teruskan meminta. Jangan hanya berdoa bila kita rasa perlu. Bila rasa tidak ada keperluan, tak ada doa. Jangan juga berhenti meminta. Jangan hanya minta rezeki naik pangkat atau minta dapat jodoh yang baik tetapi mintalah agar Allah tetapkan hati kita di atas agamaNya dan sampaikan kita ke syurgaNya. Berdoalah supaya Allah lembutkan hati kita agar mudah memaafkan orang. Mintalah agar Allah hilangkan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati kita. Supaya kita boleh berlapang dada dengan kelebihan orang lain dan supaya kita sendiri melihat kepada orang yang dalam kekurangan, lalu menjadilah kita manusia yang sentiasa mensyukuri dengan apa jua nikmat dan pemberian yang Allah berikan untuk kita. Hatta kalau apa pun tidak kita punyai, ketahuilah Dia tetap memberi kita keupayaan untuk menyedut udaranya dan bernafas. Kita masih punya nafas yang kita hela bagi meneruskan kehidupan di muka bumi ini dengan iziNya. Dan selagi ada ruang dan peluang itu, gunakanlah dengan sebaiknya untuk mencari bekal agar kita tidak rugi. Sudahlah susah merana atas dunia, susah merana juga di akhirat. Sangat celakalah hidup yang begitu. Dan kalau berdoa itu, jangan lupa berdoalah sama untuk saudara-saudara kita. Islam ini kuat atas dasar persaudaraan, jadi, janganlah hanya mementingkan diri sendiri. Kalau kita tidak mampu melakukan yang lebih baik dalam berdakwah, setidak-tidaknya berdoakan agar Allah memberikan mereka nikmat iman yang alhamdulillah sedang kita nikmati. Itulah yang sebaik-baiknya.

Saya katakan begitu kerana semalam saya terbaca kisah pengislaman seorang pemuda di negara barat. Dia berhijrah setelah bosan dengan kehidupannya yang penuh dengan tuntutan memenuhi kehendak nafsu sahaja sehingga ianya membuatkan dia hilang punca. Ternyata apabila mengenali dan mendalami Islam, Islam memberikannya jawapan tentang banyak soalan. Cuma cabaran yang dihadapinya pada suatu ketika ialah apabila dia mendapati orang-orang Islam lebih suka mengkritik satu sama lain sehingga menenggelamkan isu-isu pokok yang lebih kritikal.Misalnya, amalan ini lebih baik daripada amalan itu. Atau amalan ini adalah bidaah dan sebagainya. Sedangkan tuntutan lain yang lebih penting seperti mendalami dan memahami Al-Quran, tuntutan untuk saling bantu-membantu sesama saudara seagama serta menjaga silaturahim itu diketepikan. Lalu akhlak yang ditampilkan nampak 'hodoh' sedangkan Islam itu agama yang penuh dengan kebaikan dan keindahan. Mungkin sebab sebeginilah yang menyumbang kepada 'Islamophobia' kerana penganut-penganut Islam gagal mencerminkan peribadi Muslim yang boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Jadi, di hari baik penghulu segala hari ini marilah kita beristighfar dan muhasabah diri semula serta berdoa agar kita tidak terpedaya dalam memburu kehidupan akhirat yang lebih baik. Takut-takut kita sekadar syok sendiri, merasakan kita ini lebih baik daripada orang lain. Riak namanya. Takut kalau-kalau kita sudah berpuas hati dengan amalan yang dilakukan sehingga kita rasa tak apa untuk berhenti berehat sebentar sebab perasan amalan sudah banyak.

Semoga dapat dipenuhi hari-hari mendatang dengan azam mahu melakukan yang lebih baik berbanding hari semalam.

Ayuh!

Friday, November 11, 2011

Bersangka Baik

Ini ada satu 'penyakit' yang banyak terjadi di kalangan kita.

Saya tak faham kenapa ada yang macam tak puas hati kalau orang (yang pada pendapatnya jahat dan banyak buat dosa) dapat pergi ke Mekah mengerjakan ibadah haji serta selamat pulang tanpa mengalami apa-apa kejadian. Dia berpendapat atau menyangka, dengan 'reputasi' orang ini, patut sangatlah dia menerima balasan bila mengunjungi tanah suci Allah. Maka kalaulah orang ini diuji dengan macam-macam hal, misalnya tiba-tiba semasa tawaf tu terjatuh dan kena serangan strok terus ke...maka, bolehlah dia kata..."haaa...tengok, kan sudah terbukti, dia ini jahat...maka sebab itulah Tuhan balas kejahatannya on the spot". Puas sangat hatinya kalau ada berita-berita macam ini.

Eh...awak sakit, tahu? Hati awak tu ada penyakit!

Sebab itulah kot ramai orang-orang kita ini, tak pasal-pasal takut hendak pergi Mekah. Nak tunggu enjoy dunia puas-puas lepas tu agaknya baru hendak bertaubat, barulah berfikir hendak pergi. Semuanya nak tunggu tua ganyut baru hendak pergi walaupun berkemampuan, duit berkepuk-kepuk dalam simpanan. Sebabnya? Takut sampai sana kena ujian. Takut nanti orang semua mengata kat dia. Takut dengan bayang-bayang sendiri!

Janganlah macam itu.

Saya berterima kasih kepada Prof. Kamil yang menulis buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang telah membuka mata fikir saya dengan bahasanya yang mudah dan santai. Seorang yang merasakan dirinya terlalu kerdil dan jauh dari Allah...namun berusaha menggapainya dengan kepercayaan teguh atas luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Ternyata, Allah telah anugerahkannya kehidupan selepas haji yang lebih baik tanpa mengira apapun yang telah dia lakukan sebelumnya. Yang pentingnya adalah keinginan dan kemahuan untuk berusaha menjadi hambaNya yang baik. Kerana Allah itu tidak memerlukan apa-apapun dari kita. Dia tidak perlukan kita pun. Namun kita sangat-sangat perlu kepadaNya kerana kita tidak akan mampu bertahan dengan dahsyatnya azab Neraka. Jadi, siapalah kita untuk menentukan kesudahan saudara-saudara kita walau sejahat dan sehina manapun dia pada pandangan kita kerana di pengakhirannya yang akan membuat penilaian adalah Allah S.W.T yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tulisan sebegini benar-benar membakar keinginan untuk mengambil tindakan yang patut agar dapat menjadi tetamu Allah, insyaallah, dalam keadaan diri yang masih kuat dan sihat ini. Insyaallah.

Berhentilah menilai buruk orang lain kerana kita tidak sebenar-benarnya tahu apa yang sebenarnya berlaku kepadanya atau apakah yang telah dilaluinya. Allah Yang Maha Mengetahui. Allahlah yang tahu apa yang ada , baik yang zahir mahupun yang tersembunyi. Ada baiknya kita mendoakan saudara-saudara seagama kita mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya untuk mereka kembali ke jalanNya bukannya kita menambah dengan caci maki dan nista.

Tentang perjalanan ibadah haji itu...mabrur atau tidak, terpulanglah kepada Allah untuk membalasNya. Siapa tahu kalau-kalau doanya Allah terima. Kerana sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat.

Firman Allah dalam Surah Al-Maa'idah. Ayat 40 yang bermaksud :

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan syariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Berhentilah bersangka buruk dengan orang. Tidak usah direnung semut di seberang sungai sedangkan ada gajah berdiri di depan mata masih kita buat tidak peduli.

Jaga diri, hiasi peribadi.

Friday, October 14, 2011

Bakal...

"Kita adalah bakal-bakal jenazah" begitu bunyi tulisan di dinding Facebook seorang kawan. Apa rasa anda? Ada sesiapa yang boleh menafikan dan menolak kenyataan itu? Dah sah-sah tak ada, sebab, itu adalah sesuatu yang betul. Sangat-sangat benar. Bukankah tiap-tiap sesuatu yang bernyawa itu akan merasai mati? Hanya tinggal kita ini menunggu masa dan ketikanya sahaja. Menunggu giliran kita. Kalaulah ditangan kita ada nombor giliran, agak-agaknya berapalah nombor giliran itu, ya? Cubalah bayang-bayangkan...

Okay, sekarang kita semua tahu dengan pasti yang kita akan mati suatu hari nanti. Kita akan tinggalkan apa yang kita usahakan selama hayat kita di dunia ini. Harta benda yang kita kumpulkan dengan susah payah. Pangkat dan darjat yang kita bina dengan usaha yang bukan sedikit. Segala-galanya...satu pun tak ada yang boleh kita ambil.

Tapi...walaupun dengan mengetahui segala hakikat itu...kita masih juga mahu berhempas pulas memastikan yang kenikmatan duniawi ini kita dapatkan. Betul?

Saya pernah dengar orang kata, dunia dan akhirat ini kena diseimbangkan. Ustaz saya kata, itu salah. Salah kalau kita samakan kedudukan dunia dengan akhirat kerana sesungguhnya dunia itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah tempat persinggahan sementara untuk menguji keimanan manusia dan ia tidak punya nilai sedikitpun di sisi Allah S.W.T.

Teringat saya pada suatu iklan ini. Seorang anak muda yang berusaha hendak membuatkan ayahnya bangga dengannya menerusi sukan bola sepak. Dia akhirnya menjadi anak watan pertama menyertai pasukan bolasepak ternama dunia dan menjaringkan gol dalam perlawanan yang mengundang sorak sorai dan keterujaan semua warga negara. Si ayah pun menitiskan air mata kegembiraan dan terharu dengan kejayaan anaknya.

Ia satu iklan yang mudah jalan ceritanya. Lengkap segala elemennya. Diceritakan dalam tempoh yang pendek. Padat dan tepat. Tetapi nilai dan pengajaran yang hendak diangkat itu tentulah jauh bak langit dan bumi kalau kita melihatnya dalam perspektif memenuhi peranan sebagai Khalifah, tujuan manusia dan ke mana manusia akan pergi.

Alangkah baiknya kalaulah semangat membara untuk mengapai kejayaan dunia itu diaplikasikan sama untuk memburu tempat yang terbaik di akhirat sana. Kita harus cemburu dengan insan-insan yang tidak pernah sedetik pun alpa dalam mengingati Allah, kita harus meniru insan-insan yang kerjanya adalah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah amalan, harus teruja mengaut pahala dan harus berlumba-lumba dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan.

Malangnya, kita tidak buat. Atau, hendak buat...cumanya berasakan perjalanan masih panjang lagi. Yakin yang kita sempat kejar. Jadi kita rasa sedap perut dengan kata-kata, "Allah itukan Maha Penyayang...Maha Pengampun". Tapi kita tahukah lama mana pintu taubat akan terbuka?

Yang pastinya...jangan lupa kita adalah bakal-bakal jenazah. Buatlah sesuatu sebelum nombor giliran kita naik. Sementara kesempatan untuk beramal masih ada. Bersegeralah!

Tuesday, August 09, 2011

Markah Corot!

Sudah 9 hari kita berpuasa, menahan lapar dan dahaga. Jangan sekadar itu yang kita dapat, mudah-mudahan tergolong puasa Khusus kalau tak dapat menggenggam puasa Super Khusus. Cita-cita dan keinginan biar tinggi, bab perlaksanaan lain cerita.

Bab perlaksanaan untuk Aku tahun ini sangat 'dhoif' dan memilukan. Mahunya tidak, Surah Al-Baqarah pun tak habis lagi, baru cecah ayat 186. Itu baru tilawah jer tu...belum masuk bab taddabur. Hemmm...apa dah jadi??? Cemburu tengok kawan-kawan yang sudah jauh di depan. Aiyakkk...tak boleh jadi ni...

Tapi kiranya memang sekali ini jadual tak berapa senggang. Masa tahun-tahun terdahulu,lagi mudah pulun baca Al-Quran di pejabat. Kali ini kurang berhasil kerana kebetulannya satu kajian penting bakal berlangsung dan kami telah diarahkan untuk mula jalan dulu dengan aktiviti pengumpulan data, berdiskusi dengan unit-unit terbabit untuk memberi penjelasan keperluan serta lain-lain tugas selaku sekretariat. Dan boss pula tak ada 2 minggu awal ini kerana mengerjakan umrah. Terfikir juga, dok sibuk-sibuk tu untuk apa...maklumlah, baru lepas tengok VCD ceramah Ustaz Kazim tentang hinanya dunia. Tertekan juga. Tapi kalau tak jalankan tugas yang ini kelak mengundang permasaalahan sesama manusia pula. Ini baru je step awal, itupun dah ada yang tergesel, terkehel...belum masuk step yang core lagi...haduiiihhhh...

Dalam risau-risau tu sempat lagi memesan kuih-muih raya. Alamak! bab ni hang laju ler pulak, Telipuk? Oh...tidak!!! Habis tu macamana...Sabri dah advertise jualan pembukaan kerepek bawang dia, harga lama pulak tu! Dah la memang sedap, kenalah beli. Kelmarin lalu depan cubicle Mek Da, tersinggah mendengar promosi kuih semprit yang katanya sesedap rasa. Kata Mek Da, " Masa mengunyah kuih tu (makan lepas berbuka le), tiba-tiba rasa nak menitik air mata. Dan-dan tu juga seakan-akan terdengar lagu raya berkumandang". Pergh...statement of the year betullah budak ni. Tak pasal-pasal Telipuk pesan 2 balang...je. Lepas tu terpandang BGA sedang browse blog kenalannya yang menjual kuih raya. Ternampak pula kuih feveret Telipuk, kuih putu kacang...hemmmppp...tak boleh jadi, order 2. Kat bawah ni, hari-hari ada jualan...nak apa semua ada...tudung, baju, kasut, kuih...you name it! Tapi tak adalah membeli pun. Cuma kalau lalu tu seronok jugalah mencuci mata.

Padahal baru je pot pet pot pet dengan Lotuslily tentang sikap masyarakat yang melebihkan 1 Syawal sehingga menenggelamkan kebesaran Ramadan, sedangkan Ramadan itu membawa bersamanya keampunan dan pahala yang berlipat ganda. Jangan sampai Ramadan berlalu pergi tanpa kita mendapat sebarang manfaat daripadanya kelak menjadilah amalan kita sesuatu yang sia-sia lagi merugi. Siapa tahu kalau-kalau ini Ramadan yang terakhir buat kita?

Kena banyak muhasabah lagi ni...

Friday, June 03, 2011

Tanah Kubur

Pernah tengok drama "Tanah Kubur" di saluran Astro Oasis? Aku pun tak pernah tengok sampailah minggu lepas rasanya. Itu pun tak sengaja. Masa dok tukar-tukar saluran, terberhenti pula dekat adegan ni...adegan dekat tanah perkuburan untuk pengebumian. Ada satu jenazah terbujur di tepi liang lahad. Dan jenazah tu pula kelihatan berasap-asap...tak boleh diangkat untuk dikebumikan sebab terlalu panas.

Apalagi, Aku pun mulalah concentrate tengok. Nasir Bilal Khan pun ada. Dia pergi dekat seorang lelaki berbaju melayu warna biru. Dia cakap, "Maafkanlah, dia". Tapi lelaki ini cakap, "Saya tak boleh nak maafkan dia. Dia langsung tak hormat pada saya". Lepas tu ada adegan flashback , seorang wanita memaki hamun suaminya. Siap tendang-tendang lagi.

Kemudian, pujuk punya pujuk, akhir sekali...lelaki ini pun sanggup maafkan sebab orang kampung yang nak buat kerja sudah gelisah menunggu, maklumlah...jenazah tak dapat hendak dikebumikan. Apabila si suami bersetuju memaafkan, barulah jenazah itu boleh dipegang dan diangkat masuk untuk dikebumikan. Talkin pun dibaca. Sesudah selesai, para penziarah pun mula beredar seorang demi seorang. Pak Adi (Nasir) dan suami arwah merupakan yang terakhir meninggalkan kuburan itu.

Kamera fokus pada derap langkah mereka.

Satu, dua, tiga, empat, lima, enam...

...tujuh. Tepat.

Tiba-tiba terdengar pekikan dan jeritan yang nyaring. Disusuli dengan nisan di kuburan yang baru ditegakkan tadi tumbang...asap tipis kelihatan keluar berbayang-bayang.

Meremang bulu tengkuk Aku...eeeiii...nauzubillah.

Itu baru cerita...cerita yang diadaptasikan daripada kisah-kisah benar yang pernah dialami oleh mereka yang terlibat dalam urusan pengebumian mayat. Siapa kita, bagaimana keadaan dan nasib kita, bayangan amalan kita...dapat dilihat untuk iktibar yang masih tinggal.

Rasanya ada cerita Tanah Kubur hari ini jam 7.30 malam. Waktunya kurang sesuai. Siaran ulangan Aku tak pasti bila. Tapi kata penerbit, mereka pilih waktu itu supaya orang-orang yang tak sembahyang pada waktu tu dapat tengok...semoga terbit keinsafan di hati mereka. Iyakah???

Kisah yang dipaparkan adalah pelbagai. Kisah balasan untuk mereka yang suka makan harta anak yatim, orang yang suka ambil rasuah dan sebagainya.

Kalau ada kematian dan ada kesempatan, pergilah berziarah. Mengingati mati akan mengurangkan dan membendung nafsu kita yang cintakan dunia. Memang besar faedahnya ingat akan mati. Teringat poster kubur yang Aku lekat di dinding bilik masa belajar dulu...ada yang tanya, "tak takut ke malam-malam celik mata nampak kubur?"...hahaha...kubur tu Aku tak takut, hok apa yang berlaku kat dalam tu yang Aku takut...

Sama-samalah kita ye...

Tuesday, August 18, 2009

Menjelang Ramadhan

Dalam satu ruangan komik yang terdapat di suratkhabar UM beberapa minggu lalu, penulis komik kisah pejabat tu memaparkan beberapa adegan menjelang puasa. Yang perempuan berbual kisah tempahan kuih muih. Ada juga yang membuat persediaan untuk jamuan berbuka dan 'moreh' di surau. Heheh...yang best tu adalah adegan yang paling hujung. Berebut tempat lepak semasa rehat tengahari di bilik stor!

Lalu terdengarlah kisah aktiviti mempercepatkan mesyuarat dan kalau dapat menghabiskan segala kerja sekarang. Kalau boleh tak mahu ada mesyuarat di bulan puasa. Eh! Eh! Habis tu, bulan puasa tak ada kerja, kah?

Salah weh konsep tu...malu kita dengan bangsa lain. Patutnya bulan puasa inilah kita tunjuk betapa 'kuat'nya dan tabahnya kita menjalani ujian. Kalau dok buat letih lesu, 'laih' gitu...buat digelakkan aje lah. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pulak berciciran.

Bulan puasa adalah bulan kesabaran di mana kita diuji untuk bersabar menahan keinginan dan nafsu dengan jalan berpuasa. Berpuasa bukan sahaja memberi kita keinsafan merasai berada dalam keadaan perut kosong sepertimana yang dilalui oleh golongan yang susah. Berpuasa juga baik untuk kesihatan. Banyak kelebihan berpuasa dari segi rohani dan jasmani yang ramai sudah tahu malahan diakui oleh pengkaji-pengkaji bukan Islam juga.

Berbangga dan bergembiralah kerana kita berpeluang bertemu Ramadhan lagi. Peluang untuk melipat-gandakan bekalan untuk dibawa pulang nanti. Siapalah kita untuk dengan yakin mengatakan kita pasti mendapat peluang lagi di tahun-tahun hadapan. Cubalah untuk membuat yang terbaik.