Kuliah Online 22hb Mac 2020 @ Ghulam Al Dakwah (GAD)
Disampaikan oleh : Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Abd Muein Abd Rahman, Pengerusi GAD
Allah telah mentakdirkan berlakunya wabak novel coronavirus (COVID-19) yang bermula di Wuhan, China pada penghujung 2019 dan sehingga kini telah merebak hampir ke seluruh dunia. Hanya sebahagian kecil sahaja yang terlepas seperti negara Laos dan Brunei tetapi negara-negara lain tidak begitu bernasib baik. Seluruh dunia juga merasai kegerunan dan ketakutan terhadap virus COVID-19 akan tetapi sejauh manakah manusia berasa takut kepada pencipta virus tersebut.
Allah berfirman dalam Surah Al-Hadiid, ayat 22-23 yang mana Allah memberitahu kita bahawa tidak ada sesuatu apapun musibah yang menimpa kita yang tidak ada dalam pengetahuan Allah melainkan Allah telahpun mengetahui akan hal itu. Mengadakan perkara ini adalah mudah bagi Allah. Kita bercakap tentang wabak COVID-19 iaitu wabak yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa sehingga kini. Rekod kematian di Amerika Syarikat kini sudahpun jauh melangkaui jumlah kematian yang dicatatkan di China, negara asal mula virus COVID-19.
Semua musibah yang berlaku baik kefakiran, kemiskinan, kesakitan mahubun COVID-19, berlaku dalam pengetahuan Allah. Kesemuanya telah tertulis dalam kitab Lauh Mahfuz. Sejak bila? Sejak sebelum Allah mengadakan langit dan bumi lagi. Bahkan ada sesetengah riwayat yang mengatakan semua ini telah tercatat 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi. Semua kejadian sebelum adanya langit dan bumi, terciptanya langit dan bumi sampai kepada pengakhiran dunia telah tertulis. Sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara yang mudah bagi Allah. Kita kalau nak catatkan sejarah hidup kita dari awal sampai akhir pun mungkin tak cukup 10 buah buku, mungkin berbotol-botol dakwat perlu kita gunakan, tapi Allah – Dia mencatatkan semuanya : bukan hanya amalan seorang hamba, bukan juga hanya amalan hamba yang berumur 50 tahun ke atas sahaj, tetapi semua amalan jin, manusia, malaikat bahkan makhluk-makhluk Allah yang bertasbih di langit dan bumi. Satupun tak terlepas daripada catatan Allah.
Mengapa semuanya telah tertulis dan ada dalam pengetahuan Allah? Hikmahnya ialah supaya dengan mengetahui akan hakikat tersebut, kita tak akan rasa sedih. Kesedihan tidak akan memulangkan apa-apa yang hilang dan tidak juga akan dapat haling apa yang akan berlaku. Hikmah yang kedua ialah supaya kalau Allah beri kita nikmat, kita tak akan terlalu gembira dengan apa yang Allah beri. Allah telah catatkan yang kita akan jadi kaya, kita akan dapat projek – sebagai contoh- maka dengan mengetahui yang semua ini telah Allah catatkan , Allah nak kita jangan jadi sombong dan terlebih seronok sampai lupa kepada Allah. Samada kamu seronok atau tidak seronok pasti akan dapat nikmat tersebut.
Perkara penting di sini ada 2 iaitu :
1. Allah nak mengajar orang beriman supaya tidak terlalu sedih atau terlalu gembira. Bila dapat musibah tenag dan sabar. Bila dapat nikmat tak jadi terlalu gembira . Allah tak suka dengan orang yang berbangga-bangga dengan apa yang dimiliki dan sombong kepada orang lain. Ini adalah sifat yang dibenci Allah. Sebab Allah beri harta dan kelebihan bukan tujuannya untuk dibangga-banggakan tapi itu adalah berupa ujian. Allah beri nikmat untuk uji apakah manusia itu akan bersyukur atau menjadi kufur. Dan Allah timpakan musibah juga untuk uji apakah manusia itu akan redha/sabar atau marah. Apa yang berlaku pada hari ini semuanya sudah tercatit. Justeru itu, jangan bersedih bila dapat musibah dan jangan terlalu gembira terhadap nikmat yang diperolehi.
2. Jangan takut kepada kematian sampai kamu lupa pada perintah Allah. Kerana takut pada kematian, orang-orang yang tidak beriman mereka hidup dalam kerisauan, kegelisahan. Ketakutan itu sampaikan menyebabkan mereka putus asa dan mati akal.Tidak begitu halnya dengan orang beriman. Ketakutan mereka pada sesuatu membawa mereka kepada Allah, menjadikan mereka semakin dekat dan akhirnya semakin tenang. Ketakutan menjadi benda yang terpuji kalau disebabkan itu manusia mencari jalan untuk pulang dan dekat dengan Allah.
Mati adalah satu kepastian atau kemestian. Kenapa mesti takut pada sesuatu yang pasti.
Di dalam Surah An-Nisaa’, ayat 78, Allah menjelaskan bahawa walau jauh mana sekalipun kita lari dan bersembunyi, pastilah kematian itu akan tetap mendatangi kita. Kita hendak lari dari takdir atau musibah itu memang dianjurkan tetapi mana mungkin kita dapat lari dari kematian. Sebab kematian itu datangnya tak dilewatkan atau ditangguh hatta sesaat jua tidak akan dipercepatkan waima sesaat.
Sebenarnya, sebelum kedatangan wabak COVID-19 ini, kematian berlaku setiap hari. COVID-19 hanya sebabkan beberapa orang sahaja mati (kerana ajal dah sampai). Terkini sejumlah 92 orang telah terkorban di Malaysia. Bilangan ini masih kecil. Sedangkan pada hakikatnya, sebelum COVID-19 muncul pun, beratus-ratus kematian dicatatkan dalam masa sehari. Hanya kita sahaja yang tak peka dan tak baca berita. Kalau kita perhatikan setiap hari ada sahaja manusia yang mati. Ada yang kematian disebabkan kemalangan jalanraya, ada yang dibunuh, ada yang mati lemas dan ada juga yang elok keadaannya tapi tetap juga mati. Berapa ramai orang yang sedang sihat tiba-tiba jatuh dan mati? Sedang menyanyi, tiba-tiba rebah tak bernyawa. Ada yang sedang bersukan bahkan ada yang sedang bercakap dan mengajar. Mereka mati kerana ajal mereka sudah sampai.
Tidak ada faedah untuk kita takut kepada kematian tetapi takutlah kepada apa yang akan berlaku selepas kematian. Yang paling menakutkan bukan kematian sebab kematian itu pasti. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam permulaan ayat 185 dari Surah A’li-‘Imraan. Kita tak boleh mengelakkan kematian tetapi kita boleh elak apa yang akan berlaku selepas kematian.
Disebutkan bahawa Khalifah Usman Bin Affan sering menangis apabila melihat kuburan sehingga airmatanya membasahi janggutnya lalu ditanyakan kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin, tatkala mengingat surga dan neraka engkau tidak menangis, mengapa engkau menangis ketika melihat perkuburan?” Usman pun menjawab, “Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda”, yang berbunyi, “Sesungguhnya liang kubur adalah awal perjalanan akhirat. Jika seseorang selamat dari (siksaan)nya maka perjalanan selanjutnya akan lebih mudah. Namun jika ia tidak selamat dari (siksaan)nya maka (siksaan) selanjutnya akan lebih kejam.” (HR. Tirmidzi, beliau berkata, “hasan gharib”. Syaikh al-Albani menghasankannya dalam Misykah al-Mashabih)
Kematian datang sekejap sahaja tetapi apa yang akan datang selepas kematian itu adalah panjang, kekal dan kehidupan yang tidak mati-mati. Ia bukan untuk setahun dua, bukan 100 tahun hatta bukan 1000 tahun tetapi ia adalah kehidupan yang tidak akan berakhir, berterusan dan tiada penghujungnya/pengakhiran. Kalau masuk syurga, nikmat selamanya menjadi milik kita. Tapi kalau masuk neraka, kekal diazab di dalamnya – tak hidup dan tak mati-mati. Selama-lamanya!
Hikmah di sebalik COVID-19 ini, Allah beri sebab nak elakkan manusia dari azab akhirat dengan cara beri musibah menerusi COVID-19 yang jauh lebih kecil jika hendak dibandingkan dengan azab akhirat yang kekal abadi itu. Allah sangat sayangkan hamba-hambaNya yang leka dengan dunia jadi Allah hantar COVID-19 ini supaya manusia kembali mencariNya. Dengan cara ini musibah yang besar itu dapat dielakkan. Berikut adalah satu nasihat dari Nabi Muhammad SAW yang berguna untuk memberi motivasi kepada kita dalam menghadapi musibah dan kematian.
Dari Usamah bin Zaid r.a menceritakan; seorang anak perempuan Nabi SAW telah menghantar seorang utusan kepada Baginda. Pada ketika itu Usamah bersama Nabi dan turut disertai Saad dan Ubay –radhiyallahuanhuma. Utusan itu menyampaikan bahawa cucu perempuan Nabi sedang nazak dan anak perempuan Baginda meminta agar Baginda datang. Nabi mengutuskan salamnya kepada anak perempuannya dengan berpesan: “Sesungguhnya milik Allah apa yang Ia ambil dan apa yang Ia berikan. Setiap sesuatu di sisiNya telah tertentu ajalnya, maka hendaklah kamu mengharap pahala Allah dan bersabar”. (HR Bukhari).
Bila Allah ambil nyawa seseorang yang kita sayang, yakinlah bahawa Allah mengambil hakNya. Itu bukan milik kita. Jadi janganlah bersedih. Manakala bila Allah memberikan kita sesuatu, itu adalah hak Dia. Maka janganlah kita merasa sombong dengan pemberian Allah kerana itu bukan hak kita. Setiap sesuatu di sisi Allah telah ditetapkan ajalnya. Kesedihan tidak akan menghalang daripada takdir Allah. Apa yang boleh beri manfaat dan kebaikan apabila ditimpa musibah ialah dengan jalan bersabar di atas ujian/musibah ini dan mengharapkan pahala ganjaran dari Allah. Tidak ada sesuatu yang Allah ambil melainkan Allah hendak menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Bila Allah ambil, Allah gantikan dengan ganjaran pahala hasil kesabaran. Sabar atas musibah ini adalah satu amalan yang pahalanya sangat besar dan tiada batasan.
Firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 10, yang bermaksud, " Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
Allah ambil orang yang kita sayang, dan gantikan kehilangan itu dengan pahala yang tiada hadnya. Allah akan beri dan sempurnakan ganjaran di atas kesabaran itu. Jadi kenapa kita nak bersedih kalau pada akhirnya kita mendapat sesuatu yang lebih baik. Sebagai contoh, kita kehilangan sebuah telefon bimbit yang berharga RM500 tetapi kemudiannya kita diberi ganti sebuah telefon bimbit yang bernilai RM2000. Maka, patutkah kita sedih hilang telefon bimbit berharga RM500 itu?
Kesedihan kerana kematian dan musibah tidak akan berlaku kepada orang yang beriman yang yakin dan percaya dengan janji Allah. Bagi orang yang tidak beriman, apa yang hilang itu akan menjadi musibah . Bagi orang mukmin, bersedialah untuk mati dengan beramal soleh. Dan bersabarlah bila ditimpa musibah. Ini adalah peluang bagi mendapatkan ganjaran pahala yang tiada hadnya.
Lantas, apa yang perlu orang beriman patut takuti? Orang beriman patut takut dengan dosa.
Dari Abdullah bin Mas’ud ra berkata, bahwa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khawatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika ia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa).” (HR. Bukhari)
Begitulah sepatut sikap seorang mukmin terhadap perbuatan dosanya. Seharusnya dia merasa gerun dan takut kerana dosa-dosa itu kelak akan menjerumuskan dia ke dalam neraka dan kebinasaan. Patutkah kita takut kepada coronavirus sedang dalam masa yang sama kita tak takut anak-anak buka aurat, tak solat, kalau solat pun lewat? Tak takut kepada dosa itu sifat orang munafik, dia tak risau. Dia hanya melihat dosa-dosa itu seperti lalat yang hanya perlu ditepis-tepis sahaja, tak lebih dari itu. Ini berbeza dengan sikap seorang mukmin sebagaimana yang ternukil dalam suatu hadis berkenaan seorang wanita berkulit hitam yang menghidap menyakit sawan.
‘Atha’ bin Abu Rabah berkata: Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata kepadanya: Mahukah engkau jika aku tunjukkan seorang wanita daripada kalangan penghuni syurga. Aku menjawab: Sudah pasti ! Ibn ‘Abbas berkata: Inilah perempuan kulit hitam yang datang berjumpa Rasulullah SAW, lalu dia berkata kepada Baginda: Sesungguhnya aku menghidapi penyakit sawan (lalu apabila sawan ku datang), aurat aku akan terbuka. Doalah kepada Allah untuk diri ku. Baginda SAW menjawab: Jika engkau mahu, engkau boleh bersabar, dan untuk engkau syurga. Jika engkau mahu, aku akan mendoakan engkau agar Allah akan menyembuhkan engkau. Wanita itu berkata: Aku akan bersabar, tetapi aku sering terbuka aurat (bila penyakit sawan datang). Berdoalah kepada Allah agar aurat aku tidak akan terbuka. Maka Rasulullah SAW mendoakan beliau.(HR.Bukhari)
Begitulah Nabi mengajar dan mendidik para sahabat supaya menjadi orang yang berakal dan bijak memilih. Wanita berkulit hitam itu pada akhirnya memilih untuk bersabar dengan penyakitnya kerana dia tahu dengan kesabaran itu menjamin syurga baginya. Mendapat musibah dan penyakit bukanlah satu masalah kalau kita bersabar malah ianya menjadi mahar/bayaran untuk kita mendapatkan syurga Allah. Wanita yang bijak ini meminta doa supaya dia tidak melakukan dosa (buka aurat) sebab dia tahu musibah yang paling besar bukan penyakit tapi musibah paling besar adalah dosa kepada Allah.
Antara dosa-dosa manusia ialah dosa tidak memahami Al-Quran. Manusia jadi kelam kabut bila Allah hantar virus COVID-19. Bukan tak boleh kelam kabut, tapi ini adalah sebagai perbanding untuk kita memperhatikan sikap double standard yang kita amalkan selama ini . Manusia kelam kabut sebab takut kepada kematian sedangkan peringatan Allah akan virus yang boleh membuatkan hati manusia menjadi keras telah lama Allah beri namun arahan dan peringatan Allah manusia tak mahu dengar.
Di dalam Surah Al-Furqan ayat 73, Allah berfirman yang bermaksud, "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta".
Di dalam ayat ini Allah memuji orang-orang yang beriman iaitu mereka yang apabila dibacakan ayat-ayat Allah mereka tidak seperti orang yang pekak dan bisu. Orang yang beriman dia mesti faham Al-Quran. Orang yang pekak, kalau dibacakan 30 juzuk Al-Quran sekali pun dia tidak akan faham kerana dia tak dengar. Begitu juga orang buta, suruh lihat langit yang dia tidak nampak, walaupun dia mendongak tetap dia tidak akan dapat melihat kebesaran Allah. Lihatlah bagaimana hebatnya Allah yang menghantar virus COVID-19 yang kecil, yang tak nampak dek mata kasar namun boleh menggerunkan dan menggoncang dunia. Yang boleh menyebabkan kerugian ekonomi berbilion-bilion. Sepatutnya ia mencetus dalam fikiran kita akan kehebatan dan kebesaran Allah , Tuhan virus tersebut.
Allah mencela manusia yang tidak dapat merasai kebesaran Allah. Sebagai contoh, Bani Israel. Kerajaan Firaun menindas Bani Israel dengan cara menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup dalam keadaan hina dan ketakutan selama bertahun-tahun lamanya. Kemudian Allah utuskan Nabi Musa dan selamatkan Bani Israel. Lautan yang luas itu terbelah dua membolehkan mereka menyeberanginya dan terselamat daripada tentera Firaun. Mereka melihat kebesaran Allah yang membinasakan Firaun dan tenteranya. Mereka nampak dengan mata kepala mereka mayat Firaun. Apabila telah selamat, mereka lihat suatu kaum menyembah berhala dan meminta kepada Nabi Musa supaya membuatkan berhala seumpamanya agar mereka dapat menyembah. Alangkah buruknya perbuatan mereka! Inilah yang Allah perumpamakan sebagai orang yang buta, pekak dan bisu. Ada mata, ada telinga dan ada mulut tetapi gagal berfikir dan memahami kebesaran Allah.
Begitu juga Allah mengingatkan kita supaya jangan jadi seperti kaum Quraisy di Mekah bilamana Allah menyelamatkan mereka daripada serangan tentera bergajah Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah. Orang Quraisy ini mereka berniaga di Mekah dan Mekah menjadi tempat tumpuan ramai kerana adanya Kaabah. Allah tunjukkan di depan mata mereka bagaimana Abrahah dan tenteranya dimusnahkan dengan batu-batu kecil. Namun itu tidak membuka mata hati dan fikir mereka yang masih tega menyembah berhala. Walaupun Allah telah perlihatkan kebesarannya – dek kerana penyakit buta, pekak dan bisu ini – ia tidak menjadikan mereka kembali kepada Allah.
Janganlah kita menjadi manusia seperti Bani Israel dan Quraisy Mekah ini.
Sebab itu dalam situasi sekarang, kita janganlah hairan bila ada-ada saja laporan ketidakpatuhan kawalan pergerakan terhad yang dilaksanakan dalam usaha membendung COVID-19. Kita hairan ada yang masih degil keluar, tak mahu pakai penutup hidung & mulut, tak mahu menjarakkan (social distancing) , masih nak berkumpul beramai-ramai…janganlah berasa terkejut dengan sikap mereka. Sebenarnya itulah sifat manusia – degil!
Di dalam Surah Al-Baqarah , ayat 78, Allah berfirman yang bermaksud, " Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja".
Di dalam ayat ini, buta huruf yang dimaksudkan bukanlah sebab mereka tak boleh baca atau tulis . Dalam ayat ini mereka boleh baca tapi mereka tidak faham kecuali cerita-cerita dongeng dan tekaan/sangkaan. Kefahaman mereka bukanlah berdasarkan ilmu.
Tak memahami Al-Quran adalah virus yang paling bahaya yang Allah ingatkan dalam 30 juzuk Al-Quran. Banyaknya peringatan yang Allah telah berikan semenjak 1,400 tahun yang lalu tetapi manusia tidak mengendahkannya. Ini sangatlah berbeza berbanding dengan kepatuhan kepada arahan manusia. Manusia sanggup menerima arahan walaupun menyusahkan demi untuk selamatkan nyawa mereka di dunia. Terpaksa pakai mask, tetap pakai. Terpaksa beli, masih beli. Sifat hipokrit manusia sangat jelas dalam membandingkan sikap manusia terhadap arahan manusia dan arahan Allah. Allah suruh tutup aurat, bukan untuk selamat dari virus tapi Allah suruh supaya kita selamat dari neraka. Neraka yang Allah kata, yang mana bila manusia dimasukkan ke dalamnya, manusia akan dibakar sampai kulit mereka masak. Api neraka membakar bukan setakat luaran bahkan dalaman juga sampai ke hati namun mereka tetap hidup dan tidak mati-mati. Setiap kali Allah gantikan mereka dengan kulit-kulit dan jasad-jasad yang baru supaya dirasakan kepada mereka azab hasil daripada kedegilan mereka mematuhi perintah Allah. Justeru, kita dapat simpulkan di sini dengan tidak memahami Al-Quran, kita tidak akan faham perintah Allah. Bila tak faham, kita gagal laksanakan. Dan menyebabkan kita terjerumus di dalam neraka. Inilah sebesar-besar musibah.
Di dalam Surah A’li-‘Imraan ayat 133 - 136 , Allah menerangkan tentang sifat-sifat orang-orang yang bertaqwa yang layak masuk ke syurga yang luasnya bukan seekar, bukan 100 ekar tapi seluas langit dan bumi. Jangan kita ingat kita dah solat, dah berpuasa, dah pergi haji maka kita perasan kita boleh masuk syurga Allah. Jangan harap kalau kita tak punya sifat-sifat berikut iaitu :
1. Orang yang suka menginfakkan hartanya pada bila-bila masa baik ketika susah mahupun ketika senang. Iaitu dia berinfak bukan ikut musim. Kalau bermusim , contohnya bulan Ramadhan baru sibuk berinfak maka itu belum lagi dikira sebagai bertaqwa.
2. Orang yang dia dapat menahan marahnya. Orang yang bersabar dalam apa jua situasi. Ramai orang boleh solat tetapi tak boleh tahan sabar. Orang suruh dia berbaris, dia tak suka, dia maki sedangkan dia kaki surau, kaki masjid. Orang macam ini sebenarnya belum lagi dikira bertaqwa.
3. Orang yang suka memaafkan orang lain. Kalau susah nak maafkan orang tapi suka pergi umrah berkali-kali, itu belum digolongkan sebagai orang bertaqwa di sisi Allah.
4. Orang yang bila dia buat dosa, dia terus takut, ingat azab Allah dan terus bertaubat. Dia tidak kekal lama dalam dosa itu. Jangan fikir kita geng masjid kita sudah dianggap bertaqwa. Ada seorang wanita kuat bersolat malam tetapi pada akhirnya dia adalah penghuni neraka kerana dosanya yang suka menyakiti hati jiran. Jika ada buat dosa, teruslah segera bertaubat dan jangan diulangi dosa itu.
Al-Quran beri kita peringatan dan arahan, merawat jiwa kita, yang sepatutnya kalau kita ini benar-benar beriman, kita kena buka telinga, buka minda. Dengar dan segera ikut perintah Allah.
Ikut perintah kerajaan itu boleh tetapi jangan tolak tepi perintah Allah. Allah adalah pencipta manusia yang beri arahan kepada kamu. Kenapa tak mahu ikut? Bila kita tadabbur Al-Quran satu persatu, kita akan sedar…Ya Allah, jauhnya kita dari Allah. Nabi pesan pada kita, jangan jadi seperi orang Khawarij yang mulutnya membaca Al-Quran tetapi hanya sampai ke halqum dan tak sampai ke hati. Allah tidak pandang walaupun kita khatam atau hafiz. Bacaan yang diberi pahala ialah bacaan yang sampai ke hati.
Di dalam Surah Al-Israa’ ayat 105, Allah berfirman yang bermaksud, " Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)".
Allah menurunkan Al-Quran sebagai peringatan yang apabila Nabi faham akan kalam Allah, maka tugas Nabi ialah untuk memahamkan pula umatnya. Dan bagi kita pula, bila kita faham Al-Quran, ikutlah macam Nabi buat. Dakwahlah pula kepada orang lain dengan cara yang baik. Buat kerja di dunia ini untuk selamat di akhirat. Bila ikut perintah Allah dan selamat, di akhirat nanti beroleh ganjaran syurga. Dalam syurga tak payah kerja, hanya ambil dan nikmati segala nikmat yang Allah sediakan. Di dalam syurga akan diperolehi segala apa jua yang diingini dan terlintas di fikiran. Ini digambarkan dalam ayat 15 Surah Adz-Dzaariyat : "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.".
Apa yang dikerjakan oleh manusia seperti ini sehingga mereka beroleh balasan yang sedemikian? Apa yang golongan Muhsinin ini perbuat sehingga beroleh ganjaran syurga dan pahala yang besar? Ini adalah mereka ini ketika di dunia, pada sebahagian besar malam mereka berjaga. Untuk apa? Untuk bersolat dan mengingati Allah. Sedikit sekali mereka tidur. Setelah solat malam, di hujung-hujung waktu yakni dekat subuh ataupun waktu sahur, mereka merasa takut akan solat mereka – mereka takut solat mereka tidak diterima Allah maka mereka kembali bertaubat kepada Allah. (Surah Adz-Dzaariat 16-19).
Cuba bayangkan keadaan kita yang bukan saja tak solat malam, malahan ada yang solat pun culas. Itupun belum rasa mahu bertaubat. Begitukah hubungan kita dengan Allah?
Siapakah orang-orang Muhsinin?
1. Sembah Allah seolah-olah Allah ada di hadapan mereka (ihsan)
2. Ihsan terhadap manusia lain – Kalau solat, puasa, berinfak tapi tidak pedulikan orang lain, itu tidak dikira muhsin.
Ketahuilah dalam harta manusia itu ada bahagian/hak orang miskin. Orang miskin pula terbahagi kepada 2 iaitu yang meminta dan yang tidak meminta. Hubungan kamu bukan setakat dengan Allah tetapi dengan manusia lain. Berapa ramai orang yang pergi Mekah, buat haji dan umrah berkali-kali tetapi seorang anak yatim pun dia tidak bantu? Itulah pendusta agama! Dialah orang yang tak peduli dengan orang miskin dan anak-anak yatim. Dia jadi susah dan kedekut nak keluarkan wang ringgitnya sama macam orang munafik yang susah nak buat perkara yang tiada pulangan untuknya. Allah menempelak sifat seperti orang munafik ini. Dia suka solat sebab tak perlu nak keluarkan duit untuk bersolat. Dia suka pergi umrah sebab duit yang dia keluarkan itu adalah untuk dirinya sendiri.
Dalam situasi kita sekarang, hubungan sesama manusia ini boleh dijelmakan apabila kita membantu barisan petugas hadapan COVID-19. Kita boleh bantu mereka dengan duduk di rumah. Kita boleh bantu dengan memberi sokongan, bantuan dan motivasi kepada mereka. Beri semangat kepada mereka. Itulah juga dikira sebagai hablun minnan-nas kalau kita tak boleh bantu dengan tenaga dan wang ringgit. Jangan kita beramal dan beribadat untuk diri kita sahaja tapi beribadatlah juga untuk bawa kebaikan kepada orang lain.
Nabi SAW bersabda, " Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia lain. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini -masjid Nabawi- selama sebulan penuh." (HR. Thabrani) Syaikh Al Albani mengatakan hadis ini hasan.
Beribadat bersendirian kebaikannya tidak melimpah. Justeru, menyebarkan kebaikan sehingga orang di sekeliling merasa tempias kebaikan itu adalah lebih diutamakan. Islam adalah baiki dirimu dan berdakwahlah mengajak orang lain agar menjadi baik seperti kamu.
Kesimpulan daripada perbincangan ini :
1. Musibah yang Allah beri ini telah dicatitkan. Maka, janganlah bersedih. Kalau Allah dah catitkan akan kena kepada kita, terima dan bersabarlah. Jangan sedih kerana kesedihan itu tidak akan menghilangkan apa-apa yang telah Allah takdirkan berlaku. Kalau sedih berterusan ibadat kita akan jadi tidak tenang dan khusyuk seterusnya mengganggu kita dalam usaha menambah amalan. Semoga musibah ini menjadi nikmat kita beroleh kedekatan dengan Allah. Kalau Allah selamatkan kita dari musibah COVID-19 ini, bersyukurlah dan teruslah beramal soleh. Hiduplah dengan beribadat kepada Allah. Jangan buang masa. Hafallah ayat-ayat dan surah-surah baru. Tadabbur Al-Quran.
2. Jangan takut dengan kematian. Bersedialah untuk mati. Baiki ibadah. Baiki hubungan. Banyakkan amalan seperti solat dhuha, solat rawatib, zikir pagi dan petang. Itulah amalan yang kita akan bawa ke akhirat nanti.
Bila baca Al-Quran, perhatikanlah. Fahami apa yang Allah perintahkan dan praktikkan. Allah tidak berkata yang sia-sia. Pasti setiap satunya mengandungi kebaikan. Sentiasa baca dan fahamkan perintah Allah. Ada orang boleh baca Al-Quran 30 juzuk, satu huruf dan satu baris pun tak jatuh tapi semua perintah Allah ‘jatuh’. Dia tak amalkan, hanya sekadar menyebut dibibir.
Justeru, untuk menyelamatkan kita dari musibah membaca Al-Quran namun tidak beroleh kebaikan dari bacaan itu dan tidak juga memahami isi kandungan dan perintah Allah, Nabi mengajarkan kita agar membacakan doa ini. Sesiapa yang membaca dan mengamalkan doa ini Allah akan menghilangkan rasa gelisahnya dan mengganti kesedihannya dengan kegembiraan:

Maksudnya :
Ya Allah sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba laki-lakiMu, anak hamba perempuanMu, ubun-ubunku berada di tanganMu, hukumMu berlaku pada diriku, ketetapanMu adil atas diriku, aku memohon kepadaMu dengan segala nama yang menjadi milikMu, yang engkau namakan diriMu dengannya, atau engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu, atau yang engkau rahasiakan dalam ilmu ghaib yang ada di sisiMu.
Engkau jadikan al-Qur’an sebagai penyejuk hatiku, cahaya bagi dadaku dan pelipur kesedihanku serta pelenyap bagi kegelisahanku’.
Pada permulaan doa ini terlihat panjang kerana ini adalah kaedah berdoa dengan bertawasul yakni kita merendahkan diri untuk meminta dengan Allah. Kita mengakui, kita adalah hamba Allah. Bapa dan ibu kita adalah hamba Allah. Maka, kita adalah dari keturunan hamba yang hina. Tiada sebab untuk kita sombong dengan Allah. Bahkan kita mengakui ubun-ubun kita berada dalam genggaman Allah. Allah bisa saja memperlakukan kita sekehendakNya dan kita sebagai hamba hanya perlu pasrah dan redha dengan apa jua ketentuan Allah. Selagi mana kita ini hamba, selagi itulah kita tertakluk kepada hukum Allah. Apa jua keputusan dan takdir Allah, suka atau tidak, kita kena terima. Ini adalah kerana hukum dan ketetapan Allah itu adil. Ini adalah soal akidah. Bila Allah tetapkan, pastilah ianya adil. Kita ada anak ke tak ada anak ke…Allah adil. Kita ada isteri ke tak ada isteri ke memang Allah adil, sihat ke atau tidak, tetap saja Allah itu adil. Maka jangan merungut-rungut meratapi takdir Allah. Itu bukan sikap orang beriman.
Seterusnya, kita diajar untuk bertawasul dengan kesemua nama-nama Allah. Yakni apa jua nama yang Allah namakan dirinya kerana hanya Allah sahaja yang berhak menamakan dirinya. Nama –nama itu ada yang Allah sebut dalam kitab-kitabNya atau kepada pesuruh-pesuruhNya. Ada juga nama-nama itu Ia sembunyikan dan tidak didedahkan yang mana kita manusia tidak akan tahu kerana pengetahuan Allah sangatlah luas. Dengan nama-nama inilah kita bertawasul dan seterusnya kita meminta, yakni, kita minta supaya Al-Quran itu menjadi ‘al-rabigh’ atau penyejuk bagi hati kita. Dalam Bahasa Arab, ‘al-rabigh’ itu adalah musim bunga. Bila tengok bunga kan kita rasa seronok, rasa senang dan tenang. Begitulah kita mahu Al-Quran itu jadi pada kita. Semakin di baca semakin menyeronokkan bukan jadi makin baca makin lemas dan rimas. Kita tak mahu begitu. Jangan Al-Quran itu kita hanya nak baca seminggu sekali dan di simpan saja .
Kena usahakan untuk mencintai Al-Quran supaya dengannya kita boleh memahami perintah Allah. Biar Al-Quran menjadi cahaya kepada kita, bukan kerjaya dan keluarga jadi cahaya. Kita nak Al-Quran menjadi penghilang kesedihan di hati kita. Selagi tak faham, selagi itulah kita tidak akan dapat manfaat menikmati Al-Quran.
Al-Quran menghilangkan kesedihan & kerisauan :
Husni : Benda yang telah luput/hilang yang menyebabkan kita bersedih
Hammi : Benda yang akan datang dan merisaukan kita (sebab kita tak tahu masa depan)
Berubahlah. Bila lagi masanya kita nak mula rasa seronok dengan Al-Quran. Seronok nak baca surah panjang-panjang? Nabi baca 3 surah panjang dalam satu rakaat solatnya sebab Nabi enjoy baca. Kita bagaimana? Bila baca Al-Quran kita rasa mengantuk. Sampai bila kita nak baca tapi tetap biar diri kita tak faham apa yang kita baca. Sampai bila kita nak berada dalam keadaan baca Al-Quran tapi tidak merasakan apa-apa. Sedangkan Al-Quran itu kalau diturunkan kepada gunung, gunung yang keras dan pejal itu boleh pecah. Kamu manusia ada akal tapi mengapa tidak memikirkan?
Hanya Al-Quran boleh menghilangkan kerisauan dan kesedihan manusia. Hati penuh dengan titik-titik hitam dek dosa, berdoalah semoga dikurniakan hati yang sihat dan bersih agar kita mampu menghayati Al-Quran, memahami dan mengikuti perintah Allah. Berusahalah sebagaimana kita berusaha dan peka untuk mengikuti arahan-arahan MKN dan KKM. Arahan-arahan ini budak-budak kecil dan orang-orang tua pun mampu fahami tapi bagaimana dengan perintah Allah? Di manakah Allah dalam kehidupan kita?
Renung dan fikir-fikirkanlah.
(Belated entry)