Showing posts with label Driving. Show all posts
Showing posts with label Driving. Show all posts

Wednesday, March 11, 2026

Dalam Perjalanan

Apabila sudah terlalu sering melalui jalan yang sama, sekitar masa yang sama maka perjalanan rutin itu menemukan Telipuk dengan rutin orang lain juga. Antara perasan atau tidak sahaja. Memanglah bila memandu itu Telipuk fokus pada pemanduan, tetapi ada ketika-ketikanya saat perjalanan tidak menjadi lancar, Telipuk tidak punya pilihan lain melainkan membuang pandang ke luar, melihat apa-apa jua yang tertangkap dek penglihatan Telipuk. Kadang-kadang hanya selayang pandang cuma, tidak memberikan apa-apa makna. Ada kalanya terakam kukuh. Ada beberapa sosok yang Telipuk sudah boleh cam dari kejauhan sebab sudah biasa terlihat berpapasan. Sebelum puasa dulu, akan biasa terlihat kelibat seorang mamat ni berjogging. Masa mula-mula nampak dulu, dia sekadar brisk walk . Everyday, without fail,  akan nampak dia di arah bertentangan laluan Telipuk menuju ke persimpangan trafik Jalan 6. Hari demi hari langkah dia semakin mantap dan konsisten. Hemmm...kalaulah Telipuk pun buat macam tu beberapa bulan lalu, agak-agak dah boleh masuk Standchart punya running event kot...hahahahaha. Bulan puasa ni tak pula Telipuk nampak lagi kelibat mamat ni. Agaknya dah ubah jadual kot. Apapun Telipuk tumpang bangga dengan gaya hidup sihat dia, wajar dicontohi jua.

Okay, yang kedua, ialah sosok seorang gadis muda yang berjalan kaki menuju ke LRT Sentul Timur. Dalam ramai-ramai manusia itu, pandangan mata Telipuk terhenti kepada dia. Orangnya kurus. Jalannya perlahan. Sebelah tangan memaut crutches, langkah kaki diatur pelahan. Headphone terlekap kemas atas kepala, sikit pun tudungnya tak kemek. She looks so cool. Ya, orangnya manis. Jauh juga tu dia berjalan dalam keadaan begitu. Nampak fragile tapi dalam masa yang sama terlihat kuat. Telipuk pasti ia bukan sesuatu yang mudah, baik dari segi fizikal mahupun mental. Setiap kali menunggu dalam barisan panjang yang bergerak lambat dek menunggu lampu trafik bertukar warna, setiap kali itulah Telipuk akan menjengah mencari kelibat gadis itu. Samada dia akan berada hampir berdekatan warung Jack Masala Tea ataupun dia sudah melepasi kuil, bergantung kepada kecepatan Telipuk sampai. Bila melihat kepayahan orang lain, rasa insaf bahawa apa yang kita lalui sebenarnya tak adalah seberat mana. Telipuk harap gadis itu kekal kuat dan semoga diberikan kesembuhan atas apa jua penyakit yang dialaminya.

Seterusnya bila Telipuk sudah berhasil melepasi trafik light pertama, dan kalau bernasib baik trafik light kedua dan ketiga juga (sebab tiga-tiganya hampir serentak bertukar warna), maka Telipuk dah tak de kesempatan nak tengok itu ini, hanya fokus pada pemanduan. Sentul Link tu lazimnya lancar dan kena berhati-hati dengar motosikal baik yang laju mahupun yang perlahan kerana bahagian tepinya tak lebar mana. Ada je yang akan makan jalan. Begitu juga di penghujung jalan sebelum bercantum dengan Lebuhraya Sultan Iskandar (Mahameru) yang perlu masuk secara berselang-seli bilamana jalan dua lorong menjadi satu. So, dekat situ memang tak de melilau mata. Di atas Mahameru, biasanya Telipuk memandu di lorong paling kanan, bukan sebab Telipuk bawak laju tapi sebab ada je driver yang akan bertukar lorong ke kiri nak ke arah Semantan/Damansara/Lebuhraya Sultan Abdul Halim...jadi tak payah Telipuk nak tekan-tekan brek. Hanya bila dah lepas Lake Garden tu je, mula Telipuk menyusur ke kiri dan stay di lorong kanan juga untuk menghala ke Bangsar berhadapan dengan kawasan KL Sentral. Bila lepas susur ke Petaling Jaya dan Jalan Maarof (biasanya pagi-pagi ni polis trafik dah tutup jalan ni), barulah Telipuk duduk paling kiri dan  bergantung kepada awal mana Telipuk sampai di situ, menentukan lama mana Telipuk perlu tunggu untuk melepasi persimpangan trafik Pantai Baharu. Kat sinilah biasanya Telipuk akan nampak kelibat seorang lelaki yang berjalan kaki. Telipuk gelar dia 'oppa' sebab dia macam ala-ala oppa hahahaha. Ada sekali tu Telipuk sampai sedikit awal, dan nampak dia sudah berjalan. Rasa-rasanyalah, dia naik lrt dan turun di stesen Abdullah Hukum. So, logiklah dia berjalan dari situ...tapi agak jauh tu sebab kadang-kadang Telipuk nampak dia berjalan melepasi kawasan perumahan Putra Ria...kerja kat Media Prima ke eh? Tapi memang menarik perhatian jugaklah tengok dia berjalan, biasa tengok foreigner je jalan kaki jauh-jauh macam tu. Dia jalan nampak santai dan rileks. Muka dia memang muka senyum...rambut beralun bila berjalan. Berbaju kemeja longgar lengan pendek, sebelah tangan dalam saku seluar. Beg galas disarung melintang. Orangnya tinggi lampai, tak gemuk dan tak kurus. Sedang-sedang aje. Wahhhhh...deskripsi kemain. Yelah, dah selalu nampak kannn. Hehehehe. Apa agaknya cerita dia ya? Hemmm...menarik kan, bila kita ada masa memerhatikan sekeliling. Ada ramai manusia dengan cerita masing-masing. Kalau boleh dengar semuanya pun tak larat nak dengar. Jadi, fokuslah kepada cerita diri kita sendiri...tu pun, tak larat kita nak hadap kan. But, we just show up la kan...no matter what.

Begitulah kisah perjalanan yang kedengaran rutin tetapi tetap ada sesuatu di sebaliknya. Pengajarannya, setiap kita ada permulaan dan penghujung. Kita tahu kita bermula dari mana, dan seharusnya kita tahu ke mana destinasi kita. Dan sepanjang perjalanan itu, kita akan bertemu dengan macam-macam dugaan atau distraction yang boleh menyebabkan kita tersasar dari tujuan asal. Tak penting peristiwa apa yang berlaku kat kita tu, yang penting jangan sampai tersasar jauh, agak-agak dah menjauh tu...cepat-cepat balik ikut laluan yang betul. Haaa...macam tu. Boleh faham ke wey? 😅

Monday, February 23, 2026

Kematu dalam Kereta

POV : Hari pertama memandu ke pejabat dalam bulan Ramadan setelah habis cuti sekolah dan CNY 😅. Minggu lepas boleh lah memandu sambil tersengih-sengih sebab 'line clear'. Berdebor jugak pagi tadi sebab kita sedia maklum dalam keadaan biasa pun trafik ketika 'peak hour' di Kuala Lumpur ini sememangnya semakin sesak semenjak dua menjak ini. Ada yang kata sebab pertambahan bilangan kereta, BBNU dah pakat masuk kerja dan mampu beli kereta. Hemm...betul jugak tu. Hujung tahun lepas pun banyak promosi kereta dengan diskaun bagai. Jalan sama je macam tu, maka, pertambahan jumlah kenderaan menyebabkan pergerakan kenderaan sediaada pun semakin perlahan. 

Jadi pagi ini, Telipuk keluar awal sikit. Awal tak awal pukul 7 jugaklah, abis awal macamana lagi kan? Takkan nak keluar jam 6 pagi, Sentul je kot hahaha. Tapi tu la, nama je keluar jam 7, pukul 7.30 pagi Telipuk baru berhasil keluar dari Jalan Enam menaiki Sentul Link. 30 minit tu terkedek-kedek bermula dari LRT Sentul Timur, sampailah ke persimpangan trafik depan Flat Negeri Sembilan. Perjalanan meredah Lebuhraya Sultan Iskandar agak lancar sehingga susur keluar ke Jalan Bangsar. Kat situ, spent lagi 10-15 minit sebelum lancar semula sebaik melepasi LRT Bangsar. Lepas tu baru nak sedap drive, dah kena tekan brek semula sebab kat area sebelum sampai kawasan jajahan TNB tu. Menunggu jer la bergerak perlahan-lahan sebab kat depan tu traffic-light Pantai Baru dengan pemandu-pemandu lorong paling kanan mula masuk laluan sebab depa sebenarnya nak buat pusingan U untuk ke Bangsar melalui Jalan Maarof. 

So, sudahnya Telipuk sampai beberapa minit sebelum jam 8. Bulan puasa ni aturan kerjanya ialah masuk jam 8 pagi, keluar jam 4.30 gitu. Alhamdulillah, first come, first serve free parking lot masih banyak kosong jadi selamat la duit touch & go Telipuk. Naik atas pun ada banyak cubicle kosong tapi kepulauan tepi dinding tu dah berpenghuni jadi Telipuk membawa diri ke kepulauan hujungggg sana, dah macam Cook Island rupanya dengan hiasan pokok palma tu. Settle bab masuk kerja. Tapi.....masalah tak selesai lagi tau sebab haaaa ko tunggu la time balik 4.30 nanti...hishhh serammm. Hari-hari biasa pun sejam lebih nak sampai rumah, inikan pulak bulan puasa. 4.30 tu...kalau dapat lepas area keliling TM ni bertuahlah, takut 4.30 tu masih duduk dalam parking sebab tak lepas keluar. Mengambil kira hal ni, Telipuk dah pesan suruh anak-anak uruskan sendiri juadah berbuka puasa nanti, alah beli je la kat bazar UTC tu. 

Harap-harap hari ini bolehlah sampai rumah dalam pukul 6...hehehehe boleh ke? Bermakna, 4.30 keluar tu Telipuk solat asar di rumah. Kalau tunggu solat di pejabat, pukul 5 baru keluar...errkkk...lagi haru rasanya. Ok tak pe, go with this plan dulu hari ni...tengok macamana. Apa-apapun kena bersyukur banyak-banyak sebab busuk-busuk pun masih sejam, sejam lebih je...kalau kawan-kawan lain, yang dok Bangi, Kota Warisan, Puncak Alam....insaf tau awak!😁

Wednesday, May 11, 2022

Laporan Trafik Hari Pertama Masuk Pejabat Selepas Raya :)

Setelah sakan beraya , masanya pun tiba untuk kembali memunculkan diri di pejabat . Pun begitu jadual penggiliran masih digunapakai, bermakna 3 hari Telipuk perlu hadir ke pejabat manakala baki 2 hari lagi bekerja dari rumah. Isnin tadi Telipuk masih WFH, selasa bercuti sebab ada hal. Plan asal nak gerak keluar dari rumah jam 7.30, tetapi dek ke hulu ke hilir dengan macam-macam benda nak buat, terlewat 15 minit. Maka, pada ketika Telipuk keluar gate AVC, kenderaan di Jalan 1/48A menghala ke Bulatan Pahang dan Jalan Sentul sudah merangkak-rangkak. 

Well...tak pe lah, Telipuk terus ikut laluan biasa menuju Jalan Enam, meskipun sepanjang jalan tu ada 10 bonggol kan...ditambah lagi dengan kemunculan lampu isyarat di hadapan Sky Meridien, memang pergerakan tu tak laju. Dan as expected, belum jauh bergerak, sangkut dah berhampiran LRT Sentul Timur. Hemm...Telipuk sikitpun tak heran ahahaha...yelah...apa barangkan, jem balik raya yang 7-8 jam tu lagikan ku harungi...setakat jem seminit dua ni apa sangatlahhhh. Chewaahhhh...tetiba rasa macam tak de mende sangat jem macam ni. Patut syukurlah sebab tak de la sampai 10 minit pun sangkutnya...once dah lepas traffic light Jalan Enam tu, memang line clear. 

Sentul Link seperti biasa memang tidak mengecewakan...kenderaan di atas Lebuhraya Sultan Iskandar memang banyak, tapi bergerak lancar. Sedikit sangkut masa nak exit ke Jalan Bangsar. Ingatkan kena queue panjang kat traffic Jalan Pantai Baru...tapi alhamdulillah, hari ni memang rezeki Telipuk tak sampai seminit pun tunggu. So, despite keluar lambat, pukul 8.20 Telipuk dah masuk parking Menara TM. Selamattttt!!! Alhamdulillah.

Wednesday, August 26, 2020

Ops Bunjut

Minggu lepas Telipuk diserang virus 'rajin' melampau ...apalagi, macam-macamlah aktiviti dibuat. Antaranya Ops Bunjut iaitu operasi membongkar dan menyelongkar almari, kabinet, kotak-kotak pakaian. Macam meluat pulak tengok muatan almari dengan baju tak de sapa nak pakai tu. Betul ada peti serahan pakaian kat beberapa kawasan sekitar BBS ni, tapi Telipuk tak yakin dengan cara ia diselenggarakan. Sakit hati je tengok pakaian terpakai melimpah ruang...tak de pulak ke yang mengutip? Tu satu hal, satu hal lagi jadi tempat warga tak bertanggungjawab buang sampah...semua dilonggokkan kat situ. Agak-agak kalau ada pakaian yang masih elok, terus jadi rosak gara-gara kena air kopi, dan segala kotoran seumpamanya.

Biasanya kalau ada pakaian yang dah tak muat tu, Telipuk bawak balik kampung. Nanti tahu je mak Telipuk beri pada orang. Kebetulan Ustaz nak pergi program di Sabah dan minta sumbangan pakaian terpakai. Haa...elok sangatlah ni. Jadi, dengan rajinnya Telipuk pun mengemas dan mengumpulkan pakaian-pakaian yang masih elok untuk diserahkan sebagai sumbangan. Ingatkan banyak, last-last dapat satu kotak je pun...Pakaian ni bila lama terbiar, yang jenis bergetah di pinggang tu...pakat kendur belaka...tak kan nak bagi, nak pakai pun londeh. Nak bagi yang fesyen-fesyen pun agak jugaklah eh...warna yang pudar atau jahitan yang dah tak kuat pun kena diketepikan. Ok tak apalah, excited jugak sebab ini first time nak donate macam ni...jadilah satu kotak pun.

Selesai bab baju. Now, masuk bab penyerahan. Pejabat NGO Ustaz kat Shah Alam...hallamak, tak lalu pulak rasa nak drive pergi Shah Alam. Semangat dah ada ni...nak execute je tinggal. Tanya punya tanya, depa bagi pick-up point dekat Masjid As-Shariff, Gombak. Oklah tu kan...idok le jauh bebenor nak mengantor. Oraitt...Telipuk pun setuju pergi sana. Janji nak jumpa pukul 12.30 tengahari, rasa ok je sebab tak jauh. Less than 15 mins ni. Sekali nak ikut jalan pantas punya pasal, Telipuk ambik DUKE. Dalam kepala tu tahu dah nak tuju mana, masalahnya bila naik highway tu...automatik je kereta ni maintain lorong kanan tanpa menyedari yang exit hala Kuantan tu cuma 200 meter je sebaik naik DUKE dari jalan Pahang tu...adoiii...dah salah jalan beb...ke ko nak balik Perak? Aiyakkk...missed the exit. Tak pe...nak wat camner, benda dah jadi. Takkan nak mengundur pulak. Maka Telipuk pun teruskan jua perjalanan dengan hati yang gabra, terus ambil exit pertama jumpa selepas tol Batu. Keluarlah ke Jalan Kuching menuju Jalan Ipoh. Masa tu dah pukul 12.30. Dalam hati ingat nak ikut jalan biasa dah le, kiranya lepas Jalan Ipoh nanti Telipuk rasa nak ambil Jalan Sentul terus ke simpang Bandar Dalam. Nanti belok kiri lalu jalan Taman Pelangi/Taman Samudra tu...then baru belok kanan hala Greenwood.

Agaknya tengahari, kereta pun dah banyak maka jalan tersekat-sekat. Terus bukak waze sebab risau pulak lambat, mana tahu waze ada jalan lain. Bila dah bukak waze, main ikut jer la, ntah ke mana di bawaknya dengan jalan construction mrt di kiri kanan, dengan traffic light berlapis-lapis...adoiii...rasa macam tak sampai dah. Tapi sebab niat tu dah baik (rasanya lah), Telipuk tabahkan hati je la...dok pikir, tak apalah...just jalan je la mudah-mudahan sampai.Waze bawak ikut bulatan Batu Caves, lepas tu pergi terus je. Oklah, bertenang...jaga depan, mata tengok cermin sisi kiri, kanan...slow and steady. Akhirnya sampai la jugak...alhamdulillah, pukul 12.58. Perghhhh...nasib baiklah adik volunteer tu masih dok tunggu tepi jalan sebab ada a few yang sama tujuan dengan Telipuk pun baru sampai. Lega rasanya. Bila dah serah rasa best je sebab walaupun pada asalnya Telipuk macam tak yakin nak bereskan aktiviti ni, akhirnya siap jugak hahaha...selalu ada je mangsa-mangsa lain yang Telipuk akan ajak join sebab diaorang ni yang akan jadi pembantu dan pemberi semangat. Ada yang jadi driver, ada yang jadi tukang call dan sebagainya. Kali ini end-to-end Telipuk handle sorang-sorang. Al-maklumlah, PKPP masih berjalan...tak sempat nak jumpa kawan-kawan dan plan.

Apapun, syukur alhamdulillah. Kita merancang, Allah yang menentukan. Yang penting cuba yang terbaik. Tak kisah hujungnya apa, yang penting usaha. Yezza...bagi semangat kepada diri sendiri ya!





Friday, March 23, 2018

Mencegah Itu Lebih Baik

Kalau nak ikutkan cara pemanduan pemandu-pemandu yang Telipuk berurusan di jalan raya setiap hari, mahu kemek di sana-sini kereta kesayangan Telipuk tu. Sungguh!!! Jangan kata kemek, silap hari bulan, dengan Telipuk sekali tak tau hidup lagi ke tak...sungguh aiiihhhh! Ni bukan cerita lawak. Cerita sungguh-sungguh ni!

Betul, dah lama Telipuk tak berkisah tentang pemanduan Telipuk. Satu , sebab Telipuk dah bukan kategori 'novice' (lama dah kottt...tu masa KL Traffic baru diperkenalkan). Dan sebab lagi satu ialah sebab Telipuk dah 'mangli'. Mangli ni, orang Utara kata dah 'terbiasa' maksudnya. Terbiasa sampai dah malas nak cakap apa lagi dah walaupun perbuatan itu menjengkelkan.

Contoh ayat :
A : "Pasaipa hang tak tegoq dia buat kat hang lagu tu? Ada ka kata lagu tu...akai tak dak ka??"
B : "Emmpphh...malaih aihh. Dia memang lagu tu. Aku dah mangli!"

(Errr...nak kena translate perkataan lain jugak kah? Hahahah...lantakkkk...)

Jadi, ya, macam tu lah. Telipuk dah mangli dengan gelagat pemanduan yang tak berhemah tu. Macam-macam gaya ada. Yang tak sabar-sabar nak potong sampai dia sanggup mai ikut yang tak patutnya dipotong...hat yang tak reti nak bagi signal tu lagilah berlambak. Tu tak reti bagi...ada jugak yang bagi, tapi salah. Dia bagi kanan, tau-tau dia belok kiri...adui laaaaa...tepuk dahi kita. Pasal nak tepuk hon kereta tangan Telipuk tak biasa sebab yang rajin tekan hon ni tanpa apa-apa sebab yang munasabah tu hanyalah orang yang perlu belajar menguruskan kemarahannya. Kena belajar bersabar. Telipuk tak kata lah Telipuk ni sangat penyabar sebab macam-macam boleh menguji saat berlabuh di belakang steering kereta tu...but I will always give my best to stay calm. Hehehe. Alhamdulillah, mujurlah Allah tolong dan bantu dalam setiap ketika.

Kunci 'ketahanan' Telipuk di atas jalan raya ada beberapa tips dan kekdahnya :

1. Sebelum memandu, of course, bacalah doa memandu. Serah bulat-bulat kepada Allah sebab that might as well be your last driving trip. So, if you gonna die, make sure you die as a muslim (tu diaaa...).
2. Kalau mulut tu masih ringan dan rajin, bacalah apa-apa ayat Al-Quran...berzikir...ingat Allah. Yang ni kalau tak berapa kental, boleh pasang CD juga. Telipuk pun adakala tak buat juga, especially kalau bukan memandu seorang sebab sibuk bercakap dengan orang dan orang pun ramai nak dengar radio dan lagu. Cabaran : Nak mengekalkan iman bukan sesuatu yang mudah uols.
3. Jangan memandu dalam keadaan tengah geram kat seseorang or dalam keadaan emosi tak stabil Telipuk pernah eksiden langgar pokok dan hampir meremukkan seluruh bahagian depan kereta gara-gara itu. I've learnt my lesson definitely.
4. Jangan memandu dalam keadaan terkuap-kuap dan rasa mengantuk. Mungkin kita cakap dalam hati, tak pe...tak pe...boleh ni...sikit lagi...sikit lagi, but, pelupuk mata anda itu bukan di bawah kawalan kuasa anda. Ingat, ia tak memerlukan kepada seminit dua...tapi sesaat, dua saat pun sudah cukup untuk menyebabkan kemalangan. Jangan konfiden sangat ok? Kalau dah mengantuk, berhenti sekejap di tempat yang selamat.
5. Sentiasa mengawasi jarak. Jangan dok himpit-himpit orang. Kalau orang tu perlahan, sabar sekejap...ada ruang boleh potong, potong. Tapi kalau yang kat belakang tu laju, hang janganlah nak tunjuk terrer pulak...tau la kereta kita lagi tip top dari kereta dia...tapi well, I always give way to a speeding myvi or viva...bagi canlah...may be dia sakit perut kot or kucing dia nak beranak (sila bersangka baik).
6. Gunalah segala kecanggihan kereta anda untuk membantu perjalanan yang selamat. Signal tu harga dia dah masuk sekali kot...so, guna. Kalau tak mau guna, lain kali beli kereta tu suruh exclude...senang, dapat kot extra diskaun. Cermin pandang belakang tu gunanya untuk tengok keadaan kat belakang, apa ada...bukan nak jadi hiasan atau nak kenyit2 kat orang belakang ek.
7. Kalau suasana tak terang, jangan kedekut pasang lampu. Tak nampak macho pun drive dalam hujan tak pasang lampu. Safety comes first uols!
8. Kalau ikut waze...atau tak sure jalan, if you tersalah apa ke...jangan panik. Jangan nak suka-suka reverse or belok mengejut tak tentu arah. Stay calm. Bior sesat, jangan tersagat! Telipuk dah banyak kali sesat-sesat ni, tapi chill la...nanti pusing-pusing, in shaa Allah, adalah jalannya. Itu lebih baik daripada menyusahkan orang dan diri sendiri.
9.  Sentiasa humble ketika memandu. Jangan pandang rendah pada yang tempek P. Jalan raya itu untuk kegunaan bersama. Bersabar itu lebih baik. Jangan juga perasan hebat dengan pengalaman berpuluh tahun memandu. Setiap situasi itu berbeza.
10. Dan akhir sekali...fikir-fikir dan renungkan dalam-dalam. Mahal kot kereta yang kita beli tu. Sayangkan nak cari pasal. Kalau masuk bengkel kan menyusahkan...nak keluarkan duit (urusan insuran bagai) dan masa terbuang nak menunggu...dan kereta pun dah rasa lain macam. The whole process sangat menyusahkan. Jadi, mengapa nak ambil risiko juga? Sayangi dan hargailah.

Well...of course, those untuk aplikasi diri sendiri. Memanglah, kalau benda dah nak jadi, ianya pastikan terjadi. Kita tak boleh paksa orang lain untuk buat macam yang kita nak. Namun, kalau apa yang kita boleh kawal...kawallah sebaik mungkin. Selebihnya serah pada Allah. Bukankah itu lebih manis?



Friday, January 15, 2016

Dari Kuala Ke Bagan

Dikhabarkan Bagan Datoh juga bakal menjadi sebuah daerah kecil di negeri Perak. Daerah yang ke-12 ek? Wahh...meriahhh!!! Kalau sebut Bagan Datoh, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah pokok kelapa. Mana taknya, sepanjang dok belajar Ilmu Alam atau bahasa glamernya Geografi di sekolah dulu, inilah fakta yang sering disebut-sebut. Sememangnya tanah di Bagan Datoh sesuai dengan penanaman kelapa. Dan satu lagi, bila sebut Bagan Datoh, terus teringat dekat penyanyi veteran Dato' M.Daud Kilau. Mana taknya, saya membesar dengan lagu-lagunya sebab nenek saya suka sangat lagu-lagu dia.

Saya tidak pernah menjejakkan kaki di Bagan Datoh atau mana-mana kawasan sekitarnya. Tidak sehingga awal Januari ini bilamana saya memandu ke sana bersama emak. Destinasi dituju ialah Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh. Menarik betul perjalanan ke sana. Sebetulnya saya teruja, maklumlah belum pernah sampai. Kakak yang terlebih dahulu meninjau kawasan memberi maklumat yang sedikit merisaukan. Bimbang berdepan dengan masalah, emak pun semangat menyiapkan bekalan. Mihun goreng dengan pulut kuning kari daging...nah...amik ngkau...boleh tidur sampai petang ni kalau dah balun pulut :)

Bertolak dari rumah sekitar jam 7.30 pagi, saya mengambil lebuhraya Utara Selatan untuk keluar ke Exit 115 Rawang Selatan. Dari situ saya mengambil laluan E25 LATAR. Sebaik keluar di persimpangan Ijok-Kuala Selangor, saya membelok ke kanan menghala Kuala Selangor. Belum jauh berjalan kami dah teruja tengok gerai cendol, gerai kerepek, gerai jagung...wahhh...nak menyinggah jer rasa tapi tak boleh singgah, takut tak sampai Bagan Datoh pulak. Kesian Snowie sebab terpaksa pandu perlahan dek kehadiran lori-lori yang besar ditambah dengan kondisi permukaan jalan yang tak berapa mesra dengan roda kereta. Belum dikira bonggol yang berbonggol-bonggol hihihi. Kalau laluan lebuhraya, rasanya dalam 1 jam lebih dah boleh sampai. Tapi disebabkan jalan biasa, 2 jam lebih baru sampai...tu dah habih laju dah rasanya hahahaha.

Kami melalui tempat-tempat seperti Tanjung Karang, Sungai Besar, Sekinchan, Sabak Bernam, Sungai Sumun, Hutan Melintang...wahhh...jauh juga ya...bila masuk Bagan Datoh, memang sekejap aje dah sampai SABDA. Tepi jalan jer pun. Janji nak berjumpa dengan kereta satu lagi yang datang dari Bagan Tiang...tapi kereta tu singgah kat gerai roti canai...jadi, kami pun cari port jugalah. Tak jauh dari Klinik Kesihatan Bagan Datoh, saya nampak deretan kedai-kedai kecil. Terus kami tuju ke situ. Jumpa pula sebuah kedai menjual makanan. Walaupun sudah pukul 10 lebih, masih ada nasi lemak...apa lagi belasah nasi lemak dulu...bawak bekallah sangat kan!!! Yang best tu, dua pinggan nasi lemak (satu letak sambal sotong dan yang saya punya letak hati ayam dengan tempe) beserta minuman - caj dikenakan baru RM5.40...eh...eh...rasa nak tanya 2-3 kali. Wahhh...ini macam terbaeklahhh! Sodap pulak tu...

Lepas makan saya terus memandu masuk dan ikut kereta-kereta lain meletakkan Snowie di kawasan padang yang luas berhampiran dewan. Kakak saya sudah berada di meja pendaftaran menguruskan pendaftaran anaknya. Itulah kisahnya saya boleh sampai ke Bagan Datoh sebab mak nak tengok cucunya yang pertama masuk sekolah asrama. Alhamdulillah.


Saya pun teruja juga masuk sekolah hari ini. Maklumlah, cek tak pernah masuk sekolah berasrama. Tu yang sibuk ja nak lawat dorm, lawat bilik air, pesan itu pesan ini...hahahah...Tapi baguslah, diaorang dah start program solat berjemaah pada setiap waktu dan mewajibkan setiap pelajar membaca 2 muka surat Al-Quran setiap hari selepas subuh...wahhhh...best kannn....kalau masukkan program tadabbur sekali lagilah afdhal. In shaa Allah...semoga Allah mudahkan usaha ini.

Selesai urusan di asrama, kami sekeluarga keluar mencari makan di pekan Bagan Datoh...ada orang sibuk suruh hantar gambar pekan Bagan Datoh...ishh...tak kan nak berdiri di situ klik sana klik sini, nampak sangat status 'pendatang' nya :). Jadi, sambil-sambil lalu jer la saya layangkan smart phone saya...actually tak ketahuan sudut pandangannya, ikut-ikut mana pun rasanya sama saja...memang pekan koboi je Bagan Datoh ni...silap haribulan Tanjung Piandang pun jauh lebih besar. Kalau tak kerana hari pendaftaran pelajar baru ni, memang lagi sunyi pekan ini.


Kami singgah makan dekat sebuah kedai makan nasi kandar. Tapi saya tak makan nasi. Sebaliknya minta mee rebus. Memang macam tulah kalau dapat masuk kedai makan mamak ni...ujian pertama harus mee rebus. Kalau dia jawab mee rebus tak ada (kat KL ni selalu kena cam tu)...memang confem tempat tu tak best! Sepinggan mee rebus boleh kongsi 2 orang woo...sedap...sedap...telur rebus 2 biji dia letak...biar betik!!!


Selepas makan kami sempat singgah cari hanger baju...nasib baik...ada satu kedai RM2. Ingat nak cari jam, tapi kedai jam tak ada pula nampak. Mungkin kalau nak lebih, better pergi ke bandar berhampiran yang terdekat iaitu Teluk Intan. Eh..eh...saya pun belum sampai Teluk Intan...ok set...next destination on the list hehehe.

Pukul 4 lebih bergerak balik ke Kuala Lumpur. Sampai rumah sejurus sebelum azan maghrib berkumandang. Sempat singgah beli dodol Kak Ani dan minum cendol di pekan Sekinchan. Juga singgah beli kerepek. Seronok juga ye...lain kali boleh buat lagi ni.

Wednesday, April 15, 2015

Telahan

Yes...! Yes...!Yes...!!! Suka bebenor ye kamu Telipuk bila dapat masuk basement parking dan dapat lot sama...hihi...ye...suke bangettt!!!

Apa tidaknya, tadi keluar pun agak terlewat. Salah perkiraan lagi bila memilih Sentul Link. Ingatkan nak ke kiri je masuk Jalan Sentul balik sebab tak berani masuk ikut Mahameru....ye lah, Sentul Link kan direct sambung dengan Mahameru. Bukan apa, takut sangkut dekat bahagian yang ada lencongan baru tu...haaaa...kang lambat tak merasa parking percuma. Nak bayar RM25 sehari rasa macam melampau la pulak. Tu la...orang suruh naik lrt, tak mo...

Bila dah salah tu, Telipuk tenang saja....yelah, kalau nak panik-panik ni bukan stail Telipuk...itu stail Bonda Temah dan Mak Bedah bolehlah. Telipuk tawakal jer la...pandu terus ikut Mahameru sambil baca "rabbi yassir". Memanglah dekat lencongan tu ada queue, tapi bergerak. Itu yang pentingnya. Kereta slow sebab nak suaikan dengan garisan jalan yang diubah tu. Telipuk sengaja mengambil lorong kanan sebab yang lorong kiri tu lebih perlahan sebab banyak kenderaan yang kononnya nak cepat tu cuba mencelah masuk daripada lorong tepi sekali. Sampai kat Jalan Pantai Baru, sekali lagi Telipuk tersilap, patut masuk je first left exit...tapi since Telipuk dah di lorong tengah, motor pula mencanak-canak lalu, tak sempat la nak tukar arah....jadi, terus sajalah lalu ikut jalan biasa yang bermakna jumpa basement parking -2 & -1 dulu. Yang pelik tu...kedua-duanya masih ada kosong...perghhh...bior bebenor ni...Hati terus rasa yakin yang -4 masih kosong juga lalu Telipuk buat tak heran dengan tempat-tempat kosong tu...(kalau -4 penuh, memang kaw-kaw la padan muka).

Alhamdulillah, -4 masih ada kekosongan. Sesekali hati berbisik nakal nak try keluar lebih lambat. Tapi naluri selalu berpesan, "jangan suka sangat...beringat sebelum kena"...terus tak jadi. Dah nak masuk 2 minggu ni...paling lambat pun 7.15 lah Telipuk keluar dari rumah. Masalahnya sekarang bukanlah perjalanan nak sampai ke opis tu...yang semakin melambatkan Telipuk ialah jalan nak keluar dari rumah ke Sentul Link/Jalan Sentul/Jalan Pahang...(payah jugak kalau ada banyak choice ni). Kadang-kadang, nak buat u-turn melepasi kawasan sekolah tu pun dah lebih 5 minit...itu belum lagi sampai ke simpang kat Masjid dan simpang jalan Sentul.

Hish...makin ramai penduduk BBS ni...itu belum kira Rafflesia yang dalam pembinaan tu...20 lebih tingkat tu...2 blok pulak tu...Belum campur projek Prima1 yang tapaknya sudah ditandakan betul-betul depan Masjid...pun 20 lebih tingkat. Memang tak de can la Telipuk nak ke UTC bawak kereta...sekarang ini pun Telipuk jalan kaki saja sebab dah tak tahu nak pusing mana nak letak kereta.

Sabo jer la.

Monday, April 13, 2015

Alternatif

Minggu kedua tanpa program Bumiku, saya masih cuba untuk keluar sedikit awal walaupun berdasarkan pengalaman minggu lepas, saya masih berhasil untuk berada dalam kategori First Come First Serve. Takut terkena penyakit 'mengambil mudah akan sesuatu perkara' . Lebih baik mengambil sikap berjaga-jaga sentiasa sebab 'langit tidak selalunya cerah'...kan...kan...kan...???

Memandangkan Lebuhraya Mahameru sekarang ini ada gangguan, ada dibuat lencongan di sekitar kawasan berhampiran susur ke Duta, maka saya tidak berani mengambil risiko melalui jalan tersebut hari ini. Malahan minggu lepas semasa perjalanan balik pun saya mengelak masuk ke Mahameru setelah melihat deretan kereta yang tak bergerak bermula simpang ke Brickfields lagi...makanya, saya meneruskan perjalanan melalui Jalan Kinabalu dan kemudiannya Jalan Kuching sebelum masuk ke Jalan Tun Razak dan seterusnya Jalan Sentul.

Jadi pagi ini saya menguatkan hasrat hendak menggunakan laluan pusat Bandaraya walaupun tahu ada banyak persimpangan lampu isyarat di situ semata-mata kerana hendak mengelakkan melalui Lebuhraya Mahameru. All in, dari mula keluar pagar rumah....sampai masuk basement bangunan pejabat...ada dalam 11 persimpangan lampu isyarat yang perlu saya tempuhi. Separuh daripadanya berkeadaan hijau ketika saya lalu dengan berhenti paling lama di persimpangan jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail. Hanya satu simpang sahaja yang dikawal oleh polis iaitu di persimpangan Jalan Raja dan Dataran Merdeka, itupun mujurlah cepat. Kesudahannya saya berhasil masuk parking FCFS di aras-1 dengan jayanya walaupun sedikit terkial-kial sebab lot yang tinggal itu agak susah...ada sebuah kereta Alphard hitam di sebelah kiri yang diparkir hampir memakan garisan kotak yang masih kosong. Di sebelah kanan pulak adalah tiang yang selebar sebelah pintu kereta saya, silap haribulan nak keluar kena kempiskan perut dengan bersungguh-sungguh...hahaha. Kat depan pulak atas sebuah kereta Harrier putih sudah pun melintang memenuhi kotak parkir yang diletak selari dengan kotak-kotak lain yang sudah ditanda 'reserved'. Mujurlah saya sudah agak 'otai' berbanding zaman memandu ksatria hitam saya...ehehehe...

Sehingga sekarang saya masih bersikap tunggu dan lihat walaupun pernah berazam hendak menggunakan pengangkutan lrt sepenuhnya. Mungkin sebab pelaksanaan inisiatif parkir terbaru ini tidaklah mendatangkan kesan kemudaratan sebagaimana yang dihebohkan dulu. Malahan saya dapati ianya agak baik berbanding dulu. Jadi, tak apalah...biarlah saya memandu dulu. Lagipun kesian ksatria putih saya yang terpaksa berpanas kalau saya tak bawa dia ke pejabat. Sekurang-kurangnya boleh juga dia 'melepak' dengan gembiranya di parkir berbumbung. Nanti bulan Ramadhan lah saya naik lrt.

Thursday, November 08, 2012

Alkisah Teksi

Jom berbaik dengan pemandu-pemandu teksi.

Entah kenapa pagi itu hati saya jadi lembut pula melihat gelagat pemanduan sebuah teksi yang sepertinya sedang dalam kesusahan. Ya, saya lembut hati pagi itu sedangkan selalunya kalau memandu tak tentu arah macam itu dan menyebabkan saya terpaksa memperlahankan rentak pemanduan akan menjadi pemangkin pencetus jiwa agresif saya. Mungkin sebab pagi itu redup dan syahdu. Juga mungkin kerana saya sudah lali dengan 'kebengongan' lampu isyarat di persimpangan Jalan Pantai Baharu itu yang terlampau cepat bertukar warna sehingga saya memilih untuk mengambil sisi yang positif iaitu...lebih banyak masa untuk melayan CD zikir saya...hahaha...itulah petuanya untuk mencapai tahap ketenangan di atas jalan raya...

Dan sebaik melepasi persinpangan lampu isyarat itulah saya nampak teksi ini. Kusam diselimuti debu kota dan kepayahan. Pemandunya kelihatan teragak-agak. Saya cuba menghayati permasalahannya. Barangkali dia tidak biasa melalui jalan-jalan di sini. Sememangnya kalau yang tidak pernah ke sini dan hendak ke Bangsar misalnya mahu ke Hospital Pantai, akan mengalami sedikit masalah kerana anda tidak boleh masuk ke susur Bangsar kerana selepas jam 7.15 pagi , selalunya laluan ini akan ditutup. Anda perlu membuat pusingan U berhampiran persimpangan Jalan Pantai Baharu. Tetapi yang lebih mudah ialah kalau anda meneruskan perjalanan dan membuat pusingan U di depan Wisma R&D UM, terus rapat ke kiri dan belok masuk ke Jalan Bukit Pantai. Tapi kalau ditakdirkan anda terlepas pusingan U itu sebab dah ternaik flyover, jangan risau, anda masih boleh berpatah balik di persimpangan susur kanan di hadapan Masjid Al-Rahman UM. Alternatif itu semua mudah bagi yang sudah otai macam saya...heheh...tapi kalau yang pertama kali mencari jalan pasti akan merasa sedikit keliru dan payah...perasaan yang saya rasakan bila melihat teksi tersebut. Bayangkan susahnya mencari rezeki...bayangkan apa yang berlegar dalam benak mereka...Lalu di situlah saya jatuh kasihan.

Entahkan ini hari yang kurang baik untuknya. Entahkan dia masih belum mendapat penumpang sehingga terpaksa lalu sehingga ke sini. Entahkan di kepalanya buntu memikirkan bagaimana mahu menyediakan hidangan di rumah untuk keluarga yang menunggu penuh harap. Dan segala macam permasalahan. (Maka kerana itulah pemanduannya sedikit goyah dan terganggu).

(Bersimpatilah dan bersabarlah wahai Snowie yang mengekori di belakang kerana destinasi kamu cuma di depan sana dan kamu tidak rugi apa-apa)

Kita hidup ini jangan fikir susah dan senang kita sahaja. Orang lain pun ada pasang-surutnya. Tidak kira siapa. Jadi, marilah sama-sama bertimbang rasa dan bertolak ansur.

Perkara ini saya bawa semula ke dalam diri saya. Selalu rasa diri betul saja. Selalu rasa orang lain yang buat silap. Kesalahan di pihak orang lain. Sikap seperti itu akan membuahkan keegoan, memandang rendah orang lain, salah-sangka yang akhirnya menjadikan diri manusia gagal muhasabah diri. Bilamana kita rasa tiada apa yang salah di pihak kita, bukankah kita akan cenderung untuk mencari silap di pihak orang lain dan lupa untuk memperbaiki diri sendiri?

Begitu...

Teksi itu berada di situ hari itu untuk menyedarkan saya tentang sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran. Lalu saya bersyukur kerana kehadirannya pada hari ini membuat saya merasa perlu untuk menyemak semula sikap saya dalam beberapa keadaan dan pendekatan yang diambil selama ini.

Betapa perlunya untuk cuba memahami keadaan orang lain dan mengapa mereka harus/terpaksa/memilih sesuatu tindakan agar dengan kefahaman tersebut maka kita bukan sahaja dapat memberi maklumbalas yang sewajarnya, bahkan juga mewujudkan suatu perasaan yang harmonis dalam diri sendiri, sekurang-kurangnya.

(Hemmm...makanya haruslah saya melupakan dan memaafkan segala kenangan2 pahit melibatkan teksi juga...;))

Wednesday, August 29, 2012

Cerita Jalan Raya

Menduga betul perjalanan balik semalam. Mula-mula, Snowy kena 'block' baik punya! Haduiii...beriya-iyalah kita ni berkejar turun sebab nak elak tersangkut dalam kesesakan, ingatkan line clear rupanya terpaksa la tunggu si pemilik wira itu turun memindahkan keretanya. Sabar ajelah. Akhirnya, disebabkan gendala tadi, maka terpaksalah bersabar menanti giliran keluar daripada tempat parking memandangkan jalan keluar sudah sesak. Tak tahulah apa masalah selepas raya ini, yang pastinya, sangkut lama betul untuk ambil jalan yang lalu depan UM tu memandangkan Aku hendak mengambil jalan bukit tu.

Ketika sudah keluar daripada tempat parking, elok je Pak Guard tu suruh ambil jalan jauh lalu jalan Annexe...huahuahua...alasan? Jalan depan dah sangkut. Sabar ajelah lagi...by the time Aku pusing, lorong tu dah clear untuk 2-3 biji kereta dan kereta-kereta di belakang sana dengan sukahatinya dibenarkan lalu. Pak Guard tak adil!!! Aku pulak yang terkial-kial dah tersangkut kat atas sana sebab kereta-kereta yang keluar daripada bangunan Annexe pun semakin banyak.

Bila akhirnya selama berada di lorong menuju destinasi, adalah pulak cik Mazda 3 ni dok menghimpit. Awat la hang tak mau berbarih lagu kami semua...menyusahkan betullah. Dia pi ambik lorong yang nak ke kiri...dah duduk kat situ, tup-tup nak ke kanan pulak...lepas tu yang best tu, bukannya dia nak tunggu dapat cue untuk masuk...dia main nak masuk jam-jam tu jugak. Sudahnya dia dok menghimpit Snowy. Mestilah Aku terasa bengang kan? Yelah...udah le kau nak masuk jalan orang, beradap sikitlah, signal pun tak bagi...kuang hajor betul! Nasiblah Aku puasa, menahan sabar je lah...Aku toleh le nengok siapa yang samseng sangat ni...alahai...pemandu wanita rupanya. Dia boleh buat muka 'Aku tak nampak hang' dan pandang depan dengan gaya poyo. Cis! Kot la kata nak toleh angkat tangan bagi senyum sikit ka atau buat muka apologetic sebab nak potong giliran ka...ini tidak, buat muka bodoh sombong macam tu. Bila nampak dia tak mahu mengalah coz sejengkal Snowy, sejengkal dia bergerak...Aku pun malas lah nak layan. Kau nak pi sangat kan? Hah...dipersilakan. Pi lah. Pueh hati??? Ala...jalan jem cenggitu...tak ke mananya...

Bila sudah lepas, sekali ada sebuah wira di hadapan yang dipandu dengan 'ragu-ragu' dan perlahan. Alamak...dik...kat depan tu traffic light dah hijau dah...akak dah letih kaki wooo...ko boleh tak aktif sikit merebut peluang? Nyaris-nyaris akak kena tunggu sepuluh minit lagi tau gara-gara kelembapan pergerakan ko tu...nasib baiklah, akak sempat menyelinap sebelah kanan tu dan memotong ko...fuh!

Mujurlah perjalanan seterusnya kembali lancar, walaupun terpaksa buat tak tahu sahaja dengan beberapa aksi biasa yang Aku dah agak 'mangli'. Syukur alhamdulillah, selamat sampai rumah...memanglah cabaran seperti ini akan sentiasa ada, banyak orang banyak ragamnya...Semoga diberikan kesabaran mengharunginya memandangkan bukan senang hendak mengekalkan tahap 'cool' bila berada di belakang stereng...heheh...

Friday, April 20, 2012

Malang Tidak Berbau

Malang tidak berbau.

Kalau boleh kucium baunya, nescaya, jauh berbatu-batu Aku akan lari menghindarinya.

Ketika KL Traffic dijelmakan buat merakam pengalaman awal bergelar pemandu dan sempat pula mencatatkan peristiwa pahit pada bulan Oktober tahun yang sama, Aku selalu berharap dan berdoa semoga tiada lagi pengalaman seumpamanya menjengah. Namun, apakan daya...adat menjadi pengguna jalanraya begitulah...kalau bukan sendiri mencari pasal, orang lain pula yang buat hal.

Begitulah yang terjadi petang Rabu lalu dalam suasana gerimis yang penuh syahdu ketika Aku memandu seperti biasa melalui Sentul Link untuk pulang ke rumah. Sebenarnya sebelum sampai Sentul Link, jalan memang agak perlahan di Mahameru. Bila mencecah Sentul Link, seperti biasa, laluan ini agak lengang. Had laju ditetapkan meskipun jalan luas terbentang ialah cuma 50kmph. Memang macam mustahil aje nak bawa setakat itu kerana sumpah Aku cakap yang memandu di sini paling busuk pun 80kmph. Sebab apa, memang jalan ni tak banyak kereta...kecuali kalau ada sangkut kat trafik depan persimpangan Jalan Sentul. Melihat kereta-kereta dipandu laju di sini bukanlah sesuatu yang aneh. Tapi itu bukan bermakna Aku bawa laju. Aku memandu biasa sahaja, tak laju, tak perlahan...sederhana.

Satu yang nak kena berhati-hati kalau tak biasa menggunakan jalan ini ialah ketika menghampiri hujungnya di mana kenderaan dari sebelah kiri akan berjujuk-jujuk mahu masuk ke kanan manakala yang memandu di lorong kanan pula bersusun-susun mahu ke kiri meneruskan perjalanan ke Gombak, dan ada juga yang seperti Aku, mengekalkan kedudukan untuk berjalan terus menghala BBS, tetapi harus waspada kerana lorong paling kanan sekali ada simpang ke kanan bagi yang mahu masuk ke Tamarind. Dan semua ini harus diputuskan dengan jelas ketika mengambil selekoh yang kebanyakan orang suka laju (menuruni) dan kerapkali tak perasan apa yang ada dihadapannya.

Aku berada di lorong kanan dan mengekalkan kedudukan Aku sewaktu mengambil selekoh. Jalan di hadapan Aku memang kosong tak ada kereta. Tapi dalam Aku berkira-kira hendak perlahan-lahan ke kiri sedikit, Aku perasan ada sebuah motor di lorong bersebelahan dalam keadaan terhoyong-hayang. Benda yang ditakuti itu terjadi. Tidak semena-mena motor itu jatuh dan penunggang serta pembonceng berguling-guling masuk ke lorong Aku yang tadinya clear lalu terbaring tak sampai 50 meter di hadapan. Allahuakbar! Aku menekan brek sesungguh hati, rasanya dah siap berdiri tekan dengan dua kaki. Dalam Aku berbuat begitu, Aku pasti di belakang Aku ada jarak yang selamat sekiranya ada kereta mengekori.

Subhanallah! Aku berhasil berhenti betul-betul di hadapan mangsa yang terjatuh itu. Mahu tak menggigil. Gila! Kalau terlanggar tadi. Namun bunyi tayar kereta menggesel jalan terdengar nyaring memecah gegendang telinga dalam keadaan Aku tak mampu berbuat apa-apa memandangkan jalanku yang terhalang lalu bunyi yang menakutkan itu berakhir dengan 'bummmmm...' yang menggegarkan belakang Snowy.

"Kenapa langgar kereta saya......" Aku rasa macam nak melolong terus. Sebuah kelisa warna merah yang tidak nampak apa yang berlaku telah menghentam belakang Snowy, sisi sebelah kiri dan kereta yang sama turut menghentam sebuah Exora merah yang berhenti mengelakkan motor yang terbabas di jalannya.

Cepat-cepat lelaki yang jatuh itu bangun mengangkat anaknya, budak dalam lingkungan umur 10-11 tahun yang berpakaian sukan. Ayah dan anaknya yang Aku pasti turut terkejut sama dengan apa yang berlaku. Dalam keadaan menggigil itu Aku sempat mengambil gambar kereta kelisa yang melanggarku kerana bimbang dia akan cabut lari. Oleh kerana kami dihon berkali-kali oleh pemandu-pemandu di belakang yang hanya tahu nak cepat (pentingkan diri) itu, kenalah terus bergerak supaya laluan tidak terhalang. Aku yang tak tahu apa yang berlaku walaupun nampak pemandu Exora berkata sesuatu kepada pemandu Kelisa itu terus mengekori mereka macam lipas kudung. Jangan fikir ko boleh blah macam tu saja...!

Rupa-rupanya semua yang terlibat berkonvoi ke Sentul Boulevard berhampiran untuk berbincang. Aku sempat menghubungi Abang memaklumkannya kejadian tersebut. Sebaik sampai, Aku turun dengan berdebarnya hendak melihat rupa Snowy. Rasa hendak pecah jantung sebab terkenangkan betapa teruknya keadaan Blackie suatu ketika dahulu saat mengalami perkara yang serupa. Bila ku renung dan ku tenung, terkejutpun ada. Snowy selamat! Tak ada kemek pada 'punggungnya'. Tak ada lampu yang pecah. Tak ada calarpun!

Biar betul. Lalu ku belek lagi dan barulah perasan yang terdapat ruang-ruang renggang di celah-celah lampu dan pintu simpanan barang. Ada berlaku anjakan/peralihan di situ dek hentaman Kelisa.

Mengikut cerita pemandu Exora, sebuah MyVi telah menggesel motorsikal yang ditunggangi ayah dan anak itu menyebabkannya hilang kawalan lalu jatuh. Dan MyVi itu telah beredar tanpa dapat dikesan, masing-masing panik sebab menumpukan perhatian agar tidak terlanggar motorsikal tersebut.

Aku? Demi Allah, kalau Snowy hancur sekali pun Aku sanggup terima berbanding kalau Aku menggilis dua manusia. Nauzubillah. Masakan tidak mungkin terjadi memandangkan kedua-duanya sudah terlentang tak mampu buat apa-apa dalam jarak kami yang begitu hampir. Bayangkan kalau Aku tak perasan motor itu...dan sebab tak perasan Aku tak sempat brek...bayangkan...Menggeletar rasanya membayangkan kemungkinan seperti itu.

Kereta Kelisa itu dipandu seorang budak muda berusia 20 tahun. Pelajar kolej swasta yang pada firasat Aku (dan turut disahkan oleh pemandu Exora) memandu laju pada ketika itu. Aku katakan begitu kerana saat Aku menekan brek, Aku sempat mengerling cermin pandang belakang dan yakin, tak ada kelibat kereta yang mengekori hampir di belakang. Kalau dia memandu dengan kelajuan sederhana di belakangku, Aku yakin dia sempat membrek tanpa menghentam Snowy. Ini sudahlah dia hentam Snowy, kesan lajunya kereta dia itu menyebabkan dia tak mampu berhenti tetapi menghentam pula Exora.Kalau tidak, cukup dengan melanggar Snowy, dia harus sudah boleh berhenti.

Memanglah, benda sudah hendak terjadi.

Tetapi bab kesusahan yang didatangkan dalam satu pakej itu yang malas hendak diharungi. Nak kena bawa Snowy ke bengkel...mana tahu ada yang retak/patah di dalam. Nak kena bincang soal pampasan. Nak kena risau kalau janji tidak ditepati siapa nak bayar kos pembaikan. Nak kena ambil cuti lagi. Nak kena jawab bila orang tanya. Nak kena cerita balik kejadian yang berlaku....dan Snowy tak sama seperti dulu...sebab dia dah pernah kena hentam...itu yang paling sakit hati sebab Aku telah mencuba sedaya upaya untuk menjadi pemandu yang baik.

Bersabarlah. Itu juga satu bentuk ujian. Adalah hikmahnya tu.

Satu yang Aku paling ingat, semasa memulakan perjalanan pulang hari itu...teringin nak dengar lagu tetapi bila masuk jalan Bukit Pantai terus batalkan hasrat tu dan paksa diri berzikir. Bila imbas semula kejadian tu, terfikir bayangkan kalau berada dalam keadaan tidak ingat pada Allah dan tidak berada dalam lindunganNya, bagaimana?
Syukur alhamdulillah...

Tuesday, February 21, 2012

Syok Sendiri

Saya selalu tengok ramai pemandu yang 'syok sendiri' bila di atas jalanraya. Bila kena penyakit SS ini, maka mereka perasan yang mereka sahaja yang betul. Bila mereka rasa mereka sahaja yang betul, mulalah naik ego mereka dan memandang rendah pemandu-pemandu lain. Mulalah mereka berkeras tak mahu beri jalan, tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri. Semuanya disebabkan SS.

Ketika memandu, berlapang dadalah yang apa sahaja boleh terjadi. Ada seribu satu kemungkinan. Walaupun kita berada di jalan yang betul untuk mengambil simpang di hadapan, misalnya, akan ada beberapa pemandu yang akan menguji kita dengan bersikap biadap merampas giliran, memotong barisan dari lorong yang salah. Kalau pemandu SS, dia akan bertegas yang dia betul. Dia tak akan mengalah kepada pemandu-pemandu yang padanya tidak betul. Maka, dia tidak akan memperlahankan kenderaannya memberi ruang mencelah kepada pemandu itu sebaliknya dia akan melajukan kenderaannya, menerkam bengis...tak bagi can punya! Bagaimana kalau pemandu yang memotong jalan itu menyangka dia akan diberi peluang dan dengan itu terus memandu masuk lorong...maka terjadilah perlanggaran...kedegang!!!

Itulah namanya, kalah jadi abu...menang jadi arang. Sia-sia. Tak ada siapa pun yang menang. Rugi adalah. Mungkin bagi pemandu SS ni, dia tetap puas hati. Puas hati sebab dia buktikan yang dia tak akan mengalah atas dasar dia betul. Tapi kereta yang kemek tu kena masuk bengkel, ada banyak urusan kena buat, masa habis terbuang, kerja lain tertangguh...itu semua dia tak mahu fikir. Kesian, kan? Kesian sebab sengaja menyusahkan diri konon-konon dengan cara itu akan bagi pengajaran pada orang lain supaya tidak sewenang-wenangnya membuli di jalanraya. Hellooo...tak payahlah nak ambil peranan penguatkuasa...jaga diri sendiri sudah!

Kesimpulannya, berhentilah 'syok sendiri' di jalanraya. Walaupun kita betul, terimalah akan ada ramai orang yang buat 'tak betul'. Jadi, jangan jadi bodoh dengan terikut-ikut sama dengan rentak mereka. Pandulah dengan cermat. Dengan berhemah. Amalkan sikap bertimbang rasa. Yang penting kesabaran kena tinggi. Istighfar banyak-banyak. Biar lambat, asalkan selamat.

Sekian, pesanan ini dibawa oleh bekas ahli Kelab Keselamatan Jalan Raya, SMRLNR. (Tak ada ke sesiapa nak amik Aku jadi duta nih? ;))

Tuesday, January 17, 2012

Kisah Lalulintas

Hari ini dalam sejarah. Buat pertama kalinya Aku menekan hon dalam kesedaran tinggi. Tidak teragak-agak. Mantap. Terbakar rasa. Dan itulah pertama kali Aku mendengar 'suara' Snowy...sedappp bunyinya heheh...

Hah...tu la, cuba buat onar lagi...kan dah kena hon...mencicit kereta Corolla itu. Tahu pun salah. Eiishhh...tapi macam tak rasa apa-apa jer dia. Geram Aku!!! Ada ka patut? Tak patut! Tak patut!

Setiap pagi, memang Aku kena siapkan kesabaran yang tinggi untuk keluar dari rumah bersaing dengan kenderaan-kenderaan lain yang bersesak menghantar anak-anak ke sekolah di depan rumah. Memandangkan ada dua sekolah rendah dan menengah sebelah-menyebelah, memanglah boleh tahan sesaknya. Alhamdulillah, walaupun cuma satu lorong yang tinggal...setakat ini perjalanan kenderaan masih bergerak meskipun perlahan. Itu 'bottleneck' pertama.

Tahap yang kedua ialah di persimpangan trafik berdepan kompleks perniagaan...di depannya Masjid Amru Al-As. Ada dua lorong setiap jalan. Jalan yang selalu Aku gunakan ialah jalan menghala keluar ke Jalan Sentul. Lorong kanan ialah untuk bergerak terus dan ke kanan (short cut ke Sentul Link). Lorong kiri untuk keluar ke Jalan Genting Kelang & Bulatan Pahang atau terus ke hadapan ke Jalan Sentul. Yang si Corolla tu dia duduk lorong kiri. Dan bila lampu berwarna hijau, Aku yang berada di sebelah kanan meneruskan perjalanan untuk terus ke Jalan Sentul...tapi Corolla ni, dia bukannya nak ke kiri atau berjalan terus, sebaliknya dia nak ke kanan menghala Sentul Link...boleh gitu? Tiba-tiba nak masuk jalan Aku. Nasib baik Aku perlahan dan bertata tertib...sempatlah membrek dan selamatlah badan sebelah kiri Snowy daripada dihentam Corolla bengong tu...apa lagi, Aku hon la dia dengan hati yang terbakar. Nasib baik kereta-kereta kat belakang tu semua pun sempat berhenti sama...kalau tidak, mahu ada yang kena sondol dari belakang ni. Sabar ajelah!

Satu lagi bahagian yang Aku kena bersabar dengan kesabaran yang tinggi ialah bila perlu berbaris panjang dan lama untuk keluar ke Jalan Sentul sesudah melepasi stesen STAR Sentul. Yang puak penyabar ni, barislah dengan betul bendulnya menunggu giliran membelok. Tapi yang geng mengambil kesempatan, suka sangat ambil lorong kanan...bila giliran lorong kiri bergerak, tergedik-gedik diaorang bagi signal nak potong masuk...kalau dok melayan selalu, mahu bertukar lampu tujuh lapan kali pun belum tentu dapat lepas keluar simpang. Benci betullah! Tak boleh ke korang ni ikut lorong betul-betul. Tahulah nak cepat...Aku pun nak cepat juga. Tolonglah hormati pengguna jalan lain yang mengikut peraturan. Macamanalah muka manis Aku tak masam mencuka pagi-pagi ni kalau terpaksa selalu beralah dengan perangai korang ni...letih tau! Lorong kanan tu untuk ke kanan, ok...korang nampak tak hala anak panah atas jalan dan lampu tu...memanglah lampu ke kiri yang akan menyala dulu. So, kalau korang dah di kanan dan lampu kanan belum menyala...tunggu jer lah. Kesian dekat kami di jalan kiri yang memang ikut peraturan dan menunggu dengan sabar, terpaksa bagi laluan sebab korang main redah je as if jalan tu bapak hang punya. Hishhh....geram nih!

Semalam nyaris Aku tak dapat parking sebab halangan-halangan trafik yang Aku hadapi tu telah menyebabkan perjalanan tertangguh. Lebih malang lagi ada masalah di Jalan Pantai Baru...kereta rosak ke apa...pukul 7.45 baru lepas. Nasib baik masih ada beberapa kekosongan...kalau tidak terpaksalah parking kat luar. Hari ini alhamdulillah, Aku berhasil sampai jam 7.35 pagi...beza 10 minit tapi besar maknanya. Masa masuk tadi masih ada 135 parking kosong. Kalau pukul 7.50 sampai, selalunya dah penuh. Tapi tengok nasib jugalah. Jadi, selalu Aku target, mesti sampai sebelum jam 7.40 pagi kecuali Khamis memang awal sikit (before 7.30) sebab kelas Arab mula jam 7.30.

Semalam masa balik, entah apa masalahnya lebih 30 minit masa yang Aku ambil untuk keluar ke Jalan Pantai Baru. Sampai rumah pukul 7.00 mlm. Huhuhu...tobat Aku tak mahu ambil jalan depan plaza Pantai lagi sebab kesesakan menggila bila kenderaan keluar daripada banyak arah...LG4, Plaza Pantai, Jalan belakang, wisma R&D UM...eeeuuu...tak laluuuu!

Tuesday, November 29, 2011

Hitam Berganti Putih

Perasaannya sama seperti pertama kali dulu. Berdebar-debar, diselang-seli rasa teruja. Tak sempat menjeling keliling. Hanya pandang lurus ke depan. Rasa belum yakin sepenuhnya.Snowy belum kukuasai seluruhnya. Kami masih dalam proses mencari keserasian.

Terasa rindu pula pada Blackie. Blackie yang telah sama-sama mengharungi susah senang menelusuri jalan-jalan kehidupan di kota KL ini. Blackielah yang mencetuskan inspirasi untuk memiliki sebuah blog. Dan Blackie telah menjadi sebahagian daripada blog ini.

Salam hormat untuk Blackie yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi. Langsung tidak pernah menyusahkan. Sentiasa ada untukku. Sentiasa memahami dan menenangkan. Semoga Blackie dapat meneruskan khidmat cemerlang kepada pemiliknya yang baru. Dan semoga pemiliknya menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Wednesday, September 14, 2011

Robek Hatiku

Kesal. Ralat. Terkilan. Perasaan itu datang menyelubungi jiwa di pagi Rabu nan indah ini. Sayang sekali, baru hendak memulakan hari dengan gembira. Apa nak buat, benda sudah hendak jadi. Begitulah nasib pengguna-pengguna jalanraya di Kuala Lumpur khasnya dan seluruh Malaysia amnya.

Cerita ringkasnya, saya langgar lubang hari ini. Saya yang pada kebiasaannya sangat berhati-hati. Saya yang selalunya, alhamdulillah, boleh mengelak. Bukannya sehari dua baru guna jalan tu. Dah bertahun. Dah 5 tahun pun. Alangkan jalan Bukit Pantai yang timbul tenggelam tu pun boleh saya tangani, inikan pula Jalan Bangsar yang lurus terbentang. Itu yang tensen tu!!!

Eh, sejak bila pulak le ada lubang kat situ. Semalam saya lalu...elok jer. Tup...tup pagi ini menjelma depan mata pada jarak yang saya tak mampu buat apa-apa...hendak menepi pun tak boleh sebab kebetulan sebuah motorsikal lalu memotong di tepi. Tak akanlah semata-mata hendak mengelak lubang, saya membahayakan pula nyawa seorang insan...Cumanya yang geram tu, dalam pulak le lubang tu...bila berlaku impact tu...boleh terngiang-ngiang bunyi yang terhasil, serasakan ada gerudi menebuk gusi. Itu yang buat rasa tak puas hati ni! Hiiisshhhh...

Elok-elok siap meletak kereta, sempatlah saya membuat pemeriksaan fizikal. Tengok kalau-kalau ada yang bengkok, atau calar. Mata tidak menemukan apa-apa kejanggalan. Cuma hati berdebar takut ada kecederaan dalaman. Tahulah, saya fobia kalau tengok tayar kempis...mintak simpang!!!

Apa nak dikata lagi...cuma boleh berdoa dan berharap, akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Jalanraya kita bukan boleh diramal-ramal, hari ini berlubang, esok bertampal...lusa berlubang balik, tulat belum tentu siap ditampal...dan entah dekat mana-mana pula lubang tu boleh muncul...

Kesian Blackie!

Wednesday, June 29, 2011

Jalan-Jalan Cari Pasal

"My Car My Rules"

Begitu bunyi tulisan pada pelekat comel di belakang sebuah kereta Kelisa yang berada di hadapanku di Jalan Pantai Baru pagi tadi.

Boleh...boleh...pergi bikin jalan sendirilah kan kalau nak ikut peraturan sendiri. Kalau setakat dok menumpang jalan yang dibina dengan wang pembayar cukai termasuk Aku, tak usah nak berlagaklah!

Sebenarnya dah tak terhitung perangai-perangai buruk di jalan yang Aku jumpa. Setakat ini alhamdulillah, boleh sabar. Minggu lepas, ada sebuah kereta kat depan Aku ni, tak tentu arah nak masuk jalan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Nyaris nak langgar seorang mamat motor ni. Hemp...mamat tu bengang, terus bagi 'isyarat tangan'. Aiyoooo...

Semalam balik daripada mesyuarat di Phileo Damansara, mengekor belakang sebuah kereta mahal. Punyalah lembab yang amat. Aku tak tahu apa masalah dia. Ayah Aku kayuh basikal pun lagi laju daaaa. Last-last dengan Aku sekali kena hon dek kereta-kereta kat belakang. Hampesssss!!!

Hari tu pun jumpa kereta lembab juga. Macamanalah tak lembab, dok sibuk belai-membelai. Dah satu hal pulak Aku nak tengok. Bukan Aku nak tengok, udah kereta tu kat depan. Terpandanglah. Kang Aku pandang ke lain, bam ke pulak! Naya je. Nasiblah line clear, potong terus je. Korang ni...tengok-tengoklah tempat kot nak bermesra pun...menyusahkan orang je!

Tapi yang best tu, bila angin satu badan kat jalan dalam kawasan kediaman sendiri. Pagi-pagi ni bila kereta bergerak keluar, mestilah nak pergi kerja, hantar anak sekolah dan sebagainya. Aku sangka, mestilah kereta tu akan bergerak. Kalau dalam mode 'menunggu' pun, lazimnya, kereta tu duduk di tepi. Ini satu kereta ni, sudahlah nak keluar pun teragak-agak lagaknya, lepas tu tak sampai 50 meter berhenti cokoh tengah-tengah jalan....aiii...Mentanglah kereta Aku kecik, dia ingat kiri kanan pun Aku boleh celah tak ada masalah. Tak mainlah! Engkau kalau nak jalan keluar, buat cara nak keluar. Kalau tak nak keluar, pi duduk tepi sana. Aku drive ala-ala nak gigit belakang dia...lepas tu berhenti betul-betul belakang dia. Hahah...gabra...gabra...lepas tu barulah tergedik-gedik nak ke tepi. Apppaaaarraaaaa!!!

Itulah, kalau masing-masing suka hati ikut kepala sendiri macam tu lah. Tak langsung nak fikir tentang orang lain. Agak-agak kalau susah sangat, pindah masuk hutan jer lah wehhhh...

Tuesday, May 24, 2011

Tak Selancar Selalu

Perjalanan ke tempat kerja pagi ini tidak selancar biasa. Walaupun Aku sedar kerja-kerja menanam gentian fiber optik sedang rancak dijalankan di kawasan rumah Aku, tempat yang dikorek itu tidaklah sampai menganggu aliran trafik. Setakat hari semalamlah. Hemmm...Unifi dah masuk ni memang laju dowh la...

Malangnya pagi ini ada pula jentera berat ditinggalkan di tepi jalan menghala ke Jalan Sentul tu...alamak...lorong kiri yang selalu Aku gunakan itu sudah tersekat. Bila kenderaan semakin banyak, aliran trafik mula tersangkut...bottleneck pun tercipta di situ. Huhuhu. Lampu isyarat pulak sekejapan je bertukar merah...makanya tunggu 5 kali bertukar warna pun belum ada jaminan boleh lepas. Mujurlah seminit dua sebelum jam 7.30 , wira hitamku sudah mencecah persimpangan Jalan Tun Razak lalu berdezup membelah keheningan pagi merentasi Mahameru yang masih 'suam-suam kuku'...yeeeehhhaaaaaa...

Alhamdulillah, pukul 7.40 sudah pun muncul di pejabat. Hehehe.

Itulah nak cerita...kita tak boleh nak expect setiap hari perjalanan lancar aje. Ada kalanya, lancar...ada ketikanya ada gendala. Perkara-perkara yang di luar kawalan boleh saja terjadi yang akan memberi kesan kepada kita. Yang penting, kawalan ke atas diri sendiri...jangan sampai terikut-ikut dengan rentak orang lain. Kalau orang lain biadap, jangan kita pun jadi biadap sama. Api jangan dilawan dengan api.

Dah tahu kereta kat depan tu tak boleh bergerak sebab laluannya di halang, bila kereta tu bagi signal hendak bertukar lorong...bagilah. Janganlah dok buat muka muncung berdegil nak lalu dulu. Buat tak reti bahasa dengan keperluan orang lain. Apa salahnya bagi jalan...lepas tu lalulah. Tak rugi apa pun. Jangan dok hon-hon orang tak tentu pasal...saja-saja nak sakitkan hati orang buat apa...sama-sama pun nak pergi kerja cari makan...sama-sama berkongsi hidup di bumi Tuhan...hiduplah dengan harmoni, ok?

Peace!

Wednesday, April 06, 2011

Cik Kecik Kecik Ke Bung!

Lambat bertindakbalas terhadap kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat di Parlimen berhubung ciri-ciri pemanduan kaum wanita yang dikatakan berbahaya.

Kalau kenyataan tu dituju khusus untuk Aku, gerenti Aku melenting pasal Aku memang pro-pemanduan berhemah. Hehehe....Tapi oleh kerana ianya satu kenyataan umum, tak apalah. Itu yang tangguh dulu tu. Biarlah baca komen-komen pihak-pihak lain yang berkepentingan dulu.

Bukan apa, Aku tak suka menyebelahi mana-mana pihak secara melulu...orang kata jangan ikut perasaan, walaupun Aku wanita. Tak tumbuh, tak melata...tak sungguh, orang tak kata, ya tak?

Tapi Aku memang pernah (dan selalu juga) menghadapi 'adegan yang anda tak ingin lihat' melibatkan kaum sendiri. Ada sekali tu, lama jugalah Aku terpaksa mengekor di belakang dia sebab dia agak perlahan...perlahan yang sampai mengganggu kelancaran trafik di belakang. Nak potong tak dapat sebab kenderaan-kenderaan di belakang pakat bagi signal hendak potong kesemuanya...di tambah pula dengan kenderaan di lorong bersebelahan yang sudah sememangnya laju dan tak hendak beri jalan. Akhirnya, bila Aku berpeluang memotong dengan jarak yang selamat dan mengerling ke arah si pemandu kereta tu, nampaklah seorang awek ni dengan seronok-seronok bercakap di telefon bimbit. Tangan sebelah memegang stereng, sebelah lagi telefon....hemmmmmppphhhh!

Pengalaman lain yang agak biasa, lazimnya yang drive kereta baru dengan sticker P. Dia punya teragak-agak bila hendak buat keputusan hendak masuk jalan, atau ke kiri kanan, atau baru terperasan salah jalan...memang selalu buat Aku kecut perut. Alhamdulillah, setakat ini Aku masih mampu membaca pergerakan dan mengambil langkah awal berjaga-jaga...tapi Aku risau jugaklah, time-time Aku nak cepat, ada hal...kadang-kadang Aku mulalah tak perhati, kot-kotlah tercuai sama masa tu. Tak sempat tengok ke...heiiii...risau gak!

Dan lagi yang best tu...ramai pemandu perempuan ni jenis pandang depan je. Aku pernah juga masa mula-mula belajar memandu, pak cik yang ajar tu kata, 'jaga depan je', pasal orang lain yang kat belakang tu pun 'jaga depan' je...jadi depan, belakang kira dah cover lah. Masalahnya, tak semua orang nak buat kerja tu...bila sudah lama memandu, masing-masing memandu ikut suka hati je. Makanya, kita dah tak boleh hendak jaga depan je...kerling-kerling sama la cermin sisi dan pandang belakang tu...toleh-toleh sikit ke...jangan dok cokoh gitu je...jadilah lebih peka dengan persekitaran.

Apapun, berbalik kepada pengalaman sendiri...pada Aku, pemanduan cuai ini bukanlah disebabkan oleh jenis jantina tetapi lebih kepada sikap dan perangai pemandu itu sendiri, tak kira lelaki...tak kira perempuan. Kalau dalam diri tu tak ada sikap peduli kepada orang lain dan hendak dia saja menang...memanglah jelas terserlah daripada cara pemanduan dia. Kalau jalan jem, dia dengan selamba akan menggunakan lorong kecemasan tanpa sedikit pun rasa bersalah. Dia juga akan mendominasi lorong laju dan tak teragak-agak 'provoke' kenderaan di hadapan yang agak-agak perlahan walaupun orang tu memang hendak beri laluan, tetapi tak mampu bertindak secepat yang dijangkakan...maka kenalah silau-silau dengan lampu dan silap haribulan kena hon lagi. Pemandu jenis ini juga akan sesuka hati bertukar-tukar ikut lorong mana yang dia boleh cepat sampai dulu daripada orang lain. Kalau mood baik, dia bagi signal...kalau tak, pandai-pandailah hendak teka.(Yang benda-benda ni selalunya pemandu lelaki buat...pasal diaorang ni berani mati belaka...tak ada teragak-agak nye!)

Tak kisahlah anda pemandu lelaki atau perempuan, dua-dua pun boleh memandu dengan baik...dan boleh memandu berbahaya juga. Pilih-pilihlah dengan akal. Stereng di tangan anda, pedal brek dan minyak pun sudah sedia...pandai-pandailah membuat pilihan. Ingat, bukan anda seorang sahaja yang berhak gunakan kemudahan jalanraya itu...orang lain pun berhak juga. Tak kira pejalan kaki, penunggang basikal, bawak BMW ke, Inspira ke, Kancil ke...ATOZ ke...semua orang mahu sampai ke destinasi dituju dengan selamat. Pandulah dengan berhemah, jangan buat orang susah kerana anda!

Thursday, July 29, 2010

Laluan Dibuka

Wah...sampai awal di pejabat pagi ini. Pukul 7.15 sudah ada di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Baru. Biar betul! Kalau tak 7.15 selalunya baru separuh jalan di Lebuhraya Mahameru tu. Walaupun sememangnya Aku keluar 5 minit awal hari ini, ada perkara lain yang turut membantu kelancaran perjalanan pagi ini.

Laluan flyover di Jalan Travers itu sudah mula beroperasi hari ini...yeahoooo!!! Punyalah best! Selalunya terhegeh-hegeh mengambil giliran hendak masuk lorong sempit di celah-celah pembinaan itu, tetapi hari ini...pergghhh...rasa macam bermimpi pulak. Hahaha...well...bak kata Kristin, peserta dalam siri TBL tu, "I always afraid to say it, eventhough I really want it...coz the moment I say I want it...it'll just slipped away from me"( she got plus 1 pound despite the rigorous exercise regime and was send home this week).

Apa lak kena mengenanya TBL dengan flyover tu Telipuk oiii?

Yelah, dah lama Aku peratikan...dah lama Aku membayangkan ia bakal siap secepat mungkin, kalau boleh sebelum bulan puasa ini. Tapi kemudian sudah lama jugak Aku tak pernah nampak sebarang aktiviti dijalankan di situ. (Depa buat malam la kot!). Jadi, sebab tak mau kecewakan impian tu, Aku pun ikutlah piawaian biasa...bak kata diriku sendiri, kalau siap hujung tahun ini pun sudah cukup baiklah...hahahaha.

Tak sangka, hari ini Atoz menderu laju membelah jalan yang tar hitamnya masih pekat berkilat-kilat. Ambil lane paling kanan pulak tu...nampak benor melepas geram ye, Atoz?

Mungkinkah Aku akan tukar cadangan menggunakan pengangkutan awam sepenuhnya sepanjang Ramadhan?

Hemmmmm.....

Friday, May 14, 2010

Alkisah Sesat

Minggu ini sememangnya berjalan dengan sangat pantas. Sungguh benar tidak terasa betapa hari ini sudahpun Jumaat. Seakan baru semalam berjalan menyusuri pantai Tanjung Bidara, mengutip karang-karangan. Hemmm...kalaulah perjalanan sepantas ini masih gagal mengoncang kesedaran akan 'perjalanan' satu lagi yang barangkali cuma sejengkal mengintai...ya Allah, mohon selalu agar diri ini sentiasa beringat-ingat, jangan sampai kesibukan dan kehidupan dunia yang sungguh melekakan ini menjadikan Aku manusia yang alpa dan lalai.

Pada hari Rabu lepas, Aku telah diminta menghadiri bengkel NKEA (National Key Economic Activities) yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri. Bengkel yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya dikendalikan oleh Datuk Seri Idris Jala diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan sektor awam dan swasta terhadap NKEA yang telah dikenalpasti. Bukanlah perihal aktiviti bengkel ini yang hendak Aku perkatakan. Kalau boleh mulai hari ini hendak kurangkan memperkatakan darihal kerja...eceh...ceh...ceh...:)

Pengalaman memandu mencari lokasi bengkel itu yang paling tidak dapat Aku lupakan. Sebenarnya tidaklah jauh mana Malaysia Airlines Academy itu, tetapi disebabkan Aku memang sangat-sangat jarang mengunjungi kawasan sebelah situ, membuatkan Aku terlepas mengambil simpang yang betul. Kesudahannya sesat jugalah berpusing-pusing mencari laluan. Lebih memburukkan keadaan, masa itu hujan turun dengan lebatnya. Alahai...sudahlah Aku ini rabun, terpisat-pisat cuba membaca papan tanda arah. Memang dugaan sungguh perjalanan hari itu.

Mujurlah Aku tidak cepat panik, alah, busuk-busuk pun...pusing-pusing sahajalah sampai jumpa. Yang penting, kalau hendak ke kiri, teruslah membelok ke kiri...tak mahu teragak-agak. Kalau salah jalan, biarkan salah...tak ada hendak tukar haluan. Terus aje, kalau perlu u-turn, buat u-turn. Itulah yang Aku lakukan supaya tidak menganggu kelancaran perjalanan pemandu lain seterusnya mengelakkan sebaik mungkin kejadian-kejadian yang tidak diingini. Alhamdulillah, Aku sampai agak awal. Kalau hendak ke tempat-tempat yang Aku tidak biasa, memanglah Aku akan keluar lebih awal supaya dapat merancang perjalanan dengan baik...kena ambil kira faktor sesat, faktor kesesakan jalan dan lain-lain hal yang mungkin berlaku. Syukurlah, sebab Aku sampai awal, Aku dapat tempat letak kereta petak di hadapan pintu keluar. Dan dapat masuk ke Auditorium berjumpa kawan syarikat pesaing, ada kawan untuk berbual. Tidaklah terasa canggung. Maklumlah, yang datang itu pakar-pakar belaka daripada pelbagai agensi dan syarikat. Kalau terlambat, memang tidak dapat masuk Auditorium, sebaliknya kena dengar dari dua lokasi lain yang berdekatan. Yang datang hari itu hampir 900 orang meliputi pelbagai sektor seperti petroleum dan gas, pertanian, perlancongan, telekomunikasi, pelajaran, kesihatan dan sebagainya.

Menjelang jam 6.30 petang, barulah kami beransur pulang setelah berkesempatan menikmati juadah yang disediakan. Banyaknya makanan. Sayang, hari itu Aku tidak pulak memakai topi 'blogger' hahaha...

Perjalanan balik pun kelakar juga sebab Aku sesat lagi. Entah macamana silapnya termasuk ke Bandar Sunway pula. Seperti biasa Aku tenang sahaja, yalah, bukan hendak pergi ke mana-mana lagi dah, cuma hendak terus balik sahaja. Jalan paling mudah adalah mencari tanda arah Kuala Lumpur yang berlatar warna biru, bermaksud laluan Lebuhraya Persekutuan. Pusing sana, pusing sini...alhamdulillah, berjumpa juga. Pelik juga jalan-jalan di sini. Ada yang ditutup lorong sebelah kanan, ada yang ditutup jalan ke hadapan. Nasib baiklah, Aku sudah terlatih untuk mengesan hal-hal tersebut dari jauh. Pengalaman memang banyak membantu dan lebih menambahkan keyakinan adalah saiz kereta yang kecil, tak risau hendak 'mencilok' bila dan tika perlu...hahaha...itu yang penting!

Itulah, sama macam kehidupan kita...ada banyak jalan dan cabang untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Cumanya, dalam memilih jalan-jalan yang banyak itu, berusahalah agar memilih jalan yang terbaik, yang selamat...tak apalah lambat sampai pun, janji sampai dengan selamat. Betul tak?