Seminggu lebih sudah berlalu. Semuanya masih terasa baru. Segar dalam ingatan sehingga adakala sukar mendakap realiti. Betul. Rasa terlupa. Rasa seperti ada. Bila tersedar, terasa seperti ada lohong kosong. Sesuatu yang telah hilang. Dan ingatan demi ingatan pun berputar-putar seperti pita filem. Ingat apa yang dia suka. Ingat jenaka yang selalu dibuat. Usikannya. Rajuknya. Ingat segalanya. Mungkin itulah lumrahnya, kita hanya pandai menghargai bila kehilangan.
Ketika meraikan pemergiannya ke tanah suci dulu, memang tidak menduga sakitnya akan bertambah teruk memandangkan dia nampak sihat ketika itu. Kami sempat merakamkan gambar bersama-sama adik-beradiknya yang turut sama hadir.

Kepulangannya tanggal 6 Disember lalu sangat dinantikan. Hati berdebar melihat ambulan yang siap menanti. Janganlah jadi apa-apa...kami adik beradik berdoa sungguh-sungguh. Hati rasa sangat lega apabila kelibat mereka berdua mula kelihatan. Lega sangat-sangat meskipun ayah keluar berkerusi roda. Alhamdulillah.


Dua hari selepas kepulangan mereka, kami bermohon pulang semula ke ibukota. Baru sampai di rumah, sudah menerima khabar yang ayah tidak sihat. Dua hari pula ayah berada di hospital Parit Buntar. Hujung minggu itu juga kami pulang menjenguk ayah. Kali ini ayah tidak mampu duduk lagi. Hanya terlantar di katil. Sedih melihat keadaannya. Terfikir hendak dibawa ke Kuala Lumpur, namun cadangan itu kurang bersesuaian dengan keadaan ayah dan ramainya sanak-saudara dan handai taulan yang sukar hendak ke Kuala Lumpur kalau dia dibawa ke sini.
Sudah menjadi rutin kami pada hujung-hujung minggu itu untuk berulang-alik ke kampung. Letih tak usah cakap. Selalunya, tengah malam baru bertolak balik dan sampai sekitar jam 3.30 ke 4.00 pagi Sabtu. Syukur perjalanan dipermudahkan. Pada suatu pagi 17 Disember lalu, Aku mengambil alih pemanduan setelah encik suami mengaku sangat penat dan mengantuk sementelah baru pulang dari pejabat jam 11 malam. Jadi, bermula Tapah, Aku memandu sendirian bertemankan radio. Mujur tidak terasa mengantuk langsung. Sesekali bila line clear, tak perasan meter semakin naik dan naik dan naik. Hanya ingat hendak cepat sampai. Melepasi Bukit Merah, alamak...ada road block pula. Hish...berdebar jiwa, satu demi satu kereta diperiksa...perjalanan yang semakin hampir terasa sayup di kejauhan...aduh, berderau darah bila tiba giliran dan pegawai polis itu menyemak nombor plet Snowy dalam kesamaran lampu. Berterabur jampi serapah...heheh...ya, sempat baca 'waja'alna'...alhamdulillah, lepas!
Sampai di rumah, Ayah masih belum tidur dan emak ada setia menunggu di sisinya. Bila dengar emak sebut namaku, ayah buka mata dan mencari. "Mana Ya"? Tangannya dihulurkan. Aku sambut dan kucium tangannya.
"Pi tidoq la Ya. Pi tidoq. Ayah mengantuk ni" katanya.
Sempat emak memaklumkan yang ayah ada bertanya di mana kami dan bila kami hendak bawa dia balik ke KL. Dia hendak balik KL. Sedih rasa hati mendengarnya.
Keesokkannya keadaan ayah masih sama tidak berubah. Ayah tidak mahu menjamah apa-apa. Hatta jus Monavie yang Aku belikan itu pun masih belum luak. Hendak beri dia sedut ubat pun tak mahu lagi. Ayah menggunakan 'air chamber' , masa hendak pakaikan mask ke mukanya pun langsung ditolaknya.Tengahari itu, Aku mengajak abang ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Baru sampai di pekan baru, adik menelefon. Katanya, keadaan ayah nampak teruk dan kak Ida yang menjalani pengajian luar kampus di USM setiap hujung minggu meminta Aku menjemputnya. Terus tak jadi beli barang dan kami bergegas ke Pulau Pinang. Adalah pula lori besar terbalik dilebuhraya hari itu...tidak semena-mena tersangkut satu jam sebelum melepasi exit Tol Juru. Apapun syukur sangat sebab jemput kakak dan bila sampai rumah terus duduk berkeliling adik-beradik membaca Yasin. Masuk pusingan ketiga bacaan Aku, ayah terus nazak. Air mata kami bercucuran keluar. Hiba. Dalam memandang ayah itu, emak suruh panggilkan yang lain-lain di luar sana. Aku blur sekejap..."Tak payahlah panggil..." rasa berat hendak bangun keluar. Hanya setelah emak kata, "Mak rasa ayah dah tak ada ni..." barulah rasa panik. Keluar mencari suami yang tersadai dalam bilik. Tak bagi intro lagi terus meluru dan menangis di dadanya. "Abang, ayah dah tak ada...". Jam sekitar pukul 4.45 petang.
Ayah sudah tak ada. Masih terasa blur...
Telefon Khairi, tak dapat. Telefon Ramzan. Ramzan masih dalam perjalanan. Jauh lagi. Suami menelefon ibu dan ayahnya. Mertua pun bergegas bertolak dari Melaka membawa bersama anak-anak kami. Pukul 3.30 pagi baru mereka sampai. Semua orang ada. Ramai. Al-Quran dibaca bergilir-gilir. Pukul 4 pagi baru dapat baring dan cuba melelapkan mata.
Sekonyong-konyong ayah datang menjelma di depan mata. Dia berjubah putih bersih dan berserban. Kain serban yang sama dipakainya ketika masih kuat. Wajahnya bersih. Mukanya ceria. Dia seakan-akan ketawa. Dipeluknya Aku seperti hendak bergurau. Katanya, " Tok sah bimbanglah, ayah ampunkan hangpa semuanya..." .
Eh, ayahkan....dalam terpinga-pinga mahu membalas...Aku terjaga. Terkejut. Eh! Aku bermimpi. Astaghfirullah...Terpisat-pisat membaca jam ditangan. Pukul 5.00 pagi. Memang tak jadi tidur lagi. Mengantuk pun tidak. Aku bingkas bangun berwuduk dan terus duduk di sisi jenazah ayah membacakan Yasin untuknya. Mak Lang masih konsisten dengan bacaan Al-Qurannya manakala Mak Ngah sudah sekejap berbunyi, sekejap terdiam. Mereka berjaga sepanjang malam.
Urusan jenazah ayah, alhamdulillah...sangat senang dan lancar. Semuanya berjalan baik. Anak-anak kusuruh duduk , tengok. Mana-mana yang mampu Aku jelaskan, Aku cuba jelaskan. Kata Aiman, "Siapa hendak jaga saya nanti, Ibu?". Anak-anak ikut bersama sepanjang urusan pengebumian. Hisham tidak banyak bertanya, hanya diam memasang telinga membiarkan adiknya bersoal-jawab. Pukul 10.00 pagi semuanya sudah selesai. Alhamdulillah. Tidak ada masalah, hanya selepas beberapa hari hujan, tanah perkuburan memang sangat becak dan berlumpur. Ramzan berlumuran tanah setelah turut sama mencangkul. Walaupun adik-adik lelakiku itu nampak 'cool', Aku tahu, sesekali ada air mata yang mencuri tumpah keluar. Insyaallah, mudah-mudahan Allah tempatkan roh ayah kita dikalangan hamba-hambanya yang beriman. Amin.
Ayahku telah pergi dalam keadaan dirinya yang bersih. Dia berada pada kedudukan yang terbaik. Alhamdulillah. Kami sangat-sangat bersyukur kerana hajatnya untuk menunaikan haji telah ditunaikan. Dia sangat gembira berada di bumi Mekah, walaupun sebelum wukuf dia sudah mula masuk hospital, alhamdulillah, ibadahnya dapat dilakukan. Ada seorang insan lagi yang perlu Aku ucapkan setinggi penghargaan iaitu doktor pakar yang membuat keputusan membenarkan ayah pergi walaupun Aku tahu dia ragu. Dengan persetujuannya maka mudahlah urusan haji ayah. Syukur sangat-sangat. Rupanya penyakit ayah semakin kritikal. Begitulah sifat COPD...ia sejenis penyakit yang progresif. Lambat dikesan dan bertindak dalam senyap. Macam kes ayah, kalaulah tidak kerana urusan haji itu, sampai sudah kami menyangka dia menghidap lelah. Hanya kerana terpaksa berurusan dengan doktor, barulah tak ada alasan lagi untuk tidak ke hospital. Biarpun semuanya sudah terlambat, sekurang-kurangnya dengan izin Allah, ayah berpeluang untuk menyempurnakan rukun Islamnya yang kelima dan sebagai anak, kami semua sudah sangat cukup berpuas hati. Alhamdulillah. Syukur ya Allah.
"Wahai Allah, ampunilah dosa-dosaku, dan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka menjagaku ketika aku kecil"