Monday, September 19, 2016

Membuang Rasa

Ianya seperti Aku berdiri di tengah-tengah dunia menyaksikan segala-gala yang berlaku berputar ligat silih berganti di sekelilingku. Peristiwa demi peristiwa. Segala-galanya yang pernah Aku rasa. Berdiri di situ menyaksikan bagaimana ianya terjadi berdasarkan pengalaman. Ada yang manis. Ada yang pahit. Setiap satunya tercatat pada kanvas ingatan. Ada yang dengan mudahnya Aku lupakan. Ada yang masih membekas enggan hilang. Kalau ada yang boleh Aku padamkan, pastinya ada beberapa peristiwa yang ingin Aku lupakan. Sayangnya, kuasa bukan di tanganku. Mungkin masa bisa membantu. Kapan bila tentunya Aku tak tahu.

Ketika Aku berada di situ, memerhati dan cuba untuk memahami, Aku telah menemukan rasa belas dalam hatiku. Ada beberapa rasa yang ku buka untuk penilaian semula kerana Aku enggan terbeban dengan emosi-emosi negatif. Bila ku buka satu persatu...Aku berasa lega kerana tiada rasa dendam di situ. Mungkin ia pernah ku kategorikan sebagai rasa yang enggan Aku iktiraf, namun hari ini setelah ku perhalusi, ternyata ianya hanyalah sesuatu yang mengelirukan, namun jauh sekali untuk ku namakan ia sebagai dendam. Pergilah wahai rasa...Aku bebaskan engkau jauh dari lubuk hatiku kerana Aku tidak mahu membuang masa berhitung denganmu. Tentunya tidak di dunia ini, apatah lagi di akhirat sana. Aku tidak mahu kita bertemu di mahkamah Allah, cukup-cukuplah lamanya masa yang perlu Aku harungi untuk diadiliNya, tak perlulah Aku memanjangkan lagi tempoh masa yang menyeksakan itu.

Belas kah itu? Aku terkedu menatap rasa yang menjelmakan simpati membuak dalam dadaku. Lalu perlahan-lahan ada air jernih yang menitis membasahi pipi. Mengapa tiap kali perasaan itu menjentik, jiwa ini terlalu sensitif bergetar. Maaf, Aku tidak menangisi kamu apatah lagi menangisi diri sendiri. Tidak, Aku terlalu gah untuk merasa simpati terhadap diri sendiri. Air mata itu adalah rasa sayu seorang hamba yang merasa terlalu kerdil dan hina untuk menerima perhatian daripada Tuannya. Apabila merasakan diri ini dipimpin dan dibimbing untuk mengasihani dan memaafkan mereka yang menzalimi, perasaan sayu itu timbul kerana hanya atas bantuan Dialah segalanya bisa terbit. Kalau atas dasar manusiawi ku sendiri...mustahil ini terjadi. Wajib untuk ku mensyukuri anugerah ini kerana ianya sangat mahal untuk dikecapi insan hina seperti Aku. Justeru, dengan ikhlasnya Aku hadiahkan kamu sebuah kemaafan. Jangan risau kerana hadiah ini kekal buatmu walau mungkin saja kemudian nanti kamu ulangi kesilapanmu. Kitakan manusia, selamanya tak mungkin lepas dari lalai dan alpa dalam berbuat dosa.

Ku percaya dan ku yakin bahawa hidup ini selamanya adalah bahagia selagi diaturkan mengikut kehendakNya. Benarlah kata-kata sang guru...agama itu bukan tentang kemahuanmu tetapi agama dan segala peraturannya adalah mengikut kehendakNya. Selagi kamu ikut segala peraturanNya, maka berbahagialah hidupmu, meski dalam situasi apapun.

Semoga Aku jua dapat menyemat kukuh hadis di bawah ini, harap-harap sentiasa berhasil menepis segala kekeliruan dan selalu positif :

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim).

La tahzan

No comments: