Tuesday, May 19, 2020

Berbaik Sangka Kepada Allah SWT

Sebenarnya hari ini ada dua kuliah oleh dua murabbi kegemaran Telipuk yang berlangsung lebih kurang sama masanya. Nasib baiklah nanti boleh saja Telipuk tonton rakaman video kemudian, jadi untuk pengisian rohani pagi tadi Telipuk pilih topik "Berbaik Sangka Kepada Allah" yang disampaikan oleh Ustaz Dr Abdullah Yasin. Memang terbaiklah.

Kata Ustaz, ini adalah satu topik yang penting kerana ia berkaitan dengan ibadat hati. Telipuk pun kadang confuse bila masuk bab husnu dzon (berbaik sangka) ini sebab ada orang dia faham lain. Nak kata dia salah, tak berani pulak Telipuk - maklumlah, siapalah kita nak menyentuh sesuatu yang terkait dengan keluasan kasih sayang dan rahmat Allah. Ada orang cakap, "Alah, tak apa...dah lapang nanti barulah pergi masjid, pergi kelas. Sekarang ni kena kerja kuat sementara tenaga masih ada, untuk kemudahan kita juga. Allah kan memahami. Nanti kita bertaubat, minta ampun, tentulah Allah ampunkan". Hari ni dapat penjelasan yang terang dari Ustaz tentang apa yang dikatakan husnu dzon ini.

Apabila berbaik sangka dengan Allah, ia mestilah melahirkan amal. Tak mungkin kita husnu dzon jika tidak terlahir amal. Bersikap husnu dzon akan membantu, membimbing dan mendorong diri untuk melakukan amalan soleh. Ini berlawanan dengan ghurur yang boleh dikatakan 'perasan' atau terpedaya dengan diri sendiri. Disangkakan dia husnu dzon tetapi tidak memperbaiki diri dan menambah amalan kebaikan. Itu bukanlah husnu dzon. Siapa yang mengira husnu dzon kepada Allah tidak perlu diimbangi dengan perbuatan, itu sebenarnya telah keliru dan salah. Ini orang yang terpedaya dan memiliki harapan yang tercela. Adalah tidak bermanfaat berprasangka baik kepada Allah dengan meninggalkan kewajipan atau dengan melakukan kemaksiatan.

Berbaik sangka dengan Allah ini ada 2 jenis iaitu :
1. Husnu dzon ketika menunaikan ketaatan kepada Allah
2. Husnu dzon ketika kita mengalami musibah atau menjelang kematian

Berbaik sangka ketika menunaikan ketaatan kepada Allah

Ketaatan yang dimaksudkan berupa ibadah seperti solat, puasa, doa dsbnya. Berikut merupakan hadis-hadis Qudsi (Datang dari Allah melalui lisan Nabi) berkaitan sangkaan terhadap Allah :

Hadis #1

“Allah SWT berfirman: Aku sesuai persangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingatKu. Jika ia mengingatKu saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Jika ia mengingatKu di suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada pada itu (kumpulan malaikat).”

(Hadis Qudsi: Muttafaqun ‘alaih) [HR. Bukhari, no. 6970 dan Muslim, no. 2675

Hadis #2

حَدَّثَنِي سُوَيْدُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ مَيْسَرَةَ، حَدَّثَنِي زَيْدُ بْنُ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي، صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ ‏ “‏ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ حَيْثُ يَذْكُرُنِي وَاللَّهِ لَلَّهُ أَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ يَجِدُ ضَالَّتَهُ بِالْفَلاَةِ وَمَنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَمَنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِذَا أَقْبَلَ إِلَىَّ يَمْشِي أَقْبَلْتُ إِلَيْهِ أُهَرْوِلُ ‏”‏

Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang hilang. Dan barangsiapa yang mendekat kepadaku sejengkal, aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat kepadaku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaku berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat
(HR. Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan ringkas yang boleh diambil dari hadis-hadis di atas menunjukkan betapa dekat hubungan antara berbaik sangka dengan amalan. Sesiapa yang berbaik sangka dengan Allah pasti akan mendorongnya untuk beramal. Kalau kita tahu Allah mengingati kita, pasti kita akan berusaha untuk mengingati Allah dalam khalayak yang lebih baik (kerana kita mengharapkan balasan dari Allah).
Tak mungkin kita akan melakukan perkara yang Allah tidak suka dalam usaha mendapatkan redhaNya. Contoh : Seorang anak yang mengharapkan redha Allah tetapi dalam masa yang sama berbuat perbuatan yang menyakiti hati kedua ibubapanya, mana mungkin dia beroleh redha Allah.

Justeru, sekiranya kita masih melakukan perbuatan yang Allah tidak sukai, jika mahu menjadi hamba yang baik sangka dengan Allah mestilah cepat-cepat bertaubat dengan kadar segera. Secepat mungkin. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah A-li'Imraan ayat 133 :

A133
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Hassan Al Basri berkata sesungguhnya seorang mukmin ketika berbaik sangka kepada Allah maka dia akan memperbaiki amal manakala jika dia berburuk sangka  kepada Allah maka dia akan berbuat perkara maksiat. Ada orang yang kata "Alah, orang macam aku ni memang taubat pun tak gunalah, dosa aku menimbun...dah lambat". Jangan begitu. Ingat kisah seorang penjahat yang dah bunuh 99 orang. Bila jumpa orang yang ke-100, dia tanya, kalau dia nak bertaubat ada jalan tak? Orang yang ditanya jawab, tak ada. Geram, terus dibunuhnya orang tadi. Akhirnya si penjahat berjumpa seorang alim yang menjawab pertanyaan, ya, kau masih boleh bertaubat dan Allah akan ampunkan. Akhirnya apa? Dia menuju ke satu tempat untuk dia mulakan hidup baru setelah bertaubat namun mati di pertengahan jalan. Di mana dia hendak diletakkan? Dia akhirnya beroleh pengakhiran gembira kerana dia lebih hampir kepada jalan kebaikan setelah berhijrah daripada jalan kegelapan. Begitu seharusnya kita memahami bagaimana bersangka baik dengan Allah. Bukan hanya sekadar sangka baik tetapi lepas tu tak buat apa-apa. Mana manifestasi amalnya?

Amal ibadat yang kita lakukan mestilah ikhlas kerana Allah. Dan dilakukan ikut cara Rasulullah. Tak guna kita beramal baik dan ikhlas kerana Allah namun amalan kita tidak ikut macam Rasulullah. Berbaik sangka macam manapun pasti Allah tidak akan terima amalan kita. Jadi, baikilah amal. Tiada istilah terlambat dalam Islam. Yang menjadi ukuran di sisi Allah ialah apa yang di akhir hayatmu bukan ketidaksempurnaanmu di masa mudamu. Sebab itu taubat didahulukan berbanding ibadah. Senag nak ingat macam ini. Taubat diumpamakan membersihkan diri dan ibadah itu pula diumpamakan sebagai menghias diri. Maka, membersihkan diri itu hendaklah didahulukan berbanding menghias diri. Contoh : Mandi dulu sebelum pakai baju , itulah urutan yang betul.

Peranan taubat adalah untuk membersihkan diri dari dosa. Ada orang dia banyak beribadah tetapi masih buat perkara syirik (jumpa bomoh), buat bidaah. Itu belum bersihkan diri namanya. Berkenaan kepentingan bertaubat dahulu sebelum diikuti ibadat, urutannya ada dalam ayat 11 dari Surah At-Taubah :

A011
Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.

Perhatikan bagaimana taubat disebut dahulu sebelum dituruti dengan amalan sebagaimana sabda Nabi, mulailah olehmu sebagaimana yang Allah awali. Bila kita faham Al-Quran, ambil sebagai hujah maka kita faham ketetapan Allah adalah benar belaka.

Dengan bersangka baik akan menyebabkan kita mengatur langkah-langkah keselamatan untuk masuk syurga contoh rajin pergi belajar ilmu agama, ini adalah antara jalan keselamatan iaitu jalan menuju syurga. Termasuk dalam bersangka baik ialah bila berdoa adalah berada dalam keadaan menyakini Allah akan makbulkan (Imam Al-Qurtubi). Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin doa kamu akan dimakbulkan kerana Allah tak akan terima doa daripada orang yang hatinya lalai.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. Riwayat al-Tirmizi (3479) – Hadis ini dinilai hasan

Jadilah kamu ketika berdoa itu dalam kondisi doa yang layak dimakbulkan. Contoh bila kamu ada hajat, kamu sedekah dulu sebelum berdoa. Yakni, berbuat kebaikan sebelum doa, ini adalah antara kaedah menjadikan doa dimakbulkan Allah. Antara tips lainnya ialah sentiasa berbuat ihsan, jangan buat benda-benda yang mungkar juga posisi/timing doa perlulah tepat misalnya berdoa di sepertiga malam, atau berdoa ketika dalam sujud.

Berbaik sangka ketika mengalami musibah atau menjelang kematian

Ini adalah jenis sangkaan baik yang kedua. Daripada Jabir r.a , beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum Baginda wafat:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah. Riwayat Muslim (2877)

Antara maksud dalam hadis ini adalah wajib bagi setiap orang yang beriman untuk bersangka baik dengan Allah. Dan ini hendaklah ditambah lagi sangkaan baik ketika mana berlakunya musibah dan hampir mati. Kata al-Hattab: Sunat bagi orang yang dalam sakaratul maut bersangka baik dengan Allah. Dan sangkaan ini hendaklah bertambah ketika hampir mati dan ketika sakit. Ini tanpa dinafikan sangkaan baik bagi orang yang mukallaf hendaklah sentiasa kepada Allah. (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 10/220 dan Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 17/10).

Allah terima taubat hambaNya selagi belum sampai 3 perkara berikut :

1. Nazak
2. Sakaratulmaut (mabuk mati)
3. Ta'ghar ghar iaitu keadaan di mana suara bercampur lendir

Kesimpulannya, sentiasalah berprasangka baik dengan Allah. Husnu dzhon menuntut setiap kita melakuk suruhan Allah dan menjauhi laranganNya serta memenuhi syarat sehingga layak mendapat redhaNya.

Mukmin akan bersangka baik ketika akan meninggal dunia bahawa Allah akan memaafkan dan memberikan rahmat kepadanya walaupun mereka kurang melakikan amalan kebaikan.

Semoga Allah jadikan kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dan menempatkan kita di kalangan orang-orang yang soleh dan mencintai Nabi-Nya SAW sehingga ke akhir hayat.


Monday, May 18, 2020

CARA MENDAPAT RAHMAT ALLAH

Kuliah Ustaz Dr Abdullah Yasin


إِنَّ الَّذِيْنَ آمَنُوا وَالَّذِيْنَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِى سَبِيْلِ اللهِ ، أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللهِ ، وَ اللهُ غَفُورٌ رَحِيْمٌ ( 218 )

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Baqarah : 218)

MUKADDIMAH :

Menurut keyakinan Umat Islam bahwa manusia wajib berusaha dan beramal soleh agar layak masuk syurga Allah. Namun demikian, amal soleh yang mereka usahakan itu bukanlah segala-galanya, tetapi pada masa yang sama mereka sangat mengharap untuk mendapat Rahmat Allah yakni Kasih Sayang Allah. Di dalam keyakinan Umat Islam seseorang hanya layak memasuki syurga Allah, jika dia mendapat Rahmat Allah.

Rasulullah SAW bersabda :

*عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : لَنْ يُدْخِلَ أَحَدًا عَمَلُهُ الجَنَّةَ . قَالُوا : وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ : لَا ، وَلَا أَنَا ، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ بِفَضْلٍ وَرَحْمَةٍ . ( رواه البخاري )*

Daripada Abu Hurairah RA katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Tidaklah sekali-kali amalan seseorang yang memasukkannya ke dalam syurga. Mereka (Para sahabat) bertanya : Apakah Tuan juga demikian, Wahai Rasulullah ? Jawapnya : Tidak, aku juga tidak (amalku yang memasukkan aku ke dalam syurga) kecuali berkat limpahan kurnia dan Rahmar-Nya. (HR Bukhari ; No Hadis : 5673 )

PENGAJARAN AYAT :

Di dalam Ayat Bab di atas (Al-Baqarah : 218), Allah SWT menegaskan bahwa ada tiga cara utama untuk mendapat Rahmat Allah SWT, iaitu :

1. IMAN.

Keimanan yang dimaksudkan disini ialah keimanan yang murni tidak bercampur syirik sedikitpun. Hakikat ini ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya :

الَّذِيْنَ ءَامَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيْمَانَهُمْ بِظُلْمٍ ، أُولَئِكَ لَهُمُ الأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ (82 )
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-An’aam : 82)

Ayat ini memberi isyarat bahwa hanya orang yang mempunyai iman yang murni tanpa dicampuri syirik saja yang akan aman daripada siksaan Allah di akhirat dan mendapat petunjuk. Secara tersirat (mafhum ayat) seseorang tidak akan aman daripada siksaan Allah jika imannya masih bercampur dengan kezaliman yakni syirik. (Lihat makna zalim dalam surah Luqman)

2. HIJRAH.

Menurut bahasa : Hijrah ialah berpindah dari satu tempat kepada tempat yang kedua. Hijrah menurut agama terbagi kepada dua jenis, iaitu : ( هِجْرَةٌ حِسِّيَّةٌ ) : Hijrah Fisikal ; ( هِجْرَةٌ مَعْنَوِيَّةٌ ) : Hijrah Sikap. Jika dibandingkan antara dua Hijrah ini maka Hijrah Maknawiyah adalah lebih afdhal. Hakikat ini sesuai dengan Sabda Nabi SAW :

أَفْضَلُ المُهَاجِرِيْنَ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ . ( رواه الطبراني – حديث صحيح عند الألباني )
Sebaik-baik orang-orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. (HR Al-Tabaraniy – Hadis ini sahih menurut Syeikh Al-Albaniy)

3. JIHAD FI SABILILLAH

Perkataan ( الجِهَادُ ) : Al-Jihad, berasal dari perkataan ( الجُهْدُ ) Al-Juhd, dengan maksud ( المَشَقَّةُ ) : Bersusah payah. Dan perkataan ( فِى سَبِيْلِ اللهِ ) : Fi Sabilillah, maknanya ( الطَّرِيْقُ المُوْصِلُ إِلَى مَرْضَاةِ اللهِ ) : Jalan yang boleh menyampaikan seseorang kepada keredhaan Allah.
Jadi jika digabungkan antara dua ungkapan tersebut ( الجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللهِ ) : Jihad di jalan Allah, maknanya : Kesungguhan seseorang dengan tujuan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
Allah SWT menegaskan bahwa mereka yang telah memiliki tiga syarat sahaja yang layak mendapat Rahmat Allah, iaitu Iman, Hijrah dan Jihad. Ayat ini diakhiri dengan ( وَاللهُ غَفُورٌ رَحِيْمٌ ) : Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Ini pula memberi isyarat bahwa Dia Maha Pengampun terhadap mereka yang lalai memiliki tiga syarat ini pada masa silam, dan Dia Maha Penyayang karena bersedia menerima mereka jika mereka ingin kembali kepada-Nya.

KESIMPULAN :

1. Tiga syarat utama seseorang mendapat Rahmat Allah, iaitu : Iman, Hijrah dan Jihad.
2. Jihad (Kesungguhan) pula menjadi syarat untuk memiliki Iman dan Hijrah.
3. Jangan berangan-angan mendapat Rahmat Allah jika tiga syarat tersebut tidak dipenuhi.
4. Allah sentiasa bersedia memberi ampunan jika kita lalai memenuhi tiga syarat tersebut.
5. Allah Maha Penyayang terhadap orang yang ingin kembali ke pangkuan-Nya.

PERINTAH MENGIKUTI ISLAM SECARA MENYELURUH

Perkongsian nota kuliah Ustaz Dr Abdullah Yasin

( Al-Baqarah  : 208 )

يَآأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِى السِّلْمِ كَافَّةً ، وَلَا تَتَّبِعُواخُطُواتِ الشَّيْطَانِ ، إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِيْنٌ ( 208 )

TERJEMAHAN :

208.  Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

TAFSIR AYAT :

Dalam ayat-ayat sebelumnya Allah S.W.T. telah membagi manusia kepada dua golongan iaitu golongan yang suka membuat kerusakan di atas muka bumi dan golongan yang ikhlas yang hanya mengharap keredhaan Allah dan sentiasa taat dan patuh dengan ketentuan-Nya. Dan dalam ayat berikut pula Allah menjelaskan bahawa sifat dan sikap orang-orang yang beriman sentiasa cenderong kepada perpaduan dan tidak berpecah belah. Mereka disuruh oleh Allah agar masuk ke dalam Islam secara menyeluruh , dan jangan masuk Islam setengah setengah.

Pada masa yang sama orang-orang yang beriman juga dilarang agar jangan mengikuti langkah-langkah syaitan, sebab syaitan itu bagi manusia adalah musuh yang sangat nyata.

يَآأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِى السِّلْمِ كَافَّةً ، وَلَا تَتَّبِعُواخُطُواتِ الشَّيْطَانِ ، إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِيْنٌ ( 208 )
208.  Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Di dalam ayat ini Allah SWT menyuruh orang-orang yang beriman agar masuk ke dalam agama Islam secara menyeluruh ( syumul ) dan jangan setengah-setengah.

Syaikh Muhammad 'Aliy Al-Sabuniy berkata   : Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman dalam ayat ini agar mematuhi hukum-hakam-Nya dan menerima arahan-Nya serta masuk Islam, sebab Dia tidak menerima agama selainnya. Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh, dalam urusan hukumnya dan syari'atnya. Janganlah kamu mengambil hanya sebahagian hukum dan meninggalkan hukum yang lain. Janganlah kamu hanya mengambil solatnya tetapi enggan mengeluarkan zakat, sebagai contoh. Islam adalah menyeluruh adalah Kaaffah (Comprehensive / Syumul), ia tidak terpisah-pisah. Itulah sebabnya sambungan ayat Allah SWT menegaskan : Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang sangat nyata.

Munurut Imam Al Maraghy maksud ayat di atas :

Hai orang-orang yang beriman dengan lidah dan hatinya, hendaklah kamu kekal di dalam ke-Islamanmu setiap kamu memulai hari-harimu dan janganlah sekali-kali kamu terkeluar daripada ajarannya walaupun sedikit. Bahkan ambillah ajaran Islam secara menyeluruh dalam kehidupanmu dan jadikan Islam sebagai cara hidupmu (way of life). Lihatlah segala urusan harianmu dengan kaca mata Islam dan sesuaikanlah segala tindak tandukmu dengan nas-nas Al Quran dan Al Hadis serta beramallah dengan berpandukan kepadanya. Janganlah ada di kalangan kamu orang yang mengambil hujjah sesuka hatinya semata-mata berdasarkan logika tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah untuk mengalahkan pihak yang lain. Dan jika perkara ini dapat dipatuhi niscaya akan terhindarlah kamu daripada perpecahan dan permusuhan dan akan wujudlah perpaduan berdasarkan tali Allah (HablulLaah)

Allah SWT berfirman :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ،
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, ( Ali-'Imran / 3 : 103 )

Jadi dengan lain perkataan semua orang yang benar-benar beriman mestilah menyesuaikan segala tindak tanduknya dengan kehendak Islam dan janganlah ada di antara mereka yang mempertuhankan hawa nafsunya (mengikuti hawa nafsunya), sebab sikap demikian bukan saja bermakna dia telah membelakangi Islam malahan dia dapat digolongkan sebagai orang yang telah mengikuti seruan syaitan, sebagaimana yang diisyaratkan oleh Allah dalam firman-Nya :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ ، وَأَضَلَّهُ اللهُ عَلَى عِلْمٍ ، وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ ، وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً ، فَمَنْ

يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللهِ ، أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ( 23 )
Maka pernahkan kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatan-nya ? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran ? ( Al Jaatziyah / 45 : 23 )

Di antara sikap utama orang yang mempertuhankan hawa nafsunya ialah dia akan mengikuti dan melakukan ajaran agama jika ajaran itu sesuai dengan seleranya, tetapi dia akan bersikap sebaliknya yakni tidak akan mengikuti kehendak agama jika ajaran agama itu bertentangan dengan selera hawa-nafsunya. Inilah sebenarnya sifat orang munafiq sebagimana yang digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya :

يَكَادُ البَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ ، كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيْهِ ، وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا ،
Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka, setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. ( Al Baqarah / 2 : 20 )

 Orang-orang yang beriman semestinya menyesuaikan hawa nafsunya dengan kehendak agama, bukan sebaliknya. Hubungan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW dengan mukminin sama betul antara hubungan imam dengan makmumnya. Mukminin dan Mukminat selagi hidup dalam dunia ini tidak ada pilihan lain kecuali mengikuti ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Jika tidak bersikap demikian maka mereka akan terdedah dengan kesesatan. Ini sebagaimana firman Allah :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ، وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرسُولَهُ ، فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِيْنًا (36
Dan tidaklah patut bagi laki laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.(Al Ahzab / 33 : 36)

Dan kerana masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya tidak mungkin akan tercapai kecuali dengan menyalahi perjalanan syaitan, oleh sebab itulah maka pada lanjutan ayat di atas Allah SWT melarang keras kita mengikuti langkah-langkah syaitan :

وَلَا تَتَّبِعُواخُطُواتِ الشَّيْطَانِ ، إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِيْنٌ ( 208 )
dan janganlah kamu turuti langkah langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208)

Maksud ayat ini   :  Patuhilah perintah Allah dengan mentaati-Nya dan jauhilah suruhan syaitan kerana semua suruhannya membawa kepada dosa dan neraka. Ini sebagaimana firman Allah :

إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوْءِ وَالفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (
Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji , dan agar kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. ( Al Baqarah / 2 : 169 )

إِنَّمَا يَدْعُوا حِزْبَهُ لِيَكُوْنُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيْ

 Sesungguhnya syiatan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. ( Fathir / 35 : 6 )

Barangsiapa yang merenungi hakikat di atas secara mendalam niscaya pasti dia akan mengetahui betapa jahatnya syaitan dan betapa buruknya akibat yang bakal menimpa orang yang mengikuti suruhannya. Sungguh tepat kalau syaitan dikatakan sebagai musuh yang nyata bagi manusia.

Perkataan syaitan ( شَيْطَانٌ ) diambil dari akar kata (شَطَنَ  ) yang artinya ( بَعُدَ ) : Jauh. Oleh sebab itu ulama Aqidah mengartikan perkataan syaitan dengan ( بَعِيْدٌ عَنِ الحَقِّ ) : Jauh daripada kebenaran. Sedangkan ( الحَقُّ ) :  kebenaran pula adalah segala yang datang daripada Allah WT sebagaimana firman Allah :

الحَقُّ مِنْ رَبِّكَ ، فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ المُمْتَرِيْنَ

Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu. ( Al-Baqarah / 2 : 147 )

Sayyid Qutub RH berkata   :

Kalau Allah SWT menyuruh orang-orang yang beriman agar masuk ke dalam Islam secara menyeluruh, dan selanjutnya melarang mereka daripada mengikuti langkah-langkah syiatan, maka ini memberi isyarat yang sangat jelas bahwa jalan dihadapan manusia hanya ada dua jalan sahaja. Apakah mereka memasuki ke dalam Islam secara menyeluruh, ataukah mereka mengikuti jalan-jalan syaitan. Apakah mereka di dalam hidayah yakni petunjuk, atau mereka berada di dalam dhalalah atau kesesatan, apakah mereka di dalam Islam atau di dalam kejahilan.

Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah :

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَابَنِى أَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدوا الشَّيْطَانَ ، إِنَهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِيْنٌ )   60) وَأَنِ اعْبُدُونِى ، هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيْمٌ ( 61 )
Bukankah Aku telah berjanji (memerintahkan) kepadamu Hai Bani Adam (manusia) supaya kamu tidak menyembah syaitan ? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. ( Yasiin / 36 : 60-61 )



Saturday, May 16, 2020

Ibadah + Cinta Allah

Hari ini Telipuk nak share kuliah online oleh Ustaz Abd Muein dengan tajuk khas iaitu "Ibadah Tanpa Cinta Pada Allah". Wahh...memang berat topik ni. Kalau yang suka ceramah gelak-gelak, lawak-lawak memang tak boleh join la. Boleh sentap pun ye jugak. So, yang tak biasa dengan pendekatan Ustaz Muein ni, silalah berlapang dada sebab penyampaian Ustaz memang direct, tak de nak berlapik-lapik bagai (nasib kau la kalau terasa) sebab apa yang Ustaz sampaikan adalah diambil dari Al-Quran dan Hadis. Dia tak de nak selit peribahasa melayu ke, pantun ke, lagu rock kapak ke...hahaha...

Kenapa topik ini penting? Penting sebab ia boleh menentukan samada ibadah kita selama ini diterima Allah ataupun tidak. Juga, kita boleh ukur apakah telah kita kecapi kemanisan dalam beribadah. Hemmm...macam mana nak bayangkan tu ye...sebab kita ni biasa buat apa yang kita disuruh buat, betul tak? Kita jarang nak pergi melangkaui tahap sesudah buat apa yang perlu dengan alasan, kita dah meet the requirement/expectation. Jarang sangat nak go beyond expectation. (Tapi kenapa ek kalau dalam bab beribadah begitu sekali kita berkira? - sila jawab sendiri, tepuk dada-tanyalah iman).

Macamana kita nak jadikan ibadah kita, misalnya solat sebagai sesuatu yang menenangkan jiwa dan menjadi penyejuk hati? Rasulullah SAW menyebut solat sebagai penyejuk hati Baginda di dalam satu hadis :
حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ أَبُو عُبَيْدَةَ عَنْ سَلَّامٍ أَبِي الْمُنْذِرِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حُبِّبَ إِلَيَّ النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ
Maksudnya :” Telah menceritakan kepada kami Abdul Wahid Abu Ubaidah  daripada Sallam Abu Munzir daripada Thabit daripada Anas sesungguhnya Nabi saw bersabda Perkara yang aku suka ialah wanita, minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku ketika solat.” - Riwayat Imam Ahmad (hadis hassan).
Bagaimana nak menjadikan solat itu sebagai solusi untuk mententeramkan minda dan menghilangkan keserabutan fikiran? Solat dah 30 tahun, 40 tahun, serabut serupa tu jugak ...huhuhu. Nabi SAW pernah berkata kepada Bilal, “Wahai Bilal, dirikan solat, tenangkan kami dengannya.” (Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnad-nya dan Abu Dawud). Bagaimana untuk capai tahap seperti ini? Kata bijak pandai, tidak ada satu benda pun yang boleh mendorong manusia untuk melakukan sesuatu dengan rela dan sendirinya, bersusah payah nak buat sepenuh hati melainkan cinta. 
Tanda kita cinta kepada sesuatu amalan ialah apabila kita rasa seronok melakukannya. Macam orang yang suka berkebun, dia suka dan seronok cangkul tanah, tabur baja, siram pokok walaupun penat seharian nak buat semua tu. Bila nampak pokok yang ditanam membesar dan hidup subur, lagi dia seronok. Itu sebab dia dah cinta. Jadi, sama juga dengan ibadah kita. Agak-agaknya di mana kita sekarang? Rasa excited bila dengar azan berkumandang ke atau rasa "eh dah azan la"...dengan nada frust sebab kejap lagi kena tinggalkan urusan kita untuk pergi bersolat. Nak pulak tengah tengok drama time waktu maghrib masuk...ada kah kita kata, kejapp...sikit je lagi...nak habis dah ni...langsung pukul 8 barulah kita terhegeh-hegeh nak pergi ambil wuduk. 
Kalau hendak merasai kemanisan dalam beribadah, kenalah cinta kepada Allah. Tak kenal maka tak cinta. Dari mana hendak datang cinta tersebut kalau kita tak kenal Allah? Macamana nak kenal Allah kalau tak mahu baca dan faham Al-Quran, tak seronok nak ikut apa yang Nabi buat. Dah kalau methodnya tak betul, sampai sudahlah tak mencapai objektif yang dikehendaki, betul tak? So, hari ini kita belajar macamana nak mendapatkan cinta Allah supaya bila beribadah, kita rasa ianya proses yang menyeronokkan dan bukan bebanan.
Untuk mendapatkan cinta Allah, kita terlebih dahulu kenalah tahu apa yang Allah cinta. Macam kita sayang kat pasangan kitalah, kita nak bagi dia makan apa yang dia sukai. Dah kalau dia kata kalau time makan mesti kena ada sambal belacan...buat jer la...Bagi dia sambal belacan tu supaya dia pun cinta sama kita...hahahaha. Jangan mare aaaa...
Di dalam Al-Quran, Allah sebut banyak apa yang Allah cinta. 
A195
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Daripada Ayat 195 Surah Al-Baqarah ini, Allah sebut siapa orang yang dia kasihi iaitu orang yang suka berinfaq di jalan Allah. Bukan berinfaq di bulan Ramadhan saja ye, tapi pada setiap masa dan ketika memang kaki infaq ni...pantang ada peluang dia infaq. Asal infaq je, dia. Asal dia je, infaq. Haaa...ini orang yang Allah suka dan cinta. Jangan kata tak ada duit nak infaq, bukan duit saja yang boleh diinfaq kan. Kalau ada ilmu, sebarkan dan ajar orang. Duit tak ada, ilmu tak ada...infaq pakai tulang empat kerat kita...tolong orang bergotong royong bersihkan masjid ke, tolong orang dalam kecemasan ke...itu juga dikira berinfaq selagi mana ianya untuk tujuan yang membawa kita dekat kepada jalan-jalan kebaikan.
Siapa lagi yang Allah kasih? Allah cinta dan kasihkan orang-orang yang banyak bertaubat dan sentiasa mensucikan diri sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 222 :
A222
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Bila kita buat salah, buat dosa...lekas-lekas bertaubat. Jangan tunggu dosa dah berkepuk-kepuk baru nak taubat. Jangan duduk dalam keadaan berdosa berterusan tanpa taubat. Allah suka hambaNya yang selalu balik kepadaNya untuk bertaubat. Jadi nak Allah cinta pada kita, buatlah apa yang Dia cinta.
Orang yang bersuci yang dicintai Allah pula ada dua pendapat iaitu pertama, itulah orang yang sentiasa bersih fizikalnya, badannya bersih dan dia sentiasa dalam keadaan berwudhuk. Suci dari segala hadas. Manakala pandangan kedua ialah merujuk kepada orang yang suci hatinya, yang mana segala perbuatannya adalah didasari niat yang suci semata-mata kerana Allah. Tiada di dalam hatinya unsur-unsur riak dan juga unsur-unsur yang berteraskan kepentingan duniawi.
Siapa lagi yang Allah cinta? Allah sukakan orang yang bertaqwa iaitu mereka ini suka mentaati perintah Allah bila-bila masa dan di mana-mana jua, orang tengok ka orang tak tengok ka, sama sahaja buat mereka. Masa orang ada pun mereka bertaqwa, lebih-lebih lagilah bila tak ada orang. Sebab mereka buat kerana Allah. Inilah orang yang Allah cintai sebagaimana firmaNya dalam ayat 76 dari Surah Al-'Imraan :
A076
Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
Ciri-ciri orang bertaqwa ini dia punya ketaatan itu tidak kira tempat , walau berseorangan pun dia tetap bertaqwa sebab dia tahu Allah Maha Melihat segala perbuatannya. Begitu pula, bilamana dia berbuat jahat, dia segera terus bertaubat dan untuk 'cover' balik kesilapan dia tambah dengan ibadat-ibadat lain contohnya banyakkan zikir, tambah solat sunat dan sebagainya.
Berdasarkan ayat-ayat di atas, kita dapati di dalam Al-Quran memang banyak Allah sebutkan siapa hamba-hambaNya yang Dia kasihi. Yang menjadi masalah ialah kita yang tak tahu atau tahu baca Al-Quran tapi tak faham. Maka, mulut saja yang baca sedangkan kefahaman tak meresap masuk dalam sanubari menyebabkan ibadat kita yang bertahun-tahun itu rasa sama seperti itu juga, hambar dan tawar. Tak rasa lazat , tak rasa manis. Punca mengapa kita gagal merasai kelazatan beribadah adalah kerana kita tak buat apa yang Allah suka, tapi kita buat apa yang nafsu suka.
Di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 7, Allah berfirman :

A007
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -

Nabi Muhammad adalah rahmatan lil 'alamin. Rahmat kepada semua umat dengan sikap Baginda yang sentiasa sayang dan berbelas kasihan kepada umat. Ayat di atas menegur sahabat yang teruja beribadat sehingga mahu melakukannya dengan lebih baik, lebih banyak berbanding apa yang Nabi ajarkan. Namun, Nabi tidak benarkan sebagaimana kisah sahabat yang mahu berpuasa setiap hari tanpa henti kerana sekiranya Allah dan Nabi membenarkan maka ia akan menjadi satu kesusahan kepada umat menyebabkan ramai yang akan berdosa jika tak mampu melaksanakannya.

Jadi, sebagai cara yang kita ini patut, cinta dan taat kepada Allah dan Rasul maka pastikan kita redha dan berlapang dada terima apa jua arahan walaupun nafsu tak suka.

Lihat ayat 28 dalam Surah An-Nur ;

A028
Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.

Apa sikap kita dengan arahan Allah ini? Bayangkan kita dah datang dari jauh nak jumpa kawan kita. Sampai di rumahnya, dia tak sedia nak jumpa dan suruh kita balik. Dah penat ni datang, nak buat apa? Allah kata, balik. Itu adalah lebih suci buat kita. Tapi kita bagaimana? Nak pujuk tuan rumah suruh jumpa sekejap ke macamana? Kalau kita masih berkira-kira, bermakna kita belum sampai tahap mematuhi Allah tanpa kompromi. Masih nak ikut nafsu.

Ibadat yang paling utama bukan solat, bukan puasa. Tapi ibadat yang paling utama ialah bila kita redha dengan apa yang Allah takdirkan, barulah boleh merasa kemanisan ibadah. Seronoklah dengan takdir Allah kalau tidak ibadat yang kita buat akan terasa membebankan. Ustaz kaitkan dengan sikap wanita yang uzur ketika 10 akhir Ramadhan...macam frust masing-masing sebab tak boleh buat solat sunat banyak-banyak, mengaji dan sebagainya dalam pencarian lailatul qadr. Ada yang tak puas hati. Ustaz kata, jangan begitu. Redha dan berlapang dadalah dengan takdir Allah.

Ada 3 benda ini, baru boleh rasa kemanisan iman :

  1. Mengutamakan Allah dan RasulNya dalam semua perkara
  2. Mencintai orang lain dan bersahabat dengannya kerana Allah. Bila kawan buat salah, kena tegur dan kita pun bila ditegur kena terima teguran dan berlapang dada.
  3. Benci kepada kekufuran. Apabila iman telah menjadi perhiasan di dalam hati, secara automatik akan membenci kekufuran.
Ada beza antara kufur, fasiq dan ihsian(maksiat). 
Kufur ialah perbuatan yang mengeluarkan seseorang daripada Islam. Misalnya tidak beriman dengan hari akhirat atau tidak beriman dengan Rasulullah. Ia menyebabkan akidah rosak lalu terkeluar dari Islam. Fasiq pula ialah perbuatan meninggalkan ketaatan kepada Allah misalnya tidak bersolat, tidak menutup aurat. Dan akhir sekali maksiat ialah perbuatan melanggar larangan Allah contohnya Allah larang mendekati zina, tapi orang ini selamba bukan takat mendekati malah melakukan zina tanpa segan silu. 

Seterusnya, berikut adalah tips bagaimana untuk mendapatkan cinta Allah :

Kata Ibnu Qayyim dalam kitabnya tentang kedudukan cinta Allah - katanya, cinta Allah berada pada satu tingkat yang kalaulah orang tahu nilainya maka tidak boleh tidak pasti orang akan berebut-rebut, kejar mengejar dan habis habisan buat untuk meraihnya. Cinta Allah adalah makanan kepada jiwa dan penyejuk hati. Sayangnya manusia tidak tahu betapa bernilainya cinta Allah maka kerana itu manusia masih disibukkan dengan berebut dok mengejar cinta dunia.


  1. Membaca Al-Quran dengan mentadabbur yakni memahami maknanya dan beramal dengannya.
  2. Mendekatkan diri kepada Allah dengan mendirikan solat sunat (perbanyakkan amalan sunat. Lagi banyak, lagi Allah cinta).
  3. Sentiasa berzikir. Bila baca dan faham Al-Quran , lagi kenal Allah dan hati/mulut sentiasa ingat kepada Allah dalam apa jua keadaan.
  4. Mengutamakan cinta Allah lebih daripada cinta nafsunya. Bila bertembung kehendak nafsu dengan kehendak Allah, utamakan kehendak Allah. Allah suruh bangun solat malam, nafsu pula nak tidur. Lawan nafsu untuk bangkit solat.
  5. Selalu menghayati dan mentadabbur maksud nama-nama Allah.
  6. Bila kita beribadah kepada Allah, hendaklah merasakan diri kita ini paling hina
  7. Kena khususkan waktu kita dengan Allah. Cari masa yang kita boleh beri tumpuan sepenuhnya dan tempat yang selesa supaya kita rasa seronok emndekati Allah (persekitaran yang baik).
  8. Sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh
  9. Jauhkan diri daripada apa sahaja yang boleh menyebabkan kita melakukan dosa.
  10. Bertaubat dengan segera.
Dan di akhirnya, apabila kita berhasil mendapatkan cinta Allah maka kita akan merasakan kelazatan beribadah serta kelebihan-kelebihan berikut :


  1. Rasa sentiasa ingin melaksanakan ibadah, sayang je nak buat sekejap-sekejap. Rindu je nak buat lagi (tahap angau).
  2. Semakin ingin menambah amal ibadah. Dah sedekah, nak buat lagi kebaikan...beri tanah untuk wakaf pulak. Sentiasa fikir apa cara lagi nak bagi amalan bertambah.
  3. Penduduk langit akan cinta kepadanya. Nah kalau penduduk langit pun sudah suka, tentu mereka akan sentiasa mendoakan kita dan buatkan kita rasa seronok nak balik kepada Allah nanti. In shaa Allah.
Begitu pentingnya menghadirkan cinta dalam ibadah supaya dapat pula ibadah itu menjadi suatu bentuk aktiviti yang menghibur/menenangkan jiwa sehingga semakin bersemangat dalam beramal. Telipuk pun mampu ambil catatan sahaja, semoga perbincangan ini menimbulkan perasaan membuak-buak untuk kita berusaha memperbaiki amalan demi keselamatan dunia dan akhirat (lebih lebih lagi).

Sekian, semoga bermanfaat.


Friday, May 15, 2020

Kelebihan 10 Akhir Ramadhan

Catatan dari facebook.com/UstazDrAbdullahYasin
وعنْ عائِشَةَ رَضِيَ اللَّه عنْهَا، قَالَتْ: كانَ رسُولُ اللَّهِ ﷺ يُجاوِرُ في العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رمضَانَ، ويَقُول: "تحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ في العشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضانَ" (متفقٌ عَلَيْهِ )
Daripada Aisyah RA katanya : Adalah Rasulullah SAW jika memasuki 10 akhir bulan Ramadhan beliau akan bersabda : Berusahalah kamu sungguh-sungguh mencari Laylatul Qadr dalam 10 akhir bulan Ramadhan. (Muttafaq ‘Alaih)
وَعَنْها رَضِيَ اللَّه عنها أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: تَحرّوْا لَيْلةَ القَدْرِ في الوتْرِ مِنَ العَشْرِ الأَواخِرِ منْ رمَضَانَ ( رواهُ البخاريُّ ).
Daripadanya (Aishah RA) : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Bersungguh-sungguhlah kamu mencari Laylatul Qadr pada malam-malam ganjil dari bulan Ramadhan. (HR Bukhari)
وعَنْهَا رَضَيَ اللَّه عَنْهَا، قَالَتْ: كَانَ رسُول اللَّهِ ﷺ: إِذا دَخَلَ العَشْرُ الأَوَاخِرُ مِنْ رمَضَانَ، أَحْيا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَه، وجَدَّ وَشَدَّ المِئزرَ. ( متفقٌ عَلَيهِ).
Daripadanya (Aisyah RA) katanya : Adalah Rasulullah SAW jika memasuki 10 akhir bulan Ramadhan, baginda akan menghidupkan malamnya, dan akan membangunkan ahli keluarganya, dan mencerutkan ikatan kainnya. (Muttafaq ‘Alaih)
وَعَنْهَا قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَجْتَهِدُ فِي رَمضانَ مَالا يَجْتَهِدُ في غَيْرِهِ، وَفِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ منْه مَالا يَجْتَهدُ في غَيْرِهِ" ( رواهُ مسلمٌ )
Daripadanya (Aisyah RA) katanya : Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadat pada bulan Ramadhan melebihi daripada ibadatnya di bulan lain. Dan baginda mempertingkatkan lagi kesungguhan ibadatnya pada 10 akhir Ramadhan melebihi dariapada bahagian (Ramadhan) lainnya. (HR Muslim)
وَعَنْهَا قَالَتْ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِن عَلِمْتُ أَيَّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: قُولي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العفْوَ فاعْفُ عنِّي. ( رواهُ التِرْمذيُّ وقال: حديثٌ حسنٌ صحيحٌ ).
Daripadanya (Aisyah RA) katanya : Aku pernah bertanya : Wahai Rasulullah, apa pendapat Tuan jika aku mengetahui (menduga) malam itu Laylatul Qadr, apakah yang paling baik aku katakana ? Baginda menjawap : Berdoalah (dengan doa ini) : ( اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي ) : Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka kepada kemaafan, oleh itu maafkanlah (segala dosa-dosaku). (HR Tarmidzi – Hasan Sahih)
PENGAJARAN LIMA HADIS DI ATAS :
  1. Laylatul Qadr akan turun pada setiap tahun hanya dalam salah satu malam dari malam-malam 10 terakhir dari bulan Ramadhan.
  2. Laylatul Qadr sangat-sangat besar kemungkinan akan turun pada malam-malam ganjil daripada malam-malam 10 akhir bulan Ramadhan.
  3. Pada 10 akhir bulan Ramadhan Rasulullah SAW akan menghidupkan malam-malamnya dan membangunkan ahli keluarganya untuk sama-sama mencari Laylatul Qadr. Baginda juga tidak menggauli isterinya karena focus hanya beribadat kepada Allah SWT.
  4. Baginda Rasulullah SAW mempertingkat ibadatnya kepada Allah pada 10 akhir Ramadhan melebihi daripada ibadat-ibadatnya pada bulan-bulan lain. Dan baginda lebih-lebih lagi bersungguh pada 10 akhir Ramadahan daripada 20 hari pertama Ramadhan.
  5. Doa yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk dipanjatkan pada 10 akhir Ramadhan ialah ( اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي ) apakah pada malam genap atau ganjil, lebih-lebih lagi jika kita merasa itulah malam Laylatul Qadr.
Semoga lima Hadis Sahih di atas akan mendorong setiap kita untuk bersungguh-sungguh mempertingkat ibadat kepada Allah. Jadikalah 10 akhir Ramadhan tahun ini lebih baik daripada 10 akhir Ramadhan tahun-tahun yang berlalu.
Ingat !!! Tidak ada jaminan kita boleh menemui Ramadhan yang akan datang.

Monday, May 11, 2020

Talam Dua Muka

Di dalam Surah Al-Baqarah, Allah menjelaskan bahawa terdapat 3 jenis manusia iaitu :

  1. Orang mukmin - Adalah orang-orang yang Islam zahir dan batin
  2. Orang kafir - Iaitu orang-orang yang kufur lahir dan batin; dan
  3. Orang munafiq - Golongan yang terlihat Islam pada zahirnya, namun kufur pada batinnya. Mereka ini nampak seperti orang Islam pada luarannya iaitu mereka bersolat, berpuasa, berzakat dan pergi haji akan tetapi sebaliknya, di dalam hati mereka, mereka sebenarnya tidak beriman.

Golongan munafiq ini sangat merbahaya, mereka seperti gunting dalam lipatan . Yang merosakkan dari dalam. Oleh kerana itu, kita akan mendapati di dalam Surah Al-Baqarah terdapat sebanyak 13 ayat yang memperkatakan tentang golongan ini berbanding 4 ayat sahaja tentang orang mukmin (beriman), serta 2 ayat cuma untuk orang kafir. Kerana yang mukmin dan kafir itu jelas...zahir dan batinnya sama sedangkan bagi golongan munafiq tidak begitu, mereka berpura-pura/bermuka-muka untuk kepentingan diri. Mereka menyebabkan berlaku banyak kekeliruan dan perpecahan, oleh sebab itu sangat perlu untuk kita mengambil pelajaran dan peringatan dari Al-Quran supaya ciri-ciri munafiq ini dapat dikenalpasti seterusnya membolehkan kita berhati-hati dengan orang/sikap begini.

Munafiq boleh dibahagikan kepada 2 :

  1. Kufur asas agama (core) iaitu orang yang tidak beriman dengan Allah. Maka, mereka ini tergolong kafir.
  2. Sifat-sifat munafik yang terdapat pada orang Islam (orang Islam yang bersifat munafiq). Mereka Islam kerana beriman dengan Allah, zahir dan batin tetapi perbuatan mereka ada ciri-ciri munafik. Kategori ini kita perlu perhatikan dengan serius kerana ia ada kaitan dengan orang Islam. Mungkin kita tidak perasan ada ciri-ciri munafiq pada diri kita sehingga menyebabkan rosak amalan kita.

Golongan munafiq yang kufur asas agama ini bermula di Madinah. Sebelum Nabi berhijrah ke Madinah, iaitu ketika di Mekah, memang belum ada orang munafiq ini sebab di Mekah memang jelas semuanya orang kafir musyrikin yang menolak seruan dakwah Nabi, sikap dan penentangan mereka terhadap Nabi adalah jelas zahir dan batin. Akan tetapi, di Madinah, keadaannya agak berbeza. Sebelum kedatangan Nabi, penduduk Madinah sudah ramai yang mengenali Nabi dan keperibadian Baginda, malahan mereka tertunggu-tunggu kedatangan Nabi setelah berlangsungnya perjanjian Aqabah. Sebelum Nabi datang, ada seorang lelaki berbangsa Arab di Madinah yang bernama Abdullah bin Ubai. Dia adalah seorang yang dikenali dan mengharapkan akan dilantik sebagai pemimpin suatu hari nanti kerana menyangka dirinya paling layak. Namun, apabila Nabi sampai, penduduk Madinah telah sepakat melantik Baginda sebagai pemimpin yang menyebabkan Abdullah bin Ubai berasa kecewa. Keinginannya untuk menjatuhkan Rasulullah tidak kesampaian apatah lagi apabila kaum muslimin berjaya mengalahkan musuh dalam peperangan Badar seterusnya menyebabkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Nabi Muhammad semakin kuat. Justeru, kerana kepentingan diri iaitu khuatir mereka akan diperangi dan harta benda mereka dirampas sekiranya menjelmakan keperibadian sebenar mereka yang membenci Rasulullah dan kaum Muhajirin, Abdullah bin Ubai beserta pengikutnya lalu memilih untuk bermuka-muka. Iaitu apabila berada di kalangan Rasulullah dan para sahabat, mereka menunjukkan peribadi muslim dan ikut beribadat bersama. Akan tetapi apabila berada di kalangan sesama mereka, mereka tidak segan silu mengutuk/mengejek kaum muslimin dan tidak melakukan ibadat.

Jika hendak dibuat perbandingan, antara orang kafir dan orang munafiq, sudah pasti orang munafiqlah yang lebih merbahaya kerana mereka ini berada dalam kalangan orang Islam. Mereka sentiasa mencari jalan untuk membuat kekacauan terhadap Nabi dan kaum muslimin, dan taktik mereka memperdayakan itu sukar untuk dikesan. Pada zahirnya mereka kelihatan seperti benar-benar menyokong perjuangan Nabi dan kaum muslimin akan tetapi mereka melakukan gerakan dari dalam untuk mengelirukan, memecah belah dan merosakkan Islam. Sebab itu Allah sebut banyak tentang munafiq supaya kita waspada. Antaranya Allah buat proses pembersihan iaitu menguji mereka supaya Nabi dan kaum muslimin dapat jelas dengan sikap golongan munafiq ini. Ini Allah sebut dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

A002
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

A003
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Inilah tujuan dan tuntutan membaca Al-Quran iaitu kena baca dan fahami satu persatu ayat, apa yang hendak Allah jelaskan. Bila kita baca ayat-ayat seperti ini, maka barulah kita faham sifat/ciri munafiq. Takut selama ini kita perasan yang kita ini beriman maka kita tak endah dan rasa selamat dari buruknya sifat munafiq.

Surat At-Taubah adalah satu surah yang banyak mendedahkan dan membongkar tentang sifat-sifa munafiq. Ini sangat ditakuti oleh Abdullah bin Ubai serta pengikutnya. Mereka paling takut kalau sikap talam dua mereka itu didedahkan jadi mereka berharap agar tidak turun wahyu yang memperkatakan tentang hal itu. Lalu, bila Allah turunkan Surah At-Taubah, golongan munafiq tak mahu baca dan ambil tahu sebab takut kena sebijik-sebijik atas kepala mereka. Maka sebab itu, kalau kita selaku orang yang mengaku Islam ini enggan mentadabbur Al-Quran, tak mahu faham sebab tak seiring dengan kehendak nafsu kita, kita pilih-pilih hanya ayat yang kita berkenan, bolehlah dikatakan kita pun macam orang munafiq tu. Al-Quran itu tazkirah, ia memberikan peringatan kepada kita. Adalah satu nikmat untuk kita mengetahui yang mana dosa dan yang mana pahala kerana dengan mengenalinya maka kita boleh memperbaiki diri.

Sifat-sifat buruk orang munafiq sebagaimana ayat 1-3 Surah Al-Munafiqun :

  1. Gemar berbohong. 
  2. Suka bersumpah atas nama Allah. 
  3. Pengecut/penakut iaitu bila berdepan tak berani nak katakan apa yang benar
Terlebih buruk orang munafiq ini ialah kerana mereka sudah berada dalam fitrah, mereka telah merasa bagaimana bergelar muslim, sudah duduk di dalam cahaya namun akhirnya mereka mengabaikan petunjuk dan memilih untuk mengingkari/kufur terhadap Allah dan RasulNya. Maka, yang demikian itu menyebabkan hati mereka lalu dikunci oleh Allah (Al-Baqarah ayat 7).

Apabila hati itu ditutup, maka 2 laluan pun tersekat iaitu laluan untuk syirik keluar dan laluan untuk cahaya iman masuk. Justeru, mereka kekal dalam kekufuran kerana hidayah Allah tidak lagi dapat masuk ke dalam hati dan dalam masa yang sama perbuatan mereka menyekutukan Allah kekal dalam diri mereka.

A007
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Jadi, walaupun orang munafiq bersolat di belakang Rasulullah sekalipun, juga berpuasa bersama-sama Baginda dan para sahabat tetap sahaja mereka jahil dan kufur sebab mereka tidak boleh faham agama. Apabila hati dimateri/dikunci maka saluran untuk mendapatkan ilmu sudah tiada.

Kena semak sikap kita kerana dibimbangi wujud sifat-sifat munafiq dalam diri. Antara lainnya berat/malas beribadat (solat) sebagaimana disebut dalam ayat 142 Surah An-Nisaa' :

A142
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Jadi, untuk kaum lelaki yang berat kaki nak melangkah bersolat berjemaah di masjid, cepat-cepat lawan nafsu dan kuatkan azam. Jangan masuk geng munafik yang liat nak sembahyang terutamanya pada waktu-waktu yang kehadiran mereka kurang diperhatikan seperti waktu solat subuh. Begitu juga bila kita lihat pada bulan Ramadhan, tiba-tiba ramai yang berduyun-duyun nak buat solat tarawih di masjid sedangkan di masa-masa lain (fardhu pulak tu) tak nampak pulak muka dia. hati-hati ya, solat lah kerana  Allah bukan supaya orang nampak kita datang bersolat.  Ingat sifat utama orang munafiq iaitu dusta. Kita kadang-kadang terlupa, kita cakap masa Allah uji kita dengan sakit, kita kata nanti dah sihat kita nak pergi solat berjemaah di masjid. Lalu Allah beri kita sihat, tak pula muncul di masjid. Begitu juga kita kata kalau ada kelas yang berdekatan rumah, nanti kita pergilah. Sekarang bukan kata dekat lagi, dah masuk dalam rumah pun kelas-kelas online. Berlambvak-lambak, tapi tak pula kita luangkan masa nak tengok. Alasan apa lagi kita nak beri? Kita suka berjanji nak buat itu, nak buat ini...bila Allah beri peluang dan ruang, tak buat pula. Pembuktian dari Allah bahawa ada orang dia sama bersolat, sama berpuasa tetapi ada ciri-ciri munafiq.

Berhati-hatilah.

Wednesday, May 06, 2020

Pembatal Amal Soleh

Berikut ialah beberapa amalan yang dapat menghapuskan atau membinasakan amal soleh seseorang dan akhirnya menjadi orang yang rugi di akhirat nanti. Penjelasan oleh Ustaz Dr Abdullah Yassin ini adalah berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi SAW yang sahih.

1. Kufur. Firman Allah : Barangsiapa kafir setelah beriman maka sungguh sia-sia amal mereka dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi. (Al-Maidah : 5)

Ayat 5 dari Surah Al-Maidah

A005
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

2. Syirik. Firman Allah : Sungguh, jika engkau berbuat syirik, niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah akan hapus amalmu dan tentulah engkau termasuk orang yang rugi. (Al-Zumar : 65)

Ayat 65 dari Surah Al-Zumar :

A065
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.


3. Bid’ah. Rasul SAW bersabda : Siapa yang mengadakan perkara baru dalam urusan kami ini maka ia ditolak. (HR Bukhari dan Muslim)

4. Tidak percaya kepada Taqdir. Sabda Nabi SAW : Sekiranya seseorang infaq emas sebesar gunung Uhud niscaya Allah tidak akan terima infaqnya hingga dia beriman kepada Taqdir. (HR Muslim)

5. Rosak solatnya. Sabda Nabi SAW : Sesungguhnya pertama yang dihisab adalah solatnya, jika smpurna solatnya maka dia akan menang dan berjaya, dan jika solatnya rosak maka dia pasti akan rugi. (HR Al-Nasa-I dan Tarmidzi – Hadis ini sahih menurut Syeikh Al-Albaniy)

6. Mendakwa bapaknya padahal bukan bapaknya. Sabda Nabi SAW : Siapa yang mendakwa seseorang itu bapaknya padahal dia bukan bapaknya maka ke atasnya la’nat Allah, la’nat Para Malaikat, dan la’nat Manusia seluruhnya, Allah tidak menerima amalnya pada Hari Kiamat. (HR Muslim)

7. Meninggalkan Solat Asar. Sabda Nabi SAW : Siapa meninggalkan solat Asar maka sesungguhnya hancurlah amalannya. (HR Bukhari, No : 553)

8. Mendatangi tukang tilik, tenung, dukun. Sabda Nabi SAW : Siapa yang mendatangi dukun, lalu dia bertanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak diterima Allah selama 40 hari. (HR Muslim, No : 2230)

9. Menzalimi orang lain, mencaci, mencuri harta orang lain, merugikan orang lain. Sabda Nabi SAW : Muflis sebenarnya ialah orang yang mati membawa banyak amal soleh tetapi di dalam Mahkamah Allah di akhirat nanti sungguh banyak orang yang menuntut daripadanya, lalu Allah Yang Maha Adil akan agih-agihkan amal solehnya itu kepada orang yang dia aniaya dulu di dunia, sehingga dia akhirnya dilempar ke dalam neraka. (Terjemahan bebas dari HR Muslim ; No : 2581)

10. Memelihara anjing tanpa sebab yang dibolehkan. Sabda Nabi SAW : Siapa yang memegang anjing, maka setiap hari akan berkurang amalnya sebesar bukit Uhud – atau dua bukit Uhud – kecuali karena untuk mengawal gembalanya, atau membajak atau berburu. (HR Muslim ; No : 1575)

11. Bersumpah atas Nama Allah. Allah SWT berfirman : Siapa yang bersumpah bahwa si Fulan tidak diampuni Allah, maka Aku akan mengampuni si Fulan itu, dan Aku akan hapuskan amalmu. (HR Muslim; No: 2624 Hadis Qudsiy)

12. Tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Firman Allah : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggi suara di atas suara Nabi ….. niscaya akan hancur amalmu sedangkan kamu tidak menyedarinya. (Al-Hujurat : 2)

A002
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.

13. Hamba yang lari dari tuannya. Sabda Nabi SAW : Jika hamba lari daripada tuannya, niscaya tidak akan diterima solatnya. (HR Muslim ; No : 70)

14. Berkata atau berbuat perkara yang tidak baik. Sabda Nabi SAW : Siapa yang tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan yang tidak baik, maka Allah tidak memandang perlu dia sampai meninggalkan makan dan minumnya. (HR Bukhari ; No : 1903)

15. Minum Arak. Sabda Nabi SAW : Siapa yang meminum khamar (arak) maka tidak diterima solatnya selama 40 pagi, tetapi jika dia bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. (HR Tarmidzi ; 1862 ; Sahih menurut Al-Albaniy)

Tuesday, May 05, 2020

Tadabbur Ayat 110 Surah Al-Kahfi

Kuliah online oleh Ustaz Dr Abdullah Yassin membicarakan ayat 110 dari Surah Al-Kahfi, di mana Allah berfirman :

A110
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Apakah poin penting yang Allah hendak disampaikan dalam ayat ini? Ada 3 perkara, iaitu :

  1. Nabi Muhammad SAW adalah manusia biasa.
  2. Yang membezakan Nabi Muhammad dan menjadikan Baginda luar biasa ialah Nabi menerima wahyu dari Allah.
  3. Walaupun Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu dari Allah, ia tidak sampai menjadikan Baginda medium sembahan. Tuhan manusia adalah Allah semata-mata. Jangan bertuhankan Muhammad.

Nabi Muhammad adalah manusia pilihan Allah yang diutuskan kepada umat manusia bagi menyampaikan kebenaran yang diwahyukan kepadanya. Baginda juga tidur, makan, berkahwin, ada anak, ada cucu, sakit, marah dan sebagainya yang merupakan kebiasaan dilalui manusia lain juga. Hikmahnya ialah supaya mudah manusia lain mencontohi Baginda. Bayangkan kalau utusan Allah adalah dari jenis malaikat yang tidak tidur dan tidak makan, tentu susah untuk dijadikan ikutan kerana perbezaan tabiat. Yang membezakan Nabi Muhammad dengan manusia lainnya adalah kelebihan wahyu yang diturunkan iaitu wahyu yang langsung datangnya dari Allah (Al-Quran) dan wahyu dari Allah yang bentuk, makna serta susunan kata-kata oleh Nabi (Hadis). Sebab itu kita tidak boleh semata-mata beramal dengan berpandukan Al-Quran semata-mata tetapi kena ikut cara dan panduan dari Nabi juga.

A044
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Peringatan ayat ini jelas menyangkal golongan anti-hadis yang tidak mahu mengikuti hadis Nabi dan hanya mengambil panduan berdasarkan Al-Quran semata-mata.

Oleh kerana Nabi mulia dengan adanya wahyu, maka, kita umat Baginda semestinya digalakkan untuk mengagumi dan menghormati Baginda selayaknya, namun ianya tidaklah boleh sampai ke tahap seperti Nasrani menyanjung Nabi Isa.

Cara bagaimana harus kita menghormati Nabi adalah sebagaimana firman Allah dalam ayat 56, dari Surah Al-Ahzaab.

A056
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Jangan sesekali menyakini 'nur muhammad' iaitu konsep yang merujuk kepada “roh Nabi Muhammad” atau “hakikat Muhammad” (Haqiqah Muhammadiah), yang dianggap sebagai makhluk Allah yang mula-mula dijadikan, dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi dijadikan dari Nur Muhammad tersebut , kerana ia adalah bercanggah dengan Al-Quran. Ayat 5 dari Surah Al-Hajj menerangkan kejadian manusia yang diciptakan dari tanah.

Imam Ahmad mengatakan bahawa Yahya dan Muhammad meriwayatkan kepadanya dari Auf dari Qusamah bin Zuhair dari Abu Musa dari Nabi SAW, bersabda: “Allah menciptakan Adam berasal daripada segenggam tanah dari segala unsur. Oleh sebab itu, anak cucu Adam lahir sesuai dengan warna tanah. Di antara mereka ada yang berwarna (kulit) putih, merah, hitam dan sebagainya. Ada pula yang buruk dan ada yang bagus. Ada yang mudah (berakhlak baik), ada pula yang sedih dan seterusnya.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Tirmizi)

Bahagian kedua ayat 110 Surah Al-Kahfi menyebut , jika manusia mengharapkan pertemuan dengan Allah (di hari akhirat nanti) untuk mendapatkan ganjaran yang baik dari Allah (yang mana manusia itu telah bersusah payah menempuhnya di dunia) maka hendaklah dia beramal dengan amalan yang soleh dan tidak sesekali menyekutukan Allah.

Amalan soleh yang bagaimana? Semestinya ia adalah soleh menurut ukuran Allah, yang Allah redhai. Memahami amalan yang bagaimanakah dikira soleh dan diredhai oleh Allah itu penting agar kita tidak menerima nasib buruk sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Ghaasyiyah, di mana ada manusia yang berpenat lelah menyangka dia telah membuat amalan yang banyak di dunia, malangnya di akhirat nanti dia dicampakkan ke dalam neraka penuh kehinaan. Jadi kita kena tahu apakah syarat yang membolehkan amalan diterima Allah :


  1. Beramallah dengan amalan yang paling betul/tepat yakni ikut seperti apa yang Nabi Muhammad ajarkan kerana Baginda mendapat bimbingan langsung dari Allah. Semestinya amalan Baginda adalah yang paling tepat sekali.
  2. Janganlah menyekutukan Allah. Beramallah dengan seikhlas mungkin semata-mata kerana Allah, tidak boleh beramal atas sebab-sebab lain selain Allah. Allah berfirman dalam sebuah hadits qudsi yang artinya, “Aku adalah Zat yang Maha Kaya dan paling tidak memerlukan sekutu, oleh sebab itu barang siapa yang beramal dengan suatu amalan yang dia mempersekutukan sesuatu dengan-Ku di dalam amalnya itu maka pasti Aku akan telantarkan dia bersama kesyirikannya itu.” (HR. Muslim)
Kesimpulan daripada ayat 110, Surah Al-Kahfi :

Nabi Muhammad SAW adalah manusia biasa. Kelebihan Baginda ialah wahyu Allah yang diturunkan kepada Baginda. Namun demikian, Allah tetap Allah Yang Maha Esa, satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Oleh itu, kalau kita nak bertemu dengan Allah dan mendapatkan ganjaran yang baik di akhirat nanti, maka hendaklah kita beramal soleh dengan amalan yang diredhai memenuhi dua syarat tersebut di atas iaitu beramal dengan mengikut Nabi serta tidak menyekutukan Allah dengan suatu apa jua pun dalam beramal itu.






Sunday, May 03, 2020

Tadabbur : Ayat 10 & 11 - Surah Ibrahim

Untuk hari ini, Telipuk bawakan perkongsian kuliah online oleh Ustaz Abd Muein Abd Rahman yang mentaddabur 2 ayat daripada Surah Ibrahim iaitu, ayat ke-10 dan ke-11. Dalam ayat-ayat ini , terakam dialog percakapan yang berlaku di antara Nabi-nabi/Rasul-rasul utusan Allah dengan kaum mereka. Kita sedia maklum yang perjalanan dakwah para Nabi dan Rasul ini lebih kurang sama sahaja iaitu mereka menerima wahyu Allah, mereka berusaha menyampaikan dan mengajak umat agar menyembah hanya Allah , akan tetapi mereka menerima tentangan dan cemuhan umat masing-masing. Antaranya ialah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi kita, Nabi Muhammad SAW.

Ayat 10, Surah Ibrahim :

A010
Rasul-rasul mereka bertanya: "Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: "Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata".

Kupasan Ayat 10, Surah Ibrahim :

Ketika Rasul-rasul dan para Nabi bertanya kepada umat mereka akan sebab mengapa mereka menolak dakwah, orang-orang kafir ini telah mengemukakan alasan mereka lalu dijawab pula dengan pertanyaan oleh Rasul/Nabi (secara umum) iaitu " Adakah patut kamu ragu terhadap kewujudan Allah sedangkan Dialah sahaja yang layak disembah?". Manakan tidak, Allah adalah pencipta langit-langit dan bumi. Kalau Allah tidak wujud, bagaimana langit boleh tercipta dengan begitu sahaja? Sedangkan rumah yang ada tiang pun susah mahu dibangunkan, inikan pula langit yang terbentang tanpa tiang. Belum lagi urusan peredaran dan putaran bumi yang menyebabkan kedatangan siang dan malam silih berganti. Semua ini memerlukan kepada kekuasaan dan kehebatan Sang Pencipta yang tiada tolok bandingnya iaitu Allah. Lihat bagaimana para Nabi/Rasul berhujah dengan akal. Maka, dari segi logik akal, memang tak patut orang kafir tolak dakwah kerana mereka ragu dengan bukti-bukti kebesaran Allah yang sememangnya tidak dapat disangkalkan, jika mereka benar-benar menggunakan akal untuk berfikir.

Persoalannya, betulkah orang-orang kafir ini menolak kebenaran kerana tidak percaya/ragu atau sebenarnya mereka percaya tetapi hanya berpura-pura (sekadar beralasan) kerana menuruti nafsu?

Sebenarnya orang-orang kafir ini mereka percaya yang bumi dan langit ini ada penciptanya dan mereka mengakui yang pencipta itu adalah Allah. Ini disebutkan di dalam Ayat ke-25 , Surah Luqman yang berbunyi :

A025
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Allah suruh Nabi Muhammad sebut 'Alhamdulillah', bila mereka mengaku dan kata Allah adalah pencipta langit dan bumi. Mengapa? Bukankah mereka masih saja kafir, mengapa harus cakap 'alhamdulillah' di atas pengakuan mereka itu? Jawapannya ialah, dengan mereka mengiakan dan mengakui Allah sebagai pencipta langit dan bumi, bermakna mereka mengakui bahawa Nabi Muhammad menyembah Allah iaitu Tuhan yang benar. Pengakuan mereka itu adalah berdasarkan fitrah sebenar manusia dan logik akal.

Jadi, sebenarnya apa yang membuatkan mereka menolak dakwah para Nabi/Rasul? Sudah tentu ada sebabnya. Merujuk kepada ayat ke-14, Surah An-Naml :

A014
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Walaupun mereka yakin dan percaya bahawa Allah adalah pencipta langit dan bumi, tetapi mereka tetap mengingkari. Hati dan jiwa mereka yakin dan tahu kebenaran, namun mulut mereka dan perbuatan mereka menidakkannya. Anggota-anggota badan mereka menyembah patung-patung berhala. Kenapa? Kerana mereka ini zalim terhadap diri mereka sendiri dengan berlaku sombong dan angkuh, enggan mengakui kebenaran bahawa hanya Allah, Tuhan yang layak disembah.

Maka, bila kita baca dan faham ayat ini, kita patut muhasabah balik, apakah kita juga berkelakuan seperti orang-orang yang zalim dan sombong ini? Bagaimana kiranya dengan orang yang dia Islam, dia kenal Allah sebagai Tuhannya akan tetapi dia tidak bersolat. Kenal Allah dan ikut perintah berpuasa, tetapi masih tegar mengumpat orang. Membenarkan hanya di mulut tetapi perbuatan jelas bercanggah. Tidakkah sama seperti orang-orang kafir?

Apa mesej dakwah para Nabi/Rasul sejak dahulu sehingga sekarang (para pendakwah) ? Kesemuanya mengajak kepada menyembah Allah, menjadi orang yang beriman dengan tujuan mendapatkan keampunan Allah dan kehidupan akhirat yang membahagiakan (syurga). Allah bukan minta duit, bukan juga nak membebankan atau menyusahkan manusia. Logiknya. katakan kita ada buat salah dengan seseorang yang ada kuasa dan pengaruh. Tiba-tiba orang itu sudi nak maafkan kita. Kita rasa pa? Sudahlah kita tak perlu minta maaf dan tebus kesalahan, tiba-tiba dengan mudah dimaafkan. Rasa gembira, kan? Itu baru manusia dan dia tak beri apa-apa pun selain kemaafan. Akan tetapi, Allah, Dia bukan setakat mengampuni kita malahan memberikan kita ganjaran pula berupa syurga yang seluas langit dan bumi, yang tak pernah dilihat dek mata, tak terdengar dek telinga.

Maka, patutkah kamu ragu?

Dalam Ayat 2-4, Surah Nuh :

A002
dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

A003
"Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

A004
"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)".

Kita dapati mesej dakwah para Nabi/Rasul semuanya sama sahaja iaitu mereka mengajak umat agar menyembah hanya Allah, menyuruh mereka bertaqwa dan mentaati Rasul (yakni mengikuti Rasul/Nabi sebagai contoh ikutan dari segi amalan/perbuatan). Semua kerja dakwah ini mereka laukan tanpa mengharapkan apa-apa upah/ganjaran dari manusia, mereka hanya mahu ganjaran dari Allah. Bila umat ikut dan patuhi seruan ini, maka, mereka akan mendapatkan keampunan dari Allah atas segala dosa-dosa yang lalu (Allah mengampunkan sebahagian dosa - bermakna, dosa yang dilakukan terhadap Allah. Manakala dosa sesama manusia, perlu diselesaikan dengan manusia). Dan kena beringat bahawa bila dah dapat nikmat, jangan seronok sangat. Ajal akan sampai dan ada batasan waktu, jadi, buatlah persiapan yang sebaik-baiknya untuk pulang menemui Allah.

Kalau ada yang bertanya di dunia ini, dengan keampunan Allah, apa yang manusia akan dapat? Sila rujuk kepada Surah Nuh, ayat 11-12 :

A011
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

A012
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Apabila manusia mendapatkan 'maghfirah' (keampunan dari Allah) maka, Allah akan kurniakannya dengan kesenangan dunia berupa hujan (yang menumbuhkan tumbuhan & sumber minuman), harta, anak pinak, kebun-kebun serta sungai-sungai, yang mana kesemua ini adalah lambang kesenangan. Itu adalah balasan mereka ketika di dunia, sedangkan yang menanti di akhirat adalah syurga yang kekal dan abadi.

Ramai orang mencari rezeki, dia bekerja keras tetapi tidak pernah bertaubat kepada Allah. Jangan kerja dan buat dosa (dan tidak merasa perlu kepada taubat). Kerjanya bagus, duitnya banyak akan tetapi tidak pernah berasa puas, hidupnya terasa sempit, rasa tak pernah cukup dengan apa yang ada. Rasa kecukupan (Qanaah) juga adalah satu bentuk rezeki. Jika qanaah tidak ada, maka, jiwa tidak akan menjadi tenang.

Begitulah besarnya nilai keampunan. Ia adalah mesej penting dakwah para Nabi/Rasul. Mereka berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah supaya umat manusia diampunkan dosa dan terlepas dari azab Allah yang jauh menakutkan berbanding kesusahan atau musibah yang menimpa kita di dunia ini.

Tahukah kamu siapa manusia yang paling celaka?

Dalam sebuah hadis, tercatat kisah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengaminkan doa malaikat Jibril.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، ” أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ” .
Jabir bin ‘Abdullah berkata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki minbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.
[Al-Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih al-Adab al-Mufrad]

Maka, bersempena kita berada di dalam bulan Ramadhan ini, ingatlah hadis Rasulullah di atas dan marilah berusaha mendapatkan keampunan Allah kerana kita tidak mahu menjadi antara manusia yang celaka kerana membiarkan Ramadhan tidak terisi dan berlalu begitu sahaja tanpa dosa-dosa kita diampunkan Allah.

Apa gunanya selamat daripada terkena COVID-19 tetapi masih celaka. Kita duduk di rumah, kita masih punya makanan mencukupi dan ada keluarga di sisi tetapi kita tetap celaka. Alangkah ruginya!

Seterusnya ayat 10 Surah Ibrahim ini merakamkan jawapan kaum para Nabi/Rasul yang menolak dakwah sedangkan bukti-bukti nyata telah dikemukakan oleh para utusan Allah. Kata kaum yang ingkar ini, mereka menolak kerana dakwah disampaikan oleh Rasul/Nabi yang bersifat manusia, yang pada pandangan mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Sedangkan kalau Allah turunkan Rasul/Nabi dari kalangan malaikat pun belum tentu mereka akan ikut, sudah pasti mereka akan kata ini malaikat, mana sama dengan manusia dan tidak sesuai untuk dicontohi kerana berlainan sifat. Jadi, sebenarnya ini hanyalah alasan semata-mata. Kebenaran tidak sepatutnya berdasarkan kepada orang yang menyampaikan tetapi kebenaran ialah apa yang diperkatakan.

Kedua, kaum yang ingkar ini mengatakan yang kedatangan para Nabi/Rasul ini seperti membuat kacau dan memecah belahkan masyarakat kerana menghalang mereka menyembah apa yang telah disembah oleh bapa dan nenek moyang mereka selama ini. Fitrah manusia, bila bapa dia buat, dia rasa betullah tu. Kalau salah tak kan bapa aku buat. Maka tanda sayang dia kepada bapa dia, dia nak teruskan amalan bapa dia walaupun sebenarnya dia tak faham dan tidak tahu sumber.

Allah menempelak cara berfikir begini dalam Surah Al-Baqarah, ayat 170 :

A170
Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

Bila suruh ikut apa yang Allah turunkan (Al-Quran), Allah tak kata baca tapi ikut. Baca tak semestinya faham tetapi orang kalau dia ikut bermakna dia faham. Jadi, ikutlah apa yang Allah turunkan, bukan ikut masyarakat. Allah mencela orang yang ikut tanpa bertanya dan tidak menggunakan akal. Orang yang berakal dia mesti tanya dan dapatkan panduan bagaimana caranya untuk menyembah Allah. Dia akan bertanya kepada Rasul/Nabi yang menerima wahyu dari Allah, barulah dia akan mendapatkan panduan yang betul. Sebab itulah Allah mengutuskan Rasul/Nabi agar mereka menjadi contoh ikutan kepada umat.

Seterusnya umat yang menolak kebenaran ini mencabar Nabi/Rasul agar membawakan bukti yang jelas. Allah merakamkan dialog yang jelas ini supaya kita umat hari ini pun boleh faham dan mengambil pelajaran bagaimana susahnya para Rasul/Nabi dan pendakwah melakukan kerja-kerja dakwah dan reaksi penolakan kaum/masyarakat masing-masing. Sebab itu jangan sedih dan kecewa bila dakwah kita ditolak .

Ayat 11, Surah Ibrahim :

A011

Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.

Kupasan Ayat 11, Surah Ibrahim :

Di dalam ayat ini, Nabi/Rasul menjawab di mana mereka mengakui mereka adalah manusia biasa sama seperti umat, aka tetapi Allah memberikan kelebihan berupa wahyu kepada mereka.

Ini turut dijelaskan di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 110 :

A110
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Apabila dakwah telah disampaikan, maka selesailah tanggungjawab menyampaikan. Akan tetapi akan ada natijah daripada penyampaian dakwah tersebut yang mana akan ada ujian bakal menyusul disebabkan mesej dakwah yang tidak disukai kerana tidak seiring dengan kehendak nafsu. Banyak terjadi para pendakwah ini bukan setakat ditolak dan dicemuh, malahan ada yang ditangkap dan diazab. Maka, sifat para Nabi/Rasul (dan pendakwah umumnya), mereka hendaklah bertawakal kepada Allah atas apa jua yang menanti. Bila telah bertawakal dan berserah diri kepada Allah, pasti akan selamat. Contohnya, Nabi Ibrahim. Baginda ditangkap dan cuba dibakar hidup-hidup. Kerana tawakalnya Baginda berserah diri kepada Allah, maka api pun menjadi dingin dan selamatlah Baginda dari bakarannya. Begitu juga Nabi Muhammad yang bertawakal ketika bersembunyi di Gua Tsur dalam perjalanan ke Madinah. Walaupun tentera-tentera musyrikin yang mencari telah sampai ke pintu gua di mana Baginda dan Abu Bakar sedang berlindung, mereka tidak dapat menemui Baginda.

Sebenarnya keseluruhan Al-Quran itu mengandungi mesej-mesej dakwah yang mengajak manusia kembali kepada kebenaran dan menyembah Allah. Amat tidak patut orang yang khatam Al-Quran berkali-kali tetapi masih tidak tergerak untuk buat kerja-kerja dakwah sedangkan cerita dalam Al-Quran semuanya berkisar tentang kerja-kerja dakwah. Begitulah kalau kita hanya membaca tetapi gagal memahami mesej penting dalam Al-Quran. Kehinaan manusia ialah bila dia tidak beramal dengan Al-Quran.

Hanya 2 ayat tetapi mentaddaburnya saja memakan masa sejam. Penting tadabbur ini kalau kita betul-betul ambil peduli dan nak tahu apa sebenarnya yang Allah hendak sampaikan.  Al-Quran ini kalam Allah, nak tunggu bila lagi baru nak fahamkan. Masih jauh rasanya perjalanan ini...tapi jauh tak jauh, mesti kena usahakan juga.

(Maafkan Telipuk kalau nota ini tak cukup lengkap, Telipuk catatkan sedaya mungkin. Ada juga penjelasan-penjelasan di luar topik yang Telipuk ketepikan. Anyway, video ceramah boleh didapati di FB page Ghulam Al Dakwah).