Monday, August 21, 2017

Menyampaikan Hajat

Semalam, dalam renyai hujan, saya gagahkan diri memandu demi memenuhi sebuah janji. Perkataan gagahkan itu saya gunakan kerana kalau ada pilihan lain, saya lebih suka tidak keluar ke mana-mana. :)

Asal ceritanya, nak bawa Mak makan satay kegemarannya. Sepatutnya, acara berlangsung pada malam Ahad ketika kami sudah berada di Bayu. Namun, entah kenapa mengenangkan jalan keluar/masuk parking Bayu yang kadang-kadang menerbitkan rasa tertekan itu, saya batalkan rancangan. Jadi, sudah tentu pada hari Ahadnya agenda satay ini belumlah hilang. Sebagai anak, perasaan kita untuk memenuhi keinginan ibu pastinya menjadi keutamaan. Selagi tidak dipenuhi, selagi itulah terasa diburu rasa bersalah yang amat. Saya tahu Mak tidaklah mendesak, tetapi untuk saya katakan tak payah pergi...owhhh tidak sekali-kali. Jadi, jom kita pergi juga.

Atas faktor tahu tempat dan ketersediaan parkir, saya memilih untuk memandu ke Taman Melati. Di situ, terdapat sebuah cawangan satay Kajang Haji Samuri. Betul-betul di tepi MRR2. Selesai maghrib, kami terus ke sana sebab saya tidak membuat tempahan meja untuk kami yang cuma bertiga. Mengikut firasat saya, selagi boleh sampai sebelum 8 lebih, in shaa Allah, ada parkir dan ada tempat duduk. Traffic agak sesak di sepanjang Jalan Genting Kelang, justeru saya hanya berjaya tiba di destinasi sekitar jam 8 suku. Alhamdulillah, dapat tempat letak kereta yang tidak begitu jauh dari restoran Hj Samuri dan dengan tidak memilih meja, terus kami ambil meja kosong berdekatan cashier. Kalau orang lain mungkin pilih yang jauh sikit sebab tak nak orang ramai yang queue kat kaunter pandang kita yang dok gigit satay kan...tapi saya malas nak fikirkan tentang tu, terus jer cop tempat tu.

Jarang sebenarnya saya makan satay ni sebab anak-anak lebih suka fast food. Untuk Mak saya pesan satay daging sebab Mak tak makan ayam.


Dan untuk saya dan Aiman, dah tentulah satay ayam beserta sepinggan nasi ayam, pesanan tambahan dari Aiman. Mujur tak perlu menunggu lama, dalam 10 minit macam tu dah dapat apa yang kami pesan.


Alhamdulillah, selamat perjalanan pergi dan balik...cakap macam tu sebab saya ala-ala tak berapa sure jalan dan simpang...ditambah pula suasana malam yang membuatkan payah nak cam tempat...Happy dapat tunaikan keinginan Mak. Itu sahajalah yang mampu buat.