Ada satu peristiwa penting yang berlaku dalam hidup saya beberapa tahun lalu. Saya katakan ia penting kerana impaknya yang besar dalam kehidupan saya. Sehinggakan saya sentiasa perlu muhasabah diri supaya saya tidak salah perhitungan. Justeru, setiap kali keadaan memerlukan, saya akan sentiasa mencari jalan agar saya bisa menjadi positif dan meraih pahala meski berada dalam keadaan yang sulit (atas ukuran manusiawi saya yang punya seribu satu kelemahan).
Saya tidak berniat memperincikan peristiwa itu kerana ia tidak penting untuk dikongsikan di sini. Yang penting dan patut diberi perhatian ialah bagaimana peristiwa itu membuka minda dan akal saya untuk memperbaiki diri dan keadaan. Acapkali bila kita diuji, kita cepat melatah sehingga kita terlupa kepada Sang Penguji. Kita terlalu fokus kepada keadaan yang datang bersama ujian itu sehingga akhirnya kita menyalahkan keadaan lalu terlupa yang kita sebenarnya diuji. Hanyasanya ujian itu sampai kepada kita menerusi keadaan-keadaan tertentu. Padahal tujuan ujian dan yang menentukan ujian itu datangnya dari Yang Maha Kuasa. Begitulah yang berlaku kepada saya. Bukan tidak pernah diuji, namun ujian yang satu ini barangkali yang paling menggugah pernah saya rasai, pun begitu kala ribut tinggal menjadi sekadar angin sepoi-sepoi bahasa, saya akui ternyata saya mampu mengharungnya. Mengapa tidak? Bukankah Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud :
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…"
Kalau begitu sudah pastilah ujian ini memang mampu saya pikul. Jika tidak, tentulah Allah tidak pilih saya. Hemmm...malahan terasa bangga juga kerana terpilih. Saya, bukan orang itu juga bukan orang ini ...tetapi saya. Namun, bukanlah semudah itu rasa ini ditundukkan pada awal kali menerima libasan pertama. Hampir terduduk juga saya dibuatnya. Betul, tidak mudah. Beberapa kali saya tersasar mengikut saranan Allah dan Rasul disebabkan terbawa-bawa dengan emosi. Meskipun begitu, saya tidak mahu mengalah. Biarlah tewas untuk berapa kali pun, saya tetap sahaja mencuba mencari jalan untuk menggapai hikmah di sebalik segalanya.
Mungkin kerana keinginan dan niat suci saya itu, alhamdulillah, terasa sentiasa dipandu dan sentiasa ada jalan. Alhamdulillah, bukanlah segalanya dari usaha saya bahkan semuanya atas pertolongan Allah. Sebenarnya, bagi hamba, apa yang boleh dilakukan ialah teruskan meminta bantuanNya, tingkatkan ketaqwaan dan perbaiki diri.
Ada begitu banyak inspirasi yang terbit daripada ujian yang satu ini. Semuanya menyakinkan diri saya untuk kekal kuat dan positif. Antara yang paling dekat ialah mati. Ya, inspirasi dari kematian itu adalah sebenarnya ubat yang paling mujarab. Tak usah cakap banyak, tak usah ribut-ribut, sekiranya anda tidak mampu memberi jaminan yang even petang ini pun anda masih bernyawa, maka hentikanlah segala perancangan serta anganan yang tidak membina itu. Terus terhenti segala perbuatan itu. Betulkan, nah...kita begitu sakit hati, begitu susah hati...konon nak buat itu, nak buat ini...tengok-tengok petang ini terbujur kaku jadi mayat...apa macam? Rugiiii sangat-sangat. Rugi sebab buang masa buat benda yang sia-sia, tak menambah pahala bahkan menambah dosa. Padahal kalau duduk diam sabar, berzikir mengingat Allah dan berdoa memohon kebaikan itu tentu saja akan membawa pulangan yang jauh lebih lumayan. Tolong...tolong...tolonglah...jangan buang masa. Perkara itu adalah perkara yang tidak penting langsung untuk dirisau dan dirimaskan setiap masa. Ternyata ia hanya menjadi seperti lalat yang mengganggu konsentrasi kita menikmati hidangan yang lazat...ketepikan ia dan fokuslah kepada perkara yang jauh lebih penting.
Inspirasi lain yang selalu menjadi pendorong untuk kekal positif ialah syukur. Bersyukurlah kerana Allah memberikan begitu banyak nikmat. Jangan dikenang perkara yang kecil itu, sedang perkara-perkara lain yang kukuh melingkari seluruh hidup ini begitu melimpah ruah. Mengapa hendak difokuskan pada satu perkara sahaja sehingga menenggelamkan segala yang baik-baik itu? Tak usah fikir jauh-jauh, nikmat mata dan penglihatan sahaja sudah cukup untuk menidakkan segala keresahan. Manakah yang kamu lebih rela wahai ukhti...Tuhan ambil penglihatan kamu atau Tuhan ambil satu perkara yang kamu bukanlah hilang semua pun? Cer citer! Kamu masih nak berfikir-fikir tentangnya? Bukankah jawapannya sangat jelas...jangankan yang satu juzuk itu kamu sanggup beri, malahan seluruhnya pun kamu pasti sanggup beri sebagai galang ganti kepada sepasang mata kamu yang membolehkan kamu terus melihat, mentafsir, sehingga kamu mampu pula menaip patah-patah perkataan ini tanpa terkial-kial menggunakan mesin Braille. Hebatkan nikmat yang kamu sedang miliki itu? Mahu senaraikan nikmat-nikmat yang lain? Bagaimana dengan nikmat pulih dari kecederaan kaki yang membuatkan kamu sukar berjalan itu? Tak mampu kamu luahkan bukan?
Inspirasi lain...owhhh...terlalu banyak sehingga akhirnya saya menjadi malu sendiri. Malu sebab melatah tak tentu pasal . Allah nak beri begitu banyak kebaikan, saya pula berkelakuan macam orang bodoh. Yes, I think I was stupid back then. Sebab itu, apabila ada masalah, cepat-cepatlah rujuk kepada manual teragung manusia...sudah tentu ianya Al-Quran. Di situ ada segala jawapan kepada segala persoalan. Tiada keraguan! Tapi ya, saya hanyalah manusia biasa, adakalanya saya masih memerlukan untuk bercakap dengan insan-insan yang saya percayai. Bukan untuk meminta mereka menghilangkan kesusahan saya, tetapi hanya nak berbual ...mungkin satu bentuk pengukuhan dan mahu menyakinkan sisi manusiawi saya. Hahaha...macam-macam alasankan?
Errr...sebenarnya saya pun tidak berani hendak mengatakan yang saya dah overcome semua ini sebab ada masa-masa tertentu, tanpa dipinta, sesuatu akan menjentik dan menggeletek perasaan serta emosi saya. Yang termampu saya lakukan setakat ini ialah menahan diri. Kalau terasa nak bercakap, saya akan tahankan supaya tidak keluar perkataan yang boleh menjadi pencetus kepada situasi yang tidak elok. Kalau boleh divert perhatian kepada perkara lain, saya akan buat begitu...spontaneously. Dan yang penting, selalu ingatkan diri yang "anda begitu berharga"...hahahaha...jadi jangan senang-senang menzalimi diri dengan perbuatan-perbuatan yang menjauhkan kita dari Allah.