Sunday, August 20, 2023

Manisnya Musibah

 Bukan senang untuk seorang ibu mengungkapkan kata 'syukur' ketika ditanya wartawan yang menemuramah usai pengkebumian jenazah anaknya. Namun itulah yang keluar dari mulut ibu kepada salah seorang mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina. Kata-kata yang indah dan mengharukan. Dan seorang ayah menyatakan ini adalah ketentuan Allah maka kena terima qada' dan qadar Allah. Seorang abang pula menyebut betapa jika usia menjadi ukuran, seharusnya dialah yang pergi dahulu. Namun ternyata mati itu bukan syaratnya tua. Ajalnya sudah tiba lalu kepada Allah dia harus kembali. Kata si abang itu lagi, kematian adiknya bukanlah sesuatu yang harus ditangisi, sebaliknya ia harus dicemburui. Peribadi arwah ternyata seorang yang menyenangkan, tidak pernah langsung bercakap kasar terhadap kedua ibubapa. 

Lalu Telipuk yang semenjak beberapa hari ini tidak culas menunggu siaran berita, hari ini juga diam-diam menyeka airmata. Betapa terharunya. Dan sungguh Telipuk bangga dan takjub dengan reaksi mereka. Inilah yang membezakan antara insan yang muslim dengan yang kufur dalam menerima kematian sebagai ujian di dunia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA , beliau berkata ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia Baginda menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf RA kepada Baginda maksudnya, " Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah?". Maka sabda Rasulullah SAW, "Wahai anak Auf, sesungguhnya ia adalah rahmat". Kemudian Baginda bersabda, "Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhkan kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih". (Hadis riwayat Al-Bukhari). 

Kesedihan itu bukanlah sehingga meratapi kematian dengan tindakan yang bercanggah seperti menangis dengan suara yang kuat atau meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan , menarik rambut dan lain-lain perbuatan yang keterlaluan. Tegahan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, " Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir : mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat". (Hadis riwayat Muslim).

Semoga Allah gantikan musibah ini dengan sesuatu yang lebih baik yakni menganjarkan pahala yang berlipat ganda atas kesabaran dalam mengharungi ujian.



Friday, August 18, 2023

Muram

Hari yang sentimental betul. Dengan cuaca yang redup muram. Sayu je. Tumpah jugaklah airmata ni beberapa kali. Tak tau le , sedih bebenor rasanya. Betullah ajal maut tu kan ketentuan Illahi. Bukan tak paham...paham. Cuma dah namanya manusia...kalau robot tu lainlah kan. Tengok video dan baca komen kat Tik Tok pun boleh mengundang airmata. Siapalah yang sangka kan? Kalau ikut bacaan logik kita...memang tak terfikir. Perjalanan yang sepatutnya biasa-biasa dan tak ada apa-apa, boleh pulak jatuh kapalterbang. Itulah namanya kemalangan. Macam kita memandu kereta, dah jaga kiri kanan depan belakang....terfikir ke nak jaga atas? Benda yang tak dijangka tapi itulah yang Allah tetapkan. Dan ada seorang ibu memanjatkan kesyukuran kerana kenderaan yang membawa anak-anaknya pulang dari sekolah terselamat. Melalui jalan yang sama namun nasib tidak sama , dipisahkan oleh jarak dan ketepatan masa. Benarlah, jika ajal itu sudah sampai tidak akan diganjakkan walau barang sesaat dua. 

Semua yang kita saksikan ini sesungguhnya adalah kebenaran yang sangat jelas. Bahawa kematian itu benar. Dalam 2 bulan ini, Telipuk sudah mendirikan 2 kali solat jenazah. Kalau perkataan kematian itu ditanyakan kepada Telipuk akan hakikatnya, pastilah Telipuk jawab dengan yakin yang ianya sangat benar dan pasti berlaku. Cuma tak tahu bila. Mati memang pasti mati. Masa dan bagaimana itu Allah sahajalah yang tahu. Itu yang hairankan....dah tahu ke situ bakal pergi, kenapa macam masih gaya tu macam tak ingat nak balik eh? Persiapannya ala kadar. Asal ada. Asal buat. Awak solat? Eh solatttt...tak tinggal weyyy, sehari 5 kali penuh. Puasa pun tak tinggal. Tapi takat itu je la. Buat lebih-lebih tak nak. Semua sekadar cukup syarat. Tapi nak macam-macam eh....nak syurga firdausi bagai...haaaa....lu sendiri pikir la eh. Nak tulis banyak-banyak pun macam tak reti dah ni.

Sesungguhnya hanya kepada Allah lah kita semua akan dikembalikan. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa dan menempatkan roh saudara kita yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Amiiinnn.


Sunday, January 01, 2023

Jalan-Jalan Jepun

Entri tertunda ini Telipuk karang pada 28 Disember lalu. Pada hari kejadian, Telipuk dan anak-anak membuat keputusan makan di luar. Destinasi yang di tuju kali ini ialah Lotus Rawang (Tesco). Sebab Telipuk rasa macam nak makan pasembor yang sedap kat food court di sini. Sekali bila sampai, Telipuk tukar selera mintak kueyteow sup di gerai sebelah hahaha...Bukan apa, masa berdiri meninjau bahan pasembor tu, tetiba teringat senarai kalori kat gerai minuman. Telipuk kan order teh tarik...haaa berapa dah tu? Nak makan pasembor lagi? Sila lah insaf. Tu pasal lah tukar arah hahahaha.

Selepas makan kami bergerak ke tingkat 1. Sajalah jalan-jalan kasi hadam makanan tu kannn. Mula-mula singgah tengok kucing kat kedai pet. Satu kemestian kalau datang sini, mesti nak jugakkk tengok kucing tu. Aiii greammmm aiihhhh!!! Lepas tu kami masuk ke kedai Jalan Jalan Jepun (JJJ). Haaaa...dulu tak ada tau kedai camni. Besorrr. Di sini dijual pre-loved barangan dari Jepun. Macam bundle lah kan? Ramai rupanya peminat. Macam-macam ada. Pinggan-mangkuk, barangan hiasan, kasut, baju, beg, alatan sukan, barangan bayi, stuffed toys, gundam, kamen riders hahaha...ultraman mana? ultramana mana? Doraemon ada jumpak! Seronok jugaklah tengok...tennis racket yang nampak still elok sekitar harga RM40...ishhh geramnya (macamlah ko main tennis!). Set kayu golf pun ada nih....(kalau beli just utk suka-suka boleh la kan...belajar golf kat Tasik Puteri selepas pencen...#buangtebiat.... hahahahaha).


Telipuk singgah dekat rak pinggan mangkuk dan cawan. Hemmm....belek sana belek sini. Menarik jugak eh.



Pinggan kecik ni comel kan...ada 5 beradik ni, berlapis-lapis kat belakang depa lekat. RM25 jer...hahahaha. Rasa nak beli je. Tapi pikir-pikir, nak buat apa la pinggan-pinggan ni, yang kat rumah pun berlambak. Ishhh...dah...dah...letak balik!



Hat ni pun cek macam berkenan juge hehehe...Ada 6 bijik nih. Kembung perut minum teh hijau hahaha. Saja je suka. (Dahhh...jangan nak membeli ye...tak de gunanya , buat menyemak rumah je).



Omooo ommoooo....santekkk! 



Noritake tu hahahaha...tapi set tak lengkap lah. RM10 harga cawannya ni. Still in good condition, nampak macam baru pun. Kena pandai cari dan pilih lah. Patutlah ramai je yang khusyuk memilih supaya berbaloi-baloi membeli kan. Kena ada kemahiran dan ketelitian dalam membuat pilihan. Mungkin ada 'permata' yang terselit. Actually, ada juga jenis gelas yang mungkin ada suka beli untuk koleksi. Contohnya aneka jenis gelas Coke (Coca Cola) dengan rekabentuk yang tersendiri. Hello Kitty pun ada. Collectibles macam ni mungkin ada peminat.

Oh ya, Telipuk beli alas untuk sangkar kucing. Ala...RM5 je....so okaylah. Itu barang-barang baby sebenarnya. Tak kisahlah, my cats are my babies hehehehe. 


Kompang Dipalu Lagi

Alhamdulillah, sempurna sudah majlis walimah anak ke-2 arwah abang Telipuk yang berlangsung pada 23 Disember 2022. Kami tak buat besar-besaran pun. Hanya pasang sebuah khemah sahaja dan jemputan sekitar 200 orang iaitu saudara-mara, jiran tetangga dan kenalan rapat. Walaupun rasa risau takut makanan tak cukup (biasa cater untuk skala besar kann hahaha), alhamdulillah, memang ngam-ngam ho. Last tetamu datang sekitar pukul 4 petang masih dapat merasa lauk kenduri. Kali ini memang tuan rumah pun dapat semangkuk je baki ayam masak merah. Ayaq asam habis, daging kurma habis...nasi pun habis jua sempatlah dapat sepinggan buat ulang makan malam. Jadi, tak ada berlaku pembaziran. 


Majlis sambutan di sebelah pihak lelaki berlangsung pada 31 Disember 2022, bertempat di Taman Malinja, Jalan Langgar, Alor Setar. Selang seminggu la Telipuk mengukur lebuhraya. Tak apalah, asalkan semua gembira. Tak kena pulak kalau tak balik. Masa balik kenduri di Bagan Tiang tu boleh tahan sesak highway tu...makan masa 5 jam jugak nak sampai. Balik kali ini alhamdulillah, tiada masalah kesesakan. Mungkin sebab cuti panjang selepas Krismas yang bersambung dengan tahun baru, ramai yang sudah membuat perjalanan pergi/balik. Cumanya masa nak ke Aloq Setaq tu traffik memang banyak tapi masih bergerak. Makan masa 2 jam untuk sampai. Tapi kami sempat singgah melegakan urat sendi dan minum Costa Coffee di Stesen minyak Shell RnR Gurun. Sajalah sebab pengantin nak berarak pukul 1 tengahari, haaa sampai awal pulak kang. Rombongan kami cuma 2 biji kereta je...Telipuk bawa 5 penumpang and kakak Telipuk tiga beranak naik kereta satu lagi. Lain-lain tak dapat join atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tak apalah, sebab majlis di tempat sendiri dah selesai. Janji dengan pengantin untuk tunggu di Masjid Nurul Ehsan yang terletak berhampiran dengan rumah. Telipuk puji masjid ini memang mempunyai halaman yang sangat luas dan bersih. Kemudahan tandas pun Telipuk bagi gred A+. Cantik dan bersih. Rasa sangat-sangat selesa.



Pengantin datang je terus kami berkonvoi ikut belakang. Sampai je terus disambut meriah dan bergambar dulu sebelum dijemput makan di meja yang disediakan. Sempurna sungguh aturannya. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.


Bergerak keluar sekitar jam 2.15. Kami singgah semula di Masjid Nurul Ehsan untuk menunaikan solat zohor. Jalan sesak menuju ke exit highway. Dan sesak berperingkat-peringkat di setiap tol. Maklumlah banyak pulak tolnya...Tol Alor Setar(U), lepas tu Tol Sg. Dua, lepas tu Tol Juru...Nasib baik la lorong RFID lapang. Kalau tidakkkk...hemmmm bila tahun nak lepas. Tapi tak kisahlah sebab kami bukan rushing pun, nak balik Parit Buntaq je...busuk-busuk kot ye pun nak jem 3 jam je ahaksss...tak lah macam sangkut di area Sungkai/Bidor/Gopeng tu...huhuhuhu.



So, dengan termeterainya ikatan pernikahan ini, kesemua anak perempuan arwah abang Telipuk telah selamat bergelar isteri orang. Tinggal yang bongsu je, tapi tak pe, yang tu lelaki. Bila tak ada mak ayah disisi ni, harapkan mak pak sedara memantau, apa sangatlah. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kebaikan yang banyak dan memberkati kehidupan mereka semua. Aamiinnnn.