Wednesday, June 26, 2013

Jerubu Di Hatiku

Jerebu melanda lagi. Jerubu itu balakah? Sebab ada orang yang senang-senang cakap, "Itulah balasan Tuhan". Malapetaka ini menimpa kerana kedegilan rakyat yang memenangkan satu pihak dan menidakkan pihak yang lagi satu. Ke situ pulak dia.

Surah Ar-Ruum ayat 41, Allah berfirman yang bermaksud, " Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".

Punca jerubu ialah kerana kerakusan manusia yang cuba mengaut keuntungan menerusi jalan singkat. Tanah ladang dan hutan dibakar untuk kerja-kerja pembersihan segera dengan kos yang murah. Natijahnya asap daripada kebakaran itu diterbangkan angin ke negara-negara jiran sehingga menyebabkan jarak penglihatan menjadi terhad, ditambah pula dengan implikasi lain terhadap kesihatan manusia.

Pemandangan di luar tingkap pejabat pada hari Isnin lalu.

Bila tengok jerubu ini, terkait la pula permasaalahan berhubung 'amal makruf, nahi mungkar'. Macam sama aje. Sama macam mana ye? Yelah, tanggungjawab kita sebagai hamba Allah, tak selesai dengan menunaikan solat, berzakat sebagainya...yang itu kita hanya lepaskan diri masing-masing sahaja. Bagaimana dengan orang di sekeliling. Keluarga kita, misalnya (kalau tak mahu tengok jauh). Banyak lagi yang pincang sedangkan kita tak mampu berbuat apa-apa membetulkannya.

Surah At-Tahrim ayat 6, firmanNya yang bermaksud, " Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan".

Ada anak yang belum bersolat. Belum pandai mengaji. Ada yang belum tutup aurat. Ada macam-macam. Itu baru keluarga, belum lagi masyarakat keliling. Orang Islam lain yang mana dengannya kita bersaudara, bersaudara dari segi akidah dan kepercayaan. Kalau mereka saudara kita, tentulah kita patut sayang dan kasihankan mereka. Orang kalau sudah disayangi, apa kita buat? Tentu kita tak mahu mereka menderita. Masalahnya, kita cuma nampak derita dunia. Tak cukup duit, kita bagi duit. Tak cukup makan, kita bagi makan. Memang dia selamat atas dunia, tapi keselamatannya di akhirat bagaimana?

Bab itu yang belum kita dapat lihat. Saya bercakap tentang diri sendiri juga. Sebab tak dapat lihatlah, kita buat-buat tak nampak. Kita ambil pendekatan 'mind your own business'. Pendekatan, 'masing-masing punya kubur...lantaklah!'. Itu yang jadi 'berjerubu' tu...Patutnya kalau konsep kubur masing-masing itu kita gunapakai, dah tentu siapa yang bakar, dialah yang sedut asapnya bukan? Apa pasal kita yang 'tak jaga tepi kain dia tu, terpaksa pula bertopeng bagai'?

Peringatan yang dikeluarkan syarikat beserta topeng pelindung yang diedarkan oleh Tan Sri & rakan-rakan yang prihatin. Topeng beli sendiri N95 yang telah bertukar tangan kepada sahabat yang lebih memerlukan perlindungan efektif.

Hakikatnya, walaupun kebakaran itu berlaku di tanah Sumatera, tanah-tanah di Malaysia, Singapura & Thailand (khabarnya angin dan mula beralih ke sana) telah terjebak sama. Telah turut sama menerima tempias (bukan tempias lagi dah!). Kesihatan terganggu. Pekerjaan tergendala. Tidak selesa serba-serbi.

Kalau untuk tahun-tahun depan, kita tak mahu lagi gangguan ini terjadi...kita kena mula ambil langkah pencegahan. Kena larang. Kena buat sekatan atau desakan diplomatik. Mungkin juga boleh berkongsi kaedah dan teknologi. Mungkin juga beri bantuan kewangan. Atau apa sahaja, asalkan tidak perlu lagi kerja-kerja pembersihan menggunakan kaedah bakar.

Moral di sebalik kisah jerubu ini ialah, memang setiap yang berlaku itu kerja Allah...tapi ianya terjadi bersebab juga. Bahkan dalam hal ini, ianya sebab tangan-tangan kita juga. Tak payah nak tunjuk kepada siapa-siapa, masing-masing kena main peranan. Sama macam mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan. Tak boleh tunggu ustaz dan ustazah sahaja. Kita pun sama kena buat kerja. Yang semut buat cara semut. Yang gajah buat cara gajah. Yang penting buat. Kita tak mahu jadi seperti Bani Israel yang Allah laknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran.

Berat untuk dilakukan, tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Semoga Allah beri kemudahan melaksanakannya.

Tuesday, June 25, 2013

Kek Cawanku II

Cuti hujung minggu yang lalu saya sempat mengasah bakat yang tak pernah disangka ada. Err...sebenarnya bukan tentang bakat pun...lebih kepada kemahuan. Betullah kata peribahasa, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

Kebetulan, stok durian yang telah diasingkan isinya dan disimpan di dalam freezer masa ada satu tupperware sederhana. Hisham memberikan cadangan, "Ibu, apa kata kalau ibu masak cupcake durian?". Wahhhh...terlopong sekojap omak aiii. Err...macam boleh jugak kot...slow jer cakap, lepas tu cek inventori tengok kalau-kalau ada bahan-bahan diperlukan. Hemmm...ada semuanya, cuma, sukatannya main agak jerlah coz tak sempat nak merujuk pendapat Encik Google.


Saya gunakan bahan asas kek cawan pertama dulu tu...lepas tu adjust sikitlah. Gula saya kurangkan sebab takut terlebih manis sebab durian pun dah manis. Saya ambil isi durian dalam satu cawan. 3/4 saya gunakan dalam adunan dan selebihnya saya guna untuk frosting.

Hasilnya...hemmm...untuk saya, saya rasa memang menjadilah. Yang pentingnya semua cukup rasa, adunan naik elok, lembut dan memang terasa duriannya...dari segi rasa dan bau. Cuma, mungkin tepung agak terlebih kot sebab kelembutannya tak seperti batch velvet terdahulu.


Untuk adunan kali ini, saya masih dapat sejumlah satu dozen (dua kali bake menggunakan dulang berlubang enam itu).


Saya menggunakan resipi yang dulu juga untuk topping...cuma yang kali ini, saya blend sekali isi durian fresh. Hemmm...tak pernah-pernah le suka by-product durian...kali ini boleh pula. Sendiri buat. Sendiri rasa. Peraturan sendiri boleh la tukar bila-bila suka...peraturan Allah jangan!


Rasanya anak-anak pun memainkan peranan juga...kalau telipuk buat dan tak de sapa nak makan, hemmm...gerenti malas nak buat dah.


Lepas ni nak buat yang coklat pulak la kot pasal dah ada yang meminta.

Cantik kah?

Sana-sini semua orang bercakap dan berkongsi tentang petua-petua nak jadi cantik. Muka yang ada cela, dirawat sampai putih gebu. Badan yang kembang, dilangsing-langsingkan. Salah ke nak jadi cantik? Tak salah. Cuma terfikir juga, kecantikan luaran tu berpadanan atau tidak dengan kecantikan dalaman. Takut-takut keterujaan kita hendak jadi cantik itu membuatkan kita terlupa memberi perhatian kepada kecantikan dalaman. Kecantikan luaran itu hanya mengundang pujian manusia. Hanya menyenangkan mata manusia. Silap hari bulan boleh menambahkan dosa. Kecantikan luaran tidak meningkatkan ketinggian darjat kita di sisi Allah.

Mungkin kita terlupa atau terlepas pandang akan keghairahan kita mendapatkan pengiktirafan manusia. Sedangkan semua itu sekadar sebentar cuma. Untuk yang sebentar cuma itu, kita sanggup berhabis-habisan. Bukankah itu pelik? Kita terlupa nak perhatikan, elokkah adab kita dengan Allah. Kita tak terfikir mencari jalan bagaimana hendak khusyuk dalam solat. Janji Aku solat! Yelah, memanglah solat kamu tu tak pernah culas. Lengkap segala qobliah dan bagdiahnya. Tetapi cukupkah sekadar menjadi burung kakak tua? Benarkah hati dan fikiran betul-betul hadir ketika mengangkat takbir? Takut-takut kita ni syok sendiri sahaja.

Adakah kita perhatikan bab mencantikkan solat? Bab mendapatkan ganjaran yang lebih baik. Kalau ada krim yang boleh menjadikan muka kita yang menggerutu jadi licin selepas dua kali sapu, kita sanggup keluarkan duit dan habiskan masa mendapatkannya. Sedangkan tawaran yang lebih baik Allah beri untuk keselamatan di akhirat sana kita masih berfikir berkali-kali bila nak buat. Bukan fikir nak rebut banyak mana.

Seseorang menceritakan tentang produk kecantikan keluarannya. Ada satu testimoni pelanggan yang memuji keberkesanan produk tersebut menghilangkan jerawat. Lalu apa katanya? Dia kata, memang produk keluarannya boleh menghilangkan jerawat. Hemmm...awas ya, syirik itu seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam gelap gelita. Boleh hilang dengan izin Allah...bukan memang boleh, macam kita pula yang beri jaminan sedangkan segala sesuatu itu adalah tertakluk kepada kehendak Allah belaka.

Pelik bila kita tahu, percaya dan yakin adanya hari perhitungan dan pembalasan tetapi kita boleh masih boleh buat selamba. Kita semua yakin kita semua akan mati. Tetapi keyakinan kita itu macam tidak berpadanan kalau kita lihat kepada bekalan yang kita siapkan untuk berangkat ke sana. Macam orang nak pergi berkelah sahaja. Kita kalau nak pergi Bandung tiga hari pun bawa beg bukan main besar...inikan pula hendak balik mengadap Allah S.W.T. Dalam buku "Fanzuru", Hilal Asyraf bercerita tentang sikap manusia yang berselindung di sebalik kata-kata "Allah kan Maha Pengampun" dalam hal dosa dan taubat. Benar Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang, tetapi itu bukan lesen untuk kita terus-terusan membuat dosa atau melengahkan taubat. Ada orang bagi alasan, nak tunggu pencen...baru ada masa nak fokus kepada bab-bab akhirat. Baru ada masa nak solat berjemaah di masjid. Umur muda kita ke mana? Masa berharga kita ke mana kita habiskan?

Semoga Allah masih beri kita ruang dan masa...tapi kalau umur kita tak panjang???

Kalau agak umur tak panjang...nak dulukan yang mana...memutih dan melicinkan kulit atau memperbaiki solat lima waktu kita?

Wednesday, June 19, 2013

Biarkan Jari Berbicara

Selalu orang cakap, "adalah hikmahnya". Tapi kita tahukah apa sebenarnya yang kita lafazkan? Adakah sekadar penyedap hati? Atau sebab itu jawapan yang paling sesuai untuk menjawab sesuatu yang tak mampu kita terangkan? Adakah kita betul-betul balik merenung, mencari dan memahami 'hikmah' di sebalik sesuatu?

Mungkin kita tak sedar, kadang-kadang bila sesuatu itu sudah menjadi kelaziman, ucapan yang keluar itu kita terlupa hendak memperhalusi. Kalau diperhalusi, akan kita dapati yang pada akhirnya segala-galanya adalah tentang kuasa siapa (Allah) yakni kembali kepada akidah dan pegangan. Kalau tidak diperhalusi, maka, kata-kata yang bermanfaat itu hanya sekadar ucapan biasa yang tidak bermakna. Bagaimana si pendengar hendak meminjam semangat kalau kita sendiri hanya melontarkan nasihat kosong yang tidak kita maksudkan?

Untuk menjadikan kata-kata itu bermakna, hendaklah kita ikhlas ketika menuturkannya. Misalnya kalau ada rakan yang ditimpa masalah dan kita berpeluang menyabarkannya, bila kita ucapkan, "sabarlah, tentu ada hikmahnya di sebalik semua ini", beritahu padanya hikmah yang ada yang boleh dia fahami dan akhirnya rasa lega dan tenang.

Ada orang yang dulu, kini dan sampai bila hidupnya tak senang-senang juga. Mungkin bila kita kata, "adalah hikmahNya" tu...dia akan pandang kita atas bawah. Dalam hati dia, dia kata..."hang senang cakaplah...hikmah...hikmah...Aku yang melalui ni tau la macamana". Jadi, mungkin kita boleh tenangkan dia...misal kata, "Barangkali Allah suka mendengar keluhan hati hambaNya dan doa-doa kamu yang selalu kamu panjatkan padaNya. Justeru, kalau kalau sudah hidup senang nanti, mana tahu kalau kamu tidak lagi atau lupa memanjatkan doa kepadaNya" atau boleh jadi kekayaan itu akan membuatkan kamu menjadi insan yang lupa diri sehingga amalan-amalanmu selama ini habis hancur. Mungkin ujian kesusahan di dunia ini adalah untuk memberi ruang bagimu mendapatkan darjat di syurga yang lebih tinggi". Itulah hikmahnya...

Maka menjadilah nasihat kita itu sesuatu yang memberikan motivasi untuk sentiasa melihat sisi kebaikan, sentiasa bersangka baik dengan Allah dan sentiasa merasakan kita tak punya suatu apapun. Segalanya adalah milikNya. Kalau Dia mahu beri, kalau Dia mahu ambil...terpulang padaNya. Bila semua itu dapat kita hayati, insyaallah, kita tak merasa rugi tidak mendapatkan habuan dunia dan hasrat hati yang bertunjangkan nafsu semata. Segala-galanya haruslah bersandarkan kepada Sang Pencipta.

Apabila sesuatu itu mengetuk hati, yang dulu terasa kecil dan remeh itupun rupa-rupanya memberikan impak yang sangat besar. Membuahkan kefahaman. Kita tidak akan tahu bila kita akan merasakan semua ini dan sampai bila. Segala yang terdetik, segala yang terkeluar dari fikiran dan diterjemahkan oleh ketukan abjad-abjad di papan kekunci ini, mudah-mudahan adalah atas dorongannya. Kita tidak akan tahu hati siapakah yang telah kita sentuh hari ini. Semoga sama-sama kita perolehi manfaatnya. Semuanya dari Dia...kita tak punya apa-apa.


Friday, June 14, 2013

Al Hikmah

Surah Al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud :

"Allah menganugerahkan al hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki . Dan barangsiapa yang dianugerahi al hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahi dengan kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)".

Al hikmah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah - kefahaman yang mendalam tentang Al-Quran dan As Sunnah.

Di dalam Al-Quran, ada diceritakan tentang kisah Luqman dan anaknya. Siapakah Luqman yang namanya terpahat dalam Al-Quran itu? Ibnu Abbas meriwayatkan Luqman adalah seorang hamba Habsyi berkulit hitam. Beliau adalah seorang tukang kayu. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau merupakan pengembala kambing. Al-Quran tidak memperincikan tentang latarbelakang Luqman, tetapi kata-kata hikmah yang diucapkannya. Kalau mengikut ukuran kebiasaan, Luqman bukan siapa-siapa yang perlu diberikan perhatian. Dia bukan kacak lawa. Bukan ternama. Tidak berharta. Namun, Luqman mempunyai martabat yang tinggi mengikut pandangan Allah sehinggakan kata-kata nasihatnya kepada anaknya dicatatkan dalam kitab yang suci. Allah telah memilih Luqman untuk diberikan hikmah dan kebijaksanaan.

Apabila seseorang itu Allah pilih untuk mendapat hikmah, maka, Allah akan berikan dia kebaikan yang banyak. Kisahnya Allah rakamkan dalam Al-Quran yang  kita baca berulang-ulang. Nasihatnya kita ambil buat pedoman. Namanya dan kebaikannya disebut sampai Kiamat.Itulah kebaikan yang banyak.

Orang yang diberikan hikmah ini, dia tidak perlu cakap banyak meleret-leret. Cukup dengan sepatah dua perkataan sudah memadai. Ada satu kisah seorang alim yang bijaksana menjadi penasihat kepada Raja. Saya minta maaf saya tak ingat rujukan dan nama spesifik yang Ustaz sebutkan sebab yang saya tekankan ialah pengajaran kisah tersebut. Pada suatu ketika, Raja telah jatuh sakit lalu dia berkata kepada penasihatnya, "Berilah aku nasihat yang dengannya dapat menenangkan hatiku". Penasihat yang Allah beri hikmah itu pun menjawab, " Setiap perkara pasti akan hilang".

Sebaris kata yang ringkas tetapi penuh kebaikan. Kalau diucapkan pada yang sakit, ia akan melegakan sebab si sakit akan ingat kembali bahawa kesakitan yang dialami itu tidak akan berkekalan, jadi, dia akan bersabar dengan ujian Tuhan. Begitu juga kalau orang kaya ingat dengan nasihat ini, maka, dia akan tahu yang kekayaan yang dimiliki itu pasti akan hilang. Jadi, dia tidak akan bersikap kedekut dan bakhil kerana dia tahu semuannya sementara. Dalam banyak perkara, ingatlah akan nasihat ini nescaya kita akan kembali berpijak di alam nyata dan membantu muhasabah diri.

Jangan pula bila fikirkan semuanya akan hilang, maka, tak payah buat apa-apa. Jangan jadikan ini alasan untuk kita berpeluk tubuh .Misalnya dalam hal pekerjaan, carilah rezeki, tetapi jangan sampai mengenepikan agama. Banyak orang tak sedar yang kadang-kadang tindak-tanduk serta kata-kata boleh menyebabkan kita syirik kepada Allah. Dia berjaya dalam pelajaran seterusnya menjawat jawatan yang tinggi. Kemudian, dia pandang kepada orang-orang yang kurang bernasib baik dan kata, "tu lah, dulu belajar malas...macam mana nak dapat kerja yang baik. Tengok macam aku ni...sebab aku rajin belajar dan kerja dengan bersungguh-sungguh inilah aku dapat menikmati apa yang aku ada sekarang". Jaga-jaga...terjejas akidah kita kalau cakap macam itu. Cakap tak bersandar kepada Allah.

Orang kerja bertungkus-lumus tu sebab apa? Sebab dia yakin, bila dia buat itu ini maka atas usaha sedemikian gigih, dia akan dapat rezeki dia. Sedangkan kalau dia yakin yang rezeki tu Allah akan beri, dia tak akan solat lewat dan bila solat dia akan khusyuk. Dia solat lewat dan solat tak khusyuk sebab tak yakin dengan janji Allah. Aduh...statement membunuh sungguh! Jangan dok sangkut kat dinding saja ayat seribu dinar tu ye...sila fahamkan...Bukankah Allah telah kata, " Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu".

Ramai orang yang terbabas dalam hal ini. Mereka berusaha kerana yakin mereka akan dapat apa yang mereka usahakan. Padahal mereka terlupa yang walau macamanapun usaha yang dilakukankan, kalau Allah tidak berkehendak, maka, ia tidak akan diperolehi. Begitu juga bila telah mendapatkannya, mereka fikir mereka dapat berbaloi dengan usaha yang diberi sedangkan ianya kerana Allah berkehendak memberi. Lalu menjadilah kita apa yang dikatakan lupa bersyukur dengan kurniaan Allah. Sekecil manapun ia, itulah nikmat. Sekecil manapun ia, itulah ujian. Semuanya dari Allah.

Adakah kalau begitu, maka, usaha kita itu tidak memberi makna? Salah! Berusahalah. Sepertimana kata Nabi Muhammad S.A.W, kalau ditanganmu ada biji benih, tanamlah walaupun esoknya kiamat. Usaha tetap usaha. Tapi yang pentingnya, berusaha bersungguh-sungguh untuk takut dan ikut perintah Allah. Barulah boleh dapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Seperti kisah Nabi Yusuf. Siapa sangka budak kecil yang dipungut dari perigi, kemudian dijual sebagai hamba, seterusnya disumbat dalam penjara...akhirnya menjadi Pembesar Mesir yang berkuasa? Kalau Allah hendak beri, Dia Maha Berkuasa Memberi.

Begitulah seharusnya kita praktiskan dalam hidup kita. Betul, kita ini bekerja. Bekerjalah dan berusahalah menanggung amanah yang diberi, tetapi dalam kita melaksanakan amanah manusia...jangan kita terlupa status kita sebagai hamba Allah. Semoga Allah beri kita hikmah dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini, mudah-mudahan selamat sampai ke destinasi yang abadi.

Wednesday, June 12, 2013

Kek Cawanku

Aktiviti ini tidak terjadi secara mendadak. Sebaliknya semangat untuk melaksanakan keinginan itu dibakar perlahan-lahan semenjak musim percutian di GH lagi. Maklumlah, malam-malam di situ selalunya tak ada apa nak buat, suka tengok TV saja...dan entah kenapa asyik tengok Cupcakes War di saluran 720.

Hemmm...lalu di suatu hari di hujung minggu...
Mula-mula intai oven kat belakang nu...dah lama berhabuk nih. Lepas tu belek-belek hand mixer pulak...manalah tau kot-kot dah rosak , maklumlah terkurang guna. Checked! Dua-dua okay...cerah masa depan nih. Dengan gigihnya menyelongkar peralatan dan rasa kagum pulak dengan apa yang ada itu...cupcakes pan ada 2 saiz tu...piping bag ada...cawan-cawan pun ada...hemmmm...boleh buat nih.

Maka, tercatatlah hari ini dalam sejarah, Puan Telipuk masuk dapur buat cupcakes di petang hari Sabtu yang syahdu....tak ada angin, tak ada ribut...kuang...kuang...kuang...!!!


Helloooo...tak pernah buat bukan bermaksud tak reti buat, okeh??? Hehehe...ente jangan pandang ana sebelah mata tau...

Sebab sangat suka dengan red velvet...maka...Telipuk cubalah buat jenis tu. Budak-budak nak yang coklat punya...tapi mak depa tak layan request tu...pasal tak cukup bahan. Lain kali naaaa...



The cheese frosting topping....waaaaaa....leleh ooo. Adunan yang Telipuk buat tu boleh dapat dalam sedozen sekali buat. Resipi ni Telipuk ambil dari Puan Laura...tak kenal?


Budak-budak suka. Yang best tu...gebu dan lembut jer kek ni (hah...puji la diri sendiri tu). Telipuk ikut jer sukatan bahan yang dicadangkan...tak berani nak bereksperimen...so, alhamdulillahlah, menjadi. Rasanya itu resipi yang cannot fail kot...Kelmarin, balik dari pejabat, pukul 8 mlm Telipuk dah pegang hand mixer...sayang pulak tengok topping ada lagi...soooooo...Telipuk buat lagi satu round sekadar menghabiskan bahan yang ada. Hasilnya sama macam pertama kali Telipuk buat.

Sirap antara nak percaya dan tak percaya jer dengan kerajinan Telipuk kali ini sebab harus Telipuk akui, baking bukan bidang Telipuk...

Telipuk jawab slow jer..."Manusia boleh berubah..."...heheh....

Cerminan Rasa

Benarkah cermin itu telah menipuku
Dengan bayangan muslihat
Ataukah mata yang menipuku
Dengan pandangan halusinasi

Mungkinkah apa yang terlihat
Hanya selapis kebenaran
Sedang disebaliknya kepalsuan beraja
Lalu membenarkan sebuah sangkaan
Menjadi nyata

Masihku bercermin
Mencari-cari kesilapan
Pada wajah diri yang disangka sempurna
Sedang mata terus-terusan
Mengiakan pandangan
Mentertawakan sangsi

Akukah itu yang terpedaya
Oleh permainan rasa
Pesonanya mencipta angan
Membunuh kesedaran

Ternyata aku belum benar kebal
Menangkis telahanmu

Tuesday, June 11, 2013

Bila Ikan Pun Menari

Lama betul tak menari eh....menari apanya pulak, maksud saya, dah lama tak buat kerja makan bersama-sama ini. Yang part menarinya tu terkeluar sebab aktiviti ini kami jalankan di restoren 'Dancing Fish' di Bangsar Shopping Complex.

Paling best sebab geng lama yang dah dekat 3 tahun berhijrah tu yang mengajak. Member pulak bercuti...sedaplah, transport disediakan pergi dan balik. Yang payah nak jadi pun, boleh jadi...alhamdulillah, rezeki, kan? (Dahlah dia yang mengajak, dia jugak yang membayarnya...kecil tapak tangan...). Toche cheche...


Ada orang tanya, "Awak pergi restoren Ikan Menari tu...awak makan apa ek?". Ehhhh...mestilah kita makan ayam. Tak kan nak makan ikan kotttt...hahahaha....nama jer nama ikan, masih ada lagi makanan lain yang orang tak makan ikan boleh makan. So, siapa-siapa yang tak makan ikan, jangan risau...pilihan banyak la , beb! Ini ayam panggang...bila save gambar elok jer...bila paste kat sini, lain la pulak...huh...belasah jer la.



Ada kerabu buah belimbing besi (starfruit) yang disertakan bersama hidangan sate daging.


Nasi warna kuning...tak berusik pun sebab semua orang dah kenyang...nak habiskan nasi putih pun berchenta....rasanya tak ada siapa yang menambah pun walaupun pelayan sibuk bawa nasi tambah ke sana ke mari menunggu diminta tambah. Kami sebenarnya ambil set makan berhidang untuk 4-5 orang. Inilah juadah yang ada dalam pakej ni. Memang cukup untuk semua dan mengenyangkan. Rasanya portion kat Naili's lagi besar.


Yang ini pulak first time cuba...ketam berkulit lembut. Kalau ketam biasa mahu jenuh nak mengopek isinya. Tapi yang ini, boleh ngap cenggitu jer...semuanya sekali termasuk sepitnya, lembut jer.


Masak lemak pucuk paku. Geng kata sedap...tapi tak dapatlah nak rasa sebab saya tak makan pucuk paku.


Sate ini pun sedap dan lembut aje.


Tofu telur. Sedap aje. Orang belanja lagi...mestilah bertambah-tambah kesedapannya...hihihi.


Kerabu mangga muda dan hiasan daun salad


Inilah dia 'dancing fish' tu...sebelum 'teruk' dikerjakan . Kalau kat Naili's...sepinggan pesanan tu dapat dua. Menu 'Twin Mermaid'.


Pencuci mulut...mula-mula den jual mahal tak mahu makan...ingatkan telur ikan ka apa tu? Tapi depa kata bukan....bukan telur ikan. Cer rasa...cer rasa....haah la, macam rasa buah jentik-jentik dengan sumi jelly yang manis. Dimakan sejuk pula. Hemmm...nyamannnnn...


Motif entri ini ???

Saja jer nak update member yang tak dapat ikut tu kan....hahahah....

Lain kali haaaa....

Monday, June 10, 2013

Kuliah Fissama'

Macamana Allah nak sayang kita kalau manusia pun tak suka dengan kita. Begitu kata UKE dalam Kuliah Fissama' yang saya hadiri baru-baru ini di Menara KL.


Hablun minallah wa hablun minannas

Baik hubungan dengan Allah dan baik hubungan dengan manusia. Kalau dengan manusia sahaja dia baik, pemurah, rajin menolong, suka menderma, dan sebagainya tetapi tak pernah sembahyang, tak mahu tutup aurat...itu belum lagi dikira baik. Kalau dengan Allah dia bersungguh-sungguh beramal, dengan solat di awal waktu, puasa penuh beserta sunat Isnin dan Khamis tak pernah tinggal akan tetapi dengan keluarga bercakap kasar, tak beri nafkah, dengan jiran tak bertegur sapa...itu juga belum dikira baik.

Begitu antara intipati kuliah UKE yang buat julung kalinya berkumandang dari ketinggian 400m.



UKE sekali lagi menegaskan yang kejayaan sebenar manusia ialah apabila dia berjaya masuk ke syurga Allah. Bukanlah kejayaan itu diukur dengan kenaikan pangkat mahupun penambahan harta benda. Manusia selalu terpedaya dengan merasakan bahawa mereka sudah berjaya apabila dapat sekian-sekian harta, sekian-sekian kedudukan padahal apa yang diperolehi di dunia ini hanyalah semata-mata ujian. Kekayaan itu ujian. Kesusahan juga ujian. Kegembiraan itu ujian. Kesedihan juga ujian. Dalam kita mengharungi setiap keadaan, apakah kita bersabar dan bersyukur. Kalau tidak sabar dengan kesusahan, tidak gembira dengan kesedihan, nyatalah kita belum lagi hambaNya yang bertaqwa. Kalau senang sedikit sudah culas menunaikan solat, apatah lagi kalau senang banyak dengan nikmat duniawi melingkari sampaikan kita jadi semakin jauh dari Allah, nyatalah bukan mudah untuk menjadi insan yang bersyukur dan rendah diri.

Kufur nikmat itu apa? UKE kata kufur nikmat itu ada dua macam. Yang pertama, kufur nikmat itu ialah bilamana kita menyalahgunakan nikmat yang Allah beri. Misalnya, ada mata Allah beri untuk tujuan melihat benda-benda yang baik, kita guna pula untuk 'skodeng'. Kufur nikmatlah tu. Yang kedua, kufur nikmat itu ialah bilamana kita ada harta tapi tak mahu gunakan. Ada duit berjuta tetapi tak mahu beli kereta. Sanggup ke hulur-ke hilir naik basikal. Jadi, kalau berkemampuan tu gunakanlah. Jangan dok simpan...simpan...simpan...konon zuhud tapi sebenarnya kedekut ialah apabila kita meletakkan dunia di tapak tangan. Ada kita pakai, tak ada kita tak kisah. Bila-bila masa kita sedia berpisah dan tak sayang nak lepaskan.


 Macamana nak meraih kasih Allah ?


  1. Cuba jadi manusia yang bila dia bercakap, perkataannya baik dan menyukakan hati orang. Jangan asal buka mulut saja, buat orang sakit hati. Bercakaplah dengan bahasa yang elok. Jangan biasakan mengeluarkan kata-kata kesat dan lain-lain perkataan yang mudah menyinggung perasaan orang. Jadilah orang yang bila dia bercakap, percakapannya itu mendatangkan pahala. Nak selamat, hanya cakap benda yang kita tahu sahaja. Kalau benda yang kita tak tahu, jangan memandai-mandai nak bercakap juga. Adalah lebih baik kita diam daripada mengundang keburukan dan dosa.
  2. Selalulah memberi orang makan. Apa yang kita perlukan? Alhamdulillah, selalunya keperluan-keperluan hidup seharian ini, kita ada. Yang kita perlukan ialah doa. Doa yang baik untuk kesejahteraan kita di dunia dan akhirat. Bila masa kita boleh dapat doa? Antara cara yang paling praktikal ialah bila kita bersedekah, misalnya bagi orang makan...kalau kawan-kawan selalu dema cakap, "semoga makin murah rezeki engkau ye". Itukan doa. Tak dengar keluar dari mulut berdepan pun tak apa, asalkan terdetik dalam hatinya lagi pula ikhlas, insyaallah, dapat doa tu. Doa-doa mustajab yang tiada hijab dengan Allah ialah :
    1. Doa ibu dan ayah
    2. Doa orang yang dizalimi
    3. Doa orang yang sedang bermusafir
    4. Doa anak-anak yatim
    5. Doa fakir miskin
  3. Orang yang mengekalkan puasa. Maksudnya, bukan setakat dia buat puasa wajib bulan Ramadan. Tetapi juga dia melazimi puasa-puasa lain seperti sunat berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis serta hari-hari lain yang digalakkan mengikut sunnah Nabi.
  4. Orang yang membiasakan bangun solat malam ketika kebanyakan manusia lain sedang nyenyak tidur.


Dalam sibuk hendak meraih kasih Allah, jangan sampai melukakan hati manusia. Kita rasa kita banyak sangat amalan sampaikan kita rasa rimas hendak bergaul dengan orang lain yang kita anggap tak 'sebaik' kita. Hingga ada ketikanya, ketaksuban kita itu sampai menjauhkan orang. Membuatkan orang tak selesa bila ada kita.

Begitu juga, jangan anggap kalau kita sudah baik dengan manusia, kita sudah semestinya disayangi Allah. Walau baik budi pekerti serta ringan tulang membantu lagi berakhlak yang baik, kalau dengan Allah tak pernah merendahkan diri bersujud, menunaikan solat...jangan haraplah dapat meraih kasihNya walaupun satu dunia sukakan kita.

Kalau hubungan dengan Allah kita jaga, kita pelihara, insyaallah, hubungan dengan manusia juga akan baik terpelihara kerana apa yang kita harapkan bukanlah kasih manusia sebaliknya apa sahaja yang kita lakukan ialah dek kemahuan menggapai kejayaan paling besar iaitu masuk syurga Allah.

Harap padaNya dan buat keranaNya. Kasih sesama manusia bukan kerana mengharapkan imbalan manusia, kasih dan berbudi kerana menagihkan redhaNya. Itulah yang akan menyampaikan kita kepada apa yang kita hajati, dengan izinNya.