Wednesday, December 26, 2012

Celaru

Masya Allah...tak tertulis rasanya.
Nak tulis tentang apa, ya? (Tulis di sini bermaksud menaip papan kekunci laptop).

Nak tulis tentang kisah-kisah rutin terasa remehnya.
Nak tunggu yang remeh menjadi lebih bermakna...entah lama mana.
Entahkan yang remeh terus-terusan remeh.
Yang bermakna tidak kunjung tiba.
Mahu mencatatkan apa saja yang terlintas, takut jadi semberono.
Nanti dikatakan tulis tanpa fikir.
Entahkan mengundang salah faham

Semakin lama berfikir, semakin buntu idea.
Semakin ditapis, semakin menipis.
Apa maknanya?

Wah! Berteka-teki di hari yang suram muram dek ramai yang bercuti.
Bukankah itu remeh namanya?


Kalau sampai bermenung ke laut mencari ilham hendak menghasilkan sebuah entri...apa maknanya?
Kalau setiap kali menggubah entri, setiap kali juga disumbat ke dalam deraf dan tak tahu bila hendak siap untuk disiarkan...apa tandanya?

Nak kata sibuk, biasa-biasa saja.
Nak kata cemuih (jemu) pun rasanya tidak.

Yang nyata, diri semakin kritis dengan apa yang hendak ditulis.
Semakin meragui lama mana KL Traffic mampu bertahan

Sesekali rasa hendak tekan 'delete blog' hahaha...pueh ati!

Hemmm...nampaknya inilah catatan penutup yang paling keliru pernah dihasilkan untuk tahun 2012 ini.:)

Selamat bercuti semua.
Den nak tutup kodai ni haaa...
Harap jumpa lagi di tahun depan, insya Allah.

Maaf zahir & batin.

Wednesday, December 19, 2012

Berkongsi Nota

Dalam kelas hari Selasa, kami belajar ayat 53 surah Al-Baqarah. Allah berfirman yang bermaksud,

" Dan (ingatlah), ketika Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) dan keterangan yang membedakan antara yang benar dan yang salah, agar kamu mendapat petunjuk".


Sebagaimana Al-Quran, ciri-ciri kitab terdahulu yang Allah berikan kepada Rasul-rasulNya antaranya ialah sifatnya yang 'membezakan'. Al-Furqan (Pembeza). Apa yang dibezakan? Iaitulah keterangan tentang perbezaan antara kebenaran dan kepalsuan. Yang mana hak, yang mana batil. Kenapa ditampilkan sifat pembeza sebegitu? Kerana dengan yang demikianlah kita dapat mengenal kebenaran dan kebatilan seterusnya membolehkan kita beroleh hidayah lagi tidak tersasar dari jalan yang lurus.


Sebagaimana Taurat yang Allah turunkan kepada Nabi Musa, begitu jugalah peranan yang dibawa oleh Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar baginda Rasulullah S.A.W. Al-Quran sebagai petunjuk ini disebut dengan jelas dalam ayat 2 surah yang sama yang bermaksud, " Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa".


Malangnya hari ini, ramai daripada kita yang tidak menyedari kepentingan Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari. Kita tidak nampak hubungkait Al-Quran dengan kehidupan kita selain hanya sekadar ditonjolkan dalam upacara-upacara tertentu. Kalaupun dibaca, hanya sekadar bacaannya yang kita beri penekanan. Kita sangka hanya dengan membaca, sudah cukup Al-Quran itu dimanfaatkan padahal kita tidak memahami apa yang kita baca. Kita tidak memberi masa untuk duduk menghayati dan mempelajari makna ayat-ayat suci yang kita baca.


Soalan cepu emas Ustaz :


Antara yang berikut, yang manakah kita paling banyak habiskan masa untuknya. Adakah kita habiskan banyak masa untuk baca Al-Quran dan cuba memahami kata-kata Allah...? Ataukah kita lebih banyak habiskan masa untuk baca majalah, suratkhabar , FB untuk fahamkan kata-kata manusia?


Murid-murid segera mengaku salah dengan memilih jawapan yang kedua.


Apa hasilnya bila kita selama ini lebih sibuk hendak memahami kata-kata manusia dan tidak mengambil perhatian terhadap kata-kata Allah? Hidup kita akan tersasar. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Macamana hendak mendapat hidayah Allah kalau tak faham?


Disebabkan kita tidak faham dengan kata-kata Allah, maka itulah kita cenderung memiliki cara berfikir yang salah. Misalnya, nikmat adalah kehidupan. Nikmat kekayaan, nikmat pangkat, nikmat kesihatan...itu semua bagi kita adalah sebaik-baik kehidupan. Tidak hairanlah kalau bila berdoa kita selalu minta panjang umur supaya lebih lama masa yang ada untuk kita kecapi segala nikmat kehidupan tersebut.


Padahal nikmat yang sebenar lagi terbesar untuk seorang hamba ialah nikmat apabila taubatnya diterima Allah. Inilah sepatutnya cara umat Islam berfikir. Misalnya (contoh mudah sebagai perbandingan), antara hidup 25 tahun berbuat dosa dengan hidup 50 tahun berbuat dosa...yang manakah lebih baik? Yang 25 tahun kan...sebab tak lama sangat berbuat dosa. Jadi, dalam keadaan ini, mana yang lebih baik...? Umur yang panjangkah? Atau umur yang pendek? Hemmm...tiba-tiba rasa hendak umur yang pendek pula!


Maknanya apa? Panjang umur tetapi kalau kehidupan itu sentiasa bergelumang dosa dan berada di dalam kemurkaan Allah, tak ada maknanya! Sebab, sebagai hamba, matlamat kita hanya satu iaitu kita mahu mati dalam keadaan diredhaiNya. Mati macamana, mati di mana, mati bila...??? Itu semua tak penting, asalkan berkesudahan yang baik. Kalau fikir begitu, dah tentulah perkara paling penting yang kita kena pastikan ialah kita ini bersih dari segala dosa. Dan caranya ialah, kita kena bertaubat kepada Allah. Jangan tunggu-tunggu, jangan tangguh-tangguh sebab putik yang muda lagikan gugur, inikan pula putik tua.


Lihat bagaimana Nabi Yusuf A.S berdoa dalam doanya yang tercatat dalam Surah Yusuf ayat 101 yang bermaksud :


 " Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta'bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh".


Ini adalah doa yang Nabi Yusuf panjatkan sesudah bertemu semula dengan ayahnya Nabi Yaakub serta adik-beradiknya. Di kesudahan yang baik begitu, kalau kita lah...yang lama tak jumpa ayah yang sekian lama dirindui...adik-beradik pun dah jadi baik...punya harta dan kekayaan...bukankah kita akan minta, "mudah-mudahan panjang umur aku untuk nikmati semua ini...maklumlah, dah lama menunggu".Tidak bagi Nabi Yusuf. Bukan itu yang dia minta. Dia minta untuk wafat dalam keadaan Islam. Itulah sebaik-baik permintaan dan sebaik-baik kejayaan.


Kata Ustaz, syarat untuk mendapatkan cinta Allah, bukanlah dengan tidak berbuat dosa kerana kita manusia, mana mungkin terlepas daripada berbuat salah dan silap. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :


Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)


Untuk mendapatkan cinta Allah ialah dengan bersegera bertaubat apabila menyedari diri telah berdosa kerana Allah sayangkan orang-orang yang bertaubat, yang kembali kepadaNya bila tersasar.  


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :


Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )


Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah S.W.T yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.


Maksud firman Allah S.W.T :


Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31) 


(Taubat itu menguntungkan kerana ia menghapuskan dosa dan menyelamatkan kita daripada bakaran api neraka yang menyala-nyala)


Maksud Firman Allah S.W.T :


Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)


Pengajaran pengajian semalam yang dapat saya rangkumkan ialah perlunya kita merapatkan diri dengan Al-Quran dan menjadikannya bahan bacaan dan rujukan sehari-harian. Mudah-mudahan dengan cara itu akan membekalkan kita dengan petunjuk & hidayah Allah. Yang akan memberi panduan kepada kita tentang cara-cara mendekatkan diri kepada Maha Pencipta dan meraih redhaNya. Seterusnya menjadikan kita hamba yang tidak berputus asa menebus kesilapan dengan jalan bertaubat. 

Monday, December 17, 2012

Inspired!


Nameless
By: Yasmin Mogahed



There’s salvation in admitting defeat.
The peace of prostration.
Just stay still in that position,
With your head lowered.
Freeze.
Wait.

Stay humbled.
Wait.
Stay lowered. Until He raises you.

They’ve searched the world
for what can be found in the quietest corners of a room.
They search a million words for what can only be found in silence.
They create a million names for the nameless.
For what can only be found in wordless thought.
Nameless states.

Stop letting it own you.
Let it go.
Let it go for Him and He will honor you.
He will raise you.

I looked on every street corner,
Inside every store window,
In and through both heartache and beauty,
Inside the story within the story,
Behind the sheet music.

Names. We’re always looking for names.
We try to name all of it.
We think that if only we could name each chain,
they would all break.

Maybe I need to live between.
Between the words, the heart,
the space between earth and sky.
Maybe I could live there.
In the space between knowledge and understanding.
Between love and letting go.
In the place where it stops hurting to be so far away.
The place where you’re already there.
In the nameless.

He said, “She feels like a habit I’ll never break.”
Break.
Break, so you can break.
The strong fall so they can stand.
Fall.

There’s salvation in admitting defeat.
Adam (AS) admit defeat.
Yunus (AS) admit defeat.
Nuh (AS) admit defeat.
Ayoub (AS) admit defeat.
Muhammad (SAW) admit defeat.
How can you claim to be strong?

Berani Bermimpi

Betul...tanpa keberanian mimpi tidak akan menjadi kenyataan. Kalau tidak berani bertindak, mimpi hanya sekadar mainan. Err...bagaimana kalau saya tidak pernah mengimpikan sesuatu seperti itu? Justeru, saya katakan, saya tidak perlu merasa tercabar dengan kata-kata motivasi anda kerana ternyata, mimpi kita berbeza...err...wajar, kan?

Akhir-akhir ini kata-kata motivasi seperti tidak memberikan apa-apa makna. Di sebalik apa yang telah saya baca dan fahami, saya masih tidak terdorong untuk mengubah apa-apa yang mungkin kalau saya ubah bakal menjadikan saya seorang manusia yang luar biasa...huhuhu...saya tidak berminat untuk menjadi luar biasa. Luar biasa kaya. Luar biasa berpengaruh. Luas biasa hebat. Luar biasa bahagia.

Ada sesuatu yang tidak kena. Saya berpendapat dorongan dan rangsangan untuk berjaya ini kebanyakannya terhad untuk pencapaian di dunia. Ukuran yang ada lebih bersifat keduniaan. Ada jugalah diselitkan sikit seperti bila kaya, ada banyak duit untuk diinfakkan. Ada banyak peluang untuk bersedekah dan menyumbang di jalan Allah. Tetapi, itu semua nak tunggu jadi kaya dulu...nak kaya macamana? Katanya kalau nak buat bisnes tu...kenalah rajin datang kelas. Hujan ribut pun, jangan culas. Kutip ilmu daripada orang-orang yang sudah berjaya. Kalau penat orang akan kata kita tak cukup lasak untuk menghadapi cabaran...macamana nak berjaya? hahah...

Dan bila sudah naik setakah demi setakah...masa itu tentulah semakin bersemangat mengejar. Kena sangguplah jumpa rakan-rakan niaga berpotensi walau di mana jua. Jumpa untuk beri mereka bimbingan dan kata-kata semangat. Kejayaan mereka adalah kejayaan kita juga. Lepas tu boleh rasa bangga kerana kita turut mengubah kehidupan orang lain. Ke arah yang lebih baik? Agaknya lah. Kerana ramai orang rasa, banyak duit itu baik. Kaya itu baik. Soal samada kekayaan itu dapat menjadi alat yang akan meninggikan darjat kita sebagai hamba di mata Allah...itu soal lain.Hari lain cerita.

Saya cuma terfikir...kalau untuk dunia ini kita boleh bersungguh-sungguh menjayakannya, mengapa untuk kehidupan akhirat kita belakangkan dulu? Maksud saya, kalau untuk dunia yang kita bakal tinggalkan ini segenap jiwa raga kita curahkan, mengapa tidak boleh sama berpacu-pacu untuk akhirat yang bakal menjadi tempat tinggal kita yang ABADI?

Saya yakin kita boleh. Dah ada attitude yang betul untuk meraih kejayaan. Hanya perlu tukarkan matlamat hujungnya itu. Nak tukarkan matlamat itu kena ada kefahaman yang jelas tentang siapa kita dan apa tujuan kita dihidupkan di muka bumi ini. Kena faham dulu konsep hamba barulah kita jelas mengapa kita perlu buat segala perintahNya dan tinggalkan segala laranganNya.

Mungkin payah...tapi tak mengapalah, kita perlu memupuk motivasi ke arah mencapai matlamat sebenar.
In sya Allah, mesti teruskan usaha. Jangan putus asa dengan rahmatNya.

Inilah motivasi sebenar...ke arah memburu habuan akhirat.

 


Friday, December 14, 2012

Mensyukuri NikmatNya

"Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
(Surah Ibrahim 14 : 7)


Perkongsian dinding FB yang dikutip drp http://bbt-tudungbawal.blogspot.com

Mari Berkawan

Pagi ini saya terserempak dengan seorang teman lama. Rakan UUM. Kami bukan dari satu bidang yang sama. Kalau tak silap saya, dia belajar bidang Teknologi Maklumat. Nak kata kenal sangat tu tidaklah kerana kami hanya bertembung ketika sama-sama mengikuti kelas ko-k Seni Lakon. Walaupun terlibat sama dalam beberapa pementasan dan aktiviti kumpulan sepanjang 4 semester terakhir itu, perbualan kami lazimnya hanyalah menyentuh perkara-perkara berkaitan 'kerjaya' kami waktu itu sahaja. Dia seorang yang peramah dan banyak kawan. Saya pula seorang yang pendiam dan selalu rasa tak ada ramai kawan...hahaha...errr...

Dia menyapa saya ketika saya berjalan di hadapannya dengan muka 'blur'. Pertama, saya memang 'blur' a.k.a. rabun. Kedua, bila berada di khalayak ramai, saya biasa buat muka 'topeng'...'aku tak kenal kau, kau tak kenal aku' itu. Paling poyo pun, saya akan berjalan dengan memandang ke bawah, walaupun kebiasaannya saya seolah-olahnya berjalan mengangkat muka, sebetulnya saya jarang perasan apa-apa atau siapa-siapa yang ada di sekeliling...heheh...standard kera sumbang!

Apapun...syukur alhamdulillah, sebaik dia menyapa dan sebaik saya memfokuskan pandangan saya kepadanya...segera saya ingat dia siapa dan mampu bertindak-balas dengan sewajarnya. Saya pernah terpaksa berlagak berbual beriya-iya dengan seseorang semata-mata mahu mengambil masa agar ingatan saya ingat dia siapa. Berbual macam apa...dalam kepala "aiseyman...apa nama dia ni"...nak-nak kalau orang tu boleh panggil nama saya, kalau siap dengan binti lagi...lagilah haru...rasa 'tak patut betul' kalau lupa.

Ketika hendak melangkah masuk ke dalam tren, saya teragak-agak hendak duduk ikut dia atau tidak sebab saya pun tak pasti, apakah dia suka saya mengikut dia. Kadang-kadang orang suka bersendirian...lebih suka membelek buku atau handphone bila dalam tren. Dalam berfikir begitu, dia menarik lengan saya mengajak saya duduk bersamanya di tempat duduk yang selesa diduduki berdua. Opss...nasib baik la kawan perempuan kan...hahaha...Alhamdulillah, kami selesa berbual...tak sempat pun mengimbas cerita lama hanya sempat mengemaskini data-data terkini sebab dia perlu turun di stesen Bandaraya manakala saya meneruskan perjalanan ke stesen Masjid Jamek sebelum bertukar tren Kelana Jaya Line.

Saya kenal ramai kawan-kawan UUM yang ada di Kuala Lumpur ini . Ada juga sesekali terserempak. Tapi yang tak best tu...ada juga yang sepatah saya tegur, sepatah pula dia jawab. Jadi, kadang-kadang, saya sengaja biarkan tunggu tengok reaksi mereka dulu. Pernah sekali saya ramah menyapa...dalam lif yang ramai orang...dan dia boleh jawab macam orang sakit gigi. Agak termalu juga la saya masa tu. Nasib baik dah sampai tingkat 7...nasib la kan...

Dulu ada kawan yang mengomel bila susah nak ajak saya keluar. Almaklumlah, kita ni bukannya bujang trang tang tang boleh sesuka hati pergi mana-mana. Kalau pun ada masa di hujung minggu, masa itu untuk keluarga...tak bolehlah nak sesuka hati habiskan pergi main bowling dengan kawan-kawan. Bila kita cakap tak boleh, ada pulak yang kata kita dah lupa kawan la...tak mesra macam dulu la...heheh...sekarang bila mereka pulak akhirnya masuk dunia rumahtangga ini...nah...hilang lenyap entah ke mana. Tu la...bila cakap tu fikir-fikir la sama ye...jangan main sedap mulut je.

Kalau diizinkan Allah...bila jumpa saya, tegurlah macam dulu-dulu juga...tak ada masalah. Kalau saya lupa, maafkanlah saya...janganlah rasa kecewa pula kalau terpaksa mengingatkan saya....Dan hangpa pun sama la...jangan lah call saya lepas tu dok ajak saya main teka-teki...aduiiii..."nombor awak ni kawan kita si polan-polan bagi...ala...tak kan hang dah lupa, kan kita satu kumpulan masa teambuilding program matrikulasi dulu..." alllaaammmakkk...itu zaman tok kadok tu kawan....cuba spesifik sikit, "ala...saya la yang terambil beg awak dulu..." atau "kan awak jatuh terjelepuk depan saya sebab terlanggar akar"

...barulah kot saya ingat.

Hemmmm...adatlah kan...yang penting ikhlas dalam berkawan. Kalau ada...adalah. Kalau tak ada pun, taklah sampai berkecil hati.


Thursday, December 13, 2012

Pandang Ke Depan

Adoi la...lain kali pikiaq dua tiga kali la nak letak komen kat blog orang lain. Terutama yang ada syarat nak kena buktikan yang kita ni bukan robot. Serius susah! Nak komen punya pasal, empat kali cuba tulis huruf yang Aku rasa betul...tapi rupanya tak betul...aiii...nyaris tak kena hentak laptop ni. Tensen!!!

Blog Aku tak ada kot benda ni...kalau komen, komen tu tak immediately published. Kena filter dulu oleh tuan punya blog. Dan...bila lulus segala syarat (saringan ikut Kod Kandungan), barulah Aku siarkan. Heheh.
Maaflah menyusahkan. Ada yang komen berkali-kali sebab dia fikir komen dia tak keluar, itu yang dia buat lagi sedangkan komen tu dah masuk pun. Cuma belum dibaca. Itu yang jadinya boleh pilih komen yang terbaik hahaha...

Apapun, yang pentingnya ia menyedarkan Aku yang Aku ni semakin rabun...semakin tua dalam bahasa kasarnya so, sedar diri la kannn. Sedaq...sedaq...Petunjuk dah banyak...semakin kerap lupa, semakin kuat tersasul, semakin rabun...lenguh-lenguh sana...lenguh-lenguh sini. Dulu naik tangga, sekali langkah boleh cover 2-3 anak tangga (ikut saiz la kannn...), sekarang ni nak pijak satu-satu pun macam ada rintangan halimunan. Hemmm...

No regrets!!!

Aku gembira dengan segala yang telah dan sedang dihadapi. Semoga tetap mantap menghadapi laluan masa depan juga. Hidup ini sementara, bukan sebab sementara itu kita patut kata 'enjoy la selagi boleh"...tapi sebab sementara itulah kita kena rebut dan guna peluang yang ada untuk dunia abadi yang menanti sesudah segala kesementaraan ini berlalu.

 

Monday, December 10, 2012

Seadanya

Apa pasal ye...bila benda tu ada pada kita, kita tak rasa apa-apa.
Tapi bila benda tu ada pada orang...kita sibuk nak ambil tahu...
Padahal kita tak ada kurang apa pun...
Sama aje...
Tapi yang itu jugak le yang kita sibuk nak banding-bandingkan
Apa kena ni?

Penyakit hati!

Macamlah kau tak ada apa yang aku ada!

Itulah orang cakap, bab dunia ni, kalau tak puas hati jugak...tengok orang yang di bawah. Yang tak suka pakai cermin mata...tengok orang yang buta. Setidak-tidaknya engkau masih dapat melihat...dia???
Yang bawa kereta kecil, janganlah dok mengata yang bawa kereta besar tu berlagak. Bersyukurlah, cuba tengok orang yang cuma ada motorsikal . Bila hujan basah dia...awak tu siap berbumbung...sampai juga ke destinasi macam kereta besar. So, apa masalahnya?

Penyakit hati.

Dia naik pangkat,
lenguh mulut awak mengumpat.
Awak apa dapat?

Tak payahlah nak puas hati bagai...itukan rezeki dia. Rezeki awak mungkin dalam bentuk lain. Tak payahlah nak cemburu.  Ukuran dunia begitulah, serba tak kena. Serba tak memuaskan.

Belajarlah bersyukur dengan apa yang ada.

Wednesday, December 05, 2012

Penasihat 20 persen!

Saya faham ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk berada dalam situasi seperti itu. Apabila saya katakan saya faham, percayalah yang saya benar-benar maksudkannya. Saya bukan sekadar cuba menyedapkan hati sesiapa. Ianya sesuatu yang benar. Jadi, saya ikhlas ketika menyatakan pendapat saya dan sungguh, saya sudi memberikan sokongan untuk apa jua tindakan yang anda rasakan perlu. Saya tidak mampu mengatakan sesuatu pilihan itu sebagai "betul" atau "salah" kerana saya tidak bersedia untuk menjadi hakim. Setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangan, tetapi kalau itu yang anda hendak halusi satu persatu sehingga di akhirnya anda akan mampu memilih dengan ralat kosong...saya rasa semuanya bakal menjadi tidak relevan lagi dan segalanya sudah terlambat.

Saya tidak dapat membantu anda mendapatkan jawapan yang pasti walaupun saya punya pengalaman yang seakan sama kerana ternyata cara penerimaan dan cara kita menangani perkara ini sangat berbeza. Namun itu tidak menjadikan pendapat saya selama ini sia-sia belaka, malahan, saya berkeyakinan ianya boleh membantu anda mencari jalan keluar. Masalahnya ialah bilamana anda sendiri tidak tahu apa yang anda mahukan.

Bagaimana mungkin kita mencari penyelesaian kalau anda sendiri tidak menetapkan sasaran dan tujuan. Katakan anda memandu kereta dan bertembung dengan simpang yang pelbagai lalu buntu memilih laluan. Tidak guna saya bercerita kelebihan dan kebaikan sesuatu jalan sekiranya saya tanyakan apa destinasi anda dan anda cuma mampu menggelengkan kepala dan dengan nada rendah menjawab yang sebetulnya anda belum ada arah tuju dan hanya mengikut kemana kereta yang dipandu sampai. Saya tidak boleh memaksa anda supaya pergi ke destinasi A walaupun berdasarkan pengalaman saya merasakan destinasi A adalah destinasi terbaik. Mungkin saja destinasi A yang berupa pantai yang indah itu tidak anda gemari kerana anda seorang yang alergi dengan deru ombak...well...manalah saya tahukan? Saya juga tidak boleh menggertak anda supaya jangan pilih jalan ke destinasi B yang berupa kawasan tanah-tinggi lantaran pengalaman ngeri saya terserempak dengan hantu bungkus di sana (contohhhh!!!) kerana tidak semestinya perkara yang sama akan terjadi kepada anda.

Saya berada di sini cukup sekadar untuk memberikan pandangan. Anda pula sewajarnya mempertimbangkan saranan dan pendapat saya itu setelah anda sendiri menyesuaikannya dengan keperluan diri.Tidak ada yang mana betul dan yang mana salah. Dan tolonglah, pastikan segala fakta telah ada perolehi supaya anda benar-benar jelas dan mampu membuat keputusan yang berilmu, bukan membuat keputusan untuk memuaskan hati majoriti atau membuat keputusan atas dasar kasihan.

Fikirlah semasak-masaknya.

Saya tunggu di sini.




Tuesday, December 04, 2012

Sihat Sebelum Sakit

Ada banyak benda yang boleh dibuat sekarang, ketika diri masih menikmati tahap kesihatan yang baik. Akan tetapi, nikmat yang satu ini jarang-jarang kita hargai kerana kita selalu terlupa yang kesihatan yang baik itu sebetulnya sesuatu yang dipinjamkan dan hanya bersifat sementara. Kita hanya ingat tentang betapa beruntungnya memiliki kesihatan yang baik bila diri diuji dengan kesakitan. Hanya pada ketika itu kita mula tahu untuk menghargai.

Meskipun ketika kita masih sihat segar bugar ini, kita banyak menangguhkan perkara-perkara yang sebenarnya bakal memberikan manfaat yang besar kepada kita. Misalnya, menjawab laungan azan. Berapa ramai yang apabila azan berkumandang, boleh selamba meneruskan perbualan atau kerja? Masih ada majlis yang berjalan seperti biasa dengan semua orang berlagak seperti tiada apa yang berlaku padahal azan sedang jelas kedengan berkumandang di udara. Semasa kita masih sihat dengan lidah kita masih boleh kita gerakkan, boleh bertutur, jawablah azan. Jawablah dengan ikhlas dan bersungguh kerana fadhilatnya sangat besar iaitu "daqola jannah" (masuk syurga). Harus dilakukan dengan pakej lengkap iaitu menjawab dan juga disusuli dengan doa sesudah azan.

Sekarang Allah beri kita peluang dengan nikmat kesihatan yang kita selalu lupa syukuri. Malangnya kita buat endah tak endah. Jangan biarkan azan berlalu hari demi hari, waktu demi waktu tanpa kita mempamerkan kesungguhan kita untuk merebut tawaran yang Allah sediakan. Apakah tidak cukup berharga ganjaran yang disediakan? Apakah sebuah syurga itu belum cukup mengujakan? Atau sebenarnya, ya...kita tahu, kita maklum tetapi alah...bukan sengaja, kadang-kadang tak perasan, bukannya kita buat benda yang mungkar pun. Dah gitu? Cubalah. Buatlah sesuatu sementara kita masih mampu. Takut-takut Allah kelukan lidah, baru hati meronta-ronta mahu menjawab azan. Pada ketika itu sudah tak ada maknanya kerana diri sudah terbujur dengan nyawa sudah berada di kerongkongan. Masa dah sakit, diri terlantar tidak boleh cakap apa-apa. Tiub-tiub berselirat masuk di setiap rongga hidung dan mulut. Ketika itu satu benda pun kita tak mampu buat lagi hatta menggerakkan lidah. Kemudian barulah akan datang kekesalan bahawa selama diri diulit sihat, kita tak pernah pun memikirkan tentang menjawab azan. Kini bila kita sudah tidak berdaya, baru kita sedar, amalan sedikit yang kita pandang remeh itupun kita tak daya nak buat...nak cakap tentang solat...lagi jauh panggang dari api!

Di waktu-waktu kita masih sihat ini, sentiasalah cuba memperbanyakkan zikir kepada Allah. Sesiapa yang Allah berikan dia nikmat...nikmat kesihatan, nikmat kekayaan, nikmat kebahagiaan...ucapkanlah alhamdulillah. Kalau sedang kesempitan rezeki, perbanyakkanlah ucapan astaghfirullah. Kalau sedang di dalam kesusahan dan runsing, sebutlah  la hau la wala quwwata illa billah. Di waktu-waktu sihat begini juga, ciptakan kesempatan untuk bangun malam bertahajjud. Kalau sudah sakit, jangankan yang sunat, yang fardhu pun belum tentu.

Begitulah seorang yang bertaraf hamba sepatutnya lakukan, menghambakan diri dan tahu mengambil hati Tuannya. Berkhidmat dengan bersungguh-sungguh menggunakan kelebihan yang ada...kelebihan kesihatan, kelebihan kelapangan, kelebihan rezeki, kelebihan usia dan kelebihan nyawa...sebab nilai usaha kita diwaktu-waktu begini adalah lebih berharga berbanding waktu-waktu kita sudah terlantar, sudah kesempitan, sudah tua dan semakin menghampiri penghujung nyawa...di saat-saat itu kita sudah terlambat untuk menunjukkan ketaatan dan keikhlasan kita dalam beribadah. Di hujung-hujung waktu begitu seolahnya kita beramal kerana itu saja pilihan yang kita ada. Kita terpaksa kerana kita tahu kita sudah hampir mahu pulang dan masa yang sedikit itulah mahu kita bergunakan untuk menebus kekesalan.

Benar Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, tetapi mengapa memperjudikan masa depan akhirat kita semata-mata menuruti hawa nafsu yang tidak akan membawa kita ke mana-mana? Dan ilmu benar-benar akan menyuluh jiwa dan menguatkan akal. Carilah ilmu semoga ilmu yang bermanfaat itu akan terus menyuburkan keazaman kita untuk memperbaiki diri agar menjadi hambaNya yang benar-benar bertaqwa.

Friday, November 30, 2012

Fobia

Selalu risau
Memang kacau
Takut jadi sasau

Selalu gelisah
Memang susah
Jangan sampai parah

Selalu bimbang
Memang tak tenang
Setiap masa terkenang

Selalu buruk sangka
Yang benar pun jadi dusta
Ada-ada belaka

Selalu membuat andaian
Semuanya berkemungkinan
Cepat-cepat ingat Tuhan

Tepis-tepislah
Walau dengan helah
Tapis-tapislah
Walau terpaksa mengalah

Thursday, November 29, 2012

Pengajaran

Tidak berapa lama dulu, saya ada mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu yang terletak di Aras 3, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka kerana keperluan tugas. Sebetulnya, tahun ini juga sudah beberapa kali saya ke DBP, termasuk disebabkan oleh keperluan mendapatkan buku-buku sekolah yang ada dijual di aras bawah menara tersebut. Apapun, dalam kunjungan terakhir saya, saya sempat melencong dengan menyelak beberapa naskhah yang menarik perhatian. Dan saya tertarik dengan suatu kajian yang dilakukan oleh seorang yang berbangsa Inggeris bernama William R.Roff yang telah mengkaji Surat-surat Khabar Melayu untuk memahami budaya dan pemikiran orang-orang Melayu pada zaman awal penerbitan surat khabar Melayu dulu.

William R.Roff nyata tertarik dengan Al-Imam lalu beliau mengongsikan beberapa petikan yang menggambarkan keperihatinan tentang masa depan Melayu berupa suatu bentuk kritikan terhadap sikap orang-orang Melayu serta saranan untuk suatu perubahan.

Sayyid Shaikh meneruskan, adalah "se-busuk2 tipu daya dan se-dusta2  angan2." Kerana yang bersalah itu ialah kita sendiri. Kita yang telah ingkar kepada Tuhan. Kita yang telah menolak segala ajaran2 dan firman2Nya di dalam kitab suchi Al-Quran yang menggalakkan kita berusaha untuk diri sendiri dan untuk orang lain, dan yang menyuruh kita senantiasa menuntut ilmu". Kata Sayyid Shaikh lagi : "Yang bersalah besar ialah pemimpin2 kira, yaitu Raja 2 dan Orang2 Besar sekelian yang telah menindas orang2 miskin dan menghabiskan harta benda mereka sendiri dengan jalan minum dan berjoget. Mereka inilah, kata Sayyid Shaikh, yang membawa kechelakaan kepada kita semua, dan telah menyebabkan orang2 Melayu jadi serba merosot kerana mereka chuai, kerana mereka lupakan kewajiban mereka kepada orang ramai. Bandingkan pula, kata Sayyid Shaikh lagi, keadaan ini dengan keadaan orang2 China yang datang kemari ke negeri ini. Mereka tiba dengan segulung tikar dan pakaian sehelai sepinggang sahaja. Akan tetapi mereka giat berusaha dan selepas masa yang singkat saja mereka telah menjadi tawke2 dan jutawan2. Adakah pula usaha mereka itu berhenti setakat itu saja? Tidak, sebab pemimpin2 orang China bersikap lain sekali kalau dibandingkan dengan ketua2 kita. Mereka selalunya berkumpul da ber-sama2 mereka menubuhkan lembaga2 kebajikan dan mendirikan sekolah2 bagi orang2 sebangsa mereka. Seterusnya kata Sayyid Shaikh, sekiranya mata dan telinga kita tertutup kepada kehendak2 agama kita, akan tetapi apakah kita ini sedemikian bebal dan bingung hingga tak terdaya kita mengikut jalan yang telah dirintis oleh orang2 China yang rajin dan berusaha itu?"

Wah! Bersemangat betul seruan Sayyid Shaikh. Hujahnya ini tepat menggambarkan kemashgulan pemimpin2 majalah Al-Imam terhadap keadaan orang2 Melayu pada masa itu. Tetapi harus kita perhatikan disini bahwa mereka ini tidak langsung  menyentuh penjajah, yaitu orang Inggeris dinegeri ini. Serangan mereka se-mata2 ditujukan kepada orang2 Melayu sendiri. Rasa saya, pada masa sekarang ini, kita akan mengganggap kritik itu sebagai terlalu bengis dan keras, tetapi pengarang2 majalah Al-Imam merasa perlu bersikap demikian. Tujuan utama mereka bukan untuk menukar suasana politik yang ujud ketika itu. Malahan mereka menganggap penting memperbaiki keadaan serba meleset orang2 Melayu itu, dengan chara menggalakkan mereka kembali kepada mengamalkan ajaran2 agama Islam yang sejati. Lantas mereka menchela dengan keras chorak agama Islam yang berselaput dengan petua2 yang kolot dan palsu yang ketika itu dianuti oleh orang2 Melayu.

Isi kandungannya telah saya tatapkan dengan teliti. Oleh sebab majalah ini chenderung kepada agama Islam, jadi tidak mengherankanlah jika makalah2nya banyak yang bersifat pengajaran didalam agama Islam. Misalnya kita dapati suatu siri yang amat panjang berkenaan dengan sejarah kaum muslimin yang telah diterjemahkan daripada buku yang terkenal didalam bahasa Arab.Kemudian ada pula suatu siri lagi yang telah dikumpulkan daripada ber-bagai2 sumber, yang bertujuan menunjuk jalan yang betul untuk didikan anak. Tetapi bukan makalah2 yang berchorak begini yang paling digemari seorang ahli sejarah kemasyarakatan. Boleh kita katakan bahwa agama Islam bukanlah se-mata2 merupakan suatu sistim atau dasar keperchayaan didalam hal2 keagamaan saja, malahan lebih tepat kalau  dianggap agama Islam itu sebagai suatu ranchangan politik dan sosial untuk membentuk suatu masharakat yang sihat dan sempurna kehidupannya. Jadi pembaru2 agama Islam disini, dan di tempat2 lain lagi, telah menunjukkan pandangan mereka bukan se-bulat2nya kepada pengajaran hal ihwal agama, akan tetapi mereka merasa lebih perlu  menilik keadaan2 kemasharakatan , siasah dan ikonomi orang ramai.

Betapa pada masa itu lagi telah ada kesedaran tentang kelemahan penghayatan agama Islam yang telah menyumbang kepada kepincangan dari segi pembangunan ummah. Kelemahan ini telah dikenalpasti dan seruan agar orang-orang Melayu kembali mengamalkan ajaran-ajaran agama Islam yang sejati telah dicatatkan dengan jelas. Dan kita juga tahu bahawa naskhah-naskhah ilmiah seperti itu tidak pantas menarik perhatian pembaca dan dengan itu kita maklum bahawa masyarakat pada masa itu kurang memperhatikan tentang pembaikan agama menyebabkan tokoh-tokoh agama yang lantang menyeru kepada pengamalan agama yang sejajar dengan syariat Islam itu dilihat seperti membuat 'pembaharuan' agama...padahal yang sebenarnya ialah hanyalah mereka ini menyatakan apa yang sepatutnya dilakukan, yakni membetulkan kefahaman dan amalan.

Ada banyak yang boleh dikupas daripada sedikit petikan kajian tersebut perihal bangsa kita pada masa itu. Malahan catatan ini saya kira masih relevan dan menggambarkan permasalahan yang kini dihadapi oleh generasi bangsa Melayu di era penuh kemodenan ini. Apa yang pasti, tidak kira era baru atau lama...satu-satunya rujukan yang akan tetap kekal relevan sepanjang zaman ialah mukjizat Al-Quran yang Allah beri kepada umat Islam.

Tidak syak lagi satu-satunya cara untuk umat Islam kembali bersatu adalah dengan memahami dan mendalami Al-Quran. Sayangnya apa yang berlaku kini ialah kita semakin jauh dengannya. Motivasi untuk diri sendiri dan sesiapa yang sudi mengambil pertimbangan atas saranan yang tidak seberapa ini..."Al-Quran itu kalam Allah. Kalau mahu dengar Allah berkata-kata dengan kita...sentiasalah membacanya".

(Bukankah ianya satu tamparan apabila seseorang yang bukan sebangsa dan seagama sanggup bersusah payah membuat penyelidikan supaya mendapat kefahaman tentang kita...dan kita pula hanya sekadar membuka mulut tunggu disuap dan jarang sekali mahu bersusah payah memahami tentang banyak perkara termasuk memahami agama yang kita anuti sendiri...pelik!)

Wednesday, November 28, 2012

Zoo 2012

Alhamdulillah, semasa  balik ke Perak sempena cuti baru-baru ini , kami sempat singgah ke Zoo Taiping. Cuaca sangat baik dan cerah. Ketika sampai sudah pukul 11.00 pagi sebab kami keluar dari Lenggong sedikit lewat dari perancangan awal.


Seronok nyer! Kalau ikutkan, nak habiskan masa berjam-jam dekat sini biar puas hati meneroka segenap pelusuk ceruk rantau hidupan di zoo ini...tapi kan, bila cuaca sudah semakin membahang dan ada agenda lain lagi yang hendak dikejar, terpaksalah pilih-memilih juga akhirnya. Oh ya, boleh naik tren sebenarnya tapi kami tak mahu sebab tak seronok kalau lawatan habis cepat sangat, lagipun nak tengok dekat-dekat bagi anak-anak puas hati.

Harga tiket bagi pengunjung dewasa sekarang ialah RM12. Kanak-kanak RM8. Warga emas RM10. Patutnya, bayar RM50. Tapi kami cuma dikenakan bayaran RM40. Hemmm... Sebelum tu dia tanya, datang dari mana? Kami jawablah, Kuala Lumpur. Err...mungkin ada diskaun untuk pelancong kot...hehehe...



Sekumpulan chimpanzi sedang seronok berjemur di persekitaran yang disediakan sesuai dengan tabiatnya yang suka bergayut tu.

Orang Utan 'betina' yang kesunyian...atau sedang menghadapi krisis pertengahan ...haha..agaknyalah kot. Sebab apa, masa saya nak ambil 'pose' yang lebih menarik, dia boleh buat muka bosan dan sejurus lepas saya snap gambar ni, terus dia pusing belakang.



Beruang Matahari! Haiii...semuanya pemalu belaka...tunggu punya tunggu dia tak toleh jugak! Jadilah dapat gambar belakang pun. Agaknya dia dok renung muka dia dalam air tu sambil kata, "alamakkk...jerawattt!!!"


Yang menariknya tentang Zoo Taiping ini ialah persekitarannya yang semulajadi. Ada banyak pokok dan saliran yang bersesuaian. Tak ada bau tengik. Seolahnya memang dalam habitat asal. Sampaikan biawak yang tidak dibela pun (saya rasalah...), bebas berkeliaran sesuka hati.


Aksi manja sang singa yang sudah kekenyangan. 



Kura-kura tiga beradik melepak di pinggir kolam. Salah pandang ingatkan batu!


Monyet pun bebas berkeliaran. Tengok atas pokok, riuh-rendah diaorang bergayutan tak hiraukan pengunjung. Tak ada pula yang datang dekat meminta makanan atau apa...rasanya, memang diaorang ni telah diberi makanan yang mencukupi. Sebab tu tak ada yang ganggu pengunjung. Bagus, kan?


Buaya tembaga sedang berjemur. Seronok la dapat tengok buaya ni, ingatkan memang dah paling dekat dengan kami. Rupanya kat tepi-tepi kandang tu lagi banyak yang bersidai siap pejam mata tido...nak sentuh dengan hujung jari pun lepas...hish...sekali dia ngappppp...serammm!!!



Yang ini memang la gila glamer sikit. Semasa kami sibuk nak tengok ikan naga (arapaima gigas) yang besar tu...dia dok kat atas buat macam-macam aksi akrobatik. Ok lah...kasi can la...halakan jer la muncung kamera tu kat dia bagi dia pueh ati...hehehe




Ini gambar berhampiran pintu masuk. 



Orait...selesai sudah lawatan ringkas ke Zoo Taiping. Jom bergambar ramai dulu sebelum balik. Kepada yang belum ada perancangan, bolehlah pertimbangkan untuk ke sini. Silalah berkunjung ke negeri Perak Darul Ridzuan ye...

Monday, November 19, 2012

Koreksi Diri

Kata Ustaz Fawwaz ketika kuliah tengahari tadi, " Allah tidak akan menolong kita kerana kejahatan musuh tetapi pertolongan Allah datang kerana ketaqwaan kita terhadap Allah".

Yakni, katanya, Islam tidak memerlukan kepada kita (penganutnya) untuk menang tetapi kita amat perlu kepada Islam untuk menang.

Faham?

Yang faham tu dah ada sikit-sikit ilmu kasyaf ilhami...:)

Lihat ke dalam diri kita dulu apakah yang telah kita lakukan untuk agama kita. Bak kata TV AlHijrah, segalanya bermula di sini. Di mana? Di dalam hati kita...di dalam diri sendiri. Pastikan ibadat yang kita lakukan itu bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya. Jaga diri dan keluarga. Bila semua orang buat benda yang sama, in sya Allah...kekuatan itu akan mula terbentuk dan menebar luas.

Bila jaringan umat itu bersatu dan berpadu atas satu landasan yang sama...maka di situlah Islam akan kembali mengambil takhtanya. Tidak syak lagi. Janji Allah adalah benar. Tetapi kita tidak boleh berpeluk tubuh menunggu dan membiarkan saudara-saudara kita diperkotak-katikkan sesuka hati. Sekurang-kurangnya, hantarkan doa untuk mereka, mudah-mudahan Allah permudahkan untuk mereka melalui pahit getir pengorbanan dan melembutkan hati pemimpin2 kita untuk kembali mencari titik penyatuan.


Saturday, November 17, 2012

Cubit Paha Kiri...

Pagi-pagi ini bergenang airmata melihat jenazah anak kecil yang tidak berdosa. Hati ibu yang mana sanggup melihat sedemikian rupa anaknya diperlakukan. Luluh melihatnya. Itu pandangan mata biasa.

Namun, bagi pandangan mata hati...ketahuilah, anak itu tempatnya di syurga Allah yang mewah dengan segala kenikmatan. Dia menempuh siksa sekali untuk sebuah kebahagiaan yang abadi. Alangkah beruntungnya dia dan para syuhada yang lainnya, mendapat tiket ke syurga.

Jangan dikesalkan kematian yang nampak kejam namun disebaliknya adalah jemputan dan  anugerah paling mahal untuk mereka yang terpilih. Kita yang patut menangisi diri kita ini yang hanyut dan dibuai lagha. Jangan sampai kita dijemput dalam keadaan kita lupa dan mabuk dengan keindahan dunia.

Kita yang patut menangisi nasib kita yang entah apa sudahnya. Sedih kerana kita hanya mampu memandang kerana kita masing-masing hanya berminat untuk menjaga tembolok sendiri. Kita lebih suka berpecah untuk kepentingan peribadi. Perpecahan itulah yang membuatkan kita kini seperti ulam-ulaman yang seenaknya diratah. Lalu untuk apa kita menjerit dan membentak-bentak meminta si peratah durjana menghentikan kemungkarannya? Kerna apa dia harus takut? Dan kuasa apa yang kita ada?

Kalau pun kita ada kuasa, apakah kita akan gunakan kuasa itu? Lihat sahaja betapa kita miliki sumber paling berharga berupa emas hitam itu...kita mampu kuasai seisi dunia ini. Tapi apa yang kita buat?

Kita duduk diam-diam, jaga tepi kain sendiri!

Ya, mereka dibunuh. Ya, mereka mati. Tetapi mereka pergi dengan penuh bermaruah. Dengan tidak sedikit gentar dan takut berdepan kematian.

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh para muslimin di seluruh dunia yang mati kerana mempertahankan agama, bangsa dan negaranya.

Amin.

Wednesday, November 14, 2012

Hijrah

Alhamdulillah, akhirnya selesai juga.


Hisham dan Aiman telah selamat dikhatankan di Klinik Kita yang terletak berhampiran rumah. Mula-mula ingat nak khatankan di kampung, tapi bila difikirkan semula...biarlah kami uruskan sendiri. Mujur mak ada, adalah tempat nak merujuk.

Budak berdua ni mula-mula macam tak kisah sebab saya sudah  kongsikan perancangan untuk berkhatan ini dengan mereka semenjak dari tahun lepas lagi. Tetapi menjelang hari yang dinantikan...nampak diaorang berdua ini sudah mula gabra.


Ramai juga yang menyahut cabaran "Jom Potong" anjuran Klinik Kita ni. Saya awal-awal lagi dah bagitau, saya nak giliran awal. Tak mahu lambat sebab takut doktor dah letih...maklumlah, budak ramai...kalau doktor letih, risau la kan...hehehe...memang pun, mak diaorang yang rasanya lagi gabra.

Kaedah yang digunakan ialah kaedah laser, sebelum tu bius setempat dulu...lepas kena bius,diaorang disuruh berehat 5 minit dulu sebelum prosedur berkhatan dilakukan. Masa kena bius ni,Aiman dah 'panik' dah...muka pun serius ja...Bila doktor panggil masuk sekali, saya dah risau takut ada yang nak cabut lari nih...tunggu masa je...alhamdulillah, nasib baik dia tak sempat fikir ke situ. Saya konon buat 'muka tak heran'la...bukan apa, takut kalau kita buat muka simpati dan tunjuk kesian, dia jadi manja pulak!

Abang Hisham 'cool' aje...heheh...kebetulan ada kawan sekolah yang juga menanti giliran...lagilah kena kontrol macho. 


Alhamdulillah, lega sangat-sangat...kami sekeluarga selesai melalui 'cabaran' ini.Bila balik rumah, mak dia yang terlebih kreatif menggunakan meja yang lebih praktikal dan mudah alih...hahah...well...nak gantung kat mana? Tak de tempat nak menggantung...so, belasah jer lah ,kan?

Alahai...dah bosar anak-anak omak ni...



Friday, November 09, 2012

Sentap

Hurmmm...saya menerima satu lagi notis mengatakan yang emel saya kepadanya telah dipadamkan tanpa dibaca. Ini bukan kali pertama saya menerima maklumbalas sebegitu. Boleh dikatakan hampir semua emel saya kepadanya menerima nasib yang sama. Ayat "Your message to XXX was deleted without being read on XXX" sudah acap kali muncul. Saya rasa seperti hendak menyahaktif kan pemberitahuan mesej itu tetapi fungsi itu saya hidupkan semenjak dulu-dulu lagi supaya senang saya hendak follow-up dengan penerima-penerima emel saya bila keadaan memerlukan. Juga supaya saya tahu mereka ini sudah terima atau tidak mesej, ada atau tidak di pejabat. Bukan supaya saya sakit hati.

Saya bukan tak pernah terima notis seperti itu sebelum ini. Pernah. Cuma yang tak pernah ialah bila terima notis yang sama berulang-kali daripada orang yang sama. Seolah-olahnya dia memang tak suka hendak baca emel saya. Padahal saya pun bukan suka-suka hendak emel kepadanya juga. Bila saya tengok coraknya begitu, saya terus malas hendak emel terus kepada dia. Selalunya saya hantar kepada orang tengah sahaja.Tetapi kalau sekiranya dia ada dalam senarai cc...saya tidak dapat mengelak terpaksa letakkan dia dalam senarai cc juga bila membalas emel tersebut. Tapi yang peliknya, dia tetap akan memadamkan emel saya. Begitu??? Ada isu apakah dia dengan saya? Wallawehhhh...pelik ni, saya tak pernah cari pasal lagi selama ini...eheheh.

Aduh...tolonglah...saya ini sebenarnya memiliki sekeping hati yang sangat sensitif, mudah benar tercalar. Episod saya bagi salam padanya dulu tetapi dia angkat muka pun tidak itupun masih berbekas dalam ingatan, janganlah menyemakkan fikiran saya dengan persoalan mengapa dan kenapa dia harus melayan saya sebegitu sedangkan saya bukanlah satu ancaman untuknya. Saya juga tidak bekerja satu jabatan dengan dia. Tidak juga satu bangunan pejabat dengannya. Hanyalah kerana keperluan projek extra ko-k itulah pun kami dipertemukan di bawah satu pasukan. Itupun saya tidak pernah kacau dia. Betapalah tertekannya saya bilamana kami terpaksa berkurung seminggu lamanya menyiapkan tugasan bersama tahun lepas dan saya sepanjang masa itu mencuba untuk 'menatangnya bagai minyak yang penuh' kerana reputasinya yang saya pernah dengar sebelum ini. Saya mengambil pendekatan bersabar walaupun dia sengaja mencabar kewibawaan saya. Ikutkan hati saya memang nak blah aje...tapi sebab memikirkan ini tugas yang diamanahkan, saya tahan sahajalah.

Aduh...saya harap sangat saya tidak terbawa-bawa dengan sikapnya itu sehingga mengganggu kelancaran kerja saya untuk projek ini. Saya ada meluahkan rasa begitu kepada ahli kumpulan lain dan saya dimaklumkan, "she's having problem to work with almost everyone"...errr...kalaulah saya boleh merasa lega sebab rupanya bukan saya seorang yang kena...

Hemm...tapi saya masih rasa tak lega...tertanya-tanya di mana silap saya. Kalaulah ada tutur kata yang tidak menyenangkan hati, sekurang-kurangnya kalau diketengahkan...bolehlah saya perbaiki di mana yang patut.

Tapi kalau dia tetap nak layan saya begitu...hemmm...apa boleh buat, kan?
Redha aje lah...

Senang saya nasihatkan orang..."eh...yang ko takut sangat kalau dia mengata ko apehal? Ada gaji dia kena bagi kat ko separuh ke? Ada ko hutang beli rumah dengan duit dia ke? Ada dia bagi ko anak beranak makan ke? Tak ada kan??? Kalau tak ada...ko bo layan jer la...."

Bila kena tang batang hidung sendiri...tak tahu nak beraksi macamana aduiiii...sensitif la pulak... alahaiiiii...makan dalam lagilah nampaknya ni...huhuhu...

Thursday, November 08, 2012

Harga Sebuah Kerusi

Sehari dua lalu, sementara menunggu jam enam untuk slot Islam KTP, saya sempat menonton sambil lalu beberapa saluran termasuklah TV9. Seketika, saya berpeluang menonton rancangan pendek yang dinamakan 'Berita Adik'. Mulanya saya teruja juga pertama kali lihat program sedemikian dan tertanya-tanya apalah agaknya yang akan disajikan kanak-kanak cilik ini.

Muncul seorang kanak-kanak perempuan yang ceria dengan nama 'Alisya'.

Dia memperkatakan tentang sambutan hari Halloween. Antara yang saya ingat ..."tak takutkah menyambut hari Halloween ini? Hari Halloween ialah tentang roh dan kini disambut meriah (bukannya tentang hantu dan kubur yang menakutkan). Lalu dibawakan cerita sambutan di Bangsar yang menunjukkan kanak-kanak ceria mengenakan pelbagai kostum Halloween dalam satu pertandingan kostum.

Yang digambarkan ialah kemeriahan dan keseronokan...Dan itulah satu-satunya berita yang dipaparkan untuk slot Berita Adik itu yang diakhiri dengan kata-kata Alisya yang menyatakan dia pun nak cuba pakai kostum begitu tahun depan...mana tahu boleh menang pertandingan.

Okay...saya mungkin tak cukup trendy dan semasa. Saya masih tidak nampak kewajaran berita seperti itu...di sebuah negara yang agama rasminya Islam. Berita Halloween. Biar betul??? (boleh google baca sejarah sambutan Halloween yang berasal daripada amalan paganism, yang kemudiannya ditokok-tambah oleh pengaruh ajaran agama-agama Roman dan Kristian Katolik)

Sebenarnya bukan tentang Halloween sahaja. Kebetulan ini contoh yang 'menyerah diri' di depan mata. Yang membimbangkan saya ialah tentang sikap bertoleransi yang berlebihan yang menjadikan umat Islam kini kurang sensitif. Perasan tak, perayaan Easter tu pun sudah muncul siap dengan iklan di akhbar. Memang masih kecil seperti sekadar tema makan malam di hotel dan promosi membeli-belah...namun yang kecil itu kalau dibiarkan akan menjadi melarat dan terus giat dikormersil. Sudahnya melekat kuat tak boleh tanggal lagi seperti mana meriahnya sambutan Tahun Baru dan Valentine.

Inikah yang akan kita angkat menjadi budaya dan amalan yang konon-kononnya boleh memupuk keharmonian dan integrasi antara masyarakat majmuk.

Hemmm...apa lagi yang akan kita jual demi kepentingan sebuah kerusi?


Alkisah Teksi

Jom berbaik dengan pemandu-pemandu teksi.

Entah kenapa pagi itu hati saya jadi lembut pula melihat gelagat pemanduan sebuah teksi yang sepertinya sedang dalam kesusahan. Ya, saya lembut hati pagi itu sedangkan selalunya kalau memandu tak tentu arah macam itu dan menyebabkan saya terpaksa memperlahankan rentak pemanduan akan menjadi pemangkin pencetus jiwa agresif saya. Mungkin sebab pagi itu redup dan syahdu. Juga mungkin kerana saya sudah lali dengan 'kebengongan' lampu isyarat di persimpangan Jalan Pantai Baharu itu yang terlampau cepat bertukar warna sehingga saya memilih untuk mengambil sisi yang positif iaitu...lebih banyak masa untuk melayan CD zikir saya...hahaha...itulah petuanya untuk mencapai tahap ketenangan di atas jalan raya...

Dan sebaik melepasi persinpangan lampu isyarat itulah saya nampak teksi ini. Kusam diselimuti debu kota dan kepayahan. Pemandunya kelihatan teragak-agak. Saya cuba menghayati permasalahannya. Barangkali dia tidak biasa melalui jalan-jalan di sini. Sememangnya kalau yang tidak pernah ke sini dan hendak ke Bangsar misalnya mahu ke Hospital Pantai, akan mengalami sedikit masalah kerana anda tidak boleh masuk ke susur Bangsar kerana selepas jam 7.15 pagi , selalunya laluan ini akan ditutup. Anda perlu membuat pusingan U berhampiran persimpangan Jalan Pantai Baharu. Tetapi yang lebih mudah ialah kalau anda meneruskan perjalanan dan membuat pusingan U di depan Wisma R&D UM, terus rapat ke kiri dan belok masuk ke Jalan Bukit Pantai. Tapi kalau ditakdirkan anda terlepas pusingan U itu sebab dah ternaik flyover, jangan risau, anda masih boleh berpatah balik di persimpangan susur kanan di hadapan Masjid Al-Rahman UM. Alternatif itu semua mudah bagi yang sudah otai macam saya...heheh...tapi kalau yang pertama kali mencari jalan pasti akan merasa sedikit keliru dan payah...perasaan yang saya rasakan bila melihat teksi tersebut. Bayangkan susahnya mencari rezeki...bayangkan apa yang berlegar dalam benak mereka...Lalu di situlah saya jatuh kasihan.

Entahkan ini hari yang kurang baik untuknya. Entahkan dia masih belum mendapat penumpang sehingga terpaksa lalu sehingga ke sini. Entahkan di kepalanya buntu memikirkan bagaimana mahu menyediakan hidangan di rumah untuk keluarga yang menunggu penuh harap. Dan segala macam permasalahan. (Maka kerana itulah pemanduannya sedikit goyah dan terganggu).

(Bersimpatilah dan bersabarlah wahai Snowie yang mengekori di belakang kerana destinasi kamu cuma di depan sana dan kamu tidak rugi apa-apa)

Kita hidup ini jangan fikir susah dan senang kita sahaja. Orang lain pun ada pasang-surutnya. Tidak kira siapa. Jadi, marilah sama-sama bertimbang rasa dan bertolak ansur.

Perkara ini saya bawa semula ke dalam diri saya. Selalu rasa diri betul saja. Selalu rasa orang lain yang buat silap. Kesalahan di pihak orang lain. Sikap seperti itu akan membuahkan keegoan, memandang rendah orang lain, salah-sangka yang akhirnya menjadikan diri manusia gagal muhasabah diri. Bilamana kita rasa tiada apa yang salah di pihak kita, bukankah kita akan cenderung untuk mencari silap di pihak orang lain dan lupa untuk memperbaiki diri sendiri?

Begitu...

Teksi itu berada di situ hari itu untuk menyedarkan saya tentang sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran. Lalu saya bersyukur kerana kehadirannya pada hari ini membuat saya merasa perlu untuk menyemak semula sikap saya dalam beberapa keadaan dan pendekatan yang diambil selama ini.

Betapa perlunya untuk cuba memahami keadaan orang lain dan mengapa mereka harus/terpaksa/memilih sesuatu tindakan agar dengan kefahaman tersebut maka kita bukan sahaja dapat memberi maklumbalas yang sewajarnya, bahkan juga mewujudkan suatu perasaan yang harmonis dalam diri sendiri, sekurang-kurangnya.

(Hemmm...makanya haruslah saya melupakan dan memaafkan segala kenangan2 pahit melibatkan teksi juga...;))

Friday, November 02, 2012

Bila Hon Berbunyi

Chissss...saya kena hon bertalu-talu pagi ini. Di khalayak ramai tu...hish...tercabar segenap jiwa ragaku.
Nasib baik tak nampak AES terpacak di situ...kalau tidakkkk...sudahlah hati panas, kena keluar duit lagi la pulak.

Saya tak salah! Ehehhh...betulll...tak salah. Salah saya ke kalau lampu isyarat tu berwarna hijau cuma untuk selama 10 saat sehingga menyebabkan barisan semakin panjang? Salah saya ke kalau cuba mengurangkan kepanjangan barisan dengan merebut kesempatan yang ada ketika lampu bertukar kuning?

Welll...saya mungkin boleh bersabar kalau semua orang dikeliling saya juga bersabar. Masalahnya pemandu-pemandu lain yang duduk di lorong kiri sekali tu pun sudah mula potong queue masuk ke jalan raya bila saya cuba mempamerkan kesantunan. Dan yang dibelakang saya juga agaknya sudah menyumpah..."apalah keta putih depan ni...terhegeh...hegeh...". Mereka memang mengharapkan saya untuk merebut kesempatan itu supaya bila Snowy lepas, setidak-tidaknya dua kereta di belakang insyaallah bakal lepas selamat bila lampu bertukar hijau semula. Dan saya takut tengok Saga yang bertekad memandu terus sebab dah tak larat tunggu lampu hijau (setelah lebih sepuluh kali bertukar warna)...kalau Snowy tak jalan terus tadi, kemungkinan Saga itu melanggar belakang Snowy.

Jadi, ya, saya teruskan melintas masuk ke Jalan Pantai Baru. Malang sekali kereta-kereta di lorong kiri yang sepatutnya jalan terus itu juga berebut-rebut mahu membelok sama. Akibatnya di pertengahan simpang itu, Snowy terpaksa menunggu giliran untuk masuk berselang-seli. Kuang hasam betullah korang ni!

Akibatnya laluan yang kini giliran mereka melintas mula tersekat. Lalu mereka pun membunyikan hon masing-masing.

Uwaaaa....saya kena buliiiii!!!


Wednesday, October 31, 2012

Sabarrrr!

Pada ketika ini, cuaca di luar tingkap sana kelihatan gelap dengan awan gemawan yang tampak sarat berarak lesu menanti saat sesuai menggugurkan isi perutnya. Aku yang baru pulang menghadiri syarahan berserta jamuan makan tengahari turut terbawa-bawa dengan mood 'lesu'...lesu kerana perut yang selalunya jarang berisi makanan tengahari tiba-tiba sendat hari ini. Aduhhh...makan-makan sambil bercerita inilah masalahnya, tidak perasan pinggan jadi penuh, juga tidak sedar bila masa jadi kosong...huh...! Hendak pula ada yang melayan. Lepas satu hidangan, satu hidangan lain pula datang silih berganti. Aduhai la mata...semakin berat pelupuk mata ini rasanya...

Macam-macam cerita keluar. Dah jadi macam telenovela pula. Aku yang tak sangat mengikuti perkembangan, nyaris-nyaris terlopong. Aduh...kadang-kadang lebih baik tak tahu daripada tahu. Sebab bila sudah tahu, tak ada alasan lagi hendak berlindung di sebalik kejahilan, bukan? Pun begitu, bukan alasannya untuk menghindari kerana ruang lingkup yang ada ini sebenarnya sangat terhad. Tadah pun tadahlah, tapi jangan takung semuanya, ya...heheh...

Opps...Aku hendak cerita bab sabar sebenarnya. Sabar? Ya...sabar. Sabar itu, menyebutnya mudah...tetapi hendak melaksanakannya tersangatlah sukar. Kisah sabar ini Aku kutip daripada kuliah tengahari semalam.
Di dalam ayat 45 surah Al-Baqarah, Allah berfirman yang bermaksud, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu'."

Tengok urutannya...sabar itu datang dahulu sebelum solat. Apa maksudnya? Sudah tentu ianya kerana sabar itu sangat penting. Untuk bersolat kita juga perlukan sabar bukan?

Sabar itu terbahagi kepada 3 :
1. Sabar dalam mengerjakan perintah Allah.
2. Sabar dalam menjauhi larangan Allah
3. Dan yang paling orang kita faham dengan sabar - sabar dalam menghadapi musibah.

Berdasarkan 3 di atas tersebut, yang manakah anda rasa paling banyak memerlukan kepada kesabaran? Ustaz saya kata, sudah semestinya yang nombor 1.

Sebab??? Cer citer...cer citer...

Ustaz pun bercerita. Dia kata, ada sekali peristiwa...dia pergi berkunjung ke Pulau Langkawi. Bila sampai di sana, al maklumlah jadi pelancong ni...teringinlah hendak merasa naik cable car tu. Petugas di kaunter tu kata, kena berbaris sejam untuk dapat giliran naik. Punyalah ramai orang pada hari itu dan Ustaz berasa pelik kerana walaupun diberitahu lamanya kena menunggu, kena berdiri pulak tu...dalam cuaca yang panas terik...tetapi tidak ada seorang pun yang berganjak atau membatalkan hasrat naik cable car tersebut. Semua orang kelihatan sangat sabar menunggu walaupun penantian itu suatu penyiksaan...cheewwwahhh!

Lalu cuba pula kita bayangkan...berapa ramai orang yang sabar bila mengerjakan solat. Solat yang tak sampai 10 minit itu, ramai yang tak sabar hendak sempurnakannya. Tak sabar sampai tak lakukan pun ada. Punyalah kita tak sabar. Kalau subuh yang dua rakaat itu lagi lah...tak sampai 5 minit pun. Tapi berapa ramai yang sabar untuk paksa diri bangun awal waktu untuk bersolat? Berapa ramai yang sabar untuk bersolat jemaah di masjid? Berapa ramai yang sabar untuk meninggalkan hamparan tilam dan bersabar menahan mengantuk semata-mata kerana Allah?

Yang naik cable car tu Ustaz kata...nak tengok apa? Nak tengok pemandangan indah yang Allah ciptakan. Nak tengok untuk sela masa yang cuma 15 minit cuma sedangkan nak tunggu naik saja sudah 1 jam. Dia naik untuk tengok nikmat Allah yang sepicing cuma. Dunia yang tidak kekal pun! Tapi dia boleh bersabar. Sedangkan untuk solat yang boleh membawa dia hampir kepada Tuhan pencipta alam itu , yang menjanjikan kesenangan yang berkekalan di akhirat nanti...tiba-tiba dia terlupa hendak bersabar.

Jadi bila Allah tanyakan kita dengan kata-kata, "Afala taqqilun?" Apakah kamu tidak berakal? Adakah kita terasa dengan teguran itu? Atau buat derk tak rasa apa-apa?

Akai ada ka? (Hish...pedih tu kan? - tapi padanlah muka tu...duiiii)

Betullah ...kita hendak yang susah, yang ganjarannya sementara, yang menyusahkan hidup kita sebagai ganti kepada perkara-perkara yang mudah lagi berlipat-ganda ganjarannya...tak mahu pulak???

Sebab itu bersabar untuk melaksanakan perintah Allah itu sangat sukar.

Hemmm...
Nak beristiqamah pun kena sabar...
Kena sabar banyak-banyak...!


Wednesday, October 24, 2012

Kelebihan Hari Arafah

Sebentar tadi kami berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Anzaruddin berhubung amalan di bulan Zulhijjah. Sayang sekali kerana benda sebegini tidak diwar-warkan dengan meluas sedangkan kelebihannya sangat besar.

Dalam satu hadis yang diriwatkan oleh Ibnu Umar R.A, Baginda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, " Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah dan disukai untuk orang beramal di dalamnya melebihi keutamaan hari sepuluh (1-10) Zulhijjah, kerana itu perbanyakkanlah olehmu bertakbir, tahmid dan tahlil".

Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan ialah :

1. Berpuasa sunat 1-9 Zulhijjah terutama 9 Zulhijjah yang juga disebut Puasa Sunat Hari Arafah.
2. Solat sunat
3. Doa dan zikrullah
4. Baca dan tadabbur Al-Quran
5. Infaq
6. Menyebarluaskan ucapan salam
7. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W
8. Amalkan sunnah-sunnah Baginda Rasulullah
9. Eratkan silaturrahim dan ukhwah
10. Hadiri majlis ilmu agama
11. Nasihat-menasihati kepada perkara-perkara kebaikan

...dan banyak lagi.

Dalam kesepuluh hari tersebut, kemuncaknya ialah Hari Arafah iaitulah hari ke-9 Zulhijjah. Kebetulan tahun ini jatuh pada hari Khamis. Terkandung di dalamnya antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa yakni waktu antara sesudah solat Asar dan Maghrib.

Okay, hari ini sudah 8 Zulhijjah bermakna kalau hari ini baru kita sedar kelebihan 10 hari awal Zulhijjah ini bermakna kita sudah terlepas 8 hari...rugi!!! Tapi jangan putus asa kerana kita masih ada 9 Zulhijjah yang akan bermula selepas Maghrib petang ini. Tolong sangat-sangat...jangan lepaskan peluang ini. Peringatan untuk diri sendiri!!! Sebab besarnya ganjaran yang disediakan .

Dari Abu Qatadah, ia berkata: Rasulullah SAWpernah ditanya perihal berpuasa pada hari ‘Arafah. Maka Baginda menjawab, “Dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR. Imam Muslim)


[Tapi untuk dosa-dosa besar yang memerlukan kepada taubat, maka kena bertaubat dulu dengan sebenar-benar taubat].



Ganjaran Hebat Hari Arafah
1. Hari maghfirah...hari pengampunan
2. Mustajab berdoa
3. Terlepas dari seksaan neraka
4. Turunnya rahmat Allah
5. Ibadat puasa yang paling dimuliakan.

Jom kita pakat-pakat puasa sunat Arafah esok...sebab dalam keadaan berpuasa itu, insyaallah, kita berada pada situasi yang Allah suka untuk perkenankan doa kita...apatah lagi kalau doa itu dipanjatkan dalam waktu-waktu mustajab doa iaitu antara Asar ke Maghrib itu. Insyaallah.

Kena sebijik!

Memang saya juga ada mendengar temubual dengan seorang warga Belgium yang telah memeluk Islam dengan izin Allah di radio IKIM pada suatu petang tidak berapa lama dulu. Beliau seorang yang suka mempelajari bahasa dan boleh bercakap dalam Bahasa Melayu. Saya dengar pun sudah di penghujung. Jadi, bila Ustaz sebut tentang kisah dia, bolehlah relate sikit masa dalam kelas tu. Tapi ada satu benda yang wanita itu sebut yang saya teringat-ingat dan Ustaz tidak sebut. Yang itu saya nak kongsi di sini sementara saya masih ingat ini.

Ketika ditanya apa komen dan pendapat dia tentang masyarakat Islam di Malaysia ini serta saranan, dia kata, (lebih kurang maksudnya) " Satu perkara yang saya hendak cakap yang saya tidak faham kenapa berlaku ialah bila orang Islam kelaur agama dan memeluk agama Kristian. Itu saya tidak faham. Bila mereka berbuat begitu, itu bermakna mereka tidak tahu isi kandungan Bible. Mereka tidak tahu betapa pincangnya Bible sedangkan semuanya begitu jelas diterangkan oleh Al-Quran".Bagi saya, boleh disamakan kata-kata ini dengan perbuatan membuang intan permata dan mengambil serpihan kaca sebagai ganti.

Saya ceritakan kepada sahabat saya, Sirapmadu dan dia memberikan komen ringkas yang mudah. "Sebenarnya Nira, itu semua terjadi bila umat Islam sendiri tidak faham Al-Quran". Ya, betul tu...kalau faham, tak ada sebab mengapa perlu meninggalkan agama yang benar ini.

Macamana hendak faham Islam kalau Al-Quran, kitab suci yang menjadi panduan, kita tidak baca. Seolah-olahnya...macamana hendak menggerakkan kereta menuju ke destinasi kalau kita tidak belajar memandu?

Betapa tersasarnya kita dalam bab hubungan dengan Al-Quran. Semasa kecil, ibubapa berlumba-lumba hantar anak belajar mengaji. Matlamatnya ialah supaya anak tadi cepat khatam Al-Quran. Betapa gahnya kalau anak boleh khatam Al-Quran semasa masih di sekolah rendah. Kalau dah khatam masa tadika lagi bagus. Tapi apa yang jadi sesudah khatam? Al-Quran terbiar di atas almari mengumpul habuk. Kalau dibaca pun hanya baca surah Yassin di malam Jumaat.Tak pun dijadikan azimat buat menghalau hantu. Ataupun menjadi sebahagian barangan hantaran. Begitu terhad peranan Al-Quran dalam kehidupan seharian. Tapi untuk dijadikan bahan bacaan sehari-hari??? Mungkin tidak terlintas di fikiran. Sebab? Satu, mungkin sebab kita ni selalu diugut dengan pelbagai pantang larang adab membaca Al-Quran yang sekan menyusahkan. Bab nak pegang dengan berwuduk atau tidak itupun tak habis dibahaskan. Tak pula dibahaskan tentang baca dan faham Al-Quran. Belum cerita bab tajwid. Takut berdosa baca kalau tersalah sebut. Yang tak baca langsung tu tak rasa berdosa pula...

Kata saudara kita yang hatinya telah Allah jinakkan itu, "Sudah-sudahlah belajar tajwid...fokuskan kepada isi-isi dalam Al-Quran. Pengajarannya. Seruannya. Baca! Baca! Dan baca..."

Errr...tapi kalau baca tak faham macamana pulak?

Ustaz Hasnan pernah menempelak, "Bahasa Inggeris tu boleh pulak hang belajar daripada dalam buaian sampai nak mati...bahasa yang tak akan digunakan dalam kubur pun...yang tu hang bagi penekanan . Padahal bahasa yang Allah gunakan untuk berbicara dengan hang...hang boleh buat bodo je tak mau belajar. Bahasa yang akan mendekatkan hang dengan Allah, hang tak put effort pun..." Adoi...adoi...pedihhhh!!!

Belajarlah bahasa Arab...setidak-tidaknya untuk faham makna dalam Al-Quran. Lagipun apa isunya?...sekarang ni punyalah banyak terjemahan Al-Quran dalam bahasa Melayu ada, Inggeris ada...tak ada alasan untuk kita kata kita tak baca dan tak boleh faham sebab halangan bahasa. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Dan satu lagi yang disebutkan oleh wanita itu ialah dia perhatikan orang-orang Melayu Islam sangat kurang menjalankan dakwah sedangkan tugas mendakwah itu adalah tugas setiap individu muslim. Hukum wajib berdakwah atas setiap orang ini dapat difahami berdasarkan hadis daripada Abdullah ibnu Amr bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, " Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasanya saya faham mengapa ini tidak berlaku. Kerana kita biasa diajarkan untuk tidak mencampuradukkan urusan agama dengan urusan kehidupan duniawi juga di ajar untuk tidak menjaga tepi kain orang, dalam konteks ini, jangan masuk campur hal orang. Kubur masing-masing. Kalau dia tak mahu sembahyang pun, itu urusan dia dengan Allahlah...kita jaga diri sendiri sudah! Kalau dia kena siksa dalam kubur, kau apa susah?

Dalam hal ini, kita kena faham yang Islam itu bersifat syumul yakni menyeluruh. Bermula kita buka mata di pagi hari sehinggalah kita tidur di malam hari, setiap apa yang kita umat Islam lakukan mestilah berdasarkan acuan Islam. Malah urusan perniagaan sekalipun, yakni timbangan kena betul, riba tak boleh ambil dan banyak lagi. Adab dan hubungan dengan keluarga dan masyarakat juga perlu selaras dengan kehendak Islam. Hatta berkunjung ke rumah jiran pun ada kaedahnya seperti beri salam 3 kali. Kalau tidak bersambut, kena beredar. Bukan boleh main jengok-jengok atau suka-suka hati redah. Pendek kata, kita tidak boleh hendak asingkan Islam daripada kehidupan dunia kita kerana cara hidup kita sendiri itu adalah terjemahan kepada kepercayaan kita yang dipancarkan menerusi akhlak. Akhlak yang baik itu sendiri menjadi 'agen' dakwah. Yang di zaman Rasulullah dan para sahabat dulunya menjadi penyebab terbukanya hati orang kafir untuk memeluk Islam kerana Islam tidak ditegakkan dengan mata pedang.

Sekarang macamana hendak bercakap tentang dakwah. Bila bersin di khalayak ramai kita lebih selesa sebut "excuse me" padahal yang sepatutnya "Alhamdulillah". Yang dengar pula kena jawab, "Yarhamukallah" bagi lelaki atau "Yarhamukillah" bagi perempuan sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu agar dia dirahmati Allah. Serta dibalas pula oleh yang bersin dengan mengucapkan "Yahdikumullahhuwayuslihu balakum" yang bermaksud semoga Allah memberi petunjukNya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.

Masalahnya, kita segan hendak cakap lebih-lebih tentang agama kita. Kalau bab lain, yang kita tak reti pun kita tak segan silu bagi pendapat. Tapi bab agama, kita berdolak-dalik pula. Tiba-tiba segan je rasa. Nanti orang cakap dan perli-perli, "Elehhh...macam ustaz/ustazah la konon". Kalau boleh kita tak mau orang kata-kata kita...bab agama, kita jadi pemalu...alasan kita, "saya tak cukup ilmu...tak berani lah, nanti jadi lain pulak" akhir sekali kita semua diam, tutup mulut dan pejam mata. Sebab tu walaupun nampak benda mungkar depan mata, kita tak berdaya nak cegah. Hok tu kena sekali atas kepala cek. Memang yang saya tulis ni pun sebenarnya adalah kelemahan diri saya sendiri...letak bunyi 'kita' supaya terasa sedap sikit nak sebut...hemmmm...

Jadi bila seorang saudara baru boleh tunjuk dengan jelas apa kelemahan kita yang sudah bertahun-tahun memeluk agama Islam sejak azali...adoi...terasa malu dengan diri sendiri. Mengaku Islam tetapi di mana Islamnya? Masih berangan hendakkan syurga Allah dan segala kenikmatannya tetapi masih tak segan melanggar perintah dan laranganNya. Berasa takut kecut perut dengan ancaman neraka dan azabNya yang teramat pedih tapi masih selamba berbuat maksiat.

Macamana tu?

Soal diri dan jawab sendiri. Fikir-fikirkanlah.


Tuesday, October 23, 2012

Cuti-Cuti Pangkor

Mari saya ceritakan pengalaman kami sekeluarga pergi bercuti ke Pulau Pangkor awal bulan lalu. Mula-mula saya cerita latar belakang sedikit ya, almaklumlah, aktiviti jarang-jarang buat. Kalau hendak tunggu masa yang sesuai, memang sampai sudah tak dapat. Benda macam ini kena terus buat keputusan. Putuskan hendak pergi maka yang asalnya tak boleh, jadi boleh juga. Yang lain-lain tu terus jadi sejarah. Perkara ini jadi mudah kerana Encik Suami akhirnya dapat juga bercuti setelah puas berkali-kali disuruh menunda. Bila halangan besar ini dapat diatasi, yang lain-lain pun menjadi lebih mudah, alhamdulillah.

Destinasi pilihan adalah Pulau Pangkor atas sebab-sebab berikut :
1. Sudah lama tak pergi Pangkor, kali terakhir semasa Hisham berumur dua tahun.
2. Teringin hendak naik bot dan tengok laut.
3. Kunjungan silaturrahim. Dah lama tak jengok saudara mara di sana.
4. Bawa mak makan angin
5. Terlioq nak makan ketam banyak-banyak
6. Percutian budget...terbaekkk!!!

Oleh kerana sudah lama tidak lalu jalan ke Lumut, kami yang hanya pandai guna Lebuhraya Utara-Selatan mencari jalan ke sana hanya setelah di Ipoh. Kami mengambil jalan menghala ke Jelapang yang kemudiannya menemukan kami dengan petunjuk arah ke Lumut/Pangkor. Laluan ke Universiti Petronas dan UITM Kampus Seri Iskandar. Kami singgah solat zohor di Tesco Seri Iskandar. Ingatkan hendak makan sekali tetapi agaknya tempat tu baru dibuka, pilihan pun tak banyak. Ditambah lagi pagi tu semua berselera balun nasi lemak, jadi, tidaklah rasa lapar sangat. Justeru, kami memutuskan untuk makan bila sampai di Jeti Lumut nanti.

Tiba di Lumut, kami terus menuju ke medan letak kereta bertingkat dan berbumbung milik Majlis Perbandaran Manjung itu. Selain faktor kemudahan dan keselamatan, kami juga wajar mempertimbangkan keselesaan Cik Nazria tu...kesian dia kalau terpaksa berpanas dan berhujan. Lagipun sungguh mudah hendak ke jeti, hanya ikut laluan berbumbung dengan kiri-kanannya banyak gerai-gerai jualan. Apalagi, jumpa deretan gerai makan, terus kami singgah makan di situ. Oleh kerana bukan hari cuti, pergerakan kami mudah kerana orang tak ramai...yahuuuu...nasib baik budak-budak tak ada peperiksaan.


Tambang naik bot/feri untuk menyeberang ke Pulau Pangkor ini untuk orang dewasa ialah RM10 dan kanak-kanak RM5. Beli sekali dan simpan tiket, sebab ini adalah juga tiket untuk anda berlepas balik nanti. Jadi, kami bayar RM40 untuk pergi-balik.

Naik atas bot, cuma emak sahaja yang duduk. Yang lain-lain, terutama budak-budak, langsung tak minat nak duduk, suka sangat dapat berdiri di bahagian belakang yang terbuka dan dapat lihat pemandangan laut lepas yang menyegarkan. Perjalanan cuma memakan masa kurang lebih setengah jam untuk sampai ke Jeti Pangkor. 


Sebelum tiba di Jeti Pangkor, bot akan singgah sebentar di Sungai Pinang . Jangan turun di sini dulu. Bot cuma berhenti sebentar untuk menurunkan penumpang yang hendak turun di sini. Kawasan ini merupakan kawasan penempatan nelayan dan terdapat beberapa buah perusahaan produk hasil laut di sini. 


Kurang 10 minit berikutnya kami sudahpun menjejakkan kaki di jeti Pulau Pangkor. Hemmm...sangat-sangat lain daripada pemandangan yang saya biasa lihat dulu-dulu. Yalah, sedang pantai lagikan berubah...inikan pula...err...Jeti Pangkor, dak gitu?


Oleh kerana sudah masuk waktu Asar, kami lebih senang singgah menggunakan kemudahan surau yang disediakan di Jeti Pangkor ini. Di depan surau ini ada sebuah Kopitiam di mana anda boleh mencuba Laksa Mee yang terkenal di Pulau Pangkor ini. Kemudahan WiFi juga ada. Apapun memang selesa menunggu bot/pengunjung di sini.



Okay, saya katakan ini percutian budget sebab....heheh...penginapan kami adalah ditanggung beres FOC memandangkan kami tinggal di rumah sepupu saya. Hahah...untungkan ada sedara mara kat sana...semestinya! Dah lama tak jenguk mereka, dah kebetulan pula ada ruang...hemmppp...sambil menyelam minum air ye. Kalau ikutkan lagi selesa lah cari penginapan sendiri sebab suka-suka hati buat apa saja kan...tapi tak baiklah macam tu...kecil hati saudara kita. Sudahlah jarang jumpa, bila ada peluang jumpa cari alasan pula ek...hish...tak baik tau! Apapun bagi pihak saya, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya jimat duit bayar tempat penginapan.

Rumah sepupu saya terletak di Pasir Bogak. Untuk ke sana, cuma ambil teksi yang berlambak menunggu di jeti. Di sini, teksinya adalah berupa van yang berwarna merah jambu. 


Tambang dikenakan ialah RM10 dan perjalanan ke Pasir Bogak memang sekejap sangat...lebih kurang 5 minit aje pun. Pantai Pasir Bogak terletak di belakang rumah sepupu saya. Ahaa...jalan ke pintu pagar belakang, buka pagar dan jeng...jeng...jeng...itulah pantainya. Dulu memang kawasan paling ramai pengunjung tetapi sekarang ini sudah kurang disebabkan sudah muncul kawasan-kawasan baru yang lebih kurang tercemar, cantik dan banyak kemudahan seperti di kawasan pantai Teluk Nipah. Bagaimanapun untuk saya dan keluarga yang cuma suka main di gigi air tu , pantai Pasir Bogak sudah memadai.

Yang bestnya, malam itu sepupu saya turun menjala di laut. Biasalah, orang pulau...tak lengkap kalau tak ada kelengkapan menangkap ikan sendiri, kan? Memang seronok , sebab hari-hari dapat makan yang segar dan murah. Murah sebab sekali tebar jala dah boleh dapat bekalan sebulan. Pergh...! Nasib saya kurang baik sebab datang ketika musim yang tangkapan tidak begitu menjadi. Tapi...dalam situasi kurang memberangsangkan itupun, dia masih dapat berbelas-belas ekor ketam dan sotong yang besar sangat sampai takut saya nak pegang. Ikan tak usah ceritalah...banyak untuk makan sekeluarga pun tak habis!



Ketam-ketam itu direbus begitu sahaja dan dimakan dengan ayaq asam yang sungguh sedap...heheh. Punyalah banyak makan ketam hari itu...best sangat !



Sepanjang di sana, hari-hari kami keluar merayau-rayau...ala...kecil aje Pulau Pangkor ni. Pi mai pi mai, tang tu jugak. Ingat nak sewa kereta tetapi sepupu suruh belasah aje kereta 'basahan' dia...heheh...kereta untuk dalam pulau, kecik comei aje. Kereta official nun di seberang daratan sana...

Sayangnya kereta ini tidak berdaya maju untuk dipecut membelah jalan-jalan pendalaman yang mendaki dan curam. Tak cukup power nak ke depan. Lagipun agak merbahaya kerana selekohnya tajam. Kalau anda hendak berkeliling satu pulau, pastikan kenderaan yang digunakan sesuai. Ada banyak kereta yang boleh disewa. Boleh aturkan sebaik tiba di jeti Lumut ataupun semasa di jeti Pangkor. Pengangkutan bukan satu masalah. Ataupun boleh juga ambil teksi pink itu suruh ronda satu pulau...caj yang dikenakan pun RM80...cuma tak best sebab tak boleh ambil masa sesuka hati nak duduk di satu-satu tempat berapa lama. So, baik ambil kereta sewa, kan? Masa saya datang ni, ada yang tawarkan kereta jenis Iswara/Wira dalam RM70-80 untuk 24 jam. Nak naik motosikal atau basikal pun boleh aje. 


Tiba masa mencari ole-ole. Apa lagi kalau bukan produk hasilan laut. Dekan pekan Pangkor pun banyak, tapi mahal sikit la. Kalau dekat sekitar Pasir Bogak juga ada tapi harga dia mengarut aje...pelancong bolehlah korang nak temberang...tapi untuk yang tahu fakta macam saya ni...buang karan je! Jadi, tak usah cakap banyak...jom kita terus ke kilang. Di kilang-kilang di sini, ramai pekerjanya pekerja Melayu. Kalau zaman dulu memang agak tak berapa kisah persekitaran dia...tapi sekarang nampak lebih teratur, kemas dan bersih. Dan yang penting ada pengesahan halal. 


Macam-macam ada. Kebanyakannya saya beli satay ikan dan sotong. Ikan bilis Pangkor pun ok juga kalau hendak buat buah tangan. Mak saya suka cari ikan talang kering. Ada juga yang jenis keropok tu...tapi kalau yang bersira tu tak payahlah, yang tu kat stesen Petronas berlambak jual tak payah datang Pangkor pun.


Best kan datang time orang tak ada ni...yahuu...yahuu...ini pantai ana yang punya!


Emak saya sedang bersendiri menghayati suasana.


Bercanda di pasiran pantai...


Seperti biasa, saya tidak lupa agenda 'jejak sejarah' dan sempat singgah bertamu di Galeri Pangkor. Memang kosong tak ada orang. Penjaga galeri pun ada masa melayan kami dan menunjukkan beberapa koleksi yang ada. Pada saya tarikan yang ada tidaklah sekuat mana . Kalaulah meja original yang digunakan untuk menandatangani Perjanjian Pangkor itu ditempatkan di sini...lagilah umpphhh. Yang ada cuma ceritanya.

Kisah tentang sejarah tertandatanganinya Perjanjian Pangkor menjadi agenda penting di sini.


Kami memutuskan untuk singgah ke Teluk Gedung yang berjarak 3km dari pekan Pulau Pangkor untuk melihat sisa peninggalan Kota Belanda yang digunakan untuk mempertahankan Pangkor daripada serangan musuh suatu ketika dahulu. Binaan asli yang tinggal tidak sebesar mana dan saya kira sudah dipulihara sedikit malahan di belakangnya ada satu binaan bangunan baru lengkap dengan menara peninjau. Sayangnya tidak dijaga dengan baik, bila kami naik ke atas, pemegang tangganya sudah patah dan anak tangga serta sisi bangunan dipenuhi najis burung.

Pulau Pangkor dan pantainya yang indah memang menyeronokkan untuk 'pelarian' sementara. Dan paling best lagi sebab dapat mengimbau beberapa episod zaman muda ketika saya sering berkunjung ke sini saban tahun dulu. Setiap musim cuti persekolahan.


Terima kasihlah sebab sudi melayan permintaan saya dan keluarga yang teringin hendak makan laksa mee. Sepupu saya masak sendiri. Kualiti dan kesedapan rasa terjamin, beb! Menu ini saya selalu makan semasa di Pangkor dulu, beli daripada peniaga yang berniaga menggunakan motosikal. Nostalgia sungguh! Bila dah ada berlambak depan mata...walaupun sedap, tetap tak sama dengan kenangan dulu heheh...kenangan makan dalam pek plastik , ya? Hahaha..


Puas hati dapat balik Pangkor. Mata meninjau Balai Polis Sg. Pinang Kecil yang sudah berubah wajah. Juga menjeling tapak asal Balai Polis Pangkor dan persekitarannya tempat kami bermain kecil-kecil dulu. Sekarang pembinaan kuarter setinggi 12 tingkat sedang diusahakan. Teringat macam-macam! 

Insyaallah, kami akan datang lagi.