Wednesday, December 19, 2012

Berkongsi Nota

Dalam kelas hari Selasa, kami belajar ayat 53 surah Al-Baqarah. Allah berfirman yang bermaksud,

" Dan (ingatlah), ketika Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) dan keterangan yang membedakan antara yang benar dan yang salah, agar kamu mendapat petunjuk".


Sebagaimana Al-Quran, ciri-ciri kitab terdahulu yang Allah berikan kepada Rasul-rasulNya antaranya ialah sifatnya yang 'membezakan'. Al-Furqan (Pembeza). Apa yang dibezakan? Iaitulah keterangan tentang perbezaan antara kebenaran dan kepalsuan. Yang mana hak, yang mana batil. Kenapa ditampilkan sifat pembeza sebegitu? Kerana dengan yang demikianlah kita dapat mengenal kebenaran dan kebatilan seterusnya membolehkan kita beroleh hidayah lagi tidak tersasar dari jalan yang lurus.


Sebagaimana Taurat yang Allah turunkan kepada Nabi Musa, begitu jugalah peranan yang dibawa oleh Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar baginda Rasulullah S.A.W. Al-Quran sebagai petunjuk ini disebut dengan jelas dalam ayat 2 surah yang sama yang bermaksud, " Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa".


Malangnya hari ini, ramai daripada kita yang tidak menyedari kepentingan Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari. Kita tidak nampak hubungkait Al-Quran dengan kehidupan kita selain hanya sekadar ditonjolkan dalam upacara-upacara tertentu. Kalaupun dibaca, hanya sekadar bacaannya yang kita beri penekanan. Kita sangka hanya dengan membaca, sudah cukup Al-Quran itu dimanfaatkan padahal kita tidak memahami apa yang kita baca. Kita tidak memberi masa untuk duduk menghayati dan mempelajari makna ayat-ayat suci yang kita baca.


Soalan cepu emas Ustaz :


Antara yang berikut, yang manakah kita paling banyak habiskan masa untuknya. Adakah kita habiskan banyak masa untuk baca Al-Quran dan cuba memahami kata-kata Allah...? Ataukah kita lebih banyak habiskan masa untuk baca majalah, suratkhabar , FB untuk fahamkan kata-kata manusia?


Murid-murid segera mengaku salah dengan memilih jawapan yang kedua.


Apa hasilnya bila kita selama ini lebih sibuk hendak memahami kata-kata manusia dan tidak mengambil perhatian terhadap kata-kata Allah? Hidup kita akan tersasar. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Macamana hendak mendapat hidayah Allah kalau tak faham?


Disebabkan kita tidak faham dengan kata-kata Allah, maka itulah kita cenderung memiliki cara berfikir yang salah. Misalnya, nikmat adalah kehidupan. Nikmat kekayaan, nikmat pangkat, nikmat kesihatan...itu semua bagi kita adalah sebaik-baik kehidupan. Tidak hairanlah kalau bila berdoa kita selalu minta panjang umur supaya lebih lama masa yang ada untuk kita kecapi segala nikmat kehidupan tersebut.


Padahal nikmat yang sebenar lagi terbesar untuk seorang hamba ialah nikmat apabila taubatnya diterima Allah. Inilah sepatutnya cara umat Islam berfikir. Misalnya (contoh mudah sebagai perbandingan), antara hidup 25 tahun berbuat dosa dengan hidup 50 tahun berbuat dosa...yang manakah lebih baik? Yang 25 tahun kan...sebab tak lama sangat berbuat dosa. Jadi, dalam keadaan ini, mana yang lebih baik...? Umur yang panjangkah? Atau umur yang pendek? Hemmm...tiba-tiba rasa hendak umur yang pendek pula!


Maknanya apa? Panjang umur tetapi kalau kehidupan itu sentiasa bergelumang dosa dan berada di dalam kemurkaan Allah, tak ada maknanya! Sebab, sebagai hamba, matlamat kita hanya satu iaitu kita mahu mati dalam keadaan diredhaiNya. Mati macamana, mati di mana, mati bila...??? Itu semua tak penting, asalkan berkesudahan yang baik. Kalau fikir begitu, dah tentulah perkara paling penting yang kita kena pastikan ialah kita ini bersih dari segala dosa. Dan caranya ialah, kita kena bertaubat kepada Allah. Jangan tunggu-tunggu, jangan tangguh-tangguh sebab putik yang muda lagikan gugur, inikan pula putik tua.


Lihat bagaimana Nabi Yusuf A.S berdoa dalam doanya yang tercatat dalam Surah Yusuf ayat 101 yang bermaksud :


 " Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta'bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh".


Ini adalah doa yang Nabi Yusuf panjatkan sesudah bertemu semula dengan ayahnya Nabi Yaakub serta adik-beradiknya. Di kesudahan yang baik begitu, kalau kita lah...yang lama tak jumpa ayah yang sekian lama dirindui...adik-beradik pun dah jadi baik...punya harta dan kekayaan...bukankah kita akan minta, "mudah-mudahan panjang umur aku untuk nikmati semua ini...maklumlah, dah lama menunggu".Tidak bagi Nabi Yusuf. Bukan itu yang dia minta. Dia minta untuk wafat dalam keadaan Islam. Itulah sebaik-baik permintaan dan sebaik-baik kejayaan.


Kata Ustaz, syarat untuk mendapatkan cinta Allah, bukanlah dengan tidak berbuat dosa kerana kita manusia, mana mungkin terlepas daripada berbuat salah dan silap. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :


Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)


Untuk mendapatkan cinta Allah ialah dengan bersegera bertaubat apabila menyedari diri telah berdosa kerana Allah sayangkan orang-orang yang bertaubat, yang kembali kepadaNya bila tersasar.  


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :


Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )


Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah S.W.T yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.


Maksud firman Allah S.W.T :


Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31) 


(Taubat itu menguntungkan kerana ia menghapuskan dosa dan menyelamatkan kita daripada bakaran api neraka yang menyala-nyala)


Maksud Firman Allah S.W.T :


Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)


Pengajaran pengajian semalam yang dapat saya rangkumkan ialah perlunya kita merapatkan diri dengan Al-Quran dan menjadikannya bahan bacaan dan rujukan sehari-harian. Mudah-mudahan dengan cara itu akan membekalkan kita dengan petunjuk & hidayah Allah. Yang akan memberi panduan kepada kita tentang cara-cara mendekatkan diri kepada Maha Pencipta dan meraih redhaNya. Seterusnya menjadikan kita hamba yang tidak berputus asa menebus kesilapan dengan jalan bertaubat. 

No comments: