Wednesday, December 05, 2012

Penasihat 20 persen!

Saya faham ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk berada dalam situasi seperti itu. Apabila saya katakan saya faham, percayalah yang saya benar-benar maksudkannya. Saya bukan sekadar cuba menyedapkan hati sesiapa. Ianya sesuatu yang benar. Jadi, saya ikhlas ketika menyatakan pendapat saya dan sungguh, saya sudi memberikan sokongan untuk apa jua tindakan yang anda rasakan perlu. Saya tidak mampu mengatakan sesuatu pilihan itu sebagai "betul" atau "salah" kerana saya tidak bersedia untuk menjadi hakim. Setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangan, tetapi kalau itu yang anda hendak halusi satu persatu sehingga di akhirnya anda akan mampu memilih dengan ralat kosong...saya rasa semuanya bakal menjadi tidak relevan lagi dan segalanya sudah terlambat.

Saya tidak dapat membantu anda mendapatkan jawapan yang pasti walaupun saya punya pengalaman yang seakan sama kerana ternyata cara penerimaan dan cara kita menangani perkara ini sangat berbeza. Namun itu tidak menjadikan pendapat saya selama ini sia-sia belaka, malahan, saya berkeyakinan ianya boleh membantu anda mencari jalan keluar. Masalahnya ialah bilamana anda sendiri tidak tahu apa yang anda mahukan.

Bagaimana mungkin kita mencari penyelesaian kalau anda sendiri tidak menetapkan sasaran dan tujuan. Katakan anda memandu kereta dan bertembung dengan simpang yang pelbagai lalu buntu memilih laluan. Tidak guna saya bercerita kelebihan dan kebaikan sesuatu jalan sekiranya saya tanyakan apa destinasi anda dan anda cuma mampu menggelengkan kepala dan dengan nada rendah menjawab yang sebetulnya anda belum ada arah tuju dan hanya mengikut kemana kereta yang dipandu sampai. Saya tidak boleh memaksa anda supaya pergi ke destinasi A walaupun berdasarkan pengalaman saya merasakan destinasi A adalah destinasi terbaik. Mungkin saja destinasi A yang berupa pantai yang indah itu tidak anda gemari kerana anda seorang yang alergi dengan deru ombak...well...manalah saya tahukan? Saya juga tidak boleh menggertak anda supaya jangan pilih jalan ke destinasi B yang berupa kawasan tanah-tinggi lantaran pengalaman ngeri saya terserempak dengan hantu bungkus di sana (contohhhh!!!) kerana tidak semestinya perkara yang sama akan terjadi kepada anda.

Saya berada di sini cukup sekadar untuk memberikan pandangan. Anda pula sewajarnya mempertimbangkan saranan dan pendapat saya itu setelah anda sendiri menyesuaikannya dengan keperluan diri.Tidak ada yang mana betul dan yang mana salah. Dan tolonglah, pastikan segala fakta telah ada perolehi supaya anda benar-benar jelas dan mampu membuat keputusan yang berilmu, bukan membuat keputusan untuk memuaskan hati majoriti atau membuat keputusan atas dasar kasihan.

Fikirlah semasak-masaknya.

Saya tunggu di sini.




No comments: