Wednesday, November 30, 2011

Khal

Saya sedang memandu di suatu petang yang syahdu ketika saya mendengar satu program bual bicara di radio IKIM. Kebetulan, ianya satu segmen tajaan dan mereka memperkatakan tentang produk khal atau cuka kurma dan khasiatnya. Sebetulnya, saya tidak tahu banyak tentang cuka kurma jadi bila mendengar program itu rasa tertarik pula untuk mendapatkannya. Biasalah, bila umur semakin menganjak ini, tidak boleh tidak, teringin juga hendak 'jaga badan', bukan hendak melawan peraturan alam...cuma hendak berusaha agar sihat dan cergas agar tidak menganggu ibadah. Kalau boleh. Sekadarnya. Insyaallah.



Saya ada minum jus Monavie. Untuk makanan tambahan sahaja.Juga ada mengambil Evening Primrose Oil, dalam beberapa bulan sudah. Seperti biasa, saya tidak pasti kalau ada perubahan apa-apa, kerana rasa sama sahaja. Tapi alhamdulillah, setakat ini sihat. Tahun ini belum ambil sehari MC pun. Syukur.

Yang Monavie itu saya belikan untuk ayah sebagai sebahagian usaha menjayakan permohonannya. Semasa menggunakannya, maklumbalas ayah positif. Dan sekarang, saya menghabiskan beberapa botol yang tinggal. Rasanya sedap! Orang kata yang warna merah itu boleh menguruskan badan, hemph...tak berkesan kot untuk saya...hahahah...

Dah puas minum jus hendak cuba benda lain pula. Setakat ini yang kekal ialah kebiasaan minum teh hijau. Saya mula berkenalan dengan teh hijau semasa di Jepun. Masa tu terpejam celik hendak menghabiskan hidangan teh hijau mereka. Bila saya kata 'oishii desu ne..' udah ditambah lagi penuh melimpah. Nak tolak tak manis. Mahu tak mahu ku hirup jua dengan gaya 'bersahaja'. Heheh...

Tapi sebenarnya orang kata bagus minum teh hijau ini. Saya minum satu cawan sebelum tidur, sebab time tu je saya ada masa menghirup perlahan sambil berehat membaca surat khabar.

Jadi, bila keluar cerita 'Khal' ini...eh, saya nak cubalah. Kalau okay, boleh bagi mak dan ayah cuba juga.

Saya baru beli dua botol 'Khal' dan sebotol jus delima. Jenama Al-Baraka dari Egypt. Yang delima tu pula dari Turki. Saya sedang mencari maklumat cara memakannya dan khasiatnya. Saya jumpa dan saya kongsikan di sini. Mudah-mudahan bermanfaat.

************************************************************

Kebaikan buah kurma disebut sebagai makanan yang dapat mengubati masalah darah, masalah usus, masalah hati, hempedu, lemah jantung, menambahkan air mani, masalah kerongkong dan mulut, menambahkan nutrisi tubuh badan, mematikan kuman (bakteria), masalah migrain dan penawar racun dalam badan yang sangat baik.

Bersabda Rasulullah S.A.W., ” Sebaik-baik hidangan makanan ialah Khal. Ya Allah berkatilah pada Khal, sesungguhnya Khal adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus Khal dalam suatu rumah.” (Hadis riwayat Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)

Kebanyakan orang belum mengetahui khasiat "CUKA KURMA"

"BAGAIMANA ORANG ARAB MAMPU MAKAN SEEKOR KAMBING HANYA UNTUK TIGA ORANG MAKAN TANPA RISAU TERKENA PENYAKIT-PENYAKIT BERBAHAYA SEPERTI DARAH TINGGI, KENCING MANIS, JANTUNG, KOLESTROL ATAU OBESITY"

KEPERLUAN CUKA KURMA OLEH TUBUH BADAN

Cuka kurma mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin C, vitamin E, vitamin B1, vitamin B6, beta-karotena, vitamin P (bioflavonoid) dan kaya dengan kandungan potassium (keremajaan kulit).
Cuka kurma juga dapat membuang lemak, kolestrol, asid-asid dan garam berlebihan dalam badan yang membawa pelbagai penyakit berbahaya.

KHASIAT CUKA KURMA MENURUT PERUBATAN ISLAM

Ibnu Sina dalam kitab beliau Al-Qanun Fi Al-Tib menyatakan bahawa “Cuka kurma dapat mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser), menyucikan darah, membaiki masalah pencernaan di perut, masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan, menjaga kulit dari kepanasan matahari, mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol), menstabilkan asid dan garam di badan, membuang keracunan badan (toksik), masalah rahim, menguatkan gigi, mata, telinga serta mengembalikan tenaga lelaki dan perempuan”. Darul Fikri, Bairut Tahun 1414H, m.s 908 - 909.

Ibnu Qaiyyim dalam kitab beliau Al-Tib Al-Nabawi menyatakan cuka kurma bermanfaat untuk mengatasi masalah gastrik di perut, masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu), mencegah terhadap bahayanya ubat-ubatan (kesan sampingan dari ubat yang pelbagai) yang boleh membawa kepada kematian.

Cuka kurma dapat melancarkan susu ibu dan melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid). Cuka kurma bermanfaat mengatasi masalah limpa, membersihkan usus (membuang toksik di perut), menguatkan sistem perut (masalah buasir), menghilangkan masalah dahaga (panas badan), mencegah sebarang pembengkakan yang akan terjadi di tubuh manusia (seperti kanser, bisul dan sebagainya), membantu sistem penghadaman makanan yang kasar dan membersihkan darah manusia (darah yang beracun). Darul Kitab Al-Arabi, Bairut 1410 H, m.s 233.

CARA PEMAKANAN :-

Sebelum mengambil atau minum cuka kurma digalakkan agar:

1-Baca Bismilah serta selawat kepada Nabi SAW dan keluarga sebanyak 3x.
2-Di niatkan agar disembuhkan oleh Allah SWT kesemua penyakit yang dihidapi agar dapat beribadah kepada Allah SWT dengan sempurna.

Pelbagai cara boleh digunakan semasa pengambilan produk cuka kurma ini:

1-Satu sudu besar 10ml dicampur terus ke dalam secawan air masak dan diminum terus.

2-Digalakkan cara ini iaitu mencampurkan satu sudu besar 10ml cuka kurma dengan satu sudu besar 10 ml madu ke dalam secawan air masak. Pastikan anda menggunakan sudu plastik kerana madu agak sensitif dengan sudu besi.

3-Kombinasi cuka kurma dengan teh o /kopi pun boleh menghilangkan rasa masam cuka kurma tersebut .

4-Ia juga boleh digunakan sebagai gantian kepada cuka makanan buatan sebagai bahan masakan makanan harian. Cuka makanan buatan agak asidik sifatnya berbeza dengan cuka kurma.

Pengambilan disyorkan sebanyak 2/3 kali sehari.

Dipetik daripada http://tamankoperasibenabt8ijok.blogspot.com/2011/02/cuka-kurma-iran-minab.html

Tuesday, November 29, 2011

Hitam Berganti Putih

Perasaannya sama seperti pertama kali dulu. Berdebar-debar, diselang-seli rasa teruja. Tak sempat menjeling keliling. Hanya pandang lurus ke depan. Rasa belum yakin sepenuhnya.Snowy belum kukuasai seluruhnya. Kami masih dalam proses mencari keserasian.

Terasa rindu pula pada Blackie. Blackie yang telah sama-sama mengharungi susah senang menelusuri jalan-jalan kehidupan di kota KL ini. Blackielah yang mencetuskan inspirasi untuk memiliki sebuah blog. Dan Blackie telah menjadi sebahagian daripada blog ini.

Salam hormat untuk Blackie yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi. Langsung tidak pernah menyusahkan. Sentiasa ada untukku. Sentiasa memahami dan menenangkan. Semoga Blackie dapat meneruskan khidmat cemerlang kepada pemiliknya yang baru. Dan semoga pemiliknya menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Wednesday, November 23, 2011

Emosi Terganggu

Saya tak pasti apa signifikannya entri kali ini selain daripada menjadi satu lagi batu aras yang menghiasi liku-liku perjalanan hidup ini.Catatan yang sudah lama dibayangkan, namun hanya kali ini mampu mencatatkan, walaupun dada terasa sebu sesak menggarap sebuah cerita. Menukilkan satu perasaan.

Pedih mata bergelut dengan limpahan air mata sejam dua tadi nyata masih terasa. Saya selalu menyangkakan yang adalah sesuatu yang sukar untuk membasahkan pipi. Saya merasakan keras hati saya bisa menyekat seribu rasa yang mengharukan itu. Namun sebetulnya saya cuma mengalami sindrom penafian. Menafikan sesuatu yang saya takut untuk mengakui. Yang keras hati saya sudah lama menghilang, lalu mendedahkan seluruh perasaan untuk menanggung risiko merasakan apa yang saya enggan rasakan.

Sebetulnya saya masih menyalahkan diri saya. Merasa bersalah kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan lama dulu. Rasa terkilan kerana perancangan yang asal lepas. Yang akhirnya menghantui saya dan melontarkan diri dalam seribu penyesalan yang membekam jiwa. Sukar untuk meleraikan rasa yang menggigit tangkai hati.

Bila-bila terlintas di fikiran yang sepertinya saya telah gagal melaksanakan tugas seorang anak ...saya rasa sangat terganggu dan tersiksa.

Saya rasa bersalah kerana tidak berada di sana membantu ibu dan ayah pada saat-saat memerlukan begini. Hanya mendengar cerita melalui talian komunikasi tanpa mampu berbuat apa-apa benar-benar merobek jantung hati saya.

Saya terkenangkan rajuk ayah apabila rayuan kali pertama dan keduanya gagal. Saya terkenangkan hampir dia berputus asa apabila kami anak-beranak keluar masuk HKL tanpa kepastian. Sayalah yang memberikan dia harapan demi harapan. Sayalah yang menyakinkan dia yang dia pasti dapat pergi kerana saya sendiri tidak sanggup menidakkan impiannya walaupun saya akur yang kesihatannya semakin merosot.

Saya duduk mengarang surat rayuan yang panjang lebar untuk kali ketiganya. Merayu dengan sebenar-benar merayu. Alhamdulillah, Allah makbulkan. Kegembiraan ayah adalah sesuatu yang terlalu berharga. Saya sangat-sangat bersyukur. Gembira kerana dapat menggembirakannya. Berkali-kali dia menekankan yang dia mampu untuk menjalani ibadah di sana. Jangan risau katanya. Entahlah otak kosong saya pada masa itu langsung tidak terfikir hendak ikut sama atau sekurang-kurangnya memikirkan untuk menghantar saudara lelaki yang ada kudrat untuk membantu tika memerlukan. Kerana mungkin saya juga manusia biasa yang kerap kali mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Dan hari ini , berita yang saya terima adalah dia dimasukkan semula ke hospital sesudah keluar seminggu lalu.

Emak kata, kesihatannya semakin merosot berbanding dulu. Malahan ubat sedut yang selalunya membantu seakan tidak memberikan kesan lagi.

Saya teringatkan yang akhirnya ayah akur berhenti mendadak daripada merokok sesudah saya memberi kata dua. Saya berkeras memaksa. Dan ayah ikut. Semata-mata kerana ghairahnya dia mahu menginjak bumi suci Mekah.

Ayah kata, balik Mekah nanti boleh sambung balik. Saya tahu dia sekadar mengusik kerana tahu saya akan menjegilkan mata tanda protes.

Semalam, kata emak...ayah sebut nama Hisham dan Aiman. Ayah sebut nama Aidil. Ayah seru nama anak-anaknya satu persatu.

(Air mata saya tumpah lagi sewaktu catatan ini dibuat).

Ayah tanya emak, "Mana semua orang?"

Emak jawab, "Semua orang ada di rumah".

Ayah tanya lagi, "Kita bukan di rumah ke?"

Emak jawab, "Tak. Kita kat hotel ni. Kita kat Mekah".

Ayah diam.

Pagi tadi ayah tak sedarkan diri. Badan ayah makin lemah. Emak kata ayah tak lalu jamah nasi. Ayah dah seminggu tak makan. Ayah tak lalu nak makan. Langsung selepas itu, ayah di bawa ke hospital.

Saya teringat, kamera digital Olympus saya yang saya berikan padanya untuk dibawa bersama dulu, di saat-saat akhir dipulangkan.

Juga telefon bimbit.

Waktu itu semuanya sudah siap dikemaskan dalam beg. Ayah tak jadi bawa. Ayah kata tak payah. Tak payah ambil gambar.

Saya beritahu emak, saya sudah sampai tahap redha. Saya redha apapun jua yang Allah takdirkan. Saya sudah tunaikan hajat ayah. Saya tak menyesal.

(Tapi saya masih rasa terkilan...)

'Wahai Zat Yang Maha Berkuasa, kepada Engkaulah sahaja kami berserah'.

Monday, November 14, 2011

Sambil Lewa

Kan saya dah kata...dah agak dah...mesti jadi macam tu juga kesudahannya.

Tak percaya? Heheh...

Nak tunggu, bilalah agaknya kita akan betul-betul bertegas dan berpegang teguh kepada apa yang telah dipersetujui bersama.

(Yeah, rite...in your wacky dream!!!)

Ada satu benda ni, minggu lepas lagi patutnya deadline. Saya yang bercuti sepanjang minggu itu berusaha memastikan saya ikut deadline. Dan kawan-kawan pun saling mengingatkan. Semua orang mengejar deadline. Saya siapkan lebih awal dari deadline. Saya tidak mengharapkan pujian apa-apa, juga tidak terfikir akan dinobatkan sebagai ikon bulan ini...hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai anggota yang prihatin dan peka dengan keperluan organisasi.

Dulu, pun ada satu benda ini. Diwar-warkan dan dicanang-canangkan yang apa terjadi sekali pun, deadlinenya pasti tidak akan dianjak. Korang menangislah keluar air mata darah sekalipun, tetap tiada kompromi. Wahhh...saya terfikir, saatnya pasti akan tiba. Akhirnya. Maka hati jahat saya berkata, habislah korang yang tak ikut deadline...lain kali tirulah macam sayaaaaa!

Sekali, tiba harinya..."Tuan-tuan dan puan-puan, sukacita dimaklumkan tarikh untuk menghantar dot...dot...dot...kini telahpun dilanjutkan sehingga tahun depan..." duuuhhhh...korang pikir tengok sakit tak sakitnya hati ku ini...oh! Hehehe...

Jadi, bila trend yang sama macam hendak terjadi...saya segera mengatakan kepada diri saya, "kalau kali ini betul-betul ikut deadline...perghhh...kira dashyat lah tu...marbellessss!!!" dengan meletakkan kebarangkalian 50:50...owh...kita mesti bersangka baik maaaa!

Bila saya buka kotak emel pagi ini...tu dia aiihhh...hemmm...agak dah! Tak kesampaian lagi menantikan saatnya kita betul-betul mengotakan janji dan menaikkan mutu perlaksanaan. Benar, deadline itu dianjak juga kesudahannya. Untuk memberi peluang kepada siapa agaknya? Anak-anak bilis macam saya rasanya sudah lama melunaskan tanggungjawab...kitakan takut dengan hukuman manusia...duhhhh...pedih dowh!

Lepas itu saya lebarkan aplikasi ini keluar, mengapai perkara-perkara di ruang luas sana yang mengalami masalah yang sama. Banyak contoh yang boleh dipakai. Misalnya penguatkuasaan undang-undang jalan raya. Heh...cakap le berbuih-buih mulut sekali pun, berkajang-kajang akta diwartakan sekali pun...kalau asyik le bertangguh-tangguh dan lewa dalam perlaksanaan, buat gelak orang aje. Bayar saman pada hari terakhir pemberian diskaun? Jangan bimbang, bro, for sure ada extension...ahaks!!! Dan kes-kes lain yang lebih panas...dah berapa lama kita tunggu nak tengok tindakan lebih tegas ke atas pihak yang memainkan isu perkauman. Alih-alih tak ada juga, pasal tu lah pakat naik lemak. hahah...makan nasi lemak je la...Asal nak komen je, politik...asal nak bagi pandangan je, politik...maklumlah, sudah dekat-dekat mahu pilihanraya, semua nak jaga bagi nampak elok. Tak tahu yang di akar sana semakin membusung, bernanah!

Eh, ke situ pula saya. Hemmm...Puan Telipuk kalau dibiar berpolitik jadi apalah agaknya ya...hohoh...ya ampun, itu bukan bidang saya. Komen dari tepi gelanggang sahaja cukuplah.

Senyum. Tak perlu kata apa-apa.

Peace!

Friday, November 11, 2011

Bersangka Baik

Ini ada satu 'penyakit' yang banyak terjadi di kalangan kita.

Saya tak faham kenapa ada yang macam tak puas hati kalau orang (yang pada pendapatnya jahat dan banyak buat dosa) dapat pergi ke Mekah mengerjakan ibadah haji serta selamat pulang tanpa mengalami apa-apa kejadian. Dia berpendapat atau menyangka, dengan 'reputasi' orang ini, patut sangatlah dia menerima balasan bila mengunjungi tanah suci Allah. Maka kalaulah orang ini diuji dengan macam-macam hal, misalnya tiba-tiba semasa tawaf tu terjatuh dan kena serangan strok terus ke...maka, bolehlah dia kata..."haaa...tengok, kan sudah terbukti, dia ini jahat...maka sebab itulah Tuhan balas kejahatannya on the spot". Puas sangat hatinya kalau ada berita-berita macam ini.

Eh...awak sakit, tahu? Hati awak tu ada penyakit!

Sebab itulah kot ramai orang-orang kita ini, tak pasal-pasal takut hendak pergi Mekah. Nak tunggu enjoy dunia puas-puas lepas tu agaknya baru hendak bertaubat, barulah berfikir hendak pergi. Semuanya nak tunggu tua ganyut baru hendak pergi walaupun berkemampuan, duit berkepuk-kepuk dalam simpanan. Sebabnya? Takut sampai sana kena ujian. Takut nanti orang semua mengata kat dia. Takut dengan bayang-bayang sendiri!

Janganlah macam itu.

Saya berterima kasih kepada Prof. Kamil yang menulis buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang telah membuka mata fikir saya dengan bahasanya yang mudah dan santai. Seorang yang merasakan dirinya terlalu kerdil dan jauh dari Allah...namun berusaha menggapainya dengan kepercayaan teguh atas luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Ternyata, Allah telah anugerahkannya kehidupan selepas haji yang lebih baik tanpa mengira apapun yang telah dia lakukan sebelumnya. Yang pentingnya adalah keinginan dan kemahuan untuk berusaha menjadi hambaNya yang baik. Kerana Allah itu tidak memerlukan apa-apapun dari kita. Dia tidak perlukan kita pun. Namun kita sangat-sangat perlu kepadaNya kerana kita tidak akan mampu bertahan dengan dahsyatnya azab Neraka. Jadi, siapalah kita untuk menentukan kesudahan saudara-saudara kita walau sejahat dan sehina manapun dia pada pandangan kita kerana di pengakhirannya yang akan membuat penilaian adalah Allah S.W.T yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tulisan sebegini benar-benar membakar keinginan untuk mengambil tindakan yang patut agar dapat menjadi tetamu Allah, insyaallah, dalam keadaan diri yang masih kuat dan sihat ini. Insyaallah.

Berhentilah menilai buruk orang lain kerana kita tidak sebenar-benarnya tahu apa yang sebenarnya berlaku kepadanya atau apakah yang telah dilaluinya. Allah Yang Maha Mengetahui. Allahlah yang tahu apa yang ada , baik yang zahir mahupun yang tersembunyi. Ada baiknya kita mendoakan saudara-saudara seagama kita mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya untuk mereka kembali ke jalanNya bukannya kita menambah dengan caci maki dan nista.

Tentang perjalanan ibadah haji itu...mabrur atau tidak, terpulanglah kepada Allah untuk membalasNya. Siapa tahu kalau-kalau doanya Allah terima. Kerana sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat.

Firman Allah dalam Surah Al-Maa'idah. Ayat 40 yang bermaksud :

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan syariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Berhentilah bersangka buruk dengan orang. Tidak usah direnung semut di seberang sungai sedangkan ada gajah berdiri di depan mata masih kita buat tidak peduli.

Jaga diri, hiasi peribadi.

Thursday, November 10, 2011

Bual Bicara

Menarik sungguh program Salam Baitullah semalam. Sayangnya saya cuma sempat tengok sebahagian, alhamdulillah, bahagian yang menarik bilamana tetamu jemputan tidak ragu-ragu, tidak teragak-agak, menyeru kepada penyatuan ummah. Kita harus bersatu. Dan tunjang penyatuan itu mestilah Islam. Bukan atas tiket kebangsaan. Tidak mengapa kalau ada perbezaan di mana-mana, pokoknya, kita menyembah Allah yang Satu. Kita berpegang kepada kitab Al-Quran yang sama dan kita mengikuti,mencontohi dan mencintai pemimpin yang sama Muhammad Rasulullah S.A.W.

"Unity in Diversity"...sebagaimana yang ditunjukkan dalam perlaksanaan ibadat Haji. Betapa hebatnya. Bayangkan kalau umat Islam mempraktikkan apa yang dilakukan sepanjang mengerjakan ibadah haji dalam kehidupan sehari-harian. Di sana, tanpa mengira warna kulit, rupa paras dan darjat, masing-masing tunduk patuh kepada Rabbul Alamin. Semuanya sama rata. Pengalaman di sana mengajar bahawa majoriti yang bersatu akan menjadikan kelompok itu kuat. Selama 40 hari itu diajar untuk bertoleransi. Untuk menerima satu sama lain dan belajar menghormati perbezaan yang wujud. Ianya bukan suatu kelemahan, bolehjadi ia akan memberikan banyak kelebihan. Bila sudah ramai-ramai begitu berkolaborasi menjayakan ibadah menyembah Yang Satu, maka terlihatlah kesepakatan dan perpaduan. Yang tak rajin sembahyang sunat, tiba-tiba jadi rajin. Hatta jadi hairan kalau tak nampak muka di masjid. Masing-masing berlumba-lumba melipat gandakan amalan. Yang tak bertudung pun jadi bertudung sempurna. Sebab, rasa janggal kalau tak tutup aurat sedangkan yang lain semua menutupnya. Begitulah keadaannya. Orang akan rasa janggal, pelik dan tidak kena untuk mempersoalkan kumpulan majoriti yang seia-sekata.Mereka tak berani hendak kata yang bukan-bukan kalau semuanya bersatu. Tapi kalau kita terpecah, serpih sana, serpih sini...memang senang sangat dibuli. Dan malangnya, sesudah diasuh dan dilatih bersatu di bumi suci sana, bila pulang...kita kembali kepada tabiat lama. Kalau di Mekah boleh sembahyang di awal waktu, pulang ke sini dilengah-lengahkan waktu. Bertangguh-tangguh. Kalau di Mekah, bersemangat sembahyang berjemaah tak tinggal, balik sini masjid yang sekangkang kera itupun jarang dijengah. Maka malanglah, kerana masing-masing buat hal. Buat hal sendiri-sendiri. Macam yang selalu orang dok kata, I punya kubur...I punya pasallah! Amboi...suka-suka je sebut kubur macam tempat melepak jer bunyinya.

Dan di Salam Baitullah semalam itulah saya tertarik dengan perbincangan konsep perpaduan ini yang seharusnya diterapkan kerana umat Islam sekarang hidup berpecah-belah. Sedangkan Islam mengajar sebaliknya, harus bersatu. Sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Imran, ayat 103 yang bermaksud, " Berpeganglah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah (yang diberikanNya) kepadamu, ketika kamu dahulu telah bermusuh-musuhan lalu dipersatukanNya hati-hati kamu sehingga kamu menjadi bersaudara di atas nikmatNya. Dan adalah kamu di atas pinggir lubang neraka, lalu Allah melepaskan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, mudah-mudahan kamu menerima petunjuk".

Itulah kunci kemenangan umat Islam. BERSATU & BERPEGANG TEGUH DENGAN AGAMA ALLAH. Kalau bersatu atas sebab-sebab lain, bersatu atas dasar kaum dan kepentingan politik, percayalah , ia tidak akan berhasil.

Betul seperti kata ahli panel Salam Baitullah itu semalam, kita tidak punya banyak masa. Dan kita tidak punya alasan untuk tidak mahu bersatu. Kita sudah mula dikeronyok dari segenap penjuru. Kalau kita masih dengan sikap tak apa dan biarlah, janji tak kena kepada kita...tidak mustahil dan memang sudah terjadipun, Islam akan kembali menjadi dagang, sama seperti saat ia mula datang dulu.

Tahniah kepada penaja program dan tenaga produksi Salam Baitullah di atas perbincangan yang menarik seperti itu. Kebetulan saya sempat juga tengok program bual bicara TV Al-Hijrah berkenaan agenda di sebalik penganjuran Seksualiti Merdeka. Perghh...perbincangan yang sangat mantap! Sangat-sangat suka dengan ketelusan perdebatan. Sesuatu yang saya tak pernah terfikir akan lihat di kaca TV. Tahniah juga kepada Al-Hijrah.

Mudah-mudahan akan tiba masa dan ketikanya yang kita semua sama-sama nantikan. Insyaallah.

Wednesday, November 09, 2011

Dipenjara Nafsu

Betullah tu...mana ada kebebasan yang betul-betul lepas bebas. Tak ada. Hatta alam pun ada peraturannya, inikan pula kita manusia. Tak payahlah hendak dipersoalkan lagi. Terpulang kepada Maha Pencipta. Begitu diciptakanNya. Siapa kita untuk bersikap kurang ajar? Bercakap macam kitalah pemilik jiwa raga dan kitalah yang menentukan segalanya. Bercakap macam tak pernah tahu wujudnya Tuhan.

Semuanya berbalik kepada tujuan asal penciptaan manusia. Mengapa Allah menciptakan manusia? Untuk apa? Untuk dibiarkan lepas bebas tanpa sebarang tanggungjawab? Terbang bebas macam layang-layang terputus talinya? Kehidupan yang tanpa pedoman. Tanpa peraturan. Tanpa batasan. Itukah yang dinamakan kebebasan? Kalau begitulah kebebasan yang diburu, apa bezanya kita dengan haiwan? Haiwan begitulah...buat apa sahaja kerana ia tidak punya akal. Ia bebas berbuat apa sahaja. Harimau boleh membunuh rusa bila-bila masa tanpa perlu risau akan dosanya. Anak kucing jantan boleh sahaja membesar dan kemudian menjadikan ibunya sebagai 'bini' tanpa perlu berhadapan dengan tentangan daripada masyarakat kucing. Tak ada masalah. Haiwan tidak perlu bertanggungjawab dengan perlakuannya jadi buatlah apa sahaja, tidak ada istilah dosa dan pahala padanya.

Jadi, kita yang konon bertamadun dan maju serba serbi ini sedang menuju era kebinatanganlah nampaknya...

Hawa diciptakan untuk menjadi pasangan kepada Adam. Lalu untuk kesejahteraan hidup manusia dan tanda kebesaranNya diturunkan Al-Quran sebagai pedoman menerusi RasulNya yang menerangkan dengan lebih jelas peraturanNya. Dijelaskan peranan lelaki sebagai pemimpin (ketua keluarga). Dan wanita sebagai isteri yang melahirkan zuriat keturunan. Kemuliaan wanita terjaga dan terpelihara oleh Islam. Lalu diperkukuhkan institusi asas ini dengan peraturan-peraturanNya. Dan nikmat yang mana satukah hendak kita dustakan?

Tetapi entah macam mana...di zaman serba moden ini ada pula yang merasakan peraturan ini sesuatu yang mengongkong lagi menindas. Kelompok-kelompok aneh ini telah semakin berkembang biak, menagih pengiktirafan. Atas nama kebebasan. Mereka rasa tertindas dengan persepsi masyarakat dan tindak balas masyarakat. Mereka mahukan ruang untuk hidup aman damai macam manusia lain. Jadi, tak mengapa kalau Ali tidak mahu berkahwin dengan Gayah kerana Ali tidak ada perasaan kepada Gayah. Cinta Ali hanya kepada Abu dan masyarakat harus faham situasi Ali. Kesian sebab jiwanya yang terbelenggu. Kerana hakikatnya, dia perempuan yang terperangkap dalam badan lelaki...euwww...kamu fikir Allah itu apa? Apakah Dia bisa membuat kesilapan seperti kita? Hakikatnya, Ali dan Abu tak mahu fikir tentang peraturan-peraturan yang sudah Allah tetapkan. Kerna menuruti hawa nafsu itukan lebih enak? Ali dan Abu hanyalah satu contoh penyatuan yang terlarang dan gambaran betapa seriusnya kegagalan akidah dan iman berfungsi dalam diri umat masa kini. Apabila hanya akal digunakan untuk membuat pertimbangan, maka semakin membuak nafsu bermaharajalela kerana iman semakin terpinggir. Sedangkan iman sepatutnya memandu akal agar jelas terlihat yang benar dan salah.

Mungkin mereka terlupa dahsyatnya azab yang menimpa kaum Nabi Lut.

Ingatlah betapa pedihnya balasanNya. Janganlah terlalu menurutkan kemahuan diri kerana ianya hanya valid di dunia yang sementara ini. Kepuasan yang diperolehi hanya sebentar sedangkan azab menentangNya kekal selama-lamaNya , nauzubillah.

Mungkin definisi 'merdeka' itu patut diubah. Merdeka yang bagaimana? Kalaulah diri masih saja terpenjara oleh kemahuan nafsu semata...dan diri tidak berupaya menentangnya, sebaliknya tunduk kepada kemahuan serakah sedangkan tahu bagaimana pincang dan haru birunya masa depan...ternyata kamu pejuang yang tewas dan tidak mungkin 'merdeka'!

Seminggu Menyeri Rumah

Hakikatnya, saya sama juga seperti surirumah yang lain. Berpagi-pagi ke pasar. Membeli ayam, membeli sayur...sama-sama menatang bakul plastik kecil, berebut-rebut mengisinya dengan bawang merah, kentang, halia dan err...sup bunjut! Rasa seronok, berbeza sebenarnya membeli di pasar (wet market) dengan membeli di pasaraya besar.

Bila menjadi surirumah, ada-ada sahaja benda yang hendak dilakukan. Dalam pada meneguk air untuk menghilangkan dahaga, mata terpandang akuarium ikan puyu. Aisey...belum bagi makan. Cepat-cepat tangan mencapai bungkusan makanan ikan tropika. Belum reda puyu berloncatan, terpandang pulak bakul kain baju yang belum bersidai. Ampaian di balkoni boleh tahan penuh. Kena angkat jemuran dulu sebelum digantikan dengan kelompok baru heheh...lantai pula mula terasa melekit, hemmm...nak kena mop lepas ni. Dalam ke hulu hilir, keluar masuk dapur...tersedar beg pasar tadi belum bersentuh. Nak kena keluarkan ayam ni. Sekilo ayam kat pasar sini RM7.50. Hemm...bolehlah, kan? Tadi habis dalam RM30 sahaja...eh..orait la tu, ye tak? Kalau masuk pasar besar, jangan haraplah angkanya puluh-puluh...entah apalah yang diangkut masuk troli tu...nafsu...nafsu...

Tapi yang pastinya, dalam sibuk menguruskan rumah...lap top saya ternganga atas meja. Lemas sebenarnya bercuti dan berada di KL. Dan mengetahui yang ada banyak kerja-kerja pejabat yang masih perlu berjalan. Ada tugasan yang perlu dibereskan. Jadi, perasaan risau dan hendak mengambil tahu banyak perkara itu menjadikan percutian ini sesuatu yang mengusarkan. Perasaan bersalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi sebetulnya, saya juga tak mampu mengelak daripada mengambil cuti. Minggu ini giliran saya. Berselang-seli dengan suami menjadi 'bibik' bak kata Aiman. Cuma yang tak best tu tang perasaan rasa 'bersalah'. MS Outlook pulak buat hal...lagilah terasa terpencilnya hidup. Aduhai Telipuk...berbaik sangka dan berfikiran positiflah. Insyaallah, rakan-rakan seperjuangan sangat memahami dan mereka tak ada masalah menangani tugasan yang ada tanpamu. Kenapa ek risau sangat...??? Kan bagus kalau risaukan keselamatan di akhirat macam ini...ini tidak, balik-balik dunia jugalah yang mengisi kotak fikiran. Bukan...bukan macam tu, saya ni risau kalau-kalau disebabkan saya bercuti ini, menyusahkan orang lain pulak...saya tak kisah yang bab kerja tu, tapi saya risau hubungan dengan orang. Manalah tahu kan ....hah...hah...dah mulalah tu, suka sangat cipta senario entah apa-apa...:). Alhamdulillah, saya sudah siapkan dua tugasan saya...heheh...cuma tinggal untuk perkara-perkara yang memang rakan2 sejawatan sudah tahu bahagian masing2. Cuma kalau boleh saya ingin sama-sama berkongsi sukarnya membuatkan orang lain memahami keperluan kita dan seterusnya melunaskannya tanpa perlu berdolak-dalik. Tak mudah sebenarnya mengkoordinasi untuk sebuah syarikat sebesar ini. Banyak orang, banyak ragam. Saya doakan urusan teman-teman saya di pejabat dipermudahkan Allah, supaya kita punya ruang untuk mengingatiNya dan tidak semata-mata menjalani hari dengan bebanan tugasan kerja duniawi sahaja.

Oppsss....apa saya buat ni, masih menaip di blog sedangkan ada sekian banyak kerja yang menjerit-jerit memanggil pinta dilaksanakan. Entahlah, mungkin bila mod surirumah serba boleh itu saya aktifkan, makanya, empangan idea untuk penulisan blog yang tersekat kebelakangan ini telah melimpah-ruah...hahaha...

Di mana-mana pun kita, berusahalah memberi yang terbaik dalam apa jua peranan, walau sekecil manapun pada pandangan orang...yang penting, ikhlas dan amanah dalam tugasan yang diberi, ya? Gambatte ne...!