Showing posts with label JJCM. Show all posts
Showing posts with label JJCM. Show all posts

Monday, April 18, 2016

Na na na na na...'Ganu Kite

Minggu lepas, Telipuk ke Terengganu. Telipuk memilih untuk tinggal di Felda Residence KT. Itu pun Telipuk tempah melalui Expedia sahaja. Trend zaman ICT macam itulah, serba-serbi online. Mudah dan menyenangkan urusan. Ingatkan Telipuk seorang je bakal tersadai kat sini, rupa-rupanya semua geng rombongan pun memilih hotel yang sama. Hahaha...

Oh ya, Telipuk ke sini atas urusan kerja bersama beberapa orang anggota bahagian Kawalselia. Acara berlangsung di Marang sebenarnya tapi sengaja Telipuk nak tinggal di KT sebab nak 'menyeleweng' senang...hahahaha.  Memang beres lah sebab Telipuk datang dengan memandu sendiri. Ingat nak naik flight, tapi macam teringin pulak nak beli keropok lekor lebih sikit...dah tu...payah kan nak angkut kalau naik kapal terbang...er...er...alasanku benar belaka...;)



Ruang lobby di aras 2 yang benderang disimbahi cahaya remang senja. Senja? Ye...Telipuk sampai dah nak dekat pukul 7 malam dah. Masa bertolak dari pejabat ialah sekitar ham 11.30 pagi...kira tengok...7 jam lebih no memandu. Awat tak lambat sampai...memanjang menyinggah...


Duduk sorang-sorang...tapi sokmonya tak lekat kat bilik. Penuh dengan agenda. Hahaha.

Agenda keropok lekor. Memang bahaya betul pergi Terengganu ni...kemaruk makan keropok lekor bukan main. Tu lah padahnya bila orang yang tak makan ikan ni jumpa keropok ikan. Hari-hari nak makan kopok lekor.


Yang ini Telipuk makan masa dalam perjalanan ke KT. Singgah kat Kemaman sanggup tu...keluar LPT dan memandu keluar ke bandar Kemaman. Lepas puas hati makan , masuk LPT balik. Aiyooo..menyesal tak menapau secukupnya. Sedap sangat keropok lekor Kemaman ni.


Malam first tu...Telipuk makan kat area Waterfront. Makan western. Amik ko...chicken chop settle...siap order keropok lekor lagi. Malangnya keropok lekor yang tu tidak menepati piawaian Telipuk. Aisey...ingatkan asal keropok lekor Terengganu...kat mana-mana pun pasti sedap. Owh...bukan begitu ye...ok...ok...noted.


Hari training tu, otw ke Medan Jaya, Marang - Telipuk nampak banyak gerai-gerai menjual keropok di tepi-tepi jalan. Excited rasa! Tapi bila habis training, lalu balik jalan tu tengok banyak yang dan mula tutup...laaaa...awai na hampa tutup...ishhhh!


Sempat berborak dengan staff Terengganu, tanya brand keropok kering yang afdhal untuk dibeli. Depa kata gi cari yang dari Pengkalan Setar. Tu nama tempat pembuatan keropok, brand mungkin berbeza. Wahhh...bagus tips nih. Dan kalau nak yang keropok lekor pun cari yang belah-belah Seberang Takir sana....owhhh...ingatkan nak gi Pasar Payang saja...hemmm...



Malam kedua Boss Terengganu belanja makan kat restoran ikan bakar. Hemmm...sian siakap tu...Telipuk jeling pun tak. Tapi yang sotong goreng celup tepung ni memang win lah! Terus lupa bab nak bilang kalori...apa barangggg...


Tomyam seafood yang sangat kaw! Cuma yang tak bestnya boleh dema letak ikan dalam tomyam ni...duhhh...bikin terencat gue punya selera. Ini yang rasa balik KL mesti nak pekena tomyam Absolute Thai tu...


Terengganu bukanlah tempat yang bagus untuk manusia yang cuba mengekalkan berat badan...hahaha. Asyik rasa nak membaham jer. Rugi kan datang tempat orang lepas tu sibuk cari roti...sangat tak sesuai okk. Tak pe lah...makan jer lah...dah rezeki jangan ditolak.
(Ayat penyedap hati).

On the way balik, Telipuk singgah Pasar Payang...cuma beli keropok kering Pengkalan Setar je...tak jupo kopok lekor. Memang kena cari kat tempat lain katanya. So, Telipuk malas nak fikir lama-lama...on Waze dan cari keropok lekor Bukit Tok Beng. Femes kata dema...apalagi, moh ler! Cuak juga sebab takut orang ramai dan katanya siap ada sistem nombor giliran...iye??? Serius sedap la tu kot. Nasib baik Telipuk pergi tu kira masih awal dan hari kerja pulakkan...terus jer lah tuju ke kaunter dan order. Diaorang dah siap 10 batang dalam satu pack yang divakum supaya tahan lebih lama. Harganya RM10.50 satu pek. Telipuk beli 10 pek. Nampak tak tahap kronik kemaruknya tu...sampai KL terus petang tu boleh buat makan petang...nyummmiesss....


Sunday, September 15, 2013

JJCP@ Bukit Melawati, Kuala Selangor

Hari Sabtu lalu,kami sekeluarga membuat aktiviti 'jalan-jalan cari pasal' ke Kuala Selangor. Ini merupakan kunjungan pertama Aku dan anak-anak. Bapaknya kata dah pernah ke sana masa lawatan sekolah rendah....chehhhhh...itu sudah berabad nunnn! Bawa Mak jalan-jalan sekali. Idea hendak ke sana pun sebenarnya daripada buah fikiran Mak juga. Tapi cadangan Mak ialah nak ke Sepang...entah dokumentari mana yang dia tengok kat tv...terus keluar nama Sepang. Lepas tu dia tukar fikiran nak ke Nilai pula. Hahahaa....okaylah, Mak nak keluar ronda-ronda makan angin kannn....asyik dok ulang Tesco-Giant-AEON Big....apa barangggg!!! Heheh...biasalah, orang ni nama ja duduk KL...hujung2 minggu tetap suka memerap dalam rumah.

Aku fikir, kalau nak ke Sepang...macam tak  ready pulak...Sepang aktiviti di sana lain. Mungkin ke pantai, mungkin makan seafood. Tengok matahari terbenam ke apa. Kena proper plan ni...Nak ke Nilai, bolehlah kalau ada benda nak cari...setakat nak cari kain baju, Jakel dengan  Nagoya jer dah cukup bagi Aku. Tapi...yolah...yolah...Nilai dokek yooo...nantilah mana-mana satu weekend yang sesuai, boleh pecut kejap singgah situ kasi puas hati.

Jadi, Aku pun mencari-cari tempat yang semua orang boleh appreciate...tak jauh sangat dan boleh buat beberapa aktiviti. Ada bahagian sejarah, ada keindahan alam...dan ada makan-makan. Tiba-tiba teringat Kuala Selangor. Bila google, eh...macam best pulak. Pagi dah pukul 10 lebih, baru kami bertolak keluar. Aku tahu boleh ikut lebuhraya LATAR, lalu belakang Bandar Tasik Puteri....tapi saja ambil NKVE dan lalu jalan dalam tembus keluar dekat rumah Khairi. Alang-alang lalu Kampung Sementa, singgah tengok diaorang ada kat rumah tak? Langkah kanan...depa ada lalu terus jam jam tu jugak, ajak depa join sekali. Heheh...gayung bersambut....apa lagi...rancangan redah jer ni terus menjadi.


Dari tempat parking, kami dah boleh nampak monyet ni. Bulunya berwarna hitam dan ekornya panjang. Rambut ala 'punk' cacak-cacak gitu...Walaupun ramai, dema tak kacau orang. Lepak-lepak tunggu kalau-kalau ada pengunjung yang nak hulurkan makanan.


Ikutkan maklumat yang Aku cari di internet, kalau korang datang hari kerja (selain cuti hujung minggu atau cuti umum), boleh memandu kereta naik ke atas Bukit Melawati. Hari-hari lain, kereta tinggal di bawah dan boleh ke atas dengan menaiki tren dua gerabak ini.


Bayaran yang dikenakan ialah RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.  Anak-anak Aku memang suka sangatlah hari tu. Suka tengok monyet dengan dekat dan bila naik tren tu, tak sudah-sudah diaorang mengingatkan kes tersilap naik ride kat Genting dulu...hahaha...tapi tren yang ini tak adalah serupa itu.


Bila sampai di atas, kami semua turun dengan di sambut oleh monyet-monyet yang  berkerumun meminta makanan. Pengunjung boleh habiskan masa di atas sementara menunggu tren datang lagi 30 minit kemudian untuk turun semula. Kalau rajin, boleh jer menapak ...bukan jauh sangat pun...tapi since rombongan kami ada warga emas, warga intan, warga perak bagaiiii...kita santai-santai sudahlahhh.


Tengoklah monyet tu, tak segan silu tarik kaki seluar Encik Suami nak minta makanan. Ada yang sengaja biar panjat sampai ke bahu...Nasiblah monyet ni jenis jinak dan biasa dengan manusia. Aku tepuk-tepuk kepala dia pun...dia buat derk jerrr. Ada dua jenis...yang kaler perang spesis kera biasa pun ada, tapi yang tu tak jinak macam yang kaler hitam ni.
 Dekat atas tu, ada beberapa orang penjaja menjual makanan untuk diberi kepada monyet. Secekak kacang panjang yang dikerat sepanjang 10cm dijual dengan harga RM1 seikat. Aku beli dua ikat. Sebab tak biasa, bila dikerumun dek monyet, terus dia sambar yang seikat...Aku tak sempat nak halang. Lepas tu penjaja tu nasihatkan, kacang tu sorok dalam poket. Keluarkan satu persatu masa nak bagi dia makan. Barulah dia tak gelojoh sangat nak 'merompak' makanan tu. Ooooo...macam tu yer...lain kali, baik Aku pi pasar jer beli kacang panjang siap-siap....murah pun murah. Boleh bagi makan sampai kenyang. Mak Aku kata...awatlah bagi kacang panjang...tak kembung perut ka monyet tu...kesian depa....bagilah yang sedap sikit...kacang cap tangan Ngan Yin kaaaa...hehehe...


Di atas tu juga ada rumah api yang katanya masih berfungsi. Tapi, tak pula boleh masuk ke sana.


Boleh nampak pemandangan kuala Sungai Selangor dan Selat Melaka. Kalau naik atas rumah api, gamaknya lagi boleh nampak pemandangan negeri ini kot. Awesome!!!


Oh ya...monyet ni, anak kecil dia berbulu warna keemasan semasa kecil...dah besar baru tukar kaler hitam. Comellll...
 Kami singgah mengunjungi Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang merakamkan pelbagai kisah lampau menarik tentang latar belakang Kuala Selangor, pemimpin dan penduduknya.


Semangat pula tengok bendera berkibar dengan berlatarbelakangkan rumah api...bangga dan syukur menjadi warga Malaysia...(entri sempena Hari Malaysia err...seronok dapat cuti 3 hari...tu yang teruja lebih tu...)

Cukup 30 minit, tren pun datang semula. Menurunkan kelompok pelancong yang baru sampai dan membawa turun kami yang dah puas main dengan monyet. Hahaha.


Masa turun tu, dah pukul 2 lebih. Jadi, masing-masing terus tuju ke masjid lama  Kuala Selangor yang terletak berhampiran tempat naik tren untuk menunaikan solat zohor. Lepas solat, perut pun sudah lama berkeroncong...jom makan! 

Mak mertua Khairi mengajak kami ke tempat makan ini. Dekat-dekat situ juga. Sebab kami sampai sudah pukul 3, buffet tengahari yang tinggal tu pun dah ala kadar jerlah. Semua orang makan nasi termasuk dua orang yang memesan nasi ayam. Aku minta mee bandung dan paling last habis makan sebab kena tunggu sekejap dan bila sampai...panas-panas...kena tunggu sejuk la pulak. Haishhh...salah perkiraan...tapi tak menyesallll...sebab sedap juga rasanya tu.


Habis makan, kami pun bertolak balik. Tapi sebelum tu, singgah ke Pasar Pasir Penambang. Katanya ini tempat ikan-ikan segar di bawa untuk dijual...Mak tak berapa suka beli ikan di pasar dekat rumah kami ini sebab katanya ikan tu  dah lama...hanya dok bertahan sebab dibekukan dan ditaruh ubat. Isinya dah tak manis. Aku yang tak makan ikan ni memang payah nak fahamlah kannn...;) Lately ni, Aku beli ikan kat pasar malam jer...beli stok seminggu...Mak kata ikan pasar malam lebih baik rasanya. So, yang kat Pasir Penambang ni...ikan baru naik dari laut...waaaaahhhh...mesti lagi sedap kottt!


Banyaknya ikan...dengan ketamnya ya Allah...besar-besar...gemoks-gemoks...gerammm Aku. Tapi Aku tak beli...hahaha...nak beli pun nak simpan kat mana...peti ais kat rumah tu dah penuh dengan stok ikan seminggu dan ayam seminggu.


Masa Aku kecil-kecil dulu, jangan haraplah Aku nak masuk pasar....sanggup tunggu Mak kat luar. Sebab kalau Aku masuk, mesti Aku muntah punya...teruk sungguh!! Tak beli ikan, tapi kat luar tepi jalan nu...Aku nampak sesuatu yang Aku suka...yessss...jagung rebus! 3 biji RM5. Marbelessss jagung ni...sedap, manis dan lembut. Sebatang tak cukup untuk Aku sorang...


Alhamdulillah, selamat pergi dan selamat kembali. Sukanya...dapat juga Aku sampai Kuala Selangor. Next Aku nak plan ke Sepang pulak...minggu depan memanglah sampai sana...ke KLIA...tapi yang plan nanti nak cover kawasan persisiran pantai dan nak makan ketam tiga rasa...huahuahua...bila la tu yer?

Tungguuuuu....

Tuesday, June 11, 2013

Bila Ikan Pun Menari

Lama betul tak menari eh....menari apanya pulak, maksud saya, dah lama tak buat kerja makan bersama-sama ini. Yang part menarinya tu terkeluar sebab aktiviti ini kami jalankan di restoren 'Dancing Fish' di Bangsar Shopping Complex.

Paling best sebab geng lama yang dah dekat 3 tahun berhijrah tu yang mengajak. Member pulak bercuti...sedaplah, transport disediakan pergi dan balik. Yang payah nak jadi pun, boleh jadi...alhamdulillah, rezeki, kan? (Dahlah dia yang mengajak, dia jugak yang membayarnya...kecil tapak tangan...). Toche cheche...


Ada orang tanya, "Awak pergi restoren Ikan Menari tu...awak makan apa ek?". Ehhhh...mestilah kita makan ayam. Tak kan nak makan ikan kotttt...hahahaha....nama jer nama ikan, masih ada lagi makanan lain yang orang tak makan ikan boleh makan. So, siapa-siapa yang tak makan ikan, jangan risau...pilihan banyak la , beb! Ini ayam panggang...bila save gambar elok jer...bila paste kat sini, lain la pulak...huh...belasah jer la.



Ada kerabu buah belimbing besi (starfruit) yang disertakan bersama hidangan sate daging.


Nasi warna kuning...tak berusik pun sebab semua orang dah kenyang...nak habiskan nasi putih pun berchenta....rasanya tak ada siapa yang menambah pun walaupun pelayan sibuk bawa nasi tambah ke sana ke mari menunggu diminta tambah. Kami sebenarnya ambil set makan berhidang untuk 4-5 orang. Inilah juadah yang ada dalam pakej ni. Memang cukup untuk semua dan mengenyangkan. Rasanya portion kat Naili's lagi besar.


Yang ini pulak first time cuba...ketam berkulit lembut. Kalau ketam biasa mahu jenuh nak mengopek isinya. Tapi yang ini, boleh ngap cenggitu jer...semuanya sekali termasuk sepitnya, lembut jer.


Masak lemak pucuk paku. Geng kata sedap...tapi tak dapatlah nak rasa sebab saya tak makan pucuk paku.


Sate ini pun sedap dan lembut aje.


Tofu telur. Sedap aje. Orang belanja lagi...mestilah bertambah-tambah kesedapannya...hihihi.


Kerabu mangga muda dan hiasan daun salad


Inilah dia 'dancing fish' tu...sebelum 'teruk' dikerjakan . Kalau kat Naili's...sepinggan pesanan tu dapat dua. Menu 'Twin Mermaid'.


Pencuci mulut...mula-mula den jual mahal tak mahu makan...ingatkan telur ikan ka apa tu? Tapi depa kata bukan....bukan telur ikan. Cer rasa...cer rasa....haah la, macam rasa buah jentik-jentik dengan sumi jelly yang manis. Dimakan sejuk pula. Hemmm...nyamannnnn...


Motif entri ini ???

Saja jer nak update member yang tak dapat ikut tu kan....hahahah....

Lain kali haaaa....

Tuesday, October 09, 2012

Oh Wau (Wow)!

Korang ingat tak satu rancangan TV zaman dahulukala semasa masih kecil-kecil dulu...zaman TV ada kaki dan cover dia jenis gelungsur berlipat-lipat tu...hehehe...klasik! Tak silap Saya judulnya "Peristiwa". Ya ya ya... Saya memang bukan muda lagi...(walaupun tetap saja punyai hati yang muda remaja...hahahaha...).

Bukan hendak berceloteh tentang kisah lama, cuma tiba-tiba teringat kisah-kisah lama bila berada di suatu tempat yang dihias ala-ala rumah dulukala. Oh...kejadian ini berlaku dua minggu sudah. Tak sempat hendak buat laporan. Edisi "Jalan-jalan Cari Pasal" (JJCP) musim baru...hehehe.



Kali ini 'krew' JJCP singgah 'bersiaran' di sebuah tempat makan bernama "Wau Penyu" yang terletak di Publika, Solaris Dutamas. Ia adalah lokasi pilihan saat-saat terakhir. Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya makan satay dan mee bandung di Satay Station, Mont Kiara. Malang sekali...sesudah menempuhi jalan yang macet amat...sekali restoran tu tutup daaaaa...Apa lagi, BGA yang agak arif dengan persekitaran di situ, segera mencadangkan Wau Penyu ini.

Apa istimewanya Wau Penyu? Dekorasinya kah? Atau menunya? Dekorasinya memang tampak berbeza, tengoklah gambar-gambar lama yang menghiasi dinding tu. Rasa macam berdiri kat dinding rumah tok suatu masa dulu. Dindingnya papan. Erk...papan yang sudah ditempa di atas permukaan batu lah wey...kok rumah papan betul, haru jugak! Ada sebuah pintu kayu gelap yang siap ada selak kayu...fuuuu....terimbas kenangan lagi.

Masa dulu, rumah atas tok saya, bahagian  serambi dengan beranda dipisahkan dengan pintu kayu yang berat tu. Time-time senja, tok akan suruh kami naik tutup segala pintu dan tingkap...bila ditutup satu persatu...mulalah gelap dan semakin gelap...dan laaagiii gelapppp...Yang tak best tu saya yang selalu jadi 'mangsa'...yang lain-lain akan tunggu di tangga, kononnya meneman...sekali baru nak tutup tingkap yang last, depa semua cabut lari tinggal saya terkial-kial nak membolos sama...hantu betul!!!


Oh ya, di atas ini ialah menunya. Lupa nak habaq, menu dekat sini berkonsepkan citarasa pantai timur iaitu belah-belah Kelantan dan Terengganu sana. Jadi, yang suka makan nasi dagang, nasi kerabu bagai...bolehlah mai cuba kat sini.



Tak ramai pelanggan semasa kami sampai. Tu yang lagi best.



Sementara menunggu hidangan yang dipesan sampai, 'perwakilan' yang ada pun memulakan perbahasan serius tentang bagaimana seharusnya belanjawan 2013 dilaksanakan...semestinya perjumpaan ini adalah di saat-saat kehangatan belanjawan melanda negara...kakaka...



Memandangkan subsidi gula sudahpun dikurangkan, maka, eloklah penggunaan susu ditambah...errkk...emmmm...kopi 'kaw' siapakah ini? Aromanya menggoda jiwa.

"Kopi susu kurang manis tambah gula
Badan lesu kerana hati tergoda
Kopi susu dicampur gula melaka
Kerna nafsu badan menjadi merana"


Amboihhh Telipuk...cendoi ka? Walaupun tahu saya akan sering ter'kachewa' , saya tetap juga tega memesan cendol dengan harapan (suatu hari nanti) akan ditemukan dengan cendol yang benar-benar sejati...huhuhu...

Sayang seribu kali sayang...masih hampa. Cendol yang saya paling suka...tekstur aisnya halus mulus gebu...ok...bukan yang sebijik-sebijik macam gigit ketul ais. Then, air gulanya mesti air gula merah...yang hitam pekat warnanya...bukan yang keperangan tu. Dan lagi cendolnya cantik kenyal-kenyal, harum pandan terbau. Santannya harus yang benar-benar ori. Lemak manis berkrim...aduyaiiii...rindunya saya dengan cendol seperti itu. Haruslah saya balik PB meneruskan pencarian...itupun kalau gerai tepi jalan keretapi itu masih ada....haissshhhh!!!


Tak puas-puas makan laksa kamu ni ya...heheh...patut cubalah nasi kerabu, ini tidak...balik-balik laksa. Kalau laksam pun ya ampun juga, kan? Ini tidak, dia cari laksa stail dia jugak. Sedap aaa laksa dia...kuah pekat sungguh sampai rasa bersalut tekak ni...mungkin kalau kepekatan tu dikurangkan sedikit, lebih elok sikit pada selera saya. Dan mak oiii...banyaknya letak...teloq sebij dia bubuh...tu yang mencungap nak habiskan.Boleh dimakan, tapi tak boleh buat selalu aaaa...hahaha....


Punyalah belek menu macam beriya-iya je...last-last yang dipesannya ialah mee goreng dengan telur mata kerbau. Laaaaa Lotuslily ni...itu macam kalu, makan kat gerai tepi sungai pun dah sedappp...hehehe


BGA kata Nasi Kerabu ni sedap....!!! Boleh makan lagi lain kali kalau mai lagi. Hemmm...masa saya kat Kelantan dulu, masa tu bercuti kat rumah roomate, mak dia masak nasi kerabu dengan daging bakar. First time cuba dan rasa sedappp...Tapi lepas tu tak pula teringin hendak cuba lagi...hehehe...Agaknya kena dok kat Kelantan baru semangat nak ubah selera tu datang kot... 


Yang ini pun dah bertahun saya pesan kat diri saya supaya cuba tapi sampai la ni saya belum cuba-cuba lagi. Laksam ini Sheema kata sedapppp.  Tak retilah nak makan laksa bersantan nih...Ada taugeh lagi. Kalau kat KL ni tengok orang jual laksa hias dengan kobis pun saya dah tak jadi beli...owh so menjejaskan selera! Tapiiii kalau nampak hirisan nenas dengan petis udang...pergghhh...meleleh ayaq lioq...nyum...nyummm!

Eh....sedap makan kat sini. Santai dan selesa. Yang kalau saya komen tu bukan apa, saya yang mengada-ngada...tak selera konon...tapi bantai laksa habis juga...cuma cendol je tak mampu nak habiskan sebab sangat tak kena dengan tekak. Patut minta iced lemon tea macam selalu jer kan...tu lah, mengada sangat!

Okay, nanti bila lapang kita buat JJCP ajak boss sekali ek...hahaha...memang nak cari pasal!!!

Wednesday, April 18, 2012

JJCMlah Lagi

Dua minggu sudah, kami sekeluarga sempat singgah di Bangsar untuk makan tengahari sebelum menyambung 'pengembaraan' ke Digital Mall, PJ. Destinasi JJCM pilihan kali ini, tak lain tak bukan - Madam Kwan's.

Bila sampai terus pesan Asam Laksa, tak payah tengok menu lagi dah.



Anak-anak memilih Chicken Chop.



Mak tak mahu makan banyak. Kenyang lagi katanya. Jadi, dia cuma minta cendol. Nyaris Aku nak minta tambah Sago Gula Melaka...heheh...



Tidak ketinggalan, goreng pisang dengan ais krim vanilla ni. Minta dua set pulak tu. Haish...



Alhamdulillah...selamat sejahtera...



Hujung minggu baru ini kami ke tempat 'lepak' baru yang mula menjadi destinasi pilihan - Festival City.



Tempat ini baru sahaja dibuka hujung tahun lepas. Agak happening jugak la sebab ada banyak pilihan kedai emas...heheheh...Kalau nak beli barang dapur pun senang sebab ada Econsave. Nak makan pun senang juga sebab banyak pilihan.

Kami pergi Kenny Rogers aje la.















Alhamdulillah.