Minggu lepas Aku menghadiri bengkel kerja yang berlangsung di Khazanah Nasional. Walaupun itu kali pertama menjejakkan kaki ke Menara UEM, KL Sentral, Aku dengan yakinnya mengambil keputusan untuk memandu ke sana.
Kalau ikutkan Aku memang sampai awal di sana, kalaulah Aku tidak kesesatan. Aku cuma membayangkan duduk letak Mercu UEM berdasarkan panduan peta. Sudah lama tidak memasuki Jalan Travers dan Jalan Tun Sambathan, Aku sedikit kelam-kabut mengambil lorong, almaklumlah, dengan teksi yang banyak dan bas Rapid KL di kiri-kanan, sukar untuk menganggar jarak dan bila mahu membelok kali pertama ke sini memandu sendiri. Sudahnya, Aku salah masuk jalan dan terpaksa membuat pusingan semula untuk masuk ke Jalan Sentral 5. Bila sudah dapat masuk jalan itu, masalah parking pula. Tak dapat parking di Mercu UEM. Jadi, Aku kena pusing lagi.
Yang bagusnya tu, bila pusing keluar Aku sudah salah ambil jalan keluar ke Jalan Tun Sambathan. Kemudian, lagi lebai malang sebab terlajak sampai terlepas susur keluar ke Jalan Bangsar, sebaliknya Aku terus ke Jalan Tun Tan Cheng Lock. Dari situ, memang tiada pilihan selain terus ke hadapan sehinggalah melalui Pasar Seni, Kota Raya dan Jalan Tun Perak. Malangnya Aku tersangkut agak lama di situ dek kesesakan pagi hari kala pemandu-pemandu berlumba-lumba ke tempat kerja. Hendak ketawa pun ada, hendak menangis pun ada. Apa boleh buat, tiada gunanya menangisi susu lembu yang sudah tumpah...heheh....
Bila dapat masuk melalui Dataran Merdeka itu barulah terasa boleh bernafas semula. Masa itu cuma tinggal beberapa minit sahaja sebelum acara bermula. Jadi, Aku bulatkan tekad akan parking di tempat parking kereta umum yang pertama Aku jumpa tanpa mempedulikan jauh atau dekat jarak ke Mercu UEM. Aku dapat masuk ke basement parking Plaza Sentral. Lama juga mencari ruang dan membiasakan diri dengan selok-belok dan jalan sempit macam lorong tikus di dalam sana. Apatah lagi banyak lot yang sudah ditandakan nama. Mujurlah Aku dapat juga tempat parking.
Dipendekkan cerita, syukur alhamdulillah, Mercu UEM hanya berhadapan dengan Plaza Sentral. Terdapat laluan pejalan kaki disediakan dan Aku berhasil sampai sebelum acara bermula. Lega. Itu pengalaman memandu di sana. Rupa-rupanya ramai orang mengatakan mereka menaiki LRT sebab sukar memandu ke sini dan mencari tempat letak kereta adalah antara pengalaman 'ngeri' kebanyakan orang...huh? Kalau Aku tahu, dah sah Aku naik LRT aje.
Oh ya, acara tamat jam 12 tengahari. Kebetulan itu hari Jumaat yang rehat tengahari agak panjang. Dalam berkira-kira mahu pulang ke pejabat, Lotuslily telefon minta Aku tunggu di sana kerana dah lama tak keluar tengahari jadi geng kat office bercadang nak turun makan di Sentral. Eh! Boleh sahaja. Puan Faizah yang ada urusan di KLCC pun sempat join sebab dia tak bawa kereta, naik LRT aje. Lagilah senang, dari KLCC terus datang jumpa kami di KL Sentral. Oleh kerana bukan selalu ke sini, kami bersetuju untuk pergi makan di Kelantan Delight yang terletak di bangunan Sooka Sentral.

Aku sampai paling awal. Almaklumlah, Aku memang dah ada dekat-dekat area Sooka Sentral. Nasib baik Puan Faizah yang naik LRT dari KLCC tu sampai cepat. Kalau tidak mati kutu Aku keseorangan menunggu di Kelantan Delight.

Lepas tu barulah Lotuslily, Rosebud dan Sirapmadu sampai.

Semua orang pun ceria aje, weeiiii...lama betul tak keluar rasanya.

Masa kawan-kawan ajak makan ni Aku dah cakap, Aku tak boleh makan banyak. Tapi diaorang sibuk juga pastikan Aku join lunch ni, kenalah pandai-pandai memilih makanan yang sesuai...theheheh...

Inilah antara juadah tengahari itu. Ini ikan siakap.

Asparagus goreng belacan?

Ayam percik

Kesemua di atas di makan bersama nasi putih dan dikongsi bertiga antara Lotuslily, Rosebud dan Sirapmadu. Puan Faizah yang makan 'main-main' itu tidak mahu makan nasi, hanya mencubit dan merasa bila-bila perlu. Ahaks!
Dan Aku makan ini...tom yam kelapa muda. Lebih banyak hirup kuah dengan isi kelapa sahaja sebab kena minus banyak ekor udang. Heheheh...

Lepas makan, semua tumpang kereta Atoz kecilku. Nasib baik ada geng, kalau tak mau sesat lagi masa nak keluar dari Sentral tu sebab tak pasti jalan mana boleh sampai ke mana. Dan bayaran letak keretanya ialah RM24 huhuhu...nasib baik la Menara TM tu free untuk staff. Kalau tak, naik LRT la jawabnya.