Thursday, August 25, 2016

Nun di Selatan

Hari minggu yang lalu Telipuk memandu seorang diri ke Wilayah Selatan. Destinasi dituju ialah Skudai. Ada urusan di sana pada hari Isnin tetapi Telipuk kena pergi awal untuk mesyuarat persediaan dengan team di sana. Selain Telipuk, ada beberapa orang pegawai lagi yang turut serta termasuklah bos Telipuk.

Telipuk bertolak pukul 10 pagi lebih kurang. Berhenti 2 kali sebab rasa lenguh dan mengantuk. Nak makan sorang-sorang macam tak best pulak jadi Telipuk beli buah potong saja dan makan dalam kereta. Pukul 2 lebih sampai, terus tuju ke bangunan ibusawat di mana mesyuarat akan berlangsung. Rancangan nak jumpa kawan-kawan Johor dan ajak deme mengeteh tak jadi sebab masa terlalu suntuk.


Mula-mula kami berbincang tentang flow program dulu dan went through presentation material. Serius you...hahaha...lepas tu bila dah lama-lama , dah kenal mesra...mulalah rileks dan santai. Penat memandu pun dah tak terasa. Yer la, tekanan ni nak jumpa regulator. Tapi alhamdulillah, semua urusan koordinasi berjalan lancar.


Sebelum regulator datang, kami buat mock site visit dulu...nak mula dari mana...nak explain apa...hahaha...ingat boleh suka-suka terjah ke weiii.


Dah habis urusan persiapan, kami bergerak ke hotel penginapan. Tak jauh pun, dalam 10 minit pemanduan jer. Kat mana tu? Ahaaa...kat Cinta Ayu All Suite, Pulai Spring Resort. Yeayyy...kenangan betul...ni kan tempat teambuilding dulu. Tapi sayang, Telipuk cuma datang nak bermalam saja...tak der la nak mandi kolam ke, nak pergi buat sesi fotografi ke...kirim salam jer lah.

Lepas check-in, keluar cari makan. Er...sebelum makan tu kita cuci mata dulu pergi Johor Premium Outlet. Orang cakap murah barang-barang branded kat sini. Murah murah pun tak de la dapat below RM100 ...dah kalau rega asal RM7000...kalau dia bagi diskaun 50% pun...haishhh...tak gamak kot nak beli. Telipuk pulak memang tak reti sangat bab-bab gaya ni...boleh dikatakan agak 'tasteless' orangnya. Kalau handbag pun, tak adalah Telipuk beli yang ada nama...err...nama ada tapi tak dikenali. Yang penting, design ok, cukup compartment, kaler sesuai (lazimnya hitam jer kottt) dan orang kalau tengok pun tak teringin nak ambik. Haaaa...cukup sifat dah tu! Kalau ikutkan Telipuk suka bawak beg galas cam kat sekolah jer...senang sungguh campak semua dalam tu...tapi yer la...kadang2 tu kita cuma bawak benda2 kecil jer cam kunci kereta, dompet dan handphone...cari ler yang kecil sikit.


Hemmm...rugi tak beli ke? Hahaha...Telipuk rasa macam rugi kalau beli. Mungkin tempat macam ni tak sesuai untuk Telipuk. Tapi seronoklah temankan kawan-kawan membeli dan tolong belikan untuk yang memesan barang. Ok jer. Kalau ada yang nak belanja, bolehlah Telipuk rembat keh keh keh...kudukutttt!!!


Apapun esoknya program berjalan dengan baik. Delegasi regulator pun nampak puas hati. Legalah rasa. Seronok juga sesekali ikut team technical tengok operation site. Awak budak aliran sosial ni memang tak reti bab-bab teknikal. Dapat faham sikit pun dah rasa happy.



Makan tengahari sebelum balik di Restoren Annisofea Asam Pedas Asli Johor di Taman Kempas. Telipuk memandang jer sebab Telipuk tak makan ikan. Bos order ayam goreng berempah untuk Telipuk , malangnya ayam dah habis huhuhu...akhirnya Telipuk order sotong goreng kunyit. Tapi alhamdulillah, makan dengan sambal belacan dan telur asin sajapun dah sedap.

Oklah geng Skudai, thank you for having us dan melayan kerenah kitaorang yang ala-ala diva tak berapa jadi tu. Lain kali nak mai lagilah. Hahaha.

Monday, August 15, 2016

Mok Cun

Bawak bertenang sis...rileks la...

Pada usia-usia sekarang biasalah kalau orang panggil kita, "Mak Cik".
Tak payah nak rasa sentap sangat...dah memang pun kita dah berusia.
Tak payahlah berazam nak kurus, nak cantik hanya semata-mata sedih dipanggil "Mak Cik". Kalau kurus pun umur dah nak dekat 50 tahun ...walau cantik macamanapun, tak kan budak sekolah umur 14 tahun nak panggil kita "Kakak" kot...patut-patut padanlah!

Telipuk yang lagi muda ni pun dah beberapa tahun dulu lagi orang panggil Mak Cik. Ok apa orang panggil Mak Cik...dema respek tu...yer lah...Mak Cik kann...taraf-taraf Mak diaorang dah punn...berani nak cakap kurang ajar...cubaaa...Mak Cik bagi ceramah perdana nanti kang jenuh nak lari hahahah...mak-mak ni kan kuat membebel...;)

Memanglah mula-mula dulu macam stress jugak bila orang yang kita ketahui lebih tua dari kita menyapa dengan panggilan "Kakak"...(masa tu belum tahap Mak Cik lagi). Tapi akhir-akhirnya, bila Telipuk dapati lagi seronok dipanggil"kakak"...bila Telipuk gi kedai, gi pasar...mana-manalah...time nak panggil jurujual atau misi atau siapa-siapa yang bertugas tu, Telipuk sapu bersih guna "Dik"..."Dik, tolong akak ambilkan tu"..wahhh..cepat ngko dia bingkas bangun. Baik lelaki mahupun perempuan...aku belasah jer...nak-nak yang sebenarnya lagi berusia, tapi bila Telipuk panggil "adik", huh...memang nampak perbezaan layanan tu...ok whatttt....

Jadi, bila dipanggil "Mak Cik" tu berlapang dadalah. Kita ni makin lama memang makin tua. Tak adanya nak jadi muda balik. Tak perlu takut menjadi tua kerana itulah fitrah hidup manusia. Bersyukurlah kita sudah melalui banyak peringkat hayat dari baby sampai dah nak kertu ni kann...syukurlah merasa sampai ke tahap ini...bermakna kalau kita ambil positif perjalanan hidup ini, pastilah setiap masa yang kita ada itu kita isikan dengan kegiatan berbekal...berbuat bekalan sebanyak mungkin.

Kan bagus tu sebab kita dah sampai tahap ini...bayangkan kalau time remaja tak sedar diri tu Allah dah panggil pulang...nahhh...nak bawak bekal apa tu? Jadi bersyukurlah atas setiap kurniaan Illahi, mudah-mudahan pada usia-usia begini Allah beri kita petunjuk untuk berada di atas jalanNya sebab tak kira berapa umur kita, tak kira apa orang panggil kita...kita semua pasti akan menemui mati dan kembali kepadaNya.


Tuesday, August 09, 2016

ATTLG : Refleksi Sentap

Petang Ahad lalu sempat meluangkan masa menonton filem "Alice Through The Looking Glass" (ATTLG). Tengok CD sahaja, lebih mudah begitu. Sambil-sambil buat kerja, boleh sambil-sambil tengok. 2 dalam 1. Habis kalau tumpu 2 jam melekat kat situ naya lah kerja-kerja lain tertangguh. Biasalah, selalunya orang perempuan memang macam tu, sambil tengok TV boleh lipat baju juga, boleh bangun bersihkan sangkar kucing dan sapu sampah...hahahaha...lepas tu sibuk tanya, "lepas tu jadi apa? lepas tu jadi apa?".


Ini kisah lanjutan filem terdahulu "Alice in Wonderland". Dulu Telipuk tak suka tengok filem ini sebab Telipuk rasa serabut semacam. Watak Mad Hatter tu begitu menjengkelkan dan semuanya nampak tak 'secomel' seperi kisah yang sama biasa Telipuk baca dalam buku atau tengok kartun. Tapi lama kelamaan dah OK. Filem ini dah lama keluar tapi baru ada masa nak tengok.

Oh ya, Telipuk bukan nak promote filem ini atau nak buat ulasan. Tapi Telipuk nak berkongsi cetusan rasa yang terhasil usai menonton filem ini. Temanya bagi Telipuk, "Time is a gift". Whoaaa...menyengat menusuk kalbu gitu sampai dah nak tidur pun Telipuk terfikir-fikir tentang hal itu. Betullah, kita kalau mendengar sesuatu...jangan lihat pada siapa yang menyampaikan tetapi lihatlah kepada apa yang disampaikan. Waima ia datang daripada filem yang boleh jadi dianggap remeh dan merepek.

Di dalam Al-Quran, Allah bersumpah dengan masa di dalam Surah Al-Asr Ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".

Bila Allah sebut tentang sesuatu, maka, perkara yang disebutkan itu tentulah penting, patut kita teliti dan fahami mesej yang hendak disampaikan. Kepentingan masa bukanlah sesuatu yang baru diketahui atau disedari. Malahan zaman berzaman lagi manusia sudah tahu betapa pentingnya masa namun dari segi aplikasi, seolah-olahnya manusia tidak kisah dan peduli. Sejarah tinggal menjadi sejarah dan kita masih tidak belajar apa-apa tentangnya. Mengapa? Sedangkan sejarah itu bisa saja berulang. Kesudahannya sama namun tiba-tiba kita masih dengan kedegilan kita tidak mahu ambil iktibar. Kita sibuk memburu perkara-perkara yang kita rasakan berharga dan penting dalam hidup kita. Kita sibuk mengejar pangkat yang membawa bersama-samanya peluang untuk meraih keuntungan serta habuan dunia. Dikenali dan ternama. Kita teruja disegani dan dikagumi manusia. Kita lupa lama masa yang kita ada. Tiba-tiba saat nyawa melalui kerongkong ingin pergi meninggalkan jasad yang semakin tiada gunanya, kita merayu dan merayu mohon belas kasihan Sang Pencipta. Kita merayu minta penangguhan hatta untuk sesaat cuma. Berapakah nilai satu saat yang kita minta itu? Sangat sangat tidak ternilai...kerana dalam satu saat itu kita ingin kesempatan untuk mendapatkan pengampunan Allah supaya kita tidak terjerumus ke dalam seburuk-buruk tempat tinggal pada kehidupan yang abadi.

ATTLG mengingatkan Telipuk tentang betapa bertuahnya Telipuk masih punya masa untuk mengubah apa-apa yang perlu Telipuk ubah supaya hari depan yang mendatang seharusnya menjadi lebih baik berbanding hari yang telah berlalu. Bila pagi Telipuk buka mata, Telipuk masih berupaya memandang wajah insan-insan tersayang yang ada bersama Telipuk. Telipuk terfikir tentang perbuatan Telipuk yang pasti banyak menyusahkan mereka. Adakalanya Telipuk tak sedar. Adakalanya Telipuk sedar namun tak berbuat apa-apa untuk memperelokkan suasana. Dengan masa yang Telipuk tidak tahu berapa lama lagi Telipuk miliki, rasanya tidak berbaloi untuk Telipuk terus-terusan memikirkan tentang apa yang telah terjadi. Telipuk menyesal membuang masa berfikir tentang perkara-perkara yang di luar keupayaan Telipuk untuk menghalangnya dari terjadi dan Telipuk menyesal meratapi apa yang terjadi. Sudah-sudahlah dengan masa yang sudah terbuang itu. Telipuk perlu memandang ke hadapan dan menggunakan dengan sepenuhnya baki masa yang Telipuk ada untuk pelaburan yang lebih baik.

Ini sahajalah masa yang Telipuk ada. Kalau perlu Telipuk nyatakan sayang, Telipuk akan menzahirkannya tanpa perlu mengharapkan apa-apa balasan. Kalau Telipuk perlu maafkan, Telipuk pasti maafkan kesemuanya tanpa menangguhkannya. Dan kalau Telipuk perlu lakukan sesuatu, Telipuk akan lakukannya sebab Telipuk tak pasti ada masa lain untuk melaksanakannya andai Telipuk menangguhkannya. Pendekatan yang sama Telipuk gunakan untuk JK1M dulu.

ATTLG juga menyedarkan Telipuk yang manusia tidak mampu mengubah sejarah. Apa yang telah terjadi, telah pasti terjadi. Namun, manusia boleh belajar daripadanya dan Telipuk ingin belajar banyak tentang hal itu. Yang pastinya, Telipuk sangat menghargai apa yang Telipuk ada sekarang. Semoga kesedaran ini akan berkekalan dan menambahkan rasa kesyukuran Telipuk di atas segala nikmat dan ujian yang Allah berikan. Setiap satunya adalah langkah-langkah menuju kepadaNya yang harus Telipuk harungi dengan bekalan ilmu. Jangan sombong, jangan rasa serba cukup. Selalu kena pandang betapa hinanya diri ini dan betapa jauhnya untuk menggapai kejayaan abadi. Semoga cukup memotivasikan diri untuk terus berusaha lagi dan lagi dan lagi dan lagi...



Thursday, August 04, 2016

Raya@Pejabat

Yeay...raya dah habis. Tak ada lagi aktiviti-aktiviti rumah terbuka. Tak perlu rungsing cari baju yang hendak dipakai di setiap acara. Tak payah pergi Jalan TAR cari tudung yang match. Tak perlu rasa tergoda tengok makanan yang pelbagai sedangkan dalam masa yang sama yakin berat badan semakin bertambah semula...huhuhu...

Okaylah, nak kena tulis sesuatu tentang sambutan raya ini. Seronoknya ialah bila berkumpul dengan kawan-kawan. Bukan kisah sangat pun hal lain. Sebenarnya banyak juga jemputan yang Telipuk tak hadiri. Tahun ini weekend sangat padat. Tak tahulah kenapa...asyik ke hulu ke hilir, rayanya tidaklah seberapa sangat. Tapi lebih kepada melangsaikan beberapa urusan. Urusan pendaftaran kolej anak buah Telipuk dan kemudian urusan nak renovate rumah. Dan bila saudara mara turun , weekend Telipuk terpenuh dengan sendirinya dengan acara-acara bersesuaian selaku tuan rumah. Sangat seronok bila rumah sentiasa ramai orang.  


Ini ada beberapa keping gambar semasa majlis hari raya peringkat jabatan. Kami ini keluarga kecil sahaja dan boleh tahan perangai 'gila' masing-masing. Telipuk selalu ingatkan diri betapa bertuahnya Telipuk dapat bekerja dikelilingi kawan-kawan yang baik. Itu berupa rezeki yang tidak ternilai harganya. Bayangkan kalau kita bekerja dalam suasana yang tidak menyenangkan dengan rakan-rakan sekerja yang saling tidak mempedulikan...mohon dijauhkan.



Betullah...adakalanya keadaan tidak berjalan sebagaimana yang kita harapkan. Namun, perlu diingat, kita hanyalah manusia biasa yang banyak kelemahan. Kita bukanlah sempurna. Yang penting mesti ada timbang rasa, perihatin dan saling hormat menghormati. Barulah mampu kita mengecapi kehidupan yang harmoni.


Keberadaan bersama itu yang penting. Sama-sama susah, sama-sama senang. Walau ada benda yang hati kita tak berapa nak berkenan, sila maniskan muka dan berfikirlah dengan lebih rasional. Memang kita tidak akan mampu mengubah cara bagaimana orang lain berfikir tentang kita atau melayan kita tetapi kita pasti mampu mengubah cara kita menerima semua itu. 

Tak mengapalah kalau orang tak suka kita...jangan sampai benda itu menyusahkan kehidupan kita sehari-hari. Hidup mesti terus waima banyak rintangannya sebab selagi kita berada di atas muka bumi Tuhan ini, kita pasti tak akan terlepas dari diuji.


Sengaja Telipuk masukkan gambar-gambar ini dengan tidak menceritakan secara jelas tiap satunya. Tahun ini, Telipuk masih mampu bergambar dan ada bersama-sama mereka. Entahlah tahun depan macamana...entah-entah tak ada lagi gambar bersama seperti ini.


Terima kasih kawan-kawan kerana selalu ada tika Telipuk kesulitan dalam mengusir lara di hati .

Friend forever!

Wednesday, August 03, 2016

Sang Kancil & Monyet

Itulah kamu monyet...tak nak dengar cakap. Degil.
Kan dah kata, "Jangan monyet...engkau juga yang susah nanti". Dah berkali-kali diingatkan.
Sekarang kau rasakanlah "kepedasan"nya.

Situasi yang diadaptasi daripada Kisah Sang Kancil dan Monyet ini adalah antara adegan yang kita boleh perhatikan dalam kehidupan sehari-hari.   Dalam pelbagai keadaan. Mungkin saja pentas lakonan yang berbeza-beza. Para pelakon adalah kita semua yang memegang watak masing-masing. Dengan latarbelakang dan kepelbagaian pengalaman, masing-masing menghidupkan lakonan sebaik mungkin berdasarkan matlamat dan hala tuju kehidupan masing-masing.

Si Monyet adalah kita semua yang enggan mendengar nasihat orang lain, yang selalu rasa dirinya sahaja yang betul ataupun dia yakin tindakan yang dia buat itu adalah baik untuk dirinya. Boleh jadi juga dalam mengambil tindakan, dia hanya mengutamakan kehendak diri sendiri. Itu adalah lumrah. Ramai orang sanggup memejamkan mata membuat sesuatu pilihan tanpa mempedulikan kesan perbuatannya ke atas kehidupan orang lain padahal kalaulah dia tidak bertindak begitu, tak adapun mudarat yang akan menimpa dirinya. Hanya semata-mata mendahulukan kemahuan peribadi, maka berapa ramai orang buat tidak peduli dengan orang lain yang terpaksa terlibat sama. Maklumlah, mereka fikir mereka ini hidup dalam dunia mereka sahaja...sama macam orang yang buang sampah merata-rata dan mengharapkan kekotoran tersebut dibersihkan oleh orang lain. Padahal kalau ramai orang berfikiran serupa macam dia, silap haribulan sampah-sampah itu akan menggunung menimbus rumahnya pula, membinasakan bekalan air bersih dan mengancam keselamatan serta nyawanya. Sengaja menempah susah namanya. Bukankah itu sama sahaja dengan bodoh?

Ada juga monyet yang fikir dia pandai. Dia rasa dia cukup licik untuk memanipulasi keadaan. Sayangnya dia terlupa yang sehebat manapun perancangannya...yang akan menentukan pelaksanaan itu berjaya ataupun tidak adalah di bawah kuasa Allah Taala. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

Sebab itu, sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya kepada ketentuan Qada dan Qadar Allah dan selalu berlapang dada, bersabar dengan apa jua yang terjadi. Pastilah segala sesuatu itu ada hikmahnya. Tidaklah seorang Muslim itu patut bersedih atas perkara yang Allah tidak tunaikan untuknya kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui akan apakah yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Apapun matlamat menuju Allah itu adalah matlamat yang sebenar-benarnya. Dan hanyalah dengan tujuan ini maka dapat kita mengusahakan untuk memastikan diri berada di atas jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kita kepada matlamat itu. Bukan itu sahaja, dengan berpegang teguh kepada kerangka menuju akhirat dan persiapan menghadapinya sahajalah kita akan mampu mendepani cabaran demi cabaran yang mendatang.

Jadilah seperti Kancil yang bijak mengusahakan kehidupannya dan tidak lokek berkongsi apa yang dia miliki seperti hasil tanaman dengan si Monyet. Tapi awas, jangan jadi seperti Monyet yang pandai berpura-pura dan hanya tahu mengambil kesempatan di atas kemurahan hati orang lain. Sidahlah begitu...tak pandai menghargai nasihat orang pula...dia fikir orang lain itu busuk hati sama macam hati dia kot...jadi sengaja tak mahu ambil nasihat orang sebab tamak dan takut rugi. Akhir sekali apa jadi...nah...ambik ngko monyet....padan muka dapat balasan atas perbuatan sendiri.

Sekian, ulasan kisah Si Kancil dan Si Monyet untuk siri kisah dan tauladan, siaran hari ini.

Peace yo!!!