Dulu-dulu masa belajar tentang mengenal Allah, modul yang biasa disogokkan ialah Sifat 20. Bila ada peluang belajar di kelas-kelas pengajian di TM ini, memang sangat beruntung rasa sebab boleh mendalami lebih lagi...err...maksud Telipuk, masa Ustaz mengajar tu rasa macam keluar lampu mentol kat kepala bercahaya-cahaya hahaha...tapi biasanya lepas habis kelas, lampu mentol tu bukan takat terus suram malahan bisa terpadam sepenuhnya. Huhuhu...
Jadi, hari ini Telipuk nak ambil peluang buat entri topik kelas hari ini. Walaupun dah banyak kali Ustaz ulang-ulang, setiap kali jugak terkial-kial...hari ini bila dah ulang untuk entah ke berapa kali (nasib baiklah penyabar Ustaz ni kannnn), Telipuk nekadlah...mesti catatkan baik-baik. Bila dah masuk dalam blog ni, bolehlah Telipuk rujuk bila-bila perlu. Kalau ada yang dapat tempias ilmu ini pun bagus juga...nak tunggu pandai sepenuhnya baru nak berani share, memang alamat tunggu kucing tumbuh tanduk ler jawabnya.
Okay, bab mengenal Allah ini, buku yang digunakan oleh guru Telipuk, Ustaz Dr. Abdullah Yasin ialah buku karangan beliau sendiri bertajuk " Mengenal Allah Melalui Al-Asmaa' Al-Husnaa". Telipuk dah follow Ustaz sejak mula Ustaz masuk mengajar di TM ni...rasanya sudah lebih 5 tahun. Kenapa Telipuk tak pandai-pandai? Hishhh...kak Joyah ni, tak baik tauuuu...ilmu Allah ni kan luas...tak mampu de Telipuk nak kuasai, setiap kali belajar, setiap kali rasa macam tak tahu...bila dah tahu pun tak cukup-cukup bekal ni...pendek kata, bab ilmu ni senang cakap memang sampai mati la ko kena belajar.
Dah tu tak pandai tapi nak mengajar orang? Tidaklah...kita ni share jer sikit-sikit yang kita tahu, mana tahu yang sikit itulah boleh menjentik hati. Kuasa Allah. Tapi kalau ada yang tak berapa jelas tu, mohon carilah guru ye...jangan main telan jer. Telipuk nak jelaskan ikut pemahaman Telipuk ni, harap-harap mendatangkan manfaat jua adanya.
Okay, baik...di sini Telipuk nak rangkumkan ilmu yang Telipuk kutip so far berkenaan topik ini.
Ada dua cara untuk mengenal Allah
1) Mengenal Allah melalui Asma'ul Husnaa
2) Mengenal Allah melalui ayat-ayat (tanda2) Allah
Yang melalui ayat-ayatNya itu pula terbahagi kepada dua iaitu :
1) Qur'aniayah (mengenal Allah melalui tafsiran Al-Quran)
2) Qauniyah (mengenal Allah melalui kejadian/kebesaran Allah cth : bulan, bintang, langit, bumi etc.)
Untuk pengajian yang Telipuk ikuti ini, ialah kaedah mengenal Allah melalui 99 namaNya iaitu Al-Asmaa Al-Husnaa sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu, barangsiapa yang memeliharanya, maka dia masuk syurga".
Jadi, jalan untuk masuk ke syurga antara lainnya ialah melalui Al-Asmaa Al-Husnaa. Pentingkan belajar nama-nama Allah ini? Maka, jangan buat alasan mengenepikannya bila sudah baca hadith Nabi ini tentang Al-Asmaa Al-Husnaa serta kepentingannya.
Bagaimana kita nak treat Al-Asmaa Al-Husnaa ini dalam menjadikannya suatu amalan?
1) Hitung - pastikan jumlahnya, yang kita sebut & hafal adalah 99 - tak lebih dan tak kurang.
2) Fahami apa makna setiap satu nama-nama tersebut.
3) Berdoa dengan menggunakan nama-nama itu . Ini disebut dalam ayat 180 Surah Al-A'raf yang bermaksud, " Allah memiliki Nama-nama Yang Paling Baik, oleh sebab itu berdoalah kepadaNya dengan menggunakan Nama-nama tersebut".
Di dalam Nama-nama Allah itu turut terkandung sifat-sifat Allah. Tidak mungkin Allah menamakan diriNya dengan satu-satu nama tanpa menghadirkan sifatNya. Contoh : Di dalam nama Al-Basar, terkandung sifat melihat Allah. Namun kena faham sifat melihat Allah tidak sama dengan makhluk. Sifat-sifat Allah seperti hidup, melihat, mendengar, berkata-kata hanya boleh disamakan dengan makhluk dari segi lafaz bahasa sahaja sedangkan ianya sangat berbeza dari segi makna.
Sebagai contoh, hidupnya Allah tidak sama dengan hidupnya makhluk. Hidup Allah tidak bermula dengan tiada (dari tiada kepada ada) dan tidak berakhir dengan kebinasaan sebagaimana binasanya makhluk sesudah kematian. Kehidupan Allah bersifat kekal & abadi selama-lamanya.
Garis luas Nama-nama Allah ini boleh dikategorikan kepada 2 iaitu sifat kesempurnaan Allah yang disebut sebagai sifat subutiyah dan sifat salbiah, di mana Allah menafikan dari diriNya sebarang sifat kekurangan. Contoh mudah nak faham ialah Ayatul Kursi. Al-Hayyu dan Al-Qayyum yang disebut itu adalah sifat kesempurnaan Allah Yang Maha Hidup dan Maha Mengurus. Manakala seterusnya dalam ayat yang sama (ayat 255 surah Al-Baqarah) Allah menafikan diriNya dari sifat-sifat kekurangan - disebut - tidak mengantuk dan tidak tidur. Kena faham yang dalam 99 Nama Allah itu merangkumi sifat-sifat Allah. Tetapi sifat-sifat yang tersirat di sebalik nama-nama Allah hanyalah sifat-sifat kesempurnaanNya iaitu sifat Subutiyah. Tidak terdapat sifat salbiah di dalam nama-nama Allah.
Manakala sifat Subutiyah Allah pula terbahagi kepada dua iaitu :
1) Subutiyah Dzatiyah (Sifat yang tidak boleh lekang/terpisah dari Allah. Ianya dalam keadaan 'sentiasa' contoh Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat)
2) Subutiyah Fi'liyah (Sifat yang berkaitan dengan kehendak Allah cth. Ar-Razaq - Allah merezekikan mengikut kehendakNya. Contoh lain Al-Hadi di mana Allah memberikan hidayah kepada siapa-siapa yang Dia kehendaki).
Ada orang tanya tentang sifat 20 yang kita biasa pelajari dulu. Bagus dengar penjelasan Ustaz sebab Ustaz sentiasa bawa dalil bila bercakap. Seperti dalil hadith shahih Nabi yang Telipuk sudah sebut di atas tadi. Kalau namanya Allah sahaja sudah berjumlah 99...yang mana kita tahu, katakan paling kurang satu sifat untuk satu nama (which is not the case)...sudah ada 99 sifat...how come we only learn 20 of them? Ada masalah kan kalau kita baca hadis Nabi tu...kalau cuma ada 20 , mana lagi 79 pi...tak memenuhi requirement kannn. Haaa...so, tak yah nak justify lebih-lebih, pegang hadis tu saja dah tahu.Sedangkan sifat Allah itu ternyata lebih banyak dari Nama-namaNya...ini adalah kerana perbuatan Allah tidak terhad/tiada batasan, begitu juga percakapan Allah tiada batasan dan had.Senang cakap, 20 sifat itu memang sangat-sangat tidak memadai. Kena banyak belajar lagi.
Satu lagi Ustaz pesan banyakkan bertasbih. Jangan lupa dua lafaz tasbih yang ringan di lidah menyebutnya, namun berat timbangannya di al Mizan yang sangat Allah sukai . Bila dalam gundah gulana...stress, ulang-ulang sebut. Insya Allah, Allah mudahkan.