Apabila orang jahil yang sombong berbuat jahat terhadap kita, apakah sikap kita? Bagaimanakah harus kita menanganinya? Adakah kita patut mengutuk dia sehabis-habisnya ataukah kita patut menasihatinya dengan berhemah? Perkara ini ada disebut dalam Al-Quran menerusi surah Al-Fussilat, ayat yang ke-34 yang bermaksud :
"Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia".
Di kala kita menerima layanan yang buruk, hendaklah kita sabar dan balaslah dengan kebaikan. Moga-moga dengan perlakuan tersebut akan membuatkan orang yang menganiayai kita itu akan tersedar, malu sendiri dan akhirnya bertaubat berbanding kalau kita membalas keras perbuatannya, boleh jadi si pelaku akan bertambah-tambah keras perbuatannya.
Bagaimana kita hendak beramal dengan ayat ini? Contohilah peribadi Rasulullah, lihat bagaimana sikap Baginda ketika berhadapan dengan golongan yang menentang ajaran yang dibawanya. Ada banyak kisah yang boleh dipetik kala menelusuri riwayat hidup Baginda. Ketinggian dan kehebatan akhlak Baginda sangat terserlah. Itulah yang umat hari ini patut ikuti, bukan semberono memberi tindakbalas terhadap provokasi pihak-pihak yang sengaja mencari pasal. Dah sah-sah dema tu jahil lagi sombong (jahil sebab tak ada ilmu, sombong sebab...dah tahu tak ada ilmu, masih degil tak mahu belajar). Janganlah pulak kita pun terikut sama dengan rentak tari mereka.
Antara kisah Nabi Muhammad yang boleh kita kaitkan dengan ayat di atas ialah bagaimana Baginda bersikap baik terhadap orang yang membenci Baginda. Pada suatu hari, Baginda bertemu seorang wanita tua Yahudi yang sedang berjalan dan Baginda pula sedang menaiki seekor unta. Kemudian Baginda turun dari unta tersebut dan menyuruh perempuan tersebut menaiki untanya. Nabi kita ini tersangatlah prihatin orangnya lalu Baginda turut mengangkat muatan yang dibawa oleh wanita tua tersebut dan diletakkan di tepi unta. Kemudian, Baginda berjalan beriringan di sebelah unta tersebut. Sepanjang perjalanan tersebut, Baginda melayan perbualan dengan wanita tua itu dengan sopan dan lemah lembut namun tidak langsung menyentuh hal agama yang dianuti oleh wanita tersebut. Setelah sampainya Baginda di rumah wanita itu, Baginda membantu wanita itu masuk ke dalam rumah, kemudian mendudukkan wanita tersebut di atas kerusi dan membawa masuk barangan-barangan yang dibawa oleh wanita tersebut ke dalam rumah. Wanita tua tersebut sangat kagum dengan Baginda kemudian bertanya “dengan apakah aku mampu membalas jasa kamu? Namun aku tidak punya apa-apa. Bolehkah aku memberikan kamu nasihat? Kerna dalam usiaku ini, hanya itu yang aku ada untuk memberi” Kemudian, Baginda pun menerima dengan senang hati walaupun Baginda itu seorang Nabi. Bayangkan seorang Nabi yang mulia mendengar nasihat orang tua yang berlainan agama darinya. Wanita tua itu pun memulakan bicara, “Di dalam perkampungan ini ada seorang lelaki yang bernama Muhammad. Jangan dekati dia. Saya dengar daripada orang ramai, dia suka memporak-perandakan orang ramai. Ini nasihat dari saya. Jauhi dia. Dia merbahaya kepada kamu. Dia akan membuatkan kamu menjadi jahat sepertinya jikalau kamu mendekatinya.” Setelah selesai memberi nasihat, kemudian wanita itu bertanya, “siapakah nama kamu?” Baginda menoleh ke arah wanita tersebut dan menjawab sambil senyum, “Sayalah Muhammad” Sejurus sahaja mendengar nama Baginda, wanita tersebut terus menangis dan berkata, “Hanya seorang sahaja yang boleh berkelakuan seperti ini iaitu seorang Nabi Allah”. Kemudian wanita tersebut terus mengucap dua kalimah shahadah tanda pengislamannya.
Alangkah baiknya kalau kita mengambil pendekatan yang strategik kala bertindakbalas terhadap provokasi yang menjadi-jadi dewasa ini. Kalau dia tuduh khutbah Jumaat itu mempromosi kejahatan, ambil peluang ini dengan memberi penjelasan tentang kandungan khutbah. Kalau boleh dicetak dalam suratkhabar arus perdana, diterjemah dan dipermudahkan akses terhadapnya lagi bagus. Nak best lagi, setiap hari Jumaat sebelum mula sesi khutbah, suruh anak-anak muda kita edarkan salinan teks khutbah Jumaat di tempat-tempat umum supaya semua orang boleh baca dan faham. Untuk kes-kes KPOP pun sama juga, ambil kesempatan untuk jelaskan konsep aurat dan batasannya dalam Islam.
Kejahilan ini perlu diatasi dengan ilmu. Bukan senang nak dapat peluang berdakwah besar-besaran macam ini, ya tak? Manalah tahu kalau-kalau ada hati yang terbuka. Paling tidak boleh membantu mereka untuk lebih memahami Islam. Kalau tak ada ilmu, bayang pun disangkanya hantu, bukan?


