Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

Thursday, March 28, 2013

As-syifa

Hari ini ingatkan sampai awal (cuti sekolah jalan clear giler...), bolehlah lepas satu ceramah UKE di YouTube sesudah menghabiskan ceramah terdahulu yang berdurasi lebih 2 jam selama beberapa hari. Maklumlah kan, akses ke media sosial seperti itu cuma dibenarkan sebelum waktu kerja bermula. Malangnya, tak boleh pulak display video pagi ini...entah apa hal. Akhirnya, setelah sekian lama, melencong masuk FB.

Lama tak masuk FB ni, bukan sebab apa...saya takut bila baca status orang, hati saya pula berkata-kata di dalam. Tak sedar kita dok mencebik atau mengata orang...nak buat macamana, kalau dah orang tu jenis yang suka tulis benda-benda begitu...yang hang pi baca tu apasal? Haaa...so, tak payah nak susah-susah tak puas hati dengan orang, tak payah masuk senang cerita!

Alhamdulillah, jumpa perkongsian yang menarik dalam FB. Saya terus salin. Letak kat blog senang, boleh rujuk bila-bila perlu dan kongsikan dengan pembaca. Ianya tentang amalan yang boleh dilakukan untuk memusnahkan sel-sel kanser dalam badan dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Bercakap tentang penyakit ini, nampaknya sekarang rata-rata orang yang kita kenal ada menghidapi atau ada keluarga, saudara atau kenalan yang menghidapi penyakit ini. Dulu bila orang cakap tentang kanser...dengar macam 'rare' aje...tapi sekarang dengar, dah mangli. Rakan baik saya pun kena, alhamdulillah, dengan izin Allah, dia kembali sembuh dan berkeadaan baik. Minggu lepas, semasa saya berjumpa dengan seorang rakan dari bidang penyiaran, terkejut dimaklumkan dia baru sembuh daripada pembedahan membuang ovari akibat kanser. Patutlah lama tak nampak bila bermesyuarat. Rupa-rupanya dia sakit dan tak mahu ramai orang tahu tentangnya.

Baiklah, berbalik kepada amalan yang dipaparkan di dinding rakan FB saya itu, ini adalah antara usaha yang boleh kita lakukan. Penyembuhan sudah tentu dari Allah jua, kita hanya mampu berusaha. Sememangnya Al-Quran itu sendiri adalah sesuatu yang ajaib. Ia adalah mukjizat terbesar yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad S. A.W. Kuasa penyembuhan Al-Quran ada dinyatakan menerusi Firman Allah dalam ayat 82 Surah Al-Israa yang bermaksud, "Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian".

Mula-mula, sediakan botol/bekas yang berisi air bersih (untuk diminum). Istighfar sebanyak 10 kali, diikuti dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W juga sebanyak 10 kali. Seterusnya, bacalah surah Al-Fatihah sekali.

Baca ayat-ayat Al-Quran berikut, setiap kali selesai mengikut surah, tiupkan kepada air.


  1. Ayat 82 sehingga 91 Surah Al-Maidah
  2. Ayat 70 sehingga 81 Surah Al-A'raaf
  3. Ayat 16 sehingga 28 Surah Ar-Ra'd
  4. Ayat 38 sehingga 50 Surah Al-Anbiyaa'
  5. Ayat 185 sehingga 227 Surah Asy Syu'araa'
  6. Ayat 42 sehingga 52 Surah Az Zumar
  7. Ayat 67 sehingga 77 Surah Al-Mu'min
  8. Ayat 52 sehingga 70 Surah Az Zukhruf


Beri minum tiap-tiap hari dan sapu/mandi pada anggota yang terkena penyakit itu.

Adalah lebih baik kalau bacaan ini dilakukan oleh pesakit itu sendiri. Tetapi, sekiranya bacaan kurang lancar atau kurang elok, bolehlah meminta orang lain membacakan untuknya.

Oh ya, perlu ditegaskan di sini, sewajarnya Al-Quran itu harus menjadi bahan bacaan sehari-hari dan tidaklah hanya kerana ada berhajat akan sesuatu barulah kita sibuk mencari Al-Quran. Itu bukan cara yang betul. Saranan ini hanyalah tambahan kepada ikhtiar yang kita ada, mudah-mudahan berhasil.

In Shaa Allah.