Friday, August 30, 2013

Jiwa Merdeka

Mungkin kibaran bendera itu tidak lagi memberikan sebarang makna. Mungkin hanya mengundang sangsi kerana terbiasa disaji dengan kepalsuan dan lakonan yang selalu tidak menjadi. Atau boleh jadi terbiasa mengaitkan sesuatu perkara dengan motif-motif tertentu. Pemikiran kita terlalu kompleks kini...sama kompleks dengan emosi dan hati sehingga kita sendiri lupa bagaimana rupa atau rasanya sebuah keikhlasan.

Mungkin angka 56 tahun itu pada kita hanya sekadar angka. Angka yang saban tahun meningkat tetapi tidak mempunyai sebarang impak. Kadang-kadang ulang tahun kelahiran sendiri pun kita lupa. Ianya cuma suatu hari yang sama seperti hari-hari lainnya. Hidup mesti diteruskan dan kita tidak perlu membuang masa dengan imbasan peristiwa yang melankolik.

Mungkin juga sejarah yang tercatat itu bagi kita cuma suatu cerita. Kisah lama yang tidak patut diungkitkan dan boleh jadi tidak relevan lagi di zaman teknologi terkini. Mungkin kita patut disajikan dengan cerita-cerita baru yang lebih kena dengan peredaran masa.

Mungkin juga kerana kita sudah terbiasa menikmatinya. Terbiasa mudah segala-galanya. Atau juga kita merasakan itu berupa hak yang patut kita nikmati tanpa perlu dipersoalkan. Justeru itu terpulanglah bagi kita untuk mengecapinya bagaimana. Mengapa perlu kita luahkannya mengikut bentuk-bentuk tertentu yang sudah ditetapkan?

Mungkin...

Tidak kira apapun pandangan kita, ada satu yang mahu tidak mahu perlu kita setujui dan lakukan. Bukan untuk hari ini sahaja tetapi untuk setiap hari yang kita berpeluang melaluinya. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Sambutlah hari ini dengan rasa penuh kehambaan kepada Allah yang telah menganugerahkan kita sebuah negara yang aman tenteram yang dengannya kita berpeluang meniti hari demi hari dengan usaha mencari bekalan pulang. Kita tidak tahu lama mana keamanan ini boleh kita nikmati, namun itu bukan urusan kita. Sentiasa sandarkan nikmat ini kepadaNya.Jadilah jiwa yang merdeka yang tidak terikat dengan kemahuan duniawi.

Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan kehendakNya.

Merdeka!Merdeka!Merdeka!


Perempuan di belakang lelaki

Perempuan di belakang lelaki
Ada banyak macam
Di belakangnya boleh jadi tiang ; teguh kukuh
Di belakangnya boleh jadi lalang; meliuk rapuh

Ada perempuan dia lilin
Membakar tanpa disedari
Menerangi penuh simpati
Mengorbankan kepentingan sendiri

Ada perempuan dia enau
Menyusup menebarkan pengaruh
Mencengkam mengukuhkan angkuh
Semuanya mahu direngkuh

Perempuan di belakang lelaki
Jangan sesekali dipandang sepi
Dialah cermin sakti
Refleksi harga sebuah peribadi

Tuesday, August 27, 2013

Kucing Kelang

Hari Ahad lalu, kami mengunjungi adik arwah ayah yang menetap di Bandar Sungai Long. Ikutkan nak singgah Kajang dan beraya dengan kawan lama tetapi kalau dah singgah Kajang, ada dua buah rumah lagi yang kena pergi sebab dah masuk area situ...tak ada alasan. Sudahnya tak jadilah ke Kajang disebabkan masa pun dah suntuk, kami juga sudah berjanji awal nak ke Kelang. Mungkin lain kalilah ke Kajang.

Okay...di Kelang, seperti biasa tempat lepak ialah rumah adik di Sementa. Meriahnya beraya di Kelang. Macam-macam ada. Dengan spaghettinya, dengan nasinya...kuih raya lagi....heheh...Yang paling best, sudah tentu bila dapat main-main dengan kucing-kucing Pak Teh.


Anak Bobo ada empat ekor. Dua warna kuning susu, satu oren dan satu warna belang cicak. Yang saya berkenan ialah yang belang cicak dan yang oren. Tapi si belang cicak tu dah hilang entah ke mana. Dhiya sayang kemain dengan yang warna oren...Kalau ikutkan hati memang nak ambil bawa balik Sentul tapi masalah nak menjaga tu yang jadi penghalang. Persekitaran tak sesuailah untuk pembesaran anak kucing...heheh...


Yang kuning susu ni pun jinak juga. Corak bulu sama macam yang oren tu...cuma kalernya lebih cair. Sekali tengok macam kuning. Dua kali tengok macam putih. Rancak betul dia main. Time macam ni la seronok...bila dah besar nanti, kita acah pun buat derk jer...control macho macam 'Wallie' the black cat!


Budak-budak paksa 'dia' main dengan mainan.

 Yang ini pula kena paksa berposing'. Nasib baik bukan jenis mencakar...Mungkin dah biasa kena latih dengan Thaqeef. :)

Aiman seronok dapat peluang pegang dan dukung kucing. "Bestlah , ibu". "Badan dia lembut je...".


"Tuan" kucing dah risau takut kami ambil kucing kesayangan dia. Tak pelah...bila-bila nak main kucing kami mai Kelang ajelah...

Monday, August 26, 2013

Raya 2013 @ TM

Hari Sabtu lepas saya memenuhi tuntutan kerja memeriahkan majlis rumah terbuka Raya anjuran majikan saya. Apatah lagi ada jemputan yang selalu berurusan kerja dengan saya mengesahkan kehadiran, lagilah tak dapat tidak kena datang tunjuk muka.


Majlis berlangsung di Pusat Konvensyen TM yang kini menjadi lokasi utama untuk kebanyakan majlis rasmi syarikat. Lega pun ya juga bila buat di sini, di hari tidak bekerja pula - sebab, tempat parking percuma berlambak di aras L-2 & L-4 . Tak susah nak datang dan balik berbanding lokasi-lokasi sebelum ini.



Mula-mula kemain bertekad nak balik pukul 2. Majlis bermula pukul 12 sampai pukul 4. Separuh masa pertama dihabiskan menunggu pelanggan datang...saya dah 'warning' diaorang awal-awal...kena datang awal sebab saya nak balik awal...hahaha...hampeh nyer tuan rumah! 

Masuk separuh masa kedua, aduyaiii...x larat dah la nak berdiri. Ingat dah nak balik dah. Sekali boss ajak lepak makan-makan dululah coz rupanya geng kitaorang tak ada siapa yang duduk makan proper lagi. Maklumlah, tuan rumah katakan. Saya pulak pagi tu Mak masak nasi lemak...piauuu punya. Terasa kenyang sampai lepas waktu lunch pun belum teruja nak makan. Cuma minum ais jer la sebab dahaga giler.


Pada pengamatan saya, tahun ini kehadiran tak begitu ramai. Mungkin sebab bertembung dengan majlis-majlis rumah terbuka yang lainnya. Menjelang pukul 3 lebih, suasana sudah tidak sesak. Bolehlah kami merayau-rayau tengok juadah dan lepak-lepak makan dengan geng.


Pinggan pertama kali saya. Lemang sepotong dengan rendang daging. Sate ayam yang terasa agak keras nak kunyah dan sotong bakar. Lepas tu menggunakan pinggan yang sama, saya ceduk sesenduk nasi briyani dengan ayam masak merah. Sekadar merasa saja. Semakin berganjak umur, jamuan buffet macam ni dah tidak mengujakan. Mee rebus, rojak & kambing bakar pun ada...tapi wa tatak makan hooo. Teh tarik pun tolak tepi. Tapi alhamdulillah, cendol sedappp...yang tu rasanya yang paling saya appreciate untuk jamuan kali ni.


Aksi 'Abang Angklung' ketika memainkan lagu "My Heart Will Go On"...pergghhhh...


Yang geng ni pulak, diaorang mengambil tempat di ruang luar dekat kolam. Kat situ best angin menderu-deru...nasib baik tak ramai yang merokok. Dan mungkin juga sebab bau durian telah mengatasi bau rokok...amboiii...ada durian lagi. Kami ingatkan nak makan lepas solat. Bila datang dengan penuh harapan nak merasa durian D24 tu...akak yang jaga kiosk durian tu dengan kejamnya melaporkan..."dah habis"...huhuhu...kuchiwaaaaa!!!


Sempat menjadi paparazzi sekejap...hahaha...paparazzi amendenya...memang TSZ berdiri depan saya pun. Masa tu saya dan kawan-kawan berdiri di pintu depan menyambut tetamu yang ramai kami tak kenal...hahaha...seronok berborak jer la sambil cuci mata tengok fesyen pakaian tetamu...macam kat acara 'red carpet' pulak....


Lepas tu bergambar sesama sendiri. Itu yang penting tu...!!!


Akhirnya, pukul 4 petang (lebih) barulah saya bergerak meninggalkan majlis. Tinggal kawan-kawan yang memang dalam jawatankuasa majlis jerlah bertungkus lumus 'menapau' kah...kah...kah...dengarnya banyak yang berlebihan. Dan paling tension dengar cerita, depa 'belasah' durian ramai-ramai. Caterer dah put aside untuk bossess...so, bila majlis dah tamat dan masih berlebihan ...apa lagiiii...kenduri laaa....



Friday, August 23, 2013

Duhai Dodol

Nak letak juga gambar ni...


Cuba teka apa dia? Kenyal. Lemak-lemak manis. Melekit-lekit di jari.
Siapa jawab betul boleh datang beraya...hahaha...tapi dodol tak ada lagi dah sebab sudah selamat dikendurikan Telipuk yang membalas dendam kerana lambat balik raya.

Sedapnya dodol mak Telipuk. Tak puas makan yang dodol Melaka...mesti nak dodol mak jugak. Tapi tahun ini semua orang tak bagi mak masak banyak, so, dia buat ciput saja...ngam-ngam cukup untuk kami adik-beradik rasa.

Dodol ni Telipuk suka bukan sebab apa...sebab ada banyak kenangan sama. Tok Telipuk memang pencinta kuih-muih tradisional dan 'kelebihan' menjadi cucunya ialah Telipuk berpeluang terlibat sama dalam proses pembuatan kuih-muih tersebut meskipun penglibatan yang 'terpaksa-rela' . Selalunya macam tu lah, kena paksa-paksa dulu, gula-gulakan dengan habuan dan upah...barulah dengan berat hati turun ke dapur. Bukan apa, tok Telipuk ni, dia mesti sediakan bahan-bahan secara tradisi juga...tak mainlah yang segera...tu yang penat nak melayan tu. Kalau kuih tu menggunakan tepung pulut, maka, kenalah kami bergilir-gilir menumbuk dengan alu  yang berat tu. Dahlah puasa pulak . Penat wooo. Kalau macam dodol tu...selamat sejahteralah kami 'menunggang' kukur kelapa sebab nak dapatkan perahan santan tu. Bukan kukur sebijik dua...berbiji-biji.

Tapikan...bila fikir-fikirkan sekarang, rasa rindu pula kenangan masa tu dan rasa rugi sangat sebab buat kerja tak ikhlas hahaha...kalaulah Telipuk lebih positif, tentu banyak yang Telipuk belajar dari Tok. Tentu banyak tips-tips yang ada dalam hafalan Telipuk sebab banyak keistimewaannya kaedah tradisi itu. Sebab itu kuih sekarang tak boleh lawan rasa kuih lama. Atau setidak-tidaknya dapatlah Telipuk kekalkan dan pelihara sebagai warisan keluarga...rugi, kan?

*Mode : perempuan melayu terakhir...*

Nota Jumaat

Pagi tadi nampak ada notification - meminta kebenaran untuk update beberapa apps yang ada dalam telefon bimbit saya. Berapa kali mau update daaa....kejap-kejap update. Buat menyemak aje. Tapi...hujung-hujung buat juga, kan? Mahunya tak buat, takut pula nanti ada masalah nak guna WhatsApp misalnya. Mana tahu tiba-tiba tak boleh nak attach gambar ke...apa ke...

Begitu...

Tiba-tiba terfikir tentang aspek lain yang tidak begitu dititik beratkan sebagaimana pendekatan yang digunakan dalam pengurusan aplikasi telefon tersebut. Kegagalan untuk memperbaharui dan meningkatkan iman. Itu adalah software yang terpenting yang jika tidak diselenggarakan dengan baik pasti akan menimbulkan masalah yang rumit di kemudian hari, malahan menjejaskan keupayaan manusia menjalankan fungsi-fungsi utama kewujudannya.

Berapa ramai yang tahu, sedar dan menerima peringatan untuk menyemak semula tahap/status iman tapi tak ramai yang 'bersegera' meng'update'nya. Macamana terima notis? Ada banyak cara. Kadangkala melalui ujian yang Allah beri kepada kita. Kadang-kadang ujian yang menimpa orang lain, kita ambil jadikan peringatan dan pedoman. Atau juga bila kita melihat alam sekeliling dan berfikir tentang kehebatan Allah, tergerak hati untuk memperbaiki diri dan amalan.

Di dalam surah Al-Baqarah, Allah berfirman di dalam ayat 164 yang bermaksud :


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Sebenarnya kita tidak perlu pergi jauh untuk memperkasakan akidah kita. Tengok pada diri sendiri pun sudah jelas akan tanda-tanda kekuasaan Allah sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Jatsiyah, ayat ke-4 yang bermaksud :

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

Lihatlah pada jari-jemari kita...sendi-sendi yang menghubungkannya. Bagaimana terperinci dan delicate ciptaan Allah. Bayangkan kalau sendi-sendi itu tak dapat digerakkan, betapalah susahnya kita hendak membuat hatta kerja-kerja yang mudah seperti memegang gelas air minuman atau menyuapkan makanan ke dalam mulut...(jarang diperhatikan dan disyukuri). Sangatlah pelbagai fungsi tubuh badan kita, belum lagi masuk sistem otak yang sangat kompleks itu. Siapakah yang menciptakan sedemikian hebat? Tidak lain dan tidak bukan, satu-satunya sembahan kita...Allah Yang Maha Esa.

Hari demi hari kita hidup, bernafas dengan udara yang Dia pinjamkan, jantung berdegup dengan izinNya namun tidak cukup untuk menggerakkan keinginan untuk memberikan yang terbaik dalam menjaga hubungan denganNya. Kerana itulah, bab-bab iman dan amal ini...kita tolak ke belakang, nak tunggu masa yang sesuai, nak tunggu seru sampai, nak tunggu segala-galanya barulah kita hendak buat. Kita sekarang hendak fokus kepada keperluan dunia, keperluan pembiayaan, keperluan kehidupan yang selesa sehingga terlupa memperhatikan keperluan akhirat. Bila agaknya kita hendak 'bersegera'...??? Apa lagi yang kita perlukan untuk buatkan kita bingkas mematuhi perintahNya? Nak tunggu maut sampai di kerongkongankah?

Mudah-mudahan hati dan keinginan boleh bergerak seiring untuk menerbitkan dorongan mahu terus meng'update' dan mengkoreksi diri. Jangan sampai Allah tak pedulikan kita dan tidak beri sebarang peringatan lagi. Kalau itu terjadi, alangkah celakanya!

Tuesday, August 20, 2013

Terjah Raya

Saya tak sangka sekali ni saya kena 'terjah' sebegitu di Syawal yang mulia ini. Dihujani dengan pertanyaan yang sama beberapa kali rupanya boleh menimbulkan rasa jengkel di hati. Soalan tersebut saya boleh jawab tak ada masalah, cuma barangkali sengaja orang tak suka dengan jawapan saya. Habis tuuuu...???

Ianya bermula saat mengunjungi saudara-mara di hari raya. Biasalah, bukan selalu jumpa...mulalah tanya itu ini. Soalan cepu emas paling favourite untuk raya kali ini ialah, "Bila nak tambah anak?". Dulu depa kata jumpa...bila tanya anak berapa, jawab 2 orang anak. Dah bertahun-tahun berlalu (Aiman sudah 8 tahun) dan masih berikan jawapan yang sama, orang nak jawapan lain pula. Nak menjadikan keadaan lebih sadis, adik ipar saya yang bermula dengan seorang anak sehingga 8 tahun lamanya...kemudian mula menambah setahun demi setahun (sekarang sudah 4 orang) turut ada sama untuk dijadikan perbandingan mudah...membuatkan pertanyaan yang diajukankan bukan sekadar ayat tanya, hampir kedengaran seperti bunyi ayat perintah pulak. Haaaiii...apa mengkomer ingat benda macam ni boleh tambah-tambah macam nasi tambah ke?

Wellll...Telipuk boleh senyum-senyum sahajalah. Nak buat apa lagi kan? Lepas tu ada yang siap letak tangan kat perut Telipuk...hadoiii...menjampi serapah ke pulak? Tahulah, bergurau sajakannn...tapi orang kata kalau terlebih bergurau pun tak elok juga...mulut asyik terbuka gelak-gelak, angin masukkk...lemau satu badan!

Telipuk bukannya nak marah...cuma, tak betullah kalau kata Telipuk ni sengaja tak nak anak ramai. Eh...Telipuk pun macam mak bapak lain juga, kalau boleh nak anak satu padang bola sepak...hah...amik ngkau! Tapi tu dululah kannn...sebelum-sebelum kena operate...bila dah kena operate, saya pun sedar dirilah. The most I can have is 4! Tapi itupun, masih bergantung pada Dialah. Itukan rezeki Allah. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada, redha ajerlah. Apa yang payah sangat!

Alhamdulillah...syukur sangat-sangat, ada juga anak 2 orang. Ada ramai pasangan lain di luar sana yang bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, belum lagi dikurniakan zuriat. Baru ni masa kami singgah beraya di rumah jiran lama, tengok dia kendong bayi lelaki yang comel...baru sedang merangkak. Dalam hati saya terdetik kata, "dapat juga dia seorang anak..." sebab tak pernah dengar cerita dia mengandung. Akhirnya baru kami tahu yang bayi itu rupanya anak angkat yang sudah dipelihara semenjak berusia 4 bulan lagi. Kalau tak diberitahu memang tak tahu sebab budak tu nampak serasi sangat dan muka pun dah mirip-mirip ibu dan ayah angkatnya.

Sekarang saya boleh faham perasaan individu-individu yang terpaksa berdepan dengan pertanyaan seperti ...kalau belum kahwin - "Bila nak kawin??? Memilih sangatlah hang ni! Kawin ajerlah senang!". Padahal, jodoh belum sampai lagi...dah berbuih mulut menjawab, tapi yang bertanya tu macam tak faham kerja Allah. Bila dah kahwin...kena tanya, "Bila nak dapat anak?". Asal jumpa tanya. Asal tanya jumpa. Letih la kawan tu nak jawab. Macamlah dia boleh petik jari dan tetapkan..."tak per mak cik, bulan Januari depan saya beranak". Bila dah beranak satu...ingatkan dah selamat. Kena tanya lagi, "Bila nak beranak lagi?". Tak cukup satu tu...kena tambah. Beranaklah member ni lagi. Masuk dua. Kena tanya lagi..."Aii...tak kan dua ajer? Beranaklah lagi...awak tu ada peluang lagi...". Tapi yang pelik tu, orang yang beranak setahun satu pun tak lepas juga...nanti dikata juga..."Ishhh...anak kecil-kecil, tak kesian ka?" Boleh dia pulak yang rimas. Semuanya serba tak kena belaka. Selagi ada mulut, selagi tu sedap je nak cakap ye...tak kira orang lain terasa ke tak...janji dia cakap. Konon ramahlah tu...ramah tak bertempat!

Ini bukan tentang saya saja...meskipun entri ini sememangnya tercetus dek pengalaman sendiri. Tentang orang lain juga yang berdepan dengan keadaan yang sama. Jangan stress, okey! Lantak diaoranglah nak kata apa. Jodoh, ajal, rezeki...semua itukan ketentuan Allah. Kita hanya boleh merancang dan berusaha. Selebihnya Allah yang tentukan. Saya rasa, in sha Allah, saya tak takut sekiranya sudah Allah tetapkan cuma ada dua anak. Ada orang kata kat saya, nanti bila budak-budak ni sudah dewasa dan ada kehidupan masing-masing, habislah saya ditinggalkan. Orang lain ada anak 12, kalau 8 duduk jauh-jauh, setidaknya masih ada 4. Awak? Kalau dua-dua ikut telunjuk bini...habuk pun tarak!!! Ehhh...apa pulak...tak kuasa saya nak memikior benda yang jauh ke depan nu...entahkan belum sempat terima menantu saya sudah pejam mata. Tak kisahlah, Allah ada untuk jamin rezeki saya. Kalau tidak melalui tangan anak-anak, adalah sampai dari mana-mana. Kalau tua gayut sekalipun, in sha Allah, ada yang akan jaga saya (kot???) hehehe...kalau orang tak pedulipun...serah pada Allah jualah.

Ada juga yang bisik..."Orang lelaki nak anak ramai...awak tak takut ke...kalau...???". Heemmm...tak sangka juga ramai yang masih terjajah minda sebegitu...tak progresif langsung! Tak kuasalah saya nak ikat suami dengan anak. Yang anak berderet pun terlepas juga. Jodoh kan kerja Allah. Kalau dia ada jodoh lain, tak kerana sebab nak anak pun...dia akan kahwin jugakan...apa masalahnya? Kahwin jer lahhhh...Hehehe...cakap senanglah kan. Tak apalah, Allah kan ada.

Hidup di dunia ini sekejap sahaja. Dunia cuma tempat transit. Tak payah nak tamak bolot bahagian di dunia, lagi banyak kita lepaskan, lagi banyak bahagian akhirat yang kita akan dapat. Berlaku atau tidak berlaku sesuatu perkara itu, semuanya dalam pengetahuan Allah. Kita sekadar berusaha melakukan yang terbaik untuk meraih redhaNya. Kalau manusia tak suka, tak redha...biarkanlah. Semoga Allah berikan kita ketahanan untuk terus istiqamah buat apa yang Allah suka...bukan apa yang manusia suka. Kedengaran mudah, tapi payah...gambatteeee!!!

Monday, August 19, 2013

Merintis Jalan Bahagia

64% kebahagiaan adalah datangnya daripada cetusan dari dalam diri seseorang individu itu sendiri (self-initiated). Demikian perkongsian oleh Imam Suhaib Webb dalam siri Reflections pagi ini. Topik hari ini ialah tentang kebahagiaan luaran dan dalaman yang mana kita seharusnya mengutamakan kebahagiaan dalaman bukannya terpengaruh dengan kebahagiaan luaran yang bersifat materialistik, plastik dan sementara. Yang tu saya simpulkan dengan ayat sendiri ya.

Ada orang kata kebahagiaan itu hanya boleh dicapai dengan wang ringgit yang banyak. Maksudnya, kebahagiaan hanya datang bila hidup ini kaya, mewah dan berharta. Secara luarannya, saya rasa tidak susah untuk bersetuju dengan pendapat ini tetapi secara dalamannya banyak yang boleh dipertikaikan. Begitu juga ada yang kata kebahagiaan itu ialah bila dikurniakan rupa paras yang cantik lagi menarik yang membuatkan diri disukai ramai. Yang ini ramai yang memburunya. Nak jadi cantik. Apabila kebahagiaan itu kita cuba jadikannya nyata dengan penampilan fizikal, maka tentunya perkara-perkara yang terlihat oleh mata itulah yang akan cuba diubah supaya selari dengan definisi kebahagiaan sedemikian. Tak percaya tengoklah iklan-iklan kosmetik yang berlambak dalam akhbar saban hari. Semuanya mempromosikan krim yang boleh mencerahkan kulit. Kulit yang putih. Adakah berkulit putih itu cantik? Yang berkulit hitam tak cantik? Kalau tidak, mengapa ramai yang terpengaruh dan berlumba-lumba untuk jadi semakin putih?

Tak ada pula yang berlumba-lumba mencantikkan dalaman. Sebab orang tak nampak, kan? Masalahnya, yang dalaman itulah yang Allah lihat. Sekarang ini kita mencantikkan luaran kita untuk bagi manusia tengok dan manusia tu tak boleh tolong atau beri kita apapun. Sedangkan dalaman kita biarkan kusam dan berlemoih (comot) padahal itu yang Allah, Tuhan Yang Maha Agung, akan lihat dan Allah adalah pemberi segala rezeki yang sedang kita nikmati.

Merasa syukur dengan apa yang kita ada dan berterima kasih atas kurniaanNya adalah awal mula kebahagiaan. Ianya akan mematikan keinginan hati untuk berlumba-lumba mengejar nikmat dunia lalu menjadikan kita lebih fokus kepada tujuan asal penciptaan manusia. Lantas terbitlah rasa bahagia dalam kehidupan yang akan merebak ke luar...in sya Allah, lain-lain aspek juga akan bahagia. Kebahagiaan yang bersandarkan kepada ketaatan kepada Allah ini adalah kebahagiaan yang sebenar-benarnya iaitu bilamana kita berjaya membebaskan diri daripada menjadi hamba dunia dan penjara nafsu.

Mungkin kedengarannya mudah...cakap senanglah kan....Memanglah cakap senang. Tapi kalau tak cakap...tak terasa nak buat pulakkan? Bila dah cakap dan coret di sini, kuat sikitlah perasaan dan keinginan untuk melaksanakan. Sekurang-kurangnya bila terlupa dan ulang baca...bolehlah beringat dan menyemai azam semula, kan?

Mungkin boleh dimulakan dengan menjadi jujur kepada diri sendiri...

Friday, August 16, 2013

Cubit Peha Kiri...

Syukur alhamdulillah kerana bumi yang kita pijak, tempat tumpah darah kita ini masih aman. Kita masih bebas untuk menjalankan aktiviti harian masing-masing, bebas ke sana ke mari tanpa rasa bimbang dan risau. Owh...mungkin sedikit risau dengan trend jenayah sekarang, tapi, secara amnya keadaan boleh dikatakan masih terkawal.

Namun, janganlah keamanan itu menjadikan kita leka dan lupa memandang ke 'luar'. Atau kita merasakan, "janji kita aman...negara lain lantaklah!". Mungkin bila sudah selalu-selalu disogokkan dengan peringatan tentang menghargai keamanan itu...kita merasakan ianya hak esklusif kita lalu kita rasa asalkan tak kena pada kita, orang lain nak tunggang-terbalik...itu nasib diaoranglah. Kita aman. Alhamdulillah. Takut perasaan itu menjadikan kita menutup mata dan memekakkan telinga pada rintihan saudara-saudara kita yang sedang dizalimi.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh  Tsauban r.a, Baginda S.A.W bersabda :

"Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan". 

Maka, seorang bertanya : "Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?". 

Baginda S.A.W menjawab : "Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesungguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu". 

Para sahabat bertanya :" Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?". 

Baginda menjawab: "Cinta kepada dunia dan takut mati".

Saya kira, apa yang Rasulullah S.A.W gambarkan tentang keadaan umat Islam di akhir zaman itu sememangnya sedang terjadi sekarang. Lihatlah bagaimana saudara-saudara kita di Palestin, di Syria, di Mesir bahkan di tempat-tempat lain juga seperti di Myanmar, ditindas dan dibunuh dengan sewenangnya. Ianya sedang berlaku. Jelas dan nyata. Yang kedengaran sekarang hanyalah bantahan-bantahan dan kutukan keras terhadap keganasan tersebut. Seruan-seruan ke arah kedamaian dilaungkan. Apakah ini akan mengembalikan keadamaian???

Kalaupun kita tak mampu sama-sama berada dan berjuang bersama mereka, sekurang-kurangnya rasailah apa yang sedang menimpa mereka dengan titipan doa yang berterusan. Kenang-kenanglah mereka dalam doa kita supaya Allah tak lupakan kita bila saatnya kesusahan menimpa kita. Semoga kita ada sesuatu untuk dijawab bila saatnya berdepan dengan Allah dan ditanyakan apa yang kita lakukan untuk saudara-saudara kita.

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa mereka dan menempatkan roh mereka di kalangan para syuhada & solihin. Sesungguhnya itulah sebesar-besar kemenangan.

Jangan ralit sangat kerana dunia ini benar-benar hanyalah fatamorgana yang menipu.

Thursday, August 15, 2013

Syawal 1434H @ Melaka

Tahun ini, 1 Syawal kami raikan bersama keluarga sebelah suami di Kg. Paya Lebar, Ramuan Cina Besar, Melaka. Dua tahun sebelumnya, kami beraya di Perak. Asalnya memang ada buat penggiliran, tetapi tahun 2011 itu ayah dan mak saya pergi menunaikan Haji kemudian bila ayah dijemput menghadap Allah dalam bulan Disember tahun yang sama, kami adik-beradik bersepakat beraya bersama emak tahun 2012. Keluarga mertua pun faham situasi itu, alhamdulillah. Jadi, untuk tahun 2013 ini, memang sudah masanya beraya di Melaka pula. Sebenarnya, kalau nak diikutkan, saya tak ada masalah bab-bab nak raya ni...kat mana-mana pun boleh je beraya kan...tidaklah asal raya je, nak balik kampung. Atau asal balik kampung je, raya. Balik kampung tu bila-bila masa pun saya balik juga bila ada keperluan...tak adalah tunggu raya baru nak cari alasan pulang ke kampung. Tapi tengok jugalah, kalau suami dapat cuti lepas raya, saya tak kisah beraya di sini dulu berbanding nak memaksa dia balik kampung malam tu juga semata-mata nak memenuhi kehendak beraya di kampung. Maksud saya, tengok pada keadaan juga...yang penting sekeluarga ada, tidak menyusahkan dan ala kadar.


Selalunya kalau beraya di sini, memang kurang 'stress' sikit...hahaha...pasai apa, keluarga mertua saya ni kecil sahaja...kami beraya anak beranak je. Kalau nak sibuk sikit pun lepas zohor bila saudara mara mak mertua datang lepas sorang...sorang...berkonvoi pulak tu. Haaa...time tu penat sikitlah sebab menantu kenalah bagi support bab penyediaan hidangan dan bab mencuci pinggan, gelas, mangkuk, cawan, periuk tu kannn...Hari kedua pulak...kami yang berkonvoi mengunjungi rumah saudara mara mak mertua. Ayah mertua saya anak tunggal. Jadi, banyak ke rumah saudara mak mertua sahaja.


Hari raya pertama tu, mak mertua buat laksa. Saya pula jadi tukang penasihat dan tukang kopek isi ikan. Jenuh jugaklah sebab buat untuk makan ramai. Oleh kerana ada tukang penasihat utara, maka , laksa tu terus jadi laksa utara a.k.a laksa kedah. Tetapi puan penasihat yang terjumpa nenas mak yang manih melecaih tu...terus buat keputusan menggunakannya sebagai sebahagian pilihan ulaman yang ada. Maka, berlakulah kacukan 'laksa kedah + laksa penang'. Yang penting...rasanya kan...sedapppp. Atau orang sini jarang makan kot laksa di hari raya...sold out ngkau! Tak larat akak Telipuk nak mencelur laksa berkali-kali. Siap ada yang tunggu bawak mangkuk ke dapur....sabo jer lahhh! 


Cuma sedikit yang mencalarkan raya kami di sini ialah bilamana air buat hal pulakkkk...boleh tak ada air di hari raya??? 2-3 hari air turun ala wak segan...menadah sampai ke malam buta. Nak membasuh jadi payah dan mengimbas kenangan lama bila harus ambil baldi dan angkut air. Dah lama tak buat kerja ni semenjak air paip mengalir laju di Bagan Tiang...heheh...akhirnya kenangan berulang di Melaka...nostalgia aidilfitri betullah!

In sha Allah, hujung minggu ni bolehlah beraya dengan serdak kuih di Perak pula...terus jemput emak balik KL sekali. Nak balik ambil awal, kesian pula...bagi can mak raya sakan dulu. Kalau rezeki ada, nanti hujung minggu seterusnya kita pi serbu rumah sedara-mara dan handai taulan di Lembah Klang pula sebab kami memang tak sempat nak ke rumah siapa-siapa lagi...rumah adik di Klang pun belum sebab Isnin kami dah masuk kerja.

Wednesday, August 14, 2013

Allahumma Anta Rabbi




Kata-kata hikmat Almarhum Syeikh al-Tantawi (Salin tampal dari FB page Maahad Miftahil Jannah)

لايلزم أن تكون وسيما لتكون جميل
Kau tidak perlu berwajah cantik untuk dikatakan sebagai seorang yang cantik

ولا مداحا لتكون محبوبا
Dan tidak perlu memuji-muji kerana mahu menjadi seorang yang disukai

ولا غنيا لتكون سعيدا
Tidak perlu menjadi kaya untuk menjadi seorang yang bahagia

يكفي أن ترضي ربك وهو سيجعلك عند الناس جميلا و محبوبا و سعيدا
Cukuplah dengan membuatkan Tuhanmu redha dan kasih kepadamu, pasti Dia akan menjadikanmu cantik dan indah di mata manusia, disukai dan disenangi oleh semua, serta hidup bahagia

لو أصبت 99 وأخطأت مرة واحدة
Andai kau lakukan 99 kebaikan, tetapi terbuat silap sekali

لعاتبوك بالواحدة وتركوا ال 99
Manusia akan menyalahkanmu dengan kesilapan yang satu itu, dan melupakan semua 99 kebaikan yang lain

هؤلاء هم البشر !
Itulah hakikat manusia!

و لو أخطأت 99 مرة وأصبت مرة
Tetapi andainya kau lakukan 99 kesilapan, dan cuma sekali melakukan perkara kebaikan

لـغفر الله ال 99 وقبل الواحدة
Allah akan ampun semua 99 kesilapanmu dan menerima amal baktimu yang satu itu

ذاك هو ربي
Itulah Dia Tuhanku!

Tuesday, August 13, 2013

Kuih Syawal

Semalam saya dah siapkan satu bekas untuk Kuhan. Hari ini saya buat satu bekas lagi untuk letak atas meja...so, kalau ada yang singgah di cubicle saya ni, boleh makan biskut raya ye...Saya kena buat satu bekas untuk guard AV sebab dia rajin tegur saya time menunggu geng 'car pool' saya di depan pagar. Sebab dia dah ramah sangat tu lah terkeluar request nak makan biskut raya...nasib baik Mak saya tak dengar...kalau tak, jangankan kuih raya...dodol pun dia sanggup buat lagi sekali sebab Mak saya tu memang suka beri orang makan.


Agar-agar kering dengan putu kacang adalah kesukaan saya. Agar-agar kering itu Mak sempat buat di rumah saya sebelum balik kampung. Empat lima hari juga menjemur di balkoni dapur tu. Yang putu kacang tu puas saya cari yang berkenan di hati...akhirnya jumpa di kiosk di luar Econsave Parit Buntar. Menyesal pulak beli satu je...nanti kalau saya jumpa lagi semasa balik kampung hujung minggu nanti, in sha Allah nak beli lagi...(nak buat kudapan jer...hehehe).


Mungkin juga nak kena tambah kuih tart nenas ni...tak boleh miss tiap kali raya. Dua bekas hantar balik kampung, itupun kena 'cilok' awal-awal lagi oleh penggemar tart tegar di sana...rasanya tart tu pun tak berpeluang hendak merasa duduk dalam balang juadah .


Kat rumah dah tinggal beberapa biji jer...aiii...tu yang nak kena cari lagi nih. Istimewanya tart ini terletak pada kulitnya yang gebu dan jem nenas buatan sendiri yang lembut dan segar.

Heheh...ni kalau baik punya promosi, ada can ka dapat free beberapa bekas....???

Hehehe...tst lah yer...

Monday, August 12, 2013

Hari Yang Lengang

Amboi hari ini memandu ke tempat kerja tak tekan brek langsung...hahaha...iyelah, asal sampai kat traffic light, ngam-ngam lampu hijau...pulak tu jalan lengang tak ada halangan. Berdezuplah!

Mungkin ramai yang masih bercuti. Apatah lagi sekarang ini sekolah masih tutup sehingga hujung minggu ini. Raya sakan la mak bapak melanjutkan cuti masing-masing. Saya pula terbalik kot. Cuti banyak diambil sebelum raya sebab berulang-alik balik Perak hantar emak dua minggu sebelum raya, lepas tu balik lagi seminggu sebelum raya mengenangkan tahun ini giliran Melaka. Kemudian, tambah cuti sebab budak-budak masih bersekolah dan tak ada orang nak bukakan pintu bila balik sekolah, dan teman diaorang. Kalau tok ada, lega sikit...ada juga pemantauan. Jadi, atas sebab nak menjimatkan cuti untuk apa-apa keperluan di hari muka, dengan bersemangatnya saya muncul di pejabat bermula hari ini.

Yang hadir boleh dibilang dengan sebelah tangan jer...sabor jerlah...


Kosong beb!!!

Aduyai...ini yang lomah semangat eden nak kojo ni...hehehe...

Tak seronoklah hari ni sebab tak ada 'pressure'. Mati kutu oiii...Nak cari orang, orang cuti. Orang yang nak pass kita kerja pun...belum muncul lagi. Nak follow up pun sama gak...pi mai pi mai dok pusing...blur rasanya.

Genggg...cepatlah korang balik weeiiii...!!!

Refleksi Raya

Bermaaf-maafan di Aidil Fitri tu salah ke? Yelah...acap kali kita jumpa saudara, jumpa handai taulan...kita kata kat dia, "Selamat Hari Raya"...lepas tu kita minta maaf zahir dan batin kan? Ehehehe...walaupun yang kita minta maaf tu memang tak ada sebarang interaksi dengan kita...entah bila masa kita ada buat salah kat dia dan bila masa pula dia pernah buat salah kat kita. Tapi kita minta maaf jugak sebab itu benda yang mesti dibuat di hari raya begini...

Dah jadi adat! Pagi-pagi raya ternanti-nanti saat hendak mengucup tangan insan tersayang dan memohon ampun. Errr...tak boleh ka? Boleeehhh...tapi kan...kenapa kita tunggu 1 Syawal untuk minta maaf ye? Kalau kita buat salah dengan dia semenjak satu Muharram lagi...sanggup kita tunggu 1 Syawal baru hendak minta maaf??? Bukankah kita dianjurkan segera minta maaf bila-bila tersedar dan rasa kita buat salah tanpa menunggu. Kita tak tunggu sebab kesalahan dengan manusia ni...selagi tidak minta maaf dan diampunkan, selagi itulah tak selesai. Dengan Allah kita kena segera bertaubat bilamana menyedari berlakunya perlanggaran terhadap perintah dan laranganNya. Dan kita tidak bertangguh kerana kita sedar kematian itu kedatangannya tidak dapat diramalkan. Entah esok. Entah lusa. Entah sekarang!

Err...tak de...time 1 Syawal tu kan rasa tak kekok sangat nak minta maaf. Lepas tu kan...orang yang diminta maafnya tu pun selalunya cenderung memaafkan time-time raya cenggini....masa tu hati tengah lembut, jiwa penuh ihsan belas...iyeee keee? A'aaa...iye...tak caya cer tengok iklan-iklan raya...drama-drama raya...sarat dengan kesyahduan dan kesayuan. Kejap...kejap...kejap...apasal kalau masa nak raya nilah kita meleleh-leleh bagai ? Asal raya jer menangis. Asal menangis jer raya. Awat yang sedih sangat. Sedih betul...lama tak balik kampung tau...adalah dekat 10 tahun...tu yang malam raya mak ayah dok tersedu-sedan menyeka air mata dengan hujung langsir tu. Yang hang gatai tak balik pasai apa? Tunggu raya baru nak balik jengok kampung tu yang jadi syahdu tak pasai-pasai tu....cuba balik sebulan sekali!

Lagi...apa ada di hari raya kita? Dam dam dum...bunyi mercun! Bunyi satu hal lah...yang tercedera tu pun satu hal jugak. Bangsa kita memang juara bab-bab putus jari ni. Boleh tak saya nak request...untuk liputan hari raya tahun depan...boleh tak jangan keluar lagi cerita nahas disebabkan mercun sebab saya dah cemuiiiihhhhh nak dengaq...nak baca. Meluatttt!!!

Isu-isu remeh seperti bertengkar laki bini dek mempertahankan kemahuan balik ke kampung sendiri juga janganlah diketengahkan lagi. Ramadhan sepatutnya sudah mampu mertarbiah jiwa kita, kalau isu macam ini pun tiap-tiap tahun tak selesai...parah kita!

Saya fikir kita perlu ubah cara dan persepsi kita terhadap sambutan 1 Syawal. Ada orang yang sanggup bersusah payah berhutang semata-mata hendak memastikan sambutan hari rayanya serba sempurna. Setiap orang kena ada baju baru. Tak ada pun harus diada-adakan juga dengan apa cara sekalipun. Kalau tidak, kita rasa sedih, rasa terkilan...rasa rugi sangat-sangat. Sebab itu komen yang selalu keluar atau rintihan yang dipaparkan dalam menjejak persiapan raya selalunya berbunyi..."Tak tahulah raya nanti macamana...satu persiapan pun saya tak ada buat". Atau, "Kesian tengok anak-anak...terpaksa pakai baju raya tahun lepas". Saya bukan nak merendahkan atau apa...cuma nak kaitkan persepsi tak betul kita tentang hari raya. Asal raya aje mesti ada baju raya yang baru. Asal raya aje mesti tukar perabot baru. Kereta baru. Cat rumah yang kaler terbaru. Kuih-muih dan sebagainya. Kadang-kadang dah jadi tak terkawal sebab kita seolah-olah berlumba-lumba untuk menonjolkan persiapan terbaik. Sedangkan bukan itu yang sepatutnya dilakukan pada hari kita meraikan kemenangan mengharungi puasa sebulan.

Hari raya cuma satu hari yang pasti berlalu begitu sahaja...tapi hidup kita ini, perlu kita isikan dengan bekalan dan persiapan yang mencukupi...itu yang sepatutnya kita perhatikan. Itu yang sepatutnya menjadi agenda utama serta patut kita bimbangkan. Kita kesian anak-anak tak ada baju baru...tapi tak kesiankah kita dengan apa yang mungkin menanti mereka di mahsyar sana? Kita sedih persiapan raya kita tak seberapa tetapi kita tak rasa apa-apa bila persiapan akhirat kita masih begitu tak ada menambah. Kita bersiap untuk dunia yang fana namun kita tak bersedia untuk akhirat yang abadi. Bukankah itu pelik?

Thursday, August 01, 2013

Tiket Ke Syurga

Pagi tadi ustaz meneruskan tadabbur ayat 135 dan 136 surah Ali 'Imran. Ayat 133 dan 134, in sha Allah...dah hafal ...(karang jalan tersepak batu...berterabur baliklah!). Bila dah hafal, bawa masuk dalam solat, pesan Ustaz. Barulah rasa sedap sikit bersolat...pasal yang lepas-lepas tu asyik dok ulang ayat-ayat lazim jer. Dahlah baca ayat-ayat lazim...tak paham pulak tu...adeh! kena lepas sebijik...sebijik lagi.

Ayat 133-136 ini menceritakan perihal sifat orang-orang yang beriman iaitu :

  1. Menginfak baik ketika masa senang mahupun susah
  2. Menahan kemarahannya
  3. Memaafkan kesalahan orang
  4. Apabila berbuat dosa, segera ingat kepada Allah dan bertaubat (berhenti dari berbuat dosa)

Lalu Allah memberikan mereka balasan keampunan serta syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Mereka tinggal kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal. Jadi, syarat hendak masuk ke syurga mestilah dengan beramal. Tetapi bagaimanapula dengan hadis Nabi tentang masuk ke syurga dengan rahmat Allah itu?

Sabda Nabi Muhammad S.A.W : " Tidaklah seseorang masuk syurga dengan amalnya. Lalu sahabat bertanya, "Sekalipun engkau wahai Rasulullah?". Baginda bersabda, "Sekalipun saya. Hanya saja Allah telah memberikan rahmat kepadaku."

Hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Berkenaan hal ini, Ustaz menjelaskan tentang hakikat syurga itu ada dua macam. Yang pertama, syurga itu ada harga dan nilainya. Maksudnya, syurga itu tidak boleh dibeli. Beramal sebanyak manapun, dari muda sampai ke tua, masih tidak akan mampu membeli syurga kerana sangat-sangat bernilai harganya...tak mungkin mampu kita menebusnya. Yang keduanya, kemasukan ke syurga itu adalah bersebab. Benar kita dapat masuk sebab amalan kita tetapi bukanlah disebabkan amalan yang dilakukan itu mencukupi sehingga melayakkan kita mendapatkan syurga. Sebab masuk ke syurga ialah kerana adanya rahmat Allah dan Allah beri rahmat kerana amalan kita. Contoh : katakan kita ada bibik yang diberi upah RM800 sebulan. Walau rajin dan berdedikasi bibik itu bekerja, masih setiap bulan kita hanya akan berinya RM800. Tetapi kita selaku tuan, bila mengenangkan kesungguhan dan kejujuran bibik bekerja itu, kita rasa ingin menghargainya lalu kita beri dia duit lebih mencecah RM1000. Begitulah lebih kurang kita nak terangkan bab ini supaya senang nak faham perkaitan antara amalan dan rahmat Allah itu tadi.

Untuk lebih melengkapkan, saya kongsikan di sini catatan dari blog http://abuzuhriy.com sebagai panduan.
Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Baariy (secara makna) menjelaskan:
“Seseorang itu tidak masuk syurga kerana amalnya; akan tetapi kerana rahmat Allah kepadanya. Sehingga apabila Allah merahmati hambaNya, maka ia akan memberinya taufiq untuk BERIMAN serta BERAMAL SOLEH, istiqamah diatasnya, dan sehingga mematikannya diatasnya; sehingga dengan sebab itu ia masuk syurga.”
Allah berfirman:
الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ ۙ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Orang-orang yang diwafatkan DALAM KEADAAN BAIK oleh para malaikat mengatakan kepada mereka (dihari kiamat kelak): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu DISEBABKAN APA YANG KAMU KERJAKAN”.
(QS an Nahl: 32)
dan Rasulullah S.A.W bersabda:
وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَبْلَ مَوْتِهِ
"Jika Allah menginginkan kebaikan atas seorang hamba maka Ia akan membuatnya beramal sebelum kematiannya”. Para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah, bagaimana Allah membuatnya beramal?”
Baginda bersabda:
يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ
“Memberinya taufik untuk beramal kebaikan, setelah itu Dia mewafatkannya.”
(HR. Ahmad, haitsamiy; shahiih)
Maka apabila seseorang yang beriman dan beramal soleh; istiqamah diatasnya, dan mati diatasnya, sehingga ia masuk syurga kerananya; maka ini semua disebabkan kerana RAHMAT ALLAH kepadanya.
Seandainya Allah tidak memberi taufiq kepada hambaNya untuk beriman, beramal soleh, dan mati diatasnya (malah mati diatas kekufuran, na’uudzubillah); maka selamanya ia tidak akan dapat masuk syurga, bahkan akan kekal di neraka. Maka kita sangat memerlukan rahmatNya ini.. yang senantiasa kita minta kepadaNya, pada setiap solat lima waktu.