Friday, August 30, 2013

Jiwa Merdeka

Mungkin kibaran bendera itu tidak lagi memberikan sebarang makna. Mungkin hanya mengundang sangsi kerana terbiasa disaji dengan kepalsuan dan lakonan yang selalu tidak menjadi. Atau boleh jadi terbiasa mengaitkan sesuatu perkara dengan motif-motif tertentu. Pemikiran kita terlalu kompleks kini...sama kompleks dengan emosi dan hati sehingga kita sendiri lupa bagaimana rupa atau rasanya sebuah keikhlasan.

Mungkin angka 56 tahun itu pada kita hanya sekadar angka. Angka yang saban tahun meningkat tetapi tidak mempunyai sebarang impak. Kadang-kadang ulang tahun kelahiran sendiri pun kita lupa. Ianya cuma suatu hari yang sama seperti hari-hari lainnya. Hidup mesti diteruskan dan kita tidak perlu membuang masa dengan imbasan peristiwa yang melankolik.

Mungkin juga sejarah yang tercatat itu bagi kita cuma suatu cerita. Kisah lama yang tidak patut diungkitkan dan boleh jadi tidak relevan lagi di zaman teknologi terkini. Mungkin kita patut disajikan dengan cerita-cerita baru yang lebih kena dengan peredaran masa.

Mungkin juga kerana kita sudah terbiasa menikmatinya. Terbiasa mudah segala-galanya. Atau juga kita merasakan itu berupa hak yang patut kita nikmati tanpa perlu dipersoalkan. Justeru itu terpulanglah bagi kita untuk mengecapinya bagaimana. Mengapa perlu kita luahkannya mengikut bentuk-bentuk tertentu yang sudah ditetapkan?

Mungkin...

Tidak kira apapun pandangan kita, ada satu yang mahu tidak mahu perlu kita setujui dan lakukan. Bukan untuk hari ini sahaja tetapi untuk setiap hari yang kita berpeluang melaluinya. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Sambutlah hari ini dengan rasa penuh kehambaan kepada Allah yang telah menganugerahkan kita sebuah negara yang aman tenteram yang dengannya kita berpeluang meniti hari demi hari dengan usaha mencari bekalan pulang. Kita tidak tahu lama mana keamanan ini boleh kita nikmati, namun itu bukan urusan kita. Sentiasa sandarkan nikmat ini kepadaNya.Jadilah jiwa yang merdeka yang tidak terikat dengan kemahuan duniawi.

Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan kehendakNya.

Merdeka!Merdeka!Merdeka!


No comments: