Friday, February 26, 2021

Jangan Tangguh Bahagia

 Salam pagi Jumaat yang indah. Apa yang ada difikiran pagi ini? Sambil-sambil makan pancake pisang ni, teringat catatan seorang teman di laman FBnya. Ingatan terhadap kenalan yang satu ini agak samar sebenarnya sebab Telipuk tak sempat begitu mengenali dirinya. Hanya bertemu ketika sama-sama mendaftar masuk kerja dan menjalani program latihan pengurusan di Jalan Gurney dulu. Ketika itu bulat mata Telipuk mengetahui yang beliau sudah bergelar isteri, maklumlah Telipuk jelas akan peraturan yang melarang pelajar berkahwin pada masa itu namun ya, kalau sudah jodoh. Justifikasi yang munasabah tentunya sudah dikemukakan. Apapun itu antara sebab mengapa Telipuk tak pandai berkawan dengan dia. Jika ada masa senggang sepanjang jadual latihan yang padat itu, beliau lebih senang menghabiskannya di talian telefon. Justeru, kami yang bujangan ini... Ewahhh...memahami dan membiarkan beliau dalam dunianya. Kenalan ini dimata Telipuk sangat sopan santun, lembut tutur kata... Dan masya Allah, cantik orangnya. Sebetulnya Telipuk rasa kagum dan malu-malu nak mendekatinya hahaha... Rasa macam kecik sangat dan tak layak nak bersembang... Hemmm tu la masalah kau ni kan Telipuk, suka sangat buat assumption dan lepas tu menjauhkan diri... 😅.

Bukan nak bincang tentang sosok peribadi teman yang satu ini tapi Telipuk tertarik dengan catatan beliau di FB. Beliau banyak menulis tentang momen momen indah antara beliau dan suami. Ianya sesuatu yang sentiasa mengagumkan Telipuk apabila seseorang bercerita tentang kasih sayang dengan bersemangat apatah lagi cinta kasihnya itu meliputi sekecil kecil hal seperti tolong buatkan air. Cara beliau bercerita terasa sangat tulus. Ianya sesuatu yang menyegarkan berbanding paparan birthday, anniversary, percutian dan kisah graduasi yang lebih acapkali Telipuk temukan di media sosial. Kadang-kadang terfikir juga, adakah kita terlalu dahagakan pengiktirafan orang yang hidup kita ini membahagiakan? Mungkin Telipuk tersalah tafsir tapi itulah sebab bila kita mengenali sesorang dan tahu realiti hidupnya berbeza dengan paparan di media sosial, tentulah kita sedikit cenderung nak mengomel... Apa daaaa... Hahaha, awas, jangan menjemput dosa percuma. Huhuhu. 

Oh ya, bercakap tentang kebahagiaan, Telipuk nak ingatkan diri Telipuk bahawa bahagia itu jangan ditangguhkan. Jangan tunggu nak rasa bahagia hanya bila sesuatu kondisi itu dipenuhi. Misalnya ada orang akan claim dia bahagia bila anak-anak berjaya bawa balik sijil dengan A sederet. Ada orang rasa bahagia bila berjaya dapat ini dapat itu. Telipuk pun macam tu juga selalunya, terlupa yang setiap detik itu sebenarnya membahagiakan jika kita sentiasa kekal positif. Bukan itukah yang menjadi keajaiban hidup seorang muslim? Baik ketika mendapat nikmat, mahupun ketika ditimpa musibah... Setiap sesuatunya mendatangkan pahala jika ditangani dengan betul eh silap, dengan iman. 

Jadi, jom kita bersyukur dan embrace kebahagiaan dalam setiap detik biarpun nampak kecil. Bangun pagi rasa bahagia tengok jaluran matahari yang malu-malu mengintai dari celah tirai kamar... Bahagia sebab hari ini Tuhan masih beri kita peluang untuk berbekal. Bahagia sebab kita masih punya segala berbanding orang lain yang sedang berjerih bergelut dengan cabaran hidup di luar sana. Bahagia dengar suara anak kucing yang mengiau meminta makanan sebab kita ada kemampuan untuk beri dia makan. (Telipuk ada bela 4 ekor sekarang hahaha...). Okay, dan bahagia jugak jenguk tepi dapur dan nampak pokok pandan Telipuk yang masih bersemangat nak hidup walaupun Telipuk asyik bertangguh nak gembur dan tambah tanahnya. 

Hemmm... Banyak betul sebab untuk merasa bahagia jika kita mengenakan lensa paparan kehidupan yang betul. Yang sejalan dengan apa yang agama tetapkan. Rasa syukur kena selalu mengiringi, barulah terbit bahagia dalam segala hal. 

In shaa Allah. 





Wednesday, February 24, 2021

Kembali

 Amboi tajuk!

Biasalah, tajuk kena gempak. Apa yang kembalinya tu pun tak tahu la ye...yang pasti, tak pernah pergi pun. Hehehe. Sebenarnya kembali di sini merujuk kepada kembali menulis (dengan cara menaip) di blog. Memang setakat ini, kalau betul-betul nak menulis tentang sesuatu, di sinilah tempatnya. Rasa lebih selesa. Macam bercakap dengan diri sendiri. Sebetulnya pun memang menulis untuk diri sendiri, iye tak? Iye iye kan aje...

Memang nak tulis semula ni tapi asyik tertangguh-tangguh, tak sedar sudah di penghujung Februari. Pagi ini bila baca posting FB Ustaz Ahmad Faisal Abdul Hamid, terus bersemangat nak buat posting pertama tahun ini. Kata Ustaz, menulislah sebab ia adalah satu bentuk terapi yang baik. Ya, betul. Dulu masa muda belia setiap tahun ada diperuntukkan sebuah diari. Dapat konsisten menulis satu muka surat satu hari adalah pencapaian yang memuaskan. Lebih membanggakan apabila dapat membelek isi diari yang penuh di hujung tahun. Rasa amazing sangat sebab boleh menyelami semula detik-detik yang pernah dilewati dan situasi serta pengalaman pada ketika itu. Boleh senyum, boleh ketawa dan mengalirkan airmata membacanya. So, ya, betul...menulis memang menyeronokkan. How could I forget?

Buat masa sekarang Telipuk masih bekerja dari rumah. Aturan kerja ni sudah bermula semenjak bulan Ogos tahun lepas, kemudian bila keadaan dah reda, sempat kembali ke pejabat buat beberapa ketika sebelum diarahkan kembali bekerja dari rumah berikutan situasi COVID-19 yang semakin buruk. Untungnya bekerja dari rumah ini ialah tak perlu buang masa atas jalan dan tak payah sibuk gosok baju hahaha...gincu pun dah lupa letak kat mana. Cuma yang jadi masalah ialah kadang-kadang sampai ke malam buat kerja, hari minggu suka je buat kerja hahaha...ye la, tetiba dapat idea kan, maklumlah dah tak pergi ke mana-mana. Benda boleh disiapkan terus, terus buat je la. Dan meeting sentiasa ada menggunakan wadah online. Tapi kan, mana sama dengan bersemuka ya tak...nak argue rasa macam tak puas kan? Kena pula kita ni nak kena siapkan submission inquiry paper...adoiii, rasa serba tak kena. 

Rindu nak borak dengan kawan-kawan. Nak menyakat kawan-kawan. Dan makan nasi goreng dengan lauk hati dan perasaan di kedai Pak Ya. Baru sikit nikmat Allah tarik, dah macam-macam kamu ni ya? Apa pun, bertabah je la dan kita doakan semoga keadaan akan menjadi semakin baik tak lama lagi...in shaa Allah. 

Alhamdulillahi'ala kulli hal.