Thursday, January 31, 2013

Kesal Yang Sesal

Ustaz kata, setiap yang mati itu pasti akan merasa menyesal.

Orang kafir akan menyesal kerana tidak menjadi orang yang beriman.

Demikian dinyatakan dalam surah Al-Mu'minuun ayat 99-100 yang bermaksud,
" (Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan". Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan."

Tidak mungkin diberi ruang dan peluang lagi walau bagaimanapun mereka merayu. Bahkan Allah menempelak mereka dengan firmanNya dalam ayat 105 surah yang sama yang bermaksud, " Bukankah ayat-ayatKu telah dibacakan kepadamu sekalian, tetapi kamu selalu mendustakannya?"

Orang yang berbuat dosa akan menyesal kerana tidak meninggalkan maksiat. Malahan, orang yang beriman pun akan menyesal juga. Menyesal kerana tidak melakukan usaha yang lebih baik agar mencapai darjat yang lebih tinggi.

Apa yang dikatakan darjat yang lebih tinggi? Ketahuilah bahawa terdapat tingkatan-tingkatan yang berbeza di antara satu syurga dengan satu syurga yang lain. Maksudnya, orang mukmin yang diberi ganjaran syurga itu menerimanya pada darjat yang berbeza-beza. Justeru, itulah yang bakal membuatkan mereka merasa menyesal kerana tidak berlumba-lumba dalam hal mendapatkan kedudukan yang lebih baik.

Ada sejumlah hadis Nabi S.A.W yang menjelaskan bahawa jarak antara satu tingkatan ke tingkatan yang lain sejauh bintang yang berada di ufuk dengan bumi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya penghuni darjat yang tinggi itu, orang yang berada di bawah mereka akan melihat mereka sebagaimana kalian melihat bintang yang terbit di ufuk langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk dari kalangan mereka serta keduanya diberi nikmat lebih".

Subhanallah!

Begitulah, kalau dapat kita bayangkan apa yang bakal mungkin kita perolehi tetapi kemudiannya hilang lenyap begitu sahaja kerana kita tidak cukup teruja untuk mendapatkannya...pasti akan datang perasaan menyesal yang bersangatan itu. Kita semua pasti akan menyesal saat jasad terbujur kaku dan diri tidak lagi mampu berbuat apa-apa. Kalaupun mampu, segala-galanya sudah tiada gunanya kerana tiada lagi amalan berpahala yang boleh didepositkan untuk menambah tabungan amal. Hanya tinggal bergantung harap kepada tiga perkara sahaja iaitu doa daripada anak-anak yang soleh, sedekah (amal jariah) dan ilmu yang bermanfaat (yang kita ajarkan dan memberi faedah kepada orang lain).

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya...

Wednesday, January 30, 2013

Listen!Listen!Listen!

Here's how some creative people responded to the video footage that sparks controversial comments  recently.  I noticed that Boboi also creatively played this issue in their performance during the Maharaja Lawak Mega final...unfortunately, they did not win...

I am sure DiGi got nothing to do with these...



Heheh...



Ikan flower horn also have problem...

???

Well...they don't have flower...and they also don't have horn...but still, people call them 'flower horn fish'...ish...ish...ish...

Tuesday, January 29, 2013

Pak Cik (2)

Pak cik yang kedua ini adalah 'penguatkuasa' di kawasan letak kereta yang biasa Aku pergi. Orangnya nampak tegas dan jarang tersenyum. Seriau!!! Dia akan berjalan meronda ke hulu ke hilir terutama di jam awal parking mula beroperasi untuk memaksimakan penggunaan kawasan letak kereta.

Setiap kali masuk kawasan parking ini, pak cik akan pastikan yang Aku park kereta mengikut piawaian yang dia tetapkan sehingga membuatkan Aku 'stress'! Dari jauh lagi dia sudah sasarkan kepada kehadiran Snowy...mengekor dengan langkahnya yang laju dan mula memberi isyarat tangan suruh Snowy ke depan...lagi...lagi...lagi...ishhh...pak cik, langgar divider ni karangggg!!! Padahal jiran-jiran Snowy yang lain pun tak de lah letak elok betul...ada yang sampai sehasta jauhnya antara 'dagu' kereta dengan divider...yang Snowy ni pulak pak cik paksa-paksa sampai tinggal kurang seinci dari divider...sabau jer Aku!

Mula-mula Aku 'layan' jer la...pasal pak cik ni kan pihak berkuasa kat situ. Tapi semenjak Aku jumpa kereta yang parking endah tak endah sesuka hati...tapi pak cik tak pulak buat apa-apa...that's it! Enough is enough! Hehehe...

Jadi, modus operandi Aku sekarang ialah masuk dan buat derk aje...masuk dengan gaya keyakinan tinggi errr...agak-agaklah kan. Teori ini setakat hari ini memang terbukti menjadi, dengan syarat, jangan sesekali pandang ke arah pak cik bila meletak kereta. Kalau pun pak cik datang dekat, buat muka seolah-olah tak perasan atau tak nampak kelibat dia. Kalau teringin nak tengok reaksi dia, jeling dengan ekor mata jer dah cukup hahaha...

Dan semenjak itu Aku dapat jarak yang lebih baik antara dagu Snowy dengan divider tu. Muka pak cik nampak kelat bila tak dapat 'membuli' Aku lagi hihihihi...tapi Aku masih baik sebab Aku tidak semberono meletak kereta. Snowy sentiasa Aku pastikan diletak dalam keadaan lurus masuk kotak sebab Aku tahu sepanjang jalan di belakang tu akan ada ruang-ruang untuk kereta lain dijajarkan di situ.

Ok la tu kan, pak cik....

Peace yooo!

Pak Cik (1)

Eh...dia tengok kita..
Eh..dia jeling mata...

Mentang-mentang 'Aku kalah' lagi pagi ni...eksyen semacam jer pak cik paper tu hari ni. Menderum lalu depan Snowy dengan sebelah tangan pegang helmet.

Perlumbaan tak rasmi itu telah bermula sejak beberapa lama dulu. Bermula tanpa disengajakan mahupun disedari. Standard pak cik paper yang tinggi itu memudahkan kehadirannya menjadi tanda aras waktu sepatutnya Aku mula keluar rumah. Kalau Aku berhasil keluar sebelum pak cik paper sempat menongkatkan motornya di tangga bawah tu...bermakna Aku masih awal. Kalau semasa Aku membelok keluar dan pak cik masih terkial-kial nak turun motor untuk hantar paper di blok A...bermakna Aku sangattt awal. Akan tetapi kalau semasa Aku menghidupkan enjin dan pak cik paper selamba berlalu pergi, itu maknanya Aku sudah sangat lewat dan tak bakal dapat meletak kereta dalam bangunan pejabat huhuhu...

Hari demi hari Aku sentiasa berhasil mendahului pak cik. Tak sangka, akhirnya pak cik merasa 'ketewasan' itu dan segala-galanya mula menjadi 'caca-marba'. Mahunya tak, kekadang gila awal pak cik sampai hingga Aku terpaksa tengok jam berkali-kali kerana waktu pak cik tiba semakin hari semakin dipercepatkan...aiii...melawan nampak! Ianya menyusahkan Aku yang menggunakan pak cik sebagai penggera amaran...hahaha.

Oleh kerana jadual ketibaan pak cik yang sudah tidak reliable...maka terpaksalah Aku kembali bergantung kepada jam. Pak cik semakin tidak relevan bila akhir-akhir ini Aku lebih suka memilih untuk menaiki lrt gara-gara masalah parking di pejabat dan kesesakan waktu pulang yang semakin buruk.

Bukan main happy pak cik tengok Aku lewat. Dia ingat Aku kalah...wei pak cik, saya memang sengaja keluar lewat sekarang ni pak cik. Hok alohhh...entah-entah sekarang ni pak cik dah gunakan Aku sebagai benchmark dia pulak kot...sebab setiap kali pun dia akan tengok Snowy dah gerak ke belum....padahal Snowy tu jalannya sampai ke tempat parking lrt jerk!

Oklah pak cik...tak mo main lawan-lawan lagi dah...kira pak cik menang lah...thehehehe...

Thursday, January 24, 2013

Ke Pasar Dengan Berpahala

Sebelum saya terlupa, saya nak kongsikan sesuatu yang saya pelajari dalam kelas tempohari tentang keutamaan membaca doa apabila masuk ke pasar.


Doa Masuk Pasar

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ حَيٌّ لاَ يَمُوْتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

Laa Ilaaha Illallaahu wahdahu Laa Syariikalahu, Lahul Mulku Walahul Hamdu, Yuhyii, Wayumiitu, Wahuwa Hayyun Laa Yamuutu, Biyadihil Khairu, Wahuwa ‘alaa Kulli Syai-in Qadiir

Ertinya: Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan, bagi-Nya segala pujian. Dia-lah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Dia-lah Yang Hidup, tidak akan mati. Di tangan-Nya kebaikan. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.


Sumber Doa


Dari Umar bin al-Khathab radhiyallahu 'anhu, Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ دَخَلَ السُّوقَ فَقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ سَيِّئَةٍ وَرَفَعَ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ دَرَجَةٍ

Barangsiapa masuk pasar lalu ia mengucapkan, “Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan, bagi-Nya segala pujian. Dia-lah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Dia-lah Yang Hidup, tidak akan mati. Di tangan-Nya kebaikan. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu,” niscaya Allah menuliskan baginya sejuta kebaikan dan menghapuskan darinya sejuta kejelekan serta mengangkat derajatnya hingga sejuta derajat”." ( HR. At-Tirmidzi no. 3350, Ibnu Majah no. 2226, Al-Hakim no. 1930. Syaikh Al-Albani menyatakan, hadits tersebut hasan dalam Shahih wa Dhaif Sunan Ibnu Majah no. 2235, dan Shahih wa Dhaif Sunan At-Tirmidzi no. 3428, Shahih al-Jami no. 6231, Misykah al-Mashabih no. 2431, Shahih al-Targhib wa Tarhib no. 1694). Dalam riwayat Ahmad terdapat tambahan, “Dan Allah membangunkan baginya rumah di surga.

Beberapa faedah penting yang terkandung dalam hadis ini :

- Yang dimaksud dengan pasar adalah semua tempat yang didatangkan dan yang padanya terdapat aktiviti jual-beli berbagai macam barang dagangan yang meliputi pasar tradisional, pasar moden, super market, mall, hypermarket dan lain-lain seumpamanya.

- Pasar adalah tempat berjual-beli dan tempat yang melalaikan orang dari mengingat Allah Ta’ala kerana kesibukan mengurus perdagangan, maka di sanalah tempat berkumpulnya syaitan dan bala tenteranya, sehingga orang yang berzikir di tempat seperti itu bererti dia telah memerangi syaitan dan tenteranya, maka pantaslah jika dia mendapat pahala dan keutamaan besar yang tersebut dalam hadis di atas.

- Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tempat yang paling dicintai Allah adalah masjid dan yang paling dibenci-Nya adalah pasar”.

- Seorang muslim yang datang ke pasar untuk mencari rezeki yang halal, dengan selalu berzikir (ingat) kepada Allah Ta’ala dan meninggalkan segala sesuatu yang diharamkan-Nya, maka ini adalah termasuk sebaik-baik usaha yang diberkahi oleh Allah Ta’ala, sebagaimana sabda Rasululah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Sungguh sebaik-baik rizki yang dimakan oleh seorang laki-laki adalah dari usahanya sendiri (yang halal)”.

- Zikir ini lebih utama jika diucapkan dengan lisan disertai dengan penghayatan akan kandungan maknanya dalam hati, karena zikir yang dilakukan dengan lisan dan hati adalah lebih sempurna dan utama

Perhatikan kelebihan yang Allah janjikan iaitu berupa penghapusan sejuta keburukan, dituliskan sejuta kebaikan, diangkat sejuta darjat dan dibangunkan sebuah rumah di dalam syurga. Subhanallah! Kelebihan ini adalah antara jalan-jalan yang patut kita jalani dalam misi mendapatkan kedudukan yang baik di akhirat nanti. Jelas, ibadat bukan sekadar patuh dan tunduk kepada apa jua suruhan dan larangan Allah tetapi juga meliputi setiap amal perbuatan yang boleh mendatangkan pahala. Kejar dan rebutlah, kata Ustaz. Rugi sangat kalau kita tinggalkan amalan ini. Kita sanggup berpenat lelah mengejar habuan dunia yang tidak seberapa tetapi habuan yang Allah janjikan , yang lebih menarik dan berprestij...untuk kesejahteraan yang abadi...kita boleh buat 'derk...' aje.

Cerdikkah kita? Gulpp...

Wednesday, January 23, 2013

Sombong!

Yang dikatakan sombong itu bagaimana, ya?

Dalam keadaan bagaimana kita akan terjerat dalam kesombongan? Kadang-kadang mungkin kita tak sengaja. Mungkin sebab ada yang cabar...atau mungkin juga sendiri rasa tercabar. Keadaan ini berlaku terutamanya bila kita merasakan kita berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding orang lain. Barangkali tahap pendidikan kita lebih tinggi. Barangkali sebab kita berpangkat tinggi. Apapun sebab-musababnya, disengajakan atau pun tidak, bersikap sombong adalah suatu perlakuan yang perlu dielakkan.

Sombong bukanlah sesuatu yang baru. Kesombongan Iblis yang enggan bersujud kepada Adam walaupun diperintahkan oleh Allah ternyata mengheretnya ke jalan kebinasaan kerana kesombongan itu telah menghalangnya daripada tunduk patuh kepada Allah seterusnya menjadikannya makhluk yang derhaka.

Ini dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Al-A'raaf ayat 11-13 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat:"Bersujudlah kamu kepada Adam; maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud".

Allah berfirman:"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?". Menjawab iblis :"Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah".

Allah berfirman : " Turunlah kamu dari syurga itu; karena kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina".

Mahukah kita ikut menjadi sombong seperti sombongnya iblis? Nauzubillah!

Kalau tak mahu disamakan dengan perangainya iblis, janganlah sombong. Kalau tak mahu diri jadi sombong, buangkan rasa 'bagus' dan 'lebih baik' itu. Kalau nak buang rasa sebegitu, rendahkanlah diri anda. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Peringatan ini untuk diri saya sebenarnya kerana tadinya saya sudah tersilap langkah.

Kisahnya begini...
Saya hendak ke kelas tadi. Bila bila pintu lif terbuka, kelihatannya ramai orang di dalam sana. Seperti biasa, saya masih suka membuat andaian. Saya andaikan tidak akan ada sesiapa yang sudi hendak mewujudkan ruang membenarkan saya masuk.(Bersangka-buruk!) Selalunya begitu (orang lain akan buat-buat tak nampak!)Jadi, saya lekas membuang pandang ke arah lain kerana tak mahu orang-orang dalam lif itu rasa serba-salah. Saya fikir dengan cara itu, isyarat yang saya beri amat jelas...iaitu...saya tak hendak naik lif itu.

Kemudian, seseorang yang berdiri di penjuru hadapan bersuara, "masih ada ruang di sini, hendak masuk ke tak?".

Aduhhh...rasanya saya sudah silap jawab apabila mengatakan, "tak apalah" dalam nada sedikit keras (saya fikir 'tegas'). Perasaan itu menghantui saya sebaik pintu lif ditutup. Saya sangat-sangat menyesal. Sepatutnya saya jawab, "tak apalah...terima kasih" kerana saya baru perasan ada dua orang yang berdiri di muka pintu lif sebenarnya telah bersusah-payah berganjak ke belakang untuk mewujudkan ruang.

Aduhhh...saya terasa kulit muka saya pijar macam kena tampar.

Saya tak fikir langsung bila jawab pendek begitu...tujuan saya ialah supaya lif cepat tutup. Saya nak tunggu lif lain. Dan lagi yang dua di depan itu adalah lelaki. Rasa tak selesa pula nak masuk berhimpit begitu. Cuma saya silap kerana menjawab dengan tidak mengambil kira yang orang lain sudah cuba melakukan suatu yang baik untuk saya...tapi seolah-olahnya saya tolak mentah-mentah...

Saya telah bersikap sombong tadi...

Saya betul tak sengaja...

Astaghfirullah'al adzim...

Friday, January 18, 2013

Cerita Cempedak

Sekarang musim buah cempedak. Baru-baru ini saya ke pasar BBS dan jumpa gerai yang menjual buah cempedak. Dari jauh lagi sudah berbau menusuk jiwa bagai memanggil-manggil lagaknya. Sebelum ini, kalau teringin sangat pun terpaksa beli dari pasaraya besar sahajalah. Itu pun sebiji sudah berbelas-belas ringgit harganya. Isi di dalam belum tahu elok atau tidak.

Yang dekat pasar ni, bagus betul. Buah yang saya pilih, penjualnya belek dan beri cadangan. Ada sebiji tu dia cakap, isinya elok, cuma di bahagian tengahnya 'lompong'. Mahu ke? Saya minta dia carikan saya dua biji yang bersaiz kecil dan cantik isinya. Dia carikan dan buka kulitnya sedikit untuk tunjukkan rupa isi di dalam.

Balik rumah, saya buka keseluruhannya untuk dibuat cempedak goreng. Buat makan petang.

Alhamdulillah, seperti yang dikatakan, isinya elok...tak ada satu pun yang rosak. Sebiji cukup untuk sekali makan. Ada dua biji boleh goreng dua hari berturut-turut.


Semasa kecil dahulu, kami adik-beradik memang suka berebut makan cempedak ini. Saya sendiri suka makan fresh begitu, ataupun kalau tok masih ada, dia suka makan dengan pulut santan.  Sedap...sedap...


Tapi kalau digoreng pun okay aje. Ada sekali tu saya singgah membeli cempedak goreng, buahnya sudahlah kecil...harapkan tepung aje yang banyak dan dijual dengan harga yang mahal. 3 biji RM2. Huish...giler ke apa?

Pernah makan biji cempedak rebus? Hemm...sedap tau ...ala-ala buah berangan gitu rasa dia. Tapi awas, coz lepas tu satu badan berangin ya ampunnn...hehehe...

Bolehlah buat projek ulangan hujung minggu ini.

Thursday, January 17, 2013

Amalan Ke-19 (MKTDS)

Ustaz kata, orang yang beriman ialah orang yang sentiasa mencari peluang untuk merebut pahala dengan menukarkan setiap amal perbuatannya agar menjadi sesuatu yang menjana pahala. Contohnya, menggunakan masa-masa senggangnya untuk berselawat dan berzikir. Atau memilih untuk berselawat ketika terperangkap di dalam kesesakan lalulintas berbanding mendengar nasyid. Errr...???

Mari saya kongsikan ilmu yang saya dapat hari ini menerusi kelas taddabur yang menggunakan buku "Memesan Kursi Tertinggi di Syurga". Dah masuk mukasurat 187 pun (berterabur dalam kepala saya pelajaran-pelajaran yang lepas...aduhaiii la Telipuk)...perihal amalan-amalan penting yang dapat mengangkat darjat seorang mukmin di syurga.

Amalan ke-19 iaitu 'Memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W'. Disebut di sini perkataan 'memperbanyak' itu. Ertinya, kalau sekadar berselawat dalam solat itu cuma ada 9 kali sehari...itu bukan 'banyak' namanya. Yang dikatakan banyak itu ialah apabila setiap masa dan setiap ketika, kita mengulang-ulang berselawat. Nak rajin buat kena rasa cinta dulu. Nak rasa cinta pada Rasulullah, kenalah kenal Baginda dulu. Jom kita berusaha menjadikan selawat ini satu amalan yang ringan di bibir.

Amalan berselawat merupakan satu bentuk ketaatan yang paling utama dan amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, yang akan menghapuskan kesalahan, memperbanyak kebaikan, mengangkat darjat dan mengabulkan doa.

Abu Tholhah R.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, " Datang utusan dari Robbku A.W.J kepadaku, lalu berkata, 'Barangsiapa yang berselawat kepadamu dari umatmu, nescaya Allah akan menuliskan baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan darinya sepuluh keburukan, ditinggikan baginya sepuluh darjat dan diberikan hal senada kepadanya'.

Oh ya, pasal nasyid tadi. Antara nasyid dan selawat, manakah yang utama? Tentulah selawat kerana ada disebut dalam Al-Quran dan hadis.

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat-malaikatNya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kalian untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya" - terjemahan ayat 56 surah Al-Ahzab.

Dari Abi Hurairah R.a, Rasulullah naik ke atas mimbar, kemudian Baginda berkata :

"Amin..amin. .amin..".
Kemudian ditanyakan (para sahabat), kepada Baginda :
"Wahai Rasulullah, saat Engkau naik ke atas mimbar, Engkau sampai mengatakan Amin (3x) (ada apakah gerangan?)"
Kemudian Rasulullah memberikan keterangan seperti berikut:
"Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : "Barang siapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan(puasa), kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan (pada bulan Ramadhan tersebut), maka ia dimasukkan kedalam api neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah :Amin" Kemudian Aku mengaminkannya.
"Dan barang siapa yang mendapatkan orang tuanya (ketika keduanya masih hidup), atau salah satu diantara kedua orang tuanya masih hidup, sementara (dia mampu berbuat baik untuk kedua atau salah satu diantara keduanya), kemudian dia tak mau berbuat baik kepada keduanya, atau salah satu diantara keduanya (yang masih hidup tadi), kemudian mati, maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka, dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka Aku katakan: Amin"
"Dan barang siapa yang dimana namaku disebutkan (didepannya), kemudian dia tak memberikan shalawat kepadaku, maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka katakanlah (wahai Muhammad SAW) (amin), maka Aku katakan "Amin"
(H.R Ibnu Hibban didalam kitab shahihnya 3:188).


Ustaz tak kata salah dengar nasyid (alamak...saya suka dengar Opick sekarang ni...) tetapi mendengar nasyid tidak memberikan kita ganjaran apa-apa sebagaimana selawat. Justeru, orang yang beriman, dia adalah orang yang bijak yang akan tahu membezakan mana yang berpahala baginya dan mana yang tidak. Maka, dia akan memilih yang berpahala.

(dush...dush...dan dusyummm lagi untuk kesekian kalinya...)

Begitu juga dalam hal percakapan. Bercakap yang memberi pahala. Bukan bercakap yang sia-sia, apatah lagi yang menambah dosa. Misalnya, bila kita ditimpa kesusahan. Kalau kita mengeluh je..."hai...apalah malang nasibku...". Itu satu ucapan yang sia-sia. Tapi, kalau kita kata, "susahnya hidup, nak buat macamana...Allah dah takdirkan hidupku begini"...jaga-jaga...takut-takut membawa dosa kerana kita sudah menyalahkan Allah dan berburuk sangka denganNya. Cubalah kata, " Alhamdulillahi a'la kulli hal" iaitu, 'segala pujian selayaknya bagi Allah bagi segala hal" itu akan menjadi percakapan yang berpahala kerana ia adalah sunnah.

Jadi, pilih-pilihlah apa jua yang kita nak buat. Yang penting, carilah yang berpahala. Nak mencari yang berpahala ini perlu kepada ilmu kerana ilmu akan membantu memperbaiki amalan dan amalan yang baik lagi diterimaNya akan menambahkan iman, mendekatkan kita kepada Allah . Mudah-mudahan mengangkat darjat kita nanti. Insya Allah...

Wednesday, January 16, 2013

Kasut Untuk Kakiku

Hari ini saya hendak bercerita kisah kasut. Sebelum sampai kepada kasut, kena sebutlah sikit pasal kaki, iaitu tapak kaki. Kerana tanpa tapak kaki, siapalah kasut. Bersyukurlah kerana anda punya tapak kaki kerana tanpa tapak kaki, anda tidak ada keperluan untuk berkasut. Berbahagialah walaupun tapak kaki anda bersaiz besar...hehehe...

Membeli kasut adalah antara saat-saatnya yang saya paling rasa sengsara. Rasa malu. Suatu ketika dulu, rasanya saya lebih sanggup berpanas di bendang daripada berada di kedai kasut kerana hendak membeli kasut.Mengapa? Kerana susahnya hendak mencari kasut perempuan bersaiz 9. Nasib baik kasut sekolah ada yang bersaiz besar. Cuma bila-bila nak melaram pergi kenduri atau berjalan ke mana-mana, payahlah nak ada kasut yang sesuai...saiz paling besar yang ada di pasaran Parit Buntar masa tu cuma 8. Nasib baik la ada kedai cina yang tawarkan perkhidmatan menempah kasut ikut kesesuaian kaki. Tapi ambil masa sebulan dua jugalah untuk kasut tu sedia memandangkan tak ramai yang menempah dan kilang yang akan membuat kasut itu letaknya di Johor Baharu. Umang aiii...kena import oiii.

Bersyukur kerana masih ada pilihan walaupun terhad. Walaupun agak sedih kerana tak dapat mengayakan kasut-kasut terkini macam kawan-kawan lain.

Segala-galanya mula berubah setelah saya mula bekerja dan menetap di Kuala Lumpur. Pilihan kasut dengan saiz yang lebih besar sudah ada meskipun masih juga berdepan dengan masalah bila hendakkan kasut yang berkenan di hati, jurujual kata 'tak ada saiz'. Rupa-rupanya kasut saiz 9 laris macam goreng pisang panas. Mengapalah kedai tu tak tambah stok...haish!!!

Saya selalu berkunjung ke kedai kasut Popular di Jalan TAR kerana kedai itu ada menjual kasut-kasut bersaiz 9 sehinggalah 12. Kedai kasut Princess di deretan yang sama pun ada, tapi masalahnya, rekabentuknya kurang menarik. Jadi, Popular adalah pilihan terbaik untuk saya. Setiap kali ke situ, saya akan bertemu dengan wanita-wanita lain yang turut sibuk menyerbu rak kasut bersaiz besar menyebabkan saya selalu tak dapat kasut yang saya mahukan. Hemmm...ramai rupanya orang lain yang juga berkaki besar ini.

Akhir-akhir ini, setelah masalah mendapatkan kasut dengan saiz yang bersesuaian sudah selesai...saya merasakan perlu untuk memikirkan masalah lain pula. Masih berkait dengan kasut. Selaras dengan peningkatan usia...ehemmm...saya harus akui yang saya semakin berasa tidak selesa dengan kasut yang dipakai (yang tidak pernah saya fikirkan dulu). Sudah lebih 3 tahun saya tidak membeli kasut yang bertumit tinggi...paling-paling pun 1 inci sahaja. Kadang-kadang saya pakai sekejap untuk masa-masa terhad. Misalnya menghadiri majlis-majlis tertentu kerana kasut sebegitu memberikan 'aura' yang berbeza. Namun semenjak-dua menjak ini, saya sudah tak peduli tentang aura.  Yang penting selesa.

Masalah mendapatkan tempat parking dan kesesakan lalu lintas bila pulang dari kerja yang tidak pernah berkurangan juga membuatkan saya kini cenderung menggunakan lrt. Kadang-kadang saya drive dari rumah dan parking di kawasan lrt. Namun memandangkan cuaca yang sudah jarang hujan sekarang, saya juga sudah banyak kali memilih untuk berjalan kaki sahaja dari rumah terus ke stesen lrt. Ya, jalannya agak jauh...dalam 10-15 minit mengikut langkah bersenang-senang hati saya. Tapi oleh kerana saya menggunakan jalan shortcut melalui pangsapuri Mawar dan kemudian jalan belakang Melur...saya tak rasa perjalanan itu jauh. Lagipun ehemmm...boleh jugaklah keluarkan peluh. Atas dasar perubahan mod pengangkutan inilah maka keperluan untuk mendapatkan kasut yang lasak, selesa dan sesuai di'lanyak' semakin menjadi-jadi.

Teringat zaman belajar di UUM dulu. Saya hanya pakai kasut pallas jazz hitam untuk ke kuliah (dengan baju kurung). Hahah. Memang tak fashionable. Tapi tak kisah pun, yang penting saya boleh sampai ke dewan kuliah dengan cepat tanpa melecetkan kaki. Tambah pula jadual saya banyak yang back-to-back sebab saya jenis yang malas hendak berkhemah di luar pusat pendaftaran semata-mata hendak berebutkan kelas. Apa-apa kelas yang tinggal, saya ambil je...walaupun dapat killer lecturer sekali pun. Dengan kasut pallas jazz itulah saya boleh berjalan pantas dari dewan kuliah 3 ke dewan kuliah 2 , kemudian berpatah balik ke dewan kuliah 3 semula sebelum menamatkan acara maraton di dewan kuliah 1. Dah selesai balik merentasi tasik pulang ke kolej penginapan...kalau rajin, melencong ke pusat 'membeli-belah' kami untuk membeli barang atau sekadar beli hotdog yang sedap (kalau tak pun pergi 'cucuk' mesin ATM). Sangat berjasa kasut pallas jazz itu.

Rasanya, keperluan untuk pergerakan pantas yang menyelesakan itu kembali mengamit. Faktor usia menyebabkan saya perlu berkira menjaga kesejahteraan tapak kaki...berat badan yang tidak berjaya dikurangkan juga semakin terasa di kaki. Well...itulah permasalahan yang perlu dihadapi. Buat apa nak nampak cantik kalau diri rasa tak selesa, kan? Menyusahkan hidup sahaja! Jom utamakan keselesaan sendiri.

Lalu saya teringatkan saranan seorang rakan tentang kasut kesihatan ini. Yup...saya dah beli. 2 pasang sekaligus untuk permulaan.Jom saya perkenalkan...


Stepcare Health Shoe. Manfaat dan maklumat lain, boleh dirujuk di pautan ini http://www.stepcareonline.com/benefit2.html.

Anda boleh dapatkan kasut kesihatan ini di outlet Rehab Supplies. Kat farmasi PPUM ada. Hospital UKM pun ada. Bila saya buat carian cawangan, saya jumpa yang paling hampir dengan rumah saya iaitu kat Jalan Pahang, berhadapan dengan Hospital Kuala Lumpur. Saya terus call dan tanya. Bestnya sebab orang tu macam tahu-tahu saja bila kata "kat sini kami ada banyak model dan saiz yang besar-besar pun ada.." wah...wah...wah...senang keroje den! Terus pi hari Sabtu lepas. Hari Sabtu beroperasi bermula jam 9 pagi sampai pukul 3 petang. 



Inilah model pilihan saya. Comel kan? Kasut ni gemuks sebab 'lebar' dan tapaknya tu berlapis-lapis macam kusyen...sedap pakai! Seronok la berlari-lari anak mengejar lrt nih...hisk...hisk...hisk...Model yang satu lagi very plain...tetapi tapaknya tinggi sikit la...Untuk model yang tapak tinggi ni, itu aje pilihan yang ada. Ala...kasut untuk kesihatan pun namanya...kalau nak yang trendy, silap kodai la ekau!


Ini tapaknya...natural rubber! Tadi kat kafetaria, licin lantai tu...berminyak bagai, rasa cam nak skating jer huhuhu...Kalau jalan atas jalan kasar tu, memang mencengkam...mengalahkan tayar baru.

Harga? Harganya tetap untuk semua cawangan dan semua model. RM150 sepasang. Kawan saya yang dah pakai setahun lebih kasut ni kata, so far, memang puas hati. Kalau jalan jauh (dia pun travel dari lrt ke lrt), walaupun terasa berpeluh...kaki/kasut tak berbau. Dan memang lasak la...dah setahun tu, tak de la rosak bagai...haus jugak tapak tu, tapi still dalam kondisi yang okay. Berbaloi-baloi la. Wah...promosi nih!

Saya baru pakai dalam minggu ni...masih dalam mode 'sayang' nak belasah lebih-lebih. Jalan pun hati-hati melangkah...hahaha. A bit rasa pelik at the beginning...now getting use to it. 

Pencarian kasutku sudah berakhir! Phewwwww...

Tuesday, January 15, 2013

Rapuh-Opick

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan


Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertakhta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu


Sekadar Bayangan

Maaflah kalau seringkali jawapan saya tidak begitu mengujakan. Kadang-kadang berbunyi seperti perempuan tua yang membosankan...hemmm...begitukah? Nak rancak macamana lagi ya? Kalau tak suka dengan jawapan saya, tak apalah. Awak tanya pandangan saya...itulah pandangan saya. Kalau awak nak dengar benda-benda yang awak suka dengar, makanya, itu tidak lagi menjadi pertanyaan meminta pendapat sebaliknya cukuplah sekadar awak beritahu saya apa yang awak hendak dan biarkan saya jadi pendengar sahaja.

Sesungguhnya saya tidak ada jawapan kepada persoalan yang awak tanyakan. Sebab itu saya cadangkan awak buat solat istikharah. Apabila berada di antara dua persimpangan, pilihlah dengan petunjuk Allah. Tak usah tanya saya. Apabila fikiran awak buntu, awak mengadulah pada Allah. Jangan mengadu kepada manusia kerana manusia ini pengetahuannya sangat terbatas. Kan lebih elok kita tanya pendapat Maha Pencipta?

Maaflah, kalau bunyinya membosankan awak. Sungguh saya tidak punya jawapan lain. Saya tak punya jawapan untuk banyak perkara lain dan saya sendiri pun masih banyak perlu mengajar jiwa saya erti berpasrah dan bergantung hanya kepadaNya. Saya harap awak tidak melihat ini sebagai pematah semangat awak. Antara dua pilihan itu...sebagai insan yang mengenali awak, saya tahu awak mahukan pilihan yang itu. Awak sebenarnya hanya mahu saya mengiakan pilihan awak kerana awak tahu, jauh di sudut hati saya , saya juga mahukan perkara yang sama. Malangnya, saya tidak berani. Secara jujurnya saya tahu, akan ada kesan dan impak ke atas saya. Saya tahu apa yang ada disebalik pilihan itu. Bukan saya tidak mahu terlibat, saya bersedia untuk terlibat sama andainya ini sudah ditakdirkan.

Harap awak pertimbangkan saranan saya itu. Mudah-mudahan Allah permudahkan untuk awak...dan untuk saya juga.

Monday, January 14, 2013

Santai Bersama UAI

Tengahari tadi, Ustaz Azhar Idrus (UAI), pendakwah tersohor negara datang bertandang ke Menara TM untuk kali yang ke-3. Kami memasang strategi datang 30 minit awal sebelum acara dijadual bermula kerana mengambil kira kepopularitian UAI di kalangan staf TM. Ternyata, satu perancangan yang bijak kerana 10 minit sebelum sesi perkongsian ilmu dengan UAI bermula, dewan sudah penuh melimpah ruah. Nasib baik!!! Kalau tidak alamat bersila di depan pentaslah gamaknya.

Seperti biasa UAI membacakan soalan-soalan bertulis yang telah dikumpulkan dan menjawabnya. Nama pun sesi soal jawab. Sukar untuk saya mengambil nota kerana kepelbagaian rupa bentuk soalan. Ada yang soalan yang telah biasa didengar, ada juga yang sedikit mencabar serta tak kurang juga yang buatkan ramai menggeleng kepala. Oleh kerana soalan yang banyak, jawapan UAI juga perlu seringkas mungkin. Dan ini barangkali menjadi agak mencabar dengan kepelbagaian tahap penerimaan. Apapun ia adalah sesi yang menghiburkan dan suatu pendekatan dakwah yang agak menarik kerana konsepnya yang santai.

Kami ketawa bila UAI membacakan soalan tentang adakah hadis berhubung payung emas. Lehhhh...UAI kata, orang dok sibuk isu kalimah Allah, dia ni dok main payung emas lagi. Haishhh! Ketinggalan zaman betullah. Yalah, bila dah ramai-ramai begitu...ada yang tak faham lagi kot. Atau mungkin dah faham tapi tak berapa puas hati.

UAI menyebut tentang hadis sohih yang menyatakan  mana-mana perempuan yang suami redha kepadanya (menyukakan dan menyenangkan hati suami) maka dia boleh masuk syurga dengan mudah. Saya membuat pencarian Google dan menemukan hadis ini : Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah S.A.W, "Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga".

Haa...kalau sudah masuk syurga yang penuh dengan segala kenikmatan, semua pun emas belaka...amende sangatlah payung emas, kan? So, puan-puan semua...kalau nak sukakan hati suami buat apa? tanya UAI mengusik. "Hooo...bui la dio nikoh se lagi..." dan menjawab mengusik juga. Maka tersengih-sengih la para lelaki semuanya, semua suka bebenor! Heheh...akak Telipuk pun tersengih juga sebab suke nengok kaum lelaki gelak-gelak suke.

Lepas tu UAI kata, dalam syurga ni Allah beri kita apa yang kita suka. Pada hakikatnya memang benar yang orang lelaki ni kesukaannya adalah wanita. Maka kerana itu disediakan bidadari untuk mereka. Orang lelaki dia kalau dah menikah, dia tak berhenti suka tengok orang perempuan lain. Aikk...UAI kata na...akak laporkan aje ni. Walaupun dia tahu dia sudah ada isteri. Cer tanya lelaki, mahu tak kahwin lebih? Mesti mahu punya. Kalau tak mahu something is wrong somewhere...Orang perempuan lain, dia bila dah kahwin, lepas tu dia tak tengok dah lelaki lain. Dia tengok pinggan-mangkuk pulak. Jadi, nanti di syurga, Allah beri dia banyak perhiasan gemerlap berkilau-kilauan dan pinggan mangkuk...huh? Ye ke, Ustaz? Ate...kawan yang pinggan-mangkuk pun masih pakai yang hadiah kahwin dedulu cam ner? He'eh...saya suka kumpul anak pinggan yang dapat free bila beli Daia 2.5kg tu...tak ada gila membeli ustazzzz...Corelle pun satu set jer beli...tu pun saje nak tahu, best sangat ke gunanya. La ni saya belasah hok yang plastik je lagi senang, tak risau pecah.

Hehehe...tak pe, tak kisah pun. Apa nak kita pertikaikan ye tak, nak masuk syurga je dulu itu semestinya...dapat istana ka, dapat apa ka...tak penting dah. Itu pendapat sayalah, sebab apa, yang kita tak mau sangat-sangat ialah takut amalan yang sedikit dan penuh kecacatan ini akan menjerumuskan diri dalam neraka. Na'uzubillah! Itu yang pentingnya. Jangan tersangkut kat situ. Janji lepas...

Suka tengok ramai yang datang. Alangkah bagusnya kalau sambutan untuk ustaz-ustaz lain pun mengujakan macam ini juga. First time tengok kaum Adam pun sampai bersila. Kalau tidak, cukup 2 saf di depan sahaja. Apapun, sangat bersyukur dengan ruang yang ada untuk mengutip ilmu tanpa perlu pergi jauh. Semalam saya ingatkan diri saya lagi betapa bertuahnya saya dapat bertugas di TM ini. Biarlah apa orang nak kata bila saya masih di bahagian ini tanpa mahu mencuba cabaran lain. Biarlah saya tak kisah. Saya suka kerja-kerja saya walaupun dulu saya tak melihatnya begitu. Di peringkat sekarang, saya betul tak berminat untuk mencabar diri saya dengan apa-apa jua yang mungkin boleh menaikkan 'darjat' saya di mata manusia. Cukuplah dengan apa yang ada. Saya bersyukur kerana banyak yang Allah beri pada saya . Rakan-rakan yang baik. Persekitaran yang menyuburkan kecintaan kepada ilmu. Ada yang rajin mengingatkan. Macam-macam nikmat.

Ya Allah...apa lagi yang saya hendak?

Semoga semakin dipermudahkan pekerjaan saya di tahun ini supaya saya punya ruang yang lebih banyak untuk keperluan rohani saya. Dan untuk kawan-kawan saya juga.

Ameenn...


Thursday, January 10, 2013

Ingatkan Aku...


عَليَـــكَ بِتَـقـــوى الله ان كنـــتَ غــفــــلا         يأتيــــك بالـــلأرزاق مـــن حيـث لا تـــــدري
فــكيـــف تـخــاف الفـقــــــر والله رازق           فقـــد رزق الطيـــر و الحـــوط فــي البحـــــر
ومـن ظــن ان الـــرزق يأتـــــي بقـــــوة         مـــــا أكل العـصفــور شيــئـــا مـــع النســــر
تــزول عــن الدنيــــا فانــك لا تـــــدري          اذا جـنّ عليــك اللــيل هل تعيــش الى الفجــر
فكـم من صحيــح مات من غيـــر علــــة           فكـــم مـن شقيـــم عــاش حيــنــا مــن الدهـــر
وكـم من فتى أمسـى و أصبــح ضــاحــكا         و أكفـانـه في الغــيب تنســـج و هـو لا يــدري
فــمـــــن عــــاش ألــــــفـا او الــفيـــــــن        فــلابــد مــــن يــو يســيـــــر الـــى الــقبـــــر

Hendaklah  kamu bertakwa kepada Allah disaat kamu lalai,
Dzat yang telah melimpahkan rizki kepadamu dari arah yang tidak kamu ketahui
Bagaimana kamu takut miskin padahal Allah maha pemberi rizki,
Sungguh telah dianugerahi rizki burung dan ikan dilautan
Dan barang siapa yang menyangka bahwasanya rizki itu didapat dengan kekuatan
Sungguh tidak akan makan burung kecil bersama burung besar
Kamu tergelincir di dunia sedang kamu tidak menyadarinya
Jika gelap malam telah menyelimuti apakah kamu mengira bisa hidup sampai pagi?
Berapa banyak orang yang sehat meninggal tanpa sebab
Berapa banyak orang yang sakit parah bisa hidup bertahun tahun lamanya
Berapa banyak para pemuda sore dan pagi harinya tertawa gembira
Sedang kain kafannya di tempat lain sedang di rajut dan dia tidak menyadarinya
Maka barang siapa hidup seribu atau dua ribu tahun lamanya
Sungguh suatu hari nanti akan diantar ke liang kuburnya

ihsan http://tanbihun.com/sosbud/cerpenpuisi-sajak/syair-arab-kain-kafan-kita-sedang-dirajut/#.UOzepeS-r3Q

Wednesday, January 09, 2013

Cuma Pinjaman

Hayat dan seluruh kehidupan ini hanyalah pinjaman semata-mata. Adat meminjam, cukup tempohnya, Pemiliknya akan ambil balik. Tak ada dolak-dalik. Tak ada madah berhelah. Perjanjian sudah tamat tempoh, selesai sudah segala berurusan.

Kalaulah kita boleh sentiasa dalam kesedaran penuh ingat akan perkara ini, saya pasti, kita akan dapat mengecapi ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. Kita tidak akan rusuh jiwa bila apa-apa yang ada dalam pemilikan kita diambil balik olehNya kerana kita sedar itu semua hanyalah pinjaman belaka. Kita tidak akan susah hati bila apa yang kita hajati tidak kesampaian kerana sedar nyawa dibadan juga entah kapan bakal melayang. Justeru, kesedaran tentang fakta yang kehidupan ini hanyalah satu pinjaman, akan menjadikan kita berlapang dada dengan segala ujian dan cabaran dunia.

Dunia sahaja. Setakat di dunia. Lepas dunia, tak ada lagi ujian. Tempoh ujian sudah habis. Tinggal menghisab markah ujian. Berjaya atau tidak bergantung kepada bagaimana kita mendepani ujian tersebut. Tips kejayaan semuanya sudah ada dalam Al-Quran yang berupa petunjuk, pemberi ingatan dan amaran yang jelas. Tak cukup dengan itu, Allah utuskan pula RasulNya, Muhammad S.A.W sebagai contoh tauladan dan ikutan. Inilah tips untuk kekal berada di atas jalan yang lurus. Ikutlah keseluruhannya.

Sekarang, tinggal hendak buat atau tak hendak buat sahaja. I

Tepuk dada, tanyalah iman.

Tuesday, January 08, 2013

Kenangan 7 Januari

Dulu...dia diingat-ingatkan akan tarikh ini. Hint di sana-sini. Tak ingat jugak...merajukkkk!!!
Heheh...masalah orang perempuan. Kitaorang memang suke sangat-sangat kalau suami ingat tarikh ini tanpa perlu dipesan.

Tapi bila dan lama-lama ni...sendiri pun kena diperingatkan. Apalagi bila bukan bilangan tahun menjadi ukuran. Bila kita telah sama-sama belajar dan faham.

Ada banyak perkara lagi yang lebih penting...pengisiannya bagaimana?


Apapun terima kasih di atas ingatan itu.

Semoga Allah merahmati dan meredhai kehidupan kita.

Mengubati Hati

Rasulullah S.A.W bersabda : "Ketahuilah dalam jasad manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah jasad itu dan jika ia rosak maka rosaklah jasad itu, itulah yang dinamakan hati."(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hati ibarat  cermin. Jika tidak dirawat dan dibersihkan,  ia mudah kotor dan berdebu. Ibnu Qoyyim Al Jauziyah pernah mengatakan bahawa hati manusia terbagi kepada 3 kategori iaitu Qalbun Salim  (hati yang sehat), Qalbun Mayyit  (hati yang mati) dan Qalbun Maridh (hati yang sakit). 

Hati yang sakit (Qalbun Maridh) senantiasa dipenuhi penyakit yang bersarang di dalamnya. Di antaranya; riya’, hasrat ingin dipuji, hasad, dengki, ghibah, sombong, tamak dan sebagainya.  

Orang yang memiliki Qalbun maridh (hati yang sakit) sukar menilai secara jujur apapun yang kelihatan di depannya. Dia tidak suka m
elihat orang lain gembira, bahagia dan berjaya...hatinya akan berasa dengki dan iri.  Kalau kawannya memperolehi kelebihan berupa rezeki seperti naik pangkat, menang anugerah atau diberikan kurniaan-kurniaan seperti anak-anak semuanya berjaya masuk universiti, pasangan yang cantik/kacak lagi kaya, ramai orang suka dan sayang...maka terhadap rakan ini, si pemilik hati yang sakit itu akan sentiasa berasa rimas, gelisah dan kesudahannya timbul rasa benci dengan kesenangan yang dimiliki sahabatnya.

Bila-bila pun dia berjumpa dengan orang-oran yang punya kelebihan, maka hatinya akan sengaja berusaha mencari kekurangan. Menyelidik dan mengorek-ngorek perkara-perkara jelek yang mampu dia temukan. Bila sudah ditemukan, maka alangkah gembiranya hatinya kerana dia kini boleh menggembar-gembur kekurangan itu supaya kelebihan yang ada itu dapat dikurangi dan ditutupi. Hatinya berasa puas kerana dapat menunjukkan bahawa orang yang hebat itu sebenarnya bukanlah bagus sangat! Sungguh malang andai hati seumpama ini dibiarkan terus sakit tanpa rawatan yang sewajarnya.


Yang lebih parah adalah hati yang mati (Qalbun Mayyit). Hati ini sepenuhnya di bawah kekuasaan hawa nafsu, sehingga ia terhijab dari mengenal Allah Subhanahu Wata’ala. Hari-harinya adalah hari-hari penuh kesombongan terhadap Allah, sama sekali ia tidak mau beribadah kepada-Nya, dia juga tidak mau menjalankan perintah dan apa-apa yang diredhaiNya. Hati seperti ini berjalan bersama hawa nafsu dan keinginannya walaupun sebenarnya hal sebegitu sangat dibenci dan dimurkai Allah. Ia sudah tidak peduli, apakah Allah redha kepadanya atau tidak? Sungguh, ia telah menjadi hamba kepada selain Allah kerana bila mencintai sesuatu, ia mencintainya kerana hawa nafsunya. Begitu pula apabila ia menolak, mencegah, membenci sesuatu juga kerana hawa nafsunya.

Sementara itu, hati yang baik dan sihat disebut Qalbun Salim. Inilah hatinya orang beriman. Hati ini adalah hati yang hidup, bersih, penuh ketaatan dengan cahaya terangnya dan bertempat di nafsul mutmainnah (jiwa yang tenang).  

Dalam al-Qur’an disebutkan al-salim pada dua tempat. Antara lain QS. Al-Shaffat: 84 yang berbunyi:  “(ingatlah) ketika dia (Ibrahim) datang kepada Tuhannya dengan hati yang selamat (sihat)”.
Kemudian Q.S Al-Syu’ara: 87-89, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan. (yaitu) pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna. Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih”.
Ayat pertama merupakan penjelasan mengenai Nabi Ibrahim sebagai golongan pengikut Nabi sebelumnya, yaitu Nabi Nuh yang memiliki hati yang ikhlas dan tidak ada keraguan dalam beriman kepada Allah SWT. Sedangkan pada ayat kedua hati yang bersih dijelaskan dalam tafsir Jalalain karangan Imam Jalaluddin As-Suyuti dan Imam Jalaludin Al-Mahalli bererti hati yang bersih atau selamat dari sifat syirik dan nifaq yang merupakan cerminan dari seorang mukmin.


Bagaimana untuk kita mendapatkan hati yang baik ini?

Ada 5 cara untuk menghilangkan penyakit hati dan seterusnya memiliki sekeping hati yang baik dan sihat :


  1. Membaca Al-Quran dan memahami maknanya
  2. Dirikan solat di waktu malam kala orang lain nyenyak tidur.
  3. Bergaul dengan orang-orang yang soleh
  4. Memperbanyakkan puasa sunat
  5. Memperbanyakkan zikir
Sungguh, ia adalah satu perjalanan dan perjuangan yang panjang. Ia adalah sesuatu yang kita perlu usahakan. Berusaha dan berdoa, berdoa agar Allah mudahkan usaha kita dan meneguhkan pendirian kita untuk kekal beristiqomah dalam usaha ini.

Monday, January 07, 2013

Lau Kana Bainana


Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa.
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan...
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu,
Dan kebebasan daripada api neraka-Mu,
Dan juga syurga bersama Penghulu seluruh manusia.
Kami mohon...Kami mohon pada-Mu,
Wahai Tuhanku dari sudut hati yang paling dalam.....
يا رَبِّي قَدْ غَفِلْنَا وَكُلُّناَ طَمْعٌ
فِيْ عَفْوٍ وَفِيْ كَرَمٍ وَفِيْ أَعْتَاقٍ
وَجَنَّةٍ مَعَ سَيِّدِ الْبَشَرْ
نَدْعُوْك..نَدْعُوْكَ رَبِّيْ مِنَ الْأَعْمَاقِ



Andainya Kekasih-Mu (Muhammad) masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah,
Dengan haruman baginda sebelum hilangnya
Rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu..
لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الْحَبِيْب
لَدَنَا القَاصِيْ وَالْقَرِيْب
مِنْ طَيِّبَةٍ قَبْلَ الْمَغِيْب
طَالِباً قُرْبَ الحَبِيْب



Berada berhampirannya jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan.
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, 

Wahai Tuhan yang Maha Merperkenankan doa hamba.
بِقُرْبِهِ النَّفْسُ تَطِيْب
وَتَدْعُوا الله فَيُجِيْب
أَنْوَارُ طَهَ لاَ تَغِيْب
بَلِّغْنَا لِقَاهُ يَا مُجِيْب



Hidayahmu kepada alam merata luas
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi Hidayah.
Hadis-hadismu ibarat sungai mengalir jernih.
Berada disisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah. 
هُدَاكَ الْكَوْنُ الرَّحِيْب
رَحْمَةَ الهَادِيْ الْقَرِيْب
حَدِيْثُكَ النَّهْرُ الْعَذِيْب
جِوَارُكَ الْغُصْنُ الرَّطِيْب


Kutebus diriku dengan dirimu wahai Kekasihku.
Nabi Muhammad yang mulia lagi asing
Berada berhampiranmu jiwa menjadi harum
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang, 

Tuhan kepada seluruh Alam
فَدَتْكَ رُوْحِيْ يَا حَبِيْب
محمدٌ مُكْرِمَ الْغَرِيْب
بِقُرْبِكَ الرُّوْحُ تَطِيْب
ياَ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْن


Wahai Kekasihku Wahai Muhammad 

Wahai pengubat hatiku Wahai yang terpuji
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat kepadamu.
يَا حَبِيْبِيْ ياَ مُحَمَّدْ
يَا طَبِيْبِيْ يَا مُمَجَّدْ
أَنْتَ ذُوالْفَضْلِ الْمُؤَيَّدْ
جَلَّ مَنْ صَلَّى عَلَيْك

Sumber : http://drnasrullah.blogspot.com/2011/12/lirik-dan-maksud-lagu-lau-kana-bainana.html

Sunday, January 06, 2013

Masak-masak

Entri pertama untuk tahun 2013 ini...entri jom main masak-masak.
Inspirasi diperolehi daripada cerita-cerita Rosebud tentang durian (ternyata dia memang seorang penggemar durian tegar!). Lalu untuk melunaskan cita-cita ini, pagi tadi merayau kat Tesco Selayang mencari bahan.

Seterusnya berpandukan 'tunjuk-ajar' Cik Epal, ( http://cikepal06.blogspot.com/2012/11/resepi-durian-crepe-gebu.html), dan dengan sokongan padu mak (Aku ni memang jenis cepat 'jemu' di dapur...hihihi), maka, terhasillah makanan berasaskan durian yang pertama Aku suka makan.


Yeayyy...menjadi juga projek pertama kali ini...teruja...teruja...teruja! 

Padahal sebelum ini mana ada Aku makan by-products durian...mungkin sebab durian ni tidak diubahsuai. Yelah, cuma ambil isinya dan gabungkan dengan whip cream yang macam aiskrim tu...balut dengan kulit ala-ala kuih ketayap (dadar)...soooo...oraitlah kan...

Okeh...lepas ni boleh buat lagi untuk memantapkan kemahiran (hahah...ye lah tu....)