Yang dikatakan sombong itu bagaimana, ya?
Dalam keadaan bagaimana kita akan terjerat dalam kesombongan? Kadang-kadang mungkin kita tak sengaja. Mungkin sebab ada yang cabar...atau mungkin juga sendiri rasa tercabar. Keadaan ini berlaku terutamanya bila kita merasakan kita berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding orang lain. Barangkali tahap pendidikan kita lebih tinggi. Barangkali sebab kita berpangkat tinggi. Apapun sebab-musababnya, disengajakan atau pun tidak, bersikap sombong adalah suatu perlakuan yang perlu dielakkan.
Sombong bukanlah sesuatu yang baru. Kesombongan Iblis yang enggan bersujud kepada Adam walaupun diperintahkan oleh Allah ternyata mengheretnya ke jalan kebinasaan kerana kesombongan itu telah menghalangnya daripada tunduk patuh kepada Allah seterusnya menjadikannya makhluk yang derhaka.
Ini dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Al-A'raaf ayat 11-13 yang bermaksud :
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat:"Bersujudlah kamu kepada Adam; maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud".
Allah berfirman:"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?". Menjawab iblis :"Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah".
Allah berfirman : " Turunlah kamu dari syurga itu; karena kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina".
Mahukah kita ikut menjadi sombong seperti sombongnya iblis? Nauzubillah!
Kalau tak mahu disamakan dengan perangainya iblis, janganlah sombong. Kalau tak mahu diri jadi sombong, buangkan rasa 'bagus' dan 'lebih baik' itu. Kalau nak buang rasa sebegitu, rendahkanlah diri anda. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Peringatan ini untuk diri saya sebenarnya kerana tadinya saya sudah tersilap langkah.
Kisahnya begini...
Saya hendak ke kelas tadi. Bila bila pintu lif terbuka, kelihatannya ramai orang di dalam sana. Seperti biasa, saya masih suka membuat andaian. Saya andaikan tidak akan ada sesiapa yang sudi hendak mewujudkan ruang membenarkan saya masuk.(Bersangka-buruk!) Selalunya begitu (orang lain akan buat-buat tak nampak!)Jadi, saya lekas membuang pandang ke arah lain kerana tak mahu orang-orang dalam lif itu rasa serba-salah. Saya fikir dengan cara itu, isyarat yang saya beri amat jelas...iaitu...saya tak hendak naik lif itu.
Kemudian, seseorang yang berdiri di penjuru hadapan bersuara, "masih ada ruang di sini, hendak masuk ke tak?".
Aduhhh...rasanya saya sudah silap jawab apabila mengatakan, "tak apalah" dalam nada sedikit keras (saya fikir 'tegas'). Perasaan itu menghantui saya sebaik pintu lif ditutup. Saya sangat-sangat menyesal. Sepatutnya saya jawab, "tak apalah...terima kasih" kerana saya baru perasan ada dua orang yang berdiri di muka pintu lif sebenarnya telah bersusah-payah berganjak ke belakang untuk mewujudkan ruang.
Aduhhh...saya terasa kulit muka saya pijar macam kena tampar.
Saya tak fikir langsung bila jawab pendek begitu...tujuan saya ialah supaya lif cepat tutup. Saya nak tunggu lif lain. Dan lagi yang dua di depan itu adalah lelaki. Rasa tak selesa pula nak masuk berhimpit begitu. Cuma saya silap kerana menjawab dengan tidak mengambil kira yang orang lain sudah cuba melakukan suatu yang baik untuk saya...tapi seolah-olahnya saya tolak mentah-mentah...
Saya telah bersikap sombong tadi...
Saya betul tak sengaja...
Astaghfirullah'al adzim...
2 comments:
A'kum kak..rasanya semua org berfikiran mcm tu kot sbb sy pun pernah terfikir mcm tu..tp sejak mengikuti kelas2 agama ni, sy menjadi semakin positive kerana fikiran negative tu tak elok untuk hati kita..kesimpulannya, apa2 hal pun kena la bersangka baik.. :)
Waalaikum salam warahmatullah. Terkadang tak terfikir satu benda yang kita buat atau ucap rupanya boleh mengguris perasaan orang...tapi sendiri akan tahu ada yang tak kena bila tiba-tiba rasa teringat kepada perkara itu...rasa ralat...tahulah, ada yang silap tu. Banyak lagi nak kena gilap hati ni...
Post a Comment