Wednesday, September 26, 2012

Penyudah Yang Baik

Betul apa yang sahabat saya Sirapmadu katakan. Setuju sangat-sangat! Bahawa tak kira apapun yang telah berlaku...yang pentingnya semuanya sudah ditetapkan. Setiap sesuatu yang bernyawa ada tempoh masanya. Tempoh tamat yang hanya Allah yang tahu. Tak kira betapa sihatnya saya sekarang dan tak kira walau betapa sakitpun sahabat saya itu, belum tahu siapa yang bakal pergi dulu.

Ianya bukan soal sihat atau sakit. Juga bukan soal tua atau muda. Jauh sekali tentang beda kekayaan. Ianya tentang masa. Soalnya dulu atau kemudian. Saya mungkin sihat, tapi janji saya setakat minggu depan. Dia mungkin sakit, tapi entahkan temujanjinya 10 tahun lagi...siapa tahu? Kalaulah ada di cetak tarikh tamat tempoh di belakang badan...

Yang penting, persiapan! Kalau umurnya lanjut melangkaui 100 tahun sekalipun apa guna kalau bekalannya cuma sedikit. Seperti lirik lagu nasyid, "walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya?".

Untung nasib seseorang hamba itu dinilai pada penghujung hayatnya. Dalam keadaan bagaimanakah dia pulang menemui Tuhannya? Dalam keadaan berimankah atau tidak? Justeru, walaupun sepanjang hayatnya dia itu beramal soleh...akan tetapi di penghujung usianya dia tergoda berbuat maksiat yang merugikan...maka dicabut nyawanya di ketika itu...ketahuilah bahawa keadaan imannya yang dipenghujung itulah yang menjadi penentu.

Justeru, sebagai hamba yang lemah lagi sentiasa mengharapkan kesudahan yang baik daripada Tuhannya, wajarlah selalu dipanjatkan doa memohon agar beroleh husnul khatimah dan dijauhi daripada kematian yang buruk (suul khatimah). Jangan lupa meminta secara berterusan kerana bila menyangka diri sudah melakukan yang terbaik sering kita lupa mendoakan untuk pengakhiran yang baik. Jangan sibuk meminta yang duniawi, mintalah untuk kesejahteraan hidup di dunia yang kekal. Walau susah melarat sekalipun di dunia ini, walau seksa dan pedih menanggungnya...ketahuilah ianya jauh lebih ringan daripada kemurkaan dan azabNya.


Thursday, September 13, 2012

Ada Aku Kisah?

Ada Aku kisah?

Heheh.

Kadang-kadang 'comel'. Kadang-kadang menjengkelkan.

Sekali lagi, ada Aku kisah?

Ada semacam rasa lega dan puas hati. Rasa merdeka pun ia juga. Terutamanya bila apa yang orang kata atau buat, tidak lagi mencetuskan apa-apa rasa 'persaingan' di dalam jiwa. Tak ada rasa terancam. Tak ada rasa nak melawan. Tak ada rasa rimas hatta gelisah. Rasa tenang je.

Juga bila ada semangat 'ada Aku kisah?' ini membuka satu dimensi baru dari sudut motivasi dan kejiwaan. Tak rasa teruja dengar orang bercerita tentang orang itu, orang ini...sebab...dalam hati boleh kata...ssoooo??? dan sambung dengan , "ada Aku kisah?". Heheh...seronok, kan?

Tapi "ada Aku kisah ini" tak boleh terpakai untuk semua keadaan. Untuk suka-suka sendiri bolehlah. Mungkin untuk 'menyedapkan' hati...camouflage gitu! Dalam banyak keadaan, kena ambil kisah. Kena peduli. Jangan suka-suka nak jawab, "ada Aku kisah?" .

Kalau benda yang kita buat tu salah dan orang tegur, janganlah melenting pulak dok jawab, "ada Aku kisah?", nanti orang naik menyampah pula. Berterima kasihlah, sekurang-kurangnya masih ada yang peduli dan ambil berat hal kita, kan...betul...betul...betul...

Cakap tentang "ada Aku kisah" tak boleh elak daripada kerja-kerja amal makruf nahi mungkar. Satu, kita tak boleh ambil sikap "ada Aku kisah" bila berdepan dengan kemungkaran. Tapi itulah, hendak menegur perlukan kekuatan dan juga ilmu. Selalunya rasa sakit di mata tengok...tapi tak terkeluar kata-kata. Pelik bila nak buat benda yang patut kita pula rasa takut-takut, rasa ragu. Rasanya bab ini, akak Lotuslily sudah terkehadapan...hahaha...tu pasal kita selalu tolak akak ke depan dulu...:).

Takut nak tegur juga sebab tak kuasa nak melayan kalau yang ditegur itu melawan balik dengan kata-kata..."ada Aku kisah?". Nak kata lebih-lebih diri sendiri pun banyak kepincangannya. Tapi kalau buat tak tahu ikut nafsu-nafsi masing-masing je...pun tak kena juga sebab kalau Allah nak turunkan bala, Dia tak pilih bulu...semua kena. Jadi, mahu tak mahu, kena balik kepada punca sebenar, kena mula ambil peduli, kena sama-sama prihatin , kena saling tegur-menegur, ingat-mengingati ke arah kebaikan. Kalau tidak dimulakan dari kecil, dari tak ada apa-apa ini...sampai bila pun kita tak sampai ke mana. Ini tugas. Ini tanggungjawab. Jangan fikir itu bukan masalah saya atau " ada Aku kisah".

Selamat mengambil kisah.



Wednesday, September 12, 2012

Di Bawah KekuasaanNya

Tempohari saya beranikan diri bertanya kepada Ustaz persoalan yang sering bermain di kepala kebelakangan ini iaitu, mengapa dalam berdepan dengan gangguan sihir bila kita bacakan ayat-ayat suci Al-Quran, hantu yang menganggu itu boleh ketawa dan siap ejek-ejek kita balik? Bukankah mereka sepatutnya takut? Adakah sebab kita baca tak betul atau kerana kita tak faham makna?

Saya tanya supaya saya tahu apa nak buat...kalau sebab tak faham makna, maka, bolehlah cepat-cepat belajar tafsir. Kalau sebab bacaan tak betul pun, boleh belajar untuk betulkan. Tapi kalau sebab-sebab lain...? Apa dia? Nak tahu supaya dapat bantu.

Ustaz kata, tipu daya dan gangguan syaitan tidak menjadi terhadap satu golongan manusia. Yang lain habis kena makan. Golongan yang mana? Ianya sebagaimana pengakuan yang dibuat Iblis yang tercatat dalam Surah Al-Hijr ayat 39 sehingga 40 iaitu : Iblis berkata, "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka".

Yang dimaksudkan dengan "mukhlis" ialah orang-orang yang telah diberi taufiq untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah.

Jadi, kalau hendak menangani gangguan syaitan, terlebih dahulu pastikan yang kita ini menjalani kehidupan yang berlandaskan kehendak Allah. Kalau solat 5 waktu pun cuai, puasa Ramadhan kadang ya kadang tidak serta tak pernah pun teringin hendak menghulurkan sedekah...macamana hendak menjadi hamba yang mukhlis? Begitu juga kalau segala rezeki Allah kita nikmati tanpa segan-silu tapi lupa langsung hendak bersyukur, macamana hendak dikatakan kita ini dekat dengan Allah. Tengoklah pembaziran yang berleluasa di musim-musim rumah terbuka ini...dah disebutkan pun yang pembaziran itu amalan syaitan justeru yang membazir itu bersaudara dengan syaitan...bagaimana mahu mengusir syaitan?

Strategi nombor satu untuk pastikan syaitan jauh dari kita ialah menjadi hamba yang ikhlas dalam beragama, kuat imannya, teguh ketaqwaannya, menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan sunnah Nabi sebagai jalannya. Hanya orang seperti ini yang mampu menghalau syaitan.Pokoknya, seluruh kehidupan kita mestilah berlandaskan syariat...kena ambil semua. Baik bab makan, bab pergaulan, bab menuntut ilmu...segala-galanya...Jangan hanya bab nak halau hantu barulah masa tu kita nak cari ustaz-ustaz. Kalaupun ustaz dah halau, keberkesanannya sekejap cuma. Ustaz tak ada, hantu tu pun datang baliklah. Sebab tu nak halau syaitan ni kena dilaksanakan sendiri oleh orang yang menghuni rumah misalnya...sebab dia yang tinggal di situ dan dia yang seharusnya tahu bagaimana untuk menjadikan rumah tersebut bukan 'port' melepak kegemaran syaitan.

Ustaz juga kata, jangan sesekali takut dengan hantu syaitan. Kita hanya patut takut kepada Allah. Walaupun kena sihir sampai mati sekalipun kerana ajal maut adalah ketentuan Allah, bukan dek kepoweran hantu dan jampi serapah tok bomoh.  Dan lagi syaitan pun dah mengaku yang dia tak ada kuasa pun ke atas kita...ikut luck ajelah dia boleh penaya kita atau tidak. Ini ternukil dalam Surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud, "Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu". Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih".

Surah Al-Falaq baik untuk diamalkan sebagai kaedah membentengi diri daripada niat jahat/hasad manusia yang mahu melakukan sihir (insyaallah dengan izinNya)


Kesian dengan yang menggunakan sihir untuk melunaskan sakit hati terhadap orang lain. Dia fikir hati dia puas cukuplah...dia suka tengok orang lain menderita dan dia rasa dia hebat. Kesiannya! Dia tak tahu yang dia minta itu dengan makhluk...dia terlupa yang dia telah menjual akidahnya dan menjadi syirik dengan sebab percaya sesuatu itu berlaku dek kekuasaan makhluk. Alangkah meruginya...kalaulah dia tahu apa yang menantinya di sana....

Untuk yang sedang melalui kesusahan ini, bersabarlah.  Biar susah di dunia, jangan susah di akhirat.
Tetapkan hati, teguhkan iman. Apapun yang terjadi, yakinlah ianya terjadi dengan kehendakNya. Insyaallah...ada jalan.


Ujian Hati

Kata orang, sebelum kita sewenang-wenangnya hendak berkata sesuatu tentang seseorang, fikir dulu. Layak atau tidak kita membuat kesimpulan atau memberi pendapat? Kalau kita pun tak berapa nak kenal siapa orang itu...atau sekadar kenal sesekali jumpa...atau setakat dengar cerita dari kawan ke kawan yang lain...moleklah diam sahaja.

Kalau kita tidak melalui apa yang telah dan sedang dia lalui atau kalau kita tidak merasai apa yang dia rasai...berhentilah membuat penilaian. Janganlah senang-senang mengata orang itu tak patut, orang ini sepatutnya buat ini atau mempersoalkan kewajaran sesuatu tindakan memandangkan yang menghadapi dan menanggung segala permasalahan bukanlah kita.



Cubalah fahami mengapa dalam sesuatu keadaan seseorang bertindak begitu. Mungkin kalau kita berada di tempatnya kita juga akan mengambil tindakan yang serupa, jadi, jangan takbur mengatakan kita ini terpelihara dan tak mungkin akan berada dalam situasi sebegitu. Kita belum diuji sebegitu.Kalau tak dapat membantu, sekurang-kurangnya janganlah menambah masalah. Cari jalan penyelesaian bukannya mengungkit-ungkit benda yang lepas. Jangan fikir itu masalah dia sahaja, kena fikir juga barangkali apa yang menimpa dia itu adalah sebenarnya 'ujian' untuk kita juga. Setidak-tidaknya ujian hati...kerana di hati itulah Allah menilai, apakah kita ini tergolong hamba yang ikhlas...




Monday, September 10, 2012

Senarai Menunggu

Berita kematian selalu membuatkan kita terkedu sebentar. Apatah lagi yang melibatkan orang yang kita pernah kenal. Yang biasa kita lihat dia tersenyum dan ketawa. Yang biasa kita lihat dia berjalan ke sana-sini, cergas dan sihat walafiat. Tiba-tiba hari ini, dia sudah tiada. Namun, itulah hakikatnya kematian. Bila sudah sampai masanya, sesaat pun tidak mungkin dapat ditangguh.

Bila dikenang-kenangkan wajah-wajah yang telah pergi, hati terdetik bahawa begitu jugalah diri ini nanti. Dengan pasti, diri ini adalah calon jenazah seterusnya...cuma tidak tahu bila. No news is a good news...? Begitu??? Oh tidak!

Saya tidak fikir kita ada pilihan lain melainkan membuat persiapan sekarang sebab kita tidak tahu bilakah Izrail akan datang menjemput pulang. Petang ini kah? Malam inikah? Esok atau lusa? Minggu depan? Dua tahun lagi? Bab buat persiapan tu ...insyaallah memang boleh buat tapi....nak katakan dengan pasti boleh dapat kesudahan yang baik itu yang payah. Dan itulah yang paling menakutkan. Berapa ramai yang beramal dengan berletih, berpayah tapi sebetulnya cuma dapat habuk? Amal yang disangka membawa pahala rupanya menjadi dosa. Takut syok sendiri.

Ustaz kata, dinilai seorang manusia itu di penghujung hayatnya. Kalau sepanjang hidupnya dia ini bergelumang maksiat namun dengan izin Allah  Yang Maha Pengampun, dia telah  bersungguh bertaubat dan meminta ampun kepada Allah pada nafas yang masih bersisa lalu Zat Yang Maha Dermawan mengampunkannya...siapalah kita hendak mengatakan yang sebaliknya? Alangkah berbahagianya dia. Dan kita yang selalu merasa sudah cukup baik ini bagaimana?

Ya Allah, moga-moga janganlah kami ini termasuk golongan yang Engkau palingkan dari rahmatMu. Tetapkanlah hati-hati kami di atas jalanMu dan janganlah Engkau jadikan ibadah kami amalan yang sia-sia. Jauhilah kami dari sifat sombong and riya.Semoga kami beroleh pengakhiran yang baik.


Monday, September 03, 2012

Cobaan...

Saya tak sukalah suka-suka hati melabelkan sesuatu itu sebagai gaya muslimah alaf baru. Atau muslimah cemerlang. Atau kebangkitan muslimah. Atau apa-apa yang terkait, mengait, sengaja di kait-kait dengan perkataan 'muslimah' sebab banyak sangat salah gunanya.

Busana muslimah...ni pun satu. Muslimah apanya kalau guna kain lembut yang dah sah-sah melekat dekat badan sampai jelas segala keluk-keluk. Tudung muslimah...haish...nampak macam serban benggali adalah. Busana muslimah yang dicanang-canangkan tu semuanya sohih tutup kulit...tapi tak tutup aurat.

Saya perhatikan perkembangan satu program ini. Diwar-warkan untuk menjana pendapatan. Menjadikan kita wanita berkerjaya yang banyak duit, anggun bestari dan cemerlang terbilang. Bila sudah agak-agak berjaya, maka sayugialah kita menukar penampilan untuk diasimilasikan dengan kejayaan yang sedang dikecap. Kalau dulu tudung ala-ala gaya bungkus nangka...sekarang ni dah ala-ala bungkus kristal la Boheme...huh...kelllasss! Baju? Uiihh...apa barang baju kurung gelebes...gelebes ni...tak sesuai ok! Kita mesti pakai dress! Warna? Aiyoh...kalau warna kusam macam kain mak cik-mak cik tu...plezzzz la. Tak korporat ok! Tukar! Tukar! Kena tukar wardrobe! Memang tampil berbeza...serius ko lawa! Tu yang senyum memanjang bila orang puji. "Dulu lalu pun lelaki tak pandang...sekarang, sebatu pun ada yang dah perasan kehadiran kita"...err...konfiusnya saya dengan matlamat kejayaan sebegini. Adakah hanya dengan penampilan tertentu baru orang percaya betapa berjayanya kita?



Ya...ya...tu lah pasal, orang akan kata 'Hek eleh...Telipuk jeles la tu'...jeles la sangatttt! Read my words..."Tak kuaseee...Aku suka cara dan gaya Aku, walaupun poyoooo...kakakaka..."

Dan, ya...saya prihatin dengan gejala menghalalkan sesuatu secara halus dan tersembunyi. Menjadikan sesuatu itu seperti mudah diterima walaupun pada asalnya salah.

Kita kena cakap terus-terang sahaja...benda kalau salah, tetap salah. Kalau betul, kita kata betul. Biarlah kalau dengan berkata benar itu menjadikan anda tidak popular. Biar tak popular di mata manusia...

Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.- Hadith Sahih At-Tirmidzi

Teringat pertanyaan 'suci' anak bongsu saya...

"Ibu...xxx dan xxx tu orang Islam ke ?"

Saya pun tak fikir panjang terus jawab, "Eh, mestilah orang Islam" dengan yakinnya sebelum datang soalan seterusnya, "Tapi kalau dia Islam kenapa xxx tak pakai tudung pun?"

Aaaaa...alamak...apa Aku nak jawab ni! Hah tu la, jangan ingat korang boleh goyang-goyang kaki serahkan kerja-kerja mendakwah kepada para ustaz dan ulama jer ke...kerja-kerja mendakwah ni tugas setiap Muslim, ok? Tu dia...berpeluh ni, nak menjawab agar jawapan yang diberi boleh diterima dan tidak berlaku jualbeli agama walaupun yang bertanya itu anak kecil kerana jawapan itulah yang dia akan rujuk bila besar nanti. Kena pulak, mak yang bagitau...huhuhu.

Saya kata, "Menutup aurat (bukan terhad kepada tudung) itu wajib. Orang Islam kena buat. Yang tak buat, itu dia nanti kena jawab bila Allah tanya. Sebab itu Allah adakan pahala dan dosa dengan disediakan balasan  syurga dan neraka. Kalau nak masuk syurga, mesti buat apa yang Allah suruh...walaupun orang lain tak buat".

Semalam masa majlis kenduri adik ipar masih berlangsung dan jam sudah pukul 3, Aiman memberi komen yang sangat berbisa...

"Kita belum solat zohor lah ibu...kita ni nak jadi kafir ke?"

Ibu pandang Babah. Babah pandang Ibu. Rasa nak tercekik pun ada.