Wednesday, September 12, 2012

Ujian Hati

Kata orang, sebelum kita sewenang-wenangnya hendak berkata sesuatu tentang seseorang, fikir dulu. Layak atau tidak kita membuat kesimpulan atau memberi pendapat? Kalau kita pun tak berapa nak kenal siapa orang itu...atau sekadar kenal sesekali jumpa...atau setakat dengar cerita dari kawan ke kawan yang lain...moleklah diam sahaja.

Kalau kita tidak melalui apa yang telah dan sedang dia lalui atau kalau kita tidak merasai apa yang dia rasai...berhentilah membuat penilaian. Janganlah senang-senang mengata orang itu tak patut, orang ini sepatutnya buat ini atau mempersoalkan kewajaran sesuatu tindakan memandangkan yang menghadapi dan menanggung segala permasalahan bukanlah kita.



Cubalah fahami mengapa dalam sesuatu keadaan seseorang bertindak begitu. Mungkin kalau kita berada di tempatnya kita juga akan mengambil tindakan yang serupa, jadi, jangan takbur mengatakan kita ini terpelihara dan tak mungkin akan berada dalam situasi sebegitu. Kita belum diuji sebegitu.Kalau tak dapat membantu, sekurang-kurangnya janganlah menambah masalah. Cari jalan penyelesaian bukannya mengungkit-ungkit benda yang lepas. Jangan fikir itu masalah dia sahaja, kena fikir juga barangkali apa yang menimpa dia itu adalah sebenarnya 'ujian' untuk kita juga. Setidak-tidaknya ujian hati...kerana di hati itulah Allah menilai, apakah kita ini tergolong hamba yang ikhlas...




No comments: