Tuesday, July 30, 2013

Jangan Dibakar Sumbunya

Berhentilah bermain dengan api. Kita semua tahu, api semasa kecil ia menjadi kawan...tetapi bila sudah besar ia menjadi lawan. Kesannya sangat teruk. Boleh hilang harta benda dan nyawa. Ini bukan mesej khidmat masyarakat daripada KL Traffic sempena musim perayaan ini ye...sebab Telipuk tak kuasa nak menasihat budak-budak (atau bapak budak sekalipun) yang tak serik-serik main mercun sehingga berjaya mencacatkan anggota badan sendiri. Kalau Telipuk disuruh menasihat pun...Telipuk hanya setakat nak kata, "Lu pikir la sendiri!"...sebab Telipuk memang tak berminat nak beri pandangan kepada manusia yang tak berapa berminat nak berfikir.

Telipuk nak sentuh tentang 'api' yang lain. Betullah orang kata, hujung pen/pena atau sekarang papan kekunci adalah lebih tajam daripada mata pedang. Salah tulis buruk padahnya. Sengaja salah lapor lagi sengaja menempa bala. Di manakah etika kewartawanan sekarang? Nasib baik Telipuk tak jadi nak jadi wartawan....dulu-dulu Telipuk ada jugaklah teringin...masa tu zaman Wan Zaleha mengendalikan Majalah 3. Best sangat! Rasa nak jadi wartawan yang macam itu. Wartawan yang menulis artikel pun seronok juga...nanti boleh letak nama bawah tajuk artikel kita tu dan semua orang baca. Hahaha...best nyer berangan. Telipuk janji akan tulis yang elok sahaja...alamak...belum jauh berangan Telipuk kena undur diri sebab Telipuk tak rasa ada syarikat suratkhabar yang akan ambil Telipuk bekerja kerana tulisan Telipuk tak cukup kontroversi untuk berada di muka depan akhbar.

Telipuk kesal dengan insiden tempat makan di bilik persalinan itu. Telipuk kesal kerana nampak ianya sengaja diketengahkan dengan niat-niat yang tidak baik, padahal sekiranya wartawan yang melaporkan itu mendapatkan fakta sebenar, keadaan tidaklah seteruk yang digambarkan. Tak adakah wartawan yang hendak semak fakta sebelum menulis? Keluar muka depan pulak tu...! Berita yang tak betul keluar muka depan....kau biar betulll...ini bukan akhbar picisan tapi akhbar orang bijak pandai. Apa agendanya? Dan yang best tu...para pemimpin yang senyap sunyi tak uk, tak ek...buat pejam mata...ini bukan remeh , ok? Telipuk kata ianya tidak remeh kerana untuk muka depan hari berikutnya tajuk yang menjadi pilihan ialah tentang kes mahkamah berhubung tuntutan membatalkan pertukaran agama. Telipuk peliklah tak ada sesiapa pun yang perasan!

Cerita tentang tempat makan itu, Telipuk teringat kisah masa di sekolah rendah dulu. Sekolah Telipuk, walaupun sekolah bandar, pada masa itu kami masih menghuni bangunan-bangunan lama. Keadaannya boleh dikatakan agak dhaif juga. Kelas tempat Telipuk belajar tidak mempunyai tingkap kaca pun...hanya ada lubang-lubang sebesar bola baling di dinding bawah dan bahagian dinding atas dipasang dengan jaring-jaring besi. Macam penjara pun ye rasanya. Tandas terletak dihujung bangunan. Tempatnya sunyi dan gelap. Telipuk tak pernah ke sana sendirian sebab semua orang kata ada hantu. Tempat makan pun giler 'horror'. Kalau ibubapa yang komplen pasal kes makan di bilik persalinan tu tengok situasi kantin sekolah Telipuk masa tu...Telipuk rasa diaorang akan sangat-sangat bersyukur. Sebab apa? Sebab kantin kami rupanya macam reban ayam. Sesak dan sendat. Lantainya selalu lecak. Bau...jangan cakaplah sebab terletak bersebelahan dengan longkang besar...eh...macam ayaq acaq...hampa tau ka ayaq acaq??? Air yang hitam, berminyak yang serangga-serangga kecil dok terapung atasnya....hish...nak termuntah bila diingatkan! Itu belum cerita bila banjir....haaahhh...kalau hujan lebat sikit je, pasti air naik. Bukan setakat penuh longkang tapi masuk ke kelas. Dan bila air naik, cacing-cacing dalam longkang tu pun naik sama...berlengkar-lengkar di sana-sini. Geli??? Dak aihhh...kami siap bukak kasut dan main ayaq dengan gumbiranya. Tak ada isu langsung...semua orang redha jer. Ohw...bukan sebab sekolah tu sekolah satu kaum, so, tak kisah jadi apa pun. Sekolah saya sesungguhnya adalah sebuah sekolah berbilang kaum. Semua kaum ada. Kawan-kawan saya lebih banyak kaum lain daripada kaum sendiri. Tak ada pegang skrip atau perlu angkat jari telunjuk untuk selari dengan tema apapun. Kalau bergaduh sekalipun, tak ada sesiapa nak bangkitkan isu-isu perkauman. Siapa yang salah, dia yang kena.

Tapi yelah....zaman tu mak bapak tak campur tangan hal sekolah. Facebook pun tak ada! Tak ada sesiapa nak menfitnah. Kalaupun betul benda yang patut dikomplenkan itu ada...tak ada siapa yang nak dengan sengaja menjatuhkan maruah sesiapa. Tegur di belakang sudah. Kritik dengan berhemah.

Kesian kan....

Sekarang ni buat apa pun, orang akan tengok guna kanta perkauman. Semakin menjadi-jadi pula. Dulu tak ada pula macam ini. Kenapa ya? Berani-beranikanlah diri membuat keputusan...walaupun tak popular. Jangan asyik nak buat benda yang nak sedapkan hati semua orang...atau mengatakan yang semua itu tak apa. Remeh saja. Rumah yang besar boleh musnah oleh anai-anai yang kecil.

Jangan tunggu terantuk, baru nak tengadah.

Wednesday, July 24, 2013

'Cool It'

Imam Suhaib Webb dalam rancangan Reflections pagi ini memperkatakan tentang perintah menutup aurat yang pada saya sangat kena dibicarakan. Lebih-lebih lagi berikutan larangan menyertai pertandingan ratu cantik bagi wanita Islam yang menjadi isu semasa. Tak patut menjadi isu sebenarnya kerana suruhan Allah sangat jelas. Tak kiralah walau tak pakai bikini sekali pun, tetap sahaja haram kerana masih mempertontonkan aurat kepada sekalian yang bukan muhrim. Satu lagi, tak ada faedah pun...

Ramai lagi wanita Islam yang tak faham maksud suruhan menutup aurat ini. Dia ingat tutup aurat tu ialah tutup kepala. Itu yang berjambul rambut terkeluar. Ada juga yang ingat tutup aurat tu ialah tutup rambut. Maka, tertutup rapilah rambutnya hatta seurat pun terlindung, padahal lehernya terdedah dan boleh selamba pakai t-shirt lengan pendek. Dan yang best lagi, menutup aurat ialah menutup sekelian kulit. Baguslah bertutup habis cuma masalahnya kulit memang dia tutup...tapi kain yang membalut tu...masyaallah, sangat-sangatlah melekap, sendat dan ketat. Saya yang perempuan ni tengok pun terseksa...yalah, sungguh menjolok mata!

Dalam Surah An.Nur ayat 31, Allah berfirman yang bermaksud,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".

Apabila kita sudah mengaku yang kita ini Islam, jadilah hambaNya jangan jadi hamba nafsu. Ambillah semuanya, bukan pilih-pilih ambil yang kita suka sahaja. Bab sembahyang, ok, kita ikut. Lima waktu tak pernah tinggal. Tapi bab tutup aurat kita tolak tepi dengan alasan tak boleh memaksa, kita kena ikut step by step...tak mahu mengejut, nanti tak jadi malu pula....apa orang kata? So, kita nak tunggu biar hati kita betul-betul terbuka dan ikhlas nak buat. Hemmm...rezeki yang Allah beri sedap je kita sapu, tapi tak malu pula yang kita ingkar dengan suruhan Dia yang menjamin rezeki itu sampai kepada kita. Jangan bagi alasan...betul yang bertudung sempurna ada yang lagi hitam hatinya. Tapi tak akan nak pakai alasan itu sebagai jawapan mengapa kita memilih untuk tidak menutup aurat. Lantaklah perangai dia teruk pun, sekurang-kurangnya bila Allah suruh ,dia buat...! Kita kata hati kita baik, kita lagi mulia dan kita tak buat benda-benda yang tak senonoh...tapi the most basic thing yang Allah suruh kita buat....kita berani ingkar pula. 

Lama manalah kita larat nak hidup di dunia ini? Kulit kalau dah kendur tu...tak larat nak berbotox collagen bagai...sure nampak juga! Nyawa nak dipanjang-panjangkan macamana? Buah yang muda lagi kan gugur....

Sedih bila orang Islam sendiri mempertikaikan suruhan Allah. Rasa rugi sangat tak mengembangkan potensi diri, yang pada pendapatnya patutlah sekelian bangsanya berasa bangga kerana ada anak bangsa yang kononnya telah maju lagi berdaya saing mewakili bangsanya di pentas dunia. Kita sibuk bercakap dan mahu bertegas dengan orang lain yang sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan agama kita...alih-alih depa nanti tengok, aikkk....orang Islam pun sama maaaa...dia sendiri menghina agamanya. Kalau kita sendiri tak boleh rasa sayang, rasa bangga dan menghargai agama mulia yang kita anuti ini....jangan haraplah orang lain akan buat perkara yang sama. 

Ingat kesementaraan dunia ini...semuanya tak kekal. Semuanya milik Allah.
Kepada Allah kita semua akan kembali.

Alkisah Lupa

Mak kata saya ni semakin pelupa mengalahkan dia. Kadang-kadang bila nak ceritakan saya sesuatu atau bertanyakan perkara-perkara lepas, dia perasan dengan keadaan saya yang selalu terpaksa berhempas pulas mengorek fakta (sesekali auta). Minggu ni saja, dua kali saya terkena! Pertama kali bila flashback masa bersalinkan Hisham. Saya mengeluarkan kenyataan yang salah iaitu mengatakan yang saya tak pernah merasa berpantang di kampung sebab terasa-rasa yang mak sentiasa ada dengan saya di KL. Mak pun mematahkan dakwaan saya dengan mengatakan, "Apa pulak...hang ni pelupa sungguh...yang hang dok pi berurut dengan Mak Ngah tu apa dia? Kan hang ikut mak balik kampung lepas tu???". heheh. Saya pun tersengih-sengihlah sebab aduiiii...tersalahlah pulak!

Kali kedua pula saya terperangkap bila mak buka cerita bab raya. Ianya bermula dengan cadangan mak nak masak mi kari pada hari adik saya sekeluarga nak datang berbuka Jumaat ini. Mak yakin menu ini disukai oleh semua. Saya yang tak berapa kisah bab makan ini pun menjawab..."Cuba mak tanya Khairi...ok ke tak? Takut nanti mak mertua dia tak makan pulak". Mak saya kemudiannya berkata yakin, "Aishhh...depa suka tu...ingat masa kita pi raya rumah anak Tok Su Mat hang kat Puncak Alam dua tahun lepas tu...kan depa buat mi kari jamu kita. Mak mertua Khairi bukan main suka lagi...dia kata sedap". Apalagi, berkerut-kerutlah dahi saya (of course Aku dah lupa daaaaa....). "Eh...bila masa pulak? Depa ikut ka kita pi Puncak Alam tu...mana ada..." Berdasarkan ingatan saya, macam tak teringat kemunculan keluarga adik saya di situ. Apalagi, kena smash la...dushhhhhh!."Hang niiiii...kan depa ikut kita pasai hang tak tau jalan nak pi sana? Hang tak ingat ka? Awat yang pelupa sungguh ni...?"....wakakakakaka....

Yalah...pelupa sungguh saya sekarang ni. Padahal tak makan langsung kepala ikan....hahaha. Nak bagi alasan macam Kak Chik masa kelas Arab boleh ka? Kak Chik kata payah nak hafal ayat Al-Quran yang Ustaz bagi sebab ingatan dah tak berapa kuat lepas buat pembedahan mengeluarkan fibroidnya serta pengambilan ubat-ubatan yang pelbagai. Soooo, saya nak kata juga yang saya pun masih terkesan dek dua kali pembedahan LSCS tu...kali kedua lagi teruk...doktor bagi morfin dengan dos yang lebih tinggi...(itu saya terdengar misi-misi yang sedang prepare saya untuk pembedahan mengomel tentang arahan yang diberi pakar bius). Heheh...ada kaitan ke? Saya tak beranilah nak pakai alasan ni depan Ustaz sebab dia dengan tersenyum sinis akan jawab...tak ada kena mengena langsung! Ustaz kata, kekuatan hafalan dan ingatan itu bergantung kepada kekuatan iman kita. Kalau iman terjaga, insyaallah, terang hati...mudah menghafal. Ini baru menghafal ayat 1-11 Surah Al-Mukminun dengan ayat 2-4 Surah Al-Anfaal pun terhegeh-hegeh....

Oklah saya rasa saya tahu kenapa saya tak ingat sebab saya memang jenis tak akan ingat benda-benda yang tak perlu sampai begitu detail sekali. Misal kata, kes saya bersalin tu...yang saya simpan ialah pengalaman masa di hospital, tarikh, tempat ...tapi saya tak berapa beri perhatian kepada berapa lama saya di KL, berapa lama saya di kampung, berapa kali saya berurut atau apa jenis herba yang saya makan masa tu. Mak ingat sebab dia yang jaga saya...kan?kan?kan? (Alasan!!!). Yang macam kes pergi beraya tu...memang saya pergi dan ingat tempat tu, siapa dan apa yang saya makan di situ. Tapi saya tak ingat siapa lagi yang ikut rombongan itu. Juga tak ingat masa bersembang tu apa yang tuan rumah cerita tentang keluarganya. Sebab itu saya ini ada masalah sikit bila kawan-kawan bercerita tentang anak yang ini kerjanya apa, sekolahnya kat mana...sebab saya selalu stop dekat dia ada berapa anak dan may be...namanya siapa. Itu yang kadang-kadang jumpa tu...eh? anak yang bongsu tu umur berapa dah ye? Lepas tu buat muka terkejut dan jawab...ambooiiii...dah besar ek...cepat sungguh masa berlalu! (hahaha...cepat sungguh la pasai hang tu pelupa!!!)

Kena muhasabah diri ni. Lupa sebab apa? Sebab banyak tak ingat Allah agaknya. Hati masih sibuk diisikan dengan dunia. Lalai dan alpa selalu. Atau lupa sebab tak jaga pandangan mata. Tengok apa benda sikit, mulut terus laju mengumpat. Macamana nak menghafal ayat Allah? Kalam yang suci perlukan tempat simpanan yang suci juga. Kalau asyik tak ingat, bermakna hati masih kotor bersalut banyak dosa. Kena buat pembersihan dulu. Baru terang hati.

Wednesday, July 17, 2013

Roh Ramadhan

Kelmarin ada satu program Ceramah Perdana berlangsung di HQ TM. Ada empat program yang dirancang, ini adalah yang pertama. Penceramah jemputan ialah Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre yang memperkatakan tentang tajuk " Merungkai Roh dan Hakikat Puasa".




Saya suka kupasan Ustaz tentang keletihan fizikal vs keletihan jiwa. Kita biasa lihat betapa meriahnya masjid dan surau dengan para jemaah yang hadir untuk menunaikan solat terawih pada malam-malam awal bulan Ramadhan. Memang luar biasa sambutannya. Macam dah jadi tradisi bulan Ramadhan. Asal puasa, terawih. Asal terawih, puasa. Oklah, bagus tu. Memperbanyakkan amalan dalam bulan yang penuh keberkatan ini dengan pahala yang berlipat-ganda. Cuma yang tak best tu, bila masuk minggu-minggu seterusnya, kita akan dapati bilangan yang dulunya ramai itu semakin lama semakin berkurangan. Maju ke hadapan sungguh. Lepas satu saf, satu saf hilang....so, penuhkan saf-saf lebih depan. Maju lagi dan lagi sehingga akhirnya tinggal tok imam dengan tok bilal aje...(melampau la tu , kan!).

Apa yang dah jadi?

Kita tengok member baik je menyandar. Muka pun syahdu je. Kita tanya, "apehal ni, Din?". Dia pun jawab slow jer..."puasaaaa...". Jalan pun slow. Buat kerja pun slow. Memang betul-betul slow sungguh. Puasalah katakan. Iye ke letih sangat? Tengok orait jer dia 'bersaie' (istilah Ustaz) dari hujung ke hujung di pasar Ramadhan. Buleh pulak. Yelah, kan tak makan...tak minum. Tak ada tenaga...tapi larat sungguh berjalan di PaRam tu. Kalau sungguh mengalami keletihan fizikal...eloklah duduk diam-diam di rumah.

Berbalik kepada kes penyusutan jemaah di masjid-masjid menjelang akhir Ramadhan, ia juga ada kaitan dengan masalah keletihan fizikal kerana inilah modal yang selalu digunakan.

"Ngape tak pergi terawih malam ni , yong?"

"Dah selalu  pergi dah...dah letih badan rasanya"

"Ngape tak pergi terawih malam ni , yob?"

"Tak larat dah nak berdiri lama-lama...lagipun tok imam tu baca ayat panjang-panjang sangat. Penatlah. Esok nak kerja lagi."

Apa yang membuat kita rasa letih dan tak dapat mengekalkan semangat awal Ramadhan? Kata Ustaz, yang letih bukanlah fizikal tetapi sebenarnya jiwa yang letih. Buktinya, bagaimana sahabat-sahabat masih gagah berperang ketika dalam keadaan berpuasa dalam peristiwa Badar kubra. Kalau ikut logik, saat berpuasa itulah yang paling tak sesuai pergi berlawan sebab tak makan, tak minum. Tak ada tenaga. Di mana datangnya kekuatan luar biasa mereka berjuang menumpaskan lawan? Mereka kuat kerana mereka dapat makna puasa itu yang menjadikan kekuatan dalaman mereka semakin kuat walaupun mereka tidak makan.

Apa makna puasa itu? Ramai yang tidak faham maksud di sebalik berpuasa dan hikmahnya sebab itu belum sampai separuh masa pertama, semua sudah keletihan. Jangan ingat roh Ramadhan itu hanyalah menginsafi kesusahan yang dilalui oleh golongan yang tidak berkemampuan sehingga menerbitkan rasa kesyukuran dengan tidak makan dan minum. Ada yang lebih besar daripada itu. Roh Ramadhan yang kita jarang dapat ialah kawalan ke atas nafsu. Itu yang kita tak dapat nak hayati. Dan sebab itu juga graf Ramadhan kita tampak mendatar sahaja...sama saja macam bulan-bulan lain.

Di mana silapnya? Silapnya ialah kita kurang latihan. Kita masuk gelanggang Ramadhan tanpa terlebih dahulu berlatih menjinakkan nafsu. Seumpamanya masuk perlawanan bolasepak tanpa sebarang latihan. Jangankan 30 minit pertama....10 minit atas padang dah kejang. Warm up tak, nak berlawan terus. Mana jalan! 11 bulan kita tak pernah kawal nafsu, tiba-tiba datang sebulan nak menahan...itu yang jadi letih jiwa tu. Sedangkan matlamat utama berpuasa itu ialah menguatkan ketahanan dalaman mendepani nafsu. Berpuasa menguji kita daripada mendapatkan keperluan asas iaitu makan dan minum. Orang boleh berubah karekter bila perutnya lapar. Kadang-kadang kita tanya sikit pun dah marah. Belumpun suruh buat kerja. Bermakna, belum berjaya mengawal nafsunya.

 Jika dalam solat kita perlu menjaga ikhlas dan khusyuk, maka dalam puasa juga kita perlu menjaga keikhlasan di samping menjauhi segala perbuatan dosa dan lagha. Kita khuatir terjadi ke atas diri kita seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Barangkali seorang yang puasanya hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Dan barangkali seorang yang mengerjakan qiyamullail hanya mendapat berjaga malam.” (Sahih. Riwayat Ibnu Majah)

Belum terlambat untuk kita kembali menetapkan sasaran Ramadhan, keinginan menjadikannya Ramadhan yang lebih baik meski 8 hari sudah berlalu.Biasalah, diri ini perlu sentiasa diingat-ingatkan dan diajak, disuruh, (juga dipaksa kalau perlu) untuk melaksanakan ibadah yang pada kebiasaannya, nafsu sangat 'liat' hendak akur. Anggaplah Ramadhan dengan puasa sebulannya ini bagai satu mesin yang kerjanya 'memproses' manusia supaya lebih baik prestasinya, lebih elok hasilannya. Proses-proses ini perlu bagi menyediakan kita agar layak memasuki syurga Allah. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dan seperti mana kata seorang saudara, berlian yang indah itu terhasil oleh tekanan yang kuat.

Jom usahakan lagi !

Tuesday, July 16, 2013

Susahnya dunia

Kehidupan di dunia ini memang serba-serbinya susah. Betul...susah memanjang! Yang hidup susah pun susah, yang hidup senang pun susah. Hemmm???

Yang hidup susah, mungkin susah nak cari makan. Susah nak cari duit sebab susah nak cari kerja yang boleh menjadikan hidup susah lebih senang. Yang hidup senang pun ada susahnya. Mungkin susah nak cari masa untuk dia menikmati kesenangan yang dikumpulkan. Mungkin juga susah hati memikirkan hutang piutang dan masalah perniagaan. 

Siapa yang tak susah hidup di atas dunia ini???

Bayi pun susah juga, susah bila dia nak minum susu dan terpaksa tunggu susu disediakan. Buatnya mak sibuk berFB, alamat melalak kelaparanlah beberapa ketika sehingga dia dapat apa yang dia mahu. Polis susah sebab nak membanteras jenayah siang dan malam. Yang bekerja di pejabat dalam air-cond pun susah juga kerana tepat masanya kena produce apa yang boss nak. Lepas tu belum tentu apa yang dihasilkan itu sama dengan kehendak. Dan susahnya nak tunggu hari dapat gaji...hahahah. Yang kerja sendiri pun susah juga. Walaupun kerja dari rumah. Mungkin penat memenuhi tempahan pelanggan kerana biskut atau kek yang kita hasilkan itu mendapat sambutan menggalakkan. Entah-entah nak masak untuk keluarga sendiri makan pun tak sempat. Kan susah tu?

Oklah, mungkin kalau kita duduk-duduk goyang kaki tak buat apa boleh dikatakan senang....ye ke? Susah juga rasanya. Susah sebab tak ada benda nak buat untuk mengisi masa. Susah memikirkan betapa senangnya sampai tak tahu apa nak buat. Eh...susah juga tu kalau tak ada apa-apa nak buat!

Begitulah lumrahnya dunia yang kita tidak sepatutnya berasa hairan kerana kehadiran kita di sini pun bukan asalnya untuk bersenang-lenang. Kita berada di sini dengan segala macam kesusahan supaya kita dapat mengusahakan kesenangan di kemudian hari. Kita hanya akan senang kalau kita lulus ujian Tuhan. Kita hanya akan mengecap kesenangan itu apabila kita menjadi mukmin yang berjaya. Yang mewarisi Firdaus! (Al-Mukminun 1-11).

Benar, hanya di syurgalah manusia dapat hidup senang. Segala apa yang terlintas akan terus tampil depan mata. Nak makan buah, tak perlu panjat pokok. Pokok dan dahan itu akan merendah kepada kita tanpa kita perlu bersusah payah.Tak ada istilah susah di sana. Semuanya senang dan menyenangkan.

Namun untuk mendapat kesenangan itu, kenalah bersusah-payah dahulu. Sebab itu dunia ini dijadikan sedemikian rupa. Penuh pancaroba dan tipu daya. Untuk menduga manusia dan supaya jelas, siapa yang layak dan siapa yang tak layak. Ingat boleh masuk syurga percuma ke?. Kenalah ada tapisannya. Ada sesi penilaian. Kalau untuk mendapatkan benda-benda terbaik di dunia inipun macam-macam prasyarat dikenakan...tak akanlah untuk melayakkan diri ke syurga Allah boleh dengan sewenang-wenangnya. Tentulah ada syarat-syaratnya. Lagi tinggi darjat syurga itu, semakin ketat syarat-syarat kemasukannya.

Ini motivasi untuk diri sendiri sebenarnya. Kadang-kadang bila terasa lelah mengharungi hari, rasa penat, hati kecil dok berkata-kata...alangkah bestnya kalau dapat rehat....coppp...cepat-cepatlah ingat yang diri ini masih bernafas di muka bumi Allah. Selagi hayat dikandung badan, begitulah lumrahnya. Hari demi hari penuh dengan kesusahan. Penuh dengan cabaran yang mudah menjadikan kita capek menghadapinya. Dan bila teringatkan itu semua, ingatlah 'segalanya tidak kekal'. Hanya susah di dunia! Lepas ni tak susah lagi dah itupun kalau kita berjaya meraih syurga Allah. Jadi, jangan susah hati dengan ujian demi ujian...biar susah sekarang, jangan susah kemudian. Kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jangan leka bersenang-senang dengan kesenangan dunia kerana takut kita hanya senang sekarang tapi susah di kemudiannya. Abadi pulak tu.

Fikir-fikirkanlah!

Seminggu Berpuasa

Alhamdulillah, sampai juga dalam bulan Ramadhan. Sudah masuk hari ketujuh. Mudah-mudahan dapat sampai ke akhirnya, mencari-cari dan terus mengharap. Sampai bila-bila. Hendak mendapatkan ganjaran dan kemenangan terbesar itu...maaf cakaplah wahai diriku, engkau memang tak layak! Tak sempat masuk pusingan pertama pun....cuma mengharapkan belas kasihan Dia yang Maha Pemurah. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mudah-mudahan mendapat syafaat Nabi. Itu sahajalah yang diharapkan mampu membenteng diri daripada terperosok ke dalam jurang jahannam. Nauzubillahiminzalik...

Seorang rakan bekas penuntut UUM telah pergi dahulu menemuiNya seminggu sebelum Ramadhan. Dia tidak beroleh kesempatan untuk meraih tawaran 'jualan mega' Ramadhan. Semoga arwah diampuni seluruh dosanya, dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama-sama roh hamba-hambaNya yang soleh. Aminnn!

Itu kalau yang pergi dijemput Illahi. Masalahnya diri ini yang 'belum' dijemput tapi masih suam-suam kuku semangat nak merebut ganjaran terbaik Allah. Macamlah bekalan dah cukup. Perasan, kan?kan?kan? Sepatutnya rasa bersyukur kerana masih ada ruang dan peluang untuk menambah amal dan pahala. Takut amalan yang sedia ada itu sekadar ada pada nama tetapi bila dihitung-hitung, yang betul-betul mencapai piawaian Allah hanya sedikit cuma. Namanya beribadat , tetapi sia-sia. Sia-sia sebab buat ikut suka hati, tak ikut sunnah Nabi.

Jadi, kalau terus hidup namun tak berbuat apa-apa untuk mengoptimumkan hayat, serupa juga seperti patung...at least patung tak ada nyawa. Lebih teruk ada nyawa tetapi 'mati'.

Mati itu pasti. Hidup...insyaallah. Buatlah persediaan untuk kehidupan yang pasti itu. Jangan bertangguh-tangguh kerana hari yang pasti tiba itu diluar pengetahuan dan jangkaan kita. Saya kasihan membaca beberapa kisah 'suicide' dalam dan luar negara kebelakangan ini. Kasihan kerana mereka tidak tahu. Kenapa mereka buat begitu? Kerana mereka tidak tahu apa yang menunggu mereka di hadapan. Mereka fikir masalah hidup selesai setelah mati. Padahal kehidupan itu sendiri hanyalah sekadar permulaan...kematian itu pula gerbang penghijrahan ke suatu alam yang bakal menentukan kehidupan abadi. Kalau mereka tahu apa yang menunggu mereka, saya yakin masalah dunia ini bakal jadi kecil sekecil kecilnya. Yang di syurga nanti pun, bila di sana tetap rasa menyesal kerana tak buat sehabis baik semasa di dunia...inikan pula yang tak sampai ke syurga...sangat-sangat menyesal. Super duper menyesal. Kalau boleh dapat peluang kedua hidup di dunia supaya boleh dia beramal dan dapat masuk syurga. Sayang semuanya sudah terlambatttt...

Semoga Allah tambahkan keinginan di hati kita untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mendekat kepadaNya.Dan semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan kita yang terbaik. Insyaallah.

Friday, July 05, 2013

Menjelang Ramadhan 1434H

Angin Ramadhan semakin terasa membelai, meniupkan semangat untuk mengharungi bulan suci yang sudah hampir 38 kali menjengah sepanjang nadi masih berdenyut ini. Saya belum pasti apakah saya bakal menemukan Ramadhan. Mudah-mudahan masih ada kesempatan untuk berbuat demikian.

Allahumma balighna Ramadhan

Kedatangan Ramadhan sebenarnya sudah dirasai ...mahunya tidak, iklan buffet di merata-rata hotel sudah boleh dilihat dan didengari. Yang kelakar tu...boleh juga ada promosi kereta sempena Ramadhan! Kau biar betul...apalah kena mengenanya...Itu belum cerita promosi tukar karpet, tukar perabot, tukar langsir sempena hari raya. Owh...dan juga sampel-sampel kuih raya sudah mula diedarkan. Ehem...(mengata dulang paku serpih...) saya sendiri sudah menempah beberapa balang tat nenas. Bukan apa, sebab yang buat tu menantu kawan saya....dia tak selalu ambil tempahan kerana dia bukan buat berniaga betul-betul. Hanya kawan-kawan mak mertua dia saja yang dapat keistimewaan itu. Dan oleh kerana memang kuih tat homemade dia tu sangat sedapppp, jadi saya kenalah booking awal-awal. Kalau tidak, memang tak dapat. Boleh???

Kurma Medjoul dari tanah Palestine yang dijual oleh teman sepejabat. Kurma ini bersaiz jumbo, lebih besar daripada kurma-kurma yang saya biasa makan. Isinya lembut dan semestinya sedap. Ini bukan persiapan Ramadhan, dah siap dibelasah pun...
Sebenarnya persiapan-persiapan lain pun saya dah buat. Termasuk baju raya. Cuma baju raya saya sebenarnya bukanlah betul-betul untuk raya. Mungkin pertama kali pakai di hari raya, kemudian akan berkali-kali di pakai untuk ke pejabat dan sebagainya. Err...lebih kurang masa inilah kita bawak masuk 'inventori' baru. Heheh.

Dah tinggal beberapa biji. Mak dah makan 5 biji masa bersahur kelmarin tadi...memang dia suka sangat.  Aqsa Shariff akan salurkan bantuan kepada saudara kita di sana melalui pembelian kurma ini.

Untuk anak-anak, memang saya sudah mula membeli baju Melayu baru. Itupun seorang sepasang sahaja. Saya beli sekarang sebab saya tengok dah berlambak dalam pasaran dan lagi pula, saya memang tidak akan membeli berebut-rebut dengan orang lain di bulan puasa. Jadi, lebih baik saya settlekan sekarang. Untuk suami...tak perlu beli. Huh? Yelah, masih ada beberapa helai baju Melayu yang masih elok. Buat apa nak membazir bukan? Dah penat berpuasa sebulan, takkan nak menyerah kalah kepada nafsu begitu sahaja. Betul tak?

Bab persiapan raya ini, tak boleh menang berhujah dengan orang tua...heheh. Layan sajalah. Tak apa, kalau tak memudaratkan iman. Yang penting ialah persiapan Ramadhan ini...kalau umur panjang, rasanya nak ubah sikit pendekatan. Instead of trying to complete reading the Quran, I would like to do 'taddabur'. Insyaallah, nak ikut macam saranan Ustaz. Tak apa tak habis pun...tak payah nak terburu-buru mengejar. Dapat faham beberapa ayat (dengan sepenuh penghayatan) pun sudah cukup baik.

Kalau umur saya panjang....insyaallah, kita jumpa ya Ramadhan...







Thursday, July 04, 2013

Timang Tinggi-Tinggi

Saya duduk bersebelahan ibu-ibu lain yang sama-sama menunggu giliran untuk masuk berjumpa guru, berbincang tentang perkembangan dan pencapaian anak. Seperti biasa, saya mengambil pendekatan 'selamba' yakni tidak begitu 'beria-ia'. Bukanlah saya tidak peduli langsung hal pelajaran anak-anak, tetapi saya merasakan huruf dan angka yang semua orang mahu iaitu A/100% hanyalah bonus. Dapat, alhamdulillah. Tak dapat , tak mengapa. Ada perkara yang lebih penting daripada sebarisan A itu.

Semenjak mula saya melabuhkan punggung di kerusi yang disusun berderet di luar kelas dengan memegang nombor 14, saya mendengar dengan jelas butir-butir perbualan dua orang ibu yang telah lebih awal tiba berbanding saya. Abang yang tidak sabar menunggu menukar rancangan pergi ke pasar membeli ikan dan sayur sementara  saya menunggu giliran. Setidak-tidaknya, tidak perlu buang masa ke pasar selepas itu, sebaliknya boleh terus ke pejabat. Sebelum pergi, dia sempat mengusik saya menyuruh saya menyertai perbualan tersebut. Boleh bergosip katanya. Heheh...apalah yang hendak saya gosipkan dalam suasana sebegini sementelah pula salah seorang ibu tersebut dengan penuh berkobar-kobar memperincikan keperluan sisten pembelajaran berasaskan band tersebut (KSSR) serta rancangannya untuk memastikan anaknya terus cemerlang.  

Ketika mengulas lanjut tentang pelajaran anaknya, si ibu tadi menyebut yang dia mahu anaknya terus berkawan dengan pelajar-pelajar yang pintar kerana kalau bergaul dengan yang tidak pandai, maka, cara pemikiran mereka adalah tidak sama dan mungkin akan mempengaruhi kepintaran anak itu nanti. Pendek kata, yang pandai kena kawan dengan yang pandai, yang tak pandai kawan dengan yang tak pandai. Adoiii...baru darjah 2 tu...budak-budak ni tahu nak main jer...tak tahu dia status pandai tak pandai ni.

Hemmm....Saya bukan tak setuju dengan kawan 'sekufu' dari segi pemikiran itu...tapi saya cenderung kepada prinsip yang semua anak-anak itu...pandai belaka. Tak ada yang tak pandai. Dari kelas pertama sampai ke kelas paling hujung sekali. Cuma mereka mempunyai kelebihan yang berlainan yang perlu dicungkil dan dipupuk dengan pendekatan yang sesuai dengan tahap pemikiran/kefahaman masing-masing.Konsep ikut 'band' itu dah agak baik sebenarnya, yakni, kita kelaskan budak-budak ini mengikut keupayaan mereka memahami konsep pelajaran tertentu. Yang cepat tangkap dan boleh kuasai dalam satu kelas. Yang masih perlukan bimbingan dan tumpuan, kelas lain pula. Jadi, kita boleh 'develop' mereka ikut 'pace' masing-masing. Masalahnya saya tengok, mak bapa ni pulak yang risau lebih-lebih bila anak dia duduk di kelas yang bawah sikit...dia nak push jugak. Kenalah ambil kira faktor perkembangan anak-anak itu, pendedahan dan ruang lingkup pengalamannya dan lain-lain. Janganlah main nak terjah aje...kesian budak-budak tu. Bagi canlah.

Saya sendiri bukanlah dari golongan yang dikategorikan 'pandai'. Saya tak pernah rasa pandai. Cuma saya yakin, saya ini agak rajin dalam hal belajar semasa di sekolah dulu. Itu sahaja sebabnya saya dapat melangkah naik sedikit demi sedikit sampai universiti. Bagi saya, setiap langkah demi langkah itu bergantung kepada diri sendiri...apa yang kita mahukan? Kalau kita nak dapat nombor 1, kita kenalah lipat gandakan usaha, kalau tak kisah - boleh lah bersenang-senang ikut suka hati. It is that simple! Zaman sekarang, yang sibuk nak pegang 'steering' itu mak bapak sebab kalau tak, alahai...nanti malu dengan kawan-kawan. Malu dengan saudara-mara bila anak kita 'tak pandai'. Lagipun, nak match dengan status kita tu kan...haish...malulah kalau anak tak pandai.

Ya Allah, saya harap Allah kuatkan hati saya untuk tidak turut sama tertekan dengan perlumbaan seumpama ini kerana saya akui, kadang-kadang saya juga tertekan sama. Sering meragui keupayaan saya sebagai ibu juga tertanya-tanya masa depan anak kalau-kalau ditakdirkan dia tidak begitu cemerlang dalam pelajaran. Sedangkan saya sendiri tahu yang segala sijil dan pencapaian itu bukanlah penentu kepada kejayaannya yang sebenar. Dan saya tahu, kejayaan sebenar bukanlah letaknya pada ukuran dunia.

 Hemmm...dah tahu...cuma masalahnya, untuk kejayaan sebenar itu juga saya masih terkial-kial hendak meletakkan diri (belum lagi masuk anak) di atas landasan yang betul. Berada di atas landasan yang betul itu satu hal...nak pastikan kekal (istiqamah) atas landasan itu satu hal yang lain pula. Bukan senang. Senang lagi nak pastikan anak-anak dapat A. Tapi nak pastikan anak-anak dapat syurga???

Allah...kepadaMu lah saya memohon kekuatan dan kesabaran.