Monday, November 24, 2014

Kira-kira

Kalaulah dosa-dosa itu dapat dilihat dan ditatap...datang sebulan sekali macam bil telefon...Aku yakin, semua manusia tidak berani membuat dosa. Bayangkan...

Senarai dosa-dosa dan markahnya...
  1. Dosa menghadiri pesta-pesta remaja liar - 1000 markah
  2. Dosa berzina - 5000 markah
  3. Dosa menipu mak ayah - 3000 markah
  4. Dosa membunuh bayi hasil hubungan luar nikah - 8000 markah
....dan lagi, dan lagi...lagi...

Jumlahkan semuanya.

Bandingkan jumlah terkumpul pahala sebelum ini, ditolak dengan markah-markah dosa...berapakah yang tinggal?

Semak kelayakan minima...

Perlu berapa markah terkumpul untuk layak masuk syurga...
Atau...sekian-sekian markah, layak untuk sekian-sekian jenis neraka...

Masyaallah, astaghfirullah...

Namun kita tidak ada sebarang rekod untuk membuatkan kita rasa gusar atau lega dengan pencapaian sekarang. Kita tidak tahu di mana duduk kedudukan kita. Ramai juga yang bersikap tangguh-tangguh.

"Tunggu dululah, hidup hanya sekali...mesti mau enjoy!"

Tapi tahukah kita lama mana hayat kita? Kalau tahu okaylah, boleh merancang bila hendak buat larian pecut...

Kita tak tahu. Ajal maut macam jodoh pertemuan juga, kita tidak tahu.

Adapun seluruh bumi dan isinya hanyalah semata-mata tipu daya.

Beruntunglah mereka yang tidak tertipu. Mereka yang faham jelas matlamat hidup di dunia ini dan yang berpegang teguh dengan panduan yang Allah berikan. Manual kehidupan sudah ada (Al-Quran) dan perincian serta kaedah ibadah juga ada (Hadis dan sunah Rasulullah S.A.W). Tinggal nak buat atau tidak.

Setiap masa dan ketika kena mohon perlindunganNya untuk sebuah husnul khatimah. Takut sekarang ikut jalan lurus...hujung-hujung terbabas. Sebab itu kena beringat dan bermuhasabah selalu. Juga kena ingatkan diri supaya selalu bersangka baik dengan orang lain. Hari ini nampak dia macam sangat 'tertinggal' dengan agama...tapi jangan lupa, hidayah itu milik Allah. Yang penting ialah kesudahannya. Benda ini kadang-kadang terlupa, sebab selalu dok ikut fikir kepala . Tu yang dok kena peringat selalu.

Thursday, November 20, 2014

KL-JB-KL

Seronok dapat jumpa kawan-kawan di Johor minggu lepas. Rasa seronok itu mengatasi keletihan memandu pergi balik beratus-ratus kilometer KL-JB. Juga mengubati kecalaran hati dek kehadiran yang agak mengecewakan. Mungkin juga hidangan kacang phool yang pertama kali Telipuk cuba turut menjadi penawar. Apatah lagi, kuantiti yang biasanya kami kejar kerana ianya lebih mudah diketengahkan telah digantikan dengan hadirnya peserta program yang berkualiti. Ada kalanya rasa hendak menyorok belakang kerusi kerana tahap soalan yang dikemukakan itu sedikit menggugat keyakinan pembentang. Namun, alhamdulillah, segalanya dapat diatasi dan sesi pencerahan di wilayah selatan telah sempurna sudah. Telipuk buat-buat tak berapa dengar dengan usul pihak atasan yang mahu topik kendalian Telipuk itu diperluaskan sasarannya walaupun Telipuk akur ianya telah menjadi sebahagian rancangan jangka panjang yang dicadangkan dalam menangani risiko seumpamanya yang boleh mengganggu kelancaran perniagaan syarikat. Apapun Telipuk tidak suka cepat-cepat melatah sebelum waktunya, bukan senang hendak turun padang dengan rotan di tangan, walaupun bukan untuk digunakan, masih ia sudah tentu bukan sesuatu yang mengujakan kebanyakan orang.  Kadang-kadang benda macam ini sifatnya bermusim...bila keadaan sudah tenang balik, tentu ramai yang lupa. Tunggu dan lihat sahaja.

Berbalik kepada pertemuan dengan kawan-kawan Johor, Telipuk dapat jumpa dengan kawan yang sudah 20 tahun tidak jumpa...giler lamaaa!!! Yang best tu Telipuk masih ingat nama dia bila belek senarai peserta. Sudahlah dia juga orang pertama yang Telipuk salam, cuma masa bersalam tu dia senyum-senyum biasa saja. Alamak...Telipuk pun segan-segan juga nak tanya...manalah tahu, buatnya dia betul-betul tak ingat Telipuk...habislah hilang keanggunan Telipuk. Malu weiiii!!! Jadi, Telipuk ambil masa dulu sebelum terjah...pertama Telipuk sendiri kena pastikan Telipuk tak salah orang...manalah tahu ada pelanduk dua serupa. Maklumlah, 20 tahun bukanlah satu masa yang singkat. Masa jumpa dulu, kawan Telipuk ni gemuk sikit saja daripada batang pokok pinang...errr...Telipuk masa tu kecik sikit ja daripada batang pokok jambu susu...(jambu susu? pandai hang bagi pokok yang dah pupus...;)). Betui ka orangnya ni? Isshhh...rasanya tak salah lagi dah.

Sebelum rehat tengahari, Telipuk menebalkan muka menyapa dan bertanya terus. Perghhh...sekali sebut jer batch Marang, terus dia ingat Telipuk yang sekarang lebih besar daripada batang pokok jambu susu tadi...huhuhu...Apalagi, happy giler la...terus sambung sesi reunion kat kafetaria. Sebut satu nama kawan yang lain batch tapi sudah balik Johor, langkah kanan pula sebab kawan yang itu kebetulan ada di kafe untuk makan tengahari. Ahhh...sudahhh!!! Teruslah berborak-borak lagi. Boleh jugalah cover Telipuk yang serba-salah nak makan sebab tengahari tu depa sediakan masak pedas ikan apa ntah...sambal tempoyak , yang sah-sah Telipuk tak makan. Berani letak kobis goreng jer dalam pinggan untuk coverline. Kawan janji akan bawa seorang lagi kawan yang Telipuk nak jumpa. Elok-elok je dapat jumpa sebab dia pun luang masa hadir mendengar pembentangan kami untuk sesi petang. Sempatlah dia tunggu Telipuk selesai buat taklimat sebelum minta diri kerana ada mesyuarat dengan vendor. Member ni Telipuk kenal sebab kami dari satu universiti, berlainan course, tetapi rapat bila sama-sama dapat biasiswa dan ikuti beberapa siri program anjuran syarikat sebelum diserap masuk sebagai pelatih pengurusan. Terkejut tengok dia dah sangat-sangat kurus melidi...anak empat tu...anak sulung sedang ambil SPM...waaaaaaa....sangat jelesss!!!

Sebelum balik kawan-kawan semua jadi batu api, bukan main hasut suruh singgah JPO...iya tak ya jugak, dekat dah tu kan. Tapi nasib baiklah, Telipuk ni bukan peminat branded items...walaupun ada rasa macam rugi tak singgah sebab dah sampai tu. Perasaan been here, done that! itu terpaksa ditolak ke tepi. Masa bertolak keluar hari gelap nak hujan dan lebuhraya Tebrau sesak teruk. Mujur Telipuk dapat cari jalan berpatah balik ikut jalan lain...tu pun dah pukul 6 lebih baru dapat keluar. Cuma berhenti solat di hentian Air Keroh pukul 8 lebih. Singgah pejabat dulu turunkan kawan dan akhirnya sampai rumah pukul 11 malam. Esok pagi-paginya masuk kerja macam biasa. Alhamdulillah...boleh lagi. Cuma menjelang petang tu jer ada sikit rasa lain macam...malamnya tumbang terus.

Perjalanan jauh yang menyeronokkan!

Saturday, November 15, 2014

Jalan-jalan Cari Ikan

Lepas zohor tadi, buat projek ke Kuala Selangor. Projek terkejut namanya, sebab tidak plan beria-ia, tahu-tahu dah jadi.

Ajak encik suami ke Pasir Penambang mencari ikan segar sebab dah beberapa kali emak cakap tak sedap makan ikan di pasar. Tak tahu le apa rasa ikan di pasar heheh sebab kita tak makan ikan. Bab ke sana tu kita suka sebab boleh menyinggah ke gerai karipap gergasi...muehehe...


Lala sekilo RM2. Hidup-hidup lagi. Ni kalau buat masak tumis air taruk serai dengan cili merah pun dah cukup menyelerakan. Tapi tak beli pun sebab mak takut tak termakan.

Hasil tangkapan kami agak mengagumkan juga untuk keluarga kecil kami yang rata-rata boleh berpuas hati dengan telur goreng dan kicap saja...hahaha...apatah tak lama lagi cuti sekolah dan mak akan balik kampung untuk sebulan. Tak apalah, cukuplah keperluan lauk untuk seminggu lebih yang berbaki ini sebelum emak balik. Kami beli udang, ketam, sotong dan beberapa jenis ikan serta telur ikan err...tak tahu ikan jenis apa.


Yang ini memang tak boleh miss punya...empat batang dijual pada harga RM6. Gerainya tidak jauh daripada bangunan pasar. Sedap jagung ni...manis dan lembut jer. Makan sebatang pasti nak lagi...nasib baik beli 8 hahaha...puas hati makan jagung.


Alhamdulillah, karipap pun dapat. Cuma angan-angan nak singgah Gerai Cendul Bakar jer yang masih kekal menjadi angan-angan. Sempat juga mencuba nak berbaris beli cendul gaya drive thru...malangnya queue tak gerak-gerak. Ramai betul ye pengunjung hujung minggu ni. Patut datang awal sikit kot...Disebabkan cuaca pun mendung semacam, kami ambil keputusan beredar sahaja. Nantilah lain kali datang cari stok ikan lagi, saya akan cuba singgah.

Tak nampak lagi bayang projek menyambungkan LATAR dengan Bandar Tasik Puteri berjalan. Khabarnya tahun depan siap...wehuuu...tak sabar nih. Bolehlah cari alasan selalu untuk ke Kuala Selangor.

Wednesday, November 12, 2014

Rama-rama

Tahukah kamu yang rama-rama yang cantik itu berasal daripada ulat beluncas yang menggelikan yang kemudiannya bertukar menjadi kepompong yang hodoh sebelum berhasil menjelma menjadi serangga berkepak menawan?

Tahukah kamu kenapa bayi yang dibiarkan bereksperimentasi dalam mengkoordinasi pergerakan badan dan anggotanya akan lebih cepat menguasai kemahiran berbanding bayi yang sentiasa dilindungi dan didukung setiap masa?

Betul kata pepatah orang dulu-dulu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dan, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Orang yang biasa menempuh kesusahan, yang tidak mendapat sesuatu dengan jalan mudah...memiliki daya tahan yang lebih baik dalam mendepani cabaran kehidupan.

Ramai ibu bapa cenderung untuk memastikan anak-anaknya hidup senang. Tak kira apa latar belakang sekalipun. Baik yang hidup mewah mahupun yang hidup susah. Masing-masing berusaha dalam ruang lingkup yang ada untuk membahagiakan anak.

Kalau yang berduit, anak-anak ke sekolah dihantar dengan kereta...siap dengan pemandu. Pulang berjemput. Tak merasa pun hendak berpeluh. Kalau yang kurang sikit, ada cara lain memanjakan anak-anak. Anak-anak mungkin tidak disuruh membuat kerja rumah kerana hendak memberi mereka ruang berehat dan konon tidak mahu membebankan mereka dengan tanggungjawab.

Malangnya, dalam proses tersebut, anak-anak memang hidup gembira ditatang seperti minyak yang penuh tetapi mereka menjadi 'gagal' apabila berdepan dengan situasi yang sukar kerana merasakan, mereka akan dapat apa yang mereka mahu tak kira dalam apa keadaan sekalipun. Kerana akan sentiasa ada emak dan ayah, adik-beradik atau saudara mara lain yang pasti akan bantu mereka.

Hasilnya, anak-anak membesar dengan corak pemikiran yang kurang mantap - tidak berdisiplin, kurang rasa hormat kepada orang lain, tidak peka, kurang kritis,sambil lewa, asal ada cukup, tidak berorientasikan pencapaian kerana tak tahu apa misi hidup...hemmmm...

Mungkin kena kurang sikit letak tilam lembut di keliling anak-anak. Bukan apa, nanti kalau selalu ada kusyen...mereka fikir, ala jatuh pun tak apa-apa. Tak sakit pun. Realitinya jatuh itu menyakitkan. Tapi kalau ada campurtangan, jatuh hilang sakitnya. Lalu bila-bilapun jatuh, pengalaman sakit itu jadi tiada. Hilanglah bahagian iktibar dan pengajarannya.

Biarlah anak-anak ambil bahagian dalam tumbesaran mereka. Biarlah mereka melaluinya, walaupun pahit...walaupun pedih. Kalau dia hendak ke sekolah naik basikal, biarkanlah. Jangan takut dengan panas. Jangan bimbang dengan hujan. Jangan fikir pasal "kalau tayar basikal pancit?" atau "kalau kemalangan macamana?". Jangan menimbang-nimbang kemungkinan yang belum berlaku. Kebanyakan perkara yang kita bimbangkan, tidak berlaku satu pun di akhirnya. Jangan sampai kerungsingan itu mengganggu kehidupan sehingga kalau boleh kita mahu 'mengawal' semua benda. Mana tahu esok lusa kita meninggal, anak-anak pula baru le terkial-kial mahu berdikari. Entahkan stress pula sebab gagal menyesuaikan diri atau jadi 'lembik' bila diuji seperti menyatakan apa pendiriannya kerana tidak pernah ditanya pendapat dan diberi ruang membuat keputusan.

Menterjemahkan situasi tersebut ke dalam diri sendiri, saya rasa adalah merugikan kerana anak-anak tidak melalui sepertimana pengalaman yang saya lalui dulu. Dan saya pula kerana sibuk dengan hal-hal lain, tidak pula menyediakan kepelbagaian pengalaman kepada mereka. Kerana saya selalu fikir, ah, kalau saya boleh buat...tak perlulah libatkan mereka. Atau, tak apalah, yang ini biar saya handle...nanti entah apa-apa jadi, satu hal pula hendak betulkan. Sekarang, bila tengok anak-anak yang macam 'lack of certain 'survival' skills' errr...mengikut tanggapan sayalah, saya pun mulalah cuak. Risau pula kalau-kalau saya telah bersikap terlalu 'protective'. Saya risau mereka akan berada lama dalam 'kepompong' dan tidak keluar-keluar...takut saya pula yang terpaksa koyakkan kepompong itu sedikit-sedikit supaya mereka lepas keluar. Saya risau berbuat begitu kerana nanti akan menjejaskan kestabilan 'kepak' mereka.

Jangkaan saya untuk mereka? Saya tidak mengharapkan mereka terbang tinggi di dunia ini...saya cuma mengharapkan mereka dapat mendarat di landasan yang betul kerana saya betul-betul mengharapkan kepada amalan mereka untuk memastikan kelangsungan kehidupan saya di dunia yang satu lagi seandainya saya dipanggil pulang nanti.

Saya takut saya tidak mampu menjadikan mereka hamba Allah yang betul-betul bersikap seperti hamba. Betul, saya rungsing dengan amanah yang ada ini kerana sikap saya yang sering culas dalam melunaskan tanggungjawab itu. Ada seribu satu kesilapan yang saya buat. Saya berdoa mudah-mudahan saya diberi kekuatan untuk 'menjaga' Allah...moga-moga Allah akan menjaga mereka untuk saya...memberi mereka ilham untuk selalu tunduk sebagai hamba.

Semoga saya boleh menumpang 'kepak' indah mereka nanti untuk saya lepas (walaupun sekadar pinggiran), di dunia sana nanti.


Tuesday, November 11, 2014

Bukan Sebarang Balang

Nah...amik ngkau! Menggelabah pagi-pagi ini mencari balang.

Excuse me! Balang???

Yeah, balang. Balang as in b.a.l.a.n.g. Menate balang tu? Hok buak simpe budu ko...hok buak simpe garam? Dokkkk...bale kosonggg...hok wat simpe muruku deepavali. Hihihi...

Ada apa dengan balang plastik yang simpan muruku tu ye? Saya selalu bagi dekat seorang bekas rakan sepejabat ni kuih-muih hari raya bila hari raya. Kalau saya terlupa pun, dek kerana dah biasa, dia akan ingatkan..."kuih raya mana?" Hahah....memang kena ada peruntukan khas untuk dia. Dia seorang yang baik orangnya. Dan saya berbesar hati bila dia selalu tak segan nak minta kuih raya walaupun kami sudah berlainan pejabat.

Tahun ini dia membalas dengan satu balang berisi muruku. Tapi bukan untuk saya seorang la deyyy...Balang itu saya letak di sudut 'harta' wakaf. Selagi stok masih ada. Pat pat nya, sapa dapat dia punya. Dipendekkan cerita pendek yang sengaja dipanjangkan, habislah laku muruku sempena deepavali itu.

Apa jadi dengan balangnya?

Seperti biasa, ambil tak endah dengan balang kuih itu. Selalunya begitulah, siapa-siapa bawa makanan letak dalam balang atau bekas plastik lutsinar biasa tu...pada anggapan kita (dan saya ), tidak berhajat untuk mendapatkan semula bekas tersebut. Lainlah kalau kita isi dalam bekas jenama Tupperware tu kan....mesti tunggu jer nak ambil balik! Jadi itulah yang terjadi, tidak ada siapa pedulikan balang kosong itu dan masa berlalu pergi.

Sehinggalah pagi ini, tiba-tiba kawan itu menelefon memaklumkan dia nak datang ambil balang. Aikkk? Tokojut den! Balang??? Sat...sat...you nak balang tu balik ke? Tak nampak lagi dah kelibatnya ni. Sat I pi cari. Cari la punya cari....tiba-tiba tak pulak jumpa balang hari ni...selalu asal jalan jer tersepak balang...asal tersepak jer balang...ehhh! (terlebih sudahhh). Sampai nak cilok balang jiran depan. Jiran kata, boleh...as long as ko gantikan dengan sesuatu yang boleh dijadikan penongkat...la...dia guna balang kosong untuk tongkatkan panel penutup suis-suis di tempatnya.

Akhir sekali Lotuslily bagi balang kosong dia. Lepas basuh cuci semua, telefon semula kawan suruh ambil. Bagitau dia, balang asal tak jumpa tapi ada balang lain. You can come and get it now. Hahah...kawan gelak-gelak. Kawan kata, tak jumpa tak apalah. Dia ingat ada. Kalau ada dia nak. Saya pun tanya, apa istimewanya balang tu? (Hishhh...ko ni...balang ka, suratkhabar ka...lain kali jangan nak assume jer boleh buang suka hati...ko ingat murah tak berharga, senang-senang jer lempor). Dia kata, dia memang selalu isi benda dalam balang tu. Dia ingat kalau ada lagi, dia nak ambillah. Boleh buat isi benda lain. Tapi kalau tak ada, tak apalah...tak payah berganti pun.

Ishh...issshhh...issshhh...

Ada orang tu, dia punyalah payah nak tanya 'direct' dengan orang. Dia punya tahap nak jaga hati orang tu...kadang-kadang dah berlebihan. Kalau cakap awal-awal kan senanggg...

Siapa? Siapa orang tu???

; )

Thursday, November 06, 2014

Rebung Sudah Jadi Buluh...Bisakah dilentur lagi???

Saya tumpang berduka dengan kejadian buli di sebuah sekolah menengah baru-baru ini. Saya memilih untuk tidak menonton klip video kejadian tersebut yang dihantar kawan-kawan. Tak sampai hati rasanya. Cukuplah saya terlihat klip video buli pelajar perempuan di Sarawak beberapa ketika dulu. Itupun sudah trauma terigau-igau mengenangkan betapa 'tergamaknya' si pelaku buli ini. Kalaupun yang dibuli ada melakukan kesalahan, tak perlulah mendera sampai begitu sekali. Nak memberi pengajaran apa namanya.

Yang membuli ini pada pandangan saya adalah manusia yang mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah. Dia perlu menutupi kelemahan dirinya dengan menjadikan orang lain berada pada kedudukan yang lebih 'rendah' daripadanya. Dengan membuli dia rasa ditakuti dan digeruni. Mungkin itu satu penghormatan atau pencapaian buat dirinya apabila melihat mangsa dalam keadaan takut dan merayu-rayu minta dikasihani.

Yang membuli juga pastinya datang daripada persekitaran pembesaran yang bermasalah. Perlakuan seperti itu tidak datang secara semulajadi. Tak ada anak yang tiba-tiba jadi pembuli. Dia tentunya adalah produk daripada kepincangan dalam asuhan ibubapa. Saya setuju dengan pendapat kawan-kawan saya yang mengatakan "segalanya bermula dari rumah". Anak-anak bak kain putih, bagaimana ibubapa mencoraknya...begitulah keadaan warna - pembentukan sikap apabila dewasa nanti. Seberapa tinggi kemahuan kita untuk meletakkan beban kesalahan di atas bahu guru-guru sekolah, masih tidak dapat memberikan justifikasi yang boleh melepaskan ibubapa daripada dikaitkan dengan masalah kelakuan anak-anak kerana mendidik anak-anak adalah tugas ibubapa. Bukan kerja sekolah untuk memastikan anak-anak kita jadi pelajar yang beradap dan berpekerti mulia. Banyak manalah yang sekolah boleh lakukan dalam masa beberapa jam pelajar-pelajar ini di sekolah. Kalaupun boleh, setiap satunya sudah pun ada 'microchip' masing-masing yang dibentuk hasil asuhan keluarga. Nasiblah kalau cip-cip tersebut masih boleh dipertingkatkan atau dibaiki. Kalau yang rosak bagaimana?

Kata Ustaz saya, masalah paling besar dalam pendidikan anak-anak ini ialah sikap ibubapa dan masyarakat umumnya yang enggan mengikuti format asuhan sebagaimana yang dibawa oleh Islam. Bila agaknya kita betul mula-mula kenal Allah? Kebanyakan daripada kita hanya tahu kita beragama Islam dan Tuhan kita adalah Allah. Dan sebagai tanda kita ini orang Islam , kita pun pastikan kita solat 5 waktu, bila bulan Ramadan - maka kita pun berpuasa , kemudian ada lebihan harta kita pun berzakat dan bila ada peluang kita pergi tunai haji. Itupun nasib baiklah buat. Ada yang culas. Maka, agama dalam hidup kita dia jadi seperti terpisah-pisah. Kita hanya guna agama untuk saat-saat tertentu. Saat-saat pakai telekung. Saat-saat pakai ihram. Saat-saat menjalani Ramadhan. Tapi untuk kebanyakan waktu lain, saat kita berurusan dengan manusia dalam pelbagai perkara - jarang kita terfikir untuk ikut acuan Islam. Sebab itu kita boleh tak sedar yang bila bercakap atau bertindak, ada perbuatan kita yang melukakan hati orang dan menyusahkan orang. Bagaimana hendak letakkan asas yang betul dalam hidup anak-anak? Untuk letakkan mereka di atas jalan yang benar, pertama kena pastikan Allah dan Rasul ada dalam hati anak-anak. Sedari kecil. Mahu tidak mahu kita kena ambil tanggungjawab ini kerana yang akan kena soal siasat esok di padang Mahsyar adalah kita juga. Apa yang sudah kita lakukan untuk pastikan anak-anak kita membesar sebagai manusia yang mencintai Allah dan Rasul.

Hemm...kita (saya sebenarnya) ini dah masuk angka 4 series baru berhasil hendak faham maksud ayat-ayat lazim, baru rajin hendak menapak ke kelas pengajian...Apakah kita mahu perkara yang sama terjadi kepada anak-anak kita? Sekarang dalam hati mereka ada apa? Ada kartun. Ada video games. Di mana Allah dan Rasul dalam hidup mereka? Pedih kena bahasa dek Ustaz. Nak kata apa...memang betullah tu...sebijik kena atas kepala!

Kalaulah saya boleh mengundurkan masa...saya pasti ada banyak perkara yang saya kena betulkan. Tapi saya tidak mampu. Apa yang ada sekarang ini adalah hasil perbuatan saya sendiri dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Bila Ustaz membaca hadis di bawah tajuk Sabar, perihal anak kecil yang berdakwah meski mengorbankan nyawanya (namun berjaya membawa ramai orang beriman dengan Allah), rasanya seperti saya sudah sampai di penghujung jalan mati. Terkulat-kulatlah saya di situ memikirkan nasib. Bolehkah saya menjawab soalan-soalan yang Allah akan tanyakan nanti ? Dan yang menjawab itu adalah anggota badan sendiri, yang tiada ruang untuk memanipulasi.

Memang perjuangan untuk sampai ke sana sangatlah jauh sedang ajal semakin mendekat. Ubati hati dan keresahan dengan kalimah-kalimah suci dalam Surah Az Zumar bermula ayat 53 sehingga 59. Yang penting jangan berputus asa. Buat saja apa yang mampu. Berusaha itu jugakan tetap sahaja ada ganjarannya, bukan?

Tuesday, November 04, 2014

Kembali

Tergelak saya bila rupa-rupanya kawan-kawan baru perasan yang ketiadaan KL Traffic beberapa ketika ini adalah kerana saya telah me'madam' blog ini. Diaorang ingat saya 'block' access diaorang. Hahaha...adoiii...idok la saya sekejam itu kawan-kawan. Ada pula kata saya 'selfish' pasal tak nak kongsi blog ini...eh...eh...pulak? Ada peminat rupanya...hahahaha...korang baca eh?

Saya sebenarnya sayang blog ini...bukan mudah hendak me'madam'kannya. Cumanya saya rasa semakin lama saya semakin kurang 'berinteraksi' dengannya. Saya fikir biarlah hayat KL Traffic ditamatkan, senang cerita. Masalahnya KL Traffic begitu banyak menyimpan 'cerita' yang saya sendiri berulang kali baca dan menginsafi diri. Jadi, untuk memadamkan KL Traffic adalah satu perkara yang sukar. Akhirnya saya mengambil jalan memindahkan/menyalin entri bermula yang pertama sehingga yang terakhir supaya saya masih ada tempat untuk merujuk. KL Traffic mungkin hilang di alam maya, tetapi masih ada dalam fail komputer saya.

Puas hati?

Hemmm...tidak juga. Selepas saya memadam KL Traffic, perasaan rindu untuk men'catat'kan sesuatu pemerhatian sesekali datang. Namun, kesibukan kerja menyebabkan saya terlupa dan kurang melayan desakan ini. Hanya sehari dua ini, saya berkira-kira hendak mencipta satu blog baru yang lebih lain konsepnya...barangkali lebih kurang sisi peribadinya berbanding KL Traffic. Terfikir hendak meletakkan status public untuk Lotus's Labyrinth namun tak jadi, kerana blog itu sangat terhad liputannya...hahaha...entah apa-apalah saya ni...

Jadi bila pagi ini peminat-peminat mendesak...saya rasa mungkin elok saya biarkan saja KL Traffic ada. Walaupun pengisiannya caca-marba...hemmm...nak kata apa,  itulah saya seadanya. Kalau saya tak mencatat pun, tak mengapa agaknya...lagipun senang hati bila ada yang kata, dia baca dan sentiasa ada sesuatu untuk diambil. Harapnya itu sesuatu yang baik...Kalaulah ada hati-hati yang terjentik dan terkesan oleh apa-apa yang berada dalam paparan KL Traffic, saya berharap ia membawa si pembaca ke arah kebaikan. Yang mana-mana buruk itu, saya minta maaf kerana itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

Dan maafkan saya juga kerana ketika memulakan langkah me'madam'kan KL Traffic, saya telah memadamkan entri 2014 satu persatu setelah selesai menyalinnya. Dan rupanya itu adalah kehilangan 'kekal'. Saya akan semak semula kandungan 2014 yang ada dalam simpanan saya dan akan memuatkan semula hanya entri yang bersesuaian untuk perkongsian sedikit masa lagi.

Oh ya, dan bila saya mengambil langkah memadamkan inilah, maka , saya baru tahu bahawa Blogger memberikan anda masa 90 hari bermula tarikh pemadaman untuk mengubah keputusan. Bererti, sekiranya ada memadamkan blog anda secara sengaja atau tidak sengaja, anda boleh mendapatkannya semula asalkan anda 'hidup'kannya semula dalam tempoh 90 hari. Sekiranya anda gagal berbuat demikian, maka blog anda akan hilang buat selama-lamanya.

Selamat muncul kembali KL TRAFFIC!!!