Ianya bermula pada malam hari raya itu, waktu kami meninggalkan ibukota sekitar jam 10.45 malam menuju ke Melaka. Dari siaran radio yang ke udara, kami dimaklumkan akan keadaan trafik yang luar biasa sesaknya. Seolah-olah tidak dijangka. Barangkali ramai yang berpendapat, cuti hari raya aidiladha selalunya singkat dan sambutan pun tidak semeriah aidilfitri, tapi sebab sekolah sudah bercuti maka ramai ibubapa mengambil peluang melanjutkan cuti untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti bersama keluarga.
Belum lama melepasi tol Sungai Besi, aku mendapat panggilan daripada adik ipar yang lebih dulu memulakan perjalanan jam 10.00 malam. Dia baru mampu melepasi Nilai dan sedang berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana tidak tahan menunggu. Apatah lagi bersamanya anak kecil yang asyik merengek membuatkan dia hilang ketabahan bertahan. Kami mula cuak. Tetapi kalau hendak patah balik pun tak guna juga, teruskan ajelah. Bak kata Abang, tak apalah perlahanpun. Lama-lama sampai juga.
Lalulintas yang perlahan membuatkan Aku sekejap-sekejap terpejam mata. Tidur-tidur ayam. Rombongan kami ini turut disertai oleh adik iparku Nana, suaminya dan anak lelakinya yang berusia 3 tahun. Anak-anak kami Hisham dan Aiman, semenjak mula cuti lagi sudah ikut datuk dan nenek mereka tinggal di Melaka.
Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dan sempat keluar dari mulut Aku yang mamai ini, "kenapa langgar kereta kita?". Abang lekas-lekas keluar. Aku mengambil masa menahan rasa gementar dan debar sebelum keluar. Ya Allah! Kereta kami dilanggar dari belakang. Walau pernah sekali dua melalui keadaan yang sama, Optima kami selalunya calar ringan sahaja tetapi yang ini memang kuat impaknya.
Macamana boleh langgar ni? Jalan sesak,memang tidak boleh bawa laju. Ternyatanya, yang melanggar kami itu cuai orangnya. Satu keluarga yang dalam perjalanan pulang beraya ke Alor Gajah.
Ketua keluarga ini, yang juga pemandu kenderaan Toyota Harrier memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai polis berpangkat ASP dari Cawangan Trafik, Jalan Bandar. Dia bersalam dengan suami Aku dan meminta maaf atas apa yang berlaku dan berjanji akan menanggung segala kos membaiki kereta kami. Pendeknya, kami akan selesaikan di luar. Pada masa kejadian, dia kurang tumpuan gara-gara memungut tiket tol yang jatuh. Sedar-sedar dah sondol kereta kami. Kereta dia macam teruk jugalah, yelah...langgar kereta Aku yang bodynya kuat...lagipun Abang terpaksa gunakan dua belah kaki menekan brek untuk memberhentikan kereta kami daripada melanggar kereta di hadapan menyebabkan impak hentaman itu lebih teruk.
Keesokan harinya, bila Abang call Encik ini untuk tanyakan lebih lanjut berhubung jalan penyelesaian yang akan diambil, cerita sudah mula berubah. Katanya, dia perlu buat report sebab cermin depan kereta dia pecah...eh! malam tu tengok elok je...retak kot. Kalau dia sudah nak buat report, makanya tentulah tidak timbul lagi soal selesai di luar sebab kami pun kenalah buat report juga.
Kalau hendak buat report, kena buat dalam tempoh 24 jam dari kejadian berlaku dan perlulah dilaporkan di balai polis berhampiran di mana kejadian itu berlaku. Encik ini tidak setuju. Dia mahu kami buat laporan di Kuala Lumpur. Kalau tunggu balik KL, dah tentulah sudah lebih 24 jam, kan? Kami ingatkan, dia selaku pegawai polis tentulah lebih arif dengan peraturan dan prosedur. Kami tersilap. Untuk memudahkan dia, dia mahu kami sama-sama buat laporan di Kuala Lumpur pada hari Isnin. Dia kata, jangan risau. Semua boleh selesai. Tapi dalam laporan nanti, kami kena kata kemalangan itu berlaku hari Isnin dekat Jalan Syed Putra, KL...pulakkk??? Laaa...ini dah kira membuat laporan palsu ni! Bapa mertua aku langsung tidak setuju. Dia pun bekas polis juga. Mana boleh macam itu...nanti kalau jadi apa-apa...tak pasal-pasal timbul masalah lain pula. Lalu sebagai warga yang bertanggungjawab, kami memilih untuk mengikut prosedur biasa...lagipun kami di pihak yang benar. Laporan pun kami buat di Seremban.
Apabila Abang memaklumkan keputusan kami membuat laporan itu, terus 'hot'lah Encik ini. Daripada kata-kata sopan dah mula tunjuk belang menghantar sms-sms yang menggugat ketenangan minda. Tak apalah, biarlah dia hendak buat apapun. Kami rasa tindakan yang kami ambil itu betul. Tak tahulah kalau dia ada jalan-jalan lain yang akan menyusahkan tuntutan insuran third party tu...setahu Aku sehingga hari ini dia belum membuat laporan. Tanpa laporan, siasatan tidak dapat dimulakan. Selagi tiada keputusan dibuat, kami sama sekali tidak dapat mula membaiki kereta, melainkan menanggung dulu kos sendiri. Tapi spare part Optima bukan kecil anak harganya...mau ribu-ribu juga kos keseluruhan ini. Bumper dah sah kena buka. Bonet kemek. Pintu tempat duduk belakang dua-dua sudah herot, tersekat dan tak boleh dibuka. Pendekata, banyaklah kerja yang perlu dilakukan untuk kembalikan kereta tu ke keadaan sediakala.
Jadi, tak beraya ke manalah kami, hanya itulah sekali keluar sebab buat report kat Seremban tu. Kereta boleh berjalan tetapi sebab kesan hentaman tu menghimpit tayar, memang sakit telinga dengar bunyi tayar berputar. Hauslah bunganya kena kikis sepanjang perjalanan balik ke KL hari ini nampaknya.
Raya juga hilang meriah sebab pagi raya itu, adik ipar Aku, Anuar sekeluarga terpaksa bergegas pula kerana bapa mertuanya meninggal dunia.
Aku dan Abang yang merancang memberikan lebih masa dengan anak-anak terpaksa memendekkan cuti dan balik pagi ini. Sepatutnya kami pulang besok pagi dan Abang akan terus menghantar Aku ke KLIA. Kenalah balik awal hantar kereta. Nasib baik Aiman dan Hisham tidak menangis. Kalau tidak, mau Aku menangis sama.
Dalam perjalanan balik pula dapat sms kakak mengatakan ayah kemalangan jatuh motorsikal sebab berlanggar dengan kereta di kampung. Nyaris Aku hilang akal sekejap. Bayangkanlah huru-haranya...besok pagi dah kena fly, kalau ayah cedera teruk...Aku rasa Aku tak mampu meninggalkan tanahair pada masa ini. Mujur juga bila Aku telefon adik, dia kata ayah cuma cedera ringan. Luka dikepala dan bengkak kakinya. Tapi tahulah, orang tua...entahkan trauma, entahkan demam...risau juga. Tapi hendak buat macamana? Aku tidak berhenti-henti berdoa semoga semuanya selamat. Mudah-mudahan.
