Wednesday, January 21, 2015

Menikmati Musibah

Musibah dan nikmat adalah dua perkataan yang berbeza. Maknanya juga tidak sama. Tetapi, bagi yang memahami, mereka akan katakan musibah itulah nikmat. Hemmm....pelik bunyinya. Macamana musibah boleh menjadi nikmat?

Mari saya kongsikan catatan yang saya ada perihal perkara ini.

Apabila Allah menguji hambaNya, bermakna Allah sayang pada hambaNya.

Cara Allah uji kita tak sama dengan apa yang mungkin kita bayangkan.

Allah sayang, Allah beri musibah - tentulah tak sama kalau kita fikirkan - misalnya - suami cakap : Yah, abang sayang awak....meh sini nak bagi penampar sekali....;) Itu memang mencari nahas namanya. Kasih sayang manusia tak sama...silap haribulan, madu ku beri, racun berbisa yang kau balas....macam cerita Anakku Sazali. Apa ceritanya? Pi Mydin beli CD...tengok sendiri ;)

Ujian yang diberi Allah kelak menjadi kafarah dosa lantas meninggikan darjat hambaNya JIKA hamba yang diuji itu bersabar. Sabar dalam erti kata sabar yang sebenarnya, masa kena tu dah sabar. Bukan dah kena sehari dua baru kita nak redha dan sabar.

Dari Anas r.a., katanya: "Nabi S.A.W berjalan melalui seorang wanita yang sedang menangis di atas sebuah kubur. Baginda bersabda:"Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah!"Wanita itu berkata:"Ah, menjauhlah daripadaku, kerana Tuan tidak terkena musibah sebagaimana yang mengenai diriku dan Tuan tidak mengetahui musibah apa itu." ( Nabi S.A.W lalu beredar) Wanita itu diberitahu - oleh sahabat Baginda S.A.W bahawa yang diajak bicara tadi adalah Nabi S.A.W. Wanita itu lalu pergi berjumpa Nabi dan berkata, "Saya memang tidak mengenal Tuan maka itu maafkanlah pembicaraanku tadi". Kemudian Baginda bersabda:" Hanyasanya bersabar yang sangat terpuji itu ialah di kala mendadaknya kedatangan musibah yang pertama".

Musibah bertukar menjadi nikmat apabila manusia mampu bersabar. Maka, nikmat itu datang dalam bentuk pahala yang berganda-ganda dan penghapusan dosa. Apabila kedua-duanya kita perolehi maka sudah tentu dipermudahkan jalan untuk mendapat nikmat terbesar iaitu syurga Allah Azzawajalla. Bukankah itu nikmat?

Dari 'Atha' bin Abu Rabah, katanya:"Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma mengatakan kepadaku: "Apakah engkau suka saya tunjukkan seorang wanita yang tergolong ahli syurga?". Saya berkata: "Baiklah". Dia berkata lagi: "Wanita hitam itu pernah datang kepada Nabi S.A.W lalu berkata: "Sesungguhnya saya ini diserang oleh penyakit ayan (sawan) dan oleh sebab itu lalu saya membuka aurat tubuhku (ketika diserang penyakit itu, wanita ini terlupa akan dirinya sehingga menyebabkan terbuka auratnya). Oleh kerananya haraplah Tuan mendoakan untuk saya kepada Allah agar saya sembuh. Baginda S.A.W bersabda:"Jikalau engkau suka hendaklah bersabar saja dan untukmu adalah syurga, tetapi jikalau engkau suka maka saya akan mendoakan untukmu kepada Allah Ta'ala agar penyakitmu itu disembuhkan olehNya." Wanita itu lalu berkata:"Saya bersabar," lalu katanya pula:"Sesungguhnya kerana penyakit itu, saya terbuka aurat tubuh saya. Kalau begitu sudilah Tuan mendoakan saja untuk saya kepada Allah agar saya tidak sampai membuka aurat tubuh itu". Nabi S.A.W lalu mendoakan untuknya sebagaimana yang dikehendakinya itu."

Begitu hebatnya iman wanita itu dan bagus pula penilaiannya. Sanggup memilih musibah untuk mendapatkan nikmat syurga bukan kesembuhan yang sementara tetapi tidak menjanjikan apa-apa. Penyakit, pada wanita itu, bukanlah satu masalah. Masalah dalam hidup ialah buka aurat!Justeru, jangan sekali-kali takut akan sesuatu melainkan takutlah dengan dosa yang dilakukan dan jangan sekali-kali berharap melainkan berharaplah kepada Allah. Nescaya musibah/ujian yang melanda pasti akan membawa kita lebih hampir dengan Nya.

Itulah nikmat!

No comments: