Memang saya juga ada mendengar temubual dengan seorang warga Belgium yang telah memeluk Islam dengan izin Allah di radio IKIM pada suatu petang tidak berapa lama dulu. Beliau seorang yang suka mempelajari bahasa dan boleh bercakap dalam Bahasa Melayu. Saya dengar pun sudah di penghujung. Jadi, bila Ustaz sebut tentang kisah dia, bolehlah relate sikit masa dalam kelas tu. Tapi ada satu benda yang wanita itu sebut yang saya teringat-ingat dan Ustaz tidak sebut. Yang itu saya nak kongsi di sini sementara saya masih ingat ini.
Ketika ditanya apa komen dan pendapat dia tentang masyarakat Islam di Malaysia ini serta saranan, dia kata, (lebih kurang maksudnya) " Satu perkara yang saya hendak cakap yang saya tidak faham kenapa berlaku ialah bila orang Islam kelaur agama dan memeluk agama Kristian. Itu saya tidak faham. Bila mereka berbuat begitu, itu bermakna mereka tidak tahu isi kandungan Bible. Mereka tidak tahu betapa pincangnya Bible sedangkan semuanya begitu jelas diterangkan oleh Al-Quran".Bagi saya, boleh disamakan kata-kata ini dengan perbuatan membuang intan permata dan mengambil serpihan kaca sebagai ganti.
Saya ceritakan kepada sahabat saya, Sirapmadu dan dia memberikan komen ringkas yang mudah. "Sebenarnya Nira, itu semua terjadi bila umat Islam sendiri tidak faham Al-Quran". Ya, betul tu...kalau faham, tak ada sebab mengapa perlu meninggalkan agama yang benar ini.
Macamana hendak faham Islam kalau Al-Quran, kitab suci yang menjadi panduan, kita tidak baca. Seolah-olahnya...macamana hendak menggerakkan kereta menuju ke destinasi kalau kita tidak belajar memandu?
Betapa tersasarnya kita dalam bab hubungan dengan Al-Quran. Semasa kecil, ibubapa berlumba-lumba hantar anak belajar mengaji. Matlamatnya ialah supaya anak tadi cepat khatam Al-Quran. Betapa gahnya kalau anak boleh khatam Al-Quran semasa masih di sekolah rendah. Kalau dah khatam masa tadika lagi bagus. Tapi apa yang jadi sesudah khatam? Al-Quran terbiar di atas almari mengumpul habuk. Kalau dibaca pun hanya baca surah Yassin di malam Jumaat.Tak pun dijadikan azimat buat menghalau hantu. Ataupun menjadi sebahagian barangan hantaran. Begitu terhad peranan Al-Quran dalam kehidupan seharian. Tapi untuk dijadikan bahan bacaan sehari-hari??? Mungkin tidak terlintas di fikiran. Sebab? Satu, mungkin sebab kita ni selalu diugut dengan pelbagai pantang larang adab membaca Al-Quran yang sekan menyusahkan. Bab nak pegang dengan berwuduk atau tidak itupun tak habis dibahaskan. Tak pula dibahaskan tentang baca dan faham Al-Quran. Belum cerita bab tajwid. Takut berdosa baca kalau tersalah sebut. Yang tak baca langsung tu tak rasa berdosa pula...
Kata saudara kita yang hatinya telah Allah jinakkan itu, "Sudah-sudahlah belajar tajwid...fokuskan kepada isi-isi dalam Al-Quran. Pengajarannya. Seruannya. Baca! Baca! Dan baca..."
Errr...tapi kalau baca tak faham macamana pulak?
Ustaz Hasnan pernah menempelak, "Bahasa Inggeris tu boleh pulak hang belajar daripada dalam buaian sampai nak mati...bahasa yang tak akan digunakan dalam kubur pun...yang tu hang bagi penekanan . Padahal bahasa yang Allah gunakan untuk berbicara dengan hang...hang boleh buat bodo je tak mau belajar. Bahasa yang akan mendekatkan hang dengan Allah, hang tak put effort pun..." Adoi...adoi...pedihhhh!!!
Belajarlah bahasa Arab...setidak-tidaknya untuk faham makna dalam Al-Quran. Lagipun apa isunya?...sekarang ni punyalah banyak terjemahan Al-Quran dalam bahasa Melayu ada, Inggeris ada...tak ada alasan untuk kita kata kita tak baca dan tak boleh faham sebab halangan bahasa. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Dan satu lagi yang disebutkan oleh wanita itu ialah dia perhatikan orang-orang Melayu Islam sangat kurang menjalankan dakwah sedangkan tugas mendakwah itu adalah tugas setiap individu muslim. Hukum wajib berdakwah atas setiap orang ini dapat difahami berdasarkan hadis daripada Abdullah ibnu Amr bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, " Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat" (Riwayat Al-Bukhari).
Rasanya saya faham mengapa ini tidak berlaku. Kerana kita biasa diajarkan untuk tidak mencampuradukkan urusan agama dengan urusan kehidupan duniawi juga di ajar untuk tidak menjaga tepi kain orang, dalam konteks ini, jangan masuk campur hal orang. Kubur masing-masing. Kalau dia tak mahu sembahyang pun, itu urusan dia dengan Allahlah...kita jaga diri sendiri sudah! Kalau dia kena siksa dalam kubur, kau apa susah?
Dalam hal ini, kita kena faham yang Islam itu bersifat syumul yakni menyeluruh. Bermula kita buka mata di pagi hari sehinggalah kita tidur di malam hari, setiap apa yang kita umat Islam lakukan mestilah berdasarkan acuan Islam. Malah urusan perniagaan sekalipun, yakni timbangan kena betul, riba tak boleh ambil dan banyak lagi. Adab dan hubungan dengan keluarga dan masyarakat juga perlu selaras dengan kehendak Islam. Hatta berkunjung ke rumah jiran pun ada kaedahnya seperti beri salam 3 kali. Kalau tidak bersambut, kena beredar. Bukan boleh main jengok-jengok atau suka-suka hati redah. Pendek kata, kita tidak boleh hendak asingkan Islam daripada kehidupan dunia kita kerana cara hidup kita sendiri itu adalah terjemahan kepada kepercayaan kita yang dipancarkan menerusi akhlak. Akhlak yang baik itu sendiri menjadi 'agen' dakwah. Yang di zaman Rasulullah dan para sahabat dulunya menjadi penyebab terbukanya hati orang kafir untuk memeluk Islam kerana Islam tidak ditegakkan dengan mata pedang.
Sekarang macamana hendak bercakap tentang dakwah. Bila bersin di khalayak ramai kita lebih selesa sebut "excuse me" padahal yang sepatutnya "Alhamdulillah". Yang dengar pula kena jawab, "Yarhamukallah" bagi lelaki atau "Yarhamukillah" bagi perempuan sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu agar dia dirahmati Allah. Serta dibalas pula oleh yang bersin dengan mengucapkan "Yahdikumullahhuwayuslihu balakum" yang bermaksud semoga Allah memberi petunjukNya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.
Masalahnya, kita segan hendak cakap lebih-lebih tentang agama kita. Kalau bab lain, yang kita tak reti pun kita tak segan silu bagi pendapat. Tapi bab agama, kita berdolak-dalik pula. Tiba-tiba segan je rasa. Nanti orang cakap dan perli-perli, "Elehhh...macam ustaz/ustazah la konon". Kalau boleh kita tak mau orang kata-kata kita...bab agama, kita jadi pemalu...alasan kita, "saya tak cukup ilmu...tak berani lah, nanti jadi lain pulak" akhir sekali kita semua diam, tutup mulut dan pejam mata. Sebab tu walaupun nampak benda mungkar depan mata, kita tak berdaya nak cegah. Hok tu kena sekali atas kepala cek. Memang yang saya tulis ni pun sebenarnya adalah kelemahan diri saya sendiri...letak bunyi 'kita' supaya terasa sedap sikit nak sebut...hemmmm...
Jadi bila seorang saudara baru boleh tunjuk dengan jelas apa kelemahan kita yang sudah bertahun-tahun memeluk agama Islam sejak azali...adoi...terasa malu dengan diri sendiri. Mengaku Islam tetapi di mana Islamnya? Masih berangan hendakkan syurga Allah dan segala kenikmatannya tetapi masih tak segan melanggar perintah dan laranganNya. Berasa takut kecut perut dengan ancaman neraka dan azabNya yang teramat pedih tapi masih selamba berbuat maksiat.
Macamana tu?
Soal diri dan jawab sendiri. Fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment