Pada ketika ini, cuaca di luar tingkap sana kelihatan gelap dengan awan gemawan yang tampak sarat berarak lesu menanti saat sesuai menggugurkan isi perutnya. Aku yang baru pulang menghadiri syarahan berserta jamuan makan tengahari turut terbawa-bawa dengan mood 'lesu'...lesu kerana perut yang selalunya jarang berisi makanan tengahari tiba-tiba sendat hari ini. Aduhhh...makan-makan sambil bercerita inilah masalahnya, tidak perasan pinggan jadi penuh, juga tidak sedar bila masa jadi kosong...huh...! Hendak pula ada yang melayan. Lepas satu hidangan, satu hidangan lain pula datang silih berganti. Aduhai la mata...semakin berat pelupuk mata ini rasanya...
Macam-macam cerita keluar. Dah jadi macam telenovela pula. Aku yang tak sangat mengikuti perkembangan, nyaris-nyaris terlopong. Aduh...kadang-kadang lebih baik tak tahu daripada tahu. Sebab bila sudah tahu, tak ada alasan lagi hendak berlindung di sebalik kejahilan, bukan? Pun begitu, bukan alasannya untuk menghindari kerana ruang lingkup yang ada ini sebenarnya sangat terhad. Tadah pun tadahlah, tapi jangan takung semuanya, ya...heheh...
Opps...Aku hendak cerita bab sabar sebenarnya. Sabar? Ya...sabar. Sabar itu, menyebutnya mudah...tetapi hendak melaksanakannya tersangatlah sukar. Kisah sabar ini Aku kutip daripada kuliah tengahari semalam.
Di dalam ayat 45 surah Al-Baqarah, Allah berfirman yang bermaksud, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu'."
Tengok urutannya...sabar itu datang dahulu sebelum solat. Apa maksudnya? Sudah tentu ianya kerana sabar itu sangat penting. Untuk bersolat kita juga perlukan sabar bukan?
Sabar itu terbahagi kepada 3 :
1. Sabar dalam mengerjakan perintah Allah.
2. Sabar dalam menjauhi larangan Allah
3. Dan yang paling orang kita faham dengan sabar - sabar dalam menghadapi musibah.
Berdasarkan 3 di atas tersebut, yang manakah anda rasa paling banyak memerlukan kepada kesabaran? Ustaz saya kata, sudah semestinya yang nombor 1.
Sebab??? Cer citer...cer citer...
Ustaz pun bercerita. Dia kata, ada sekali peristiwa...dia pergi berkunjung ke Pulau Langkawi. Bila sampai di sana, al maklumlah jadi pelancong ni...teringinlah hendak merasa naik cable car tu. Petugas di kaunter tu kata, kena berbaris sejam untuk dapat giliran naik. Punyalah ramai orang pada hari itu dan Ustaz berasa pelik kerana walaupun diberitahu lamanya kena menunggu, kena berdiri pulak tu...dalam cuaca yang panas terik...tetapi tidak ada seorang pun yang berganjak atau membatalkan hasrat naik cable car tersebut. Semua orang kelihatan sangat sabar menunggu walaupun penantian itu suatu penyiksaan...cheewwwahhh!
Lalu cuba pula kita bayangkan...berapa ramai orang yang sabar bila mengerjakan solat. Solat yang tak sampai 10 minit itu, ramai yang tak sabar hendak sempurnakannya. Tak sabar sampai tak lakukan pun ada. Punyalah kita tak sabar. Kalau subuh yang dua rakaat itu lagi lah...tak sampai 5 minit pun. Tapi berapa ramai yang sabar untuk paksa diri bangun awal waktu untuk bersolat? Berapa ramai yang sabar untuk bersolat jemaah di masjid? Berapa ramai yang sabar untuk meninggalkan hamparan tilam dan bersabar menahan mengantuk semata-mata kerana Allah?
Yang naik cable car tu Ustaz kata...nak tengok apa? Nak tengok pemandangan indah yang Allah ciptakan. Nak tengok untuk sela masa yang cuma 15 minit cuma sedangkan nak tunggu naik saja sudah 1 jam. Dia naik untuk tengok nikmat Allah yang sepicing cuma. Dunia yang tidak kekal pun! Tapi dia boleh bersabar. Sedangkan untuk solat yang boleh membawa dia hampir kepada Tuhan pencipta alam itu , yang menjanjikan kesenangan yang berkekalan di akhirat nanti...tiba-tiba dia terlupa hendak bersabar.
Jadi bila Allah tanyakan kita dengan kata-kata, "Afala taqqilun?" Apakah kamu tidak berakal? Adakah kita terasa dengan teguran itu? Atau buat derk tak rasa apa-apa?
Akai ada ka? (Hish...pedih tu kan? - tapi padanlah muka tu...duiiii)
Betullah ...kita hendak yang susah, yang ganjarannya sementara, yang menyusahkan hidup kita sebagai ganti kepada perkara-perkara yang mudah lagi berlipat-ganda ganjarannya...tak mahu pulak???
Sebab itu bersabar untuk melaksanakan perintah Allah itu sangat sukar.
Hemmm...
Nak beristiqamah pun kena sabar...
Kena sabar banyak-banyak...!
No comments:
Post a Comment